You are on page 1of 10

25/10/2009 Bajet 2010 asas baru ekonomi BAJET 2010 meletakkan asas bagi pembentukan model ekonomi baru

dan penggubalan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10). Ia memberi fokus kepada menggerakkan negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi dengan memperkukuhkan peranan sektor swasta sebagai pemacu pertumbuhan. Kerajaan komited untuk mengkonsolidasi kedudukan fiskal bagi mewujudkan fleksibiliti fiskal, sejajar dengan konsep 1Malaysia dan sasaran Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA), kebajikan masyarakat akan tetap diutamakan. Untuk mencapai matlamat tersebut, keutamaan akan diberikan kepada usaha mewujudkan persekitaran kondusif bagi perniagaan dan keusahawanan untuk terus maju dalam suasana liberal dengan disokong oleh dasar pro pasaran. Ekonomi dijangka tumbuh di antara 2.0 peratus sehingga 3.0 peratus pada 2010, disokong oleh pelaburan dan penggunaan swasta. Pendapatan per kapita nominal dijangka meningkat 2.5 peratus daripada RM24,055 pada tahun 2009 kepada RM24,661 pada 2010 atau dari segi pariti kuasa beli daripada AS$12,826 kepada AS$13,177. Dengan pengurangan perbelanjaan awam, defisit fiskal dijangka mengecil daripada 5.6 peratus daripada KDNK. Defisit akan dibiayai menerusi pinjaman domestik. Imbangan pembayaran dijangka kekal memberangsangkan dengan akaun semasa mencatat lebihan bagi 13 tahun berturut-turut. Lebihan akaun semasa yang merupakan 12.6 peratus daripada KDNK disumbangkan oleh akaun barangan dan perjalanan. Perkembangan itu seiring dengan pertumbuhan ekonomi dan menyediakan asas kukuh bagi peralihan kepada ekonomi berpendapatan tinggi. Sehubungan itu, Bajet 2010 digubal dengan tema 1Malaysia Kemakmuran Bersama dan disokong oleh tiga strategi iaitu memacu negara ke arah ekonomi berpendapatan tinggi, memastikan pembangunan holistik dan mapan serta mengutamakan kesejahteraan rakyat

24/10/2009 Kaji semula akta pemberi pinjaman wang KUALA LUMPUR 23 Okt. Kerajaan akan mengkaji semula Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 bagi memperkemaskan keberkesanannya dan penguatkuasaan ke atas pemberi pinjaman wang berlesen. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kegiatan pemberi pinjaman wang yang tidak mematuhi undang-undang dan membebankan peminjam, terutamanya kegiatan pemberi pinjaman tidak berlesen atau ah long semakin menjadi-jadi, baru-baru ini. Menurutnya, kerajaan memandang serius berhubung hal itu dan akan bersikap tegas bagi membendung kegiatan berkenaan. Kerajaan akan mengguna pakai Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 bagi mendakwa mereka yang terlibat, katanya.

24/10/2009 Dana teknologi hijau RM1.5b KUALA LUMPUR 23 Okt. Bagi memajukan pembekalan dan penggunaan teknologi hijau, kerajaan akan mewujudkan satu dana berjumlah RM1.5 bilion yang membolehkan syarikat pengeluar dan syarikat penggunanya mendapat pinjaman mudah. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, bagi syarikat pengeluar, pinjaman maksimum yang boleh dibuat adalah sebanyak RM50 juta dan syarikat pengguna pula sebanyak RM10 juta. Sebagai tanda komitmen, kerajaan akan menanggung sebanyak dua peratus daripada jumlah kadar faedah dengan nisbah jaminan kerajaan 60 peratus dan institusi perbankan sebanyak 40 peratus, katanya. Permohonan pinjaman berkenaan boleh dibuat melalui melalui Pusat Teknologi Hijau Negara. Skim ini dijangka akan memberi faedah kepada lebih 140 buah syarikat dan dimulakan pada 1 Januari 2010. Sementara itu, Najib menambah, bagi tujuan meluaskan penggunaan teknologi hijau, kerajaan juga melancarkan indeks penarafan hijau ke atas bangunan mesra alam, Green Building Index (GBI) pada 21 Mei yang lalu.

