You are on page 1of 8

Fenomena Astronomi Disember 2010

Tahun Baru 1432H dan gerhana penuh Bulan Solstis

Tahun 2010 sudah hampir sampai ke penghunjungnya dan akan melabuhkan tirainya tidak

berapa lama lagi. Bagi umat Islam pula, tahun 1431Hijri turut akan menutup tirainya dan

akan melangkah masuk ke tahun baru 1432. Awal tahun 1432 Hijri akan disambut pada 7

Disember 2010. Taqwim Islam yang dikenali sebagai taqwim Hijri adalah sempena dengan

peristiwa hijrah baginda Nabi Muhammad S.A.W dari Mekah ke Madinah. Baginda

Rasulullah S.A.W tiba di Madinah pada hari Isnin 12 Rabiul Awal bersamaan 20 September

622M. Walaupun hijrah tersebut berlaku dalam Rabiul Awal tetapi tidak dijadikan sebagai

permulaan taqwim Islam. Permulaan taqwim Islam dikira bermula pada bulan Muharram

kerana bulan pertama dalam taqwim Islam ialah Muharram. Dengan demikian, 1 haribulan

Muharram tahun pertama dalam taqwim Islam bermula pada hari Jumaat, 16 Julai 622M.

Taqwim Islam adalah taqwim qamariah (lunar) yang berdasarkan pergerakan Bulan

mengelilingi Bumi. Tempoh Bulan mengelilingi Bumi satu pusingan lengkap adalah 29 hari

12 jam 44 minit 2.9 saat. Satu pusingan lengkap Bulan mengorbit Bumi dikatakan sebagai

satu bulan mengikut taqwim Islam. Bilangan hari dalam satu bulan adalah 29 hari atau 30

hari.

Dalam satu tahun mengandungi dua belas bulan, dimulai dengan bulan Muharam diikuti

dengan bulan Safar, Rabiul Awal, Rabiul Akhir, Jamadil Awal, Jamadil Akhir, Rejab,

Syaaban, Ramadhan, Syawal, Zulkaedah dan diakhiri dengan Zulhijah. Permulaan awal

bulan-bulan tersebut ditentukan berdasarkan kenampakan hilal selepas terbenam Matahari

pada penghujung bulan. Satu tahun mengandungi 354 hari bagi tahun basitah atau 355 hari

tahun kabisah(tahun lompat). Di dalam sistem taqwim Islam hari dikira bermula selepas
terbenam Matahari. Berbeza dengan taqwim Miladi, taqwim yang digunakan dalam dunia

hari ini, hari dikira bermula selepas tengah malam. Kegunaan taqwim Islam sangat berkait

rapat dengan perlaksanaan ibadat umat Islam seperti ibadat puasa, hari raya, ibadah haji,

zakat, qurban dan hari-hari kebesaran dalam Islam.

Pada 2 Disember, di langit timur di awal pagi, kita berpeluang melihat planet Zuhal, Zuhrah,

Bulan sabit tua dan bintang Spica berdekatan antara satu sama lain. Pada jam 5.00 pagi,

Bulan dan Spica berada pada altitud 19 darjah dan 15 darjah masing-masing. Bulan sabit

yang kecil pada pagi ini adalah fasa Bulan bersamaan 25 Zulhijah 1431H. Spica adalah

bintang yang paling terang dalam buruj Virgo, pada pagi ini magnitudnya adalah 0.9. Bintang

yang terang ini boleh dilihat di sebelah kiri bawah Bulan. Sudut pisahan diantara keduanya

ialah 4 darjah. Zuhal boleh dilihat terletak di kiri atas Bulan dengan sudut pisahan 9 darjah.

Zuhrah pula kelihatan seperti sebutir bintang yang sangat terang dengan magnitud -4.6

terletak di bawah Bulan. Jika dilihat dengan menggunakan teleskop kecil, Zuhrah pada pagi

ini menunjukkan fasa sabit dengan 24% dari fasa purnama.

Pada 7 Disember, semasa umat Islam menyambut tahun baru 1432H, di ufuk Barat kita akan

berpeluang melihat Bulan sabit berdekatan dengan planet Utarid jika keadaan ufuk cerah dan

tidak berawan selepas terbenam Matahari. Utarid adalah planet paling dekat dengan Matahari

dan sukar untuk melihatnya kerana hanya boleh dilihat pada waktu senja atau subuh, rendah

di ufuk barat atau timur. Kita dapat menyaksikan fenomena yang menarik ini, kedua-duanya

berhampiran pada sudut pisahan hanya 1.6 darjah. Bulan pada malam tersebut menunjukkan

fasa sabit bersamaan 2 Muharam 1432H. Ketika Matahari terbenam pada jam 6.57 petang,

Bulan dan Utarid berada pada altitud 19 darjah dari ufuk. Planet Utarid kelihatan terang

dengan magnitud -0.5 seperti bintang kecil di sebelah kiri Bulan Sabit. Kedua-dua objek ini

berdekatan dengan buruj Sagitarius. Manakala di bahagian bawah Bulan, terdapat planet

Marikh, ia kelihatan seperti bintang kecil berwarna merah. Untuk melihat planet Marikh pada
petang ini satu cabaran kerana altitudnya lebih rendah dan lebih malap dari Utarid, magnitud

kecerahannya hanya 1.3. Ketika Matahari terbenam, Marikh berada pada

altitud 13 darjah dan akan terbenam lebih dahulu dari Bulan dan Marikh pada jam 8.03

malam.

