You are on page 1of 9

Kenegaraan

 Malaysia (Aspek Perundangan)


1
KONSEP SATU MALAYSIA DARI ASPEK PERUNDANGAN
PENGENALAN
1. KONSEP 1 MALAYSIA
Konsep Satu Malaysia telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Yang
Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak pada 3 April
2009. Konsep ini berpaksikan kepada prinsip “Rakyat Didahulukan, Pencapaian
Diutamakan”. Konsep Satu Malaysia bertujuan memperkukuhkan hubungan dan
kerjasama antara rakyat pelbagai kaum di negara ini sebagai senjata utama untuk
menghadapi pelbagai ancaman dan cabaran, yang bertujuan menggugat
kesejahteraan hidup mereka. Konsep ini juga, jika dihayati sepenuhnya oleh semua
pihak, mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih aman, stabil dan
maju dalam segenap bidang serta disegani oleh seluruh dunia.1
Konsep 1 Malaysia membawa aspirasi untuk memperbaiki hubungan kaum bagi
memastikan rakyat Malaysia dapat menjalin perpaduan yang lebih erat. Konsep ini
juga akan mewujudkan sebuah kerajaan yang mengutamakan pencapaian
berpaksikan keutamaan rakyat sebagaimana slogan Yang Amat Berhormat Perdana
Menteri iaitu ‘Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan’.
Untuk mencapai kemajuan bagi negara, sikap penerimaan antara kaum yang
membawa kepada perpaduan yang utuh perlu diamalkan. Apabila perpaduan
dicapai, maka urusan pembangunan negara akan berjalan dengan lebih lancar.
Dalam pada itu, konsep 1 Malaysia menuntut setiap warganegara dan pemimpin
memainkan peranan masing-masing. Rakyat daripada pelbagai kaum dan agama di
negara ini perlu berfikir melepasi sempadan kaum masing-masing sebagai satu
1 1 Malaysia, Bahagian Penerbitan Dasar Negara, muka surat 8
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
2
bangsa Malaysia. Konsep ini juga menyarankan pemimpin kerajaan menjalankan
tugas dengan lebih cekap, amanah dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat
dan memenuhi segala keperluan serta hak rakyat tanpa mengira kaum dan agama.
2. KEDUDUKAN KONSEP 1 MALAYSIA
Konsep Satu Malaysia bukanlah satu wawasan atau gagasan pemikiran yang
baru. Sebaliknya konsep ini merupakan satu usaha yang telah lama diamalkan.
Perdana Menteri Malaysia, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Mohd Najib bin Tun
Haji Abdul Razak dalam ucapannya di Dewan Rakyat pada 15 Jun 2009
mengatakan bahawa-
“Satu Malaysia bukanlah konsep atau formula baru, sebaliknya matlamat akhir 1
Malaysia iaitu perpaduan nasional yang juga merupakan wawasan utama
pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu yang telah diterjemahkan dalam
pelbagai rupa bentuk dan jelmaan sepanjang lebih lima dekad kita merdeka.”.2
Perpaduan sememangnya telah membentuk teras utama dalam hala tuju negara
sejak kemerdekaan dicapai. Usaha-usaha memelihara dan menjaga kepentingan
rakyat serta negara sudah dilaksanakan sejak zaman Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj. Keadilan untuk semua kaum membawa maksud bahawa nasib semua kaum
akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan. Keadilan ini mestilah
mengambil kira taraf kemajuan kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh
yang demikian, 1 Malaysia bertujuan menyemarakkan semula semangat perpaduan
dan persaudaraan di kalangan rakyat Malaysia.3
2 Dewan Rakyat Parlimen Kedua Belas, Penggal Kedua, Mesyuarat Kedua, 15 Jun 2009
3 1 Malaysia, Bahagian Penerbitan Dasar Negara. muka surat 14
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
3
3. 3 PRINSIP TERAS KONSEP 1 MALAYSIA
Konsep 1 Malaysia disandarkan kepada 3 prinsip teras iaitu prinsip penerimaan,
prinsip kenegaraan dan prinsip keadilan sosial. Ketiga-tiga prinsip tersebut adalah
penting dalam memperkukuhkan perpaduan nasional.
