You are on page 1of 27

SHP 4133

PENYELIDIKAN ILMIAH

RAJA NOORSHASHARINA RAJA KAMAL

D20052024952

TAJUK

KEBERKESANAN PENGGUNAAN TELEVISYEN


PENDIDIKAN(TVP) DALAM PROSES
PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN
SUBJEK KEMAHIRAN HIDUP KBSM

UNTUK PERHATIAN

PROFESOR SUPLI EFFENDI RAHIM


BAB PERTAMA; PENGENALAN

1.1 Latar Belakang

1.2 Pernyataan masalah

1.3 Objektif Kajian

1.4 Proses Penerbitan TVP

1.5 Persoalan kajian (hipotesis)

1.6 Batasan kajian

1.7Kepentingan kajian
Bab1 : Pengenalan

1.1 Latar Belakang


Sejak beberapa tahun yang lepas, banyak kajian dan penyelidikan yang
dijalankan bagi mengumpul maklumat, mengetahui dan menentukan sejauh mana
keberkesanan rancangan Televisyen Pendidikan di dalam pembelajaran pelajar.
Justeru itu adalah jelas bahawa pendekatan lebih analitik yang melibatkan
teknik-teknik lain seperti pemerhatian, temuramah dan soal selidik dalam kajian
adalah penting bagi memperolehi maklumat mengenai reaksi pelajar terhadap
pengalaman pembelajaran berkenaan berlangsung.
Berdasarkan persoalan yang timbul itu, pengkaji memutuskan tajuk
“Kesesuaian dan keberkesanan Rancangan Televisyen Pendidikan (TVP) dalam
matapelajaran Kemahiran Hidup di menengah rendah”, untuk dijadikan bahan kajian
dan penyelidikan memandangkan rancangan TV Pendidikan ini turut memainkan
peranan penting dalam memberi pemahaman dan maklumat yang lebih jelas kepada
pelajar.
Di dalam konteks matapelajaran Kemahiran Hidup, TV Pendidikan ini mampu
memperlihatkan dengan lebih jelas sesuatu topik yang diajar. Sebagai contohnya
topik perhiasan di meja makan. Pelajar dapat melihat dengan lebih jelas bagaimana
cara lipatan kain napkin untuk diletakkan di meja makan.
TVP merupakan gabungan teknologi media elektronik iaitu televisyen dengan
pendidikan. Masing-masing saling lengkap-melengkapi untuk mempersembahkan
rancangan yang bertujuan untuk memberi, menambah dan memperkayakan lagi ilmu
pengetahuan. TVP juga merupakan media komunikasi yang amat popular dan
beroperasi sebagai agen untuk memberi sumbangan bantuan dalam usaha kerajaan
mencapai matlamat bagi meninggikan lagi mutu pendidikan, mempelbagaikan kaedah
dan pendekatan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
TVP bermula di sekolah-sekolah di Malaysia sebagai percubaan dengan dua
projek dua perintis pada tahun 1965 dan 1966. berikutan dengan kejayaan projek
berkenaan, TVP telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Kedua (1971-
1975). Langkah ini telah membawa kepada penubuhan Bahagian Perkhidmatan
Sebaran Pendidikan (PSP) pada tahun 1972 di bawah kelolaan Kementerian
Pelajaran. Lanjutan daripada itu, siaran TVP ke sekolah-sekolah telah dilancarkan
dengan rasminya pada 19 Jun 1972 oleh Yang Amat Berhormat Tun Haji Abdul
Razak bin Dato` Hussain, Perdana Menteri Malaysia, di Dewan Tunku Abdul
Rahman, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.
Perkhidmatan TVP ini seterusnya diperluaskan ke Sabah dan Sarawak apabila
sukatan mata pelajaran telah diseragamkan. Perkhidmatan ini telah dirasmikan pada
30 Ogos 1976 oleh Tun Dr Mahathir Muhammad, Menteri Pelajaran Malaysia ketika
itu. Perkembangan pesat yang dicapai oleh PSP selama 12 tahun telah diberi nafas
baru dan telah ditukarkan namanya kepada Bahagian Teknologi Pendidikan (BTP)
pada Februari 1988 (Berita Harian 9.2.88)
TVP telah memulakan perkhidmatannya dengan 6 siri rancangan pada awal
tahun 1972. dengan terlaksananya penerbitan dalam tahun 1989, jumlah rancangan
yang diterbitkan semenjak tahun 1972 ialah 1510 rancangan. Sesuai dengan falsafah
dan objektif Bahagian Teknologi Pendidikan, sektor TVP mempunyai peranan di
dalam program pendidikan yang berasaskan kurikulum, terutama untuk sekolah-
sekolah di luar bandar. Rancangan-rancangan ini diharapkan dapat membantu proses
pengajaran dan pembelajaran. Rancangan yang disiarkan meliputi rancangan
Kurikulum, Rancangan Umum, Rancangan Hal Ehwal Semasa dan Rancangan
Ulangan KBSR/KBSM. Rancangan rancangan tersebut adalah untuk tontonan di
peringkat sekolah rendah, sekolah menengah, guru-guru dan tontonan umum.
Rancangan TVP diterbitkan dan disiarkan dalam pelbagai bentuk dan cara.
Umpamanya dokumentari, drama, temubual, perbincangan, demonstrasi dan
penyampaian terus dengan beraneka teknologi seperti animasi, fotografi, rekaan
grafik, solekan dan kesan kesan khas.
Tahun 1982 adalah tahun yang mencabar kepada keseluruhan aktiviti dan
perancangan TVP. Keputusan Kementerian Pelajaran melaksanakan KBSR sebagai
percubaan di 302 buah sekolah di seluruh negara melibtkan 3 rancangan dalam siri
Alam Pendidikan sebagai penerangan mengenai Kurikulum Baru Sekolah Rendah.
Serentak dengan itu, perancangan penerbitan TVP mulai tahun 1982 telah
melangkah masuk ke era perlaksanaan tugas-tugas, melibatkan rancangan di bawah
program KBSR. Berdasarkan tugas penerbitan, sebanyak 58 rancangan telah
diterbitkan pada tahun 1982.
Perancangan dan aktiviti penerbitan rancangan-rancangan adalah menghayati
