You are on page 1of 18

MASALAH MELAYU PULAU PINANG

KARANGAN ASAL OLEH

DR. NUNGSARI AHMAD RADHI

1
Masalah Melayu Pulau Pinang

Masalah Melayu Pulau Pinang ini berpunca kerana realiti orang Melayu adalah minoriti
di Pulau Pinang dan oleh itu ianya tidak sama dengan masalah Melayu di negeri lain.
Persepsinya orang ramai ialah Pulau Pinang ini lebih kurang sama dengan Singapura
di mana orang Melayu adalah juga kaum minoriti terutamanya di bahagian pulau dan
oleh itu dilihat bermasalah atau ditindas oleh kaum majoriti bukan Melayu.

Hakikatnya kedudukan orang Melayu Pulau Pinang adalah lebih kurang sama saja
dengan orang-orang Melayu di negeri negeri lain. Melayu di negeri lain adalah kaum
majoriti yang membentuk kerajaan bertunjangkan orang Melayu tetapi tidak di Pulau
Pinang. Kini Pulau Pinang ditadbir oleh kerajaan Barisan Alternatif yang merangkumi
parti DAP, PKR dan PAS. Di peringkat Kerajaan Persekutuan, negara diperintah oleh
Barisan Nasional sebuah parti campuran yang bertunjangkan kepimpinan Melayu.

Kedudukan sebagai minoriti bukanlah ciri utama masalah Melayu Pulau Pinang kerana
sejak zaman penjajahan British lagi Melayu adalah gulungan minoriti di Pulau Pinang.
Yang lebih memeritkan ialah kedudukan minoriti orang Melayu di bahagian pulau
semakin mengecil. Masalah kedudukan Melayu di pulau menjadi lebih perit dan
runcing akibat dari emigrasi keluar orang Melayu dari kawasan pulau ke tanah besar
semenanjung dan pada masa yang sama migrasi orang bukan Melayu ke bahagian
pulau terus meningkat.

Berdasarkan kepada kedudukan demografi sekarang, pada keseluruhannya adalah


diunjurkan orang bukan Melayu akan manjadi majoriti terbesar mencapai 95 % di
Pulau manakala orang Melayu akan menjadi majoriti terbesar mencapai 65 % di
Seberang Perai menjelang tahun 2020 akibat perpindahan ramai-ramai orang Melayu
dari pulau ke Seberang Perai.

2
Puncanya adalah jelas iaitu disebabkan oleh faktor ekonomi di mana orang bukan
Melayu lebih berkemampuan untuk membeli hartanah yang terhad dan oleh itu mahal
di kawasan pulau dibandingkan orang bukan Melayu. Sebab lain ialah kerana nilai
hartanah di pulau adalah tinggi. Orang Melayu sedia menjual hartanah di pulau dan
berpindah ke seberang untuk menikmati rumah dan kehidupan yang lebih selesa.

Yang sebenarnya kedudukan orang Melayu di Pulau Pinang tidak banyak berbeza
daripada kedudukan Melayu di negeri-negeri lain dari segi perpindahan orang Melayu
dari kawasan pembangunan atau perbandaran ke luar kawasan. Cuma dari segi
nisbahnya sahaja perpindahan orang Melayu dari kawasan bandar dan sekelilingnya
ke luar bandar di negeri-negeri lain tidaklah begitu ketara kalau dibandingkan di
bahagian pulau negeri Pulau Pinang. Pokoknya, Melayu terus ketinggalan dalam arus
pembangunan Negara.

Oleh itu, ciri demografi dan politik orang Melayu Pulau Pinang bukanlah ciri utama
masalah orang Melayu Pulau Pinang dan perincian utama masalahnya ialah kerana
faktor ekonomi yang lemah dan ingin mengecap kesenangan hidup dengan cara
mudah.

Yang menguasai ekonomi dan bekerja keras akan terus kaya dan dapat tinggal di
tempat yang mewah lagi mahal. Penomena ini jelas berlaku di semua bandar-bandar
besar di Malaysia. Mungkin di Kuala Lumpur agak berbeza sedikit kerana orang-orang
Melayu yang tinggal di sana adalah dari kalangan teknokrat, peniaga-peniaga berjaya,
pegawai-pegawai tinggi dari sektor awam dan swasta yang mempunyai pendapatan
yang lebih baik kalau dibandingkan dengan mereka yang tinggal dan bekerja di Pulau
Pinang. Selain dari itu Kuala Lumpur ialah ibu negeri yang menyediakan banyak
peluang untuk semua orang maju terutama mereka yang mempunyai rangkaian yang
luas dan kuat.

