You are on page 1of 5

Bangunan Sultan Abdul Samad

Bangunan Sultan Abdul Samad yang dibina sekitar tahun 1893-1897.

Bangunan Sultan Abdul Samad menjadi mercu tanda bandar raya Kuala Lumpur, ibu
negara Malaysia. Bangunan ini mengambil nama Sultan Abdul Samad, sempena nama Sultan
Selangor pada masa ia mula dibina 1894.

Di hadapan bangunan indah ini beberapa peristiwa sejarah berlaku. Di sinilah tempat di
mana bendera Union Jack diturunkan pada 31 Ogos 1957 dan bendera Jalur
Gemilang dikibarkan. Peristiwa ini menunjukkan berlalulah satu era dijajah kepada era
masyarakat yang merdeka.

Bangunan ini diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan dalam kategori Tapak Warisan pada


2007 oleh Jabatan Warisan Negara,Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan
Malaysia di bawah Akta 645.

Nama asal

Pada peringkat awal, nama bangunan ini hanya dikenali sebagai Pejabat Baru Kerajaan (New
Government Offices). Apabila Persekutuan Tanah Melayu dibentuk pada 1948, bangunan ini
dinamakan Sekretariat Persekutuan (Federal Secretariat).

Tahun 1974, semua pejabat Kerajaan Negeri Selangor dipindahkan ke Shah Alam. Pejabat
kerajaan persekutuan Malaysia dipindahkan ke Jalan Duta, Damansara. Oleh itu nama
bangunan ini ditukar kepada Bangunan Sultan Abdul Samad sempena nama Sultan Selangor
yang memerintah dari 1857 - 1898. Nama ini kekal hingga sekarang.
Lokasi

Bangunan Sultan Abdul Samad ini terletak di hadapan Dataran Merdeka dan Kelab Diraja


Selangor. Ia berdiri di Jalan Raja, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur,Malaysia.
Jalan Raja dahulunya Gombak Road.

Di dalam peta, bangunan ini terletak di pertemuan Sungai Kelang dan Sungai Gombak.


Pelbagai bangunan dibina di pertemuan dua sungai ini seperti Masjid Jamek Kuala
Lumpur, Stesen Kereta Api Tanah Melayu dan lain-lain. Di sinilah aktiviti
perlombongan bijih timah bermula di Kuala Lumpur, menjadi pemangkin kejayaan
ekonomi Semenanjung Tanah Melayuseterusnya negara Malaysia sekarang.

Perasmian bangunan

Perletakan batu asas dilakukan oleh Gabenor Negeri-negeri Selat, Sir Charles B.H.


Mitchell K.C.M.G. pada 6 Oktober 1894 . Residen British di Selangor waktu itu ialah W.H
Treacher C.M.C. Setelah siap sepenuhnya , bangunan ini di rasmikan oleh Residen Jeneral
negeri Selangor, Sir Frank Swettenham K.C.M.G. pada 4 April 1897.

Tujuan pembinaan

Pentadbiran British di Selangor memerlukan ibu pejabat baru bagi mentadbir negeri .
Sebelum ini ibu negeri Selangor terletak di Klang dan agak jauh dari kawasan yang maju
di Kuala Lumpur. Residen Jeneral British di Selangor pada waktu itu ialah Sir Frank
Swettenham .Sultan Abdul Samad memerintah negeri Selangor dari 1857 hingga 1898 setuju
Kuala Lumpur dijadikan ibu negeri Selangor .

Antara pejabat yang akan ditempatkan di sini ialah Sekretariat Kerajaan (G.S.O); bilik
mesyuarat Majlis Negeri (Council Chamber); Pejabat Pos; Lembaga Kebersihan (Sanitary
Board); Pejabat Kehakiman (Judicial Commissioner); Public Works Department (PWD);
Audit dan Perbendaharaan; Pejabat Tanah; Jabatan Galian dan Pejabat Daerah Jabatan Kerja
Raya (P.W.D. District Office).[1]

Fungsi bangunan ini ditukar beberapa kali. Bangunan ini pernah dijadikan Mahkamah Agung
di bawah Kementerian Kehakiman. Oleh itu disediakan tempat letak kereta untuk hakim -
hakim dan pegawai–pegawai mahkamah.

Sejarah pembinaan

Kerja-kerja pembinaan dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (PWD). Bangunan ini
direkabentuk oleh arkitek Inggeris bernama Arthur Charles Alfred Norman sekitar tahun
1893-1897. Norman menghabiskan masa di benua Afrika dan mendapat ilham daripada
masjid di India seperti Taj Mahal yang membawa kepada ciri senibina Moor dalam arkitektur
Bangunan Sultan Abdul Samad. Charles Edwin Spooner bertindak sebagai perancang dan
Jurutera Negeri . Pengarah PWD ialah R.A.J. Bidwell .A.B. Hubback menyediakan pelan dan
lukisan rekabentuk.

