You are on page 1of 2

Jenayah yang melibatkan kes ragut kini dikategorikan sebagai jenayah rompak dan mereka yang

didapati bersalah boleh dikenakan hukuman penjara 14 tahun dan sebatan. Polis juga sudah
mengambil beberapa langkah dengan memudahkan mangsa ragut membuat laporan di semua
balai polis, pondok polis dan polis peronda dengan tujuan untuk mengatasi masalah kesukaran
membuat aduan mengenai kejadian berkenaan. Namun, yang membimbangkan kita ialah peragut
kini sanggup melakukan kekerasan sehingga menyebabkan kecederaan dan kehilangan nyawa.
Contoh yang terbaru, kes yang membabitkan pelajar di Wangsa Maju baru-baru ini bukan lagi
dianggap kes ragut tetapi kes bunuh.

Kejadian yang bermula dengan rompakan harta benda sudah bertukar menjadi kes jenayah
kekerasan hingga menyebabkan kecederaan dan kematian. Apakah dalam kemelut sebegini, kita
selaku anggota masyarakat hanya mampu melihat perkara ini berlaku tanpa mengambil sebarang
tindakan? Walaupun kita tidak boleh bertindak bersendirian, kita masih boleh menjadi mata dan
telinga pihak berkuasa bagi membantu pihak berkuasa untuk menangani kes yang semakin
menjadi-jadi ini. Masyarakat boleh membuat aduan di balai polis yang terdekat atau
menghubungi polis dengan segera jika mereka melihat ada kelakuan orang tertentu yang boleh
menimbulkan syak.

Kebanyakan kes ragut ini berlaku di kawasan bandar-bandar besar dan juga di kawasan yang
lengang. Peragut juga biasanya melakukan aktiviti mereka itu apabila menyedari bahawa mangsa
mereka bersendirian. Sebenarnya kes ragut berpunca daripada sikap individu yang ingin
mendapat wang dengan jalan yang mudah. Selain itu juga mereka hendak mendapatkan wang
dalam jangka masa yang singkat. Oleh itu mereka terpaksa meragut beg tangan atau barang-
barang kemas yang dipakai oleh kaum wanita.
Kebiasaannya juga peragut tidak mempunyai pekerjaan yang tetap. Hal ini menyebabkan mereka
tidak mempunyai pendapatan yang tetap untuk menyara hidup mereka. Selain itu mereka juga
malas untuk melakukan kerja yang halal kerana pendapatannya tidak lumayan. Perkara ini
menyebabkan mereka akan meragut beg tangan mangsa yang lemah.
Antara cara untuk menangani kes ini daripada menjadi lebih serius adalah dengan mengadakan
kawalan dan rondaan yang lebih ketat. Kawalan tersebut patut dilakukan oleh anggota polis
dalam usaha untuk mencekup peragut yang bermaharajalela. Selain itu anggota polis yang
berpakaian biasa perlu ditempatkan di tempat awam agar mudah bagi mereka untuk menangkap
peragut yang tidak bertanggungjawab itu.
Bagi kita, adalah lebih baik menghalang sesuatu perbuatan jenayah itu sebelum jenayah itu
berlaku. Kita bersetuju dengan pendapat yang mengatakan bahawa tanggungjawab untuk
membanteras jenayah termasuk curi dan ragut tidak seharusnya diserahkan kepada polis semata-
mata. Polis tidak mungkin dapat mengatasi masalah jenayah ini sepenuhnya memandangkan
wujudnya jurang atau nisbah yang begitu besar antara jumlah anggota polis dengan bilangan
penduduk.

Justeru, semua pihak perlulah memainkan peranan untuk mencegah kejadian jenayah seperti kes
ragut, rompakan, pecah rumah dan pecah kereta dengan memberi maklumat kepada pihak
berkuasa. Tanpa kerjasama daripada semua pihak dalam masyarakat sudah tentu usaha untuk
menangani kes ragut menjadi semakin sukar. Oleh hal yang demikian, marilah kita menjadikan
angka kes ragut yang begitu tinggi itu sebagai satu kejutan untuk kita memerangi jenayah ini
bersama-sama. Semoga masalah ini akan dapat ditangani dengan berkesan dalam usaha
menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat negara ini

You might also like