3
Kedudukan Ekonomi Keterbelakang

Hakikatnya kedudukan ekonomi orang Melayu di bahagian pulau terutamanya adalah


keterbelakang jika diukur dari segi tahap pendapatan tahunan, kekayaan yang diwarisi,
hak milik hartanah, penguasaan perniagaan dan penyertaan secara aktif di dalam
ekonomi negara secara keseluruhannya. Perkara ini sudah berlangsung sekian lama
sejak dahulu kala lagi tapi tidaklah begitu serius pada hari ini di mana jurang kekayaan
antara orang Melayu dan bukan Melayu semakin lebar. Melayu di bahagian pulau
dilihat semakin terpinggir di sebalik arus deras pembangunan.

Mengikut bancian, purata pendapatan isi rumah Melayu pada dasarnya adalah lebih
rendah daripada purata pendapatan isi rumah bukan Melayu di mana-mana jua di
Malaysia kecuali kaum India. Manakala, agihan pendapatan di kalangan orang Melayu
adalah tidak seimbang dimana sebahagian besar jumlah pendapatan dikuasai oleh
sebahagian kecil orang Melayu. Kebanyakan Melayu miskin tinggal di luar bandar.
Tetapi di bahagian pulau mereka menginap di kawasan perumahan awam yang sesak
(urban slums) atau di atas tanah ‘haram’ (milik orang lain) atau di atas tanah wakaf.

Antara lain statistik di bahagian pulau menunjukkan bilangan atau golongan menengah
Melayu (middle class Malays) adalah kecil berbanding dengan gulungan orang Melayu
bawahan yang hanya mampu tinggal di rumah-rumah murah (low cost flats) dan
terpaksa bergantung kepada subsidi kerajaan persekutuan dalam pembelian makanan
harian, pembelian rumah, persekolahan anak-anak, penjagaan kesihatan, latihan
pekerjaan dan sebagainya. Tanpa subsidi kerajaan maka kehidupan akan lebih susah.

Secara umumnya, bukan di Pulau Pinang sahaja, malah kedudukan kemiskinan dan
pendapat isi rumah orang Melayu daripada kebanyakan negeri di Malaysia adalah
rendah dibandingkan dengan bukan Melayu terutama sekali berbanding dengan kaum
Cina yang menguasai hampir kesemua bidang perniagaan negara.

Pulau Pinang sebenarnya mengalami kadar pertumbuhan ekonomi yang tinggi


daripada kadar nasional. Oleh itu ia mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan
peluang ekonomi kepada rakyatnya termasuklah dari kalangan orang Melayu.
Walaupun pendapatan orang Melayu Pulau Pinang mungkin lebih tinggi dari kawasan

4
lain di Malaysia kecuali di Selangor dan Wilayah Persekutuan, tetapi oleh kerana harga
tanah yang mahal (disebabkan tanah di kawasan pulau adalah terhad), maka kos
belian rumah adalah tinggi berbanding di negeri lain. Kadar pertumbuhan ekonomi
yang cepat meningkat merubah demografi penduduk Melayu di bahagian pulau.

Ia menyebabkan ramai orang Melayu Pulau Pinang memilih untuk menjual tanah atau
rumah mereka di bahagian pulau dan pindah ke daerah-daerah di Seberang Perai bagi
memiliki rumah yang lebih besar dan selesa serta persekitaran dan kehidupan yang
lebih baik. Rumah-rumah di bahagian pulau bukan sahaja mahal tetapi sempit dan
mempunyai kepadatan yang tinggi manakala kos kehidupan harian adalah tinggi.

Jika mengikut nisbah orang bukan Melayu yang tinggal di bahagian pulau mereka
bukan kesemuanya berasal dari bahagian pulau. Ramai yang berhijrah ke bahagian
pulau dari kawasan yang berdekatan seperti Seberang Perai, Kedah dan Perak kerana
mendapat peluang pekerjaan yang lebih baik di kilang-kilang milik pelabur bangsa
asing dan Cina yang didirikan di bahagian pulau. Tetapi ramai dari penduduk Melayu
Seberang Perai dan selatan Kedah berasal dari bahagian pulau. Kebanyakannya dari
kalangan orang Melayu yang berpindah dari pulau ke seberang termasuklah mereka
yang telah atau hampir berpencen dan dari gulungan pertengahan dan berumur.

Oleh kerana kilang-kilang yang didirikan di Pulau Pinang memerlukan pekerja-pekerja


mahir maka ramai dari kalangan orang bukan Melayu dari seluruh pelusuk tanah air
terutama yang berdekatan telah mengambil peluang untuk bekerja di sini. Ramai dari
mereka ini terdiri dari gulungan pelajar universiti serta pekerja-pekerja yang boleh
menguasai bahasa Inggeris dan Mandarin selain dari cilik IT. Mereka mudah
berintegrasi dan beradaptasi dengan penduduk asal bukan Melayu.

