You are on page 1of 3

SUATU KRITIKAN TERHADAP FALSAFAH MARXIS[1]

By Kassim Ahmad

Tunjukilah kami jalan yang lurus, jalan mereka yang telah Engkau
anugerahkan nikmat, bukan mereka yang dimurkai, dan bukan pula
mereka yang sesat.
Al-Quran, 1:5-7.

SAYA mula berkenal dengan Lee Ban Chen, penyusun buku ini, tiga atau
empat tahun dulu ketika saya melawat beliau di khemah tahanan Batu Gajah. Entah
bagaimana beliau telah dapat mengirim senaskah draf bukunya kepada saya dari
dalam tahanan itu. Bila saya membaca draf itu, saya amat tertarik dengan huraian-
huraiannya yang terang mengenai masalah-masalah falsafah yang rumit dengan
diberikannya pula contoh-contoh dari perumpamaan-perumpamaan dan cerita-cerita
Melayu dan peristiwa-peristiwa tempatan. Saya menyatakan kepada beliau bahawa
buku itu sukar hendak mendapat penerbit kerana ianya sebuah buku falsafah
materialis; namun demikian, saya percaya ia dapat diterbitkan. Sekarang buku ini
telah pun ada di kalangan pembaca.Kerana pentingnya, eloklah kita mendebat isinya
secara saintifik.
Rakyat Kita Sudah Mengenal Falsafah

Tujuan buku ini ialah untuk memperkenalkan ilmu falsafah kepada pembaca
kita. Mengikut Ban Chen, ilmu pengetahuan ini masih asing lagi bagi kebanyakan
rakyat kita. Mungkin buku-buku mengenai falsafah-falsafah moden Barat tidak berapa
ada di dalam bahasa Melayu, namun demikian, ini tidak bermakna rakyat kita belum
mengenal idea-idea falsafah. Sebaliknya, orang-orang Melayu telah berkenal dengan
idea-idea ini sejak kira-kira 400 tahun dulu melalui buku-buku Arab yang telah
diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dan juga melalui idea-idea falsafah di
dalam Al-Quran sendiri. Dr Abdul Jalil Hassan telah mencatat 40 tajuk buku
pengetahuan agama dan falsafah yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu
sebelum 1900.[2] Idea-idea falsafah seperti keesaan Tuhan, kesatuan Wujud, Hari
Pembalasan, alam ghaib, kejadian alam dan manusia, hukum qada’dan qadar, hukum
sebab dan akibat dan sebagainya memang telah tersebar luas di kalangan rakyat kita.

Sebagai satu ilmu yang membahaskan masalah-masalah yang rumit, falsafah


memang sukar difaham. Tidak ramai orang yang berminat mempelajarinya. Namun
demikian, oleh kerana di dalam masyarakat kita agama dan falsafah amat erat
hubungannya, maka konsep-konsep falsafah telah diajarkan di dalam Al-
Quran dengan cara yang mudah difahami. Dari segi ini, bolehlah kita katakan bahawa
ilmu falsafah tidak asing daripada rakyat.

Buku ini membahagikan falsafah kepada tiga lapangan, iaitu pandangan dunia
atau ontologi (mengkaji masalah wujud), teori kaedah atau ilmu mantik atau logika
dan teori pengetahuan atau epistimologi.Lazimnya, lapangan-lapangan falsafah
temasuk juga ilmu akhlak atau etika, ilmu politik dan falsafah sejarah. Buku ini tidak
menyentuh lapangan-lapangan ilmu tersebut.
Pertumbuhan Falsafah Marxis

Seperti yang telah dinyatakan, buku ini mengutarakan falsafah materialisme


dialektika atau materialisme Marxis. Marx sebenarnya tidak bertujuan untuk
mengujudkan suatu falsafah. Beliau menganggap karyanya bersifat saintifik, sejarah
dan kemasyarakatan, berlawanan dengan penyelewengan-penyelewengan “falsafah”
mengenai hal-hal kemasyarakatan yang ditolak oleh beliau sebagai ideologi yang
berdasarkan kelas [3]

Mengikut Engels,

… materialisme moden pada hakikatnya bersifat dialektika, dan tidak

lagi memerlukan falsafah apapun di atas segala ilmu lain… Apa yang

masih kekal dari semua falsafah sebelumnya ialah ilmu fikiran dan

undang-undangnya – logika formal dan dialektika. Segala yang lain

bergabung, di dalam sains positif alam dan sejarah.[4]

Berdasarkan pandangan ini juga Lenin telah berkata: “Tidak ada Marxis yang
menganggap teori Marx sebagai satu rangka yang umum dan wajib, atau sebagai
sesuatu yang lebih daripada satu huraian mengenai satu bentuk masyarakat dan
ekonomi yang khusus.”[5] Terhadap usaha-usaha seperti ini Marx sendiri telah
mensifatkannya sebagai percubaan “untuk membekukan rangka sejarah saya
mengenai usul-usul kapitalisme di Eropah Barat menjadi satu teori falsafah sejarah
mengenai arah umum yang dipeksakan oleh takdir ke atas semua manusia.”[6]

Walau bagaimanapun, selepas kematian Marx, pengikut-pengikutnya


(Plekhanov, Lenin, Stalin, Mao, Lukacs, Karl Korsch dan lain-lain)
telah membangunkan sejenis sistem falsafah yang dinamakan falsafah
Marxis. Ini kenyataan dan kita bertolak dari kenyataan ini untuk membahas falsafah
tersebut seperti yang dikemukakan di dalam buku ini.

