You are on page 1of 11

Teknik Menghasilkan Rumusan Berkesan

TEKNIK MERUMUSKAN PETIKAN/ RENCANA 

A. MENULIS PENGENALAN: 
1. Tulis dan ubah perkataan daripada kunci kata soalan pertama sahaja. (tidak boleh ada perkataan ‘dan’
dalam pengenalan. 
2. Mengubah maksud perkataan kunci kata pertama soalan: 
* faktor = punca = sebab = penyebab = perkara yang mempengaruhi 
* langkah = inisiatif = cara = kaedah = tindakan 
* kesan = implikasi = kebaikan = keburukan = kesan positif = kesan negatif
* ciri = sifat = bentuk 
* masalah = halangan = cabaran = kekangan 

3. Contoh: 
1. Rumuskan langkah-langkah mengatasi hakisan tanah dan faedahnya kepada masyarakat. 

Pengenalan rumusan : 
Rencana membincangkan cara-cara mengatasi hakisan tanah. 

2. Buat satu rumusan tentang faktor yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar dan
implikasinya kepada pembangunan di kawasan Bandar tersebut. 

Pengenalan rumusan : 
Petikan membincangkan punca-punca yang menyebabkan berlakunya banjir kilat di kawasan Bandar. 

3. Rumuskan ciri-ciri yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang dan langkah melahirkan
pelajar cemerlang. Panjang rumusan hendaklah tidak lebih 120 patah perkataan. 

Pengenalan rumusan : 
Rencana membincangkan sifat-sifat yang terdapat di dalam diri seorang pelajar cemerlang. 

4. Baca petikan di bawah dan buat satu rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada Negara
kita dan langkah untuk memajukan sektor pertanian negara. Panjang karangan mestilah tidak melebihi
120 patah perkataan. 

Pengenalan rumusan : 
Rencana tersebut membincangkan faedah sektor pertanian kepada Negara.

5. Buat satu rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk
mencegahnya. Panjang rumusan anda hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan. 

Pengenalan rumusan : 
Rencana tersebut membincangkan kesan negatif makanan ringan kepada kanak-kanak. 

B. MENULIS ISI TERSURAT: 


1. Isi jawapan berdasarkan kunci kata soalan yang pertama. (gunakan kunci kata dalam soalan. Jangan
ubah) 
2. Isi hanya yang terdapat dalam petikan sahaja. 
3. Beri maksimum 6 isi. (Jumlah isi tersurat dan tersirat ialah 8 isi) 
4. Jika kurang isi tersurat, jangan panik. Tambah isi tersirat anda. 
5. Jika jumlah perkataan masih kurang 120 perkataan, anda digalakkan tambah isi tersurat. 
6. Pastikan maksimum 2 isi dalam satu ayat. SEBAIK-BAIKNYA 1 isi dalam I ayat. 
7. Gunakan penanda wacana untuk menggabungkan setiap ayat. 
8. Contoh penggunaan ayat: 

Contoh 1: Rumusan yang baik.(Katakanlah faktor banjir kilat) 

-Faktor utama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang tersumbat. 
-Selain itu, faktor yang lain termasuklah kurangnya kadar serapan air di kawasan bandar. 
-Sementara itu, hujan lebat yang berterusan juga turut menjadi faktor fenomena tersebut. 
-Terdapat juga faktor kurangnya sistem perangkap sampah di kawasan sungai berhampiran. 
-Di samping itu, kekurangan tumbuhan di bandar menyebabkan banjir kilat terjadi. 
-Faktor penyebab yang terakhir ialah hakisan tanah yang dihasilkan oleh pembinaan di Bandar. 

Contoh 2 : Rumusan kurang baik. (akan ditolak 1 markah bahasa) 

-Faktor pertama yang menyebabkan banjir kilat ialah keadaan longkang yang sempit. 
-Faktor kedua ialah kurangnya kadar serapan di kawasan bandar. 
-Faktor ketiga ialah hujan lebat yang berterusan di bandar. 
-Faktor keempat ialah kekurangan tumbuhan di bandar. 
-Faktor terakhir ialah hakisan tanah dari kawasan pembinaan. 

9. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang
berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan) 
Salah : Langkah mengatasinya ialah kerajaan harus menguatkuasakankan undang-undang. 
Sepatutnya : Langkah mengatasinya ialah kerajaan menguatkuasakan undang-undang. 

Salah : Selain itu, kerajaan harus mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik. 
Sepatutnya : Selain itu kerajaan mengenakan denda yang tinggi kepada pesalah trafik. 

10. Contoh : 
Contoh 1 :Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya. 

"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan
nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan
jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat. " 

Isi tersurat : 
-Faktor yang menyebabkan berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap orang ramai menjadikan jalan
raya sebagai tempat berlumba-lumba. 

Contoh 2 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi. 

"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan
turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih
mudah." 

Isi tersurat : 
- Selain itu, kesan kemajuan teknologi kepada negara ialah tugas yang dijalankan oleh orang ramai
menjadi lebih mudah. 

Contoh 3 : Rumuskan ciri-ciri tanaman kontan di negara kita dan kepentingannya. 

"Antara tanaman kontan tersebut termasuklah getah dan kelapa sawit. Tanaman ini banyak ditanam di
sini kerana tanah lateritnya yang subur. Hasil tanaman ini adalah digunakan untuk jualan yang memberi
keuntungan kepada negara." 

Isi tersurat : 
- Ciri-ciri pertanian kontan yang lain termasuklah digunakan sebagai jualan bagi memberi keuntungan
kepada negara. 

Contoh 4 : Rumuskan kesan negatif kafe siber dalam kalangan remaja dan langkah mengatasinya. 

"Umum mengetahui perkembangan kafe siber begitu pesat sehingga seperti cendawan tumbuh. Banyak
pihak berpendapat bahawa perkembangan ini amat wajar bagi meningkatkan kemajuan IT dalam
kalangan penduduk. Namun segelintir kecil menentangnya dengan alasan bahawa tempat ini akan
menjadi tempat berkembangnya gejala sosial dalam kalangan remaja. " 

Isi tersurat : 
- Kesan negatif yang terakhir ialah kafe siber akan menjadi tempat berkembangnya masalah sosial dalam
kalangan masyarakat. 

C. MENULIS ISI TERSIRAT: 


1. Berdasarkan kunci kata soalan yang kedua. 
2. Isi bahagian ini perlu anda fikir sendiri dan bukan diambil dari petikan juga. 
3. Jika isi tersirat yang anda fikirkan sudah ada dalam petikan juga, jangan ambil sebagai isi anda. 
4. Penggunaan ayat dan penanda wacana adalah sama dengan isi tersurat.
5. Jumlah minimum ialah 2 isi tetapi jika isi tersurat kurang, bahagian isi ini perlu ditambah. 
6. JANGAN gunakan perkataan ‘harus/ patut/ mesti/ wajib/ hendaklah/ wajarlah’ dan lain-lain yang
berbentuk cadangan. (Tiada markah diberi jika perkataan ini digunakan) 

7. Contoh : 
Contoh 1 : Rumuskan kesan-kesan kemajuan teknologi kepada negara dan masalah yang dihadapi. 

"Banyak kemajuan tercapai apabila manusia memperkenalkan sains dan teknologi. Pelbagai jenis ciptaan
turut dihasilkan sehingga menyebabkan tugas yang dilaksanakan oleh orang ramai menjadi lebih
mudah." 

Isi tersirat : 
- Masalah yang dihadapi dalam menyebarkan kemajuan teknologi ialah kekurangan pakar yang mampu
memberi perkhidmatan dalam bidang ini kerana masih baru di negara kita. 

Contoh 2 : Rumusan tentang kepentingan sektor pertanian kepada negara kita dan langkah untuk
memajukannya. 

Isi tersirat : 
-Langkah untuk memajukan sektor pertanian yang seterusnya ialah kerajaan memberi kemudahan
subsidi baja kepada para petani. 

Contoh 3 : Rumuskan faktor kemalangan jalan raya dan langkah mengatasinya. 