Rata-rata pekerja Melayu pula kiranya diambil bekerja dengan kilang-kilang ini hanya
ditawarkan bekerja sebagai operator dan pegawai bawahan saja. Diskriminasi ini jelas
di mana-mana kilang yang didirikan di Malaysia dan tidak terhad kepada di Pulau
Pinang sahaja. Sekiranya ada orang Melayu yang diambil bekerja sebagai pengurus-
pengurus, namun khidmat mereka tidak lama di kilang-kilang tersebut akibat pelbagai
cabaran kerja dan tekanan dalaman.

5
Pada dasarnya orang Melayu dilihat kurang berdaya saing dan tidak menyerlah dalam
alam pekerjaan. Ini ada kena mengena dengan sikap, budaya dan matlamat kehidupan
orang Melayu itu sendiri selain dari sistem pembelajaran yang tidak menitikberatkan
pengusahanan dan kemahiran terkini. Orang Melayu lebih suka bergantung dengan
kerajaan yang dilihat akan terus membela kehidupan mereka. Oleh itu mereka
merasakan tak perlu bersusah payah untuk hidup seperti kaum lain.

Kenapakah Pulau Pinang

Masalah kemunduran ekonomi melayu lebih terserlah di Pulau Pinang disebabkan oleh
dua (2) perkara :

1. Persekitaran ekonomi di Pulau Pinang adalah lebih mencabar dari negeri-negeri


lain. Kedudukan ekonomi isi rumah Melayu yang tidak terpinggir di Kedah,
Kelantan atau Melaka boleh menjadi isi rumah yang terpinggir di Pulau Pinang
terutamanya di bahagian pulau. Kedudukan modal insan Melayu yang sama
diseluruh negara akan mendatangkan kesan yang berbeza di Pulau Pinang
berbanding dengan kebanyakan Melayu di negeri lain. Ini kerana tahap
kehidupan dan persaingan adalah lebih kompetitif di Pulau Pinang.

2. Arus utama ekonomi Pulau Pinang dijana khususnya oleh pelabur asing
terutama dalam sektor perkilangan dan pembuatan. Sektor ini disokong kuat
oleh sektor perkhidmatan dan perniagaan aliran bawah (downstream) yang
dipacu oleh syarikat-syarikat dari kalangan bukan Melayu. Sektor awam yang
ramai pekerja Melayu adalah sektor yang kecil di Pulau Pinang termasuk sektor
pertanian tradisional. Ramai pekerja dari luar Pulau Pinang datang untuk
mengisi peluang-peluang pekerjaan yang disediakan oleh pelabur-pelabur asing
ini tetapi tidak ramai oang Melayu yang mengambil kesempatan untuk berniaga
dengan pelabur-pelabur ini sama ada kerana tiada modal, kemahiran atau
pengalaman. Rata-rata orang Melayu bekerja sebagai pekerja bawahan sahaja
di kilang-kilang tersebut. Ada yang bekerja sebagai jurutera dan pegawai tetapi

6
gulungan mereka tidaklah ramai. Orang Melayu tidak dapat merasa kesan
sampingan atau‘spin off’ atau ‘multiplier effect’ bagi pertumbuhan kilang-kilang
selain dari perniagaan kantin kilang.

Apakah Menifestasinya?

Manisfestasi ketidakseimbangan kedudukan ekonomi di antara Melayu dan bukan


Melayu di Pulau Pinang adalah dari segi pendapatan, kekayaan, kuasa membeli,
kualiti hidup, modal sosial, modal manusia dan sistem sokongan masyarakat.
Ketidakseimbangan inilah yang melahirkan peminggiran orang melayu Pulau Pinang
dari segi ekonomi dan sosial. Fenomena Melayu Pulau Pinang akan memberi
pengajaran kepada fenomena perbandaran atau pemodenan yang akan dirasai oleh
orang Melayu di seluruh negara. Sekiranya pemerintah Melayu tidak mempunyai satu
mekanisma untuk menangani masalah kemerosotan ekonomi orang Melayu maka
selagi itulah orang Melayu akan terus terpinggir ke kawasan luar bandar dari semasa
ke semasa.

Puncanya

Punca utama peminggiran Melayu ialah kerana tahap pendapatan yang tidak setimpal
dengan kos pemilikian aset terutamanya di bahagian pulau. Terdapat dua (2) taburan
pendapatan dengan nilai purata pendapatan yang sangat berbeza iaitu:

1. Taburan penduduk yang dicirikan oleh purata pendapatan rendah didominasi


oleh orang Melayu yang tinggal jauh dari pusat komersial dan perniagaan.
Mereka tinggal di kawasan luar bandar atau jika dibandar, kebanyakan mereka
tinggal di kawasan tanah haram atau tanah wakaf yang padat penduduk Melayu
atau di kawasan perumahan kos rendah yang berdensiti tinggi dan sesak.
2. Taburan penduduk yang dicirikan oleh purata pendapatan yang tinggi
didominasi oleh bukan Melayu sebagai pekerja mahir dan berpelajaran yang
berganding bahu dan bekerjasama antara satu sama lain. Mereka tinggal di
kawasan-kawasan mewah dan mempunyai pelbagai kemudahan hidup moden.