Masalah Pokok: Apakah Hakikat?

Seperti mana yang diterangkan di dalam buku ini, tujuan ilmu falsafah ialah
mengkaji semua benda yang wujud (alam semesta dan segala isinya) serta hubungan
di antara satu benda dengan yang lain.Tetapi masalah pokok yang besar sekali yang
telah memecahkan ahli falsafah dunia ialah: Apakah itu Hakikat atau Realiti?
Mengikut Engels:

Masalah pokok yang besar bagi semua falsafah … ialah masalah hubungan
antara fikiran dan wujud … roh dan alam … Yang mana satu utama, roh atau
alam? …Jawapan-jawapan yang diberi oleh para ahli falsafah kepada soalan
ini memecahkan mereka kepada dua khemah. Mereka yang menegaskan
keutamaan roh daripada alam … tergolong ke dalam khemah idealisme.
Mereka yang menganggap alam utama tergolong ke dalam pelbagai mazhab
materialisme”[7]

Inilah pendirian Marxis yang diambil oleh buku ini.

Mengikut pendapat ini, wujud atau alam terdiri dari dua benda, roh dan
jirim. Mengikut pendapat ini lagi, kedua-dua golongan ahli falsafah sepakat tentang
hal ini – dualisme alam atau wujud; perbezaan mereka terletak pada yang mana satu
utama, roh atau jirim. Golongan idealis menganggap roh utama, manakala golongan
materialis pula menganggap jirim utama. Tradisi falsafah dualisme ini berasal dari
Plato dan Aristotle serta mencapai rumusannya yang sistematik di dalam pemikiran
moden di tangan Descartes (1596-1650). Tetapi adakah dualisme ini satu konsep yang
betul? Bolehkah roh dan jirim, pemikiran dan wujud dipisahkan? Mengikut teori nisbi
Einstein, kewujudan sesuatu benda objektif tidak bebas dari pengetahuan tentang
benda itu.Kedudukan, kelajuan, besar dan bentuk sesuatu benda adalah nisbi kepada
kedudukan pelihat dan bertukar mengikut keadaan pelihatnya.Contohnya, seorang A,
yang berdiri di atas jalan berhadapan dengan sebuah motokar menyatakan bahawa ada
sebuah motokar dihadapannya. Tetapi bagi seorang lain, B, yang melihat motokar itu
juga dari tingkat tujuh sebuah runmah pangsa menyatakan ia melihat sebuah
motokar di bawahnya. Demikianlah seterusnya kewujudan sesuatu benda obkektif
tidak bebas dari, dan bergantung kepada kesedaran. Kebenaran ini membuktikan
bahawa di antara objek dan sabjek tidak ada jurang perpisahan sebenar atau
mutlak. Kedua-duanya merupakan kesatuan – kesatuan Wujud. Ia dipisahkan kepada
dua, kerana kita melihatnya dari segi pandangan kita yang terbatas; kita tidak dapat
melihat keseluruhanwujud bebas dari sekatan ruang dan waktu. Kesimpulan ini
menghapuskan dualisme antara alam dan manusia dan antara wujud dengan
kesedaran. Sungguhpun kita tahu bahawa alam telah wujud sebelum munculnya
manusia, tetapi tanpa manusia (yakni kesedaran), mana akan timbul soal kewujudan
alam? Pernyataan bahawa alam objektif wujud bebas dari fikiran manusia tidak
munasabah, kerana manusia sebahagian dari alam objektif itu sendiri!

[1] Esei ini ditulis sebagai ulasan terhadap buku Lee Ban Chen (penterjemah) Introduksi
kepada Ilmu Falsafah, Syarikat Penerbitan Tuna, Kuala Lumpur, 1975; 158 hal; $3.00. Buku
ini telah diterjemah dan disesuikan dari buku Tionghua yang ditulis oleh Li Yi. Esei ini
disiarkan dalam majalah Dewan Bahasa, Disember, 1975; hal. 821-836.
[2] Abdul Jalil Hassan. Falsafah dan Pengetahuan Islam,  Kuala Lumpur: Dewan Bahsa dan Pustaka, 1973, hal. 48-53.
[3] The Encyclopedia of Philosophy  (Ed. Paul Edwards), London; Collier-Macmillan, Ji. 5; hal. 173.
[4] Engels, F. Anti-Duhring,  New York, 1939, hal. 23-33.
[5] Lewis, John, The Marxism of Marx,  London: Lawrence and Wishart, 1972, hal. 62.
[6] Ibid, hal. 64.
[7] Ibid.; hal. 64.

Next: Kesilapan Idealisme dan Materialisme

You might also like