"Kemalangan jalan raya kerap berlaku di lebuh raya. Hal ini telah banyak menyebabkan kehilangan
nyawa dan kerugian harta benda. Kejadian seperti ini perlu dibendung dan sikap orang ramai menjadikan
jalan raya sebagai tempat berlumba-lumba harus disekat." 

Isi tersirat : 
- Langkah mengatasi kemalangan jalan raya yang terakhir adalah dengan menguatkuasakan undang-
undang jalan raya kepada pemandu yang menyalahi peraturan di jalan raya. 

Contoh 4 : Rumusan tentang keburukan makanan ringan kepada kanak-kanak dan cara-cara untuk
mencegahnya. 

Isi tersirat : 
- Untuk mengatasi masalah ini, langkah lain ialah ibu bapa memberi didikan agar anak-anak memilih
makanan yang seimbang. 

D. MENULIS PENUTUP / ULASAN: 


1. 3 aspek perlu ditulis iaitu: 
i. siapa bertindak ii. apa tindakan iii. tujuan tindakan 
2. Ayat mesti mengandungi perkataan berikut: 
i. Kesimpulannya / Oleh itu / Justeru / Maka / Jadi 
ii. harus / patutlah / mestilah / wajarlah / harus / patut 
iii. supaya / agar 
3. Ayat seharusnya berbunyi begini : 

Contoh 1 : 
Kesimpulannya, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan). 

Contoh 2 : 
Oleh itu, (siapa bertindak) harus (apa tindakan) agar (tujuan tindakan). 

4. Contoh jawapan ulasan rumusan anda: 


Contoh 1 : 
Rumuskan faktor penyalahgunaan dadah dan langkah membanterasnya. 

Ulasan rumusan: 
Kesimpulannya, kerajaan dan masyarakat harus berganding bahu agar masalah penyalahgunaan dadah
dapat diatasi. 

Contoh 2 : 
Buat rumusan tentang ciri makanan seimbang dan kebaikan makanan tersebut. 

Ulasan rumusan: 
Oleh itu, ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka agar bijak memilih makanan yang seimbang. 

Contoh 3 : 
Rumuskan inisiatif untuk menggalakkan pelajar membaca dan masalah yang dihadapi. 

Ulasan rumusan: 
Oleh hal yang demikian, para pelajar patut bijak memilih buku yang dibaca agar mendapat pengetahuan
yang berfaedah. 

Contoh 4 : 
Rumuskan faedah penggunaan Bahasa Inggeris dalam sains dan matematik serta permasalahannya. 

Ulasan rumusan: 
Kesimpulannya, para pelajar haruslah menggunakan bahasa Inggeris dalam pembelajaran mata
pelajaran tersebut agar mutu bahasa Inggeris mereka dapat dipertingkatkan. 

Posted by mohd nazri at 4:36 AM


Labels: Teknik rumusan

Strategi Menjawab Soalan Rumusan SPM


PETIKAN 1
Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup
berjiran dan cara-cara memupuk semangat kejiranan. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi
120 patah perkataan.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemantapan dan kutuhan hubungan dalam setiap
lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri masyarakat
yang berkualiti. Semngat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam menjana
kehidupan setempat yang aman dan harmoni.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku
pada diri kita terlbih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling mudah
memberikan petolongan pada saat kita ditimpa bencana. Pertolongan seperti inilah yang amat
diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara.
Jiran yang berbeza latar belakang pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan memberikan
manfaat yangbbesar kepada kita. Hal ini kerana mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran yang
boleh kita kongsi bersama-sama. Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu padu mampu menjamin
keselamatan setempat daripada sebarang ancaman seperti kecurian, penyalahgunaan dadah dan
budaya samseng.

Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah dengan
semangat kerjasama dan keprihatinan sesama jiran. Gejala sosial seperti khalwat, penderaan kanak-
kanak dan kes-kes jenayah dapat dibendung jika jiran memainkan peranan dan mengambil inisiatif
melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala tersebut tidak menimpa
ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum terjadi sesuatu yang buruk,
bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup dalam suasana bekerjasama dan
mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya dapat menjana program yang menyumbang
kebajikan kepada masyarakat setempat. Rahsia kejayaan program ini terletak pada persepakatan dan
persefahaman yang mantap sesama jiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada
dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.
Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran. Jiran yang baik ialah jiran yang
berjaya memupuk semangat tolenrasi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar
sesama mereka. Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit permusuhan
yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam menentukan
kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. Hanya negara yang makmur dan sejahtera sahaja
yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

(Dipetik dan diubahsuaikan daripada Kejiranan, Cara Kekalkan 


Hubungan Baik, oleh Ahmad Tarmizi Zakaria,
Utusan Malaysia, Jun 2003)

A: STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSURAT

STRATEGI 1
Baca dan fahamkan petikan rumusan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali,
· Bacaan kali pertama untuk dapatkan gambaran keseluruhan petikan.
(masa dicadangkan 2 minit)
· Bacaan kali kedua untuk dapatkan pemahaman
(masa dicadangkan 5 minit)

STRATEGI 2 :

Tentukan kata tugas dalam soalan (Fokus 1 dan Fokus 2) dan gariskan perkataan-perkataan tersebut.
· Fokus 1 = Isi tersurat
· Fokus 2 = Isi tersirat

Sebagai contoh dalam petikan contoh 1 Fokus 1 iaitu faedah-faedah hidup berjiran merupakan fokus
untuk isi tersurat manakala Fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat kejiranan pula merupakan
fokus untuk isi tersirat.

CONTOH 1

Baca petikan di bawah dengan teliti kemudian buat satu rumusan tentang faedah-faedah hidup berjiran
[ISI TERSURAT] dan cara-cara memupuk semangat kejiranan.
[ISI TERSIRAT] Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

STRATEGI 3

Baca perenggan 1 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 .
Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Kemakmuran sesebuah negara amat bergantung pada kemamtapan dan keutuhan hubungan dalam
setiap lapisan masyarakat. Hubungan yang erat antara jiran dalam masyarakat merupakan ciri
masyarakat yang berkualiti. Semangat kejiranan dapat memainkan peranan yang amat penting dalam
(menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni).
[ISI 1]

Baca perenggan 2 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 .
Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Jiran ialah orang yang tinggal paling hampir dengan tempat kediaman kita. Segala perkara yang berlaku
pada diri kita terlebih dahulu diketahui oleh jiran. Oleh itu, jiran merupakan orang yang paling (mudah
memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana) [ISI 2]. Pertolongan seperti inilah yang amat
diperlukan pada masa kecemasan sementara menunggu bantuan pihak berwajib atau sanak-saudara.
(Jiran yang berbeza latar belakang) pekerjaan, pendidikan, agama dan budaya akan (memberikan
manfaat yang besar kepada kita)[ISI 3]. Hal ini kerana (mereka memiliki pengetahuan dan kemahiran
yang boleh kita kongsi bersama-sama).[ISI 3-PILIHAN 2] Di samping itu, jiran yang sepakat dan bersatu
padu (mampu menjamin keselamatan setempat) [ISI 4] daripada sebarang ancaman seperti kecurian,
penyalahgunaan dadah dan budaya samseng.

Baca perenggan 3 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 .
Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

(Segala perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat dapat dicegah)[ISI
5] dengan semangat kerjasama dan keperihatinan seama jiran. (Gejala sosial) seperti khalwat,
penderaan kanak-kanak dan kes-kes jenayah (dapat dibendung)[ISI 6] jika jiran memainkan peranan
dan mengambil inisiatif melaporkannya kepada pihak berkuasa. Kita perlu bertindak sekalipun gejala
tersebut tidak menimpa ahli keluarga sendiri. Setiap ahli masyarakat seharusnya beringat sebelum
terjadi sesuatu yang buruk, bak kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’. Jiran yang hidup
dalam suasana bekerjasama dan mengambil berat antara satu sama lain sudah semestinya (dapat
menjana program yang menyumbang kebajikan kepada masyarakat setempat).[ISI 7] Rahsia kejayaan
program ini terletak pada persepakatan dan persefahaman yang mantap sesama jiran. 

