You are on page 1of 12

1

PENGGUNAAN KOMUNIKASI AUGMENTATIF DAN ALTERNATIF DALAM


PERSEKITARAN MURID BERMASALAH PEMBELAJARAN
TANPA KOMUNIKASI

NOOR AINI AHMAD


Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Khas
Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia
Universiti Pendidikan Sultan Idris
noor.aini@fppm.upsi.edu.my
05 4505094

ABSTRAK
Komunikasi augmentatif dan alternatif biasa digunakan untuk membantu murid-murid
bermasalah pembelajaran berinteraksi dengan persekitaran masing-masing. Kertas penyelidikan
ini bertujuan untuk mengenal pasti bahan pengajaran yang boleh dibangunkan bagi pengajaran
kemahiran bahasa mengikut tahap kefungsian murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa
komunikasi. Satu kajian kualitatif dijalankan secara pemerhatian di dalam sebuah bilik darjah
yang menempatkan sekumpulan murid bermasalah pembelajaran teruk selama enam bulan untuk
melihat proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran bahasa. Data juga dikumpul
menggunakan temu bual dan penganalisisan bukti dokumen. Kertas penyelidikan ini berfokus
kepada pembinaan inventori perkataan berfungsi dalam persekitaran kantin sekolah. Dapatan
kajian menunjukkan murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi diajar
menggunakan bahasa isyarat dan kad gambar. Dapatan kajian juga menunjukkan guru-guru
Pendidikan Khas yang mengajar dalam Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah
Pembelajaran kurang terdedah dengan sistem komunikasi augmentatif dan alternatif. Pengkaji
mencadangkan penggunaan inventori perkataan berfungsi mengikut persekitaran, kurikulum
personal dan bahan bantu mengajar berteknologi rendah seperti kad gambar apabila guru
mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi. Cadangan ini diharap
dapat membantu murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi membeli
makanan dengan bantuan minima daripada guru dan rakan-rakan.

PENGENALAN

Peristiwa yang signifikan kepada murid-murid bermasalah pembelajaran teruk termasuk interaksi
dengan orang dalam persekitaran mereka tentu sekali sukar untuk diperkatakan memandangkan
kemahiran prapertuturan kurang dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Walaubagaimanapun ini tidak bermakna kehadiran mereka sebagai murid-murid golongan
minoriti dalam sistem persekolahan dipandang sepi. Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya
2007 (Malaysia 2007), suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, perlindungan,
rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan orang kurang upaya, penubuhan Majlis Kebangsaan
bagi Orang Kurang Upaya, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Tafsiran Rang
Undang-undang Orang Kurang Upaya 2007 ada menyebut bahawa bahasa termasuk bahasa
pertuturan dan isyarat, Bahasa Isyarat Malaysia dan bentuk bahasa bukan pertuturan lain.
Komunikasi diertikan sebagai bahasa, paparan teks, Braille, bahasa sentuh, cetak besar, isyarat,
multimedia boleh akses dan juga cara serta format komunikasi secara bertulis, audio, bahasa
2

mudah, jurubaca serta kaedah augmentatif dan alternatif, termasuk maklumat boleh akses dan
teknologi maklumat. Tafsiran habilitasi merujuk kepada proses yang bertujuan untuk
membolehkan orang yang dilahirkan dengan ketidakupayaan mencapai serta mengekalkan
sepenuhnya keupayaan fizikal, mental, sosial dan vokasional serta penglibatan dan penyertaan
penuh mereka dalam semua aspek kehidupan. Rehabilitasi pula merujuk kepada proses yang
bertujuan untuk membolehkan orang kurang upaya mencapai dan mengekalkan sepenuhnya
keupayaan fizikal, mental, sosial dan vokasional serta penglibatan dan penyertaan penuh mereka
dalam semua aspek kehidupan.

Subseksyen 33 (1) dalam Bab Dua dalam akta yang sama berkaitan habilitasi dan
rehabilitasi menyebut bahawa Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya, penyedia
perkhidmatan jagaan kesihatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah mengambil
langkah yang berkesan dan sesuai untuk membolehkan orang kurang upaya mencapai dan
mengekalkan keupayaan berdikari yang maksimum dan penyertaan sepenuhnya dalam semua
aspek kehidupan. Bagi maksud subseksyen 33 (1) Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya
2007, semua pihak bertanggungjawab hendaklah menganjurkan, mengukuh, memperluaskan
perkhidmatan serta program habilitasi dan rehabilitasi yang komprehensif seperti dalam bidang
pendidikan, pekerjaan, penilaian pelbagai bidang mengenai keperluan dan kekuatan individu.

