You are on page 1of 16

Pendidikan, Kemahiran Dan Tanah Penting Bagi Orang Asli

Oleh Luqman Nul Hakim Mazlan

SEREMBAN, 2 Julai (Bernama) -- Dalam usaha mengubah dan meningkatkan taraf hidup masyarakat
Orang Asli yang mempunyai kira-kira 18 suku kaum di negara ini, pendidikan, kemahiran dan pemilikan
tanah dilihat begitu penting.

Menurut Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Majid Suhut, ini kerana melalui
pendidikan dan kemahiran masyarakat Orang Asli boleh bersaing dengan kaum lain dan melalui
pemilikan tanah mereka boleh mencari rezeki.

Beliau berpendapat untuk menaiktaraf kehidupan Orang Asli yang seramai kira-kira 141,000 orang di
negara ini, kerajaan perlu memberi tumpuan dalam pemberian tanah dan pendidikan terutama kepada
generasi baru Rancangan Malaysia ke-10 (RMK10).

MASALAH PENDIDIKAN ORANG ASLI

Orang Asli masih jauh ketinggalan berbanding kaum lain dalam pendidikan yang mana mereka

yang layak ke Institut Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah masih tidak ramai mengikut nisbah.

Berlakunya keadaan ini adalah kerana generasi baru Orang Asli masih tidak mempunyai wang

mencukupi untuk ke sekolah walaupun menerima bantuan.

Daripada segi prasarana pendidikan, ia lebih baik cuma ada kekurangan daripada segi kebajikan

kerana masih ramai anak Orang Asli yang ke sekolah dengan perut kosong.

Walaupun ada skim Rancangan Makanan Tambahan (RMT) ia masih belum mencukupi kerana

pada waktu rehat tengah hari anak Orang Asli juga mahu menikmati makanan seperti kaum lain.

BERI "PANCING" KEPADA ORANG ASLI BUKAN HANYA IKAN

Menurut beliau lagi usaha kerajaan memberi bantuan kepada Orang Asli dengan memberi

biasiswa kepada enam pelajar Orang Asli baru-baru ini untuk ke luar negara sedikit sebanyak

dapat membantu meningkatkan lagi pencapaian masyarakat ini.


"Selama ini Orang Asli mungkin tidak mempunyai peluang untuk pergi ke luar negara walaupun ada yang
mempunyai kelayakan sebab kami tidak ada satu badan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk
membantu kami".

Pada masa yang sama Majid mahu kerajaan, NGO (Badan Bukan Kerajaan) memberikan mereka

"pancing" iaitu seperti latihan kemahiran dan sebagainya dan bukan hanya memberi bantuan

bulanan berupa wang.

Beliau berkata sekiranya Orang Asli hanya dibantu daripada segi kewangan, ia akan

menyebabkan mereka bergantung kepada bantuan dan akan malas berusaha menambah

pendapatan.

"Sekiranya kerajaan memberi latihan kepada Orang Asli seperti menjahit, membuat rantai manik ianya
secara langsung dapat menambah pendapatan mereka, dan bukan hanya mengharap wang diberi setiap
bulan.

"Apa yang saya lihat sekarang ada di kalangan Orang Asli yang seperti itu namun tak ramai,

bantuan wang tu memang kami harapkan tapi berilah latihan yang bersesuaian untuk memajukan

lagi Orang Asli," katanya lagi.

SOKONG PEMILIKAN TANAH MENERUSI RMK10

Majid berkata pihaknya menyokong penuh dan gembira apabila kerajaan ingin membantu

masyarakat Orang Asli dalam pelbagai perkara menerusi RMK10 terutama dalam pemilikan

tanah dan beliau menyatakan bahawa ia begitu membantu masyarakat Orang Asli.

Ini kerana menurut Majid sehingga ini masih ramai Orang Asli yang belum mempunyai

pemilikan tanah yang sah kerana kebanyakan mereka masih lagi tinggal di kawasan hutan dan
pinggir sungai.

