You are on page 1of 6

Sakit dada biasa atau serangan jantung

Date: Monday, November 27 @ 09:43:50 MYT


Topic: Utusan Malaysia Online

Oleh: SHAFINAZ SHEIKH MAZNAN

ADAKAH tekanan tidak selesa yang anda rasai di dalam dada sepanjang
bahagian depan tubuh dari paras abdomen atas ke leher berpunca daripada
hidangan makan malam yang terlalu pedas dan berempah?

Ataupun, ia menjadi amaran bahawa anda mungkin diserang penyakit jantung?

Mengetahui tanda-tanda serangan jantung boleh membantu anda membuat


keputusan pantas – keputusan yang boleh menyelamatkan nyawa anda atau
nyawa orang tersayang.

Sama ada, ketidakselesaan tersebut merupakan sakit dada biasa yang hanya
memerlukan rawatan dalam bentuk ubat-ubatan antasid atau ia merupakan sakit
dada yang memerlukan anda berjumpa doktor dengan segera.

Namun, ada kalanya bukan mudah bagi menentukan sama ada sakit dada yang
berlaku adalah disebabkan oleh serangan jantung atau masalah-masalah lain.

Contohnya, kesakitan yang berkaitan dengan serangan jantung kerap


disalahtafsirkan dengan ketidakcernaan atau senak yang boleh dilegakan
dengan antasid sahaja.

Sebaliknya, individu yang mengadu sakit pedih hulu hati sering kali
menyangkakan ia berpunca daripada sakit jantung.

Walaupun sakit dada sinonim sebagai tanda amaran utama berlakunya serangan
jantung, berita baiknya, bukan kesemua sakit dada termasuk di dalam golongan
ini.

Malah, terdapat pelbagai masalah lain yang boleh menjadi puncanya. Ada yang
menyebabkan sedikit ketidakselesaan biasa sahaja manakala selebihnya adalah
serius dan mengancam nyawa.

Apa-apa jua organ mahupun tisu di dalam dada anda boleh menjadi punca
kesakitan dari jantung ke paru-paru, esofagus, otot-otot, tulang rusuk, tendon,
hinggalah ke saraf dan kulit.
Contohnya, jika sakit dada meningkat apabila anda menekan hujung jari pada
bahagian yang sakit, ia mungkin menandakan ketegangan otot, ligamen atau
mungkin juga tulang rusuk yang patah.

Keradangan rawan di dalam tulang dada, satu keadaan yang dikenali sebagai
costochondritis (sakit sendi rusuk) juga boleh mencetuskan sensasi sakit.
Kesakitan dinding dada lazimnya mengambil masa beberapa hari sahaja dan
boleh dilegakan dengan aspirin atau ibuprofen.

Sakit yang menyucuk-nyucuk selama beberapa saat pada penghujung nafas


yang dalam lazimnya tidak membimbangkan. Hiperventilasi atau pernafasan
pada kadar yang terlalu cepat semasa rehat juga boleh menyebabkan sakit dada.

Lain-lain penyebab sakit dada termasuklah pleurisi iaitu keradangan di


sekeliling membran paru-paru dan, radang paru-paru (pneumonia). Kedua-
duanya boleh menjadi bertambah teruk ketika batuk. Kayap juga boleh
menyebabkan sakit yang terasa menusuk, panas terbakar atau digigit, seperti
getah yang diikat ketat pada dada.

Kudis atau ulser pada lapisan perut atau usus kecil selalunya menyebabkan
kesakitan di bawah tulang dada yang semakin teruk semasa perut kosong
manakala pedih hulu hati di mana asid perut bergerak songsang ke atas
memasuki esofagus atau, senak juga boleh menyebabkan sakit dada.

Batu karang boleh mendatangkan kesakitan di sebelah kanan dada atau sekitar
bahu yang bertambah mudarat selepas makan terutamanya makanan berlemak
atau, pada tengah malam.

Sementara itu, mereka yang mengadu sakit dada tetapi tidak menunjukkan
sebarang punca fizikal sering kali mendapat markah yang tinggi menerusi ujian
bagi darah gemuruh atau panik.

Dalam kes-kes yang jarang berlaku, kanser yang melibatkan bahagian dada
atau yang sudah merebak boleh menyebab sakit dada manakala di kalangan
kanak-kanak, kebanyakan sakit dada tidak berkaitan dengan jantung.

Jadi, apakah perbezaannya dan bagaimana pula untuk menentukannya? Pakar


Runding Kardiologi, Hospital Pakar Putra, Melaka, Datuk Dr. Nor Izham Aziz
mempunyai butiran lanjut.
“Seseorang itu dikatakan mendapat serangan jantung apabila otot jantungnya
tidak mendapat bekalan darah yang mencukupi disebabkan oleh arteri koronari
menjadi sempit.

“Ia juga boleh terjadi apabila bekalan tersebut terputus sama sekali
mengakibatkan sebahagian daripada otot itu telah mati atau mengalami
nekrosis dan gagal berfungsi,’’ ujar beliau.

Menurutnya, ini terjadi apabila berlakunya pengumpulan sejenis lemak atau


plak yang melekat pada dinding saluran darah yang lamakelamaan menyempit
atau menyekat pengaliran darah ke jantung.