Rentetan daripada peluang pendidikan yang dibuka luas kepada murid-murid bermasalah
pembelajaran teruk, kemahiran prapertuturan wajar diangkat sebagai salah satu daripada
kemahiran bahasa bagi memastikan murid-murid bermasalah pembelajaran teruk mendapat
manfaat daripada sistem pendidikan yang diikuti. Kajian Nyland (2009) berkaitan pengalaman
berbahasa bagi kanak-kanak prapertuturan di Australia mendapati bahawa persekitaran
memainkan peranan penting dalam komunikasi. Anderson (2006) menjalankan kajian yang
bertujuan untuk melihat interaksi komunikasi antara guru dan kanak-kanak di peringkat awal
perkembangan bahasa. Anderson menyatakan pada peringkat ini, kaedah tambahan untuk
mengukur perkembangan bahasa kanak-kanak ialah menerusi strategi pengajaran yang
menyokong komunikasi. Anderson juga mencadangkan supaya guru mengembangkan fungsi
komunikasi yang biasa mereka gunakan.

Semakin banyak kajian dijalankan berkaitan pengalaman hidup individu kurang upaya
dan keluarga mereka (Mirfin-Veitch et al. 2003 dan Todd et al. 2004). Grove (2007) mendapati
bahawa individu bermasalah teruk dan pelbagai menunjukkan kegembiraan mereka menerusi
vokalisasi tingkah laku tanpa pertuturan. Kemahuan dan keperluan individu bermasalah teruk
dan pelbagai hanya boleh dicapai menerusi interpretasi, sokongan dan bimbingan. Seung-Hyun
Son et al. (2006) menjalankan kajian perbandingan bagi melihat sejauh mana persamaan dan
keutamaan dua sistem dalam komunikasi augmentatif dan alternatif, iaitu pertukaran gambar dan
alat komunikasi bersuara. Tiga orang kanak-kanak prasekolah yang menunjukkan ciri autisma
dan tidak pernah diajar secara komunikasi augmentatif dan alternatif dipilih sebagai peserta
kajian. Kajian dijalankan di dapur rumah peserta kajian di mana dua jenis makanan snek
kegemaran mereka dikenalpasti dalam prosedur penilaian. Peserta kajian menjalani tiga fasa,
iaitu fasa asas, intervensi dan akhir. Dapatan kajian menunjukkan dua orang peserta kajian lebih
konsisten menggunakan sistem pertukaran gambar manakala seorang peserta kajian memberi
3

keutamaan menggunakan sistem komunikasi bersuara. Ini menunjukkan kedua-dua sistem perlu
diberi pertimbangan apabila menggunakan komunikasi augmentatif dan alternatif.

Memandangkan murid-murid bermasalah pembelajaran teruk menghadapi pelbagai


ketidakupayaan yang menghalang mereka daripada menyertai interaksi bersemuka secara
spontan, maka pemilihan perkataan yang paling kerap digunakan atau berfungsi dalam
persekitaran masing-masing perlu diberi perhatian. Anderson (2006) telah menjalankan satu
kajian berkaitan strategi berkomunikasi yang digunakan bagi mengajar kemahiran prapertuturan
kepada murid-murid bermasalah pembelajaran. Seramai lapan orang guru dan 12 orang murid
yang berumur antara lima tahun hingga enam belas tahun mengambil bahagian dalam kajian ini.
Guru-guru yang mengambil bahagian mempunyai pengalaman mengajar antara satu tahun
hingga 18 tahun. Dapatan kajian menunjukkan guru selalu mengawal perbualan, menggalakkan
pengajaran, menarik minat murid untuk belajar, memberi perhatian, mengulang perkataan dan
memudahkan komunikasi. Beck (2002) pula mendapati murid-murid yang mempunyai masalah
pertuturan kurang berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti literasi dan berinteraksi.
Beck menyatakan komunikasi augmentatif dan alternatif memberi peluang kepada murid-murid
mengambil bahagian dalam aktiviti berkumpulan bagi membaiki kemahiran bahasa dan
mengembangkan kemahiran komunikasi secara berfungsi.