Konsep ini menekankan sikap penerimaan di kalangan rakyat berbilang kaum, di
mana sesuatu kaum menerima keunikan kaum yang lain seadanya agar dapat hidup
bersama dalam keadaan saling hormat menghormati sebagai rakyat dalam satu
negara.4
Di samping itu, konsep perpaduan, semangat nasionalisme dan cintakan negara
yang merupakan prinsip kenegaraan telah lama diterapkan semenjak dahulu lagi
oleh pemimpin terdahulu. 5
Prinsip keadilan untuk semua kaum yang membawa maksud bahawa nasib
semua kaum akan terbela dan tiada mana-mana pihak akan dipinggirkan juga
menjadi salah satu asas kepada konsep Satu Malaysia. Keadaan ini mestilah
mengambil kira taraf kemajuan kaum yang berada pada tahap yang berbeza. Oleh
itu, dasar kerajaan dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang memberikan
pembelaan kepada golongan yang memerlukannya akan tetap dilaksanakan.6
4. 8 NILAI UTAMA KONSEP SATU MALAYSIA
Pemimpin dan rakyat perlu saling memahami dan menghayati lapan nilai utama
iaitu-
4 Ibid, muka surat 11
5 Ibid, muka surat 17
6 Ibid, muka surat 12
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
4
(a) Budaya Kecemerlangan
Pengamalan budaya cemerlang dan berprestasi tinggi akan membawa
Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Kejayaan dan
pencapaian masyarakat dan negara bergantung setakat mana budaya
kecemerlangan diamalkan oleh rakyatnya. Budaya berprestasi tinggi memastikan
bahawa setiap perkara dan setiap tugas yang dilakukan mencapai tahap yang
terbaik. Sikap sambil lewa dan acuh tak acuh tidak boleh wujud dalam
masyarakat yang berdaya maju.7
Prinsip ketepatan menjadi elemen dalam menentukan kecemerlangan.
Ketepatan menguruskan masa amat penting dalam menentukan kemajuan.
Untuk perkara ini, Sistem Petunjuk Utama Prestasi (KPI) amat penting dalam
mengukur pencapaian perkhidmatan yang diberi di samping dedikasi, komitmen
dan bekerja keras.8
(b) Ketabahan
Setiap perjuangan atau perlaksanaan kerja memerlukan ketabahan dan
ketekunan. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan kecemerlangan negara
amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya yang tabah menghadapi segala
rintangan dan dugaan. Penggemblengan semangat bekerja keras, dedikasi serta
tabah dalam menghadapi segala rintangan dan dugaan adalah ramuan yang
terbaik untuk mencapai sesuatu matlamat.9 Sikap mudah mengalah, kecewa dan
menyerah kepada takdir perlu dikikis jika ingin maju dan berjaya.10
7 1 Malaysia, Bahagian Penerbitan Dasar Negara. muka surat 20
8 Ibid
9 1 Malaysia, Bahagian Penerbitan Dasar Negara. muka surat 21
10 Ibid, muka surat 22
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
5
Kejatuhan atau kemerosotan yang dialami perlu dikaji dan hendaklah
memperbaikinya secara positif. Pendekatan yang berbeza dan kreatif perlu
diambil bagi menangani segala kegagalan11.
(c) Rendah Hati
Rasa rendah hati adalah satu sifat yang penting untuk dimiliki. Sifat
berhemah dan berbudi bahasa perlu dijadikan amalan hidup kita. Masyarakat
Malaysia amat menghormati serta menyukai seseorang yang mengamalkan sifat
merendah diri yang mempunyai kekuatan dalaman dan pendirian yang teguh
terhadap sesuatu prinsip. Selain itu, segala kemampuan dan kebolehan yang
dimiliki tidak perlu ditunjuk dan dibanggakan dengan cara yang tidak digemari
oleh masyarakat Malaysia12.
