You are on page 1of 14

Ke Arah Melahirkan Karya Saintifik Berwibawa

Mohd Ikram Mohammad Nor Wazir


Akademi Penulis Sdn. Bhd.

Abstrak

Kertas kerja ini membincangkan mengenai perkembangan dunia penerbitan buku di Malaysia dan
potensi penulisan dan penerbitan karya saintifik. Kertas ini memfokuskan perbandingan proses
penghasilan karya saintifik berbentuk akademik dengan karya saintifik bagi pasaran umum yang
dikenali sebagai karya saintifik popular. Seterusnya kertas ini mengemukakan cadangan-cadangan
penting bagi proses penghasilan karya saintifik popular yang berwibawa.

Pengenalan
Dunia penerbitan buku Malaysia semakin hari semakin berkembang. Berdasarkan laporan daripada
Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), industri penerbitan buku Malaysia dianggarkan
berjumlah RM1.5 billion setahun dengan 500 buah penerbit buku serta lebih daripada 600 buah
kedai buku seluruh Malaysia. Jumlah penerbit ini semakin hari semakin bertambah dan jumlah buku
yang diterbitkan juga semakin bertambah banyak.

Namun, jumlah ini masih belum cukup untuk menampung jumlah permintaan buku di
pasaran buku Malaysia. Sama ada percaya ataupun tidak, berdasarkan perkembangan industri buku
seperti yang dilaporkan oleh MABOPA, permintaan terhadap buku juga semakin hari semakin
menggalakkan. Ini secara tidak langsung menyatakan bahawa minat membaca dan pembudayaan
ilmu di kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dengan baik.

Jika dilihat daripada kategori buku pula, sudah terdapat variasi yang besar dalam
kecenderungan membaca rakyat Malaysia. Walaupun laporan daripada dapatan Profil Membaca
Rakyat Malaysia 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia menunjukkan rakyat Malaysia hanya
membaca 2 buku setahun dan bahan bacaan itu berupa bahan bacaan santai seperti komik dan
majalah, dapatan daripada pemain industri buku adalah sedikit berbeza.

Kecenderungan untuk membaca bahan bacaan informatif, berdasarkan fakta dan kajian serta
ditulis menggunakan bahasa yang standard semakin meningkat. Buku-buku yang ditulis
menggunakan pendekatan saintifik tetapi dipakejkan secara popular diterima dengan baik oleh
pembaca. Ini secara tidak langsung memberikan gambaran perkembangan 'selera' pembacaan rakyat
Malaysia. Ini juga menjelaskan keperluan penulisan dan penerbitan buku yang ditulis menggunakan
pendekatan saintifik dalam bentuk yang mesra pembaca.

Semarak Budaya Membaca di Malaysia

Berdasarkan laporan daripada MABOPA, industri buku berkembang dengan baik daripada tahun ke
tahun. Begitu juga dengan minat membaca di kalangan rakyat Malaysia. Buktinya dapat dilihat
berdasarkan beberapa indikator penting.

Pertamanya, jumlah kedai-kedai buku di seluruh negara semakin bertambah dalam kadar
yang memberangsangkan. Pertambahan yang paling ketara adalah melibatkan jumlah kedai buku
berangkai seperti MPH dan Popular. Mereka giat membuka cawangan-cawangan baru bagi
memastikan penguasaan pasaran yang lebih menyeluruh di seluruh negara. Lebih menarik lagi,
kawasan yang menjadi tumpuan kedai-kedai buku ini adalah di bandar-bandar kecil yang dahulunya
di dominasi oleh kedai-kedai buku tradisional sahaja. Ini secara tidak langsung meningkatkan
variasi pembacaan masyarakat di bandar-bandar kecil yang sebelum ini hanya ditawarkan dengan
buku-buku tradisional seperti buku agama.

Namun, walaupun dengan kemasukan kedai-kedai buku berangkai ke bandar-bandar kecil,


kedai buku tradisional yang sedia tidak mati begitu sahaja jika pemiliknya beradaptasi dengan
perkembangan ini. Kebanyakan kedai buku tradisional terus kekal di kawasan asalnya walaupun
dengan kemasukan kedai buku berangkai apabila mereka juga meningkatkan variasi produk buku
yang ditawarkan. Sebelum ini, mereka hanya menawarkan buku teks, buku rujukan sekolah dan alat
tulis. Kini mereka mula beralih dengan menawarkan buku-buku umum untuk dijual. Kedua-dua
senario perkembangan melibatkan kedai buku berangkai dan kedai buku tradisional ini menjadi
bukti permintaan buku yang semakin meningkat sama ada di pasaran urban ataupun tradisional.