Oleh yang demikian, satu usaha dan kajian empirikal dilihat perlu dijalankan dengan
kadar segera supaya guru-guru Pendidikan Khas boleh membantu murid-murid bermasalah
pembelajaran teruk tanpa komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai
golongan murid minoriti dalam sistem pelajaran di Malaysia, murid-murid bermasalah
pembelajaran tanpa komunikasi wajar mendapat kesamarataan hak dalam pendidikan.

TUJUAN

Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti bahan pengajaran yang boleh dibangunkan bagi
pengajaran kemahiran bahasa mengikut tahap kefungsian murid bermasalah pembelajaran teruk
tanpa komunikasi. Secara khusus persoalan kajian adalah:

1. Bagaimanakah peserta kajian melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran


kemahiran komunikasi bagi murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa
komunikasi?
2. Sejauhmanakah murid-murid bermasalah pembelajaran tanpa komunikasi memerlukan
perkataan berfungsi dalam kehidupan seharian?

KAEDAH KAJIAN

Kajian ini dijalankan secara naratif inkuiri di mana triangulasi kajian dijalankan secara
pemerhatian di dalam sebuah bilik darjah yang menempatkan sekumpulan murid bermasalah
pembelajaran teruk di sebuah sekolah menengah bantuan penuh kerajaan yang mempunyai
program integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Seorang guru Pendidikan Khas
dan tiga orang murid bermasalah pembelajaran teruk diperhati selama enam bulan untuk melihat
4

proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran komunikasi. Data juga dikumpul menggunakan
temu bual dan penganalisisan bukti dokumen. Selain itu, pengkaji juga telah menjalankan
bengkel yang dihadiri oleh 30 orang guru Pendidikan Khas yang mengajar dalam Program
Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran bagi tujuan menyenaraikan perkataan
berfungsi yang paling diperlukan oleh murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi.
Dapatan kajian dilaporkan secara naratif.

NARATIF

Walaupun mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi, PKAzlina


tidak mengabaikan aktiviti berkomunikasi. PKAzlina, guru baru dalam Program Integrasi
Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran di Sekolah A. Beliau baru sahaja menamatkan
pengajian di sebuah universiti tempatan dalam bidang Pendidikan Khas dengan pengkhususan
masalah pendengaran. PKAzlina diperhati menjalankan aktiviti mengikut tahap kebolehan
murid-muridnya. Sungguhpun tidak mensasarkan sebarang objektif pengajaran yang tinggi,
PKAzlina diperhati menggalakkan Norman dan Hussien, dua orang murid bermasalah
pembelajaran tanpa komunikasi untuk berinteraksi. Beliau kerap kali diperhatikan berbual dan
bercerita dengan mereka seperti yang dijelaskan dalam maklum balas berikut,

Ajar mereka interaksi sosial seperti berbual, bermain dan aktiviti yang melibatkan
murid mendengar dan memberi respon.
Kod: 2PK/MBPT/PKBP/kkom/PKAzlina/s4.2/p70

Dapatan kajian ini menunjukkan PKAzlina mengajar kemahiran mendengar, bertutur dan
berkomunikasi secara selari dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap satu kemahiran
saling berkait dan sukar untuk dipisahkan. Berdasarkan triangulasi pemerhatian, temu bual dan
penganalisisan bukti dokumen, pengkaji mendapati tujuh kemahiran bahasa digariskan dalam
komponen Bahasa Melayu, iaitu (1) kemahiran mendengar, (2) kemahiran bertutur, (3)
kemahiran prabacaan, (4) kemahiran membaca, (5) kemahiran pratulisan, (6) kemahiran menulis
dan (7) kemahiran komunikasi.

Komponen Bahasa Melayu dalam Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran


diajar bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan
yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Kurikulum Bahasa
Melayu menyediakan murid bermasalah pembelajaran untuk menguasai kecekapan berbahasa
dan berkomunikasi bersesuaian dengan tahap kefungsian mereka ke arah kecekapan berbahasa
(Kementerian Pendidikan Malaysia 2004). Oleh yang demikian, diperhatikan telah menjadi
hasrat kerajaan untuk memastikan setiap kanak-kanak dalam golongan minoriti juga mendapat
penyamarataan hak dalam pendidikan selaras dengan Malaysia (2007).

Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran juga bermatlamat menyediakan


ilmu pengetahuan serta kemahiran melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel
untuk memenuhi keperluan individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan
bermakna (Kementerian Pendidikan Malaysia 2004). Malah Model Konseptual Kurikulum
Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran yang berlandaskan tiga prinsip utama, iaitu (1)
5

pendidikan menyeluruh dan bersepadu, (2) pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna
serta (3) pendidikan sepanjang hayat perlu dijadikan pegangan apabila menjalankan proses
pengajaran dan pembelajaran bagi murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa
komunikasi. Tiga prinsip berkenaan dilaksanakan pula melalui satu proses yang melibatkan tiga
aspek, iaitu (1) bidang pembelajaran, (2) pendekatan pengajaran dan pembelajaran serta (3)
penilaian yang berteraskan kepada keperluan individu.

Berdasarkan bukti dokumen, pengkaji mendapati PKAzlina telah menggunakan Manual


Pengurusan bagi Kanak-kanak Bermasalah Komunikasi yang diperolehi daripada pihak
pentadbiran hospital sebagai alternatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Penganalisisan terhadap manual ini menunjukkan bahawa kemahiran prapertuturan, kemahiran
mendengar, kemahiran memberi perhatian, kemahiran sosial (kebolehan hubungan mata, ambil
giliran, peniruan, bermain dan berinteraksi), kognitif dan bahasa ekspresif diberi tumpuan.
Selain itu, terdapat juga panduan untuk mengajar stimulasi prapertuturan yang meliputi beberapa
aspek, seperti bermula dengan mengajar kemahiran prapertuturan, bermain dengan mereka,
bercakap apabila bermain, kanak-kanak perlu belajar bahawa sebarang tindakan dan perkataan
mempunyai tujuan tertentu, kanak-kanak perlu melihat dan mendengar, konsisten, perancangan
masa dan bersabar.

Dalam program stimulasi komunikasi, terdapat beberapa panduan mengajar kemahiran


bahasa reseptif seperti selalu berbual dengan kanak-kanak, menggunakan bahasa yang mudah
difahami, bercakap dengan nada biasa tetapi perlahan, menggunakan gestur bila perlu,
mengelakkan gangguan, memberi galakan, memberi pujian serta memberi cukup masa kepada
kanak-kanak untuk bertindak balas. Apabila mengajar kemahiran bahasa ekspresif, pengajar
perlu membangkitkan situasi supaya kanak-kanak boleh berkomunikasi, menggalakkan kanak-
kanak bercakap secara spontan, menggalakkan penggunaan isyarat dan gestur, memilih
perkataan yang mudah dan biasa digunakan di rumah. Berdasarkan pemerhatian dan sesi
perbengkelan, satu senarai perkataan berfungsi telah berjaya dibangunkan supaya murid-murid
bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi dapat berinteraksi dengan lebih mudah dan
tepat walaupun mereka tidak menggunakan komunikasi lisan. Perkara ini disokong dengan
transkripsi temu bual berikut:

Dalam Kumpulan Amal Lapan, murid-murid lebih perlu kemahiran


berkomunikasi kerana mereka sukar untuk itu. Saya lebihkan aktiviti kemahiran
mendengar dan bertutur.
Kod: 2PK/MBPT/PKBP/kkom/PKAzlina/s9.4/p250

Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan yang teruk atau lambat bertutur,
stimulasi bahasa boleh ditambah dengan sistem komunikasi bukan pertuturan atau dikenali juga
sebagai komunikasi augmentatif dan alternatif. Terdapat tiga kategori dalam komunikasi bukan
pertuturan, iaitu sistem isyarat tangan, sistem simbol dan sistem gambar. Sistem isyarat tangan
antara lain merangkumi Bahasa Melayu Kod Tangan, Program Perbendaharaan kata Makaton
dan cued speech.
6

Komunikasi augmentatif merujuk kepada pelbagai pendekatan komunikasi yang boleh


digunakan untuk membantu individu yang mempunyai limitasi dalam kebolehan berkomunikasi
secara semulajadi (Franklin dan Beukelman 1991). Kajian Okolo et al. (1993) mendapati
komunikasi augmentatif dan alternatif boleh didapati dalam pilihan berteknologi rendah, seperti
buku bergambar sehingga kepada sistem berkomputer. Pengajaran berbantu komputer boleh
meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pencapaian akademik murid. Menggabungjalin
komunikasi pertuturan serta bukan pertuturan ke dalam sistem komunikasi augmentatif dan
alternatif lebih berkesan jika dimulakan seawal usia kanak-kanak.