7
Harga rumah dan hartanah diletak pada harga pasaran yang tinggi berasaskan
penawaran yang terhad. Oleh kerana kekurangan tanah di kawasan pulau, penawaran
(supply) rumah yang dibina adalah terhad dengan pemintaan (demand) yang tinggi.
Projek perumahan kebanyakannya bersaiz kecil dan sederhana manakala penawaran
jumlah rumah adalah terhad tetapi berciri mewah kerana tanah yang kecil. Manakala di
sebelah permintaannya terdapat taburan pembeli yang sangat berbeza kuasa beli
mereka.

Taburan pembeli yang purata pendapatannya rendah yang didominasi oleh orang
Melayu menjadi tidak relevan di dalam penentuan harga rumah dan pembekalan
rumah di pasaran. Perumahan dan hartanah yang dibina pemaju adalah bagi
memenuhi permintaan/kemampuan mereka yang berpendapatan mampu beli. Bagi
gulungan yang tidak mampu beli disediakan rumah kos rendah yang bersaiz kecil dan
terhad jumlahnya. Harga kos rumah murah di bahagian pulau adalah lebih tinggi dari
rumah murah di kawasan lain dan bukan kesemua rumah tersebut jadi milik Melayu.

Tidak ramai Melayu yang mampu memiliki rumah kos sederhana ke atas merupakan
kesan utama peminggiran orang Melayu. Kawasan pembangunan baru hampir
kesemuanya tidak mampu dimiliki oleh orang Melayu. Disebabkan penduduk Melayu
semakin bertambah, maka bagi mereka yang tidak berhijrah ke seberang akan tinggal
di rumah-rumah pangsa kos murah atau sebagai setinggan sama ada di atas tanah
‘haram’ atau tanah wakaf yang belum dibangunkan. Maka muncullah ‘urban slums’,
kawasan pendudukan ala kampong yang tidak terurus di kawasan bandar.

Kualiti prasarana fizikal dan sosial tempat begini adalah mundur, tidak teratur, tiada
kebersihan dan tidak menjerumus kepada pembangunan sahsiah individu dan
masyarakat yang sihat. Ianya akan melahirkan pelbagai masalah sosial yang tak
putus putus seperti penyalahgunaan dadah, maksiat, samseng, jenayah dan
sebagainya.

8
Kesan peminggiran kedua ekoran daripada tidak mampu memiliki rumah ialah ramai
Melayu yang tidak mempunyai aset dalam bentuk hartanah. Ini jelas berpunca
daripada kekurangan pendapatan untuk menampung hidup terutama hidup mewah
sejak akhir-akhir ini. Peningkatan kadar nilai aset hartanah di kawasan pulau adalah
lebih tinggi daripada kadar peningkatan pendapatan. Cara yang paling mudah untuk
Melayu menjadi kaya ialah dengan menjual harta pusaka dan dibahagi-bahagikan
kepada ramai pewaris. Tetapi wang yang diterima pewaris itu tidak pula mencukupi
untuk membeli walaupun sebuah rumah di bahagian pulau. Tetapi ianya cukup untuk
membeli rumah di Seberang Perai. Oleh itu jurang kekayaan hartanah di pulau antara
orang Melayu dan bukan Melayu akan jadi semakin melebar dari semasa ke semasa.

Jurang kekayaan ini juga menjejaskan kemampuan orang Melayu untuk menyertai
perniagaan. Mereka tidak memiliki aset cagaran untuk dijadikan modal perniagaan.
Pendapatan yang rendah tidak memungkinkan mereka menyimpan wang untuk
dijadikan modal. Selain dari itu faktor kurang pengetahuan, kemahiran, pengalaman
dan perangkaian menjadi punca utama yang menghalang kepada penglibatan orang
Melayu dalam bidang perniagaan yang menjana pertumbuhan ekonomi di Pulau
Pinang. Penglibatan Melayu kebanyakannya terhad dalam penyediaan makanan saja.