Jelasnya, kerajaan mendapati bangunan hijau dapat menjimatkan kos utiliti dan memelihara kualiti alam sekitar. Tambah beliau, bagi menggalakkan teknologi hijau diperluaskan, kerajaan mencadangkan agar pemilik bangunan yang telah memperoleh sijil GBI mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014 diberi pengecualian cukai pendapatan bersamaan perbelanjaan modal tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan. Selain itu, pembeli yang membeli rumah yang telah memperoleh sijil GBI daripada pemaju hartanah diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik. Amaun pengecualian adalah bersamaan dengan kos tambahan bagi memperoleh sijil berkenaan. Pengecualian ini adalah layak bagi pembeli yang menyempurnakan perjanjian jual beli mulai 24 Oktober 2009 hingga 31 Disember 2014, ujarnya. 24/10/2009 RM9 bilion untuk infrastruktur KUALA LUMPUR 23 Okt. Kerajaan akan memperuntukkan lebih RM9 bilion untuk membiayai projek infrastruktur. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM4.7 bilion akan digunakan untuk projek jalan raya dan jambatan. Jelasnya, sebanyak RM2.6 bilion lagi akan diperuntukan untuk projek bekalan air dan perkhidmatan pembentungan. Kerajaan turut menyediakan sebanyak RM899 juta untuk kemudahan rel, RM820 juta untuk pelabuhan dan perkhidmatan laut dan bakinya sebanyak RM276 juta untuk projek lapangan terbang, katanya. 24/10/2009 Langkah kerajaan pulihkan ekonomi KUALA LUMPUR 23 Okt. Usaha mengukuhkan sektor pengusaha kecil dan sederhana (SME) menerusi Bajet 2010 memperlihatkan langkah berterusan kerajaan untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara bertambah baik. Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (FMM) dalam kenyataan akhbar hari ini berkata, langkah itu amat penting kerana SME merupakan tulang belakang dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan negara. Usaha kerajaan mengukuhkan sektor SME menunjukkan komitmen kerajaan dalam memulihkan ekonomi negara, ujar kenyataan itu. Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini antara lain memperuntukkan RM350 juta kepada SME Corporation Malaysia.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM200 juta adalah untuk skim pinjaman mudah SME dan RM100 juta untuk skim peningkatan dan keupayaan manakala bakinya untuk program penjenamaan dan promosi. FMM juga turut menyambut baik keputusan kerajaan untuk tidak melaksanakan cukai perkhidmatan dan barangan (GST). Walaupun FMM gembira dengan pengurangan dalam cukai pendapatan individu dan koperasi, namun persekutuan ini sedikit kecewa apabila ia tidak diperluaskan, menurut kenyataan itu lagi. FMM juga agak terkilan kerana bajet tersebut tidak menyatakan insentif secara spesifik kepada sektor swasta sebagai usaha menggalakkan perkembangan pelaburan sektor tersebut. 24/10/2009 RM899j laksana program utama sektor pelancongan KUALA LUMPUR 23 Okt. Kerajaan memperuntukkan RM899 juta untuk sektor pelancongan pada tahun depan bagi melaksanakan beberapa program utama. Antara program utama yang akan dilaksanakan itu adalah menarik lebih ramai warga United Kingdom, Jepun, Korea, Asia Barat, India dan China ke negara ini menerusi program Malaysia Sebagai Rumah Kedua (MM2H) Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, selain itu, kerajaan juga akan meningkatkan kualiti infrastruktur pelancongan di pusat pelancongan di seluruh negara seperti program pembangunan pelancongan eko dan inap desa. Menurut Najib, kerajaan turut akan memastikan tenaga kerja barisan hadapan terdiri daripada rakyat tempatan. Untuk ini, pekerja asing yang sedang bekerja di barisan hadapan akan ditamatkan perkhidmatan mereka secara berperingkat. Kerajaan juga akan menggunakan kaedah pengiklanan di Internet untuk mempromosi aktiviti pelancongan negara dan mengadakan lebih banyak produk dan acara pelancongan yang lebih menarik, katanya. Walaupun dalam persekitaran ekonomi dunia yang lembap serta penularan influenza A (H1N1), kerajaan mendapati kunjungan pelancong kekal tinggi pada purata dua juta sebulan, tambah beliau. Sehingga Ogos 2009, kemasukan pelancong asing meningkat sebanyak 4.4 peratus kepada 15.4 juta berbanding 14.7 juta dalam tempoh yang sama tahun lalu. Tambah Najib, antara acara pelancongan menarik yang akan diadakan pada tahun hadapan adalah KL Grand Prix Fest, Pesta Air Nasional, Rain Forest EcoChallenges dan Malaysia International Golf Exhibition.