Alat komunikasi augmentatif dan alternatif berteknologi rendah meliputi gambar, foto,
garisan, gestur, bahasa isyarat, bahasa tulisan, Pictures Exchange Communication System dan
alat bersuara mudah (Kaiser dan Grim 2006). Guru juga boleh menggunakan bahasa simbolik
ketika mengajar bahasa, seperti membuat buku bergambar yang dapat membantu murid
menjalani tugas seharian (Browder et al. 2006). Seperti diketahui umum, terdapat beberapa
kategori bahan bantu mengajar yang boleh digunakan dalam pengajaran, seperti berteknologi
tinggi dan bahan bercetak. Lynne Norazit dan Su’ad (2001) telah menjalankan satu kajian
berkaitan kesesuaian bahan bacaan untuk kanak-kanak. Kajian ini dijalankan terhadap 100 orang
kanak-kanak dalam tahun empat di tiga buah sekolah di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur.
Dapatan kajian menunjukkan ciri-ciri buku yang baik ialah buku yang mengandungi jalan cerita
yang menggembirakan, mudah, penerangan yang menarik, menggunakan bahasa mudah dan
berilustrasi.

Sepanjang pemerhatian dijalankan, PKAzlina mengakui bahawa cabaran paling getir


ialah mengajar Norman untuk berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Ini kerana Norman
tidak diajar bahasa isyarat ketika berada di sekolah rendah dan keadaan menjadi bertambah rumit
apabila Norman menggunakan isyarat yang hanya dia seorang sahaja yang memahaminya.
PKAzlina berkata,

Saya harap Norman boleh belajar bahasa isyarat supaya dia boleh berkomunikasi
dengan kami. Sambil saya ajar Norman, saya minta juga Hanim ikut serta supaya
mereka boleh berinteraksi. Sukar sebenarnya.
Kod: 2PK/MBPT/PKBP/kkom/PKAzlina/s5/p144

Kajian Ko, McConachie dan Jolleff (1998) mendapati bahawa kanak-kanak perlu
mempelajari simbol untuk berkomunikasi di awal persekolahan. Dapatan kajian mereka juga
mendapati bahawa kanak-kanak yang menggunakan sistem berteknologi tinggi dibiayai oleh
kerajaan, ibu bapa atau badan kebajikan. Ko et al. juga mendapati bahawa carta simbol dan buku
lebih murah dan lebih berkesan digunakan dengan mengambil kira simbol yang lebih berpotensi
dalam kehidupan dan persekitaran digunakan. Ini menunjukkan guru-guru Pendidikan Khas
perlu mengenal pasti perkataan-perkataan paling berfungsi bagi setiap murid bermasalah
pembelajaran dan menggunakan kaedah komunikasi augmentatif dan alternatif dalam proses
pengajaran dan pembelajaran. Pembacaan ini dapat dikaitkan dengan dapatan kajian yang
menunjukkan terdapat keperluan untuk menggunakan gambar menggantikan isyarat tangan,
PKAzlina berkata,
7

Norman berbeza, dia tahu semua gambar yang saya tunjukkan dan dia boleh
kumpulkan benda ikut warna. Dia perlukan isyarat yang betul untuk benda yang
dia lihat menggantikan isyarat yang dia gunakan...sebab isyarat dia sukar nak
difahami. Saya ajar juga ejaan jari dan dia boleh lakukan.
Kod: 2PK/MBPT/PKBP/kkom/PKAzlina/s9.8/p258

Walau bagaimanapun menyediakan laluan kepada komunikasi augmentatif dan alternatif


bagi tujuan pembangunan berkomunikasi untuk individu yang mengalami masalah pertuturan
yang teruk tidak semudah yang disangka. Sekurang-kurangnya terdapat empat domain yang
perlu diberi perhatian apabila melaksanakan komunikasi augmentatif dan alternatif, iaitu (1)
kemahiran menggunakan bahasa asal dalam komuniti dengan kemahiran kod sistem komunikasi
augmentatif dan alternatif, (2) kemahiran teknikal menggunakan sistem komunikasi augmentatif
dan alternatif, (3) sosial dan (4) strategi (Light et al. 1999). Satu cara yang dapat membantu
murid dalam membiasakan diri dengan sistem ini ialah menggunakannya secara kerap dan
diamalkan dalam kehidupan seharian. Semua warga sekolah perlu memahami sistem yang
digunapakai supaya mereka dapat berinteraksi dengan murid-murid bermasalah pembelajaran
teruk tanpa komunikasi dengan lebih baik dan tanpa halangan.