Kekurangan pendapatan dan kekayaan ini berpunda dari dua (2) fenomena yang
berkait rapat iaitu:

1. Tahap modal insan Melayu secara relatifnya rendah disebabkan sistem


pembelajaran dan persekitaran Melayu yang tidak kompetif. Oleh itu tidak
dapat diwujudkan golongan menengah Melayu Pulau Pinang yang kuat walau
pun peluang itu wujud melalui pertumbuhan ekonomi yang pesat di negeri
ininsejak 30 tahun lalu. Peluang pekerjaan di peringkat professional dan
pengurusan dalam bidang pembuatan dan perkhidmatan sokongan tidak dapat
dipenuhi oleh orang Melayu. Walau pun semakin ramai mendapat pekerjaan
daripada pertumbuhan ekonomi tetapi penyertaan mereka di peringkat bawahan
sahaja. Ini yang menyebabkan mereka tidak mampu memiliki asset-aset di

9
pulau dan oleh itu dilihat terpinggir. Ramai yang bersedia berulang alik dari
kawasan luar bandar atau dari Seberang Perai untuk bekerja di pulau. Ianya
telah menjadi trend semasa.

2. Tahap keusahawanan Melayu yang tidak cukup kukuh dan kental walau pun
banyak peluang perniagaan diadakan. Tahap keusahawanan Melayu dan
modal yang terhad tidak menjurus mereka mengambil peluang-peluang
perniagaan yang baru. Disamping itu modul sosial, ‘networking’, sistem
sokongan, usahasama sesama sendiri atau dengan kaum lain mereka juga
adalah lemah. Ini akhirnya menyumbang kepada penceburan yang tidak dapat
bertahan lama dalam arena perniagaan. Halangan-halangan ini juga
menjadikan perniagaan bukan kerjaya yang serius di kalangan orang Melayu.
Perniagaan bagi Melayu hanyalah satu kerjaya bermusim dalam bentuk kecil-
kecilan di mana tahap rizikonya rendah. Melayu pada dasarnya takut untuk
menanggung riziko tinggi kerana modal yang ada terhad.

Masalah ini berlanjutan disebabkan:

a) Kegagalan Program Pembangunan Rakyat

Program pembangunan individu atau kumpulan yang dilaksanakan di Pulau


Pinang adalah sama saja dengan program yang dilaksanakan di tempat lain.
Kementerian yang mengubal program yang generic (satu acuan untuk semua),
tertumpu kepada tuntutan pembangunan individu. Manakala projek kerajaan pula
banyak tertumpu di kawasan luar bandar terutama di Seberang Perai kerana
kawasan tersebut lebih luas dan ramai penduduk Melayu. Program ini kalau pun
dilaksanakan dengan baik adalah tidak berkesan untuk keperluan pembangunan
di bahagian pulau kerana orang Melayu di bahagian pulau sikit sangat yang
dapat nikmat atau manfaatnya. Projek oleh kerajaan tempatan atau negeri pula
tidak banyak untuk dibahagi-bahagikan kepada kontraktor Melayu di bahagian
pulau sejak Pulau Pinang ditadbir oleh kerajaan pembangkang.

10
Secara umum, pengubalan program khas yang memenuhi tuntutan masyarakat
yang berdepan dengan tekanan urbanisasi dan mereka yang terpinggir oleh arus
pembangunan itu tidak dilaksanakan. Satu program khas yang bersesuaian
dengan keadaan semasa serta kumpulan sasaran setempat harus dikaji dan
digembelengkan seberapa segera dengan kerjasama Majlis Pembangunan
Bumiputra bagi mengekang peminggiran berterusan dan perpindahan orang
Melayu dari bahagian pulau ke tanah besar semenanjung.

b) Kegagalan Kepimpinan

Terdapat kelemahan pemimpin di semua peringkat iaitu dari peringkat kampung,


taman perumahan, kariah, bahagian dan sebagainya. Ianya menjadi semakin
lemah disebabkan perubahan deras yang dilalui oleh proses perbandaran.
Kemasukan pendudukan baru, emigrasi keluar, peningkatan warga asing di
kawasan orang Melayu dan peningkatan penyertaan kaum wanita dalam alam
pekerjaan mengubah corak masyarakat dan institusi kekeluargaan dan
kemasyarakatan. Ini menjejaskan kualiti dan keberkesanan mutu kepimpinan di
peringkat bawahan lagi.

Masyarakat Melayu tidak dapat membentuk sistem sokongan yang berkesan di


peringkat setempat, sama ada untuk tujuan pendidikan, keselamatan,
perniagaan atau pun kekeluargaan kerana terdapat jurang yang lebar di antara
mereka. Selain dari jurang ekonomi terdapat jurang politik dan sosial yang tebal.

Secara tidak langsung, kelemahan pimpinan di peringkat ini menjejaskan kualiti


kepimpinan di peringkat yang di atas. Di luar daripada kerangka kerja dan
keluarga, orang melayu berkecimpung di dalam aktiviti keagamaan melalui
kegiatan kariah atau kegiatan politik berparti. Hakikatnya, penyertaan orang
Melayu di dalam kedua-dua aktiviti ini pun tidak menyeluruh. Oleh kerana
keperluan atau kesempitan hidup, ramai yang tidak mempunyai masa untuk
menyertai pelbagai program masyarakat yang dianjurkan.

