You are on page 1of 1

Sejarah Daerah Besut - Besut di bawah pemerintahan British dan Jepun

Berikutan kemangkatan Tengku Ngah, Besut ditadbir oleh Pesuruhjaya iaitu wakil kepada Sultan
di Kuala Terengganu. Bermula dari sini, kedudukan Besut sebagai sebuah negeri telah berakhir.
Sultan telah melantik Tengku Long atau gelarannya Tengku Seri Indera Segera sebagai
Pesuruhjaya Besut. Kemangkatan Tengku Long pada 1909 telah menyebabkan Besut ditadbir
secara terus oleh Terengganu. Setelah berlaku Perjanjian Bangkok pada 1909 antara British
dengan Siam, negeri-negeri utara Persekutuan Tanah Melayu jatuh sebagai tanah jajahan British.
Sebagai sebuah daerah dalam Terengganu, Besut turut menerima perubahan dimana Kerajaan
British menghantar Penasihat kepada Sultan dalam segala urusan pentadbiran kecuali adat resam
dan agama Islam.

Pada tahun 1910, kebakaran besar telah berlaku dan memusnahkan sama sekali Kota Palembang.
Ini menyebabkan penduduk-penduduk berpindah ke Kampung Raja dan lain-lain kawasan
berhampiran. Keturunan raja tidak lagi mempunyai kuasa dan kebanyakannya masih lagi
menetap di Kampung Raja sehingga sekarang.

Semasa pemerintahan Jepun, Besut ditadbirkan oleh Wakil Gabenor Jepun di Kuala Terengganu
iaitu Mr. Aratake. Sistem Pesuruhjaya masih diteruskan oleh Jepun dimana Tuan Haji Wan Long
(Datuk Sangsura Pahlawan) menjadi Pesuruhjaya Besut semasa pemerintahan Jepun. Tuan Haji
Wan Long kemudiannya digantikan oleh Tengku Seri Akar. Semasa beliau mentadbir, berlaku
penyerahan Besut kepada Siam dan seterusnya kekalahan Jepun. Besut kemudiannya
dikembalikan semula di bawah pentadbiran British.

Kerajaan Bristish telah menghapuskan jawatan Pesuruhjaya dan meletakkan Besut di bawah
pentadbiran Deputy Resident Commisioner. Orang pertama yang memegang jawatan itu ialah
anak tempatan iaitu Encik Abd. Aziz bin Hussin. Hanya tiga orang yang sempat memegang
jawatan itu termasuk Dato' Haji Kamaruddin bin Haji Idris yang kemudiannya dilantik sebagai
Menteri Besar Terengganu.

Dari tahun 1947 hingga 1957, pentadbiran Besut diletakkan di bawah Pegawai Pentadbiran
(Administrative Officer). Orang pertama memegang jawatan itu ialah Mr. C.C.Mowat dan yang
terakhir Encik Ab. Rahman bin Mat.

Selepas itu sistem Pegawai Daerah diperkenalkan bermula dengan seorang Pegawai British
bernama Mr. L.M.Edye menjadi Pegawai Daerah Besut yang pertama diikuti oleh Encik Mustafa
bin Abdul Jamal. Semasa Encik Mustafa menjadi Pegawai Daerah, Persekutuan Tanah Melayu
mencapai kemerdekaan. Di Besut, upacara bersejarah ini diadakan di Padang Bola Kampung
Raja. Pengisytiharan Kemerdekaan dibaca oleh En. Ismail bin Yusof (Dato' Bentara Luar)
seorang Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu.

sumber: www.pulauperhentian.com.my

You might also like