KESIMPULAN DAN CADANGAN

Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa memetakan aspek keaksesan, habilitasi dan rehabilitasi
boleh dilaksanakan menerusi inventori perkataan berfungsi. Penyertaan penuh dan setara dalam
pendidikan boleh dilakukan menerusi komunikasi augmentatif dan alternatif.
Walaubagaimanapun, penyertaan penuh murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa
komunikasi dalam persekitaran mereka agak sukar untuk dilaksanakan kerana beberapa
kekangan. Sebahagian kecil golongan murid minoriti ini berinteraksi menggunakan bahasa
isyarat mereka sendiri (Noor Aini 2010) manakala yang lain tidak boleh bertutur dan tidak
mampu berinteraksi dengan guru dan rakan-rakan. Perkara ini tentu sekali menyukarkan murid-
murid dan membataskan pergaulan dengan orang di sekeliling mereka. Noor Aini mencadangkan
Program Kemahiran Bahasa (Rajah 1) yang menitik beratkan dua elemen iaitu (1) pemilihan
perkataan berfungsi dan (2) kurikulum personal apabila guru mengajar kemahiran bahasa kepada
murid-murid bermasalah pembelajaran tanpa komunikasi.

Guru boleh membantu murid belajar dengan lebih baik jika kurikulum personal dirancang
menerusi unit mendiagnosis, membuat objektif khusus, memilih isi kandungan dan menyusun isi
kandungan, memilih pengalaman sedia ada, menyusun pengalaman sedia ada, penilaian dan
semakan (Taba 1962). Oleh yang demikian, guru perlu menulis Rancangan Pendidikan Individu
dan menetapkan perkhidmatan pelajaran yang diperlukan bagi setiap murid bermasalah
pembelajaran teruk sama ada mereka boleh berkomunikasi atau sebaliknya. Kurikulum personal
melibatkan perancangan dan panduan pengajaran bagi membantu setiap murid ke arah kehidupan
yang lebih bermakna.

Murid-murid bermasalah pembelajaran teruk, sama ada yang boleh berkomunikasi atau
tidak boleh berkomunikasi memerlukan kurikulum personal bagi membantu mereka mencapai
keperluan dan kehidupan bermakna selaras dengan Model Konseptual Kurikulum Pendidikan
8

Khas Bermasalah Pembelajaran. Dalam konteks kajian ini, pembelajaran berpusatkan murid
mengambil kira perkhidmatan pelajaran yang disediakan berdasarkan matlamat dan keperluan
seorang individu. Kurikulum personal boleh dibina berdasarkan minat murid dan mengambil kira
juga kehendak ibu bapa serta penjaga murid. Rancangan Pendidikan Individu dan kurikulum
personal boleh membantu guru merancang pengajaran yang lebih berkualiti kepada murid-murid
bermasalah pembelajaran teruk.

Program
Perkataan berfungsi Kurikulum personal/Rancangan
Kemahiran Pendidikan Individu
Bahasa

Murid bermasalah Murid bermasalah


pembelajaran sederhana pembelajaran teruk

Membaca
perkataan
berfungsi

Kemahiran
Menulis
prapertuturan
perkataan
berfungsi

Komunikasi
Program jangka
augmentatif dan
pendek
alternatif

Rajah 1 Program Kemahiran Bahasa

Noor Aini dan Nor Siti Rokiah (2010) mendapati guru-guru Pendidikan Khas telah
berusaha untuk mengorganisasi keaksesan murid-murid bermasalah pembelajaran dalam
pendidikan berlandaskan asas kesetaraan dengan orang upaya agar mereka tidak boleh
dikecualikan daripada sistem pendidikan umum. Kajian ini mendapati murid-murid bermasalah
pembelajaran teruk tanpa komunikasi boleh mendapat manfaat daripada sistem pelajaran yang
diikuti jika mereka dapat berinteraksi menggunakan inventori perkataan berfungsi mengikut
persekitaran. Noor Aini dan Nor Siti Rokiah (2010) mendapati murid-murid bermasalah
pembelajaran teruk dapat belajar kemahiran bahasa dengan lebih baik jika guru Pendidikan
Khas menggunakan pendekatan pengajaran yang berkesan seperti nyanyian dan secara bermain.

