You are on page 1of 14

DEBAT PELAJAR (I)

Pembangunan Bandar Menjejaskan Warisan Negara

Hujah Pencadang
Hujah Pembangkang
Hujah Pencadang Pertama : Muliati bt Jahadi P-RM0533

Untuk membincangkan tajuk "Pembangunan Bandar Menjejaskan Warisan Negara" adalah baik kita
memahami maksud ayat tersebut.

Huraian terhadap istilah menurut Kamus Dewan adalah:

Pembangunan
Perihal membangun, proses membangun (mencapai kemajuan, perkembangan)
Usaha atau kegiatan membangun ( memajukan dan mengembangkan).

Oleh itu dapat dikatakan bahawa pembangunan bandar sebagai perihal untuk membangun atau proses
membangun dalam konteks dari kawasan mundur kepada kawasan maju.

Warisan
Harta peninggalan, harta pusaka
Sesuatu yang diwarisi, sesuatu yang turun temurun ( Peninggalan )

Warisan negara boleh dilihat dalam pelbagai aspek seperti alam semulajadi, bangunan, monumen,
kesenian, adat resam dan tradisi yang diturunkan oleh generasi terdahulu kepada generasi akan datang.

Menjejaskan
Melukakan, merosakkan.
Mendatangkan ( meninggalkan kesan tidak baik atau merosakkan )

Kesan yang ditinggalkan daripada pembangunan bandar adalah tidak baik dan membawa kepada
kelukaan dan kerosakan kepada warisan negara. Menurut ‘The World Convention’, warisan boleh
dikategorikan kepada dua kategori utama iaitu warisan kebudayaan dan warisan alam semulajadi.

Dengan merujuk kepada ketiga-tiga istilah ini, persoalannya, Mengapakah pembangunan bandar untuk
kemajuan ini dikatakan akan menjejaskan warisan negara?

Alam semulajadi adalah warisan negara dan izinkan saya mengupas sudut ini dengan lebih mendalam
untuk menunjukkan ianya telah dijejaskan akibat pembangunan bandar. Melalui kategori warisan alam
semulajadi yang dirujuk oleh General Conference Of UNESCO pada tahun 1972, membawa maksud
bahawa ciri-ciri fizikal,biologikal dan geografi yang unik, habitat baka tumbuhan dan binatang yang
hampir pupus dan kawasan yang mempunyai nilai saintifik atau estetik dari pandangan pemuliharaan.
Tiga unsur alam semulajadi yang penting ialah hutan, air dan udara.

Hutan penyimpan khazanah alam semulajadi semakin berkurangan dan terputus-putus


akibat pembangunan bandar
Hutan berfungsi sebagai pembekal oksigen, kawasan tadahan, menyederhanakan suhu, sumber
ekonomi, sumber makanan dan tempat perlindungan habitat flora dan fauna. Pembangunan bandar
hanya melihat hutan dari segi ekonomi untuk tuntutan pembangunan fizikal.

Berdasarkan fungsi inilah warisan hutan perlu dikekalkan, sebagai contohnya sedikit masa lalu negara
perindustrian barat mengencam hebat tindakan negara Asia dan Negara sedang membangun kerana
menjalankan kegiatan pembalakan secara besar-besaran. Ini merupakan satu petunjuk bahawa mereka
telah melalui pengalaman pahit membangunkan negara dengan memusnahkan hutan sebagai warisan
alam semulajadi negara mereka.

Pembukaan bandar baru Seperti Bandar Muadzam Shah dan bandar-bandar baru yang lain menyaksikan
pembersihan hutan dan pemotongan bukit. Ini memberi kesan kepada hakisan tanah bertambah kerana
air larian dipermukaan bumi tidak dapat dihalang dan sejumlah besar tanah yang berstuktur lemah
dibawah bersama masuk ke dalam sungai. Penambahan keladak akan mencetekkan dasar sungai dan
aliran akan tersekat serta menyebabkan kejadiaan banjir kilat terutama di kawasan rendah seperti
Lembah Kelang. Sejak tahun 1992, kerajaan persekutuan membelanjakan RM 760 ribu untuk
Mendalamkan sungai Kelang sepanjang 43 kilometer.

Contonhnya petambahan beban sungai Gombak telah dikesan sejak tahun 1968 lagi disebabkan
pembinaan Leburaya Kuala Lumpur–Karak. Di samping itu juga, pembinaan leburaya turut
memusnahkan habitat hidupan liar yang terancam dan dilindungi seperti Tapir dan Gajah. Fenomena ini
jelas apabila terdapat kes-kes haiwan ini dijumpai mati akibat dilanggar oleh kenderaan ketika melintasi
leburaya.

Kualiti air terjejas teruk akibat pembangunan pembangunan bandar

Air diperlukan dalam semua jenis aktiviti bandar seperti industri, pertanian, perumahan, perdagangan,
perkhidmatan dan rekreasi. Pembangunan bandar turut meningkatkan permintaan air bersih dari semasa
ke semasa, manakala sumber air bersih semakin berkurangan dan berada di lokasi yang jauh. Ini
memnyebabkan peruntukan kewangan yang banyak diperlukan untuk mencari bekalan dan
pengagihannya. Para hadirin sekalian mungkin masih ingat apa yang terjadi di Lembah Kelang baru-baru
ini yang merupakan kawasan bandar yang sesak mengalami masalah bekalan air yang tidak mencukupi
walaupun terdapat tiga empangan yang membekalkan air iaitu Empangan Kelang Gate, Empangan
Semenyih dan Empangan Hulu Langat.

Sumber air sedia ada dari sungai atau tasik turut tercemar apabila bahan buangan industri, domestik dan
pertanian tidak diolah dengan baik dan dialirkan terus ke sungai dan pantai. Di beberapa batang sungai
khasnya di bahagian muara seperti Sungai Juru, Sungai Sepang dan Sungai Kelang, menjadi seperti
sungai mati kerana bahan pepejal terampai telah tepu dan tidak dapat dialirkan.

