You are on page 1of 2

Penerokaan angkasa lepas telah membuka banyak ruang kepada manusia

memperkembang sains dan teknologi sejagat. Huraikan.

Penerokaan angkasa lepas memang banyak memberi manfaat terhadap perkembangan sains
dan teknologi. Kejayaan negara-negara Barat terutamanya Amerika Syarikat dan Russia
banyak bergantung kepada kemampuan mereka untuk menghasilkan teknologi moden
terutama yang berkaitan dengan penerokaan angkasa lepas. Keadaan ini menyebabkan
negara-negara lain terutama China dan Jepun serta India turut berusaha memajukan
teknologi angkasa lepas mereka. Sememangnya banyak impak positif yang dihasilkan oleh
penerokaan angkasa lepas terhadap kehidupan manusia.

Impak positif yang ketara ialah penerokaan angkasa lepas telah memajukan bidang
teknologi maklumat terutama yang berkaitan dengan teknologi internet. Penghasilan lebih
banyak satelit di ruang angkasa bumi telah memudahkan perhubungan atau komunikasi
tanpa batasan sempadan diwujudkan. Kemajuan dalam bidang teknologi maklumat ini
menjadikan bidang komunikasi, keselamatan dan pertahanan semakin berkembang maju
selaras dengan kemajuan penerokaan angkasa lepas itu. Jelaslah, teknologi angkasa lepas
menyebabkan bidang teknologi maklumat manusia menjadi lebih baik dan moden.

Malah, aktiviti penerokaan yang berani ini berupaya meninggikan kemampuan teknologi
pemantauan manusia sejagat pula. Penggunaan satelit dan kapal angkasa menjadikan
gambar-gambar lebih mudah untuk diambil dan dirakam dari sudut yang lebih baik dan
sesuai. Semua hasil gambar ini memudahkan ahli saintis untuk membuat ramalan tentang
keadaan geografi dan juga membantu merancang manusia untuk menjalankan projek
pembangunan dengan lebih mesra alam lagi. Pada masa yang sama, teknologi moden ini
boleh digunakan juga untuk memantau perubahan cuaca dan kadar pencemaran alam
dengan lebih menyeluruh. Sesungguhnya, teknologi pemantauan manusia menjadi lebih maju
dan berkembang dengan adanya usaha-usaha menjalankan penerokaan angkasa lepas itu.

Malahan, industri teknologi robotik turut berkembang selari dengan usaha meneroka
angkasa lepas ini. Kebanyakan peralatan teknologi yang dihantar ke angkasa lepas atau
kawasan ruang udara bumi dikawal oleh robot atau peranti kawalan. Keadaan ruang
angkasa yang begitu bahaya dan sukar diramal menyebabkan robot lebih sesuai digunakan
berbanding dengan manusia. Semua tindakan menggunakan robotik ini boleh memberikan
satu tafsiran awal akan keperluan untuk mewujudkan koloni manusia di angkasa lepas pula.
Maka, teknologi robotik manusia juga akan mengalami perubahan drastik kerana usaha
penerokaan angkasa lepas memerlukan penggunaan robotik yang begitu banyak.

Selain itu, pelbagai ujikaji atau kajian sains boleh dijalankan menerusi usaha penerokaan
angkasa lepas itu. Para saintis sudah mula membuat kajian tentang kesan gravity terhadap
manusia di luar ruang angkasa bumi terutama aspek ketumpatan tulang dan kadar
kehilangan jisim tulang manusia. Penerokaan angkasa lepas memberikan satu platform
untuk melakukan pelbagai kajian yang boleh memberikan pengetahuan baru kepada manusia
tentang sains pula.

Konklusinya, semua usaha meneroka angkasa lepas itu bukanlah sesuatu yang membazir.
Pelbagai hasil yang positif terutama kajian sains akan memberikan manusia satu informasi
yang berguna pula terutama jika semua usaha ini berkonsepkan kerjasama sejagat. Kita
harus sedar bahawa semakin banyak maklumat yang kita ketahui tentang angkasa lepas
semakin baiklah prospek kehidupan kita kelak. Jadi, usaha penerokaan angkasa lepas ini
perlu diteruskan tanpa sebarang sekatan lagi.

You might also like