You are on page 1of 16

1.

PENDAHULUAN

Nasyid merupakan cabang seni yang bersendikan Islam, kerana ia mengandungi lirik yang
merangkumi pesanan, ingatan,kisah para nabi , seruan dakwah Islamiah dan meniupkan
semangat dalam proses pembangunan bangsa dan negara.

Perkembangan nasyid yang terus mendapat tempat dihati masyarakat Islam Nusantara telah
diasaskan oleh lembaran sejarah yang terpahat usaha padu pelbagai pihak dalam memartabatkan
nasyid sebagai wadah seni yang mampu membawa misi dakwah Islamiah ke tengah masyarakat
dalam memenuhi tuntutan fitrah berhibur dalam diri manusia.

Jika diteliti perkembangan semasa, dunia hari ini diwarnai dengan hingar-bingar alunan lagu dan
irama muzik serba glamour, ini menyebabkan industri nasyid melalui satu persaingan yang
sengit untuk terus bertahan sebagai wadah penyebaran dakwah.

Kenyataan ini menuntut agar seniman nasyid terus bijaksana dalam meniti perjuangan nasyid
tanpa mengabaikan garis panduan yang telah ditetapkan oleh syarak dengan mengambilkira
sejarah perkembangan nasyid di Nusantara dan sumbangannya sebagai medium penyebaran
dakwah.

2. DEFINISI NASYID

Nasyid merupakan nyayian yang biasanya bercorak keagamaan Islam dan mengandungi kata-
kata nasihat, kisah para nabi, memuji Allah dan yang seumpamanya.[2]

Menurut Kamus Dewan ( hal: 923) Nasyid ialah lagu yang biasanya dinyayikan secara kumpulan
yang mengandungi seni kata yang berunsurkan Islam.

Hj Jalidar Abdul Rahim menjelaskan masyarakat Arab pada zaman dahulu melagukan syair yang
bertemakan Munajat dan Selawat dan kerap memilih lagu Arab Misri. Sumber maqam lagu Arab
yang digunakan untuk membaca ayat suci Al-Quran dan nyayian lain berunsurkan Islam yang
terdengar melalui nasyid dan qasidah sekarang kebanyakkanya datang daripada aliran Arab
Iraqi,Hijazi dan Misri disamping tujuh lagi maqam iaitu Banjakka, Hijaz, Musyawaraq, Ras,
Jaharka, Sika dan Dukah.[3]

Istilah nasyid menurut masyarakat Indonesia , adalah ganti dari kata qasidah sebagaimana yang
dimaklumi di daerah Sumatera dan Kalimantan. Bahkan di daerah-daerah lain ada yang
menyebutnya sebagai Tagoni, Samrahan dan sebagainya. Namun jika ditinjau dari bahasa Arab
nasyid berasal dari kata nasyada yang bermaksud membangkitkan, memberikan semangat,
meneriakkan dan lain-lain.[4]

Sesungguhnya istilah Nasyid telah muncul dalam kebudayaan Arab Islam sejak abad 3H/9M dan
terus berkembang dari masa ke semasa.[5]

3. SEJARAH PERKEMBANGAN NASYID DI NUSANTARA


Kedatangan Agama Islam ke Nusantara membawa bersama Seni dan Kebudayaan Arab yang
menarik hati masyarakat Islam khususnya pada keindahan lagu-lagu Arab yang didengar dan
diterima melalui bacaan Al-Quran dan alunan lagu Qasidah Tawasyih, Ibtihal [6] dan nasyid
serta selawat dari nuzum syair marhaban dalam memuji dan mengucapkan selawat kepada Nabi
Muhammad s.a.w.

Lagu Arab tersebut dibawa secara langsung oleh pendakwah Arab yang datang ke Nusantara
untuk mengembangkan Islam . Masyarakat Islam di Tanah Melayu telah menjadikan nasyid
Tawasyih[7], Qasidah Majrur[8] dan bacaan Rawi berzanji dan Marhaban sebagai satu kesenian
dalam setiap Majlis Perkahwinan, Majlis Khatam al-Quran, Majlis Berkhatan , Majlis
Menyambut Kelahiran Bayi dan Majlis Menyambut Maulidur Rasul S.A.W.[9]

3.1 SEJARAH PERKEMBANGAN NASYID DI INDONESIA.

Di Indonesia Qasidah Rebana telah mula berkembang di sekitar Pulau Jawa khususnya di Jakarta
dan sekitarnya selepas tumbangnnya Parti Komunis Indonesia sekitar tahun 1966/1967,
dikatakan hampir seluruh lingkungan wilayah dan kampung mempunyai kumpulan Qasidah
Rebana. Pada kebiasaanya Qasidah Rebana hanya diiringi dengan alat rebana dan tamborin.

Pada awal tahun 1970-an Qasidah Gambus mula berkembang seiring dengan Qasidah Rebana.
Qasidah Gambus diiringi dengan alat muzik yang biasanya terdiri dari Gambus, Biola, Seruling,
Gendang, Tabla dan sebagainya dan biasanya mereka membawakan lagu-lagu dakwah atau lagu
yang bertemakan keagamaan, dengan melodi dan irama ala Timur Tengah. Pada masa yang sama
juga wujud Orkes Gambus yang biasanya membawakan lagu-lagu asli Timur Tengah. [10]

Diantara Orkes Gambus yang amat terkenal pada awal tahun 70- an ialah Orkes Gambus El-
Surayya di bawah pimpinan Almarhum Prof Ahmad Baqi yang terus mengembangkan sayap seni
nasyid di sekitar Indonesia. Allahyarham Prof Ahmad Baqi yang dilahirkan pada tahun 1920
adalah tokoh terkenal yang membangunkan seni nasyid bukan sahaja di Indonesia tetapi di
Malaysia, Singapura dan Brunei Darussalam. [11]

Orkes Gambus El-Suraya yang amat terkenal dengan lagu Selimut Putih yang telah dinyayikan
oleh Ibu Atikah Rahman [12] terus mendapat tempat hingga ke hari ini kerana liriknya yang
amat menyentuh hati dan mampu menitiskan airmata bagi yang mengamatinya.