Begitu juga halnya dengan kawasan perairan negara yang tercemar. Aktiviti perdangangan yang pesat di
bandar-bandar Pantai Barat Semenanjung Malaysia menyebabkan Selat Melaka menjadi satu-satunya
jalan air yang paling tercemar di dunia. Pencemaran ini datangnya dari aktiviti cari gali minyak,
pembuangan sisa minyak dan tumpuhan minyak dari pelanggaran kapal-kapal dagang yang melaluinya.
Dalam akhbar The News Strait Time 1972, melaporkan pelanggaran kapal tangki minyak milik Filipina
( Diego Silang ) telah menumpahkan 6000 tan minyak di perairan Batu Pahat Johor dan sebahagian
tumpahan itu telah memasuki Sungai Muar dan terperangkap di kawasan paya bakau yang tentunya
menjejaskan ekologi perairan pantai.

Kemajuan yang di bawah oleh pembangunan bandar turut meningkatkan pembaziran air. Rekreasi yang
bertaraf mewah contohnya pembinaan padang golf 32 lubang mengunakan air sebanyak 1 juta liter
sehari hanya untuk menyiram pokok-pokok. Air ini pula akan mengalir terus ke saliran utama seperti
sungai yang membawa kandungan kimia beracun daripada penggunaan baja kimia dan racun serangga.
Adakah kita perlu menunggu kejadian seumpama di Teluk Minamata Jepun Berlaku di negara ini baru
timbul kesedaran untuk memelihara warisan negara yang terjejas oleh pembangunan bandar.

Pencemaran udara dan peningkatan suhu akibat pembangunan bandar

Kita masih beruntung hadirin sekalian kerana masih boleh menyedut udara tanpa dikenakan bayaran.
Udara segar yang dihasilkan secara semulajadi oleh proses fotosintesis tumbuhan penting untuk
pernafasan yang menjamin kelangsungan hidup. Tetapi bagaimana sekiranya udara yang kita sedut ini
tidak segar lagi dan mengandungi bahan-bahan kimia yang tentunya tidak boleh di terima oleh tubuh
badan.

Bahan-bahan pencemaran seperti karbon monoksida, sulfur oksida, plumbum, nitrogen oksida dan
hidrokarbon terdapat dalam udara akibat aktiviti bandar seperti pengangkutan, asap dari industri,
pelupusan sisa domestik dan stesyen janakuasa.

Pembangunan bandar yang pesat menampung sejumlah besar penduduk yang mengamalkan cara hidup
moden dan perkhidmatan bandar seperti kereta dan peralatan rumah ( peti sejuk , penyaman udara dsb
memberi kesan rumah hijau ). Kesemua ini akan menyumbang kepada peningkatan bahan cemar di
udara seperti plumbum dan CFC ( cloro floro carbon ) yang secara langsung membantu proses penipisan
ozon. Kesan seterusnya menyebabkan peningkatan pelbagai penyakit barah kerana pancaran sinar ultra
unggu tidak dapat di biaskan oleh lapisan ozon.

Suhu bagi kawasan bandar kini tidak berada ditahap normal akibat kandungan pelbagai jenis karbon di
udara. Keadaan ini menyebabkan kejadian jerubu sering berlaku terutama di kawasan bandar. Pada
tahun 1997 jerubu paling teruk melanda oleh Malaysia dengan IPU ( Indeks Pencemaran Udara )
menunjukkan paras bacaan melebihi had bahaya iaitu 500ppm sebagaimana yang ditetapkan oleh
Pertubuhan Kesihatan Sedunia ( PBB ). Darurat terpaksa diistiharkan di Kuching Sarawak dengan
menutup beberapa sekolah dan orang ramai terpaksa mematuhi perintah berkurung kerana jarak
penglihatan kurang 100 meter dan masalah kesihatan. Sektor ekonomi turut terjejas dengan penutupan
kedai, penurunan sektor pelancongan dan penangguhan penerbangan serta menjalankan pembebihan
awan yang menelan belanja kira-kira RM 50,000 untuk setiap kali pembenihan dijalankan.

Berdasarkan kepada hujah-hujah di atas jelas dilihat bahawa pembangunan bandar akan
menjejaskan warisan negara dari segi warisan alam semulajadi.

BAHAN RUJUKAN

1. Sham Sani dan Abdul Samad Hadi, Jabatan Geografi UKM, Pembangunan dan Alam Sekitar di
Malaysia ; isu dan Pengurusannya. Dewan Bahasa dan Pustaka 1990.
2. Jamaluddin Jahi dan Sham Sani, Development Prosess, Soil Erosion and Flash in the Kelang
Valley Region, Peninsular Malaysia; A General Consideration. Kertas kerja dibentangkan di
Regional Workshop on Limnology and Water Resources Management in Developing Countries of
Asia and the Pasific, Kuala Lumpur 29 November – 5 Disember 1982.

3. Berry, B.J.L, City size and Economic development; Ekconomic developmentand Cultural Change.
1961.

4. Sham Sani, The Climate of Kuala Lumpur - Petaling Jaya Area, Malaysia ; A study of the Impact
of Urbanization on Local Climate within the Humid Tropics, Kuala Lumpur, UKM Press 1980.

5. Rahmid Kidam, Forest Hydrology Studies at Jengka and Bukit Berembun Hill Forests, dalam
Asean Workshop on Watershed Conservation and Management Research Program, Kuala
Lumpur 1976.
6. Ooi Jin Bee, Land, people and Economy in Malaya. Geographies for Advanced Study Series,
London 1963.

7. Kamus Dewan, Bahasa Melayu. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1980

...........................................................................

Hujah Pencadang Kedua : Lai Koon Hon P-RM0529

Pembangunan bandar adalah perubahan yang berlaku kepada suatu lokasi geografi, daripada kawasan
mundur kepada kawasan maju atau kawasan tersebut menjadi lebih maju berbanding dengan dahulu.
Perubahan ini akan menjejaskan atau meninggalkan pengaruh yang buruk kepada warisan negara.
Warisan negara ditakrifkan sebagai suatu entiti kekal yang ditinggalkan turun-temurun dari generasi ke
generasi.

Pembangunan bandar merupakan suatu arus perubahan yang akan membawa pengaruh buruk kepada
cara hidup manusia di kawasan tersebut. Ini jelas ditunjukkan dalam nilai-nilai kebudayaan golongan
hidup di bandar yang mengalami pembangunan.

Merujuk kepada Encik Kwok Kian Woon, seorang pensyarah sosiologi di National University of
Singapore,

There is no denying it. We are in a cultural predicament of some sort. As ‘modern’ as we are- and like to
be- we don’t feel quite at home in modern world, especially when being modern at the same time seems
to mean that we are somehow torn away ‘tradition’, from our ‘heritage’, and our ‘roots’.