Perkembangan ini secara tidak langsung menarik minat kedai buku antarabangsa untuk
melabur di Malaysia. Terbaru, penerbit dan pekedai buku terbesar Indonesia iaitu kedai buku
Gramedia membuka cawangannya di Malaysia dan dilaporkan, mereka mensasarkan untuk
membuka lima cawangan di Malaysia pada tahun ini sahaja dan lebih banyak cawangan lagi pada
tahun akan datang. Tidak mungkin mereka sanggup melakukan pelaburan itu apatah lagi dalam
keadaan kelembapan ekonomi ini jika tidak ada permintaan yang tinggi daripada pasaran.

Bukti kedua perkembangan positif permintaan buku di Malaysia adalah berdasarkan


peningkatan jumlah pengunjung ke aktiviti berkaitan buku khususnya pameran buku ataupun pesta
buku. Contoh terbaik adalah Pesta Buku yang dapat digunakan adalah Pesta Buku Antarabangsa
Kuala Lumpur. Statistik menunjukkan, daripada tahun ke tahun, jumlah pengunjung pesta buku
semakin bertambah. Bagi tahun 2009 sahaja, jawatankuasa Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
melaporkan jumlah pengunjung Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur dianggarkan sebanyak 1.8
juta orang berbanding seramai 1.2 juta pengunjung pada tahun sebelumnya.

Begitu juga statistik tidak rasmi daripada penganjuran pesta buku di peringkat negeri
menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan. Bahkan, penganjuran pesta buku di kawasan-
kawasan yang disifatkan kurang membangun seperti di Pantai Timur juga mendapat sambutan yang
menggalakkan. Sekali lagi, tidak mungkin senario ini berlaku jika tidak ada permintaan yang tinggi
serta minat membaca yang bertambah baik.

Bukti ketiga adalah peningkatan jumlah jualan bagi buku-buku bukan fiksyen umum Bahasa
Melayu. Dahulunya, kedai-kedai buku utama tidak berkeyakinan untuk menjual buku Bahasa
Melayu kecuali novel cinta dan kanak-kanak. Ini disebabkan jumlah permintaan yang kecil. Apatah
lagi jika dibuat perbandingan dengan jumlah permintaan kepada buku bahasa Inggeris. Namun,
senario itu sudah berubah. Jumlah jualan buku-buku bahasa Melayu termasuklah novel, buku
kanak-kanak dan buku umum bukan fiksyen semakin bertambah baik khususnya di rangkaian
kedai-kedai buku di luar kawasan lembah Klang. Ini secara tidak langsung menyebabkan
permintaan kepada buku bahasa Melayu daripada kedai buku semakin bertambah. Seksyen buku
bahasa Melayu juga diperbesarkan dan dengan lokasi rak yang lebih strategik.

Ketiga-tiga bukti ini jelas menunjukkan jumlah permintaan buku serta minat membaca di
kalangan rakyat Malaysia yang semakin baik. Jumlah permintaan yang bagus ini secara tidak
langsung menggambarkan perkembangan industri buku secara keseluruhan. Ini bermakna jumlah
wang yang dibelanjakan oleh rakyat Malaysia bagi membeli buku semakin meningkat dan secara
tidak langsung membawa kepada kesan yang lebih besar, jumlah buku yang diterbitkan juga perlu
meningkat bagi memenuhi perkembangan ini.

Potensi Penerbitan Karya Saintifik


Mahu tidak mahu, kita harus menerima kenyataan, perkembangan positif yang ditonjolkan oleh
industri buku khususnya penerbit dan pekedai buku dapat dijadikan bukti mengenai potensi
penerbitan buku dan pembudayaan ilmu yang lebih segar di Malaysia. Walaupun dalam tempoh
kelembapan ekonomi pada tahun ini, ia tidak menghalang kewujudan rumah penerbitan baru dan
pembukaan lebih banyak kedai buku-kedai buku baru.
Selain daripada itu, mahu tidak mahu, kita juga harus menerima hakikat bahawasanya
masyarakat Malaysia juga sudah ke hadapan sama ada daripada aspek pembacaan mahupun
pemikiran. Oleh yang demikian, mereka dahagakan idea dan buah fikiran kritis daripada ilmuwan
khususnya kumpulan intelektual yang terus meneruskan mendapat penemuan baru dalam
penyelidikan yang dijalankan. Namun, tidak semua berkesempatan dan berkemampuan mengikuti
kuliah dan kelas yang dijalankan di universiti ataupun institusi pendidikan lainnya. Justeru sebagai
alternatif, salah satu cara paling murah dan mudah bagi mereka mendapatkan ilmu itu adalah
melalui karya-karya saintifik berwibawa yang dihasilkan. Namun, ia juga menjadi cabaran besar
kepada kumpulan intelektual bagi menghasilkan karya yang mesra pembaca, indeks kebolehbacaan
yang tinggi dan pada masa yang sama mengekalkan nilai tinggi wacana ilmiah kesarjanaan.