(d) Penerimaan
Malaysia memerlukan rakyat yang dapat menerima apa jua perkara baik
dan mendapat persetujuan secara bersama. Penerimaan semua kaum untuk
mendapatkan yang terbaik amat diperlukan bagi membina sebuah negara
bangsa13. Perkara-perkara yang terbaik daripada kaum Melayu, Cina, India dan
lain-lain kaum perlu diterima pakai serta mendapat penerimaan daripada
masyarakat di negara ini14.
(e) Kesetiaan
Prinsip kesetiaan amat diperlukan dalam apa jua keadaan. Semua kaum
perlu mengutamakan kesetiaan dan kepentingan kepada negara yang mengatasi
11 1 Malaysia, Bahagian Penerbitan Dasar Negara. muka surat 22
12 Ibid
13 Ibid, muka surat 23
14 Ibid, muka surat 24
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
6
kesetiaan kepada kaum dan kelompok sendiri15. Kesetiaan kepada pemimpin
atau ketua di dalam sesuatu organisasi adalah teras kepada kewibawaan,
keteguhan, kejayaan dan kecemerlangan. Kesetiaan ini seterusnya akan
membina kepercayaan dan menjalin satu ikatan antara dua pihak16.
Nilai atau ganjaran kepada kesetiaan perlu berasaskan kepada
keupayaan, pencapaian dan kemajuan yang dilaksanakan dalam setiap
perhubungan. Perhubungan yang berasaskan kepada cara mengampu perlu
dihindari agar tidak disalahgunakan oleh pihak yang sering mengambil
kesempatan17.
(f) Meritokrasi
Meritokrasi merupakan hala tuju yang perlu diamalkan dalam negara
demokrasi bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi kriteria diberi
peluang untuk memacu pembangunan negara18. Meritokrasi menekankan
persaingan secara terbuka berasaskan kriteria yang ditetapkan dan sesiapa
yang berjaya memenuhi kriteria tersebut berhak dipilih. Dalam melaksanakan
prinsip meritokrasi, pemilihan berasaskan kepada prestasi dan budaya
cemerlang akan memaksimumkan potensi Malaysia dalam semua bidang19.
Prinsip meritokrasi membudayakan masyarakat Malaysia dalam menghadapi
cabaran globalisasi20.
15 1 Malaysia, Bahagian Penerbitan Dasar Negara. muka surat 24
16 Ibid, muka surat 25
17 Ibid, muka surat 26
18 Ibid
19 Ibid, muka surat 27
20 Ibid, muka surat 28
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
7
(g) Pendidikan
Pendidikan dan pengetahuan adalah prasyarat penting untuk negara
mencapai kejayaan21. Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan
pendidikan dan pengetahuan dari semua aspek.
(h) Integriti
Integriti penting bagi sesebuah kerajaan untuk mendapat kepercayaan
dan keyakinan rakyat. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua pihak tanpa mengira
kedudukan. Masyarakat perlu bersikap jujur dan amanah terhadap sesuatu
tindakan dan percakapan dan sentiasa berusaha memperbaiki kesilapan untuk
mendapatkan hasil yang sempurna.
Nilai ini menekankan bahawa kelayakan dan kemampuan perlu diberi
keutamaan tanpa sebarang kepentingan atau melalui saluran yang tidak sah.
Budaya berprestasi tinggi adalah asas utama integriti dalam semua aspek dan
perkhidmatan yang diberi22.
KONSEP SATU MALAYSIA DARI ASPEK PERUNDANGAN
Fasal (1) Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Islam
ialah agama bagi Persekutuan, namun agama-agama lain boleh diamalkan dengan
aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan. Walaupun agama Islam
merupakan agama rasmi di Malaysia tetapi berdasarkan kepada Fasal (1) Perkara 11
Perlembagaan Persekutuan, setiap orang di negara ini berhak untuk menganuti agama
masing-masing.
21 1 Malaysia, Bahagian Penerbitan Dasar Negara. muka surat 28
22 Ibid, muka surat 30
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
8
Konsep 1 Malaysia adalah bertepatan dengan hak kebebasan beragama yang
diberi oleh Perlembagaan Persekutuan. Prinsip penerimaan di bawah konsep 1
Malaysia menyeru rakyat agar menerima agama, amalan, budaya dan cara hidup kaum
lain demi memperkukuhkan perpaduan nasional. Prinsip ini menghargai dan
menghormati identiti, agama dan budaya yang berbeza untuk setiap etnik di Malaysia
dan menganggapnya sebagai satu aset atau kelebihan yang patut dibanggakan.