Idea dan rekabentuk bermula seawal tahun 1889, setelah W. E. Maxwell mengambil alih
tugas sebagai Residen British di Selangor. Kuala Lumpur sebagai ibu negeri Selangor hanya
mempunyai bangunan-bangunan rumah kedai dan beberapa bangunan kerajaan yang tidak
berapa menonjol. Maxwell telah membawa C. E. Spooner dari Ceylon sebagai State Engineer
dan dibantu oleh Bellamy dan A.C. Norman sebagai arkitek.

Reka bentuk asal yang dikemukakan oleh Norman adalah hanya sebuah bangunan yang
berkonsep Inggeris Classical Rennaisance. Bidwell, seorang arkitek muda, adalah orang yang
bertanggungjawab mengadaptasi seni bina Islam (Mahometan style) sebagai tonggak reka
bentuk tampak bangunan tersebut di atas pelan asal Norman selepas Spooner kurang
berpuashati dengan reka bentuk tampak yang dikemukakan oleh A.C. Norman.

Kos binaan setelah siap pada April 1897 ialah $152,824. Anggaran awal hanyalah
$152,000.Tempoh masa pembinaan ialah 2 tahun 7 bulan. Sebuah kilang batu-batu di bina
di Brickfield bagi membekalkan bahan binaan seperti 4 juta batu bata, 2,500 tong simen,
18,000 pikul kapur, 5,000 lb tembaga, 50 tan besi keluli dan 30,000 kaki padu kayu.

Batu-bata yang berkualiti berwarna merah dibawa dari India. Para pekerja terdiri daripada
kaum India . Antara kontraktor kecil yang membawa batu-bata ini ialah Ghouse, yang berasal
dari Chittagong,India (sekarang Bangladesh).Batu-bata ini dibawa terus melalui
Sungai Kelang dan ada sebuah pangkalan berhampiran Masjid Jamek sekarang.
Seni reka bentuk

Bangunan dua tingkat ini mempunyai ketinggian 17.5 meter dengan menara jam setinggi 41.5
meter dan meliputi kawasan seluas 10,200 meter persegi. Reka bentuk dan binaannya
berbentuk “Soracenic’ berasaskan seni bina Moghul dan Moor. Tingkap dan pintunya
berbentuk melengkung seperti masjid-masjid di Cardova dan Mesir.[2]
Ciri-ciri utama bangunan ini adalah ketiga-tiga kubahnya, menara jam besar dan arked serta
lengkungannya yang luas. Ketiga-tiga kubah tersebut yang asalnya diperbuat daripada kayu
dan batu bata dan dicat hitam, telah digantikan dengan kubah-kubah bersalut tembaga. Kubah
yang terletak di atas menara jam besar diapit oleh dua kubah kecil dengan tangga pilin
menurun. Kubah tengah agak luar biasa kerana ia adalah paduan dua ciri tradisional kubah
dan kios. [3]
Menara Jam ini dijaga dan dibaiki dari semasa ke semasa kerana menjadi waktu standard di
seluruh Malaysia. Menara Jam ini menyerupai Big Ben yang terdapat di kota London.
Arch yang terdapat di bangunan ini adalah berbentuk ladam yang tajam dengan jarak antara
dua tiang yang berbeza-beza. Ianya diperbuat daripada batu-bata yang dicat hitam. Menara
jam besar yang terletak di tengah-tengah diimbangi oleh dua menara kecil di sudut bangunan.
Tangga pilin di menara kecil menghala ke arah menara seolah-olah melambangkan
keagungan bangunan ini

Pemandangan dari udara, keseluruhan bangunan ini berbentuk F. Ia bangunan awam pertama
di tapak berbentuk segi tiga di antara Jalan Raja dan Jalan Belanda (Jalan Mahkamah
Persekutuan) yang melengkari ke arah barat sepanjang Sungai Gombak dan Sungai
Kelang serta gereja St Clarke dan Jalan Mahkamah Tinggi.

Beberapa bangunan pentadbiran di India dibina menggunakan stail seni bina Islam 'Moor'
atau 'Mahometan Style' terutama bangunan Taj Mahal di Agra, India. Terdapat unsur Islam
pada gerbang tingkap, bentuk separuh lengkong (arch), kubah potong bawang (dome) dan
struktur berbentuk minaret yang kebiasaannya terdapat pada seni bina Masjid. Nilai estetika
ini menjadi ikutan arkitek diIndia, Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand dan
negara Komanwel yang lain.

