You are on page 1of 3

6 pegawai Kementerian Belia dan Sukan masih disiasat, seorang ditahan semalam

PUTRAJAYA: Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan menahan ramai lagi individu bersabit kes
penyelewengan dan pecah amanah susulan pendedahan Laporan Ketua Audit Negara 2006
mengenai salah urus dana awam.

Petang semalam, BPR menahan bekas ketua sekolah binaan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN)
Chembong, Negeri Sembilan berusia 33 tahun di Temerloh, Pahang. Lelaki yang ketika ini
memegang jawatan selaku Ketua Unit Pengurusan Latihan IKBN Temerloh akan didakwa di
Mahkamah Sesyen Seremban, hari ini.

Ketua Pengarah BPR, Datuk Ahmad Said Hamdan, berkata siasatan berhubung pendedahan Laporan
Ketua Audit Negara itu masih belum berakhir kerana ia memerlukan penelitian secara lebih
terperinci.

"Ya, belum habis lagi, masih ada beberapa lagi... siasatan masih diteruskan. Ada beberapa kes lagi
yang kita lihat iaitu berhubung penyelewengan dan pecah amanah," katanya pada sidang media
khas di ibu pejabat BPR di sini, semalam. Hadir sama ialah Timbalan Ketua Pengarah 1 BPR, Datuk
Abu Kassim Mohamed.

Sidang media itu diadakan bagi memaklumkan hasil siasatan BPR berhubung pendedahan Laporan
Ketua Audit Negara 2006 mengenai salah urus dana awam membabitkan beberapa kementerian
dan agensi kerajaan. Laporan itu dibentangkan di Parlimen pada 7 September lalu.

Semalam, 10 individu termasuk enam pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta dua
pegawai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) didakwa di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Kota
Bharu dan Raub. Difahamkan, inilah kali pertama tindakan diambil berdasarkan Laporan Ketua
Audit Negara.

Ahmad Said berkata, BPR juga mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap lima pegawai
kanan KBS yang terbabit dalam mesyuarat berkaitan pembelian peralatan dan kelengkapan untuk
lapan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) pada harga lebih tinggi, berbanding harga pasaran.

Beliau berkata, siasatan BPR juga mendapati pegawai terbabit ke luar negara tanpa kebenaran dan
menerima keraian daripada kontraktor berkenaan.

"Enam pegawai lain pula masih dalam siasatan BPR," katanya sambil menambah, BPR turut
mencadangkan tindakan tatatertib dikenakan terhadap seorang juruteknik awam yang membuat
perakuan palsu berhubung kerja pembaikan kuarters kerajaan di Pulau Pinang bagi membolehkan
kontraktor terbabit membuat tuntutan pembayaran.

Menjawab soalan, beliau berkata ketua jabatan berkenaan perlu mengambil tindakan tatatertib
terhadap pegawai terbabit seperti ditetapkan iaitu sama ada dibuang kerja, turun pangkat, turun
gaji, celaan dan amaran.

Ahmad Said berkata, BPR juga masih menyiasat pembelian beberapa peralatan untuk IKBN seperti
papan bancuh simen, kabin kontena, buku teknikal dan pen teknikal yang terlalu mahal dan tidak
munasabah serta merugikan kerajaan.

"Hasil siasatan awal mendapati wujud salah urus dana awam. BPR sedang menyiasat untuk
mengenal pasti salah laku jenayah terhadap mereka terbabit dan sekiranya berlaku perlanggaran
peraturan, BPR akan mencadangkan jabatan berkenaan mengambil tindakan tatatertib," katanya.

Sehubungan itu, BPR akan mencadangkan kerajaan supaya melakukan kajian menyeluruh terhadap
sistem pembelian terus yang diamalkan jabatan dan agensi kerajaan supaya lebih telus.

Katanya, siasatan BPR mendapati terdapat beberapa kelemahan dalam sistem itu yang membuka
ruang kepada berlakunya rasuah dan penyelewengan.

"Ini terbukti dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006 yang mendedahkan kebanyakan proses
pembelian peralatan dibuat secara rundingan terus," katanya.
Ahmad Said berkata, BPR juga akan mencadangkan kerajaan menyenaraihitamkan syarikat yang
membekalkan peralatan kepada IKBN yang dikaitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2006
kerana melanggar peraturan kewangan.

Beliau berkata, tindakan sama juga dicadangkan terhadap kontraktor yang terbabit dalam kerja
pembaikan kuarters kerajaan di Pulau Pinang kerana melakukan penyelewengan ketika membuat
tuntutan pembayaran.