11
Oleh kerana politik mendominasi hampir kesemua aktiviti orang Melayu,
kepimpinan masyarakat Melayu di pulau adalah tergulung daripada kelompok
yang sama iaitu kelompok berparti yang tak sehaluan Oleh itu terdapat kualiti
yang homogen di kalangan pemimpin-pemimpin ini seperti melebihkan anggota
parti dari segi peruntukan dan programnya. Ini menjadikan orang Melayu tidak
membangun dari segi modal sosialnya oleh kerana hanya ahli parti didahulukan.

Corak kepimpinan politik juga tidak dapat menyesuaikan diri dengan tuntutan
politik perbandaran (urbanization) dan serangan teknologi maklumat yang cepat
merjalar dalam pemikiran dan jiwa oleh orang Melayu di pulau dan keseluruhan
negeri Pulau Pinang. Pemimpin masa kini perlu menjadikan laman web, blog
atau laman sosial untuk berhubung dengan pemuda-pemudi mengenai program-
program yang dapat menarik perhatian muda mudi supaya mereka tidak
dihanyutkan oleh ‘trend’ negatif semasa.

Politik berparti masa kini masih banyak mengekalkan ciri-ciri politik luar bandar.
Walau pun pemimpin berjaya dengan melibatkan diri pada peringkat akar umbi
tetapi pengetahuan terperinci mereka dalam proses perancangan pembangunan,
isu persekitaran, proses perundangan dan penggubalan dasar dan sebagainya
juga amatlah diperlukan. Ini disebabkan oleh keperluan semasa masyarakat
moden hari ini lebih mencabar. Tidak cukup setakad keperluan pembinaan jalan
raya dan rumah ibadat sahaja. Pemimpin harus kerap ‘turun padang’.

Kepimpinan Melayu di peringkat kerajaan tempatan dan juga negeri berbeza


kualitinya dengan kepimpinan bukan Melayu. Walau pun diwakili di kedua
peringkat keberkesanaan pimpinan Melayu adalah kurang kerana perjuangan
mereka lebih ke arah untuk menolong anggota parti serta kepada ketua-ketua
yang berbakti kepada mereka. Visi perjuangan pemimpin Melayu peringkat
bawahan dan negeri agak sempit dan banyak berbentuk peribadi dari nasional.

Orang Melayu serta pemimpin Melayu juga mengambil sikap terkepung


(mengongkong diri) dan bersendirian di dalam politik, kerajaan dan juga di
peringkat masyarakat. Ini disebabkan sikap ‘territorial’ seseorang pemimpin

12
Melayu tersebut. Oleh itu kerjasama serta usahasama di antara Melayu dengan
Melayu dari kawasan lain atau di antara Melayu dan bukan melayu di semua
peringkat adalah terhad. Ini terjadi sama ada untuk tujuan pendidikan, latihan,
pembangunan masyarakat atau pun untuk pembangunan usahawan.

Sikap sebegini menyebabkan ramai orang Melayu tidak dapat manfaat daripada
kerjasama dengan bangsa lain yang lebih ramai dan lebih maju. Banyak program
yang tidak lancar perjalanannya akibat pemikiran politik yang sempit, berpuak-
puak dan hanya memikirkan kepentingan politik sendiri. Masalah berlainan
bahasa, budaya selain agama akhirnya turut menyebabkan kerjasama murni
tersebut tidak dapat diteruskan dengan jayanya kerana tiada lagi susulan.

c. Kegagalan Kumpulan Sasar

Selain dari itu orang Melayu sendiri tidak mengambil peluang yang lebih berani
untuk membangunkan diri mereka. Tiada pengetahuan, ketahanan diri, jaringan
perniagaan, modal kewangan dan insan, serta kemahiran menyumbang kepada
kegagalan orang Melayu. Selain itu sikap orang Melayu yang negatif dan
pandangan world view yang lemah serta malu untuk bertanya dan takut turut
menjadi punca utama kegagalan orang Melayu di Pulau Pinang.

Apabila menghadapi persaingan, cabaran-cabaran dan riziko baru serta masalah


yang timbul dalam perniagaan orang Melayu cepat mengalah. Mereka lebih
senang bekerja dengan orang dari bekerja atau berniaga sendiri. Sekadar ‘cukup
makan’ adalah mantra atau pegangan yang sering didengar. Maka tak hairanlah
kedudukan mereka terus tertinggal di belakang dalam mengejar arus
pembangunan Negara.