Tradisi telah ditakrifkan sebagai "the past living on in the present" manakala pemodenan ditakrifkan
sebagai "historical discontinuity".

Ini jelas mengambarkan keadaan bahawa kita akan hilang nilai-nilai tradisi dan kebudayaan dalam proses
pemodenan arus pembangunan bandar. Dalam lain perkataan, cara hidup masa silam akan berubah dan
tidak diteruskan lagi.

Sebagai contohnya, pertalian antara ahli-ahli komuniti telah berubah menjadi jauh dan tidak lagi rapat
dalam arus pembangunan bandar. Pada masa dahulu, penduduk di Malaysia adalah rapat di antara satu
sama lain. Ini boleh dilihat dalam kehidupan penduduk yang suka melawat kepada jiran-jiran yang sudah
lama dikenali dengan mengetuk pintu rumah jiran dan bertegur-sapa sambil menlaungkan pepatah
"Assamualaikum". Manusia kini lebih mementingkan diri dan tidak mengenali jiran-jiran secara amnya. Ini
lebih ketara berlaku di bandar yang amat maju seperti Kuala Lumpur di Malaysia.

Satu iklan televisyen telah menggambarkan keadaan dengan jelas dan benar sekali. Dalam iklan
tersebut, beberapa kawan berumur belasan hingga dua puluhan telah berkumpul di gerai dan berbual.
Salah seorang telah mengeluarkan gambar foto seorang pemuda dan memulakan percakapan mengenai
pemuda tersebut;

"Remember that Ahmad? He had left to town for almost 2 months."

"Ya, I am wondering how is he doing?"

"He should be fine, I guess!"

"Maybe he has adapted to the new life there."


"Maybe he had a girl friend there, ha..ha..haha!"

"Maybe he had got a new gang of friends!"

"Ya, maybe. Maybe he never remember about us anymore….."

"He never call…."

Akhirnya, setiap orang telah diam dan memandang sesama diri apabila mengingati seorang kawan yang
nampaknya semakin kabur dalam hidupan mereka. Iklan telekomunikasi ini telah membawa mesej: If you
don’t take up the phone to dial, nobody know that you still care about it.

Iklan ini telah jelas mengilustrasikan keadaan jurang perhubungan di antara manusia pada masa kini.
Sungguhpun kemudahan telekomunikasi telah merapatkan jarak antara manusia, manusia sendiri telah
semakin jauh dan tidak rapat kerana nilai-nilai tradisi yang amat mementingkan pertalian persahabatan
telah berubah.

Dalam model-model orang terpelajar, kita juga mendapati jelas bahawa perubahan nilai-nilai hidup ini
telah digambarkan dengan sempurna sekali sahaja. 2 model yang boleh dirujukkan adalah seperti Model
"Gemeinschaft and Gesellschaft" oleh Tonnies dan Model "Mechanical and Organic Social Solidarity"
oleh Durkheim.

Ferdinand Tonnies (1855-1936) telah mengambarkan perubahan dalam komuniti petani di Eropah Barat
dalam model "Gemeinschaft and Gesellschaft". Dalam komuniti Gemeinschaft, manusia diikat oleh nilai-
nilai umum sama, tradisi dan pertalian darah. Manusia juga berkongsi suatu wilayah fizikal, pengalaman
sama dan pemikiran sama. Lantaran itu, persahabatan, pertanian dan kejiranan adalah nilai-nilai yang
penting.

Dalam komuniti Gesellschaft pula, manusia dalam organisasi sosial yang berkait dengan kapitalisme dan
fahaman industri, kurang pertalian dan persahabatan. Perhubungan manusia adalah berdasarkan
perjanjian dan undang-undang. Ringkasnya, wang menjadi elemen yang penting.

Emile Durkheim (1858-1917) pula menceritakan bahawa komuniti akan berubah dari "Mechanical
solidarity" kepada "Organic Solidarity" dalam model "Mechanical and Organic Solidarity". Dalam komuniti
"Mechanical solidarity", komuniti adalah homogenius secara rohani dan moral serta ia tidak dipecahkan
(atomized). Dalam komuniti "Organic Solidarity" pula, kesamaan rohani dan moral komuniti telah hilang
dan pembahagian atau pengkhususan buruh telah menggalakkan "individualism". Oleh itu, manusia telah
berbeza berdasarkan fungsi dan tanggungjawabnya.

Secara ringkasnya, komuniti dalam model ini telah berubah dari bentuk organisasi sosial yang
berdasarkan kesatuan pemikiran, kepercayaan dan tingkah laku kepada yang berdasarkan kesatuan
individu heterogenius yang diikat oleh tanggungjawab atau kerja yang diintegrasi oleh fungsi masing-
masing.

Kita jelas melihat perubahan komuniti masyarakat dalam pertaliannya dalam arus pembangunan yang
mengakibatkan komuniti telah meninggalkan nilai-nilai budaya mereka asal yang amat mementingkan
pertalian persahabatan, nilai-nilai umum dan tradisi.

Nilai-nilai budaya yang merupakan suatu entiti tetap yang telah diturunkan dari generasi ke generasi telah
berubah atau lesap akibat pembangunan bandar. Biarlah kita melihat pula kepada cara pemakaian
golongan manusia kini. Baju-baju yang dikatakan mengikut ‘trend’ baru telah mendapat sambutan baru.
Baju-baju yang ketat badan, yang mempunyai warna menjolok, yang mempunyai lengan yang jauh lebih
panjang dan sebagainya menjadi impian muda-mudi. Selain itu, golongan bekerja juga mengamalkan
kemeja bersama tali leher sebagai pakaian formal. Adakah kemeja bertali leher ini satu nilai budaya
negara kita? Adakah ia sesuai untuk dipakai di Malaysia yang mempunyai iklim Khatulistiwa yang
mempunyai cahaya matahari teriak dan banyak hujan?

Jelas di situ bahawa nilai-nilai budaya kita telah berubah akibat proses pembangunan bandar. Contoh-
contoh lain adalah seperti kemunculan budaya hippies dan golongan sesat (dari segi kepercayaan dan
agama). Semua ini berasal daripada proses pembangunan bandar yang telah mengabaikan segi rohani
manusia.

Memang jelas sekali bahawa proses pembangunan bandar akan membawa kepada pengaruh atau kesan
buruk kepada warisan negara dari segi nilai-nilai budaya. Dalam lain perkataan, pembangunan bandar
akan menjejaskan warisan negara.