falsafah pendidikan negara serta disesuaikan dengan matlamat dan objektif pelajaran
kini. Untuk mencapai objektif tersebut, kerjasama telah diperolehi daripada bahagian-
bahagian lain Kementerian Pelajaran, Jabatan-jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah-
sekolah. Pusat Perkembangan Kurikulum menjadi pusat rujukan yang utama kepada
penerbitan rancangan dari segi mengenalpasti bidang bidang yang khusus daripada
kurikulum di mana media TV dapat membantu di dalam proses pengajaran dan
pembelajaran khususnya mata pelajaran di bawah program Kurikulum Baru Sekolah
Rendah (KBSR) dan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Penelitian
yang rapi dari peringkat awal perancangan hingga siap sesuatu rancangan sangat
diperlukan bagi penerbitan rancangan yang baik.
Penal-penal matapelajaran dan skrip yang terdiri daripada pegawai-pegawai
pelajaran dari semua lapisan perguruan dari institusi pengajian tinggi telah
mengeluarkan idea dan bahan-bahan untuk diterbitkan. Penal-penal ini telah
dibimbing oleh Penolong-penolong Pengarah Mata pelajaran.
Dari segi teknikal pula, TVP ini dibantu oleh Kementerian Penerangan dan
Jabatan Telekom. Waktu penyiaran bagi TVP ketika itu ialah di antara 15-20 minit
bagi setiap satu slot rancangan yang disiarkan. Ketika itu rancangan TVP boleh
diikuti melalui RTM2 pada hari Isnin hingga Khamis dari jam 7.45. Masa siaran
perkhidmatan TVP terus bertambah untuk memuatkan siaran semasa cuti penggal
persekolahan. Siarannya dari jam 9.00 pagi hingga 12 tengahari, pada hari Isnin,
Selasa dan Rabu minggu pertama cuti penggal pertama dan minggu kedua cuti
penggal sekolah yang kedua. TVP juga menyiarkan rancangan-rancangan pengkayaan
dalam masa cuti. Sehubungan dengan itu juga mulai tahun 1989, segala bentuk
hebahan rancangan TVP menggunakan sebutan Bahasa Baku sepenuhnya.
TVP disiarkan di rangkaian RTM2 bermula tahun 1972 sehingga 1999.
setelah itu TVP ini disiarkan di rangkaian penyiaran berbayar iaitu di rangkaian Astro
bermula dari tahun 2000 hingga tahun 2006. Apabila TV Pendidikan bermula di
Astro sejak 2000, Saluran 28 menyiarkan dua rangkaian seperti TV Pendidikan
disiarkan dari Isnin hingga Khamis 9.00 pagi hingga 5.00 petang manakala Animal
Planet menyiarkan keseluruhan masanya (Animal Planet bersiaran sepenuh masa di
saluran 556).
TV Pendidikan berpindah ke Saluran 13, pada 2002 di mana mereka
menyiarkan dua rangkaian, iaitu TV Pendidikan dan TechTV, sebuah saluran yang
menyiarkan berita dan rancangan tentang komputer, teknologi dan internet. TV
Pendidikan bersiaran Isnin hingga Khamis dari 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada
waktu sekolah sahaja, manakala TechTV menyiarkan keseluruhan masanya. Sejak
TechTV tamat, Astro menyiarkan episod lama TechTV berulangan sehingga Astro
telah mencapai persefahaman dengan G4techTV untuk membeli siri televisyennya
seperti Attack of the Show, X-Play dan lagi dan kemudian siar semula secara
tempatan.
Sejak 1hb Mac 2006, semua rancangan G4 telah disiarkan di Astro TVIQ,
saluran pendidikan Astro. Saluran 13 akan menyiarkan rancangan-rancangan
pendidikan. Kini, Astro tidak lagi menyiarkan rancangan-rancangan G4.
Setelah Astro tidak lagi menyiarkan program TVP ini telah diambilalih
penyiarannya TV9 bermula 1hb Januari 2007 sehingga kini. Sejak bersepadu dengan
TV9, TV Pendidikan bersiaran dari 8:00 pagi hingga 12:00 tengah hari setiap Isnin
hingga Khamis termasuk cuti sekolah.
Pelbagai usaha yang dijalankan untuk mempertingkatkan lagi kadar
keberkesanan penggunaan TVP. Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan lagi
bahawa kadar keberkesanan tersebut bergantung juga kepada cara-cara guru
mengendalikan penggunaan TVP dan sejauh mana kelemahan dan masalah yang
dihadapi.
Menurut Abd Rahim(1987), sehingga tahun 1975 sebanyak 5500 buah
televisyen dan 2500 janakuasa telah dibekalkan ke sekolah-sekolah di semenanjung
Malaysia, 900 buah televisyen dan 712 janakuasa yang dibeli untuk Sabah dan 1225
buah televisyen dan 950 janakuasa yang dibeli untuk kegunaan di negeri Sarawak.
Pembekalan 90 buah televisyen tenaga suria kepada sekolah-sekolah yang
menghadapai masalah yang serius, manakala sehingga hari ini kesemua sekolah telah
dibekalkan dengan televisyen.
Berdasarkan kenyataan di atas, didapaati bahawa pelbagai pihak telah
memainkan peranan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung, untuk
menjayakan penggunaan TVP dan meningkatkan keberkesanannya. Semua
mempunyai matlamat yang sama iaitu meninggikan lagi pencapaian dalam bidang
akademik
Beberapa kelemahan yang terdapat di dalam penerbitan dan penyiaran serta
masalah-masalah yang dihadapi oleh pihak pengguna telah dikenalpasti. Seterusnya
dicadangkan beberapa syor untuk diambil perhatian dan tindakan sebaik mungkin
agar pembelajaran pelajar menjadi lebih berkesan dan tahap pencapaian mata
pelajaran Kemahiran Hidup berada di tahap yang maksimum.