3. Bagaimana menyelesaikannya.

a) Meningkatkan keberkesanan program pembangunan

13
Jentera kerajaan persekutuan menerusi UDA, PPK, FAMA, PERDA dan JKP
umpamanya yang khusus diwujudkan untuk membantu orang Melayu di negeri
Pulau Pinang perlu merancang, menggubal dan melaksanakan program
transformasi ekonomi yang mengambil kira persekitaran dan keperluan mereka
terutamanya dibahagian bandar supaya orang Melayu terus menetap dan tidak
berhijrah ke luar bandar atau ke tanah besar.

Dalam masa yang sama jentera kerajaan dan badan separuh kerajaan (GLC)
yang ada perlu dinilai dan disusun semula struktur pertubuhan serta agenda
asal mereka supaya apa yang dilaksanakan tidak menyimpang dari tujuan asal
penubuhan. Selain itu perjalanan jentera-jentera tersebut mestilah telus, lurus
dan penuh bertanggung jawap dengan tidak meminggirkan Melayu yang tidak
sehaluan pandangan.

Projek projek yang dilulus dan dilaksanakan haruslah dinikmati oleh gulungan
setempat. Ianya bolehlah dipecah-pecahkan supaya ramai Melayu dapat
manfaatnya. Mereka yang berjaya pula dianjurkan supaya mengambil pemuda
pemudi Melayu sebagai ‘apprentice’ bagi memastikan kesinambungan
pengurusan dan teknikal terus berada di tangan orang Melayu. Projek yang
mempromosikan hasil kampong seperti satu kampong satu produk sebagai
contoh harus dipergiatkan lagi ke merata kawasan di seluruh Pulau Pinang.

b) Menangani kelemahan kepimpinan melayu di semua peringkat

Pemimpin Melayu harus senantiasa mengikuti program penambahbaikan dari


segi penggunaan teknoloji maklumat, perundangan, berpidato, pengetahuan
mengenai apa yang berlaku di peringkat nasional dan antarabangsa, kemahiran
kepimpinan, serta program jati diri supaya tidak terikut-ikut dengan fikiran
berkumpulan atau ‘herd mentaliti’ yang cetek. Oleh kerana orang Melayu
adalah kaum minoriti di pulau maka kerjasama antara Melayu dengan Melayu
serta kerjasama dengan kaum bukan Melayu sama ada suka atau tidak harus

14
dipupuk demi survival bangsa. Kerjasama atau usahasama yang betul (genuine)
harus dijayakan dengan mereka yang lebih pintar dan berkuasa.

Pemimpin Melayu Pulau Pinang seharusnya mesti berani untuk menyuarakan


hak kepentingan bangsa supaya penduduk Melayu tidak terus dipinggirkan dari
arus pembangunan. Demi untuk masa depan orang Melayu kepentingan diri
sendiri, kepentingan parti dan yang berlainan padangan haruslah diketepikan
oleh pemimpin pemimpin Melayu. Tanggung jawap pemimpin Melayu Pulau
Pinang adalah lebih besar dan mencabar berbanding pemimpin Melayu di
tempat lain kerana masa depan Melayu di Pulau Pinang terletak di tangan
mereka.

c) Membangunkan sahsiah kumpulan sasar

Dengan memperkasakan sahsiah kumpulan sasar menerusi pelbagai program


yang dianjurkan oleh badan-badan kerajaan, pelbagai Persatuan Melayu,
syarikat-syarikat kerajaan dan badan-badan NGO Melayu maka orang orang
Melayu dari semua pelusuk negeri Pulau Pinang akan mendapat manfaatnya.

Program-program tersebut hendaklah dijalankan di setiap kawasan di Pulau


Pinang dan sebagai insentif mereka diberikan kemudahan percuma untuk
mendaftar perniagaan baru yang ingin diceburi. Selain dari itu pemantauan
secara berkala oleh pihak penganjur/kerajaan mesti dilaksanakan dari semasa
ke semasa bagi memastikan keberkesanan program yang dilaksanakan.

Pembangunan sahsiah kumpulan sasar mestilah dianjurkan sepanjang masa


tanpa rasa jemu dan letih oleh pihak penganjur atau pihak kerajaan.
Pengenalan teknik-teknik baru bagi mengukuhkan sahsiah harus diberi
perhatian supaya ianya selari dengan kehendak moden dan semasa.

15
4. Faktor-faktor kritikal untuk berjaya

a) Keazaman Politik atau “Political Will”

Satu kesungguhan dan keazaman di peringkat politik tertinggi untuk mengatasi


fenomena Melayu di Pulau Pinang sangat-sangat diperlukan segera. Ini
bermakna kerajaan melalui jenteranya mesti mempunyai satu komitmen untuk
membiayai pelaksanaan program untuk memajukan orang Melayu Pulau Pinang
dan meletakkan mereka yang berkemahiran dan berintegriti pada tempat yang
betul. Mereka yang dilantik mestilah berani membawa perubahan.

b) Kualiti Kepimpinan Di Semua Daerah dan Peringkat

Kualiti pemimpin adalah yang paling penting sekali bagi memastikan agenda
Melayu Pulau Pinang dapat dicapai dalam tempoh sepuluh tahun ini atau
menjelang tahun 2020. Ciri-ciri kepimpinan Melayu haruslah tegas, berilmu,
berhemah tinggi, integriti, adil, rajin, berfikiran jauh, bersemangat nasional dan
tidak sesekali sombong dan berlagak.