...........................................................................

Hujah Pencadang Ketiga : Ho Lip Wah P-RM0525

Warisan merupakan objek, adat-resam atau kualiti yang diturunkan secara berterusan sejak masa lalu,
selama berabad-abad atau berkurun-kurun di dalam satu keluarga, kumpulan masyarakat atau bangsa
dan dianggap sebagai kepunyaan kesemua ahli di dalam kumpulan tersebut.

The World Heritage Convention, yang dirujuk oleh "General Conference of Unesco" pada tahun 1972,
mengelaskan warisan dalam dua kategori:

a. Warisan Kebudayaan

Sesuatu monumen, kumpulan bangunan atau tapak yang mempunyai nilai sejarah, estetik, kaji
purba, saintifik, ethnologi atau anthropologi.

b. Warisan Alam Semulajadi

Ciri-ciri fizikal, biologi dan geografi yang unik, habitat baka tumbuhan dan binatang yang
hampir pupus dan kawasan yang mempunyai nilai saintifik atau estetik atau pandangan
pemuliharaan.

Hujah saya merujuk kepada warisan kebudayaan berdasarkan penjelasan-penjelasan berikut:

nilai-nilai sejarah
identiti

Nilai-nilai sejarah hilang dalam arus pembangunan bandar

George Yeo(Menteri Dalam Negeri, Singapura) mengatakan bahawa untuk sesuatu bangsa menjadi
gagah, mereka mesti mempunyai pengetahuan terhadap hala tujunya. Apabila kita meninjau kembali
asal-usul kita menerusi artifak yang menerangkan kewujudan kita di sini, apabila kita mempelajari dan
mengubah nilai-nilai yang diwarisi, kita dapat membentuk wawasan yang lebih jelas terhadap masa
depan kita.
Maknanya artifak-artifak dalam bentuk monumen, kumpulan bangunan atau tapak mempunyai nilai-
nilai sejarah yang penting. Pengekalan artifak tersebut tidak bermakna penjajahan semula tetapi sebagai
satu ingatan dan penjelasan terhadap sesuatu lokasi dan peristiwa yang pernah berlaku serta benar.
Kesemua ini akan memberi kesan terhadap psikologi bangsa. Namun apabila terdapatnya kekaburan
identiti bangsa(seperti yang berlaku kepada bangsa Singapura) hasil pembangunan bandar, itu adalah
bukti yang jelas bahawa nilai-nilai asal masyarakat telah hilang; sepertimana hilangnya komuniti asal di
sesuatu lokasi akibat pembangunan bandar yang mencetuskan tekanan yang kuat terhadap mereka.
Roboh atau runtuhnya sesebuah atau sekumpulan bangunan atau monumen merupakan petunjuk yang
jelas terhadap penjejasan warisan bangsa/negara.

Pembangunan bandar mengaburkan identiti bangsa

Warren, 1986 mengatakan bahawa dengan wujudnya satu Singapura baru tanpa kesan-kesan masa lalu,
pengwujudan semula warisan yang hilang mula menjadi satu kepentingan. Tindakan ini mula dicetuskan
di kalangan golongan elit kerajaan akibat Pembaratan masyarakat Singapura.

Sebenarnya pernyataan Warren telahpun menunjukkan bahawa pembangunan bandar memang


menjejaskan warisan negara. Ini bukan hanya merujuk kepada monumen, kumpulan bangunan atau
tapak dan mana-mana objek fizikal sahaja tetapi keseluruhan aktiviti atau gerakan yang dibawa
bersamanya. Maknanya masyarakat dan jenis aktiviti yang wujud di dalam atau sekitar objek bangunan.
Bentuk(Form) cumalah suatu perantaraan yang membolehkan fungsi(Function) dijalankan dan kedua-
duanya saling berhubung kait.

Contohnya kewujudan kompleks membeli-belah berbanding dengan rumah kedai tradisional. Masyarakat
telah mengalami perubahan dari segi cara hidup, corak perbelanjaan, interaksi sosial, cara berekreasi
dan sebagainya. Contohnya Singapura yang mewujudkan ‘pedestrian-mall’ dengan kedai-kedai dua
tingkat yang dibuat seolah-olah sama dengan rumah kedai tradisional tidak lari daripada hakikat bahawa
kedua-duanya memang benda yang berlainan. Wujudnya bangunan yang seakan-akan sama dengan
bangunan bersejarah tidak menjamin pengekalan warisan. Ini kerana segala-gala gerakan, kehidupan
dan komuniti yang wujud bersama-sama bangunan tersebut pada zaman dulu telah hilang. Warisan
negara telah terjejas!

Misalnya ‘pedestrian-mall’ tersebut menggunakan penghawa dingin dan cerminan daripada itu adalah
penumpuan yang kurang terhadap pengudaraan semulajadi. Perkara yang dianggap remeh-temeh ini jika
diperincikan akan menampakkan bahawa masyarakat kini telah kehilangan keprihatinan terhadap alam
sekitarnya yang mana masyarakat dulu mempunyai pandangan yang agak berbeza. Selain daripada ini,
terdapat banyak lagi "remeh-temeh" yang dibawa sekali oleh pembangunan bandar. Namun faktor yang
lebih penting adalah aktiviti manusia di dalam kawasan tersebut. Komuniti asal telah digantikan oleh
pelancong dan pengunjung. Selepas waktu perniagaan, kawasan tersebut menjadi kosong, berbeza
dengan masa lalu di mana terdapatnya kehidupan malam yang menghidupkan kawasan tersebut. Ini
merupakan sesuatu yang tidak dapat dihasilkan menerusi undang-undang atau sebarang dasar yang
dibawa bersama dalam pembangunan bandar. Inilah yang dikatakan sebagai penjejasan warisan.