Sekitar tahun 70-an juga wujudnya kumpulan Qasidah Pop, namun ia hanya diminati oleh
golongan elit. Sementara pada pertengahan tahun 80-an perkembangan Qasidah Indonesia turut
menyaksikan Qasidah Dangdut yang telah diperkenalkan oleh kumpulan Nasidaria dari
Samarang dan pada tahun 1990 Qasidah Rebana Plus turut menyajikan lagu-lagu nasyid dengan
diiringi alat muzik seperti gitar, piano dan sebagainya disamping wujud juga Qasidah Salawatan
iaitu lagu yang berintikan selawat yang diiringi dengan instrumen muzik yang lembut seperti
nasyid yang dipopularkan oleh Hadad Alawi dan Sulis.

Muzik dan Irama nasyid terus berkembang di Indonesia dengan wujudnya Festivel Nasyid
Indonesia (FNI), Festivel Nasyid Nusantara (FNN) dan gerakkan kebangkitan nasyid Indonesia
yang digiatkan oleh Fatahillah Manajemen Indonesia(FMI)[13].
3.2 SEJARAH PERKEMBANGAN NASYID DI MALAYSIA.

Malaysia turut menerima perkembangan nasyid secara serius pada sekitar tahun 70-80 an.
Sehingga berjaya melahirkan kumpulan nasyid yang merakamkan album seperti kumpulan
nasyid Al-Jawaher yang terkenal dengan nasyid seperti Assalamuaikum, Kembara di Tanah
Gersang, Mohon Pada-Nya dan sujud pada-Nya. Selain itu terdapat juga artis-artis yang
merakamkan lagu nasyid secara solo seperti Ahmadi Hassan.

Negeri Sabah turut melalui perkembangan yang sama, di mana penghijrahan pendakwah dari
Medan Indonesia yang berkhidmat dengan Majlis Agama Islam Sabah iaitu Tuan Haji Umar
Sidik telah menubuhkan kumpulan nasyid Gelora Dakwah pada tahun 1975 dan murid
Allahyarham Prof Ahmad Baqi iaitu Tuan Haji Jalidar bin Abd Rahim telah menubuhkan
kumpulan nasyid Noor El-Kawakib pada tahun 1978 yang telah berjaya merakamkan kaset dan
piring hitam. Diantara lagu yang dimuatkan dalam album pertama kumpulan ini ialah Kekalkan
Islam di bumi bertuah, Nabi Akhir zaman, Bersatu Baru Islam Sempurna dan sebagainya. [14]

Perkembangan nasyid turut diwarnai dengan penganjuran pelbagai pertandingan nasyid sekitar
tahun 1980-an, di mana RTM turut mengendalikan pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan.
Sementara pada tahun 1991 Festivel Nasyid Kebangsaan telah diurusetiakan oleh Bahagian Hal-
Ehwal Islam (BHEAIS) Jabatan Perdana Menteri yang kini di kenali sebagai Jabatan Kemajuan
Islam Malaysia (JAKIM). JAKIM telah mengurusetiakan Festivel ini (1991-2006) sebanyak 17
kali disamping menguruskan Festivel nasyid peringkat MABIMS (ASEAN) yang diadakan di
Kuala Lumpur pada tahun 1996. Kategori nasyid yang dipertandingkan pada masa ini secara
umumnya di bahagikan kepada kategori tradisi dan moden.

Pada tahun 1997, kemunculan kumpulan nasyid kontemporari pertama di Malaysia iaitu
kumpulan Raihan merupakan perintis kepada era kegemilangan nasyid kontemporari di
Malaysia. Seiring itu, muncul pula kumpulan nasyid Rabbani, Hijjaz dan Saujana dengan bentuk
hiburan yang bermesejkan ketuhanan serta menerapkan nilai-nilai Islam yang murni bertujuan
mendidik masyarakat.

Hingga kini irama nasyid terus berkembang subur di Malaysia dengan kelahiran ramai anak-anak
muda yang terus memperjuangkan irama nasyid sebagai medium dakwah yang turut diterima
oleh masyarakat Brunei dan Singapura.

3.3 SEJARAH PERKEMBANGAN NASYID DI BRUNEI DARUSSALAM.

Sejarah perkembangan nasyid di negara Brunei Darussalam mula wujud pada tahun 80-an ,
menurut Hjh Normin Haji Mahali, Bahagian Perhubungan dan Kemajuan Islam, Kementerian
Hal-Ehwal Agama Negara Brunei. Perkembangan nasyid di negara Brunei banyak tertumpu di
sekolah- sekolah dan maktab sekitar negara Brunei.

Setakat ini Kementerian Hal-Ehwal Agama Negara Brunei tidak pernah mengendalikan Festivel
Nasyid peringkat negara. Pertandingan nasyid lebih banyak diadakan diperingkat sekolah dan
institusi pendidikan disamping peranan Radio Televisyen Brunei (RTB) untuk menyajikan lagu
nasyid kepada masyarakat Brunei Darussalam .[15]
4. SUMBANGAN NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH

Kecenderungan masyarakat pada hari ini yang gemarkan kepada hiburan perlu dipandu dengan
pengisian yang betul dan tepat dalam mengharungi arus hedonism yang terus berleluasa.

Meneliti perkara ini, nasyid dilihat amat signifikan berperanan sebagai hiburan alternatif yang
juga boleh mengajak manusia kepada kebaikan. Prof Dr Ismail al-Faruqi mengatakan, tidak
ramai umat Islam yang menyedari akan betapa pentingnya seni suara dan muzik sebagai suatu
bentuk seni yang mengungkapkan pandangan alam (world view) Islam dan tentang kemesraan
yang terdapat diantara seni tampak dan seni dengar (visual and aural arts) di dalam kebudayaan
Islam. Begitu juga tidak ramai yang sedar tentang pentingnya seni dengar digunakan untuk
tujuan-tujuan sosial dan dakwah.