Baca perenggan 4 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 .
Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Perpaduan ialah kunci kemakmuran dan kesejahteraan negara. Tanpa perpaduan, negara akan berada
dalam keadaan kucar-kacir dan masyarakat tidak lagi dapat hidup dalam keadaan aman dan damai.
(Perpaduan dapat dilahirkan melalui hubungan baik sesama jiran).[ISI 8] Jiran yang baik ialah jiran
yang berjaya (memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar
sesama mereka).[ISI 9] Sekiranya hal ini diabaikan, maka lambat-laun akan tercetuslah bibit-bibit
permusuhan yang akhirnya membawa kepada perbalahan dan perpecahan.

Baca perenggan 5 petikan yang diberi sekali lagi dan gariskan isi-isi tersurat untuk menjawab Fokus 1 .
Kata tugas yang diberikan dalam arahan soalan iaitu faedah-faedah hidup berjiran.

Kesimpulannya, jelaslah kepada kita betapa penting dan besarnya peranan jiran dalam (menentukan
kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara)[ISI 10] Hanya negara yang makmur dan sejahtera
sahaja yang akan dapat meneruskan agenda pembangunan yang lebih gemilang pada masa akan datang.

STRATEGI 4

Senaraikan FOKUS 1 (isi-isi tersurat) yang terdapat dalam petikan tersebut dan kira jumlah
perkataannya.

Isi Tersurat : faedah-faedah hidup berjiran

1. Dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni [ 8 ]


2. Mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana. [ 8 ]
3. Jiran yang berbeza latar belakang memberikan manfaat yang besar kepada kita. [ 11 ]
Atau
Dapat berkongsi pengetahuan dan kemahiran yang dimiliki mereka [ 8 ]
4. Mampu menjamin keselamatan setempat. [ 4 ]
5. Dapat mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat. [ 9 ]
6. Gejala sosial dapat dibendung. [4 ]
7. Dapat menjana program yang menyumbang kabijakan kepada masyarakat setempat. [ 9 ]
8. Melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 4 ]
9. Memupuk semangat toleransi, saling mempercayai dan mengamalkan perkongsian pintar sesama
mereka. [ 11 ]
10. Menentukan kemakmuran dan kesejahteraan sesebuah negara. [ 6 ]

STRATEGI 5

Tulis isi-isi tersurat tersebut menjadi sebuah perenggan yang lengkap.

PERINGATAN:
1. Maksimum isi untuk fokus 1 ialah 6 isi. Oleh itu anda tidak perlu memasukkan kesemua isi kerana
jumlah perkataan yang agak terhad. Adalah dicadangkan jumlah perkataan untuk fokus 1 ialah 60 – 65
patah perkataan
2. Anda perlu menulis kata tugas untuk Fokus 1 dalam ayat pertama perenggan isi tersurat.

CONTOH:
Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain
mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan
kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, dapat
membendung gejala sosial serta melahirkan perpaduan sesama jiran. [ 46 patah perkataan ]

B : STRATEGI MENGHASILKAN ISI TERSIRAT

STRATEGI:

1. Isi tersirat dibina berdasarkan Fokus 2 soalan. Isi ini tidak terdapat dalam petikan
yang diberikan. Contoh dalam Petikan 1 Fokus 2 ialah: cara-cara memupuk semangat
kejiranan.

2. Isi tersirat dibina melalui tafsiran dan analisis yang mendalam berdasarkan isi tersurat
dan fokus 2 dalam arahan soalan.

3. Binalah perenggan isi tersirat dengan memasukkan sekurang-kurangnya 2 isi tersirat.

4. Kata tugas untuk Fokus 2 perlu dimasukkan dalam ayat pertama perenggan isi tersirat.

STRATEGI 1
Kenal pasti dan senaraikan isi tersirat berdasarkan fokus 2 iaitu cara-cara memupuk semangat
kejiranan.