Melihat daripada perspektif yang lain pula, peranan kerajaan, isirumah dan corak perdagangan wujud
sejajar dengan pembangunan bandar. Kehadiran pembangunan bandar juga menjemput konsep-konsep
pemuliharaan, pembangunan semula bandar, penggiatan semula bandar, desentralisasi bandar dan
sebagainya. Misalnya pemuliharaan; yang diwujudkan kononnya atas kesedaran masyarakat terhadap
sesuatu – kesedaran terhadap pemusnahan artifak berharga – kesedaran terhadap
penjejasan/pemusnahan warisan negara. Itulah bukti yang paling nyata bahawa pembangunan bandar
menjejaskan warisan negara! Isunya di sini bukan berkenaan wujudnya kesedaran, kawalan atau apa-
apa pun yang boleh mengekalkan warisan(sekiranya ada), ia berkenaan masyarakat sedar bahawa
pembangunan bandar memang menjejaskan warisan negara. Itulah rasional di sebalik wujudnya konsep
pemuliharaan pada mulanya.
Walaupun adanya campurtangan kerajaan melalui dasar dan undang-undang atas usaha pemuliharaan
namun matlamat pemuliharaan yang kuat dilaungkan masih tidak menampakkan hasil yang memuaskan.
Sesuatu bangunan yang dicat semula dan diperbaiki tanpa nilai-nilai sejarah serta keseluruhan
kehidupan dan aktiviti yang wujud bersamanya langsung tidak bermakna. Ia akan kehilangan fungsinya
sebagai warisan, bukankah ini penjejasan warisan namanya?

Dalam kes yang lebih serius lagi, bangunan warisan langsung tidak dapat dikekalkan. Ia terpaksa
diruntuhkan atas desakan tekanan pembangunan dan kuasa membeli isirumah(ini tidak merujuk kepada
bangunan yang telah usang dan langsung tidak dapat diperbaiki). Apabila kuasa pasaran meminta
kompleks membeli-belah maka akan wujudlah ejen yang mengwujudkannya. Proses ini dipercepatkan
lagi oleh media massa. Kesemua ini mengubah warisan negara dalam bentuk kos tanah, sewa yang
tinggi, persaingan yang semakin hebat, pemindahan modal asing, pergantungan, penjejasan nilai
matawang, pengugatan kuasa ekonomi dan sebagainya. Sekiranya ini bukan penjejasan warisan, apakah
nama yang lebih sesuai?

Contoh-contoh pemusnahan bangunan warisan dan kesan pembangunan bandar terhadap bangunan
warisan.

1. Di antara tahun 1960-1970, strategi pembangunan semula bandar Singapura telah


memusnahkan rumah kedai untuk blok perumahan dan perdagangan moden. Penghalauan
penjaja jalan juga telah memusnahkan sebahagian daripada ‘fabrik’ kawasan tersebut 7.
2. Chinatown (Singapura) : rumahkedai sebagai bentuk senibina yang membekalkan kebanyakan
ciri-ciri tempat tersebut selepas pemuliharaan telah kehilangan penduduk asalnya. Komuniti asal
yang dikait dengan interaksi sosial telah hilang. Akibatnya tiada penduduk yang cukup untuk
menampung pembangunan pusat perkhidmatan atau menyumbang kepada kehidupan
bandaraya7.

3. Eu Court, sebuah bangunan dengan kualiti mercu tanda di Singapura dirobohkan pada tahun
1993 untuk pelebaran jalan sebagai langkah mengurangkan kesesakan lalulintas di kawasan
tersebut7.(Roots, 1993)

4. No, 3 Jalan Coleman, bangunan Anglo-India abad ke-19 yang dibina oleh arkitek terkemuka
British J.D. Coleman, terserah kepada jentolak atas nama penghapusan kawasan setinggan 7.
(The Straits Times, 5-12-1965)

5. Rumah pangsa Cresent di jalan Meyer, dipercayai blok rumah pangsa tertua di Singapura, tidak
dapat dikekalkan akibat pembangunan kondominium.(Roots, 1992)

6. Perancang bandar Hong Kong gagal dalam pengekalan bangunan yang mempunyai nilai-nilai
sejarah, samada bangunan penjajah atau tradisional China. Kesemuanya dirobohkan untuk
pembinaan bangunan rumah/pejabat dengan senibina moden yang nampak sama dengan mana-
mana bangunan di mana-mana tempat.

###################################################

DEBAT PELAJAR

Pembangunan Bandar Menjejaskan Warisan Negara

Hujah Pembangkang
Hujah Pembangkang 1 – Chong Chee Kit P-RM 0502
Pengenalan
Pembangunan bandar adalah proses perkembangan dan perubahan corak kehidupan dalam bandar
meliputi pertambahan penduduk, keluasan kawasan dan perubahan ini melibatkan proses luputnya ciri-
ciri kehidupan desa, melibatkan pertukaran pekerjaan daripada yang bercorak pertanian kepada kegiatan
yang berkaitan dengan perdagangan, perniagaan, perkhidmatan, perindustrian, serta mengalami
perubahan sosial penduduk bandar..

Perubahan demikian memberi implikasi kemakmuran, kemajuan, dan pemodenan; berbeza dengan
kehidupan desa yang dianggap sebagai miskin, mundur, ketinggalan, tradisional dan statis.

Warisan Negara boleh diintepretasikan sebagai "apa-apa yang diwariskan dari dahulu", atau mengikut
Lord Charteris (Chairman of National Heritage Memorial Fund) memberi definisi "Anything you want", iaitu
apa-apa maksud yang boleh diberikan bergantung kepada apa yang kita ingin pilih. Persatuan Bangsa-
bangsa Bersatu (PBB) pula mendifinisikan warisan budaya dalam persidangan 1972 bahawa, warisan
budaya adalah seperti yang berikut:

Monuments : architecture works, works of monumental, sculpture and painting, elements of structures of
an archaeological nature, inscriptions, cave dwellings and combination of features, which are of
outstanding universal value from the point of view of history, art or science;

Groups of buildings : groups of separate or connected buildings which, because of their architecture, their
homogeneity or their place in the landscape, are of outstanding universal value from the point of view of
history, art of science;

Sites : works of man or the combined works of nature and man, and areas including archaeological sites
which are of outstanding universal value from the historical aesthetic, ethnological or anthropological
points of view.

Definisi warisan kedua pula merujuk kepada warisan alam semulajadi (Natural Heritage)

Dalam pendebatan yang diadakan, fokus warisan telah menumpu kepada sektor budaya dan cara hidup,
bangunan dan monumen, dan alam semula jadi.

Hujah 1

Seperti yang kita maklum, penghayatan warisan memerlukan minat terhadap sejarah dan zaman lampau,
kajian telah menunjukkan tiada kolerasi atau hubungan antara kejayaan ekonomi dan kepesatan
pembangunan bandar dengan kehilangan minat terhadap sejarah dan warisan negara. Minat terhadap
warisan lahir daripada terdapatnya pertambahan masa lapang penduduk dan peningkatan kuasa beli.
Sudah pasti bahawa pertambahan masa lapang penduduk dan peningkatan kuasa beli datang daripada
kejayaan ekonomi, yang memerlukan pembangunan bandar.

