You are on page 1of 3

Ruang niaga untuk Orang Asli

Oleh Mohamed Farid Noh


mfarid@bharian.com.my
2010/08/01
KKLW bina Kompleks Perniagaan Barangan Terpakai RM3.2j di Rengit 

BATU PAHAT: Selepas 25 tahun berniaga di tapak perniagaan sempit serta tidak terurus yang
dibina daripada papan, nasib 40 peniaga barangan terpakai dari kalangan Orang Asli di Kampung
Bumiputera Dalam, Rengit di sini, akhirnya terbela apabila kerajaan memberikan lot perniagaan
lebih selesa tidak jauh dari lokasi asal.
Usaha keras mereka membangunkan ekonomi masyarakat Orang Asli di situ mendapat
pengiktirafan apabila Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan
kerjasama kerajaan negeri, membina Kompleks Perniagaan Barangan Terpakai Kampung
Bumiputera Dalam Rengit di kawasan seluas 0.9 hektar khusus untuk menempatkan mereka
dengan kos RM3.2 juta.
Ketua Masyarakat Orang Asli serta Penghulu Kampung Bumiputera Dalam, Sirun Bongsu,
berkata sejak 25 tahun lalu peniaga barangan terpakai daripada beberapa generasi penduduk di
situ terpaksa mengharungi pelbagai dugaan bagi menjalankan perniagaan mereka. 

Beliau berkata, pada mulanya hanya kira-kira 10 usahawan Orang Asli menjalankan perniagaan
di situ namun apabila lokasi berke-naan mula dikenali ramai dan mendapat sambutan, bilangan
peniaga turut bertambah hingga 65 peniaga. 

“Ketika mula menjalankan perniagaan kebanyakan peniaga Orang Asli sukar mencari makan
kerana menjual barangan terpakai, konsep yang agak baru di sini ketika itu. Malah, jumlah
peniaga dan pelanggan boleh dikira,” katanya. 

Bagaimanapun, selepas kira-kira 10 tahun lalu, sambutan orang ramai bertukar dan kini jumlah
pelanggan terlalu ramai hingga peniaga tidak menang tangan melayan pelanggan terutama
hujung minggu dan cuti umum, berikutan kualiti barangan terpakai yang sememangnya diakui
seperti baru kerana menjalani proses baik pulih terlebih dulu sebelum dijual. 
“Sejajar dengan populariti perniagaan di sini yang sudah menjadi identiti Rengit sebagai hab
barangan terpakai, langkah kerajaan membina kompleks perniagaan serta bangunan yang lebih
besar, bersih dengan kemudahan tempat meletak kenderaan yang luas, amatlah bertepatan serta
dialu-alukan masyarakat Orang Asli di sini. 

“Semua 40 bangunan lama (peniaga yang dipindahkan) akan dirobohkan bagi membolehkan
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mendalamkan sungai di hadapan kompleks ini bagi
mengelak banjir, manakala pihak berkuasa tempatan (PBT) turut akan membuat landskap bagi
menceriakan kawasan itu,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian dan penyerahan
kunci 40 unit lot niaga kepada usahawan Orang Asli, di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit,
dekat sini, Khamis lalu. 
Penyerahan kunci dan majlis perasmian bangunan lot perniagaan baru berkenaan disempurnakan
Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan turut dihadiri
kira-kira 300 masyarakat Orang Asli setempat. 

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Luar Bandar dan Wilayah, Kesenian, Kebudayaan dan
Warisan Johor, Asiah Md Ariff; Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan
Wilayah, Datuk Abd Jabar Che Nai dan Ketua Pengarah Jabatan Hal-Ehwal Orang Asli
(JHEOA), Datuk Mohd Sani Mistam. 

Siti Zubaidah Siron, 37, yang sudah berniaga barangan terpakai di situ sejak 10 tahun lalu
berkata, sebelum kompleks berkenaan dibina, pelanggannya selalu merungut kerana sukar
mengunjungi kedainya berikutan jalan yang sempit dan kawasan parkir yang amat terhad. 

“Keadaan menjadi lebih tidak terkawal dan sesak jika peniaga memunggah barang baru di kedai
masing-masing sudah pasti berlaku kesesakan lalu lintas kerana lori diletak di jalan raya yang
sempit berikutan ketiadaan tempat letak kenderaan. 

“Bagaimanapun, apabila kerajaan membina pusat perniagaan ini dilengkapi tempat meletak
kenderaan, kami percaya masalah itu bakal selesai selama-lamanya,” katanya. 

Asmawi Alimat, 32, berkata beliau mempunyai perancangan untuk memperluaskan lagi
perniagaan barang terpakainya termasuk membekalkan secara terus kepada pelanggan tetapnya
terutama di Thailand. 

“Saya sudah tujuh tahun berniaga barangan terpakai di lokasi yang sempit serta tidak selesa, jadi
peluang yang diberikan KKLW menerusi lot perniagaan lebih selesa ini membolehkan saya
meningkatkan lagi perniagaan seterusnya meluaskan pasaran seperti disarankan kerajaan. 

“Hari ini saya amat bersyukur kerana impian saya serta pelanggan tetap saya kini menjadi
kenyataan dengan tersergamnya Kompleks Perniagaan Barangan Terpakai Kampung Bumiputera
Dalam yang indah ini,” katanya. 

Sementara itu, seorang lagi usahawan orang Asli, Zabedah Abdul Rashid, 29, berkata
kepercayaan yang diberikan kementerian menunjukkan komitmen kerajaan dalam
membangunkan ekonomi masyarakatnya terutama di kalangan generasi muda. 

“Alhamdulillah, kerajaan amat peka dengan masa depan dan pembangunan ekonomi kami,
Orang Asli di sini terutama di kalangan generasi muda seperti saya yang amat memerlukan
peluang sebegini,” katanya. 
Sementara itu, Shafie berkata, 40 usahawan Orang Asli yang menjalankan perniagaan barang
terpakai di Kampung Bumiputera Dalam, Rengit dekat sini menerima kunci lot perniagaan baru
mereka di situ yang lebih selesa, tersusun dan kemas selepas 25 tahun menjalankan perniagaan di
lot perniagaan kayu. 

Lot perniagaan serta bengkel berkenaan dibina menggunakan peruntukan RM3.2 juta sejak
September 2009 adalah perkongsian pintar antara KKLW dengan kerajaan negeri Johor yang
menyediakan tanah seluas 0.9 hektar untuk tapak premis perniagaan berkenaan. 

Beliau berkata pembinaan lot perniagaan baru itu bertujuan memberi lebih keselesaan kepada
usahawan Orang Asli di samping memudahkan pengunjung datang membeli-belah. 

“Saya berharap bahawa perniagaan terpakai di sini akan terus maju dan terus dipertingkatkan
lagi kerana ia bukan saja mampu meningkatkan peluang perniagaan yang lebih luas serta
menjadi mercu tanda baru yang menjadi tumpuan pembeli dan pelancong, malah memberi
gambaran baik kepada masyarakat Orang Asli negara sehingga ke peringkat global,” katanya. 

Usahawan Orang Asli berkenaan berniaga barangan terpakai seperti perabot, perkakasan elektrik
dan elektronik yang diimport dari Singapura sudah memulakan perniagaan di situ sejak 1985 lagi
dan mendapat sambutan menggalakkan daripada pembeli borong daripada Kelantan, Terengganu
dan Pahang. 

Mohd Shafie berkata, pihaknya juga akan meneliti permohonan beberapa lagi usahawan Orang
Asli di situ supaya menambah lot perniagaan di lokasi sama. 

You might also like