1.2 Pernyataan Masalah.


Sebagai media pendidikan, penggunaan siaran rancangan TVP pernah begitu
popular penggunaannya di kebanyakan sekolah-sekolah rendah mahu pun di
menengah. Namun kini penggunaannya agak berkurangan. Berdasarkan pada kadar
penggunaan inilah, membuatkan pengkaji ingin mengkaji sejauh mana keberkesanan
siaran program TVP ini dapat memberi manfaat kepada pelajar terhadap mata
pelajaran Kemahiran Hidup di sekolah menengah khususnya.

1.3 Objektif Kajian

1.3.1 Diandaikan terdapat beberapa faktor dalaman yang mempengaruhi


keberkesanan penggunaan TVP dalam proses pengajaran dan pembelajaran
matapelajaran Kemahiran hidup KBSM

1.3.2 Diandaikan terdapat beberapa faktor luaran yang mempengaruhi keberkesanan


penggunaan TVP dalam proses pengajaran dan pembelajaran matapelajaran
Kemahiran hidup KBSM
1.4 Proses Penerbitan Rancangan TVP
Penerbitan Rancangan TVP ialah di bawah kelolaan Unit Penerbitan
Rancangan. Dasar unit ini ialah untuk menghasilkan rancangan-rancangan yang
bermutu tinggi selaras dengan objektif meninggikan lagi mutu pengajaran dan
pembelajaran. Pencapaian mutu tinggi dan keberkesanan sesuatu rancangan menjadi
teras tindakan dalam segala perancangan dan aktiviti penerbitan pada semua
peringkat. Oleh hal demikian, semua rancangan yang diterbitkan mengambilkira
proses-proses pengolahan bahan yang rapi, menggunakan tenaga kepakaran yang
tinggi dan kemahiran teknikal yang inovatif dan terbaru.
Sebelum sesuatu rancangan diterbitkan, satu mesyuarat Jawatankuasa
Penasihat diadakan di mana ia dipanggil Mesyuarat Penerbitan Rancangan. Dalam
mesyuarat berkenaan, perancangan dibuat untuk menentukan jadual tugas dan
disahkan oleh Penolong Pengarah Matapelajaran. Seterusnya pelbagai persediaan atau
kegiatan pra-rakaman dibuat berdasarkan skrip penerbitan. Persediaan seperti set,
grafik, animasi, penggambaran lokasi luar, foto/slaid, suntingan dan peralatan
dilaksanakan oleh unit-unit tertentu. Apabila persediaan pra-rakaman memuaskan,
solekan artis dilakukan sebelum rakaman di studio dibuat. Rakaman audio dibuat di
bilik `Dubbing`
Setelah selesai penggambaran dan rakaman, unit Penerbitan akan memanggil
guru-guru dari sekolah-sekolah luar bandar bertujuan membantu sektor TVP
merancang penerbitan baru berdasarkan maklumat-maklumat yang diperolehi
daripada pengguna-pengguna rancangan yang diterbitkan. Dengan ini Tayangkaji
diadakan. Sekiranya Tayangkaji dapat maklumbalas yang positif maka rancangan
yang diterbitkan itu akan disiarkan. Jika sebaliknya, tindakan sewajarnya diambil
sebelum rancangan itu disiarkan menerusi TVP

1.5 Persoalan Kajian (Hipotesis)


Kepentingan televisyen sebagai media pendidikan adalah terhad kepada
bidang-bidang tertentu sahaja. TVP ini tidak boleh menggantikan tempat guru sebagai
penyampai maklumat secara keseluruahan. Namun begitu, perkembangan Teknologi
Pendidikan, khususnya TVP telah banyak membantu golongan pendidikan dan pelajar
dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
TVP telah menggabungkan dan membentuk satu cabang disiplin pendidikan
yang mengutamakan penggunaan kemahiran dan teknik moden dalam bidang
pendidikan dan latihan. Ciri-ciri yang diserapkan termasuklah penggunaan media dan
kaedah-kaedah daripada penggunaan persekitaran pelajar untuk menghasilkan
pembelajaran.
TVP sebagai media pendidikan dapat digambarkan seperti gambarajah yang di
bawah.

Rajah 1

Pendidikan

Pembelajaran
(pelajar)

Pusat
media

Pengajaran Kurikulum
guru

Peranan media dala pendidikan Formaal


(rujukan Jurnal PSP 1982 ms. 24)
Oleh kerana didapati bahawa manusia belajar melalui lima pancaindera
dengan kekuatannya yang berbeza-beza, usaha-usaha ke arah penglibatan pancaidera
yang lebih banyak diberi penekanan dalam proses pendidikan.

Rajah 2
Peratus penggunaan sesuatu pancaindera.

Pancaindera % Penggunaan
Melihat 83%
Mendengar 11%
Menghidu 3 1/2%
Menyentuh 1 ½%
Merasa 1%

Sejajar dengan peratusan yang besar iaitu sebanyak 94% proses melalui
penglihatan dan pendengaran, adalah perlu suatu langkah yang bijak bilamana konsep
TVP yang menggabungkan ciri-ciri tersebut akan memberikan penghasilan dan
keberkesanan pembelajaran kepada pelajar. Smith (1961) menyatakan bahawa, “TVP
menolong para pelajar memperolehi kemahiran-kemahiran dalam mengambilkira
dan juga membuat garis-garis panduan dalam meningkatkan atau
memperkembangkan keupayaan melihat dan mendengar”.