Jenis Karya Saintifik Berbentuk Buku


Secara umumnya terdapat dua jenis karya saintifik iaitu:

1. Karya saintifik akademik (Tesis ataupun disertasi)


Dalam dunia akademik, menulis tesis dan disertasi adalah prasyarat bagi mana-mana
mahasiswa untuk memperoleh ijazah, ijazah sarjana mahupun ijazah doktor falsafah.
Memandangkan ia adalah satu sistem umum bagi semua pelajar, pihak universiti biasanya
menyediakan garis panduan yang lengkap sebagai rujukan bagi pelajar dalam menghasilkan
tesis mahupun disertasi mereka. Semua pelajar wajib mengikuti garis panduan itu sebagai
syarat umum bagi menyiapkan tesis mahupun disertasi sebelum ia dibentangkan di hadapan
panel viva-você. Garis panduan itu salah satu daripada aspek saintifik dalam penulisan
ilmiah sesebuah tesis mahupun disertasi.

2. Karya saintifik Umum


Karya saintifik umum adalah hasil kajian sama ada daripada tesis ataupun sumber ilmiah
lain yang disampaikan dengan pakej yang umum sehingga mudah difahami dan diterima
dengan baik oleh khalayak ataupun masyarakat umum. Karya saintifik umum yang diambil
daripada tesis ataupun disertasi tidak menggunakan format penulisan tesis ataupun disertasi,
namun pada masa yang sama masih mengekalkan aspek intelektual pada tesis ataupun
disertasi itu. Karya saintifik umum ditulis kepada kumpulan sasaran yang umum dan
bukannya sebagai prasyarat bagi mendapatkan ijazah.

Kedua-dua jenis karya saintifik ini adalah penting khususnya mengikut perspektif kumpulan sasaran
pembaca masing-masing. Kedua-dua jenis karya saintifik ini juga mempunyai indikator penilai
wibawa yang sedikit berbeza. Namun, dalam konteks industri buku, karya saintifik umum dilihat
lebih menonjol kerana ia lebih mudah diakses oleh pembaca umum berbanding karya saintifik
akademik. Oleh yang demikian, bagi memeriahkan lagi dunia buku serta menyemarakkan tradisi
ilmu di Malaysia, dilihat ada keperluan besar untuk menilai penghasilan dan penerbitan sesebuah
karya saintifik dalam dua bentuk iaitu pertamanya, dalam bentuk akademik bagi rujukan akademik
oleh para intelektual dan pelajar universiti, dan keduanya, dalam bentuk umum bagi tatapan
pembaca dan masyarakat umum.
Usaha ini secara tidak langsung dapat membantu dalam menampung kekurangan jumlah
buku yang diterbitkan di pasaran buku Malaysia. Namun, penerbitan karya saintifik bagi pasaran
umum perlulah mengambil kira faktor-faktor penting dalam memastikan kredibiliti dan wibawa
karya itu disesuaikan bahkan dipertingkatkan selari dengan kriteria wibawa sebuah karya hebat oleh
pembaca umum.