Jelasnya, kerajaan juga akan membuka pusat membeli-belah barangan berjenama berkonsepkan pengeluaran kilang (factory outlet) yang berskala besar. Selain itu, bagi terus memajukan industri pelancongan kesihatan, menurut Najib, Malaysia akan menambah baik galakan cukai untuk penyedia perkhidmatan penjagaan kesihatan yang menyediakan perkhidmatan kepada pelancong asing. Dalam hal ini, berita baik kepada penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan iaitu pengecualian cukai pendapatan mereka ditingkatkan daripada 50 peratus nilai peningkatan pendapatan eksport kepada 100 peratus. Harapan kita, langkah ini membolehkan penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan yang berkualiti bagi menarik lebih ramai pelancong kesihatan, ujar beliau. 24/10/2009 Petani, nelayan terima subsidi RM2 bilion KUALA LUMPUR 23 Okt. Pembentangan Bajet 2010 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini membawa berita gembira buat golongan petani dan nelayan yang akan menerima subsidi, insentif dan bantuan bernilai hampir RM2 bilion. Antara subsidi dan insentif yang disediakan pada 2010 adalah: l Subsidi harga padi lebih RM400 juta l Subsidi baja hampir RM300 juta l Insentif peningkatan, pengeluaran hasil padi dan subsidi beras hampir RM220 juta l Insentif dan sara hidup nelayan RM170 juta Perdana Menteri sewaktu mengumumkan perkara itu di Parlimen hari ini berkata, peruntukan itu merupakan bukti bahawa kerajaan bukan sekadar membuat janjijanji kosong. Kita telah merencana yang terbaik untuk rakyat, kita telah mendahulu dan mengutamakan kehendak rakyat. Hakikatnya kita sedang mengota apa yang dijanjikan, bahkan akan berusaha membuat lebih daripada ini sebagai sebuah kerajaan yang menjuarai kebajikan serta periuk nasi rakyat, katanya. Jelasnya, sebagai sebuah pentadbiran yang mendahulukan rakyat, segala janji dan khidmat yang dilakukan tidak lain tidak bukan adalah untuk melihat kesejahteraan serta kemakmuran dinikmati semua pihak tanpa sebarang pengecualian. Katanya, beliau mahukan pentadbiran kerajaan sekarang prihatin terhadap keluh kesah dan rintihan golongan seperti petani dan nelayan.

Kita faham akan jerih payah mereka menongkah arus kehidupan, memugar tanah dan bergelut dengan badai demi mencari rezeki, katanya. 24/10/2009 Khazanah, PNB tingkat usaha pikat pelabur asing KUALA LUMPUR 23 Okt. Dua cabang pelaburan kerajaan, Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) akan meningkatkan usaha sama dengan pelabur asing dalam bidang pendidikan, pelancongan dan infrastruktur. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga akan mempergiatkan lagi kemasukan pelaburan asing dengan membenarkan pemilikan ekuiti syarikat dan penglibatan secara usaha sama dalam projek tempatan yang dikenal pasti. Menurut beliau, kerajaan telah mengorak langkah agresif untuk menarik pelabur dari Timur Tengah, China dan India. Inisiatif ini telah mula membuahkan hasil semasa lawatan saya ke Arab Saudi apabila berjaya menarik syarikat negara itu menyuntik dana sebanyak AS$1.5 bilion. Usaha sama pelaburan berimpak tinggi ini dijayakan dengan 1Malaysia Development Bhd. (1MDB) iaitu sebuah Dana Kekayaan Berdaulat dimiliki Kerajaan Malaysia, kata beliau. Kerajaan juga melabur sebanyak AS$1 bilion. Dalam pada itu, Najib turut mengingatkan pihak swasta dan syarikat-syarikat milik kerajaan (GLC) yang berjaya meraih keuntungan supaya melaksanakan tanggungjawab sosial (CSR). Untuk itu, tambahnya, 1MDB akan menubuhkan satu dana CSR, antara tabungan terbesar berjumlah RM100 juta sebagai permulaan untuk membiayai aktiviti kemasyarakatan.

25/10/2009 Ekonomi menguncup sederhana

EKONOMI Malaysia kekal kukuh di sebalik kesan krisis subprima yang menyebabkan berlaku kemelesetan global yang paling buruk sejak tahun 1930an.