Selain itu, BPR mencadangkan supaya klausa bagi menjelaskan kesalahan di bawah Akta
Pencegahan Rasuah 1997 dimasukkan dalam semua dokumen kontrak kerajaan sebagai peringatan
terhadap pihak berkenaan agar tidak mengambil kesempatan melakukan rasuah dan
penyelewengan.

"Jika wujudnya perlakuan rasuah di dalam kontrak itu, adalah dicadangkan supaya kontrak mereka
ditamatkan serta-merta," katanya.

Sumber : Berita Harian

Ulasan:

Pendedahan ini sekadar mendedahkan sekelumit dari penyelewengan yang berlaku dari setinggi-
tinggi jawatan hinggalah yang paling rendah. Selalunya penyelewengan sebegini berkait rapat
dengan rasuah, di mana di dalam persaingan untuk mendapatkan tender sesebuah badan kerajaan
wujud budaya memberikan 'imbalan'. oleh pembekal kepada pegawai kerajaan yang diberi mandat
untuk meluluskan sesebuah tender. Imbalan ini akhirnya menjadi kos tersembunyi (hidden cost)
yang akan menaikkan nilai sesebuah tender tersebut.

Inilah manisfestasi masyarakat yang hidup dalam sistem kapitalis yang telah hilang kesedarannya
tentang hubungan (ruhiyah)nya dengan Allah subhanahu wa ta'ala. Kesedarannya hanya wujud di
dalam solat, manakala dalam sisa waktu yang lain seolah-olah Allah subhanahu wa ta'ala tidak
melihat apa yang mereka lakukan. Pembentukan individu berjiwa kapitalis ini tidak terjadi dalam
satu hari, walaupun ianya tidak diajar di sekolah, di rumah atau di surau-surau sekalipun,
kehidupan kapitalistik ini akan tetap terhasil akibat dari penerapan sistem kapitalis yang telah
mendarah daging dalam masyarakat yang menjadikan 'manfaat' atau material sebagai tolok ukur
kehidupan, bukan halal dan haram. Sistem yang rosak sudah pasti akan melahirkan masyarakat
yang rosak juga.

Setakat ini kita hanya menyaksikan anak-anak bilis sahaja yang diseret ke Mahkamah, manakala
jerung-jerung masih terlepas. Walhal umum mengetahui bahawa jumlah yang didedahkan oleh
Ketua Audit Negara mencecah jutaan ringgit dan melibatkan pelbagai kementerian. Rakyat
tertanya-tanya, takkanlah perbelanjaan besar yang diselewengkan boleh berlaku tanpa
pengetahuan (atau kelulusan) menteri-menteri di kementerian yang berkenaan? Rakyat juga
tertanya-tanya kenapa BPR nampaknya memilih bulu dalam mendakwa? Atau mungkinkan ini satu
lagi 'sandiwara' untuk menyelamatkan reputasi BPR yang terjejas teruk kebelakangan ini di mana
Ketua Pengarahnya sendiri baru-baru ini dikatakan terlibat dengan rasuah? Atau mungkin juga BPR
sedang memulihkan imejnya yang 'ditekan' hebat sekarang ni dalam kes siasatan video klip VK
Lingam? Atau mungkin juga inilah masanya yang paling sesuai untuk kerajaan 'mengkambing
hitamkan' kambing-kambing hitam yang dipeliharanya selama ini untuk dilihat 'bersih' menjelang
pilihanraya umum nanti? Atau kerajaan sekadar nak tutup mulut pembangkang agar tidak dijadikan
modal dekat-dekat pilihanraya ni? Atau...atau....atau...???

Kalau kerajaan betul-betul nak dakwa, rakyat mahu melihat semua jerung akan ditangkap sekali,
bukan hanya ikan bilis. Allah swt telah membinasakan umat-umat yang terdahulu dari kita kerana
mereka melepaskan orang-orang atasan mereka yang buat salah, manakala orang bawahan
dibicarakan. Dan Rasulullah saw telah mengingatkan kita akan hal ini, malangnya inilah yang
berlaku sekarang,

"Sesungguhnya kebinasaan umat-umat sebelum kalian adalah jika orang yang terhormat dari
mereka mencuri, mereka membiarkannya, tetapi jika orang bawahan mereka mencuri, mereka
potong tangannya. Demi Zat yang jiwaku ada di tanganNya, seandainya Fatimah binti Muhammad
mencuri, nescaya akan aku potong tangannya!"
http://www.mykhilafah.com/modules.php?name=News&file=article&sid=147 28/01/08

You might also like