You are on page 1of 2

KEWAJARAN LARANGAN PENGGUNAAN TELEFON BIMBIT DI SEKOLAH

Teknologi yang canggih telah membantu manusia untuk melaksanakan pelbagai urusan
dan menjadikan negara kita semakin maju. Ringkasnya, peralatan teknologi yang canggih
dapat membantu manusia membuat sesuatu kerja yang tidak termampu dilakukan oleh
manusia. Sehubungan itu, pelbagai alat teknologi seperti komputer, telefon bimbit, satelit
dan sebagainya telah dicipta dari semasa ke semasa untuk kemudahan kita.

Antara alat canggih yang telah dicipta oleh manusia, telefon bimbitlah yang paling biasa
digunakan. Dengan adanya telefon bimbit, kita dapat menghubungi sesiapa sahaja walau
di mana-mana pun hatta berada di tempat yang sangat jauh. Selain itu, pengendali telefon
bimbit juga memperkenalkan perkhidmatan mesej pendek. Oleh itu, kita dapat
menghantar berita dengan telefon bimbit, bukan lagi menggunakan perkhidmatan pos
yang lambat dan berkos tinggi. Perkhidmatan ini lebih menjimatkan masa dan wang. Oleh
itu, banyak orang menggunakan telefon untuk perkhidmatan ini. Selain itu, kamera serta
pemain muzik juga telah dipasangkan pada telefon bimbit. Telefon bimbit juga semakin
canggih hingga boleh melayari laman web dan juga menggunakan perkhidmatan 3G.

Kebanyakan ibu bapa membeli telefon bimbit untuk anak-anak mereka kerana mudah
dihubungi. Oleh itu, kita dapat melihat banyak murid yang mempunyai telefon bimbit
termasuklah murid-murid sekolah rendah. Setelah mempunyai telefon bimbit, mereka
dapat membuat apa-apa sahaja serta dapat pergi ke mana-mana sahaja kerana dengan
kemudahan telefon bimbit, mudah sahaja hendak menghubungi mereka. Sebagai
akibatnya, banyak murid akan membawa telefon bimbit ke sekolah walaupun tidak
dibenarkan.

Langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar di sekolah
memang tepat. Apabila pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah, mereka akan
mengakibatkan banyak masalah disiplin. Mereka akan menunjuk-nunjukkan telefon yang
dibelikan oleh ibu bapa mereka. Maka, sikap materialistik wujud dalam diri pelajar yang
masih berusia muda itu. Pelajar yang tidak mempunyai telefon bimbit juga akan berasa
tersisih kerana tidak ada teman berbual seperti kawan lain yang mempunyai telefon
bimbit. Mereka berasa rendah diri dan tidak puas hati dan akhirnya mereka mungkin
mencuri telefon bimbit orang lain. Kesannya, pihak sekolah pula terpaksa menguruskan
kes kecurian sehingga menyebabkan proses pembelajaran terganggu. Soalnya, adakah
patut kita membebankan guru dengan beban baharu, iaitu menjadi pegawai penyiasat
kecurian telefon bimbit?

Selain itu, pelajar tidak dapat menumpukan perhatian semasa guru sedang mengajar
kerana mereka akan bermain dengan telefon bimbit. Seterusnya, apabila terdapat
deringan telefon bimbit, proses pembelajaran dan pengajaran akan mengalami gangguan.
Semasa ujian, pelajar juga boleh menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej
berbentuk jawapan kepada rakan yang lain. Perkara ini adalah amat tidak berakhlak dan
tidak adil terhadap pelajar lain. Dengan telefon bimbit yang canggih, mereka dapat
mengambil gambar serta mendengar lagu kegemaran mereka. Gejala seperti ini tidak
patut berlaku di sesebuah sekolah. Selain itu, dengan menggunakan telefon bimbit,
pelajar-pelajar dapat memuat turun gambar-gambar atau klip-klip video yang tidak
senonoh. Mereka akan berkongsi gambar atau klip video tersebut dengan rakan. Maka,
pelajar akan mudah tepengaruh dengan gejala tidak sihat.

Mengikut kajian, telefon bimbit akan mengeluarkan sejenis gelombang bunyi yang akan
menjejaskan kesihatan. Tambahan pula, kini para pelajar masih dalam proses
tumbesaran. Telefon bimbit tidak sesuai digunakan oleh murid-murid yang berusia muda
kerana akan menjejaskan kesihatan mereka. Hakikat ini haruslah diberikan perhatian oleh
setiap pihak. Mencegah itu lebih daripada merawat. Janganlah apabila kesihatan sudah
terjejas, pihak lain pula dipersalahkan sedangkan mereka sudah diingatkan berkali-kali
tentang kesan gelombang telefon itu.

Tuntasnya, langkah kerajaan melarang penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar
di sekolah sememangnya merupakan langkah yang bijak. Melalui perbincangan saya di
atas, kita dapat mengetahui impak penggunaan sebuah alat yang canggih ini terhadap
para pelajar. Bagi mengelakkan perkara-perkara tersebut berlaku, adalah lebih baik para
pelajar menggunakan telefon bimbit apabila dewasa nanti kerana telefon bimbit
memerlukan kos penggunaan yang tinggi.

You might also like