Rajah 1: Kedudukan hilal, planet Utarid dan Marikh pada petang 7 Disember 2010

Planet Musytari dan Zuhal juga turut menghiasi langit pada bulan ini. Musytari berada tinggi

di tengah langit ketika malam menjelma dan terbenam selepas tengah malam di sebelah ufuk

barat. Ia kelihatan seperti bintang yang terang sepanjang bulan ini dengan magnitud -2.6.

Manakala Zuhal kelihatan di ufuk timur sebelum subuh, ia kelihatan seperti bintang kecil

kekuningan dengan magnitud 0.85 dan boleh dilihat dengan mata kasar. Pada akhir bulan ini,

ia terbit lebih awal pada jam 1.43 pagi. Dengan menggunakan teleskop kecil kita boleh

melihat gelang Zuhal yang cukup menarik.

Pada 29-31 Disember, di langit timur sebelum subuh kita berpeluang sekali lagi melihat

planet Zuhal, Zuhrah, Bulan sabit tua dan bintang Spica akan bersusun dan berdekatan antara
satu sama lain. Pada 29 Disember, Bulan sabit berdekatan dengan Zuhal dan Spica pada sudut

pisahan 7 darjah. Pada jam 5.00 pagi, Bulan dan Zuhal berada pada altitud 48 darjah dan 47

darjah masing-masing dari ufuk. Zuhal berada di kiri Bulan manakala Spica berada di bawah

Bulan. Bulan pada pagi ini menunjukkan fasa 42 peratus bersamaan 23 Muharam 1432.

Pada penghujung dan penutup tahun ini, 31 Disember, di langit timur Bulan berada hampir

dengan bintang Zubenelgenubi dan planet Zuhrah pada sudut pisahan 4 darjah dan 10 darjah

masing-masing. Zuhrah berada dalam buruj Libra dan Zubenelgenubi adalah salah satu

bintang dalam buruj Libra dengan kecerahan pada magnitud 2.75. Pada jam 5.00 pagi, Bulan

dan Zuhrah berada pada altitud 22 darjah dan 14 darjah masing-masing. Zuhrah kelihatan

seperti satu bintang yang sangat terang dengan magnitud ketara -4.50. Zuhrah pada pagi ini

menampakkan fasa separuh (42%) jika dilihat dengan teleskop kecil. Zuhrah yang amat cerah

ini juga dikenali sebagai bintang timur atau bintang pagi.

Rajah 2: Kedudukan planet Zuhal, Zuhrah, Bulan dan bintang pada 2 Disember (kiri) dan
31 Disember (kanan).Gambar kecil menunjukkan fasa planet Zuhrah.

Matahari yang bergerak sepanjang garisan ikliptik akan mencapai titik paling selatan dari

garisan Khatulistiwa pada 21 Disember 2010. Kedudukan ini dinamakan Solstis. Pada

kedudukan ini, hemisfera selatan akan mengalami musim panas dan siangnya lebih panjang
dari malam. Manakala hemisfera utara akan mengalami musim sejuk dengan malam lebih

panjang dari siang. Matahari pada tarikh tersebut berada dalam buruj Sagittarius.

Pada tarikh tersebut juga akan berlaku gerhana penuh Bulan. Fakta yang menarik mengenai

gerhana ini ialah ia berlaku pada 15 jam sebelum berlaku Solstis dan keadaan ini jarang

berlaku. Gerhana ini boleh dilihat dari Amerika Utara, Kanada dan sebahagian dari Eropah.

Gerhana ini tidak dapat dilihat di Malaysia. Gerhana ini bermula dengan sentuhan pertama

pada jam 06:32 UT dan gerhana penuh bermula pada 07:40UT apabila Bulan berada di dalam

bayang umbra sepenuhnya. Kemuncak gerhana ini berlaku pada 8:17 UT (16:17 waktu

Malaysia) di tepat di tengah langit di lautan Pasifik. Gerhana penuh ini berakhir pada 08:54

apabila Bulan meninggalkan bayang Umbra. Gerhana penuh ini berlaku selama satu jam 13

minit. Bulan kembali kelihatan purnama seperti biasa apabila seluruh Bulan meninggalkan

bayang penumbra Bumi pada 14:08UT.