Kertas penyelidikan ini mencadangkan inventori perkataan berfungsi yang berpotensi


untuk dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sama ada menggunakan bahan
berteknologi rendah atau tinggi. Inventori Cahaya, nama kepada inventori ini diharap dapat
9

memberi satu sinar baru kepada murid-murid bermasalah pembelajaran teruk yang selama ini
diajar kemahiran pramembaca dan membaca ala pemulihan khas. Inventori Cahaya tidak
memfokus kepada aktiviti mengeja, membaca suku kata atau mengenal huruf sebaliknya
memberi tumpuan kepada gestur, simbol dan gambar yang menjadi fokus dalam komunikasi
augmentatif dan alternatif. Menerusi komunikasi augmentatif dan alternatif, murid-murid
bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi diharap dapat menyertai secara penuh dan
setara dalam pendidikan serta kehidupan seharian.

Pengkaji juga mencadangkan aktiviti sosial yang dapat membantu murid-murid


bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi seperti memanggil nama kanak-kanak,
bermain dengan mereka supaya mereka mampu memesan makanan, menggunakan tandas
dengan betul dan menjalankan simulasi di bilik darjah. Bagi melaksanakan Program Kemahiran
Bahasa, guru perlu diberi latihan dan panduan berkaitan prosedur penggunaan teknologi atau
sekurang-kurangnya bahan berteknologi rendah dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam usaha supaya murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi


mendapat peluang pendidikan yang samarata dan yang direka khusus untuk mencapai keperluan
pembelajaran asas mereka, pengkaji telah menyenaraikan perkataan berfungsi untuk makanan
yang biasa diminta oleh murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi di kantin
sekolah. Pengkaji kemudiannya telah memasukkan perkataan berfungsi yang dicadangkan ke
dalam Inventori Cahaya. Perkataan-perkataan ini dibina berdasarkan perkataan yang
dicadangkan oleh 30 orang peserta kursus yang menghadiri kursus Latihan dalam Perkhidmatan
di daerah Kelang.
Inventori Cahaya

Perkataan berfungsi Persekitaran Objektif

Makanan Kantin sekolah Murid dapat membeli


makanan dengan tepat
A. Makanan Barat mengikut selera
1. sosej masing-masing dengan
2. nugget bantuan minima
3. donut daripada guru dan
4. burger rakan.
5. kentang goreng

B. Makanan Malaysia
1. nasi lemak
2. keropok lekor
3. karipap
4. mi sup
5. mi goreng
6. bihun goreng
7. nasi goreng
8. roti
10

9. roti canai
10. laksa
11. nasi
12. ikan goreng
13. ayam goreng
14. sayur goreng

Berdasarkan Inventori Cahaya, pengkaji telah menyediakan bahan bantu mengajar


berteknologi rendah menerusi penyediaan kad-kad gambar yang boleh membantu murid-murid
bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi memesan makanan dengan lebih mudah di
kantin sekolah mereka. Komunikasi augmentatif dan alternatif lazim digunakan di sekolah
pendidikan khas swasta di Malaysia dan teramat biasa dilaksanakan untuk kanak-kanak
berkeperluan khas di luar negara. Perbezaan Inventori Cahaya dengan sistem komunikasi
augmentatif dan alternatif sedia ada ialah perkataan berfungsi yang disenaraikan lebih tepat dan
dekat dengan budaya Malaysia. Hanya perkataan berfungsi yang paling kerap digunakan
mengikut konteks persekitaran murid-murid bermasalah pembelajaran teruk dipilih. Sebagai
cadangan kajian lanjutan, pengkaji mencadangkan kajian bagi memilih perkataan berfungsi
dalam persekitaran lain yang kerap dikunjungi mereka seperti kedai, tandas, bilik tidur dan ruang
tamu. Hasil kajian akan dimuatkan dalam laporan akhir geran penyelidikan yang ditaja oleh
Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dijangka siap pada akhir
tahun 2010.

RUJUKAN

Anderson, C. 2006. Early communication strategies: using video analysis to support teachers
working with preverbal pupils. British Journal of Special Education 33 (3): 114-120.