Bestseller sebagai Bukti Wibawa


Pepatah India ada menyebutkan, 'hanya buah yang baik sahaja dibaling orang'. Jika dapat kita
terjemahkan pepatah ini dalam konteks penerbitan, 'hanya karya yang baik dibeli dan dibaca oleh
orang'. Persoalannya, apakah kriteria bagi menentukan sebuah karya yang baik?
Dalam konteks penerbitan buku, senarai 'bestseller' sering dijadikan sandaran bagi
memberikan tafsiran sebuah karya yang baik. Namun, 'bestseller' ini seringkali disandarkan kepada
jumlah jualan buku. Karya yang menduduki carta bestseller adalah karya yang terjual dalam kuantiti
yang tinggi mengatasi karya lain. Maka, secara tidak langsung menggambarkan yang status
'bestseller' sesebuah karya lebih berkait rapat dengan angka jualan ataupun ringgit semata-mata.
Sebenarnya definisi bestseller adalah tidak mutlak dan boleh berubah-ubah. Ini disebabkan
istilah bestseller itu disandarkan kepada nilai yang dilihat daripada sudut pandangan yang berbeza-
beza. Karya bestseller bagi kedai buku dan penerbit merujuk kepada jumlah nilai jualan tertinggi
mengikut rekod jualan buku. Senarai bestseller dikeluarkan melalui carta mingguan ataupun
bulanan sebagai panduan kepada bakal pembaca bagi memilih karya yang dianggap hangat di
pasaran. Istilah bestseller ini dapat ditafsirkan sebagai 'popular'.
Manakala karya bestseller bagi kaca mata penulis dan pembaca dilihat daripada sandaran
nilai yang berbeza. Buku yang memberi kepuasan dan makna sama ada kepada penulis mahupun
pembacanya dilihat sebagai sebuah karya bestseller. Biasanya karya seperti ini bertahan lebih lama
di dalam pasaran. Jualannya konsisten walaupun sudah tidak lagi disenaraikan dalam carta
bestseller di kedai buku ataupun penerbit. Namun, definisi bestseller yang lebih besar adalah
apabila karya yang dihasilkan mampu mencetuskan perubahan sikap pembaca secara khusus serta
mampu mewujudkan perubahan positif dalam masyarakat.
Sememangnya bukan mudah untuk mencari titik temu antara semua definisi bestseller yang
disenaraikan khususnya buku yang mencetuskan makna dan perubahan dalam diri individu serta
masyarakat dengan jumlah jualan yang tinggi di pasaran umum. Biasanya, buku yang bestseller
dalam konteks makna dan perubahan kurang mendapat sambutan di pasaran umum. Banyak faktor
yang menyumbang kepada keadaan ini antaranya disebabkan pakej buku itu sendiri.
Justeru, sama ada karya saintifik yang dihasilkan itu adalah karya saintifik akademik
ataupun karya saintifik umum, kedua-duanya perlu mencari titik temu antara antara semua definisi
bestseller yang dibincangkan.

FORMULA MELAHIRKAN KARYA SAINTIFIK BERWIBAWA


Dua komponen penting dalam penghasilan sebuah karya saintifik yang berwibawa adalah penulisan
dan penerbitan. Penulisan berkait rapat dengan penulis manakala penerbitan melibatkan penerbit.
Kedua-dua komponen ini perlu sinergi antara satu sama lain bagi melahirkan sebuah karya saintifik
berwibawa. Komponen pertama bagi melahirkan karya saintifik berwibawa adalah:

KOMPONEN PERTAMA:
FORMULA PENULISAN KARYA SAINTIFIK BERWIBAWA
Penulisan karya saintifik adalah berbeza dengan penulisan bukan fiksyen biasa mahupun penulisan
fiksyen. Penulisan karya saintifik berbentuk formal dan ia perlu memenuhi beberapa prasyarat bagi
melayakkannya dikategorikan sebagai penulisan karya saintifik. Contoh utama karya saintifik
adalah tesis ataupun disertasi. Beberapa syarat umum bagi karya saintifik berbentuk tesis ataupun
disertasi adalah:

 Format Penulisan Saintifik


Penulisan karya saintifik menggunakan gaya penulisan ilmiah khususnya dalam aspek
format. Antara format yang perlu diberikan perhatian khusus adalah susunan dan
kandungan, saiz dan format persembahan, format rujukan dan nota dan nota kaki yang
disertakan. Penulisan yang tidak mengikut format penulisan saintifik ini tidak diiktiraf
sebagai sebuah penulisan saintifik.

 Tiada unsur emosi


Penulisan karya saintifik mengemukakan fakta dan data dalam menyokong pandangan
(hipotesis) ataupun hujah. Oleh yang demikian, penulisan karya saintifik kurang bermain
dengan emosi dalam penjelasannya. Ia tidak menggunakan kata kiasan, perkataan yang
mempunyai maksud tersirat sehingga pembaca mungkin membuat tafsiran sendiri.

 Logik
Bermula daripada aspek format sehinggalah kepada isinya, semua mempunyai urutan logik
yang tersusun. Perkataan, alinea, sub-bab, sub-sub-bab dan seterusnya disusun mengikut
aturan yang konsisten.

 Efektif
Setiap penjelasan dalam penulisan karya saintifik disampaikan secara efektif. Sama ada
alinea, bab, sub-bab mahupun isi harus memperincikan satu kesatuan hujah dan pandangan,
wujudnya penekanan kepada hujah ataupun pandangan, adanya pengembangan dan akhirnya
mempunyai satu kesimpulan.

