You are on page 1of 7

JXEA 1104

FALSAFAH DAN LOGIKA MELAYU

KARYA KLASIK:
HIKAYAT SI-MALIM KUNDANG
(FALSAFAH DAN KUPASANNYA)

NAMA : NORSYAFADHILLAH BINTI MOHD NASIR


FAKULTI : AKADEMI PENGAJIAN MELAYU
NO. MATRIK : JEA080090
NAMA PENSYARAH : DR AMRAN MUHAMAD
PENGENALAN FALSAFAH

Falsafah ditakrifkan berdasarkan pandangan, nilai, dan pegangan hidup pentakrifnya.

Dalam falsafah Islam ada menjelaskan Islam adalah panduan yang berasaskan akidah,

ibadah, dan akhlak daripada Allah S.W.T bagi mencapai kejayaan di dunia dan di akhirat.

Dikatakan Hikayat Si-Malim Kundang ini ditulis pada kegemilangan tamadun

Melayu Islam di tanah Melayu kerana karya ini menceritakan tentang pentingnya

menghormati ibubapa dan kebesaran Allah S.W.T memberi balasan kepada anak yang

durhaka. Karya ini digunakan sebagai panduan dan pengajaran dalam kehidupan

masyarakat Islam pada ketika itu.

SINOPSIS HIKAYAT

Hikayat Si-Malim Kundang menceritakan tentang kehidupan Mande Rubayah yang hidup

bersama suami dan anaknya iaitu Malim Kundang dalam keadaan serba sederhana.

Malim Kundang dijaga dan dididik dengan penuh kasih sayang. Kehidupan Mande

Rubayah berubah apabila suaminya meninggal dunia dan terpaksalah Mande Rubayah

membesarkan Malim Kundang sendirian dalam serba kekurangan.

Setelah dewasa Malim berhasrat pergi merantau bagi mengubah nasibnya. Sejak

pemergiannya itu, Mande Rubayah tidak pernah mendengar khabar berita tentang

anaknya itu hingga bertahun-tahun lamanya. Dikatakan Malim telah menjadi bangsawan

yang amat kaya dan berkahwin dengan seorang gadis jelita. Setelah sekian lama

menunggu kepulangan Malim, akhirnya pada satu hari Malim kembali ke tanah airnya.
Dalam kemeriahan penduduk menyambut ketibaan Malim, Mande Rubayah

mendekati Malim tetapi disebabkan terlalu malu kepada isterinya untuk mengaku ibu tua

itu ialah ibunya, Malim terus menendang ibunya itu dan enggan mengaku ibu tua itu

sebagai ibunya. Dengan linangan air mata, akhirnya Mande Rubayah memohon kepada

Allah S.W.T supaya anaknya itu diberikan hukuman atas perbuatannya itu.

Selepas itu, Malim bersama isterinya belayar meninggalkan pesisir pantai. Tidak

lama kemudian, tiba-tiba datanglah angin kencang, guruh, serta kilat sabung menyabung.

Seluruh isi kapal berubah menjadi batu. Barulah timbul perasaan taubat di hati Malim

Kundang tetapi sudah terlambat untuknya memohon ampun kepada ibunya itu.

KUPASAN FALSAFAH

‘He, orang tua kotor!’ sěru Malim Kundang. ‘Diam dan sěgěra běredar dari sini. Kalau
ěngkau maseh juga kěras kěpala, akan ku-suroh orang-orang-ku měnchampakkan ěngkau
ka-dalam laut. Měngěrti?’. ‘Baik-lah, anak-ku, aku akan pěrgi’ jawab Mande Rubayah
děngan linangan ayer mata. Kěmudian ia měnampongkan tangan-nya ka-langit, lalu
běrkata, ‘Ya Tuhan-ku! Děngarkan-lah pinta hamba-mu ini! Tunjokkan-lah kěběsaran dan
kěkuasaan-Mu těrhadap anak durhaka ini. Buktikan-lah kapada-nya bahawa aku-lah ibu-
nya yang tělah mělahirkan dia ka-dunia. Ěngkau saja-lah yang měngětahui hukuman apa
yang patut di-jatohkan kapada-nya. Ya, Tuhan-ku! Ěngkau maha pěngaseh dan maha
pěnyayang. Kapada ěngkau-lah ku-sěrahkan anak durhaka ini untok di-adili’.
Sětělah itu Mande Rubayah pun turun-lah děngan těrhuyung-hayang
dari kapal itu. Ia těrus pulang.

(Hikayat Si-Malim Kundang, halaman 17-18)

Berdasarkan petikan daripada Hikayat Si-Malim Kundang ini dapatlah diberi sedikit

kupasan tentang falsafah petikan tersebut. Falsafah yang terdapat di dalam petikan ini

ialah sifat keredhaan iaitu keredhaan seorang ibu terhadap anaknya yang durhaka.
Keredhaan merujuk kepada perbuatan merelakan dengan sepenuh hati atau

bersedia dengan seikhlas hati atau melepaskan dengan senang hati terhadap apa yang

disayangi, dikasihi, dan disanjungi yang sebelum ini telah memberikan kesan yang

mendalam bagi kehidupan seseorang individu itu.