Bagaimana kita boleh menyalahkan pembangunan bandar akan menjejaskan warisan negara sedangkan
pembangunan bandar yang dapat meningkatkan ekonomi negara, yang dapat membekalkan sokongan
kewangan dan meninggikan minat penduduk untuk melindungi warisan negara, kerana pemuliharaan
warisan negara memerlukan sokongan kewangan, galakan kerajaan dan minat penduduk tempatan
terhadap warisan mereka.

Maka dengan ini dapat disimpulkan bahawa pembangunan bandar dapat memajukan ekonomi negara,
dan kemajuan ekonomi adalah penting untuk melindungi warisan negara.

Kita boleh lihat terdapat banyak contoh negara maju yang mempunyai warisan dan budaya yang kaya
seperti Jepun, Itali, Perancis, Amerika Syarikat, dan Australia.
Pada masa kini, Jepun bukan sahaja sebagai sebuah negara yang begitu maju dalam ekonomi dan
teknologi, juga tidak ketinggalan dari segi warisan dan budaya. Banyak bangunan, tokong, monumen
yang mempunyai nilai sejarah masih dilindungi dan dipelihara, dengan adanya usaha dan sokongan
kewangan dan dasar dari kerajaan. Budaya hidup Jepun yang berkenaan dengan makanan, pesta,
pemikiran, seni, kraf tangan dan sebagainya, masih unik dan mempunyai ciri-ciri tersendiri. Oleh itu, kita
tidak boleh mengatakan bahawa pembangunan bandar akan menjejaskan warisan negara. Jepun berjaya
membangunkan negara di samping dapat mengekalkan warisan dan budaya, apakata dengan negara
lain tidak boleh?

Negeri Thai misalnya, banyak tempat dan tapak bersejarah seperti monumen Ayuthaya dan
Kanchanaburi merupakan tempat pelancongan yang terkenal yang menerima banyak pelancong setiap
hari. Apakan pembangunan bandar iaitu pembangunan Bangkok khususnya dapat menjejaskan tempat
bersejarah ini, tentunya tidak kerana tempat-tempat ini terletak jauh dari Bangkok. Pembangunan bandar
sememangnya tidak akan menjejaskan tempat bersejarah dengan membangunkan bandar di luar
daripada tempat bersejarah.

Pelindungan dan pemeliharaan warisan yang fizikal memerlukan perhatian orang. Walaupun bandar
dibangunkan di kawasan bersejarah, contohnya Kota Melaka, Georgetown, pembangunan bandar dapat
memberi nyawa baru kepada tempat bersejarah ini dengan usaha pemuliharaan bangunan. Usaha
pemuliharan bangunan ini lebih bermakna berbanding dengan mengabaikan dan membiarkan tempat
bersejarah ini tanpa penjagaan. Pemuliharaan dapat melindungi bangunan lama daripada rosak dan
runtuh.

Kesimpulannya, pembangunan bandar adalah satu langkah membangunkan ekonomi negara, dapat
menjanakan kewangan untuk melindungi warisan fizikal negara, dan menigkatkan taraf hidup penduduk
seterusnya dapat memupuk minat dan kesedaran penduduk terhadap warisan, kerana terdapat
pertambahan masa lapang dan peningkatan kuasa beli.

Hujah 2

Pembangunan bandar sebenarnya tidak bermaksud akan merosakkan warisan negara. Kerosakan
warisan negara adalah disebabkan oleh kekurangan kesedaran di kalangan penduduk, kekurangan
undang-undang dan pelaksanaan untuk melindungi warisan negara.

Kesedaran penduduk adalah penting untuk memelihara warisan negara. Kesedaran penduduk lahir
daripada pengenalpastian masalah yang timbul seperti pencemaran udara, air dan bunyi; yang mana
kesedaran ini lebih senang dirasai iaitu apabila banjir berlaku, tanah runtuh, ataupun menghidap penyakit
akibat pencemaran, catuan air, kesan rumah hijau dan sebagainya.

Pembangunan bandar memerlukan sumber alam semulajadi seperti balak, pasir, tenaga; yang
memerlukan kayu balak dari hutan, sumber tenaga daripada galian petroleum atau pembinaan
empangan, yang mana akan merosakkan jutaan spesis flora dan fauna. Penggunaan sumber alam
semula jadi tidak dapat dielakkan, tetapi apa yang penting ialah langkah pemuliharaan seperti
penanaman semula, kawalan pembalakan, yang memerlukan kawalan kerajaan dari segi akta-akta dan
garis panduan.

Kesedaran rakyat dan kerajaan lebih dijumpai pada negara yang maju seperti Amerika Syarikat, Kanada
dan Jepun. Negara yang maju telah banyak merosakkan sumber hutan, dan kini mereka berusaha untuk
menyelamatkan warisan alam semula jadi mereka. Bagi negara yang mundur seperti Indonesia, India,
Negara-negara Afrika dan sebagainya, rakyat negara ini tidak ada kesedaran tentang pemuliharaan,
kerana bagi mereka, mencari rezeki lebih penting daripada alam semula jadi. Mereka cenderung
membalak pokok berlebihan untuk mendapat pulangan lebih, membakar hutan untuk mendapatkan
tanah pertanian, membuang sampah ke dalam sungai dan laut kerana tiada sistem pembuang sampah
yang sempurna. Contoh-contoh ini telah menunjukkan bahawa bukan pembangunan bandar sahaja yang
akan menjadikan warisan negara terjejas, faktor tiada kesedaran atau kejahilan penduduk terhadap
alam semula jadi boleh menjadi faktor perosak utama.

Hujah 3

Sebenarnya, pembangunan bandar pada zaman moden adalah terkawal dan dijalan dengan sistematik
serta mengambil kira aspek astetika bandar di samping aspek sosio budaya. Sejak tahun 60-an,
pembangunan bandar di negara-negara Eropah telah dikawal oleh sistem perancang bandar berkanun.
Perancangan bandar bertujuan menyusun atur kegunaan tanah dan petempatan supaya dapat mencapai
darjah ekonomi, keselesaan dan keindahan alam bina. Dalam pembangunan bandar moden terdapat
elemen-elemen pemuliharaan dan pemeliharaan yang menjurus kepada pengekalan warisan bukan
sahaja dari segi alam semula jadi, monumen, tetapi juga mengekalkan ciri-ciri budaya masyarakat yang
ada.