Ubah suai 1978

Pengubahsuaian dilakukan pada tahun 1978 mengambil masa enam tahun, menelan belanja
sebanyak RM 17.2 juta ringgit. Bumbung ditukar baru dan kubah kayu ditukar kepada kubah
tembaga. Pada tahun 1978 bangunan ini menempatkan Mahkamah Agung, Mahkamah Tinggi
Bahagian Sivil dan Dagang serta Mahkamah Tinggi Jenayah. Mahkamah ini berpindah
ke Istana Keadilan diPutrajaya. Bangunan ini sekarang menempatkan Bahagian Komersil
Mahkamah Tinggi Malaya.

Ubah suai dilakukan lagi pada 2007. Majlis penyerahan Bangunan Sultan Abdul Samad
kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW)
telah diadakan pada 24 Disember 2008. Penyerahan adalah daripada SPAZ Sdn. Bhd. Kepada
Jabatan Kerja Raya Malaysia dan seterusnya kepada KPKKW.

Mulai 2007, bangunan ini dijadikan Pejabat Menteri, Pejabat Timbalan Menteri, Pejabat
Ketua Setiausaha, Pejabat Timbalan Ketua Setiausaha , Bahagian Pengurusan, Unit
Perhubungan Awam, Unit Undang-Undang, Unit Audit Dalam dan Perpustakaan KPKKW.
Sempena majlis penyerahan bangunan ini juga turut diadakan bacaan Yassin dan doa selamat.

Lokasi acara penting

Bangunan ini menjadi latar belakang Perarakan Kemerdekaan setiap 31 Ogos dan sambutan
malam Tahun Baru setiap 1 Januari . Perarakan kereta berhias sempena Pesta Flora juga
diadakan di sini. Perarakan sempena sambutan Maulidur Rasul 2009 dihadiri oleh Yang di-
Pertuan Agong, Sultan Mizan Zainal Abidin. Lumba basikal Le Tour de
Langkawi ditamatkan di hadapan bangunan ini.
Beberapa drama dan filem tempatan , Hollywood dan Bollywood juga pernah mengadakan
penggambaran di sini.

Masalah banjir

Bangunan ini turut dilanda banjir pada tahun 1971 apabila hujan lebat berlaku di seluruh
negara. Jumlah hujan yang lebat itu ditambah pula dengan sistem saliran yang tidak begitu
memuaskan di sekitar Kuala Lumpur.

Di belakang bangunan ini pertemuan Sungai Klang dan Sungai Gombak di mana di tengah-


tengahnya adalah Masjid Jamek yang juga menggunakan ciri-ciri arkitektur yang sama oleh
arkitek yang sama. Stesen komuter Masjid Jamek terletak bersebelahan dengan Masjid
Jamek. Laluan air sungai selalu tersekat apabila sampah-sarap tersangkut pada tiang-tiang
stesen komuter. Banjir kilat berlaku akibat perancangan stesen komuter yang tidak tepat ini.

Tempat parkir kereta di bawah Dataran Merdeka tenggelam beberapa kali apabila banjir


kilat berlaku seperti pada 2003 dan 2007. Semasa banjir kilat pada 10 Jun 2007 antara jam
6.00 hingga 8.00 malam , air sedalam 1.8 meter di beberapa tempat.

Rujukan

1. Butcher, J.G., (1979), The British in Malaya 1880-1941, Kuala Lumpur: Oxford University Press.
2. Candidate's Separate Statement, the Royal Institute of British Architects, 30 March, 1896.
3. Davies, P., (1987), Splendours of the Raj: British Architecture in India 1660-1947, Middlesex: Penguin
Books Ltd.
4. Dickie, M., "Bangunan Sultan Abdul Samad, Jalan Raja", Majalah Akitek, March and April 1986.
5. Gullick, J.M., "The Bangunan Sultan Abdul Samad", JMBRAS 65, Part 1, June 1992.
6. Hesketh, R.F., (1986), ed., Architecture of the British Empire, London: Thomas Telford Ltd.
7. Proposer's Separate Statement, the Royal Institute of British Architects, 28 March, 1896.
8. Tate, M.D.J., (1987), Kuala Lumpur in Postcards 1900-1930: From the Collections of Major David Ng
and Steven Tan, Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.
9. Vlatseas, S., (1990), A History of Malaysian Architecture, Singapore: Longman Singapore Publishers
Pte. Ltd.
10. Yeang, K., (1992), The Architecture of Malaysia, Amsterdam: The Pepin Press.

You might also like