Gambaran sifat keredhaan ini dipaparkan melalui watak Mande Rubayah iaitu ibu

kepada Malim Kundang yang redha dengan sikap anaknya itu yang malu di hadapan

isterinya untuk mengaku ibu tua itu ialah ibunya yang telah melahirkan, mengasuh, dan

mendidiknya sehingga dewasa. Malim kundang sanggup menendang, menghina, dan

meninggikan suara terhadap Mande Rubayah iaitu ibunya semata-mata kerana malu

dengan keadaan ibunya yang sudah tua, comot, dan kotor itu.

Sungguhpun Mande Rubayah diperlakukan sebegitu rupa, Mande Rubayah tetap

tidak berputus asa untuk menjelaskan kepada Malim Kundang bahawa dirinya itu adalah

ibu yang telah ditinggalkannya bertahun-tahun lama sehingga keadaanya menjadi

sedemikian rupa. Akhirnya, Mande Rubayah menerima dengan sabar dan redha bahawa

sikap Malim Kundang itu telah berubah sehingga sanggup durhaka kepada dirinya

sebagai ibu. Mande Rubayah memohon kepada Allah S.W.T supaya memberikan balasan

yang setimpal terhadap anaknya walaupun pernah diberi kasih sayang sepenuhnya

sebelum ini kerana sanggup durhaka kepada dirinya sebagai seorang ibu.
Sifat keredhaan boleh wujud atau lahir dalam diri seseorang itu yang berpunca

daripada tindakbalas emosi atau perasaan dalam diri seseorang itu bermula dengan

berlakunya sesuatu peristiwa yang tidak dijangkakan atau diharapkan terjadi seterusnya

menghasilkan perasaan kecewa yang teramat sangat. Kekecewaan boleh berlaku dalam

sebarang situasi yang mana, apa yang diharapkan atau diimpikan selama ini tidak dapat

dicapai, tetapi berlaku pula perkara yang tidak diingini. Akhirnya akan melahirkan sifat

keredhaan apabila bersedia dengan seikhlas hati atau melepaskan dengan senang hati

terhadap apa yang disayangi itu.

Berdasarkan peristiwa yang dijelaskan di atas, perubahan sering berlaku dalam

setiap kehidupan di dunia ini. Sama ada perubahan yang berlaku itu dari segi fizikal dan

juga mental. Maka, terpulanglah sama ada seseorang itu untuk menerima perubahan itu

atau tidak. Merujuk kepada watak Mande Rubayah, dia redha dan menerima dengan hati

yang terbuka selepas melihat perangai anaknya itu yang berubah selepas menjadi

bangsawan yang terkenal sehingga malu mengaku dirinya itu sebagai ibunya. Akhirnya,

Mande Rubayah hanya redha dan berserah kepada Allah S.W.T supaya memberikan

hukuman yang setimpal terhadap Malim Kundang atas perbuatannya itu.

Firman Allah S.W.T:

Demi sesungguhnya, kamu akan diuji pada harta benda dan diri kamu. Demi
sesungguhnya kamu akan mendengar banyak perkataan yang menyakitkan hati dari
orang-orang keturunan Kitab yang dahulu, dan dari orang-orang yang mempersekutukan
Tuhan (penyembah berhala). Jika kamu bersabar dan bertaqwa dan memelihara dirimu.
sesungguhnya hal itu termasuk urusan yang memerlukan keteguhan hati.

(Surah Ali ‘Imran: Ayat 186)


Merujuk kepada firman Allah S.W.T seperti ayat di atas menjelaskan bahawa

manusia tidak akan terlepas daripada menghadapi ujian Allah S.W.T. Ujian yang diberi

oleh Allah S.W.T bertujuan menguji tahap keimanan, kesabaran, keredhaan, dan

ketaqwaan manusia terhadap Allah S.W.T. Setiap ujian yang dihadapi dengan tenang dan

sabar akan mendapat ganjaran syurga daripada Allah S.W.T. Kejadian ini merupakan

ujian daripada Allah S.W.T kepada Mande Rubayah. Mande Rubayah dapat dikatakan

memiliki ciri-ciri orang yang berjaya menghadapi ujian Allah S.W.T kerana memiliki

keimanan yang teguh kepada Allah S.W.T dan sentiasa mengingati Allah S.W.T sama ada

ketika senang dan susah iaitu dia akan meminta pertolongan hanya kepada Allah S.W.T di

samping memiliki sifat sabar dan keredhaan yang tinggi dalam dirinya.

KESIMPULAN

Berdasarkan kajian yang dilakukan terhadap karya Hikayat Si-Malim Kundang ini dapat

dirumuskan bahawa setiap ujian yang diturunkan oleh Allah S.W.T perlulah dihadapi

dengan penuh ketabahan dan menerima dengan keredhaan yang tinggi kerana Allah

S.W.T menyediakan ganjaran kepada individu yang bersikap sedemikian itu.

BIBLIOGRAFI
Awang Sariyan. 2007. Falsafah dan Logika Melayu.
Selangor: Synergymate Sdn. Bhd.

Hashim Hj. Musa. 2001. Falsafah, Logik, Teori Nilai dan Etika Melayu.
Universiti Malaya: Akademi Pengajian Melayu.

Hashim Hj. Musa. 2004. Pemerkasaan Tamadun Melayu Malaysia Menghadapi


Globalisasi Barat. Kuala Lumpur: Universiti Malaya.

Muhammad Daud Baharom. 1966. Hikayat Si-Malim Kundang.


Kuala Lumpur: Oxford University Pess.

Sheikh Abdullah Basmeih. Tafsir Pimpinan Ar-Rahman Kepada


Pengertian al-Quran. Kuala Lumpur: Darulfikir

You might also like