Sehubungan dengan itu nasyid yang merupakan salah satu cabang ilmu handasat al-Aswat (seni
suara) dan seni dengar yang telah berkembang dengan pesatnya di Nusantara telah menjadi
medium dakwah khususnya dalam penghasilan lirik lagu yang mengandungi nilai dalam
mendidik masyarakat agar memperteguhkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah, ketaatan
kepada Rasulullah S.A.W, menginsafi kebesaran Allah, mengajak manusia menjadikan Sunnah
sebagai panduan dan meletakkan kebenaran sebagai pedoman serta kebaikan dan keindahan
wasilah dalam mencapai matlamat keredhaan Allah S.W.T.

Nasyid juga telah menjadi medium melestarikan dakwah secara berhikmah, ini selaras dengan
maksud Firman Allah dalam Surah an-Nahl ayat 135:

“ Serulah kepada jalan Tuhan-Mu dengan penuh hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah
dengan cara yang baik.”

Hikmah boleh ditafsirkan dengan kata-kata yang lembut, tidak dilakukan secara paksaan dan
tidak terkecuali daripada menggunakan kata-kata berseni dan lagu yang meruntun jiwa, yang
boleh memberikan kesan mendalam kepada jiwa manusia. Malahan, bantahan dan kritikan
sekalipun boleh disampaikan dalam bentuk seni, ini amat sinonim dengan kehidupan masyarakat
Melayu yang turut menghasilkan syair dan pantun bagi tujuan kritikan tajam.

Nasyid juga turut mengajak manusia untuk berzikir kepada Allah S.W.T di mana unsur-unsur
zikir dan doa turut menghiasi seni nasyid, disamping dijadikan sebagai kaedah yang boleh
membantu memudahkan hafalan Asmaul Husna, nama-nama nabi, sifat-sifat Allah dan Rasul-
Nya, dan nama-nama surah yang terdapat dalam Al-Quran. Seni ini juga telah dijadikan sebagai
alat bantu dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Nasyid dan Marhaban, telah menjadi aktiviti alternatif sebahagian remaja Islam masa kini,
khususnya dalam mengimarahkan masjid dan surau serta mengisi pelbagai aktiviti hidup dengan
perkara yang bermanfaat. Ini dapatkan mengelakkan remaja dari terjebak ke dalam aktiviti gejala
sosial yang kian berleluasa.

Nasyid juga telah menjadi medium penyebaran dakwah dalam dunia penyiaran, di mana lagu
nasyid telah menjadi salah satu bentuk seni hiburan yang disiarkan di kaca televisyen dan radio,
Rancangan Nasyid Minggu (NMI) ini yang diterbitkan oleh Bahagian Media Elektronik dan
Penyiaran JAKIM sejak Mac 2004 menjadi satu pendekatan kepada muda-mudi untuk memilih
hiburan yang lebih baik dan bermanfaat. Selain daripada hiburan, rancangan ini juga banyak
memaparkan petikan ayat-ayat al-Quran dan Hadith sesuai dengan tema siaran. [16]

Carta Nasyid Radio IKIM juga turut menjadi siaran hiburan pilihan sebahagian remaja Islam
masakini.

Konsert yang berintikan seni Islam seperti Nasyid juga telah dijadikan sebagai ruang kerja amal
dan dakwah secara terbuka kepada semua golongan lapisan masyarakat, usaha yang dilakukan
oleh Persatuan Penggiat Seni Nasyid Malaysia (PNI) menerusi konsert “ Thousand Faces One
Faith” yang membawa maksud “ Seribu Wajah Satu Aqidah” akan menceritakan kehidupan
warga Islam yang tergolong dari pelbagai keturunan, bangsa dan budaya.

Konsert yang akan diadakan pada 12 Ogos 2006 ini mempunyai tentatif yang amat menarik
sebagai medium dakwah. Konsert ini akan dimulakan dengan acara solat maghrib secara
berjemaah oleh semua penonton dan akan diteruskan dengan Nasyid Asmaul Husna secara koir
bersama penonton disamping itu turut disajikan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan
persembahan video yang menerapkan nilai akidah dan diiringi persembahan nasyid yang
menyentuh jiwa.[17]

Perjalanan seni nasyid nusantara tidak terlepas dari tuntutan dan tanggungjawab berdakwah pada
jalan Allah . Adalah menjadi tanggungjawab ahli seni untuk terus mengajak manusia kepada
kebaikan dengan tidak melupakan etika dan akhlak Islam yang perlu menjadi pakaian diri
sepanjang masa agar nasyid mampu menjadi agen yang mengajak manusia kepada amar ma’ruf
dan nahi mungkar.

5. KESIMPULAN

Usaha memartabatkan nasyid secara profesional dalam bentuk program pembelajaran secara
konsisten amat perlu dalam usaha melahirkan seniman nasyid yang berkaliber.

Penggiat nasyid nusantara harus mengembeleng tenaga dalam mewujudkan institusi nasyid yang
boleh melahirkan seniman nasyid seperti Prof Ahmad Baqi yang mampu menghasilkan lirik lagu
yang memberi kesan dalam mendidik jiwa berteraskan ajaran Islam .

Olahan kreatif penulisan lirik mestilah tidak meninggalkan tujuan asal nasyid, iaitu untuk
berdakwah dan memberi tarbiah Islamiah kepada pendengar samada secara langsung atau secara
tidak langsung.

Penulisan berkaitan sejarah nasyid nusantara wajar diperbanyakkan dalam mendorong peminat
dan pengamal nasyid mampu memasyarakatkan dan meneruskan kegiatan seni nasyid untuk
generasi akan datang.