 Efisien
Penulisan ilmiah tidak mengenal erti meleret-leret. Gaya penulisannya khusus, objektif, jelas
dan tersusun. Ia hanya menggunakan perkataan yang penting dan berkaitan dalam
menjelaskan isi. Ia tidak membazir.

 Ditulis menggunakan Bahasa Melayu Tinggi (BMT)


Penulisan ilmiah hanya menggunakan laras Bahasa Melayu Tinggi. Ia tidak
mencampuradukkan bahasa bersifat tidak akademik dalam menjelaskan isi. Laras bahasa
yang digunakan memberikan perlambangan tahap intelektual yang tinggi. Bukan sebaliknya.

Anatomi Karya Saintifik Umum


Karya saintifik akademik dan karya saintifik umum adalah dua bentuk yang berbeza. Perbezaan
yang paling utama adalah daripada konteks format dan gaya penulisannya. Faktor utama yang
menyumbang kepada perbezaan itu adalah disebabkan khalayak pembaca yang berlainan. Pembaca
karya saintifik akademik adalah dalam kalangan ahli akademik manakala pembaca buku umum
adalah terdiri daripada segenap lapisan masyarakat.
Oleh yang demikian, penulis ataupun penerbit yang ingin menghasilkan karya saintifik
umum harus tahu teknik menghilangkan 'bau' akademik apabila karya itu sudah menjadi buku.
Walaupun mungkin tidak hilang secara keseluruhan, sekurang-kurangnya indeks kebolehbacaan
buku itu sesuai dengan kumpulan sasaran pembaca umum.
Antara aspek yang perlu diberikan perhatian bagi penghasilan karya saintifik umum yang
berwibawa adalah:

1. Struktur dan Format


Struktur penulisan karya saintifik berbentuk tesis mahupun disertasi adalah berbeza sama
sekali dengan struktur penulisan buku umum. Penulisan tesis menggunakan satu sistem
struktur yang ditetapkan oleh jabatan pengajian yang diikuti oleh penulis tesis. Berbeza
dengan buku umum, strukturnya lebih longgar dan terbuka namun masih dalam kerangka
penulisan sebuah buku. Oleh yang demikian, struktur dan format penulisan dan penerbitan
karya saintifik umum harus mengikut panduan penerbitan karya umum.

2. Gaya Penulisan
Gaya penulisan karya saintifik berbentuk tesis adalah berbeza dengan gaya penulisan karya
saintifik umum. Antara perbezaan yang ketara adalah seperti berikut:

 Peristilahan
Tesis mahupun disertasi ditulis oleh individu yang sekurang-kurangnya memiliki
kelulusan ijazah. Tujuan penulisan tesis itu adalah bagi memenuhi salah satu kriteria
akademik bagi mendapatkan kelulusan. Selepas tesis itu siap, ia perlu dibentangkan di
hadapan panel penilai. Oleh yang demikian, ramai pelajar yang mengambil pendekatan
untuk menulis dengan tujuan meng-impress. Istilah ini bermaksud hendak menunjukkan
kepandaian dan ilmunya kepada orang-orang pandai lain yang satu bidang. Sebagai
contoh, pensyarah pengajian Islam hendak menunjukkan kelebihan ilmu-ilmu Islamnya
kepada pakar-pakar ilmu pengajian Islam yang lain. Contoh lain adalah, pensyarah
teknologi maklumat dengan istilah teknologinya, pensyarah sains dengan peristilahan
saintifiknya, pensyarah sains sosial dengan istilah psikologinya dan sebagainya.
Buku yang meng-impress adalah buku berbentuk writer-oriented. Sama seperti tesis
yang dihasilkan, ia lebih berbentuk writer-oriented khususnya bagi menampilkan
kebijaksanaan dan keberkesanan penulisannya kepada panel penilai.
Gaya penulisan istilah dan perkataan bagi pembaca umum adalah lebih kepada bentuk
meng-express. Buku yang ditulis dengan penulisan istilah dan perkataan dengan gaya
meng-express memberikan kemudahan kepada pembaca memahami isi perbincangan
buku. Gaya penulisan ini lebih mudah difahami dan diterima oleh pembaca. Indikator
bagi mengukur kedua-dua gaya penulisan istilah ini adalah menggunakan readability
index.

