You are on page 1of 3

Kuota 10% Ke MRSM Dan Matrikulasi: Perdebatan Songsang NGO Melayu?

Date: Thursday, June 13 @ 17:12:49 GMT+8


Topic: 

Oleh: Kunta Kinte Malaysia

Tanpa melunturkan rasa hormat terhadap beberapa Badan Bukan Kerajaan


berteraskan agenda Melayu (NGO Melayu) yang mengadakan perjumpaan untuk
membincangkan isu kemasukan 10 peratus pelajar bukan bumiputera ke Maktab
Rendah Sains Mara (MRSM) dan Kolej Matrikulasi, penulis merasakan sedikit
kecewa dan hilang kepercayaan terhadap kemampuan kelompok ini menjadi sebuah
badan yang boleh membantu orang Melayu.

Perjumpaan tersebut tidak lebih daripada basa-basi yang berusaha untuk menjadi agen
pendesak bagi pihak orang Melayu. Daripada sebuah perjumpaan yang sepatutnya
membincangkan dan menghasilkan sesuatu yang konkrit dan dapat diterima oleh
seluruh masyarakat di Malaysia, hanya mengulang sejarah lama “jerit-pekik” tanpa
hala tuju – kalau ada pun sekadar melonjakkan nama individu dan persatuan tertentu. 

Apakah NGO-NGO Melayu ini ingin perjuangkan dan pertahankan dengan sekadar
mendesak kerajaan menangguhkan dahulu dasar tersebut hingga satu perbincangan
lebih besar dibuat oleh mereka pada Julai nanti?

Di sini sahaja sudah menampakkan bahawa mereka ini tidak menyelidik dengan serius
dasar yang baru yang diumumkan oleh kerajaan. Sekiranya mereka menyelidik
dengan serius pastinya mereka mengetahui bahawa kemasukan ke MRSM dan Kolej
Matrikulasi hanya akan dibuat pada awal tahun bagi MRSM dan selepas keputusan
SPM bagi Kolej Matrikulasi.

Jadi tidak perlulah NGO-NGO tersebut mendesak kerajaan menangguhkan dasar


hingga bulan Julai ini sedangkan dasar tersebut hanya akan dilaksanakan tahun
hadapan.

Kegagalan mereka ini untuk mengetahui dengan jelas dasar-dasar dan kaedah yang
bakal dilaksanakan oleh Kementerian pendidikan menjadikan pertubuhan-pertubuhan
yang bersetuju dengan keputusan hari itu sebagai satu lawak jenaka kepada orang
ramai.

Inikah mentaliti pemimpin-pemimpin NGO Melayu? NGO Melayu juga gagal


memahami bahawa dasar membawa masuk bukan bumiputera ke dalam MRSM telah
lama berlaku sejak awal penubuhannya, cuma jumlahnya tidaklah seperti yang bakal
dilaksanakan tahun hadapan.

Tanpa niat merendahkan intelektual-intelektual Melayu yang menghadirinya,


perjumpaan tersebut sepatutnya berusaha mencari kaedah terbaik supaya dasar yang
bakal dilaksanakan ini akan membantu perkembangan pelajar bumiputera dan juga
membantu kerajaan mengelakkan salah tanggapan antara kaum.

Mereka wajar melihat apakah kaedah yang boleh menjamin bahawa kemasukan
pelajar bukan bumiputera ke dalam dua institusi ini tidak menjejaskan hak-hak pelajar
bumiputera seperti sebelum ini.

Malangnya hal ini juga hanya ditimbul dan diselesaikan oleh Datuk Nazri Aziz dan
Kementerian Pembangunan Usahawan sendiri selaku pengendali MRSM. (Nampak
seolah-olah UMNO sendiri yang terpaksa memikirkan segala-galanya.)

Selanjutnya apakah mereka tidak sedar bahawa dengan kemasukan 10% pelajar bukan
bumiputera ke dalam institusi ini akan membantu menarik pelajar-pelajar terbaik
untuk bersaing.

Maka bagaimana kita hendak memastikan tujuan kerajaan ini berjaya? Inilah yang
sepatutnya dan wajib menjadi topik perbincangan NGO Melayu.

Sebaliknya, NGO-NGO Melayu ini kelihatan berjumpa tanpa agenda dan pemikiran
yang besar. Meminta kerajaan menangguhkan sesuatu dasar tanpa memberi alasan
yang kukuh dan konkrit serta hujah yang boleh diterima oleh masyarakat umum
adalah satu lobi yang gagal sebelum bermula.

Mujurlah Persatuan Bekas pelajar MRSM (ANSARA) mengambil tindakan bijak


tidak bersama menyokong keputusan NGO-NGO tersebut supaya kerajaan
menangguhkan dasar 10% kemasukan bukan bumiputera ke dalam MRSM dan Kolej
Matrikulasi. Golongan pemimpin Ansara yang pernah bersama-sama pelajar bukan
bumiputera di MRSM tentulah sedar betapa kehadiran pelajar terbaik dari kalangan
kaum lain telah membantu meningkatkan prestasi mereka.

Kita harus menerima hakikat bahawa dunia politik selepas 1999 telah berubah. Maka
perubahan tersebut harus ditangani dengan bijak dan cermat supaya hak bumiputera
tidak hilang, yang bukan bumiputera juga akan merasa tidak tersisih atau
dianaktirikan.

Lebih menyeronokan ialah NGO-NGO Melayu kelihatan suka publisiti melebihi


kejayaan perjuangan mereka. Maka perjuangan mereka penuh riuh rendah dan hiruk
pikuk tanpa kejayaan sebenar kepada orang Melayu. Kejayaan yang mereka dapat
hanyalah glamour dan populariti. Nama-nama mereka terpampang di dada akhbar.
Itulah kejayaan bagi mereka.

Kalau melihat kemampuan lobi NGO Melayu ini berbanding NGO-NGO Cina amat
jauhlah kebijaksanaan dan kebolehan menjayakan sesuatu perjuangan mereka.

Terus terang penulis katakan perjuangan NGO Melayu kelihatan lebih suka mencari
musuh daripada memperbanyakan sahabat. Sifat dan dasar sebegini tidak mungkin
akan menjayakan sebarang agenda Melayu. Lobi yang bersifat permusuhan, marah-
marah dan hujah-hujah emosional tanpa fakta sebenarnya tidak banyak kejayaan di
dunia ini berbanding lobi yang tertib dan bijaksana.

Buat masa ini tinggallah UMNO terkontang kanting cuba menjayakan agenda Melayu
dengan bijaksana dan jayanya. Dengan kata lain UMNO tidak boleh mengharap NGO
Melayu menjadi sokongan kepada perjuangan orang Melayu seperti mana NGO-NGO
Cina bertindak dengan bijaksana membantu menjayakan Agenda kaum mereka.

Teruskanlah sebahagian kita dengan suara marah-marah dan emosi atas nama bangsa
tanpa hujah dan fakta. Kita hanya menjadi bahan ketawa kaum lain yang telah lama
maju. 

You might also like