Namun menurut beliau pemberian pemilikan tanah menerusi RMK10 masih umum dan belum jelas bagi
masyarakat Orang Asli dan mereka masih menunggu penjelasan lanjut akan perkara ini.

Majid berkata pihaknya mahu kerajaan agar tidak menghadkan pemberian pemilikan tanah

kepada hanya 2.6 hektar (6 ekar) untuk satu keluarga terutama yang telah mengusahakan tanah

lebih daripada keluasan itu.

"Kami mencadangkan kepada kerajaan apa yang telah diusahakan oleh satu keluarga itulah yang

diberi, namun sekiranya tanah yang diberi itu masih baru dan belum diusahakan kami akan

menerimanya," kata beliau lagi.

Beliau berkata segala-gala yang berkaitan dengan penetapan dan sempadan adalah ditentukan oleh
ketua atau dengan kata lain 'Tok Batin' sesebuah masyarakat Orang Asli dan tidak boleh ditetapkan oleh
mereka sendiri.

"Contohnya sempadan tanah Orang Asli adalah dari pokok ke pokok dan Orang Asli lain tidak

boleh usik tanah itu, kalau mereka mahu juga mereka perlu berurusan dengan Tok Batin.

Majid berkata beliau faham antara masalah utama untuk memberi pemilikan tanah kepada Orang

Asli ialah ada yang memiliki banyak tanah ataupun tanah yang diduduki sekarang ialah milik

kerajaan negeri.

Selain itu, pemilikan tanah itu juga haruslah diberi bukan sahaja kepada mereka yang sudah

berkeluarga malahan kepada mereka yang berusia dan belum berumahtangga.

Majid berpandangan bahawa tidak ada masalah kepada kerajaan untuk memenuhi hasrat Orang

Asli kerana ia bukanlah satu kawasan yang baru sebaliknya telah lama diusahakan
CADANG PROGRAM ALA FELDA

Majid berpendapat sekiranya kerajaan mahu membantu masyarakat Orang Asli dengan

pemberian pemilikan tanah melalui RMK10, program "Ala Felda" sesuai dilaksanakan.

Menurut beliau, ianya akan membantu generasi baru Orang Asli menjadi lebih maju.

Malahan ini akan membantu mengurangkan beban masyarakat Orang Asli kerana mereka juga

tidak terkecuali menghadapi masalah kewangan susulan kos sara hidup semakin tinggi walaupun

tinggal di kawasan pedalaman.

"Dulu Orang Asli boleh bergantung kepada hasil hutan dan masih boleh menyara hidup tetapi

kini tidak seperti dulu di mana hasil hutan seperti binatang dan ikan telah berkurangan.

"Jadi mereka perlu beralih kepada sumber ekonomi baru, bila sebut sumber ekonomi baru

maknanya mereka Orang Asli boleh mengusahakan tanah yang diberi oleh kerajaan ini," katanya

lagi.

SOKONG BANTUAN

Sementara itu, Majid berkata beliau juga mahu agar kerajaan memberi peluang yang lebih

banyak kepada Orang Asli dalam sektor kerajaan terutama dalam hal menguruskan Orang Asli di

mana ia boleh memberi manafaat kepada mereka.

"Kami seboleh-bolehnya mahu agar anak dari suku kaum masyarakat Orang Asli dapat

menguruskan kaum mereka sendiri agar senang kami berinteraksi selain ia dapat membantu

kami.

"Oleh itu kami mohon agar kerajaan membantu kami dalam hal tersebut kerana pada masa sekarang
terdapat juga antara kami yang layak memegang jawatan itu walaupun tak ramai," katanya lagi.
Jangan pinggirkan Orang Asli

05 Jul 2010 1:35PM

Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) yang dibentangkan oleh

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 10 Jun lepas

membawa perkhabaran gembira kepada lebih 150,000 masyarakat

Orang Asli di negara ini.