Beck, J. 2002. Emerging literacy through assistive technology. Teaching Exceptional Children
35(2): 44-48.

Browder, D.M., Ahlgrim-Delzell, L., Courtade-Little, G. & Snell, M.E. 2006. Dlm Snell, M.E.
dan Brown, F. (pnyt.). Instruction of students with severe disabilities. Ed. ke-6, hlm. 489-
525. Upper Saddle River, New Jersey: Pearson Merrill Prentice Hall.

Franklin, K. & Beukelman, D.R. 1991. Augmentative communication: directions for future
research. Dlm. Miller, J.F. (pnyt.) Research on child language disorders: a decade of
progress, hlm. 321-337. Austin: Pro-Ed.

Grove, N. 2007. Exploring the absence of high points in story remeniscence with carers of
people with profound disabilities. Journal of Policy and Practice in Intellectual
Disabilities, 4(4): 252-260.
11

Kaiser, A.P. & Grim, J.C. 2006. Dlm Snell, M.E. & Brown, F. (pnyt). Instruction of students
with severe disabilities. Ed. ke-6, hlm. 447-488. Columbus, Ohio: Pearson Merrill
Prentice Hall.

Kementerian Pendidikan Malaysia. 2004. Sukatan pelajaran pendidikan khas bermasalah


pembelajaran sekolah rendah dan menengah. Kuala Lumpur: t.pt.

Ko, M.L.B., McConachie, H. & Jolleff, N. (1998). Outcome of recommendations for


augmentative and alternative communication in children. Child: Care, Health and
Development. Vol. 24(3): 195-205.

Light, J.C., Binger, C., Agate, T.L. dan Ramsey, K.N. 1999. Teaching partners-focused questions
ti individuals who use augmentative and alternative comunication to enhance their
communicative competence. Journal of Speech. Language and Hearing Research. Vol.
42: 241-255.

Lynne Norazit & Su’ad Awab. 2001. What do you mean by a good book: a study of appropriate
reading materials for children in the Malaysian context. Jurnal Pembacaan (4): 26-39.

Malaysia. 2007. Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya 2007. Warta Kerajaan. D.R.
52/2007.

Mirfin-Veitch, B., Bray, A., & Ross, N. 2003. It was the hardest and most painful decision of my
life: seeking permanent out of home placement for sons and daughters with intellectual
disabilities. Journal of Intellectual and Developmental Disabilities, 28: 99-111.

Noor Aini Ahmad. 2010. Pengajaran kemahiran bahasa bagi murid-murid bermasalah
pembelajaran. Tesis Dr. Falsafah, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia.

______________ . 2010. Penggunaan Inventori Berbudayakan Malaysia sebagai


Kesinambungan kepada Komunikasi Augmentatif dan Alternatif bagi Murid-murid Bermasalah
Pembelajaran Teruk Tanpa Komunikasi. Kertas Utama Seminar Sehari Penyelidikan Fakulti
Pendidikan dan Pembangunan Manusia. Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Noor Aini Ahmad dan Nor Siti Rokiah Abdul Razak. 2010. Teaching prereading skill to students
with severe learning disabilities in the special education learning disabilities program.
Dibentang dalam International Journal of Arts and Sciences Conference. University of
Central Florida.

Noor Aini Ahmad dan Nor Siti Rokiah Abdul Razak. 2010. Mengajar kemahiran membaca
mudah jika guru tahu pendekatan mengajar yang sesuai. Dibentang dalam 15th
International Conference on Education. Universiti Brunei Darussalam.

Nyland, B. 2009. Language experiences of preverbal children in Australian childcare centres.


European Early Childhood Education Research Journal 17 (1): 111-124.
12

Okolo, C.M. Bahr, C.M. & Reith, H.J. 1993. A retrospective view of computer based instruction.
Journal of Special Education Technology 12(1): 1-27.

Seung-Hyun Son, Sigafoos, J., O’Reilly, M. & Lancioni, G.L. 2006. Comparing two types of
augmentative and alternative communication systems for children with autism. Pediatric
Rehabilitation 9(4):389-395.

Todd, S.J., Shearn, J. & Jones, S. (2004). Resilence and vulnerability: it’s the ability to keep the
story going. Paper presented at the 12th World Congress of the IASSID, Montpelier,
Perancis.

You might also like