Dalam kajian ini dijangkakan bahawa penggunaan TVP dalam proses


pengajaran dan pembelajaran akan menghasilkan keberkesanan yang tinggi sekiranya
kurang kelemahan dan masalah yang dihadapi oleh guru-guru. Keberkesanan yang
positif juga akan terhasil sekiranya guru-guru bersikap positif dan menggunakan TVP
dengan cara yang disarankan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan. Sebaliknya,
tingkat keberkesanan penggunaan TVP dalam pengajaran dan pembelajaran dijangka
rendah sekiranya terdapat banyak kelemahan dan masalah dalam penggunaannya.
Adalah dijangkakan juga bahawa pelajar-pelajar yang menonton TVP akan
menghasilkan pencapaian yang tinggi dalam ujian yang diberikan.
Disamping itu, adalah dijangkakan juga bahawa sikap Kementerian Pelajaran,
Bahagian Teknologi pendidikan, pihak pentadbir, guru-guru dan pelajar-pelajar akan
mempengaruhi secara tidak langsung terhadap keberkesanan penggunaan TVP dalam
proses pengajaran dan pembelajaran.
Diharapkan pada peringkat akhir kajian ini pengkaji dapat memperolehi hasil
penyelidikan yang dapat memberi manfaat oleh setiap golongan masyarakat secara
langsung ataupun tidak langsung dalam bidang pendidikan.

1.6 Batasan Kajian


Kajian ini dijalankan di Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari Tanjong
Malim Perak. Pengkaji akan mengunjungi sekolah ini bagi tujuan kajian seperti
menyampaikan soalan soalselidik dan juga membuat pemerhatian mengenai
penggunaan siaran program TVP di sekolah.
Bagi menjayakan kajian ini, penglibatan beberapa pihak yang terlibat secara
lansung dan tidak langsung. Antaranya ialah:-
a. Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari
b. Penyelaras Media SMK Khir Johari
c. Guru dan kakitangan SMK Khir Johari
d. Pelajar tingkatan 2 SMK Khir Johari

1.7 Kepentingan Kajian


Harapan pengkaji yang besar, agar hasil daripada kajian yang akan dibuat ini
bakal dapat memberi sedikit sebanyak pertolongan kepada BTP bagi mengenalpasti
dan mengemaskini tajuk-tajuk di dalam sukatan mata pelajaran Kemahiran Hidup di
peringkat sekolah menengah rendah mengenai keperluan pengguaan TVP atau
sebaliknya. Ini bertujuan untuk menjadikan ia lebih menarik dan peratusan
keberkesanannya akan meningkat. Seterusnya ianya akan dapat memberi
kesinambungan kajian dan penyelidikan selanjutnya serta menjadi panduan ke arah
perancangan pendekatan baru yang lebih sistematik dalam penerbitan rancangan TVP
Kemahiran Hidup di menengah rendah. Hal ini supaya dapatlah pihak BTP dan
pegawai pegawai dapat membuat tindakan susulan dan mengambil tindakan-tindakan
positif untuk meningkatkan lagi keberkesanan penggunaanTVP seterusnya
meninggikan lagi prestasi pelajar.
Kepada kementerian pendidikan, pihak sekolah, guru-guru, pelajar, ibu-bapa
dan semua pihak yang berkaitan secara langsung atau tidak langsung dalam dunia
pendidikan , kajian ini diharapkan dapat meningkatkan lagi mutu pendidikan negara
dengan memperbaiki beberapa kelemahan yang wujud dan mempertingkatkan
keberkesanan TVP di masa hadapan.
Bab 2 : TINJAUAN KAJIAN YANG BERKAITAN

2.1 Pendahuluan (tinjauan umum bidang yang berkaitan)

2.2 Tinjauan khusus mengikut persoalan kajian

2.3 Teknologi Pendidikan

2.4 Bahagian Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia

2.5 Fungsi Televisyen Pendidikan

2.6 Faedah Televisyen Pendidikan


Bab2 : TINJAUAN KAJIAN YANG BERKAITAN

2.1 Tinjauan Umum Bidang Berkaitan

Terdapat sebilangan kajian yang telah dijalankan oleh sarjana-sarjana


Barat yang berkaitan dengan kepentingan televisyen sebagai Media Pendidikan.
Kebanyakan hasil yang diperolehi sebagai rumusannya menyatakan bahawa
kepentingan televisyen sebagai Media Pendidikan adalah terbatas kepada bidang-
bidang tertentu. Televisyen Pendidikan tidak dapat berperanan menggantikan tempat
guru sebagai penyampai maklumat secara menyeluruh.
Kajian awal telah dijalankan oleh H. Kumata (1956) telah menghasilkan
sebuah buku yang berjudul “ An Inventory of Instructional Television Research.
Diikuti oleh Holmes(1959) dalam bukunya yang bertajuk “Television Research in the
Teaching Learning Process”. Manakala Briggs dan rakan-rakannya(1967) dalam
kajian mereka telah menyatakan:-
“Kajian perbandingan di antara pengajaran yang menggunakan
televisyen dengan pengajaran bersemuka (pengajaran tradisional) merupakan jenis
kajian yang banyak sekali dijalankan. Namun demikian, kebanyakan daripada
kajian-kajian tersebut tidak menunjukkan bahawa pengajaran melalui televisyen
adalah lebih baik daripada pengajaran tradisional atau sebaliknya. Adakala satu
cara itu lebih baik daripada cara yang lain atau sebaliknya.”