Rancangan lima tahun itu menumpukan pelaksanaan program

pembangunan bersepadu dan bantuan peningkatan keupayaan khusus

bagi mengurangkan kemiskinan di kalangan Orang Asli di Semenanjung

Malaysia selain masyarakat Bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Menurut laporan RMK10 itu, sasaran kerajaan adalah untuk

mengurangkan jumlah kemiskinan di kalangan Orang Asli daripada 50

peratus pada 2009 kepada 25 peratus pada 2015.

Mengikut perancangan, ianya dilihat mampu membawa kesan positif,

bagaimanapun timbul sedikit kerisauan akan keberkesanan

perlaksanaannya.

Umum mengetahui, kerajaan tidak pernah mengabaikan perihal

keperluan masyarakat Orang Asli termasuk pendidikan, ekonomi dan

kemudahan infrastruktur.

Namun, peratusan kadar kemiskinan yang masih tinggi sehingga tahun


lepas itu selain kekurangan pemilikan aset, pegangan ekuiti dan

perniagaan berskala besar di kalangan masyarakat Orang Asli

mencerminkan perlu ada perubahan dan perancangan yang lebih teliti

dalam pelaksanaan sesuatu program.

ASAS EKONOMI

Menurut Presiden Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia, Majid

Suhut, agensi pelaksana program pembangunan perlu melihat kepada

tiga pendekatan iaitu kesesuaian dan asas ekonomi masyarakat Orang Asli di sesuatu tempat,
menaiktaraf projek sedia ada dan penyediaan latihan dan peluang pekerjaan.

Beliau berkata, keperluan masyarakat Orang Asli sama ada di kawasan

bandar atau pedalaman adalah berbeza yang sekaligus memerlukan

pendekatan berlainan.

"Contohnya, jika kebanyakan Orang Asli di sebuah penempatan itu

menangkap ikan sebagai sumber pendapatan, program pembangunan

perlulah berdasarkan asas ekonomi sedia ada seperti penyediaan

sangkar yang boleh meningkatkan lagi pendapatan mereka.

"Sebaliknya jika kawasan mereka dibangunkan dengan ladang getah, sudah tentu projek tersebut tidak
berjaya kerana mereka tidak mahu menoreh getah," katanya kepada Bernama di sini.

Majid berkata, perkara tersebut mendorong beberapa projek yang

dilaksanakan sebelum ini walaupun dilihat baik, namun tidak mendapat

sokongan daripada masyarakat Orang Asli.

Justeru, beliau berharap kerajaan dapat berinteraksi dengan penduduk


setempat sebelum melancarkan atau membangunkan tanah untuk

sesuatu projek bagi memastikan kelangsungan program itu sekaligus

benar-benar menangani masalah kemiskinan Orang Asli.

MENAIKTARAF PROGRAM DAN LATIHAN

Majid berkata, projek sedia ada pula perlulah dianjak ke satu peringkat

lebih tinggi untuk memastikan taraf ekonomi penduduk Orang Asli

sentiasa meningkat.

Katanya, sistem pemberian saham kepada Orang Asli di kebanyakan

kawasan ladang kini sepatutnya tidak berterusan sebaliknya lot-lot

ladang berkenaan perlu diuruskan peserta itu sendiri.

Katanya, dividen yang diperoleh sebenarnya masih berada di bawah

garis kemiskinan meskipun harga komoditi kini berada pada paras yang

tinggi.

"Pada peringkat awal pembangunan, memang Orang Asli memerlukan bantuan, namun lot-lot terbabit
sepatutnya sudah diserahkan kepada mereka," katanya.

Namun, kebimbangan paling besar adalah sistem sedia ada melatih

masyarakat Orang Asli berpeluk tubuh sahaja yang akhirnya tidak

membawa perubahan dalam kehidupan mereka, katanya.