Di negara-negara Eropah, usaha pembangunan bandar selepas Perang Dunia I banyak menampakkan
percubaan untuk memelihara warisan seperti bangunan dengan seni bina Greek dan Rome yang
didirikan di Zaman Renaissance. Di bandaraya yang sangat pesat pembangunan iaitu kadar urbanisasi
telah mencapai 100% seperti Paris, warisan yang mempunyai sejarah selama beratus-ratus tahun masih
dipelihara seperti L’Arc de Triomphe, La Tour Eiffel (1889), Notre-Dame de Paris (1163), Le Palais de
Chaillot (1937), La Bastille (1789). Ini jelas menunjukkan pembangunan bandar tidak menjejaskan
warisan negara.

Di Amerika Syarikat, sejak tahun 1949, taman negeri dan taman negara telah bertambah daripada 19
juta ekarkepada 116 juta ekar, dan kawasan hidupan liar bertambah daripada 9 juta ekar kepada 96 juta
ekar. Di Malaysia, pembangunan bandar dari segi tanah dan bangunan adala dikawal oleh Akta
Perancang Bandar dan Desa (Akta 172) dan undang-udang yang berkaitan seperti Akta Kualiti Alam
Sekeliling 1974 (Akta127). Malaysia yang masih mentah dari segi sistem perancangan bandar telah
menampakkan keprihatinan untuk memulihara warisan negara dalam pembangunan bandar

Hujah 4

Bagi pencemaran budaya, susah untuk kita mendefinisikan pencemaran budaya dalam alaf dunia yang
mementingkan konsep teknologi maklumat, globalisasi, dan dunia tanpa sempadan. Apakah kita mesti
mewariskan segala-gala cara hidup yang diwariskan oleh nenek moyang kita, sedangkan kita mendapat
cara hidup moden yang lebih berkesan dan praktikal? Tidak dinafikan bahawa cara hidup kita pada hari
ini telah banyak berubah berbanding dengan zaman dulu. Kita tidak lagi memakai baju tradisional, tidak
makan makanan kampung, tidak bercakap bahasa ibunda, dan yang paling ketara tidak berfikir seperti
nenek moyang kita. Falsafah hidup kita kini lebih mirip kepada barat yang mementingkan gaya,
individulistik, budaya "fast food", budaya serba membuang (seperti yang ditulis oleh Alvin Toffler dalam
buku "Kejutan Masa Depan"). Dengan mengamal gaya hidup seperti inilah yang menjadikan kita hilang
akar. Kita telah lupa tentang falsafah hidup, seni, ajaran moral dan pemikiran yang diwariskan oleh nenek
moyang kita.

Bagi kaum Cina misalnya, banyak kelebihan dan falsafah hidup yang boleh kita rujuk, seperti ajaran
Confucious, ajaran Tao, yang mementingkan corak kehidupan berbentuk "spiritual" dan tidak
mementingkan corak kehidupan material. Pengamalan gaya hidup ini dapat mengurangkan keperluan
dan nafsu dari segi fizikal dan material, tetapi mengejar kepuasan dari segi mental. Banyak orang lupa
atau langsung tidak tahu dengan ajaran ini, kerana dalam masyarakat kini yang banyak dipengaruhi oleh
pemikiran barat, yang mementingkan kejayaan material.
Berbanding dengan negara barat pula, keadaan ini adalah sebaliknya. Negara barat yang telah mencapai
kemajuan yang pesat, telah menyebabkan mereka hilang akar mereka. Mereka kini pula lebih cenderung
mencari kehidupan "spiritual", dengan mengkaji ajaran zaman purba China seperti Confucious, dan Tao.
Buku yang paling diminati oleh mereka ialah "Tao Te Ching" yang ditulis oleh Lao Tze, pengasas ajaran
Tao. Fahaman orang barat tentang ajaran China kadang-kadang melebihi orang timur. Orang barat kini
ingin mencari kehidupan dan corak hidup yang leih harmoni dengan alam semula jadi, dan fahaman Tao
dapat memenuhi kehendak mereka. Orang timur atau penduduk dari negara miskin belum mencapai
tahap ini kerana asas kehidupan mereka belum kukuh, iaitu masih mengejar rezeki hidup yang tidak
menentu.

Mengikut teori keperluan segi tiga Maslow (Maslow triangle of needs), manusia hanya akan ingin mencari
kehidupan aman, merealisasikan diri apabila kehidupan asas dapat dipenuhi. Oleh itu, manusia akan
berusaha mengejar kemakmuran dan kejayaan ekonomi, membangunkan negara dan membaiki taraf
kehidupan, selepas itu barulah mereka sedar dan ada masa lapang untuk mencari warisan negara
terutamanya budaya hidup mereka.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Hujah Pembangkang 2 – Izzamir Ismail

Sebelum saya sebagai pembangkang kedua memulakan hujah, izinkan saya menanyakan satu soalan
kepada saudara pencadang iaitu Tahukah saudara bahawa berapa banyak bandar di dunia yang
menjejaskan warisan negara? Seterusnya, saya berbalik kepada hujah-hujah saya iaitu pembangunan
bandar tidak menjejaskan warisan negara. Hujah saya yang pertama, walaupun pembangunan bandar
giat dijalankan terutamanya di Malaysia namun cara hidup dan budaya masyarakat Malaysia yang
majmuk tidak terjejas. Hal sedemikian dapat dilihat dari segi sambutan perayaan, contohnya Hari Raya
Puasa, Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali. Apabila menjelang perayaan yang tertentu masyarakat
Malaysia masih memakai pakaian tradisional masing-masing seperti baju Melayu, chongsam dan sari, ia
jelas menunjukkan bahawa warisan negara masih dikekalkan. Selain itu, dari segi sosial terutamanya
pada musim perayaan juga masyarakat Malaysia yang menetap di bandar saling kunjung-mengunjungi di
antara satu sama lain yang dapat mengeratkan hubungan siratul rahim dan telah diwarisi sejak dahulu
lagi. Ia juga jelas menunjukkan bahawa budaya masyarakat Malaysia pada era menuju alaf baru masih
mengamalkan budaya dan warisan keturunan bangsa masing-masing bak kata pepatah Melayu; Budaya
Terletak Pada Nilai Bangsa dan Agama. Seiringan itu, cara hidup masyarakat Malaysia masih
menggunakan tangan untuk makan iaitu warisan sejak dahulu lagi dan salah satu restoran yang terkenal
di peringkat antarabangsa pula, iaitu Kentucky Fried Chicken yang menggunakan tema ‘Finger Likin
Good’ mengukuhkan lagi kenyataan saya kerana restoran itu terletak di kawasan bandar namun ia masih
berbalik kepada budaya tradisi masyarakat Malaysia.