Perkara-perkara yang terbaik yang dimiliki oleh kaum di Malaysia perlu mendapat
penerimaan daripada masyarakat di negara ini. Apabila kaum di Malaysia menerima
agama kaum yang lain, ia secara langsung akan menerima budaya dan cara hidup
kaum yang lain. Ini adalah kerana agama merupakan salah satu faktor yang akan
mempengaruhi budaya dan cara hidup sesuatu kaum.
Nilai rendah diri berkait rapat dengan prinsip penerimaan. Nilai rendah diri amat
digalakkan dalam masyarakat negara yang berbilang kaum terutamanya dalam ajaran
agama masing-masing. Sifat rendah diri yang berhemah dan berbudi bahasa perlu
menjadi amalan hidup rakyat Malaysia. Apabila kaum-kaum di negara ini mengamalkan
nilai rendah diri, mereka akan secara ikhlas menerima agama, budaya dan cara hidup
kaum yang lain.
Prinsip kenegaraan dalam konsep 1 Malaysia pula memupuk konsep perpaduan,
semangat nasionalisme dan cintakan negara. Nilai kesetiaan sering dikait rapat dengan
prinsip kenegaraan. Kesetiaan kepada Raja dan Negara yang merupakan prinsip kedua
Rukun Negara wajib dipegang erat oleh setiap rakyat di negara ini agar dapat
mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu. Di samping itu, kesetiaan kepada
pemimpin juga merupakan salah satu aspek dalam nilai kesetiaan. Prinsip kenegaraan
dan nilai kesetiaan diiktiraf oleh Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan23 yang
memberi peruntukan mengenai bahasa Kebangsaan Malaysia. Ini adalah kerana
bahasa Kebangsaan melambangkan negara kita dan setiap rakyat mesti memupuk
semangat cintakan bahasa Kebangsaan.
23 Sila rujuk Perkara 152 fasal (1)
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
9
Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 [Akta 32] dan Akta Lagu Kebangsaan 1968
[Akta 390] diwujudkan untuk menyokong prinsip kenegaraan dan nilai kesetiaan. Akta
32 diadakan untuk penggunaan bahasa Kebangsaan untuk maksud rasmi mengikut
ketetapan yang telah dibuat di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Akta ini
antara lainnya merangkumi penggunaan bahasa Kebangsaan dalam teks sahih
undang-undang, penggunaan bahasa Kebangsaan di Mahkamah, tulisan bagi bahasa
Kebangsaan dan sebagainya. Akta 390 pula diwujudkan untuk menghormati lagu
kebangsaan negara Malaysia iaitu Negaraku24. Akta ini juga memberi peruntukan
mengenai hukuman kepada rakyat yang tidak menghormati lagu Kebangsaan25.
Perlaksanaan kedua-dua akta ini dapat memupuk semangat patriotisme dan kesetiaan
dan secara tidak langsung memupuk prinsip kenegaraaan.
Prinsip keadilan sosial yang merupakan prinsip teras yang terakhir dalam konsep
1 Malaysia menuntut bahawa setiap kaum di negara ini harus diberi keadilan yang
sebaik mungkin tanpa mengira latar belakang ataupun agama. Semua kaum harus
menganggap bahawa mereka adalah bangsa Malaysia di mana segalanya perlu
dinikmati secara bersama. Nasib semua kaum harus dibela dan tiada mana-mana pihak
harus dipinggirkan. Prinsip keadilan sosial juga menyaran kerajaan supaya
melaksanakan dasar kerajaan dan peruntukan Perlembagaan untuk membela golongan
yang memerlukan.