Selain itu, Majid berkata, agensi pelaksana juga perlu memberi tumpuan

kepada penyediaan latihan kemahiran dan peluang khususnya kepada

golongan belia masyarakat itu yang tercicir dalam pelajaran.


Beliau berkata, golongan terbabit perlu dilatih dalam bidang-bidang

baru yang berpotensi tinggi untuk membantu keluarga keluar dari

kepompong kemiskinan.

Beliau tidak menafikan wujud kursus latihan kepada masyarakat Orang

Asli pada masa ini terutama melalui Jabatan Hal Ehwal Orang Asli

(JHEOA), namun ia tidak begitu memberi impak yang besar kerana

ketiadaan peluang pekerjaan.

"Kebanyakan mereka ini pulang semula ke kampung dan masuk semula

ke hutan selepas mengikuti kursus dan apabila ditanya kenapa, mereka

menyatakan tiada siapa yang mahu mengambil mereka bekerja,"

katanya.

Katanya, ia bukan sahaja membazirkan wang kerajaan dalam

menyediakan kursus-kursus, malah membazirkan modal insan tempatan

sedangkan rakyat asing menerima limpahan pekerjaan di negara ini.

PERSEPSI

Namun, setiap kali membicarakan soal agenda pembangunan Orang

Asli, pasti tidak akan terlepas perbincangan mengenai sikap masyarakat

itu yang dikatakan masih enggan berubah dan lebih selesa mencari hasil

hutan.

Ditanya mengenai persepsi itu, Majid sendiri tidak menafikannya.

Bagaimanapun katanya, beliau dimaklumkan sambutan untuk kerja


tradisi seperti mencari hasil hutan sudah semakin berkurangan terutama

di kalangan remaja dan belia Orang Asli yang telah menerima

pendidikan di sekolah.

Ditanya sama ada Orang Asli boleh berubah dan berjaya seperti kaum

lain, beliau dengan yakin berkata "pasti boleh".

"Orang Asli ini sifatnya lurus, kalau latih jadi baik, baiklah dia," katanya.

Orang Asli suku kaum Jakun, Jefferi Shariffudin Jamil, dari Kampung

Permatang Keledang, Pekan pula menyifatkan sudah sampai masanya

tembok antara masyarakat Orang Asli dan kaum lain di negara ini

dirobohkan.

Jefferi, 24, pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Universiti

Malaysia Sabah berkata, ketika ini tahap sosio-ekonomi masyarakat itu

jelas berbeza berbanding penduduk lain.

"Saya sendiri telah membuktikan Orang Asli boleh berubah dan mampu

bersaing dengan masyarakat lain," katanya yang kini merupakan

wartawan di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Pahang.

Namun, beliau berharap program pembangunan khususnya kepada pelajar dan belia dapat
dipertingkatkan lagi bagi memberi kesedaran kepada golongan itu menghadapi dunia yang semakin
mencabar.

ANAK Orang Asli - sebagai warga berstatus bumiputera - juga berhak dibela. Dalam prinsip

pendemokrasian pendidikan, mereka berhak ke sekolah dan mendapat bantuan penuh.

Persoalannya, setelah 49 tahun merdeka, kenapakah anak Orang Asli masih keberatan - atau

langsung tidak mahu ke sekolah?


Mereka tidak mahu ke sekolah ketika tiba musim panen buah-buahan. Malah masih ada yang terjajah
pemikirannya. Menurut sumber Kementerian Pelajaran, kajian mendapati, ada dalam kalangan ibu bapa
Orang Asli yang menanamkan kepercayaan bahawa sekolah tidak akan mengubah masa depan kaum
mereka.

`Sekolah' bagi mereka ialah kemahiran membezakan madu dan tuba, ketangkasan dan ketepatan

berburu dan menyumpit, dan sebagainya

Jika dipujuk pun, mungkin mereka akan datang sekejap ke sekolah. Sebahagiannya enggan

langsung.