Semoga perkongsian maklumat ini mampu membuka minda untuk terus memartabatkan nasyid
sebagai salah satu medium dakwah masa kini.
Sumber: www.islam.gov.my

Disediakan oleh:

Mundzir Kamal

(Pegawai Operasi I.T. Rakan Farhan)

Ada Apa Dengan Nasyid


Ini adalah entri yang penuh dengan persoalan saya terhadap nasyid. Entri seterusnya, jika saya
telah dapat erti nasyid yang sebenar, akan dikemukakan pula cadangan-cadangan supaya industri
nasyid kita berkembang luas.

Betulkan saya sekiranya tersalah. Saya cuma mahukan kepastian apa itu lagu nasyid dan apa
yang menyebabkan sesuatu lagu itu dipanggil sebagai lagu nasyid. Malah juga siapa itu penasyid
dan apa kriteria untuk jadi seorang penasyid.

Saya teringat dahulu semasa di sekolah menengah, Ketua Pelajar merampas kaset-kaset non
nasyid. Mereka kata, “Apa ini dengar lagu-lagu lagha!”

Mahu sahaja saya tanya mereka apa yang mereka faham tentang nasyid.

Kalau mereka kata lagu nasyid ini adalah lagu yang membawa mesej ketuhanan, pada masa itu
yang kerap dipasang di surau asrama adalah lagu-lagu nasyid yang berunsur cinta. Lirik yang
mesejnya lebih kuat kepada cinta sesama pasangan. Oh, dan mungkin ada satu dua baris yang
menyuruh mengingat Tuhan.

Satu dua baris daripada lebih kurang sepuluh ke atas baris yang ditambah untuk menampakkan
keislamikan. Jikalau begitu, sama sahajalah dengan lagu daripada band non nasyid.

Teringat salah satu rangkap dalam lagu Trauma oleh kumpulan Elite:

Selemah ku lemah

Daku berserah
Trauma yang ku rasakan

Hanya pada Mu Tuhan

Yang memahami

Pedih di hati

Itu pandangan saya ketika itu – ketika umur baru 16 tahun.

Sekarang masih lagi ada yang berkata kepada saya, “Azree, bulan puasa ini kurangkanlah dengar
lagu-lagu lagha.”

“Habis itu nak dengar lagu apa? Nasyid? Kalau terleka dengan nasyid, boleh jadi lagha juga,”
balas saya.

Apa Itu Nasyid

Mengikut Wikipedia, nasyid secara traditionalnya dinyanyikan secara acapella dan dimainkan
dengan sebuah daf(alat muzik). Kemudian, nasyid berkembang apabila muncul kumpulan-
kumpulan yang menggunakan bermacam instrument muzik dan mengkategorikan diri mereka
sebagai penasyid.

Daripada hanya sebuah genre sahaja, kini nasyid berkembang dan naik satu tahap. Nasyid kini
sudah mempunyai beberapa genre di bawahnya seperti Nasyid Pop, Nasyid Balada, Nasyid Pop
Rock, Nasyid Hip Hop, Nasyid Rap dan bermacam lagi. (Hoho. Ini memang saya reka sendiri)

Mungkin boleh lawan AIM(Anugerah Industri Muzik), nasyid pula boleh buat AIN(Anugerah
Industri Nasyid).

Siapa Itu Penasyid

Cuma yang merunsingkan saya bagaimana seseorang atau sesuatu kumpulan itu kita kategorikan
sebagai penasyid. Kita sedia maklum, kalau mahu jadi artis mestilah suaranya sedap. Begitu juga
dengan penasyid. Jadi apakah kriteria yang patut ada pada diri seorang penasyid?

Adakah ia dipilih berdasarkan rupa paras? Atau mungkin pakaian yang dipakai ketika membuat
persembahan? Atau memakai kopiah/serban pada cover album? Atau dari universiti atau sekolah
mana? Atau mungkin seorang yang boleh memberi ceramah di masjid-masjid atau surau-surau?
Atau tidak berjalan berdua-duaan dengan bukan muhrim?

Atau cukupkah sekadar mempunyai satu dua single atau album yang bernaung di bawah nama
nasyid?
Saya tidak mahu imej nasyid menjadi rosak disebabkan ada kes seperti penasyid berdua-duaan
dengan bukan muhrim atau penasyid daripada kumpulan ‘Matematik’(bukan nama sebenar)
rampas kekasih orang atau kumpulan nasyid berpecah belah.

Perkara ini saya tidak pasti cuma bagi saya kita perlu ada satu senarai ciri-ciri yang melayakkan
diri seseorang itu sebagai seorang artis nasyid.

Apa Beza Nasyid dengan Non Nasyid

Ini adalah persoalan yang lagi kerap bermain di minda. Ini kerana ada satu perspektif di kalangan
beberapa golongan ‘orang agama’ yang mengatakan selain dari nasyid adalah lagu lagha.
Salahkah kereta seseorang memainkan siaran Hotfm dan bukannya IKIMfm. Lalu dikatakan,
“Tidak islamiklah” atau “Cukup-cukuplah lagu lagha.”

Seperti yang saya tulis pada awal entri ini, agak susah bagi saya untuk membezakan antara lagu
nasyid dan lagu non nasyid. Sekiranya dikatakan dari segi lagu atau rentaknya, saya kira tidak
berbeza dengan lagu non nasyid.

Kalau dulu kita memahami lagu nasyid adalah lagu yang memuji Tuhan. Tapi sekarang ia
berkembang dan membawa mesej kasih sayang terhadap alam, terhadap sesama manusia,
terhadap sesama pasangan bukan muhrim dan terhadap peperangan.

Bila lagu sebegitu diterima sebagai lagu nasyid, maka definisi lama nasyid iaitu lagu bersifat
ketuhanan perlu dinilai semula.

Edry Faizal(ahli kumpulan 5forty2) memberi cadangan di facebook saya, “Mungkin kita perlu
menyenaraikan apakah ‘concept of nasyeedness‘. Sekiranya sebuah kerusi mempunyai concept
of chairness yang mana kita boleh bersetuju sesuatu objek itu kerusi, selain darinya bukan kerusi.
Maka apakah pula concept of nasyid itu sehingga kita boleh mengatakan ini nasyid dan itu
bukan.”

