You are on page 1of 3

Pendemokrasian pendidikan.

Negara telah mengalami banyak perubahan dalam sistem pendidikan.


Bermula dari Penyata Pelajaran Razak (1956), Ordinan Pelajaran 1957, Laporan
Abdul Rahman Talib (1960), Akta Pelajaran (1961) dan Laporan Kabinet (1979).
Hasilnya berlaku perkembangan dalam sistem pendidikan negara. Perkembangan
yang berlaku dalam sistem pendidikan berjalan secara terancang dan teratur.
Banyak kemudahan–kemudahan pendidikan telah dibangunkan dan
pendemokrasian pendidikan telah menjadi satu dari dasar sistem pendidikan di
Malaysia.

Mengikut Kamus Dewan pendemokrasian bermakna peluang, tindakan atau


proses manakala pendidikan bermaksud mendidik dengan ilmu pengetahuan.
Pendemokrasian pendidikan bermaksud memberi peluang-peluang yang sama untuk
semua kanak-kanak mendapatkan pendidikan. Pendemokrasian pendidikan itu
ditegakkan atas beberapa prinsip antaranya setiap orang adalah berhak ke atas
pendidikan. Pendidikan haruslah boleh dipelajari secara bebas, tanpa sebarang
sekatan-sekatan yang tertentu atau setidak-tidaknya pada peringkat asas dan
peringkat dasar. Salah satu aspek pendemokrasian pendidikan di Malaysia ialah
memberikan peluang seluasnya kepada pelajar untuk mendapat pendidikan tanpa
mengira kelas sosial, kaum dan juga gender. Pendemokrasian pendidikan
merupakan salah satu strategi untuk mencapai misi pendidikan negara, telah
mendedahkan masyarakat Malaysia kepada peluang yang luas bagi memperolehi
pendidikan pada semua peringkat. Di Malaysia, pendemokrasian pendidikan tidak
berlaku semasa zaman penjajahan. Anggota-anggota masyarakat tidak mempunyai
peluang yang sama apabila sekolah–sekolah dibezakan mengikut kaum, kelas atau
status, kurikulum dan lokaliti. Yuran yang dikenakan pada ketika itu juga
menyulitkan lagi penduduk miskin. Oleh itu orang-orang miskin atau sebahagian
besar penduduk Malaysia pada ketika itu telah dinafikan hak untuk mendapatkan
pendidikan.

Bagi pendidikan rendah, selepas kemerdekaan kerajaan secara beransur-


ansur telah mendemokrasikan pendidikan di Malaysia. Kerajaan telah menyediakan
peluang-peluang yang sama untuk semua orang mendapatkan pendidikan. Ordinan
Pelajaran 1957 misalnya, telah mencadangkan agar semua kanak-kanak menerima
pelajaran dalam tempoh sekurang-kurangnya enam tahun. Sungguhpun begitu
ianya tidak memberikan implikasi yang besar kerana pelajarnya masih lagi dikenakan
bayaran yuran bagi mereka untuk mendapatkan pendidikan.

Bagi pendidikan menengah pula, seterusnya, peluang untuk semua kanak-


kanak untuk mendapatkan pendidikan telah diberikan kepada semua lapisan
masyarakat tanpa mengira kelas sosial, etnik,dan gender sekurang-kurang
sekurang-kurangnya hingga ke tingkatan tiga. Mulai 1999, peluang bagi semua
pelajar untuk memasuki tingkatan empat telah diperluaskan. Mereka yang hanya
lulus satu mata pelajaran sahaja layak untuk naik ke tingkatan empat. Ini bagi
memastikan setiap rakyat berpeluang mendapat pendidikan sehingga ke tingkatan
lima. Selain daripada itu, bentuk bantuan-bantuan pendidikan lain diberikan oleh
kerajaan bagi membuka peluang kepada mereka untuk mendapat hak pendidikan.
Salah satu bentuk bantuan ialah dengan penubuhan sekolah-sekolah berasrama
yang memudahkan pelajar mendapatkan pendidikan tanpa perlu berulang-alik dari
rumah ke sekolah setiap hari yang sudah tentu memerlukan kos yang banyak.
Pembinaan sekolah-sekolah berasrama penuh ini juga telah mula banyak dibina bagi
tujuan membuka peluang pendidikan kepada pelajar.

Di samping pembangunan sekolah-sekolah berasrama, sekolah-sekolah


harian rendah dan menengah banyak dibina di bandar-bandar ataupun di desa-desa.
Kerajaan juga tidak menafikan peluang bagi golongan istimewa ataupun kanak-
kanak cacat untuk mendapat hak atau peluang untuk mendapatkan pendidikan.
Untuk tujuan tersebut kerajaan telah membangunkan sekolah-sekolah khas bagi
memenuhi keperluan golongan tersebut mendapatkan pendidikan.

Kesimpulannya, konsep pendidikan untuk semua bukanlah sekadar meliputi


peluang yang sama untuk mendapat pendidikan semata-mata tetapi
pendemokrasian pendidikan yang dihajati haruslah juga merangkumi peluang bagi
semua individu untuk mendapat pendidikan yang berkualiti. Dengan lain perkataan,
tidak harus wujud sebarang perbezaan dan diskriminasi di mana-mana peringkat
masyarakat dari segi peluang dan mutu dalam pelaksanaan sistem pendidikan
pendidikan negara. Menurut Nor Aziah bt. Alias dan Azni Zain bt. Ahmed (1995)
pendidikan seharusnya merangkumi dan terbuka kepada segenap lapisan
masyarakat, bukan sahaja dari segi geografi bahkan juga dari segi golongan jenis
dan sektor ekonomi.

You might also like