Satu lagi kajian perbandingan yang telah dibuat oleh L.C. Barrow dan
B.H. Westly (1959) menyatakan bahawa:-
“Kajian perbandingan di antara pengajaran melalui televisyen dengan
pengajaran yang menggunakan media pengajaran lain tidak banyak yang dijalankan.
Satu contoh kajian ialah perbandingan pengajaran melalui televisyen dengan
pengajaran yang menggunakan radio. Kedua-dua menggunkan skrip yang sama,
dihasilkan oleh seorang penulis, untuk satu mata pelajaran Hal Ehwal Semasa.
Keputusan kajian mendapati bahawa pengajaran melalui televisyen adalah lebih
berkesan”.
Adalah menjadi satu kenyataan bahawa perkembangan Teknologi
Pendidikan, khususnya TVP banyak menolong para pendidik dan pelajar dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Manakala menurut Vernon S. Gerlach dan
Donald P. Ely dalam bukunya, “Teaching and Media – A Systematic
Approach”(1980) telah menyatakan bahawa:-
“Television is an electronic system of transmitting still and moving
images of accompanying sound over wire or through space. The system employs
equipment that converts light and sound into electrical impulses and reconvert them
into visible light rays ad audible sound”.

Daripada kombinasi di atas dapatlah difahami bahawa televisyen boleh


dibahagikan kepada dua ketogeri
a. televisyen sebagai media komunikasi massa
b. televisyen sebagai media pendidikan

2.2 Tinjauan Khusus Mengikut Persoalan Kajian


Kassim Abas dalam bukunya bertajuk “ Pusat Sumber Sekolah, Struktur
dan Organisasi”, (1989), beliau ada menyatakan lebih kurang 83% daripada
pengalaman pembelajaran kita adalah dari imej visual. Perjalanan guru dan pelajar ke
sekolah biasanya dipenuhi dengan imej visual seperti denai, pokok, jalan raya,
bangunan, kenderaan, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan berbagai-bagai lagi yang akan
dapat dilihat sepanjang perjalanan.
Imej-imej visual ini akan kekal dalam tempoh yang lama berbanding
dengan panca indera yang lain. Dengan hal yang demikian, media televisyen dengan
imej visual dan diperkukuhkan lagi dengan kesan bunyi, mempunyai potensi sebagai
media pengajaran dan pembelajaran yang paling berkesan.
Gagne (1968), seorang ahli pendidikan yang begitu lama berkecimpung
dalam dalm bidang teknologi berpendapat,
“Keberkesanan sesuatu ‘instructional’teknologi itu tidak banyak
bergantung kepada sifat-sifat yang ada pada teknologi itu tetapi apa yang penting
ialah cara ianya dirancangkan dan bagaimana ianya disampaikan. Kejayaan sesuatu
‘instructional’ TV banyak bergantung kepada perwatakan guru media.
Pendapat Gagne disokong oleh Moore dan Hunt. Moore dan Hunt(1980)
pula menjelaskan tiga kumpulan guru dalam pendedahan kepada teknologi
pendidikan:-
a. Enggan menggunakan teknologi pendidikan yang baru kerana sebati dengan
cara tradisi pengajaran yang lama.
b. Enggan menggunakan teknologi pendidikan yang baru walaupun mengakui
bahawa penggunaannya banyak mendatangkan faedah.
c. Enggan menggunakan teknologi yang baru kerana kurang pengetahuan dan
pemahaman serta menyedari bahawa penyalahgunaan teknologi akan
mendatangkan bahaya.
Brown Wietal(1983), pula menyokong pendapat Moore dan Hunt.
Menurut beliau, terdapat sebilangan besar guru-guru yang enggan menggunakan
TVP. Alasannya hendak menghabiskan sukatan matapelajaran mengikut masa yang
telah dirancang. Kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa ingin menyelesaikan
Sukatan Pelajaran mengikut perancangan tahunan bagi matapelajaran banyak
menyebabkan guru mengabaikan penggunaan TVP.

Dalam aspek yang lain pula, Hancock Alan (1971) menyatakan: “TVP
menggabungkan dua disiplin iaitu pendidikan dan penyiaran. Walau bagaimanapun,
kedua-duanya mempunyai perhubungan yang sedikit. Ini kerana masing-masing
merasa tidak perlu untuk memahami kaedah atau objektif yang satu lagi. Ahli
profesional TV pula biasanya menitikberatkan teknik dan tidak kepada strategi
pendidikan dan penggunaannya.”

Seorang lagi pengkaji Barat, Wilbur Schramn telah membuat satu kajian
mengenai teori komunikasinya. Schramn mendapati bahawa terdapat tiga golongan
pelajar, iaitu:-
a. Pelajar yang didapati pembelajaran melalui televisyen lebih berkesan.
b. Pelajar yang didapati pembelajaran melaui guru lebih berkesan.
c. Pelajar yang didapati bahawa tiada perbezaan di antara pengajaran guru
dengan pengaran melalui televisyen.

Dalam kajiannya, Schramn telah mengumpul 393 responden dan hasil


kajiannya menunjukkan bahawa:-
Pendapat Bil. Responden Peratusan
1. TV lebih berkesan 83 orang 21.1%
2. Guru lebih berkesan 55 orang 13.9%
3. Tiada perbezaan 255 orang 64.0%
Jumlah 393 orang 100%
Rajah 3 – Keputusan kajian Schramn