Apa Yang Kita Inginkan

Saya teringat ada salah seorang ahli kumpulan Hijjaz berkata apabila ditanya kenapa
mengeluarkan kumpulan nasyid baru dengan lagu bertema cinta, “Kita mahu tarik golongan lain
yang masih belum dengar lagu nasyid untuk turut meminati nasyid.”

Tetapi apa yang saya lihat lain. Beberapa rakan apabila ditanya pendapat mereka tentang nasyid,
rata-ratanya mengatakan, “Nasyid sekarang dah lain, tiada beza dengan lagu bukan nasyid.”

Setiap apa yang kita inginkan, ia memerlukan satu badan yang bertanggungjawab untuk menilai
dan memastikan kualiti nasyid dan penasyidnya.

Azree Hanifiah
14 Oktober 2009
Baytul Fareed
Nasyid kontemporari hilang arah

5/1/2007 zikir fikir.abusaif

Saya telah dijemput oleh Ketua Editor majalah Dewan Masyarakat untuk mengemukakan
pandangan tentang hala tuju nasyid masa kini. Jemputan itu diterima sehari sebelum saya
bertolak ke Ireland akhir tahun 2006 baru-baru ini. Ia merupakan tajuk yang sering hinggap di
fikiran saya. Fikiran yang semakin caca merba setiap kali cuba mengintai perkembangan ‘cabang
seni Islam’ di negara kita ini. Lebih tenang bagi saya untuk mengikuti perkembangan muzik
Islam di Ireland dan England, berbanding sentuhan anak watan sendiri yang musykil lagi
membingungkan.

Artikel telah pun disiapkan dan maklum balas awal yang saya terima, editor menyatakan bahawa
idea saya kontra dengan kebanyakan orang lain, yang ditemuramah oleh Dewan Masyarakat, dan
yang menyumbangkan artikel di bawah tajuk yang sama. Isu ini akan diterbitkan untuk majalah
Dewan Masyarakat keluaran Februari 2007 akan datang.

Sungguh jelek, apabila sebuah kumpulan nasyid “™sopan”™ semasa mengadakan konsert, telah
menyeru kepada penonton agar tidak menggunakan “˜lighter”™, kerana takut terbakar. Beliau
meminta supaya peminatnya menggunakan handphone. Mulanya sukar untuk difahami
permintaan itu, kerana siarannya hanya dengan suara di radio Islam negara kita. Rupa-rupanya,
beliau menyeru penonton agar mengangkat tangan sambil menghayun-hayunkan handphone
sebagai tradisi konsert. Lupa seketika saya kepada definisi nasyid dan tujuannya wujud di alam
ini.

Berikut adalah artikel saya yang disiarkan di dalam Majalah Dewan Masyarakat keluaran
Februari 2007, namun di sini adalah versi tanpa edit.

NASYID KONTEMPORARI HILANG ARAH?


Sedekad sudah berlalu semenjak kemunculan album pertama kumpulan nasyid Raihan “Puji-
pujian” pada tahun 1996. Ia menjadi fenomena kerana berjaya melakukan anjakan paradigma
seluruh masyarakat terhadap identiti nasyid sebagai salah satu cabang seni persembahan.
Sambutan yang diterima amat menggalakkan bahkan mengatasi populariti bintang-bintang yang
sedia ada, melalui penjualan album yang mencecah 650,000 unit dalam tempoh beberapa bulan,
dan sehingga kini mencecah lebih 1 juta. Angka ini menjadikan album “Puji-pujian” sebagai
album terbaik di sepanjang sejarah penghasilan album di negara kita dari segi penjualan rekod.

Semenjak kemunculan Raihan, pelbagai lagi kumpulan nasyid muncul. Hingga ke suatu ketika,
genre nasyid menjadi teraju utama kepada arus muzik di negara kita. Ia sama sekali telah
mengubah banyak aspek yang lazimnya dikaitkan dengan album nasyid sebelumnya. Jika
dahulu, album nasyid hanya dijual di gerai-gerai ceramah agama, toko buku Islam dan pasar-
pasar malam, kini nasyid sudah pun berjaya menempatkan diri di premis-premis penjualan album
utama, di bawah kelolaan syarikat pemasaran bertaraf antarabangsa.

Perkembangan yang dialami oleh seni nasyid di Malaysia mengalami pasang surutnya. Bukan
sahaja dari aspek penerimaan masyarakat kepada album nasyid melalui penjualan album, malah
kepelbagaian bentuk nasyid juga semakin berwarna-warni hingga timbul pelbagai persoalan di
sekitar hala tuju dan masa depan nasyid di negara kita.

Setengah dekad yang pertama semenjak kemunculan Raihan dan yang seangkatan dengannya,
nasyid dilihat sebagai suatu bentuk ekspresi seni yang mempunyai identitinya yang tersendiri.
Irama nasyid Malaysia menggabungkan elemen Timur Tengah dan Nusantara, menghasilkan
kombinasi yang indah serta menepati bahasa jiwa dan perasaan pendengarnya. Sebagaimana
lagu-lagu Islam di Turki, negara Arab, Pakistan dan Iran memakai pakaian budaya tempatan,
begitu juga di Malaysia. Nasyid Malaysia mempunyai mempunyai identiti dan membentuk genre
yang tersendiri.
Selepas menempuh perjalanan masa, unsur yang lebih asing mula menyerap masuk ke dalam
pengungkapan irama nasyid Malaysia. Jika dahulu, kebanyakan nasyid menampilkan rentak, lirik
dan persembahan yang dekat dengan kemelayuan persekitarannya, kini unsur-unsur yang
lazimnya dikaitkan dengan budaya Barat mengambil alih hingga akhirnya menghasilkan
“™nasyid kontemporari”™ yang bernada raggae, blues, hiphop dan rock.