Prinsip keadilan sosial dalam konsep 1 Malaysia adalah disokong oleh Perkara 8
dan Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan. Perkara 8 dengan jelas mengiktiraf dan
melindungi hak sama rata di sisi undang-undang bagi setiap orang di negara ini dan ia
dinyatakan di bawah Fasal (1) Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan. Walau
bagaimanapun, Fasal (2) Perkara 826 membenarkan diskriminasi terhadap warganegara
semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan, tempat lahir atau jantina dalam manamana
undang-undang atau dalam perlantikan apa-apa jawatan atau pekerjaan di
bawah pihak berkuasa awam atau dalam pentadbiran mana-mana undang-undang
24 Sila rujuk Seksyen 8 Akta 390
25 Ibid
26 Sila rujuk Perkara 8 fasal (2)
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
10
berhubung dengan pemerolehan, pemegangan atau pelupusan harta atau berhubung
dengan penubuhan atau perjalanan apa-apa pertukangan, perniagaan, profession,
kerjaya atau pekerjaan jika dinyatakan secara jelas dalam Perlembagaan Persekutuan.
Oleh yang demikian, konsep kesamarataan dalam prinsip keadilan sosial mestilah
sejajar dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan
diskriminasi dalam keadaan tertentu.
Prinsip keadilan sosial dari segi pendidikan pula diperuntukkan dalam Fasal (1)
Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan27 yang melarang diskriminasi terhadap manamana
warganegara semata-mata atas alasan agama, ras, keturunan dan tempat lahir
dalam aspek pendidikan yang antara lainnya mengenai kemasukan pelajar ke institusi
pendidikan dan bantuan kewangan. Dari segi bantuan kewangan (pemberian biasiswa),
nilai meritokrasi yang merupakan salah satu daripada 8 nilai utama dalam konsep 1
Malaysia digunakan bagi memastikan hanya pelajar yang layak akan diberi bantuan
kewangan untuk melanjutkan pelajaran mereka.
Dalam hal ini, Akta Orang Asli 1954 [Akta 134], Akta Kanak-Kanak 2001
[Akta 611] dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 [Akta 685] telah digubal atas prinsip
keadilan sosial. Ini adalah kerana hak dan kepentingan golongan masyarakat seperti
orang asli dan orang kurang upaya sering terabai jika dibandingkan dengan masyarakat
yang berada di arus perdana di negara ini dan undang-undang yang digubal adalah
untuk melindungi golongan seperti ini. Prinsip keadilan sosial menuntut bahawa semua
orang di negara ini diberi hak yang sama dan keadilan yang sebaik mungkin dari segi
kebajikan dan aspek sosial.
Akta 134 diwujudkan bagi memberi perlindungan kesejahteraan dan kemajuan
orang asli di Semenanjung Malaysia28. Pengiktirafan hak orang asli boleh dilihat dalam
kes Kerajaan Negeri Selangor & Ors v Sagong bin Tasi & Ors29 di mana hakim
Mahkamah Rayuan Malaysia menghormati hak dan kepentingan orang asli. Lanjutan
27 Sila rujuk Perkara 12 fasal (1)
28 Tajuk Ringkas Akta 134
29 [2005] 6 MLJ 289
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
11
daripada kes tersebut, Kerajaan Negeri Selangor telah membuat keputusan untuk
menarik balik rayuannya ke Mahkamah Persekutuan berhubung dengan kes tersebut
demi menghormati hak dan kepentingan orang asli.
Akta 685 pula diwujudkan untuk memberikan pengiktirafan hak orang kurang
upaya dan menukar konsep kebajikan kepada konsep yang berasaskan hak. . Akta ini
merupakan akta yang berasaskan hak yang pertama. Akta ini secara amnya
memperuntukan perihal berkaitan pendaftaran, perlindungan, pemulihan, pembangunan
dan kesejahteraan orang kurang upaya30. Akta ini mengiktiraf bahawa orang kurang
upaya adalah berhak kepada peluang dan perlindungan, serta bantuan yang setara
dengan orang upaya dalam segala hal keadaan.