CONTOH :

1. Mengadakan majlis gotong royong / aktiviti kemasyarakatan / bersedia memberi


pertolongan / tolong menolong [ konsep: bekerjasama ]

2. Mengadakan rumah terbuka / majlis keraian / ziarah menziarahi / perihatin atau ambil
berat hal ehwal jiran / bertanya kabar / pelihara hubungan kejiranan / bertegur sapa /
saling mengenali [ konsep : Interaksi tidak formal ]

3. Membuat rondaan bersama pada waktu malam / rukun tetangga.

4. Mengadakan tabung kebajikan / kursus/ kempen kejiranan / tabung khairat .

5. Mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat / tubuhkan sektor rukun tetangga /


persatuan belia / JKKK [ Konsep : Interaksi formal ]

6. Mengadakan hari keluarga / sukaneka / riadah / pertandingan

7. Mengikis sikap negatif dalam diri individu / jangan mementingkan diri / tidak sombong /
berbaik sangka dengan jiran .

STRATEGI 2

Membina perenggan isi tersirat.

CONTOH PERENGGAN ISI TERSIRAT

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan
mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu
memupuk semangat kejiranan. [ 23 patah perkataan ]

C : STRATEGI MENGHASILKAN PENDAHULUAN RUMUSAN.

STRATEGI :

1. Fahami maksud keseluruhan petikan yang diberikan.


2. Kenal pasti fokus 1 petikan tersebut kerana berdasarkan fokus 1 itulah penfahuluan rumusan
karangan dapat kita hasilkan.
3. Anda perlu melakukan pengubahsuaian supaya ayat yang anda bina itu menjadi ayat anda sendiri.
4. Tulis pendahuluan rumusan dalam satu ayat sahaja.
5. Mulakan ayat pendahuluan dengan ; Petikan membincangkan / membicarakan …….
CONTOH PENDAHULUAN:

Fokus 1 : Faedah-faedah hidup berjiran

Pendahulaun: 
Petikan membincangkan peranan jiran dalam kehidupan bermasyarakat di negara kita.
atau
Petikan membincangkan kebaikan / kepentingan / kelebihan / manfaat / hidup berjiran dalam
masyarakat

D : STRATEGI MENGHASILKAN KESIMPULAN RUMUSAN.

1. Kaji semula fokus soalan sama ada Fokus 1 dan Fokus 2.


2. Kesimpulan rumusan hendaklah berdasarkan fokus soalan tersebut.
3. Kesimpulan merupakan cadangan / harapan anda terhadap fokus tersebut berserta kesan atau akibat
cadangan / harapan tersebut.
4. Anda juga perlu menghubungkan antara cadangan / harapan dengan kesan atau akibat cadangan
dengan menggunakan kata hubung, ‘agar, supaya, demi’.
5. Gunakan penanda wacana atau rangkai kata, frasa yang menunjukkan bahawa ayat tersebut
merupakan ayat kesimpulan.
Contoh : Kesimpulannya, ….Justeru, …

CONTOH KESIMPULAN:

1. Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat
diwujudkan

Atau

2. Justeru, semua pihak perlu menjalankan tanggung jawab mereka dalam masyarakat dengan berkesan
agar sebuah komuniti yang sejahtera dapat diwujudkan.

CONTOH PETIKAN RUMUSAN YANG LENGKAP

Petikan membincangkan kebaikan hidup berjiran dalan sesebuah masyarakat.

Antara faedah hidup berjiran ialah dapat menjana kehidupan setempat yang aman dan harmoni. Selain
mudah memberikan pertolongan pada saat kita ditimpa bencana, kita dapat berkongsi pengetahuan dan
kemahiran yang dimiliki mereka. Hidup berjiran mampu menjamin keselamatan setempat, serta dapat
membendung gejala sosial dan melahirkan perpaduan sesama jiran. Hidup berjiran juga dapat
mencegah perkara yang mencemarkan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat.

Antara cara memupuk semangat kejiranan ialah dengan mengadakan majlis gotong-royong dan
mengadakan jawatankuasa kejiranan setempat. Selain itu, budaya ziarah-menziarahi juga mampu
memupuk semangat kejiranan.

Kesimpulannya, semua pihak perlu menghargai jiran agar kehidupan yang sejahtera dapat diwujudkan.
[ 100 patah perkataan]

You might also like