MENCARI KELAINAN

Perubahan yang sedemikian sedemikian rupa, berlaku atas beberapa faktor. Antaranya adalah
soal desakan untuk menghasilkan kelainan. Setiap album nasyid yang mahu dipertaruhkan di
pasaran, perlu berhempas pulas memikirkan elemen baru dan unik, demi untuk menggarap
perhatian pendengar dan seterusnya diterjemahkan dalam pencapaian penjualan album yang
memberangsangkan. Unsur stereotaip pada irama nasyid, dikhuatiri akan menyulitkan
persaingan. Kelainan dan unik, adalah kunci penting untuk survival mana-mana sahaja artis di
dalam penghasilan setiap album baru mereka.

MEDIUM MESEJ ISLAM

Selain faktor desakan strategi pemasaran, nasyid tidak lari dari terus dianggap sebagai wadah
untuk mesej Islam disampaikan kepada pelbagai lapisan masyarakat. Perubahan selera
masyarakat di dalam cita rasa seni mereka, diambil oleh kumpulan-kumpulan nasyid
kontemporari sebagai faktor yang menuntut mereka agar turut berubah dan mengejar trend
masyarakat. Dengan cara itu, nasyid boleh tampil dengan imej yang lebih dekat dengan remaja.
Dalam erti kata yang lain, perubahan irama nasyid hari ini, dianggap sebagai justifikasi dakwah
yang hikmah. Apa yang dimaksudkan dengan hikmah itu adalah mengungkapkan mesej Islam
dalam bentuk yang menepati sasaran dakwah, iaitu pendengar nasyid. Nasyid kontemporari
dengan genre hiphop dan rock ditujukan sebagai dakwah kepada generasi muda yang hiphop dan
rock.

Akan tetapi, kepelbagaian irama nasyid kontemporari ini masih terus menimbulkan perbagai
persoalan yang wajar diberi perhatian. Sekurang-kurangnya terdapat dua persoalan utama yang
menuntut analisa secara mendalam iaitu:

1. Sejauh manakah nasyid di Malaysia hari ini terus relevan sebagai medium dakwah Islam
kepada masyarakat?
2. Sejauh manakah nasyid di Malaysia ini boleh menjadi sebahagian daripada apa yang
dinamakan sebagai seni bunyi dan muzik Islam?

NASYID SEBAGAI MEDIUM DAKWAH

Apabila nasyid diperkatakan sebagai medium dakwah, peranannya telah dimainkan dalam
konteks itu seawal tahun 80″™an dengan kemunculan kumpulan nasyid seperti Nadamurni yang
dahulunya bernaung di bawah pergerakan kumpulan al-Arqam. Walaupun sebahagian daripada
lagu nasyid yang dihasilkan merupakan mesej dan kepercayaan yang dipegang di dalam
perjuangan kumpulan al-Arqam itu sendiri, secara umumnya album-album Nadamurni diterima
sebagai sebahagian daripada penyumbang kepada kesedaran dan kebangkitan Islam di tahun-
tahun 80″™an dan 90″™an. Konsert-konsert nasyid Nadamurni sentiasa ditunggu-tunggu oleh
peminat. Malah di era itu, Nadamurni berupaya untuk menembusi kelab-kelab malam dan
berganding dengan penyanyi popular, membawa suara Islam ke suatu tempat yang hampir
mustahil untuk ditembusi oleh pendakwah biasa. Peranan Nadamurni yang berdakwah menerusi
nasyid, turut sama diperkayakan oleh kemunculan album-album nasyid lain seperti album Grup
Aspirasi Seni dan nasyid-nasyid Abu Ratib yang diterbitkan semula oleh Pustaka Salam. Begitu
juga dengan kemunculan kumpulan nasyid dari kalangan mahasiswa tanah air dan luar negara,
khususnya kumpulan Sinaran Azhar. Begitu juga Usrah Al-Wadi yang bernaung di bawah
Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)

Namun, skop pendengar dan peminat kepada nasyid di era ini terhad kepada pelajar-pelajar di
sekolah agama, dan mereka yang terbabit secara langsung di dalam lapangan dakwah. Nasyid di
era ini lebih berperanan sebagai hiburan alternatif bagi golongan “™agama”™ dan
“™dakwah”™. Ia bukan untuk santapan massa.

Hanya dengan kemunculan album Raihan pada tahun 1996 sahajalah, dimensi ini mengalami
perubahan dan nasyid buat pertama kalinya berpeluang muncul di media-media siar negara kita
dan sampai kepada skop pendengar dan peminat muzik yang lebih luas tanpa sempadan. Lirik
nasyid mula mengalami perubahan. Jika sebelumnya, kebanyakan nasyid memperkatakan
tentang aspek-aspek perjuangan dan jihad, malah isu-isu semasa umat Islam seperti isu Palestin,
Kashmir dan Bosnia, lirik nasyid pasca album “™Puji-pujian”™ mula terbuka kepada
memperkatakan tentang subjek yang lebih umum dan boleh dihayati oleh “™orang awam”™.

Jika nasyid didefiniskan sebagai medium dakwah, maka ia sangat bergantung kepada faktor
manusia yang membentuk nasyid itu sendiri. Rupa dan warna dakwah adalah intepretasi seorang
Da”™ie terhadap apa yang beliau sendiri faham tentang mesej agamanya.

Jika nasyid bermaksud dakwah, maka nilai dakwah itu bukan hanya pada lirik dan lagu, tetapi ia
sangat terkesan oleh apa yang ditonjolkan melalui keperibadian penyampainya.

Sama ada nasyid tradisional mahu pun yang kontemporari dengan genre hiphop dan rock, latar
belakang dan syakhsiah penasyid akan tetap menjadi sebahagian daripada penilaian masyarakat
tentang sejauh mana relevannya dakwaan nasyid itu sebagai medium dakwah.

Apabila nasyid menjinakkan dirinya kepada genre hip hop, rap pop malah rock, apakah
perubahan itu hanya membabitkan perubahan genre lagu, atau genre kehidupan penasyid itu
sendiri?

Lagu Islam yang datang dari masyarakat hip hop, berbeza dengan lagu Islam yang datang dari
masyarakat yang mengimitasi hip hop.