Bukan salah anak Orang Asli jadi begitu. Hal ini kerana hutan ialah `institusi' mereka.

Seisi keluarga ialah tenaga kerja yang keluar mencari makan seharian suntuk - bukan seperti kita

yang beruntung mendapat gaji bulanan.

Kadar keciciran yang sangat tinggi dalam kalangan murid Orang Asli merupakan isu yang perlu

ditangani secara bersama dan bersemuka supaya sejajar dengan dasar pendemokrasian

pendidikan.

Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) melaporkan 34.31 peratus murid Orang Asli tercicir daripada
memasuki sekolah menengah sementara 46.28 peratus dilaporkan tidak menamatkan pendidikan
sehingga ke tingkatan lima.

Dalam kes tertentu mungkin terdapat segelintir kanak-kanak Orang Asli yang tidak dapat ke

sekolah kerana tergolong sebagi kanak-kanak berkeperluan khas.

Gandingan sikap terhadap sekolah serta kanak-kanak berkeperluan khas ini memerlukan

tindakan yang kolektif daripada beberapa jabatan.


Sehubungan itu, sepanjang minggu ini, Kementerian Pelajaran telah melaksanakan Program `Outreach'
Pendidikan Khas dan Lawatan Jawatankuasa Bertindak Bagi Menangani Isu-Isu Pendidikan Anak Orang
Asli di kawasan Chini, Pahang.

Program serampang dua mata ini membawa misi mengenal pasti kanak-kanak berkeperluan khas

dan memujuk anak Orang Asli supaya bersekolah

Pelbagai agensi kerajaan berganding bahu melaksanakan program ini - masing-masing ada

tugasan sendiri.

Melapah hati nyamuk secara saksama ini dapat mengelakkan tuduh menuduh serta kias dan pulas

pada kemudian hari.

Ada yang membawa ubat kutu, membuat pemeriksaan gigi, pergi rumah ke rumah, mendaftarkan

anak Orang Asli, memberi ceramah, menggalakkan tabungan dan sebagainya.

Memang wajar tindakan yang kolektif itu.

Fenomena kanak-kanak tercicir daripada alam persekolahan jika berlaku di Malaysia, akan

dianggap `luar biasa'.

Walau bagaimanapun, hal ini bukan mustahil kerana ada bayi baru tidak didaftarkan oleh Jabatan

Pendaftaran Negara

Malaysia telah menyediakan infrastruktur yang cukup lengkap untuk persekolahan, sehingga

kerajaan telah menetapkan Dasar Pendidikan Wajib yang berkuat kuasa mulai tahun 2003

(Seksyen 29A Akta Pendidikan 1996/ Akta 550).

Walaupun begitu, berlaku ketidakselarasan antara pendaftaran kanak-kanak ke sekolah dengan

bilangan keseluruhan kanak-kanak yang layak di negara ini.

Kementerian Pelajaran telah menyarankan Pendidikan Wajib bagi semua kanak-kanak di bawah

umur 12 tahun.

Faktor perencat dalam komuniti Orang Asli perlu dikikis kalau mahu wawasan ini dicapai.
Matlamat Kementerian Pelajaran adalah untuk menyediakan peluang pelajaran formal kepada

semua kanak-kanak, termasuk yang berada di pedalaman.

Di peringkat Kementerian Pelajaran, tanggungjawab itu diletakkan di bawah Jabatan Pendidikan

Khas.

Jabatan itu mengenal pasti, ibu bapa dan penjaga kepada kanak-kanak berpendidikan khas yang
menetap di pedalaman berkemungkinan mengalami kesukaran, atau dengan sengaja tidak mahu
mendaftarkan anak-anak mereka bersekolah oleh sebab beberapa faktor.

Antara faktornya ialah jarak antara tempat tinggal dengan sekolah yang terlalu jauh, taraf

sosioekonomi yang rendah, serta tanggapan negatif ibu bapa dan penjaga terhadap anak kurang

upaya.