 Laras Bahasa
Laras bahasa adalah aspek penting yang membezakan gaya penulisan tesis dan gaya
penulisan buku umum. Laras bahasa yang seringkali digunakan bagi penulisan tesis
adalah laras bahasa berbentuk feudalisme bahasa intelektual yang mana gaya
penyampaian idea dan pandangan itu menggunakan bahasa yang disifatkan tinggi dan
wangi dengan tahap keintelektualan. Maka bagi pembaca dalam kalangan bukan
intelektual dalam bidang yang sama, mereka tidak mampu memahami apalagi
menghayati maksudnya.
Berbeza dengan penulisan buku umum, laras bahasa yang digunakan bersifat
demokratik-universal. Penyampaiannya menggunakan bahasa melayu tinggi (tiada
penggunaan bahasa slanga mahupun bahasa perbualan) namun laras bahasanya sesuai
dengan kumpulan terendah dalam kalangan kumpulan sasaran pembacanya. Indikator
bagi mengukur laras bahasa dalam penulisan juga adalah dengan menggunakan
readability index.

 Nada Aktif ataupun Pasif


Penulisan tesis lebih cenderung menggunakan nada pasif kerana ia adalah penulis yang
menggunakan gaya penulisan seperti laporan. Berbeza dengan penulisan buku umum, ia
harus disampaikan menggunakan nada aktif. Ini kerana khalayak pembaca umum lebih
cenderung untuk melihat buku sebagai instrumen komunikasi antara dirinya dengan
penulis. Justeru, apabila penggunaan nada aktif diperbanyakkan, pembaca lebih
cenderung untuk 'berkomunikasi' dengan penulis melalui wahana buku.

3. Pendokumentasian
Pendokumentasian tesis tidak mengambil kira faktor persepsi khalayak pembaca. Ini kerana
khalayak pembacanya terdiri daripada kalangan penilai yang harus memberikan penilaian
kepada tesis berkenaan. Berbeza dengan buku umum, faktor persepsi khalayak pembaca
adalah aspek penting yang tidak dapat dipandang sebelah mata. Ini kerana, persepsi itu akan
memberikan kesan kepada kecenderungan khalayak pembaca untuk mendapatkan buku
sama ada dengan membeli ataupun meminjam daripada perpustakaan. Antara aspek yang
perlu diberikan perhatian dalam pendokumentasi buku adalah:

 Persembahan fizikal buku sesuai dengan psikologi khalayak pembacanya


 Petikan dibuat secara berhati-hati dan waspada
 Nota kaki tidak digunakan dan hanya nota hujung sahaja dipakai
 Rajah dan ilustrasi disusun terus di dalam teks tanpa terpisah

4. Judul Karya
Judul karya adalah elemen yang penting dalam memastikan tidak ada lagi 'bau' tesis pada
buku. Di samping grafik kulit, judul juga berperanan sebagai pintu pertama yang akan
menarik khalayak untuk melihat dan mendapatkan buku.

Antara tujuan tajuk buku diletakkan adalah seperti berikut:

 Mengumpan bakal pembeli, pembaca, pengulas dan kedai buku


 Berfungsi sebagai iklan
 Menolong khalayak pembaca untuk mengetahui persoalan utama buku
 Membantu mencantikkan wajah buku

Syarat tajuk buku yang baik adalah:


 Menggambarkan kandungan buku
 Menggunakan kata kunci
 Tidak lebih daripada 5 patah perkataan
 Ungkapan yang padat
 Menarik

KOMPONEN KEDUA:
FORMULA PENERBITAN KARYA SAINTIFIK BERWIBAWA
Penerbitan sebuah karya yang bagus dan berwibawa tidak berlaku secara tidak sengaja. Ia datang
dengan satu formula sepadu melibatkan penulis dan penerbit. Dalam konteks penerbit, keputusan
untuk menerbitkan sebuah karya adalah pelaburan yang belum tentu pulangannya. Justeru,
pelaburan yang dilakukan perlu mengambil kira beberapa faktor penting bagi memastikannya
berbaloi. Bagi memastikan sebuah karya yang diterbitkan memiliki wibawa dan berpotensi menjadi
karya bestseller, penerbit harus memastikan formula yang digunakan adalah tepat. Formula yang
dapat digunakan adalah 4P.

Formula Penerbitan Karya Berwibawa 1 : PERANCANGAN


Seorang penerbit ataupun editor yang baik membuat perancangan menyeluruh bersama dengan
penulis bagi karya yang akan diterbitkan. Secara kasarnya perancangan yang perlu dilakukan adalah
seperti berikut:

 Tajuk dan Konsep Karya


Sesebuah karya saintifik harus dimulakan dengan konsep isinya supaya ia berpijak pada
bumi yang nyata dan bukan di awang-awangan. Kepada siapa karya itu ditujukan? Apakah
matlamat karya tersebut? Apakah kesimpulan dan perlakuan yang dikehendaki apabila
seseorang pembaca membaca karya itu? Kesemua ini harus jelas.
Apabila kesemuanya dibuat dengan baik, barulah sesebuah karya lebih fokus. Tajuk juga
boleh diletakkan apabila konsepnya jelas. Namun begitu harus diingatkan di sini tajuk akhir
masih lagi hak penerbit.