Penghasilan irama hip hop bagi penasyid dari kalangan kaum Muslimin Afro-Amerika di
Amerika Syarikat, Kanada dan Britain, tidak diragui bahawa mereka telah berjaya menepati
maksud hikmah di dalam dakwah. Kejayaan ini adalah dengan mengambil kira hip hop sebagai
budaya masyarakat setempat. Masyarakat Afro-Amerika berfikir dan berkomunikasi dengan
genre hip hop, rap dan raggae. Oleh yang demikian, menyampaikan mesej dakwah melalui lagu
hip hop, rap dan raggae adalah sangat menepati maksud hikmah di dalam dakwah.

Maka, penasyid seperti Mustaqim Sahir di dalam albumnya “™Upright Song”™ telah berjaya
mengungkapkan mesej Islam dengan begitu baik, menepati sasaran komuniti Afro-Amerika di
Amerika Syarikat dan dunia umumnya. Tidak ketinggalan, nama-nama seperti Native Deen,
Aashiq al-Rasul (AAR) dan Amän,

Hip hop dalam konteks ini, tidak berbeza dengan nasyid negara Arab. Penasyid Arab seperti Abu
Ratib dan Imad Rami mengekalkan genre lagu tempatan bersesuaian dengan bahasa jiwa
pendengar yang disasarkan.

Mereka ber”™cakap”™ di dalam nasyid dengan bahasa pendengar. Bukan hanya bahasa lisan,
tetapi juga bahasa pemikiran.

Hal yang sama lebih ketara apabila kita melihat kepada penyanyi genre Ilahi atau Aşık, iaitu
istilah yang ditujukan kepada nasyid-nasyid Islam yang klasik di Turki. Lebih 1/3 daripada
penduduk Turki merupakan golongan yang dekat dengan tradisi sufism, maka pengungkapan
mesej Islam di dalam irama yang mengikut disiplin Ilahi atau Aşık, lebih memudahkan
masyarakat untuk menjiwai mesej dakwah yang ingin disampaikan.

Nasyid yang terbit dengan genre budaya masyarakat setempat adalah lebih konsisten dan
seterusnya efektif di dalam melaksanakan fungsinya sebagai medium dakwah.

Akan tetapi, apabila penasyid di Malaysia mengubah cita rasa nasyid tempatan kepada irama hip
hop, R&B dan yang seumpama dengannya, sejauh manakah peralihan ini menepati maksud
dakwah?

Jika ada yang mahu mendekati remaja dengan memperkenalkan nasyid hip hop, apakah genre
hip hop di kalangan remaja kita, merupakan suatu budaya dan pemikiran, atau keseronokan dan
selera sementara yang datang dan pergi?

Jika mereka memilih hip hop kerana minat, maka tidak mungkin mereka mahu kehidupan
mereka diganggu oleh “™nasyid hip hop”™ yang mencelah.Remaja kita yang meminati hip hop,
mereka tidak sampai kepada tahap berbudaya dan berfikir secara hip hop. Ia hanya sebuah trend.

Mungkin kerana ini, “™nasyid hip hop”™ Malaysia sukar menempatkan diri sama ada di dalam
kategori nasyid, mahu pun di dalam kategori hiphop itu sendiri.

Di dalam dunia hip hop, nasyid hip hop dipersoalkan ketulennya. Apakah ia hip hop atau pseudo
hip hop?

Kita mesti bezakan di antara penyanyi hip hop yang mendapat kesedaran Islam lantas
menyatakan kesedaran itu melalui hip hopnya, berbanding dengan penyanyi nasyid yang
konservatif, mendapat “™kesedaran hip hop”™ lantas meninggalkan imej penasyidnya
dan menonjolkan perubahan dari nasyid kepada hip hop. Bukan hanya genre yang diubah,
malah syakhsiah turut menimbulkan gelisah.

Manakala di kalangan peminat nasyid yang lebih “™konservatif”™, tentunya mereka sukar
untuk menerima kehadiran nasyid sebegini. Mereka akan terus mencari nasyid sebenar!

Istilah “™nasyid sebenar”™, mengundang kita kepada persoalan kedua. Apakah maksud kepada
istilah “™nasyid sebenar”™? Bagaimanakah ia didefinisikan?

Soalan ini penting kerana jawapannya akan menentukan sama ada nasyid yang kita hasilkan di
Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai cabarang SENI atau tidak?

NASYID SEBAGAI CABANG SENI ISLAM

Apabila sesuatu hasil karya mahu diangkat sebagai cabang seni, ia mestilah terbit dari disiplin
dan dasar yang tertentu. Jika suatu bentuk cara menulis diangkat sebagai seni, maka tulisan itu
mestilah mematuhi garis panduan yang tertentu di dalam proses penulisan. Andai suatu bentuk
rekaan binaan mahu diangkat sebagai seni, sudah pasti ia direka bina berpandukan kepada ilmu
yang mendasari seni berkenaan.

Inilah yang menjadi dilema kepada nasyid di Malaysia. Apakah foundation kepada nasyid kita?
Umumnya nasyid di Malaysia berkembang tidak dalam bentuk suatu seni yang dipelajari. Malah
kemunculan kumpulan nasyid di Malaysia banyak bergantung kepada minat dan bakat menyanyi
yang ada. Akan tetapi, sejauh manakah penghasilan “™seni”™ mereka disandarkan kepada ilmu
dan disiplin?

Paling tidak, berapa ramai penasyid, sama ada penyanyinya, atau yang lebih utama para pencipta
lagu nasyid, mempunyai pengetahuan di dalam bidang muzik Islam. Mampukah mereka
membaca nota lagu?

Seni, didefinisikan oleh Brittanica Online sebagai “penggunaan skil dan imaginasi dalam
penghasilan objek, persekitaran dan pengalaman estetik (indah) yang boleh dikongsi bersama
orang lain”. Dalam erti kata yang lain, seni menuntut kepada penghasilan mutu kerja yang
indah berasaskan kepada kemahiran dan imaginasi.