Namun demikian, mengikut sesetengah pendapat pengkritik, keputusan


yang diperolehi itu tidak begitu konsisten dan sukar untuk diperjelaskan. Kenyataan
ini harus diterima dan media televisyem seharusnya dikelaskan sebagai salah satu
cara mengatasi beberapa masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar.
Che Lah Abd. Rahman (1987), dalam tesisnya bertajuk “Keberkesanan
Pengajaran dan Pembelajaran Matematik Rendah menerusi program TVP bagi
sekolah Zon Tumpat Kelantan.” Dalam tesis berkenaan, beliau merumuskan:-
“Televisyen adalah berkecuali, ianya bukan pendidikan atau pengenalan
diri, ianya satu cara dan bukannya satu matlamat, ianya semata-mata satu instrumen
atau alat yang digunakan untuk membuat tugas pendidikan yang tertentu dan
bermutu bagi dimensi-dimensi untuk tugas ini adalah satu pertimbangan asas bagi
para pendidik yang berminat dalam penggunaan televisyen. Ianya tidak boleh
dengan sendiri melaksanakan fungsi-fungsi pendidikan yang penting, dan ianya tidak
boleh diharapkan untuk berbuat demikian”.
Mohd Safien Awang (1989/1990) dalam tesisnya yang bertajuk
“Penggunaan TVP dapat membantu pencapaian Matematik. Satu kajian di Sekolah
Kebangsaan Felda Neram Satu, Kemaman, Terengganu. Hasil dapatannya telah
mendapati bahawa 90% dari kalangan responden kajiannya, beranggapan bahawa
segala Rancangan TVP di bidang Matematik rendah yang mereka tontoni berfaedah
dan dapat menambahkan lagi pengetahuan mereka. Daripada keseluruhan analisa dan
penemuan, beliau mendapati di bawah tajuk-tajuk tertentu seperti Pecahan, Operasi
Serentak dan Perimeter, penggunaan TVP dalam proses pengajaran dan pembelajaran
banyak membantu responden untuk meningkatkan lagi pemahaman yang lebih baik.

2.3 Teknologi Pendidikan


Ahli Jawatankuasa Pendidikan Amerika Syarikat (The North Center
Association of College and School) memberi definisi Teknologi Pendidikan sebagai:-
“ Instructional technology is the combination of human and non human
resource employed in systematics way in the design, implemantation and evolution of
the total process of learning and teaching”.

Daripada pendapat D. Unwin untuk bukunya yang bertajuk “Educational


Technology” kesimpulan yang dapat dibuat ialah Teknologi Pendidikan ialah salah
satu cabang disiplin Pendidikan dan latihan. Teknologi Pendidikan mengutamakan
penggunaan media dan kaedah-kaedah lain dari penggunaan persekitaran para
pendidikan untuk menghasilkan pembelajaran yang berkesan.
Teknologi Pendidikan selain daripada penggunaan ‘hardware’ dan ’software’
secara sistematik, ia juga meliputi kaedah dan teknik-teknik yang digunakan dalam
proses pengajaran dan pembelajaran. Teknologi Pendidikan juga menggunakan
dapatan-dapatan penyelidikan dari lain-lain bidang pengetahuan seperti psikologi,
komunikasi, elektronik dan teori-teori pembelajaran.
Teknologi Pendidikan lebih mengutamakan proses dan idea pengajaran dan
pembelajaran.
(Proses + idea) + media = Teknologi Pendidikan
Proses + Idea = Kekuatan+ kekukuhan
Media = Kejayaan

Proses dan idea meliputi segala jenis perancangan pembelajaran dan program,
iaitu penemuan objektif pelajaran, pemahanan kumpulan sasaran, penyusunan isi,
penilaian kaedah, teknik, strategi dan pembentukan suasana pembelajaran. Sementara
media ialah sesuatu medium tertentu seperti buku teks, bahan-bahan bercetak,
televisyen, video, radio, pita rakaman, komputer dan lain-lain termasuk juga
penggunaan media itu sendiri dalam bidang pendidikan. Sebagai rumusannya,
Teknologi Pendidikan meliputi suatu bidang yang bertujuan untuk memberi
pengajaran yang berkesan dan bermutu melalui penggunaan pelbagai media dan
perkaedahan yang berdasarkan kepada penyelidikan dan penilaian secara lebih
bersistematik. Penumpuan dan matlamatnya ialah memudahkan pelajar untuk
menerima pelajaran yang disampaikan. Oleh kerana itu pendekatan teknologi dalam
pendidikan melibatkan empat komponen yang saling berkaitan:-

pelajar bahan penyelidikan pengurusan

Rajah 4 pendekatan teknologi

2.4 Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia

Pada 19 Jun 1972, Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Allahyarham Tun
Abdul Razak bin Datuk Hussein telah merasmikan Pusat Perkembangan Sebaran
Pendidikan. Pada ketika itu juga beliau telah mengisytiharkan perlaksanaan siaran
TVP di negara ini. Televisyen Pendiddikan mula diletakkan di bawah Unit Bahagian
Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia pada tahun 1988.melalui
unit ini perancangan-perancangan tertentu telah dibuat untuk perkhidmatan media
yang bertujuan membantu memperbaiki dan meningkatkan lagi mutu pengajaran dan
pembelajaran di sekolah-sekolah negara ini.

2.4.1 Matlamat BTP


Matlamat Bahagian Teknologi Pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia
adalah sejajar dengan Falsafah pendidikan Kebangsaan iaitiu untuk mengembangkan
potensi setiap individu secara menyeluruh dan bersepadu iaitu ”membantu
meningkatkan mutu Pendidikan di negara ini”.

2.4.2 Objektif BTP


Di antara objektif Teknologi Pendidikan termasuklah :
a. Untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingannya peranan Teknologi
Pendidikan dalan perkembangan dan kemajuan Pendidikan Negara.
b. Untuk memberi perkhidmatan bantuan dan sokongan yang boleh
mengukuhkan proses pengajaran dan pembelajaran khususnya untuk sekolah-
sekolah yang berada di luar bandar.
c. Untuk membantu guru-guru menyampaikan pelajaran cara yang lebih kreatif
dan inovatif melalui penggunaan pelbagai media pendidikan
d. Untuk mendorong pelajar-pelajar memperolehi pengetahuan secara lebih
menarik dan berkesan melalui pelbagai jenis media

2.5 Fungsi Televisyen Pendidikan


Di antara peranan dan fungsi Televisyen Pendidikan termasuklah:-
a. Membantu memperbaiki mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah-
sekolah melalui TVP.
b. Menyediakan bahan-bahan sokongan dalam pengajaran di bilik darjah
mengikut keperluan semasa.
c. Menerbitkan dan menyiarkan rancangan yang dapat memupuk minat pelajar
dan bakat mereka yang sesuai dengan keperluan pendidikan.
d. Menerbitkan rancangan-rancangan televisyen KBSM dan menyiarkannya
mengikut jadual yang telah dirancang.