Orang Asli

Org Asli boleh dibahagikan kpd 3 rumpun bangsa iaitu Senoi, Negrito dan Melayu Asli.

Dlm kesemua rumpun bangsa ini terdapat 18 jenis suku kaum. Pada tahun 1991, jumlah

org Asli seramai 83 453 org.

Pada umumnya, ekonomi majoriti org Asli masih lagi berasaskan pertanian dan bersifat

sara diri.

Dari segi agama, sebahagian besar org Asli beragama animisme.

Dari segi pendidikan, pencapaian org Asli amatlah rendah dan jauh ketinggalan

berbanding dgn pencapaian kelompok etnik lain di Malaysia

Chini mempunyai populasi kanak-kanak Orang Asli terbesar di Semenanjung Malaysia. Terdapat

lebih 300 kanak-kanak Orang asli sekitar Chini.

Menurut Kementerian pelajaran, salah satu cara mengatasi masalah berkenaan ialah memberi

definisi baru konsep persekolahan (redefine schooling), dengan mengambil kira perspektif sosio
budaya ekonomi masyarakat itu sendiri.

Cadangan redefining schooling dan lawatan kerja itu selaras dengan pendemokrasian pendidikan

dan dasar Kementerian Pelajaran di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) , iaitu

merapatkan jurang perbezaan pendidikan antara lokasi, tahap sosio ekonomi dan tahap

keupayaan murid.

Kajian dakan diadakan di SK Runchang dan SK Tasik Chini.

Orang Asli Semakin Mementingkan Pendidikan

GUA MUSANG: Orang Asli kaum Temiar di Pos Balar, Kuala Betis dekat sini semakin

mengutamakan pendidikan bagi generasi muda mereka demi menjamin kelangsungan

masyarakat mereka dan melahirkan generasi berpengetahuan.

Pendidikan kini dilihat sebagai laluan utama untuk mengekalkan identiti kaum mereka dalam

meniti arus pembangunan negara yang kian pesat.

Seorang penduduk Orang Asli di Pos Balar, Abdullah Seman, 56, berkata pendidikan menjadi kunci untuk
anak-anaknya terus mencari kehidupan yang lebih bermakna dengan punca rezeki yang lebih baik.

"Dahulu tidak ramai yang utamakan pendidikan. Bagi kami buat apa belajar sedangkan boleh

hidup dengan cara tradisional.

"Tetapi pendapatan kerja kampung tidak lagi mencukupi untuk generasi baru. Lambat-laun punca hidup
akan hilang bersama identiti kami. Jadi pendidikan adalah jalan keluar untuk generasi muda mencari
rezeki," katanya kepada Bernama.

Bagaimanapun dugaan yang dihadapi anaknya untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat

menengah menjadikan hasrat Abdullah sedikit sukar

Beliau berkata anaknya yang bersekolah menengah terpaksa tinggal di asrama di Gua Musang

yang terletak kira-kira 50 kilometer dari kampungnya.


"Sekolah rendah sudah ada di sini tetapi sekolah menengah semuanya jauh-jauh. Kami bukan

berkemampuan untuk jumpa anak kami di sana. Tetapi demi masa depan mereka apa yang boleh

kami buat," katanya.

Osman Abas, 43, berkata keperluan sekolah semakin meningkat dan pendidikan peringkat tinggi

di kawasan petempatan Orang Asli semakin diperlukan.

"Kami pun mahu anak kami maju. Kerajaan banyak tolong kami dengan memberi petempatan di sini.
Mereka juga sediakan sekolah. Tetapi sekarang kami perlukan sekolah menengah yang lebih dekat
seperti di pekan Kuala Betis," katanya.

Kuala Betis terkenal sebagai petempatan Orang Asli Temiar yang terbesar di negeri Kelantan.