 Siapa Pembaca Karya ini?


Penerbit dan editor seharusnya menjalankan kajian khusus bagi mengetahui sasaran
pembaca buku yang ditulis. Siapa? Berapa umurnya? Apa jantinanya? Apa kerjayanya?
Apabila kita mengetahui kesemua ini, barulah kita dapat menentukan pakej persembahan
yang ingin digunakan.
Walaupun pakej persembahan karya saintifik tidak banyak berbeza antara satu kumpulan
sasaran dengan yang lainnya, sekurang-kurangnya laras bahasa yang digunakan dapat
disesuaikan dengan kumpulan yang disasarkan. Kesemua ini memudahkan kita menentukan
kaedah penulisan yang perlu digunakan.

 Berapa Halaman Buku ini?


Penentuan jumlah halaman adalah penting bagi penerbit kerana ia menentukan harga buku
itu. Selain daripada itu, jumlah anggaran halaman juga penting bagi memastikan penerbit
ataupun editor dapat mengatur jadual penulisan yang sistematik bagi penulis khususnya
bilangan hari penghasilan dan tarikh akhir penghasilan karya tersebut. Sebagai contoh,
apabila kita menentukan sebuah karya yang ingin dihasilkan mempunyai 100 halaman.
Tempoh masa yang ditentukan bagi ia disiapkan adalah 3 bulan iaitu bersamaan dengan 90
hari ataupun 12 minggu.
Kerjasama erat antara penerbit ataupun editor dan pengarang bagi membina disiplin
penulisan khususnya bagi memastikan penulis secara berterusan konsisten menulis.

 Tarikh Akhir Karya Siap


Perancangan yang sistematik antara penerbit dan pengarang membolehkan jangkaan tarikh
akhir karya siap ditentukan lebih awal. Ini membolehkan penerbit untuk merancang
program-program sampingan bagi membantu penerbitan dan jualan buku yang akan
diterbitkan.

Formula Penerbitan Karya Berwibawa 2 : PENYELIDIKAN


Bagi memastikan sesebuah karya saintifik yang diterbitkan menjadi bestseller, ia perlu dibuat
dengan kajian yang mendalam. Penerbit ataupun editor boleh berperanan membantu penulis dalam
memastikan penyelidikan yang dijalankan khususnya melibatkan disiplin saintifik dapat dijalankan
dengan baik. Di sini pentingnya peranan penerbit khususnya sebagai platform kepada penulis untuk
mendekati individu mahupun organisasi bagi mendapatkan maklumat dalam melengkapkan
kajiannya.
Selain daripada itu, penerbit juga perlu membuat penyelidikan bagi mengenal pasti kesesuaian
karya yang ingin diterbitkan dengan kehendak pasaran dan trend pembaca. Cara yang paling mudah
bagi mengesan trend pembaca adalah berdasarkan beberapa indikator. Indikator tersebut adalah:

 Melihat Carta Terlaris Tempatan dan Antarabangsa


Penerbit perlu peka dengan carta terlaris. Di Malaysia carta terlaris yang popular adalah di
MPH Bookstores dan Popular Bookstores. Kedua-dua syarikat ini mempunyai rangkaian
kedai di seluruh daerah besar Malaysia. Carta mereka ini dapat dijadikan indikator terbaik
pembaca tempatan. Namun begitu berdasarkan senarai tersebut, kita dapat melihat beberapa
trend berbeza di antara satu kawasan dengan kawasan lain.
Carta antarabangsa yang bagus dilihat adalah Amazon.Com ataupun PublishersWeekly.com.
Kedua-duanya memberikan gambaran trend antarabangsa. Ada kebarangkalian trendnya
tidak banyak berbeza di Malaysia. Cuma kita ada perbezaan budaya. Itu yang perlu diambil
kira. Carta yang menjadi rujukan utama di barat adalah New York Times Bestseller List. Ini
juga bagus untuk dikaji.

Formula Penerbitan Karya Berwibawa 3 : PENULISAN


Penerbit perlu terlibat secara langsung ataupun tidak langsung dengan proses penulisan sebuah
karya saintifik. Ini bagi memastikan penulisan yang dihasilkan sesuai dengan pakej karya itu yang
sudah dipersetujui. Maklumat lengkap proses penulisan ini sudah dibincangkan sebelum ini.