Hujah saya yang kedua, dari segi alam sekitar bahawa pembangunan bandar tidak menjejaskan warisan
negara sebaliknya ia merangsang dan membantu pertumbuhan ekonomi di negara yang membangun
seperti Malaysia. Di samping itu, dalam melaksanakan sesuatu cadangan projek pembangunan, penilaian
kesan-kesan alam sekitar akan dilakukan. Selaras itu, terdapat prosedur penilaian yang disepadukan ke
dalam proses perancangan dan kelulusan projek yang dikenali sebagai prosedur yang ‘implicit’ manakala
prosedur yang tidak disepadukan sebagai prosedur ‘explicit’. Ia bermakna sebelum pembangunan bandar
dijalankan, penilaian kesan-kesan alam sekitar akan diambilkira agar ia tidak menjejaskan warisan
negara seperti Perancis yang mengamalkan prosedur formal dan ‘implicit’ bermakna prosedur yang
mempunyai kuasa undang-undang dan disepadukan ke dalam proses perancangan.

Hujah saya yang akhir sekali ialah dalam mengharungi era pembangunan bandar, warisan negara tetap
dikekalkan contohnya, Bandar Georgetown yang menjadi tulang belakang pembangunan ekonomi
kepada Negeri Pulau Pinang yang mempunyai warisannya yang tersendiri seperti Kota Cornwallis yang
sering dikunjungi pelancong dan terletak di Esplanade. Di samping itu, terdapat juga garispanduan
rekabentuk untuk kawasan pemeliharaan dalam kawasan dalaman Bandaraya Georgetown seperti
barisan rumah teres halaman Seh Tan dan Masjid Melayu (Jamek) Lebuh Acheh yang mengekalkan dan
membaik pulih bangunan sama ada dari segi mengecat atau membaiki kerosakan bangunan itu. Justeru
itu, sebelum saya mengakhiri hujah saya, ingin saya sekali lagi menegaskan bahawa Pembangunan
Bandar Tidak Menjejaskan Warisan Negara.

Sekian, terima kasih.

>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>>

Hujah Pembangkang 3 – Lim Yee Wei


Faktor lain yang menjejaskan warisan negara

Tiga faktor lain yang mungkin menjejaskan warisan negara adalah faktor media massa, faktor
peperangan dan faktor pihak pemerintah.

Faktor 1

Media massa melalui televisyen, radio, video dan sebagainya membawa masuk pengaruh barat dari segi
seni muzik, gaya berpakaian, budaya hidup; dan faktor inilah yang menjejaskan warisan budaya kita.
Pengaruh barat ini dikukuhkan lagi oleh pelancong asing yang melawat negara kita. Kemajuan teknologi
maklumat menyediakan jaringan global atau internet yang membolehkan perhubungan secara langsung
dengan dunia luar. Perubahan ini menjadikan kuasa media massa meresap ke seluruh negara termasuk
desa yang tidak diharungi arus pembangunan. Ini membuktikan bahawa warisan negara tidak dijejaskan
oleh pembangunan bandar tetapi faktor media massa.

Faktor 2

Faktor peperangan dan kemusnahan yang dibawakan akan menjejaskan warisan negara. Contohnya dala
Perang Dunia I, banyak bangunan yang mempunyai kepentingan sejarah seperti seni bina Greek, Rome,
Baroque telah musnah. Bukan warisan Eropah sahaja termusnah dalam peperangan tetapi banyak harta
benda budaya Jepun yang hilang atau termusnah oleh serangan udara dalam Perang Pasifik. Di akhir
Perang Pasfik, hampir semua bandaraya di Jepun telah musnah dibom. Banyak harta benda budaya yang
tidak boleh dipindah seperti castle, temple, rumah berhala (shrines) dan bangunan bersejarah telah
termusnah oleh serangan udara.

Faktor 3

Telah dibuktikan bahawa pembangunan bandar zaman moden dikawal sistem perancangan bandar
berkanun yang mengambil kira warisan negara yang bernilai. Soalannya bagaimana pembangunan
bandar yang dikawal oleh set undang-undang boleh menjejaskan warisan negara jika bukan disebabkan
oleh keputusan pihak pemerintah yang boleh mempengaruhi keputusan pembangunan? DiMalaysia
mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling di bawah seksyen 34A, satu perintah kualiti Alam Sekeliling (akta
yang ditetapkan) telah menyenaraikan 19 aktiviti yang dikehendaki menjalani kajian EIA, salah satu
aktiviti ini adalah penjana an pemancaran kuasa. Menurut akta, EIA perlu dikemukakan kepada JAS dan
diluluskan sebelum projek pembangunan boleh dilaksanakan. Malangnya projek Empangan Bakun tetap
dilaksanakan walaupun EIA belum diluluskan. Projek ini telah mengorbankan warisan negara yang tidak
ternilai dengan pembersihan hutan rimba primer seluas 80,000 hektar (saiz Singapura) di samping
peralihan keluar keluarga orang asli sebanyak 5000 buah yang terdiri daripada etnik Kenyah, Kayan,
Lahanan, Ukit, Penan. Kesimpulannya, keputusan pemerintah menjejaskan warisan negara dan bukan
sistem pembangunan bandar.
Rujukan

Heritage Interpretation volume I, The Natural and Built Environment edited by David L.Uzzell, Belhaven
Press,1989. (No. panggilan CC135H548, PU1, USM)

Preservation of Cultural Heritage, Cultural and Social Centre. (No. panggilan N9054P933, PU1, USM)

Garispanduan Rekabentuk Untuk Kawasan-Kawasan Pemeliharaan Di Dalam Kawasan Dalaman


Bandaraya Georgetown, Penang oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang.

Penilaian Kesan-Kesan Alam Sekitar oleh Abdullah Mohamad Said, BIROTEKS Institut Teknologi
Mara.

You might also like