Ia terletak kira-kira 30 kilometer dari bandar Gua Musang yang terkenal bagi aktiviti

pelancongan kerana adanya Gua Cha, yang merupakan antara petempatan awal manusia pada

zaman Mesolitik.

Kuala Betis kini menikmati arus pemodenan dan orang Asli tidak lagi terpinggir kerana mereka

disediakan kemudahan perumahan, sekolah, dewan masyarakat dan sebagainya

Hasrat Abdullah dan Osman tidak sia-sia kerana Kementerian Pelajaran menerima baik

permintaan mereka supaya sebuah sekolah menengah dibina di Kuala Betis.

Timbalan Menteri Pendidikan Dr Mohd Puad Zarkashi, dalam lawatannya ke Kuala Betis pada 8

Feb, berkata perkara itu akan dibawa dalam mesyuarat kementerian supaya projek terbabit

disertakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Apapun kita rasa bangga dengan minat kaum Orang Asli sejak kebelakangan ini untuk

menghantar anak ke sekolah hingga mencadangkan kepada kerajaan membina sebuah sekolah

menengah di Kampung Kuala Betis.


"Nampaknya fikiran mereka sudah banyak berubah dan kita juga dimaklumkan pelajar anak Orang Asli di
Kelantan terus bertambah setiap tahun hingga memerlukan pertambahan bilik darjah," kata Dr Mohd
Puad.

Keputusan Dr Mohd Puad itu memberikan ketenangan kepada Abdullah dan Osman kerana

sudah lama mereka dan 600 lagi anggota masyarakat di Pos Balar menanti pembinaan sekolah itu

yang jauh lebih dekat dari Gua Musang.

Ketua Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPNK)Zahari Daud

berkata beliau berbangga kerana berdasarkan laporan, pelajar anak Orang Asli semakin berminat

datang ke sekolah, dan tidak lagi pulang ke rumah semasa sesi belajar berbanding sebelum ini.

Beliau berkata perubahan ini menunjukkan bahawa minda mereka sudah terbuka dan minat

untuk belajar sebagai persediaan untuk menempuh masa depan yang mencabar.

"Soal guru, saya rasa tidak timbul masalah lagi kerana kita sudah hantar dengan cukup

khususnya membabitkan sekolah di pedalaman termasuk guru bagi subjek bahasa Inggeris,"

katanya.

Beliau berkata guru yang dihantar itu diberi elaun khas berdasar cabaran perjalanan mereka dan

banyak lagi keperluan lain yang sudah dipertimbang bagi kelayakan itu.

Selaras dengan itu, JPNKmenubuhkan jawatankuasa khas bagi memantau kemajuan dan

kecemerlangan pendidikan dalam kalangan pelajar anak Orang Asli khususnya membabitkan

semua sekolah di perkampungan kaum itu di pedalaman Hulu Kelantan.


Beliau berkata jawatankuasa itu yang turut membabitkan pegawai Jabatan Pelajaran Daerah termasuk
Gua Musang, Jeli dan Kuala Krai akan merancang program terbaik untuk kemajuan pendidikan pelajar
Orang Asli sama ada di sekolah kebangsaan atau menengah.

"Seboleh-bolehnya ada dalam kalangan mereka memperoleh kejayaan cemerlang termasuk

dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil

Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya

Pertimbangan kerajaan persekutuan bukan setakat pendidikan malah menjangkau pelbagai aspek

termasuk peruntukan RM41.4 juta pada tahun ini.

Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA) Datuk Mohd Sani Mistam berkata

peruntukan bagi melengkap perkampungan Orang Asli seluruh negara dengan pelbagai

kemudahan asas dan memberi keselesaan hidup mereka adalah termasuk membina rumah di

bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT) agar mereka tinggal tetap di

perkampungan yang disediakan kerajaan. – BERNAMA

http://www.scribd.com/doc/34767001/Pendidikan-Dlm-Kalangan-Org-Asli

You might also like