Formula Penerbitan Karya Berwibawa 4 : PEMASARAN


Penerbit yang bagus sentiasa mengambil langkah proaktif bagi memasarkan buku yang diterbitkan.
Program pemasaran yang bagus banyak membantu kejayaan sesebuah karya. Antara kaedah yang
dapat digunakan oleh penerbit dalam memastikan program pemasaran yang bagus adalah melalui
kaedah 4P juga iaitu Produk (product), Harga (price), Tempat (place) dan Promosi (promotion).

 Produk
Produk yang sudah tentunya berpotensi mendapat sambutan yang baik. Dalam konteks buku
saintifik, buku yang mempunyai indeks kebolehbacaan yang tinggi, pakej yang menarik, isi
yang konstruktif dan bermanfaat berpotensi besar untuk diterima baik oleh pembaca.

 Harga
Penentuan harga buku bukan sahaja melibatkan untung rugi penerbit semata-mata. Ia juga
melibatkan perkiraan kuasa membeli kumpulan sasaran serta pertimbangan daripada kedai
buku. Penentuan harga yang meraikan untung rugi penerbit, kuasa membeli pembaca dan
pertimbangan kedai buku adalah penentuan harga yang baik.

 Tempat
Tabiat pekedai buku hari ini bukan lagi seperti kedai buku dahulu. Kedai Buku sekarang
sudah lebih proaktif dalam menjalankan program pemasaran di kedai. Antara program
pemasaran di kedai adalah promosi musim perayaan yang menawarkan diskaun istimewa,
window display, program diskusi buku dan lain-lain. Justeru, pemilihan lokasi kedai yang
strategik, kena pada musimnya dan kumpulan sasaran yang tepat membantu dalam
meningkatkan pemasaran buku. Program pemasaran yang dijalankan di institusi pendidikan
juga sesuai bagi promosi karya saintifik.

 Promosi
Elemen terakhir dalam promosi sesebuah karya adalah promosi penulis. Sukar untuk
dipisahkan personaliti dengan penulisannya. Bahkan, masyarakat umum cenderung untuk
menghargai sesebuah karya jika penulisnya dikenali. Oleh yang demikian, apabila seorang
penulis menghasilkan sebuah karya saintifik, beliau harus bersedia untuk tampil dan
memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai isi karya. Di sinilah peranan penerbit untuk
melatih penulis seandainya penulis belum membiasakan diri menampilkan diri dan berbicara
mengenai karyanya.
Selain daripada itu, usaha penerbit dalam memanfaatkan setiap media untuk
mempromosikan karya dan penulis sudah tentu memberikan hasil yang bagus. Hari ini,
ruang bagi mempromosikan buku di television, radio, akhbar mahupun internet terbuka luas.
Hanya menunggu masa dan usaha daripada penerbit untuk memanfaatkan media-media ini
sahaja.

Aplikasi 4P
Gabungan antara setiap komponen daripada perancangan, penyelidikan, penulisan dan pemasaran
dapat membantu dalam meningkatkan wibawa buku di pasaran. Walaupun dilihat sebagai satu usaha
yang memerlukan perhatian yang besar daripada penerbit, namun hasil yang berpotensi untuk
diperoleh adalah berbaloi.

Kesimpulan
Secara keseluruhannya potensi untuk penerbitan karya saintifik berwibawa di Malaysia adalah
cerah. Namun, gabungan antara kualiti penulisan dan penerbitan yang baik adalah aspek penting
dalam memastikan karya saintifik yang ditawarkan kepada pasaran mampu mencapai piawaian
bestseller yang diharapkan. Usaha bagi memastikan karya saintifik akademik yang dihasilkan oleh
para sarjana dapat diterbitkan juga dalam bentuk karya saintifik umum perlu dipertingkatkan.
Melalui usaha bersepadu, lebih banyak karya berkualiti dapat ditawarkan dan secara tidak langsung
menyemarakkan lagi perkembangan ilmu di Malaysia.

Rujukan
William Germano. (2005) From Dissertation to Book. The University of Chicago
Zamri Mohammad. (2008) Tip Menjadi Penulis Bestseller. PTS Professional Publishing Sdn. Bhd.
Arief Hakim Sani Rahmat (2008) Translation of Books in Asian Languages; Membina Kepustakaan
dalam Bahasa melayu. Institut Terjemahan Negara Malaysia
www.universitipts.com
www.akademipenulis.com
www.mabopa.com.my

You might also like