Kemahiran terhadap seni muzik Islam, adalah disiplin yang telah sedia wujud di dalam tradisi
Islam. A. Shiloah di dalam artikelnya bertajuk “The Dimension of Sound” (The World of
Islam ““ diedit oleh Bernard Lewis) membayangkan bahawa disiplin seni Islam berasal usul
daripada teknik melagukan bacaan ayat-ayat suci al-Quran, laungan azan dan tradisi
fazzãziyyãt dan mawlid itu sendiri. Irama yang dialunkan mempunyai maqam yang tertentu
dan keindahan irama yang bersistem ini, dioptimumkan pula oleh pengungkapan lirik yang
indah, lazimnya menerusi syair-syair yang kaya dengan nilai estetika.

Kepatuhan terhadap disiplin seni inilah kunci kepada penghasilan seni muzik Islam yang
bermutu tinggi. Seni muzik Islam bukan sahaja mampu berperanan sebagai medium dakwah
yang berkesan, malah turut diterima sebagai sumbangan Islam kepada kesenian dan tamadun
dunia.

Malah, kehebatan seni muzik Islam diangkat lebih daripada sekadar hiburan dan santapan emosi.
Ia telah dijadikan sebagai instrumen penting kepada teknik merawat pesakit psikiatri, khususnya
di era Othmaniyyah Turki, malah seawal zaman Seljuk.

Selepas pembukaan kota Istanbul pada tahun 1453, Sultan Muhammad al-Fatih telah membuka
pusat rawatan pesakit psikiatri yang dikenali sebagai Bimarhane-i-Ebulfeth Sultan Mehmed. Di
Edirne, pusat rawatan pesakit psikiatri telah dibina sebagai sebahagian daripada kompleks
Masjid Sultan Bayazid II dan terus digunakan sehingga tahun 1915. Pesakit dirawat dengan
menggunakan teknik muzik Turki yang harmoni, di mana pemuzik akan memetik nota tertentu
dan reaksi pesakit direkod. Nota-nota muzik yang menerima reaksi pesakit akan digunakan untuk
mencipta lagu khas yang diperdengarkan kepada pesakit itu tadi dari semasa ke semasa.

Prof. Dr. Ayhan Songar yang mengkaji hal ini menegaskan bahawa, rawatan dengan
menggunakan muzik Barat yang berteraskan kepada matematik yang jumud, tidak dapat
menghasilkan kesan sebagaimana seni muzik Turki yang lebih fitrah. Ini menjadi bukti
bagaimana, ada alunan muzik yang merawat emosi, dan ada juga yang mengundang penyakit
jiwa!

Hal inilah yang sepatutnya menjadi fokus kepada penasyid yang serius mahu menyumbang
kepada pembangunan seni muzik Islam. Penyanyi nasyid kontemporari seperti seperti Sami
Yusuf, sangat memberikan penekanan kepada hal ini. Beliau mengungkapkan nasyid-nasyidnya
dengan asas ilmu seni yang tinggi. Mungkin kerana tidak mahu dibayangi oleh imej kebanyakan
nasyid semasa, beliau lebih suka dikenali sebagai “pemuzik yang berjiwa Islam dan menjadikan
Islam sebagai sumber karyanya” dan bukannya sebagai penasyid.

Sebagaimana seorang pendakwah yang menulis perlu belajar selok belok teknik penulisan yang
berkesan, atau pendakwah yang berpidato perlu belajar seni pidato yang baik, maka begitulah
juga pendakwah yang berdakwah melalui nasyid, mestilah menempuh proses yang sama,
menjadikan nasyid sebagai suatu bidang yang ada disiplin tertentu dan bukan hanya
didendangkan sesedap rasa.

Jika di negara seperti Turki, seni muzik Islam menjadi subjek yang dipelajari oleh pelajar fakulti
Teologi (Ilahiyat) secara teori dan praktikal. Maka, nasyid-nasyid mereka muncul dengan kualiti
seni yang tinggi kerana penasyid-penasyid utamanya sendiri, adalah terdiri daripada ilmuan di
dalam seni muzik Islam seperti Mehmed Emin Ay dan Mustafa Demirci. Penasyid dan peminat
nasyid, masing-masing mengangkat kualiti nasyid berasaskan kepada tradisi seni muzik Islam
yang tinggi dan “™evergreen”™.

Dari situlah, nasyid akan memperolehi definisi yang konsisten sehingga istilah “™nasyid
sebenar”™ akan mendapat maksud yang lebih jelas dan tepat.

Berbalik kepada nasyid sebagai medium dakwah, maka ia bolehlah diumpamakan sebagai iklan
bagi produk yang ingin dipasarkan. Nasyid adalah iklan yang mempromosikan Islam, Allah dan
Rasul, agar dekat, dikenali dan diterima oleh masyarakat. Maka, elemen yang perlu ditonjolkan
di dalam nasyid itu mestilah subjek dakwah yang mahu disampaikan. Sebuah iklan komersil
boleh dianggap sebagai iklan yang berjaya, jika produk yang diiklankan berjaya terjual dengan
baik. Namun, sebuah iklan tetap merupakan iklan yang gagal, jika persembahannya hanya
mempopularkan pelakon iklan, tetapi produk yang diiklankan tidak terjual. Nasyid yang hanya
tertumpu kepada penasyid dan lemah dalam pengungkapan dakwahnya, lantas gagal membentuk
trend masyarakat untuk seterusnya menerima Allah, Rasul dan Islam dalam kehidupan, adalah
nasyid yang gagal mencapai maksud.

Tegasnya, nasyid mestilah berupaya bertindak sebagai pencorak, dan bukannya tenggelam oleh
trend masyarakat yang berubah-ubah dari semasa ke semasa. Lantas nasyid hip hop dan yang
seumpama dengannya, mempunyai banyak ruang muhasabah yang perlu difikirkan bersama.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com

You might also like