Kepimpinan politik yang disusun melalui hairaki cawangan, DUN, Bahagian,


Parlimen , melahirkan perwakilan yang mempunyai takrif kepimpinan yang agak
parochial atau berfikiran kecil, berpuak, setempat, kenegerian dan territorial.

Oleh itu semua perwakilan/pemimpin di semua peringkat daerah dan negeri


harus melebarkan fikiran mereka untuk dapat bersama-sama bergabung tenaga
di peringkat nasional bagi menjana pelbagai projek pembangunan orang Melayu
bagi memastikan orang Melayu tidak terus tercicir dan ketinggalan dalam arus
pembangunan negara.

Disamping itu mereka harus mesra rakyat dan dapat meluangkan masa untuk
mendengar keluhan rakyat serta mengambil tindakan-tindakan segera bagi

16
memastikan masalah rakyat dapat diatasi dengan jayanya. Ramai rakyat yang
bermasalah adalah dari kalangan orang Melayu dan cara terbaik untuk
memenangi hati mereka ialah dengan cara bergaul rapat dengan mereka serta
pemimpin-pemimpin tempatan yang lain termasuk dari bukan Melayu

c) Kepentingan Diri dan Masyarakat

Pemimpin yang diamanahkan untuk membangunkan masyarakat Melayu


disemua peringkat mestilah mampu membezakan antara kepentingan diri dan
‘survival’ Melayu. Mereka sebagai individu yang mempunyai kedudukan politik
harus menekankan kepentingan masyarakat Melayu secara umum tidak kira
apa penghayatan politik kumpulan sasaran. Mereka tidak harus menjadi
gunting dalam lipatan atau musuh dalam selimut hatta kerana kepentingan diri
dan keluarga atau sesuatu puak.

d) Melebarkan Perpektif-Identiti Diri Dalam Masyarakat

Pertumbuhan penduduk Melayu Pulau Pinang sehingga mengubah


perkadarannya bukan terhasil dari pertumbuhan yang organik atau peningkatan
kadar kesuburan penduduk asal semata-mata. Ianya juga banyak disumbang
oleh kemasukan orang Melayu dari luar Pulau Pinang. Oleh itu satu perspektif
identiti diri yang berteraskan ‘penduduk asal’ Pulau Pinang perlu dibuang.

Perlu dibuang juga ialah perspektif Melayu Seberang dan Melayu Pulau atau
lebih teruk lagi Melayu Balik Pulau dan Melayu Tanjung. Tiada perbezaan di
antara Melayu Pulau Pinang dengan Melayu-Melayu lain di Malaysia mahu pun
Melayu lain di dunia. Identiti berpuak Melayu harus dibuang jauh dari fikiran
oang Melayu kerana ia akan menyebabkan kalangan Melayu berpecah belah.

Yang penting di dalam mengubah perspektif yang terpencil kepada satu


perspektif yang lebih monolitik ialah dalam perubahan takrif kepimpinan Melayu

17
itu sendiri. Seorang pemimpin orang Melayu adalah dilantik untuk membantu
keseluruhan orang Melayu.

Perspektif ini menjadikan orang Melayu yang dikelilingi oleh bangsa asing di
dalam konteks apa sekali pun merasakan diri mereka sebahagian daripada
entiti yang lebih besar iaitu Melayu Nusantara. Mereka berasa tidak akan
bersendirian atau pun dibiarkan bersendirian oleh kaum mereka sendiri.

KESIMPULAN

Kesimpulannya ialah kiranya masalah orang Melayu di negeri Pulau Pinang tidak di
tangani dengan berkesan dengan apa jua mekanisma dengan segera maka kita akan
lihat masalah yang sama berjangkit ke tempat lain yang juga menghadapi arus
pembangunan yang pesat. Fenomena itu sedang berlaku secara halus atau sedikit
demi sedikit di semua negeri di Malaysia dan oleh itu terpulanglah kepada pemimpin
Negara dan negeri untuk memikirkan formula yang tegas dan drastik bagi mengelak,
mengekang atau menghalang orang Melayu dari terus meninggalkan kampong
halaman mereka dek kerana arus pembangunan yang telah sampai ke tangga rumah
kampong yang mereka diami.

18

You might also like