Rajah 3: Gerhana penuh Bulan

Pada bulan ini langit turut dihiasi dengan bintang, buruj dan galaksi Bima Sakti. Di langit

utara, buruj Pegasus dengan empat bintang utamanya yang membentuk segiempat masih

boleh dilihat di langit Utara pada arah barat laut. Buruj Cygnus yang menyerupai seekor
angsa dengan leher yang panjang juga telah menghampiri ufuk barat di awal bulan. Buruj

Cassiopiea menarik dan mudah dikenali kerana bentuknya seperti huruf “ W” berada di

tengah langit diawal bulan. Buruj Auriga dengan bintang Capella yang terang boleh di lihat

pada arah timur laut diawal bulan. Buruj Taurus yang terkenal dengan bintang Aldebaran

yang berwarna merah telah muncul di langit timur pada awal malam. Buruj Orion atau buruj

pemburu yang terkenal dengan tiga bintang sederet boleh dilihat dengan mudah di langit

timur pada awal bulan. Bintang Rigel dan Betelgeus dalam buruj ini juga mudah dilihat

menghiasi langit timur di awal malam.

Di langit selatan, buruj Canis Major telah muncul di ufuk timur pada awal malam. Bintang Sirius

bintang paling cerah dalam buruj ini dan di langit menghiasi malam pada bulan ini. Buruj Capricon

masih lagi menghiasi langit selatan diawal bulan. Diakhir bulan Capricon tidak lagi berada di

langit barat kerana telah terbenam lebih awal. Piscis Austrinus masih lagi berada di langit

selatan diawal bulan. Bintang Formalhaut bintang yang terang dalam buruj Piscis Austrinus

dengan magnitud 1.17 mudah untuk dikenali. Bintang Achernar yang terang yang berada di

hujung buruj Eridanus masih boleh di langit selatan pada bulan ini.

Jaluran galaksi Bima Sakti merentasi langit dari Barat-daya hingga ke Timur-laut dan boleh

dilihat dengan mata kasar sekiranya langit tidak berawan dan tiada gangguan dari cahaya

lampu atau Bulan. Ia kelihatan seperti awan nipis dan jika dilihat dengan binokular kita akan

nampak bertaburan bintang-bintang yang kelihatan amat halus.

Bagi mengenali objek-objek langit bulan ini kita boleh menggunakan peta bintang Disember

2010. Peta bintang ini menunjukkan bintang, planet, buruj, dan galaksi Bima Sakti. Fasa-fasa

bulan yang ditunjukkan merujuk kepada tarikh yang dilabelkan. Saiz bintang menunjukkan

kecerahan, bintang yang cerah ditunjukkan dengan saiz titik yang besar. Bintang yang

ditunjukkan adalah bintang-bintang yang cerah dengan magnitud kurang dari 4. Peta bintang
ini boleh digunakan untuk langit di Malaysia pada jam 10.00 malam pada awal Disember,

9.00 malam di pertengahan Disember dan 8.00 malam di akhir Disember. Planet yang

ditunjukkan untuk awal Disember.

Panduan cerapan langit malam menggunakan peta bintang;

Cerapan langit utara

 Berdiri menghadap arah Utara.


 Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label
A dan tangan kiri di label B peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas
kepala dan Utara di peta bintang sama arah dengan Utara sebenar.

Jika mencerap diawal bulan Disember, jam 10.00 malam, anda akan mendapati bintang
Aldebaran yang terang berwarna merah berada di langit timur. Cuba kenali buruj Pegasus
yang mempunyai bentuk seperti satu segiempat besar di tengah langit. Mulakan mengenali
bintang dengan bintang yang cerah dan mudah dikenali seperti Capella dan Hamal.
Seterusnya anda boleh mengenali planet, bintang dan buruj menggunakan peta bintang
tersebut.

Cerapan langit selatan

Berdiri menghadap arah selatan.

Pegang peta bintang tepat di atas kepala. Pegang dengan tangan kanan di bahagian label B

dan tangan kiri pegang di label A peta bintang. Pastikan tengah peta bintang tepat di atas

kepala dan Selatan di peta bintang sama arah dengan Selatan sebenar. Jika cerapan diawal

Disember, kita boleh melihat buruj Canis Major dan Capricon.

Cerapan langit malam perlu dilakukan pada malam yang cerah, kurang berawan atau

mendung. Hindari dari gangguan cahaya lampu dengan menutup lampu luar atau halaman.
Apabila kita berada dalam persekitaran yang gelap kita akan dapat melihat langit dengan

lebih baik. Tunggu beberapa minit sehingga mata kita dapat menyesuaikan dalam keadaan

gelap. Lebih lama kita dalam keadaan gelap lebih banyak bintang yang akan dapat di lihat.

Rajah 4: Peta Bintang Disember 2010

Disediakan oleh
Dr(H) Kassim bin Bahali
Ketua Bahagian Falak
Kompleks Falak Al-Khawarizmi
Jabatan Mufti Melaka

You might also like