Bagi golongan kanak-kanak pula, mereka sering dieksploitasi dan diancam oleh
golongan masyarakat yang tidak bertanggungjawab. Akta 611 diwujudkan untuk
memberi perlindungan , pemeliharaan dan pemulihan kepada kanak-kanak31. Akta ini
mengiktiraf bahawa seorang kanak-kanak bukan sahaja merupakan suatu bahagian
penting dalam masyarakat tetapi juga merupakan kunci kehidupan, pembangunan dan
kemakmuran masyarakat. Akta ini juga mengakui seseorang kanak-kanak, tanpa
kematangan dari segi fizikal, mental dan emosi memerlukan perlindungan,
pemeliharaan dan bantuan khas selepas kelahirannya bagi memastikan kanak-kanak
tersebut dapat memberikan sumbangan dalam pembentukan masyarakat madani.
Prinsip keadilan sosial dalam konsep satu Malaysia sangat diperlukan dalam
menjaga kebajikan golongan yang dinyatakan sebagai contoh di atas. Golongan
tersebut haruslah dilindungi dan diberi hak yang sama seperti golongan masyarakat
yang lain. Terdapat juga undang-undang yang lain yang menjaga kebajikan golongan
lain seperti Akta Keganasan Rumahtangga 1994 [Akta 521], Akta Membaharui Undang-
Undang (Perkahwinan dan Penceraian) 1976 [Akta 164] dan juga enakmen negeri yang
bertujuan melindungi kebajikan golongan wanita.
30 Tajuk Ringkas Akta 685
31 Tajuk Ringkas Akta 611
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
12
Di samping itu, masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, estet-estet dan
perkampungan baru yang berada di luar arus perdana masyarakat yang lebih dinamik
memerlukan pertimbangan khas. Setiap ahli dalam masyarakat atau kaum tidak harus
diabaikan daripada menikmati pembangunan dan mendapat pembelaan kerajaan yang
sewajarnya. Masyarakat di Malaysia harus saling hormat-menghormati agar
persepakatan dan perpaduan dapat dicapai bersama.
Nilai meritokrasi dalam konsep 1 Malaysia menekankan persaingan terbuka
berasaskan kriteria yang ditetapkan dan sesiapa yang berjaya memenuhi kriteria
tersebut berhak dipilih. Sebagai contohnya, dalam aspek pemerolehan projek kerajaan,
pemilihan syarikat untuk ditawarkan kontrak dibuat melalui tender terbuka dan syarikat
yang hendak mendapat tender tersebut hendaklah memenuhi kriteria yang ditetapkan.
Nilai meritokrasi yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia adalah sejajar
dengan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan32 yang menjamin hak keistimewaan
orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum
lain. Yang Amat Berhormat Perdana Menteri ketika menjelaskan konsep 1 Malaysia
mengatakan bahawa
“Kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. Dan kita
mengambil tindakan-tindakan berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik
dalam negara kita. Ini bukan bererti kita mengetepikan dasar afirmatif, dasar
untuk menolong kaum Bumiputera asalkan dasar itu dilaksanakan dengan
cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan Bumiputera
yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Kita keluar
daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian
lama.”.
32 Sila rujuk Perkara 153
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
13
Berdasarkan pernyataan Perdana Menteri, dasar afirmatif dan dasar menolong
kaum bumiputera di bawah Perkara 153 masih dikekalkan asalkan dasar itu
dilaksanakan dengan cara yang adil dan memberi pertimbangan kepada golongan
Bumiputera yang layak mendapat sesuatu pertimbangan daripada kerajaan. Nilai
meritokrasi memang dilaksanakan dalam dasar afirmatif di bawah Perlembagaan
Persekutuan. Walaupun terdapat sistem kuota untuk sesetengah perkara seperti
pemberian biasiswa, lesen dan sebagainya, namun meritokrasi masih dilaksanakan
dengan memberi pertimbangan kepada orang yang paling layak dalam kuota masingmasing.
Nilai meritokrasi mempunyai kaitan rapat dengan nilai budaya kecemerlangan
dan nilai ketabahan. Pengamalan budaya cemerlang dan berprestasi tinggi akan
membawa Malaysia ke tahap kejayaan serta pencapaian yang lebih tinggi. Penerapan
nilai meritokrasi dalam nilai budaya kecemerlangan membolehkan rakyat Malaysia
memberikan yang terbaik dalam setiap perkara dan tugas demi mencapai ke tahap
yang terbaik. Oleh yang demikian, nilai meritokrasi memainkan peranan yang penting
sebagai asas kepada budaya kecemerlangan. Nilai meritokrasi dan nilai budaya
kecemerlangan adalah adunan yang diperlukan untuk memaksimumkan potensi
Malaysia.
