You are on page 1of 2

Huraikan kelebihan dan kelemahan perniagaan Internet pada masa kini.

Perniagaan internet merupakan salah satu aktiviti perniagaan yang menggunakan


teknologi yang canggih atau lebih dikenali sebagai e-dagang iaitu melakukan urusan
jual beli antara peniaga dengan pengguna.melalui Internet. Di Malaysia, aktiviti
perniagaan Internet semakin terkenal dan mendapat sambutan pada masa kini, selaras
dengan kemajuan pembangunan dan ekonomi negara. Di samping itu, perniagaan
Internet bukan sahaja khusus kepada syarikat-syarikat besar, malah terdapat juga
syarikat kecil yang menjalankan perniagaan Internet, walaupun mereka mempunyai
pekerjaan tetap bagi memperoleh pendapatan sampingan. Hal ini menunjukkan bahawa
perniagaan Internet semakin mendapat sambutan hangat iaitu memberi kebaikan
kepada peniaga mahupun pengguna. Walau bagaimanapun, perniagaan Internet juga
mempunyai keburukan yang tidak dapat dijangka.

Perniagaan Internet memberikan kelebihan iaitu urusan jual beli dapat dijalankan
dengan lebih mudah dan cepat di samping menjimatkan kos. Hal ini demikian kerana,
pihak peniaga tidak perlu mempromosikan produk mereka di luar seperti mengadakan
promosi di tepi-tepi jalan, pasar raya dan tempat-tempat awam yang lain. Para peniaga
juga boleh membuat promosi dengan mudah iaitu mengiklankan setiap produk mereka
dengan menggunakan kemudahan Internet. Kerja-kerja promosi bukan sahaja dapat
dijalankan dengan mudah, malahan kosnya juga dapat dikurangkan, antaranya kos
pengangkutan dan tenaga kerja dalam aktiviti promosi. Keadaan ini turut memudahkan
pelanggan dalam urusan pembelian barang. Pelanggan tidak perlu membuang masa
untuk membuat tempahan di kedai malah boleh membuat tempahan melalui Internet
sahaja.

Di samping itu, perniagaan Internet juga dapat meluaskan pasaran di serata dunia.
Sebagai contohnya, produk Malaysia seperti pencuci muka berjenama murah bukan
sahaja tertumpu di dalam negara sahaja, malah boleh meluaskan pasarannya ke luar
negara juga seperti Indonesia, Filipina, Singapura, India, mahupun Amerika Syarikat.
Penjualan barang di luar negara bukan sahaja memperkenalkan jenama produk
Malaysia, malah memberi keuntungan besar di samping meningkatkan ekonomi
negara. Hal ini berikutan wujudnya pertukaran mata wang asing dalam aktiviti jual beli
antara Malaysia dengan negara luar mula berminat terhadap barangan dari Malaysia
dan mula menyebarkan berita tersebut kepada rakan-rakan mereka.

Selain itu, perniagaan Internet juga memberikan impak kepada ekonomi negara, lebih-
lebih lagi dari aspek pelancongan. Dalam sektor pelancongan, kebiasaannya setiap
hotel dan pusat pelancongan akan menjual produk pelancongan mereka iaitu dengan
membuat promosi mereka melalui Internet supaya pasaran akan lebih luas sehingga ke
luar negara. Keadaan ini dapat menarik pelancong yang lebih banyak untuk datang dan
bercuti ke Malaysia. Pendapatan negara melalui pertukaran mata wang asing bukan
sahaja meningkat malah persaingan antara negara maju yang lain juga dapat diatasi.
Keadaan ini menunjukkan bahawa negara Malaysia juga mampu memberikan saingan
yang hebat dalam sektor pelancongan melalui penggunaan alatan yang canggih dan
berteknologi tinggi.
Terdapat juga beberapa kesan negatif apabila menceburkan diri dalam perniagaan
Internet, antaranya ialah peniaga terpaksa menghadapi pelbagai kerenah pelanggan.
Sebagai contohnya, walaupun Malaysia semakin meningkat maju, terdapat banyak lagi
anggota masyarakat yang tidak mahir menggunakan teknologi maklumat. Peniaga juga
terpaksa bersabar dengan kerenah pelanggan yang sering tidak berpuas hati dengan
produk yang dipasarkan atas alasan hanya membuat pilihan melalui iklan dalam
Internet sahaja. Keadaan ini juga memberikan impak kepada peniaga yang terpaksa
mengeluarkan kos yang lebih tinggi untuk menghantar barang yang lain itu semula demi
kepuasan pengguna. Selain itu, terdapat juga pengguna yang terlalu cerewet dan
menyusahkan peniaga atau usahawan Internet. Keadaan ini berlaku kepada peniaga
yang mengamalkan konsep bayar, terima dan guna iaitu pembeli terpaksa membayar
harga barangan tersebut terlebih dahulu sebelum menghantar barangan..

Di samping itu, pengguna atau pelanggan juga perlu berhati-hati kerana pelbagai risiko
juga perlu dihadapi oleh peniaga. Risiko yang dimaksudkan itu, seperti produk atau
perkhidmatan yang dipasarkan hanya indah khabar daripada rupa, contohnya bagi
sesetengah produk, terutamanya makanan dan produk kesihatan. Hal ini demikian
kerana ditakuti produk tersebut berbahaya untuk kesihatan pengguna. Dalam sektor
pelancongan pula, kebanyakan pelanggan membuat aduan bahawa tempat-tempat
percutian yang telah ditempah melalui iklan dalam Internet tidak secantik mana, seperti
mana yang ditunjukkan melalui iklan dalam Internet. Keadaan ini bukan sahaja
menjejaskan ekonomi negara lebih-lebih lagi dalam sektor pelancongan, malah
mendapat tanggapan negatif daripada pelancong asing yang kebanyakannya tertipu
dengan pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan keuntungan
tanpa mengira kepuasan dan keselesaan pelanggan.

Sebagai kesimpulannya, perniagaan Interent bukan sahaja memberikan manfaat


kepada pengguna malah memberikan kemudahan dan kebaikan kepada peniaga. Di
samping itu, bukan sahaja rakyat yang menerima kebaikan dan faedahnya, malahan hal
ini turut memberikan impak yang besar juga kepada negara. Keadaan ini menunjukkan
bahawa negara Malaysia kini mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain.
Walau bagaimanapun, pengguna juga harus berhati-hati kerana terdapat beberapa
risiko yang bakal dihadapi oleh mereka. Oleh hal yang demikian, pihak berkuasa dan
kerajaan haruslah mengawal penggunaan Internet dalam bidang perniagaan, supaya
kemudahan ini tidak disalahgunakan kerana kita tidak mahu sudah terhantuk baru nak
tengadah.

You might also like