Apabila ini berlaku, serangan awal jantung bermula. Tanda-tanda serangan


jantung ini berpanjangan lebih daripada 15 minit. Serangan jantung ini
mungkin berkurangan atau berhenti seketika dan kemudian berulang semula.

“Sakit dada yang disebabkan oleh penyakit jantung biasanya menyerang di


antara 10 minit hingga setengah jam. Kadangkala, kesakitan itu berpanjangan
sehingga berjam-jam lamanya kalau tidak dirawat.

“Ia mungkin disebabkan oleh aktiviti atau emosi yang kuat atau boleh juga
menyerang tanpa perlu ada sebab-sebabnya yang tertentu,’’ kata Dr. Nor
Izham.

Sakit jantung biasanya terasa amat mencengkam dan menyucuk-nyucuk di


bahagian dada terutamanya di tengah-tengah dan sebelah kiri dada.

Kemudian, sakit ini menular ke anggota lengan, leher dan dagu yang selalunya
disangka sakit gigi, menjalar ke bahagian belakang dan perut (pesakit mungkin
menyangka ia sakit gastrik).

Lain-lain gejala serangan jantung termasuklah sesak nafas, keletihan, badan


berpeluh dan kadangkala terasa loya, jantung berdebar dan pitam.

Dr. Nor Izham memberitahu, kebanyakan mereka yang mendapat serangan


jantung tidak merasakan yang mereka sedang mengalami masalah tersebut dan
sekadar menganggapnya sebagai kesakitan yang tidak merbahaya.

“Jika ada faktor-faktor risiko seperti kencing manis, darah tinggi atau tahap
kolesterol tinggi, kemungkinan sakit jantung lebih adalah tinggi.
“Kadangkala, doktor sendiri sukar untuk menentukan sama ada seseorang
pesakit itu diserang penyakit jantung atau lain-lain punca,’’ ujarnya.

Tambah beliau, biasanya keadaan ini dipanggil sakit dada atipikal yang
memerlukan penyiasatan lanjut seperti elektrokardiogram (EKG) di mana
kejadian elektrik jantung dirakamkan di atas jalur kertas yang bergerak. Lain-
lain penyiasatan termasuklah ujian darah troponin.

“Sentiasalah menyimpan ubat aspirin di rumah atau pejabat untuk digunakan


semasa serangan jantung berlaku,’’ saran beliau.

Kadang-kadang, jelas Dr. Nor Izham lagi, pesakit tidak merasakan sakit dada
(infark senyap) disebabkan oleh penyakit kencing manis yang merosakkan
saraf (neuropati autoimun). Bagaimanapun, simptom-simptom lain seperti
sesak nafas dan berpeluh masih ada.

Infark merupakan suatu tisu mati pada kawasan kecil setempat yang terjadi
akibat bekalan darah yang tidak mencukupi. Infark senyap adalah lebih
berbahaya kerana tidak terasa dan oleh itu, tidak diberikan rawatan.

Justeru, walau apa pun kesakitan dada yang anda alami, ia tidak boleh
dibiarkan begitu sahaja. Menunggu terlalu lama sebelum mendapatkan rawatan
boleh menyebabkan kematian dan kerosakan yang kekal pada jantung yang
boleh menjejaskan kualiti hidup anda.

Sebab-sebab lain sakit dada

* Masalah sistem penghadaman seperti gastrik, ulser perut, penyakit pundi


hempedu, batu karang, senak, pedih hulu hati atau refluks gastroesofageal
(GERD)

* Sakit sendi rusuk (Costochondritis)

Saraf (Spondilosis Servikal, berkaitan tulang belakang)

* Pneumonia, darah beku ke paru-paru (embolism pulmonari), udara dalam


kaviti pleura akibat lubang pada permukaan paru-paru atau dinding dada yang
menyebabkan paru-paru jatuh (pneumotoraks) dan pleurisi.

Dalam kes-kes sebegini, sakit dada selalunya bertambah buruk jika anda
menarik nafas dalam-dalam atau batuk dan selalunya terasa menyucuk dan
mendadak.

* Asma yang diiringi dengan nafas tercungap-cungap, ronkus (bunyi


pernafasan bernada rendah) dan batuk

* Darah gemuruh, panik dan hiperventilasi.

Jika sakit kuat atau ada gejala-gejala lain seperti sesak nafas dan berpeluh,
segeralah berjumpa doktor.

Diagnosis

* Ujian stres

* Imbasan ekokardiogram

* Angiogram iaitu pemeriksaan pembuluh darah melalui sinar X.

Rawatan

* Pil Aspirin

* Pil Plavix

* Pil glyceryl trinitrate (GTN) yang diletakkan di bawah lidah

* Suntikan streptokinase untuk mencairkan darah beku pada saluran jantung

* Pembedahan belon angioplasti boleh dilakukan bagi mengembangkan saluran


darah yang sempit atau tersumbat

Pencegahan

* Jangan merokok

* Ambil pemakanan atau diet sihat

* Amalkan senaman, gaya hidup sihat

* Kawal berat badan


* Kawal tekanan darah tinggi

* Kawal tahap kolesterol darah

* Kawal penyakit kencing manis

* Uruskan stres atau tekanan mental dengan baik

* Lakukan pemeriksaan perubatan tahunan termasuk EKG dan ujian stres bagi
mereka yang berumur 45 tahun ke atas

Sumber: Utusan Malaysia Online

You might also like