Nilai ketabahan juga mempunyai kaitan rapat dengan nilai budaya
kecemerlangan. Kehidupan bukan semuanya mudah. Sebarang tanggapan bahawa
kehidupan adalah lakaran lurus yang sentiasa mendaki tanpa penghujungnya
merupakan satu salah anggapan. Seseorang itu hendaklah menerima kehidupan
sebagai satu siri naik dan turun. Perjuangan untuk mencapai kemajuan dan
kecemerlangan negara amat memerlukan pemimpin dan rakyatnya tabah menghadapi
segala rintangan dan dugaan. Ketabahan dalam menghadapi perubahan peribadi wajar
dijadikan wadah bagi memperbetulkan kesilapan atau kegagalan yang telah dibuat.
Rakyat Malaysia yang mengamalkan nilai ketabahan akan mempunyai semangat juang
yang tinggi yang seterusnya menjurus kepada budaya kecemerlangan.
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
14
Konsep 1 Malaysia menekankan pendidikan sebagai prasyarat yang penting.
Negara perlu memiliki masyarakat yang mengutamakan pendidikan dan pengetahuan
untuk membangunkan negara. Semua aliran, sama ada Sekolah Kebangsaan, Sekolah
Cina atau Sekolah Tamil hendaklah sentiasa mencari peluang berinteraksi dengan
mengadakan aktiviti bersama. Dalam keadaan ini, Perkara 12 Perlembagaan
Persekutuan33 yang memberi hak berkenaan dengan pendidikan mengiktiraf nilai
pendidikan dalam konsep 1 Malaysia.
Nilai pendidikan dalam konsep 1 Malaysia disokong oleh Akta Pendidikan 1996
[Akta 550]. Akta 550 diwujudkan untuk mengadakan peruntukan bagi pendidikan dan
perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Tajuk panjang Akta 550 menyatakan
bahawa ilmu itu adalah penentu utama arah tujuan negara dan penyelamat bangsa34.
Di samping itu, Akta ini juga mengatakan bahawa tujuan pendidikan adalah untuk
membolehkan masyarakat Malaysia menguasai ilmu, kemahiran dan nilai murni yang
diperlukan dalam dunia yang berdaya saing tinggi serta bersifat global, kesan daripada
perkembangan pesat sains, teknologi dan maklumat35. Berdasarkan kepada tajuk
panjang Akta 550, nilai pendidikan yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia adalah
bertepatan dengan Akta 550.
Terdapat usaha untuk memberi semula takrifan sekolah aliran kebangsaan untuk
memasukkan sekolah vernakular bagi merealisasikan konsep 1 Malaysia. Akan tetapi,
usaha tersebut masih belum dilaksanakan. Jika dilaksanakan, takrifan sekolah
kebangsaan36 dalam Akta 550 perlu dipinda.
Nilai integriti merupakan satu aspek yang penting bagi sesebuah kerajaan untuk
mendapat kepercayaan dan keyakinan rakyat. Nilai ini perlu diamalkan oleh semua
pihak tanpa mengira kedudukan. Setiap pemimpin dan rakyat perlulah bersikap jujur
dan amanah dalam melakukan setiap tugas yang diberikan. Nilai integriti juga
33 Sila Rujuk Perkara 12 Perlembagaan Persekutuan
34 Tajuk Panjang Akta 550
35 Ibid
36 Sila lihat takrifan ‘Sekolah Kebangsaan’ dalam seksyen 2 Akta 550
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
15
menyaran pemimpin agar menekankan aspek kelayakan dan kemampuan tanpa
sebarang kepentingan atau melalui saluran yang sah ketika menjalankan tugas mereka.