2.6 Feadah-faedah Televisyen Pendidikan


Di antara kesan baik penggunaanTelevisyen Pendidikan ialah:-
a. TVP mampu menjadikan tahap pendidikan yang lebih produktif. Penggunaan
Media Teknologi boleh mempercepatkan proses pengajaran. Dengan ini guru
akan mempunyai masa terluang untuk aktiviti seperti perancangan dan
penyelidikan. Penggunaan rancangan TVP ini boleh menggantikan peranan
guru untuk jangka masa yang tertentu. Guru hanya bertindak untuk
menjelaskan fakta-fakta yang tidak difahami oleh pelajar.
b. Ia menjadikan pegajaran lebih bertenaga. Bentuk komunikasi yang baru dapat
menambahkan keupayaan manusia, media teknologi boleh merangsangkan
pembelajaran, membawa peristiwa atau situasi yang jauh kepada pelajar, ia
boleh memendekkan dan memanjangkan masa berlakunya peristiwa, ia
mengecilkan atau membesarkan saiz-saiz objek dan dengan cara ini boleh
melakonkan sesuatu kejadian yang sukar untuk memudahkan kefahaman
pelajar.
c. Ia menjadikan pembelajaran lebih ’immediate’ media teknologi bagi
membantu merapatkan jurang di antara dunia luar dengan persekitaran
sekolah. Operasi kurikulum sekolah menjadi lebih dinamis menerusi
televisyen. Maklumat-maklumat pengetahuan dan realiti yang dipilih
daripada buku-buku teks disampaikan kepda pelajar dalam bentuk
kesimpulan-kesimpulan yang telah siap diproses. Ianya dapat memudahkan
pelajar memahami pelajaran. Ini kerana pemebelajaran dapat digambarkan
dengan jelas.
d. Ia boleh menjadikan pendidikan lebih seimbang. Keadaan persekitaran
mungkin tidak sama tanpa adanya media-media teknologi. Melalui Media
Teknologi, setiap pelajar samada di kawasan bandar atau di kawasan terpencil
akan dapat kesempatan mempelajari bahan yang sama.
e. Menjadikan pelajaran lebih tersususn. Mengikut pendekatan sistem, media
merupakan satu komponen dalam pembentukan pengajaran. Untuk
memasukkan bahan media di dalam proses pengajaran, perancangan
pengajaran oleh guru perlulah disediakan terlebih dahulu untuk menjadikan
pengajaran lebih tersusun.
f. Memperkayakan pengalaman dan maklumat pelajar. Dengan penggunaan
media ini dapat membawa peristiwa yang jauh kepada pelajar. Sebagai
contohnya pelajar dapat melihat kehidupan haiwan-haiwan yang berada di
Afrika Selatan.
g. TVP dapatmengadakan beberapa teknik pembelajaran memlalui rancangan-
rancangan yang bercorak kuliah, wawancara, perbincangan, perbahasan,
pidato, demontrasi bercorak lakonan dan dokumentari.
h. TVP boleh membantu mempercepatkan langkah-langkah pembaharuan
kurikulum.
i. TVP boleh membantu pelajar belajar semasa cuti persekolahannyan panjang
di rumah. Ini kerana program rancangan TVP ini turut disiarkan ketika cuti
sekolah.
Bab 3 kaedah kajian

3.1 Pendahuluan

3.2 Kaedah / rekabentuk

3.3 Subjek/ sampel kajian

3.4 Alatan kajian

3.5 Cara kerja

3.6 Pengumpula, menganalisa dan penulisan data


Bab ketiga Kaedah kajian

3.1 Pendahuluan
Salah satu daripada tujuan penulisan ini ialah untuk membuktikan bahawa ada
tajuk-tajuk dalam matapelajaran Kemahiran Hidup di Sekolah menengah rendah
memerlukan penggunaan TVP ini bagi mendapatkan kefahaman yang lebih jelas
mengenai konsep yang hendak diperjelaskan oleh guru. Ini adalah untuk melihat
sejauh mana program TVP ini dapat membantu dalam pengajaran dan pembelajaran

3.2 Kaedah /Reka bentuk


Kaedah yang dipilih adalah kaedah soal selidik. Ini bertujuan untuk
mendapatkan maklum balas dari guru, pelajar dan pentadbir bagi mengetahui sejauh
mana kesesuaian dan keberkesanan rancangan TVP dalam matapelajaran Kemahiran
Hidup di sekolah menengah rendah
Sesi temuramah dan pemerhatian juga turut dijalankan untuk mengetahui
masalah-masalah yang timbul dalam penggunaan siaran TVP dan juga sambutan guru
dan pelajar dalam memanfaatkan rancangan-rancangan yang disiarkan.

3.3 Subjek /sampel Kajian


Sampel kajian ini terdiri pelajar daripada dua kelas tingkatan 2 Sekolah
Menengah Kebangsaan Khir Johari, Tanjong Malim Perak. Pelajar-pelajar di sekolah
ini terdiri dari Bangsa Melayu, Cina, India, Pujabi dan sebilangan kecil Orang Asli.
Sekolah ini dibawah kategori sekolah gred A dan mempunyai guru seramai 119
orang. Sekolah ini mempunyai kemudahan-kemudahan yang baik. Ini membolehkan
guru dan pelajar mengikuti rancangan TVP. Sekolah ini dibekalkan dengan
kemudahan televisyen, perkhidmatan Astro, alat perakam dan juga bilik tayangan.
Sejumlah 75 orang pelajar dari dua kelas yang berbeza. Pelajar tingkatan 2
Waja mengikuti pengajaran guru dan juga siaran TVP di bawah tajuk KERJA KAYU
DAN LOGAM. Sementara pelajar tingkatan 2 Wira pula hanya mengikuti tajuk
berkenaan melalui pengajaran guru sahaja
Keseluruhannya seramai 85 responden yang telah dipilih secara rawak dalam
kajian ini termasuk guru dan pelajar