Fasal (1) Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan
bahawa akaun bagi Persekutuan dan bagi Negeri-Negeri hendaklah diaudit oleh Ketua
Audit Negara merupakan terjemahan nilai integriti yang telah lama termaktub. Begitu
juga dengan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara di Dewan Rakyat. Penggubalan
peruntukan Perkara 106 ialah untuk memastikan bahawa segala akaun kerajaan adalah
teratur dan juga mencegah penyelewengan dan rasuah di kalangan kakitangan
kerajaan. Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara ditubuhkan bertujuan untuk memeriksa
laporan kira-kira Kerajaan Malaysia dan juga kira-kira badan-badan pentadbiran atau
pertubuhan-pertubuhan lain yang menguruskan wang negeri yang dibentangkan dalam
Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat menurut Fasal (1) Perkara 107 Perlembagaan
Persekutuan37. Oleh yang demikian, nilai integriti yang menekankan sikap kejujuran dan
amanah adalah bertunjangkan peruntukan Perkara 106 Perlembagaan Persekutuan.
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 [Akta 694] menyokong
nilai integriti dalam konsep 1 Malaysia. Akta 694 diwujudkan untuk menubuhkan
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan untuk pencegahan rasuah. Pentadiran
tanpa rasuah merupakan satu matlamat yang penting untuk semua negara di dunia ini.
Di Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia [SPRM] memainkan peranan
yang penting dalam pencegahan rasuah. Fungsi SPRM antara lainnya ialah
mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada rasuah berlandaskan nilai-nilai
kerohanian dan moral yang tinggi dan menghapuskan jenayah rasuah, penyalahgunaan
kuasa dan penyelewengan di Malaysia. Selain itu, SPRM juga berusaha untuk
mengukuhkan integriti dan memantapkan kepakaran melalui program pembangunan
sumber manusia secara terancang dan berterusan.
KESIMPULAN
37 Sila Rujuk Fasal (1) Perkara 107 Perlembagaan Persekutuan
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
16
Prinsip yang terkandung dalam konsep 1 Malaysia telah lama dipupuk dalam
undang-undang di negara kita sejak kemerdekaan. Konsep ini bukan sahaja diserap
dalam undang-undang di negara ini malah juga telah diserap dalam budaya dan cara
hidup masyarakat Malaysia. Konsep 1 Malaysia bukanlah semata-mata untuk segelintir
golongan sahaja tetapi ia adalah untuk semua masyarakat Malaysia yang berbilang
kaum yang mempunyai latar belakang dan cara hidup yang berbeza. Melalui konsep 1
Malaysia, perasaan tidak berpuas hati tidak akan wujud kerana semua rakyat Malaysia
adalah bangsa Malaysia yang mempunyai satu hala tuju untuk mencapai kemajuan
untuk negara.
Segala nikmat yang diperolehi oleh negara ini harus diagihkan secara adil,
menyeluruh dan saksama mengikut keperluan dan tanpa sekatan dari segi kaum, etnik,
agama dan fahaman politik. Di samping itu, semua peluang seperti pendidikan,
biasiswa, subsidi, dan agihan projek perlu dilakukan dengan adil dan mencerminkan
konsep 1 Malaysia. Walaupun konsep 1 Malaysia menekankan prinsip keadilan sosial
untuk semua kaum atau masyarakat, namun perlaksanaannya adalah tertakluk kepada
peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri dalam ucapannya di Dewan Rakyat pernah menegaskan
bahawa
“Konsep 1 Malaysia tidak menyimpang daripada roh Perlembagaan sebagai
undang-undang negara sama ada secara tersurat atau tersirat. Malahan gagasan 1
Malaysia kekal menjunjung semua peruntukan teras seperti Perkara 3, Perkara 4,
Perkara 152, Perkara 153 seperti mana termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan.”.38
Konsep 1 Malaysia adalah berpaksikan kepada peruntukan dalam Perlembagaan
Persekutuan. Oleh yang demikian, apabila dikatakan berpaksi kepada Perlembagaan
38 Dewan Rakyat Parlimen Kedua Belas, Penggal Kedua, Mesyuarat Kedua, 15 Jun 2009
1 Malaysia (Aspek Perundangan)
17
Persekutuan, ini bermakna segala hak di bawah Perlembagaan Persekutuan tidak akan
terjejas39.

You might also like