3.4 Alat kajian


Alatan kajian yang digunakan didalam kajian ini ialah:-
a. Soal selidik
Dua set soalselidik telah dikemukan kepada persempalan dari kalangan guru dan
pelajar yang pernah menggunakan TVP bagi memperolehi pendapat dan maklumat
mengenai kesesuaian dan keberkesanan, perlaksanaan serta kandungan rancangan
TVP dalam matapelajaran Kemahiran Hidup. Soalan yang dikemukakan kepada guru
dan pelajar-pelaja. Persempalan dikehendaki untuk menanda () di dalam petak
jawapan yang difikirkan sesuai
b. Temuramah
Sesi temuramah diadakan bersama pengetua dan guru media yang mengendalikan
rancangan TVP bgai mendapatkan maklumat –maklumat yang berkaitan dengan
masalah penggunaan peralatan, penerimaan siaran, kesesuaian waktu siaran
rancangan dan sikap serta minat dalam penggunaan TVP sebagai alat bantu mengajar.
c. Pemerhatian
Pemerhatian terhadap reaksi-reaksi yang ditunjukkan oleh pihak pentadbir, guru dan
pelajar di dalam penggunaan siaran rancangan TVP juga telah dibuat untuk
menguguhkan lagi dapatan yang telah dibuat.

Populasi kajian ini terdiri daripada pelajar tingkatan dua dan guru-guru
tingkatan yang pernah menggunakan TVP

3.5 Cara Kerja


Sebelum menjalankan kajian yang dirancangkan, pengkaji akan membuat dua
set soalselidik, iaitu set pertama adalah soalselidik tertutup. Di sini responden akan
menanda jawapan pada jawapan ya atau tidak. Manakala set yang kedua pula set
soalselidik terbuka. Di sini pelajar akan menjawab dalam bentuk ayat yang ringkas.
Pada hari pengkaji membuat kajian di sekolah, pengkaji akan berjumpa
pengetua untuk meminta kebenaran untuk menjalankan kajian di sekolah yang dipilih
dan meminta kebenaran untuk menemubual guru media dan guru-guru yang berkaitan
bagi mendapat maklum balas mengenai kekerapan dan keberkesanan penggunaan
program TVP ini dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pengkaji meminta dua
kelas tingkatan untuk menjalankan kajian.
Pada kelas yang pertama, sebuah kelas akan dibawa ke bilik tayangan untuk
menonton tayangan program TVP. Di sini guru berperanan untuk menerangkan apa
yang tidakdifahami oleh pelajar. Segala pertanyaan boleh dibuat semasa atau selepas
menonton yang program TVP. Namun sebaiknya sebarang pertanyaan dibuat selepas
tayangan. Ini akan dapat mengelakkan gangguan pada pelajar lain yang ingin melihat
apa yang sedang disiarkan pada program yang disiarkan.
Semasa proses menonton ini pemerhatian juga akan dibuat. Ini adalah
bertujuan untuk melihat tindakbalas dan respon pelajar terhadap program yang
disiarkan. Jika pelajar menumpukan sepenuh perhatian terhadap program yang
disiarkan ini bermakna program mempunyai tahap keberkesanan adalah tinggi.
Sebuah lagi kelas, mempelajari tajuk yang sama dengan hanya melalui pengajaran
guru sepenuhnya. Di akhir setiap kelas akan diberi kertas soalselidik unruk melihat
sejauhmana keberkesanan sesuatu tajuk itu disiarkan didalam TVP.
Setelah selesai soalseldik dan pemerhatian yang dijalankan di sekolah,
pengkaji akan melihat semua data yang dikumpul dan hasilnya akan dianalisa.

3.6 Pengumpulan, Menganalisa dan Penulisan Data


Setelah semua maklumat daripada kajian yang dibuat diperolehi, data-data
tersebut akan dikumpul dan analisa. Hasil data-data yang dianalisa akan dimasukkan
ke dalam jadual. Peratusan bagi setiap data yang dikumpul akan dibuat dan hasil
peratusan ini akan dinyatakan dalam bentuk histogram.
Terdapat juga penemuan kajian mengenai keberkesanan program TVP yang
pernah dibuat oleh pengkaji pengkaji yang lepas. Hasil daripada kajian-kajian yang
lepas dan yang akan dibuat ini, akan dibandingbezakan bagi mengenalpasti tahap
keberkesanan pengajaran dan pembelaran melalui penggunaan program TVP ini.
Lamapiran soalselidik

Soalanselidik tertutup
Sila tanda petak yang berkenaan.
Ya Tidak
1. Adakah anda sering menggunakan TVP?
2. Dimanakah anda menggunakan TVP?
Rumah
Sekolah
3. Adakah program yang disiarkan menarik minat anda?
4. Adakah program TVP ini memberi pengetahuan?
5. Adakah program ini memberi kefahaman kepada anda?
6. Adakah program ini memberi kesan positif dalam
pembelajaran anda?
7. Adakah program TVP ini perlu diteruskan siarannya?
8. Adakah waktu siaran TVP ini bersesuaian?

Set soalselidik terbuka


Sila jawab pada ruangan yang disediakan
1. Sudah lamakah anda mengikuti program TVP ini?
2. Apakah subjek yang anda ikuti melalui program TVP?
3. Apakah pendapat anda mengenai isi kandungan di dalam TVP?
4. Apakah yang anda harapkan melalui program TVP ini?
5. Apakah yang perlu ditambah pada program TVP ini?
6. Jika anda berpendapat program TVP perlu diteruskan, nyatakan alasan
kenapa ia perlu diteruskan?

You might also like