Impak krisis itu berjaya ditangani oleh kerajaan dengan pelaksanaan pakej rangsangan dan dasar monetari untuk memperkukuhkan asas ekonomi. Usaha memperkukuhkan asas ekonomi, kerajaan telah memberi tumpuan bagi membina kapasiti jangka sederhana dan panjang untuk memastikan kesejahteraan rakyat. Pakej rangsangan ekonomi pertama berjumlah RM7 bilion dibiayai melalui penjimatan subsidi minyak dan pakej kedua sebanyak RM60 bilion pula melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM10 bilion pada 2009 dan RM5 bilion lagi pada 2010. Ia memberi tumpuan usaha mengurangkan beban rakyat, mengekalkan aliran kredit bagi aktiviti sektor swasta, mewujudkan peluang pekerjaan dan latihan serta membina keupayaan masa depan. Sehingga akhir September lalu, sebanyak RM8.2 bilion telah dibelanjakan bagi kedua-dua pakej rangsangan. Dengan langkah yang diambil itu, ekonomi negara dijangka menguncup pada kadar sederhana 3.0 peratus berbanding ramalan awal di antara -4.0 peratus hingga -5.0. Komitmen tambahan pakej rangsangan pada 2009 menyebabkan defisit fiskal meningkat kepada 7.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2008 sebanyak 4.8 peratus. Defisit itu dibiayai sepenuhnya oleh pinjaman domestik berikutan kecairan mencukupi dalam sistem kewangan. Meskipun perbelanjaan lebih tinggi pada 2009, kerajaan kekal berhemat dalam mengurus sumber kewangan menerusi pengurangan subsidi minyak, perbelanjaan tidak terdesak dan melaksanakan kaedah perolehan yang kompetitif. Hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat 1.4 peratus kepada RM162.1 bilion. Sebahagian daripada pengurangan hasil cukai ditampung oleh peningkatan hasil berkaitan minyak dan hasil bukan cukai. Pada 2009, jumlah keseluruhan perbelanjaan dijangka meningkat 8.9 peratus kepada RM213.7 bilion berikutan peningkatan perbelanjaan pembangunan dan mengurus bagi melaksanakan pakej rangsangan.

Teks Ucapan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago Sempena Pembahasan Belanjawan 2010 di Parlimen Malaysia. Bahagian 1 : Strategi Kerajaan Mengatasi Kegawatan Ekonomi dan Hak Rakyat Kepada Maklumat Mengenai Perbelanjaan Pakej Rangsangan Ekonomi Apabila Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan membentangkan belanjawaan 2010, beliau mengatakan bahawa Malaysia akan mengalami pertumbuhan ekonomi negatif sebanyak 3-4 peratus untuk tahun 2009. Soalan saya ia lah apa kah strategi persediaan kerajaan kalau krisis global berlanjutan hingga 2010? Ini ada lah penting, memandangkan FDI atau pelaburan dari luar negara termasuk pelaburan peniaga-peniaga tempatan telah menurun. Ekspot negara jatuh. Competitiveness atau kapasiti daya saing negara kita dengan negara negara lain telah jatuh 3 tangga menurut World Economic Forum. Dan kedudukan Malaysia telah jatuh dua tangga dalam Lapuran Doing Business yang di terbitkan olih Bank Dunia. Menurut penyelidikan InsightAsia Research Group yang di umumkan dua hari yang lalu, keyakinan pengguna pengguna Malaysia terhadap ekonomi Malaysia ada lah dalam tahap rendah. Menurut lapuran mereka, consumers view of the current economy is still negative and consumers overall are slightly dissatisfied with their financial well being. The general feeling among consumers is that this is a bad time to buy major household products. Menurut lapuran yang sama, di negara-negara ASEAN lain, seperti Singapura, Indonesia dan Thailand, kepercayaan dan keyakinan golongan pengguna penguna terhadap ekonomi masing masing telah meningkat secara signifikan. Ada lah jelas bahawa pihak pelabur asing dan tempatan termasuk penguna tempatan tidak ada keyakinan atau confidence terhadap ekonomi Malaysia. Olih kerana keadaan yang meruncing ini, apa kah persedian atau strategi kerajaan kalau krisis ekonomi berlanjutan ke 2010. Soalan ini harus di ambil berat olih pihak kerajaan. Menurut Nobel Laureate dan Pakar Ekonomi , Joseph Stiglitz the US recession is nowhere near an end and the economys third quarter growth rate of 3.5 percent, the first expansion in more than a year, wont carry into 2010. Menurut Stiglitz, expansion atau tingkat pertumbuhan 3.5 peratus sangat bergantung kepada pada pelbagai langkah stimulus yang di implemantasikan oleh pentadbiran Obama.

Apa yang kita meneliti di Amerika Syarikat pertumbuhan ekonomi was a result of a government driven stimulus package and thus not sustainable dalam jangka panjang. Pada am nya, kita dapati bahawa di negara negara lain di ASEAN, pakej perangsang ekonomi masing masing telah menolong negara nagara seperti Singapura, Thailand, dan Indonesia pulih balik dan tidak mengalami pertumbuhan negatif. Malah di konteks ASEAN, hanya Malaysia yang masih belum pulih daripada krisis ekonomi global. Tetapi, kita di Malaysia implemantasikan pakej perangsang ekonomi lebih awal daripada negara negara lain di rantau ini, tetapi masih dalam territory negatif. Saya cadang supaya kerajaan telus dan akauntabel dalam perlaksanaan pakej perangrasang ekonomi satu dan dua yang berjumlah RM 67 billion. Kerajaan harus memberi tahu rakyat a) Berapakah pekerjaan telah di wujudkan sepanjang perlaksanaan Pakej Rangsang Ekonomi Satu dan Kedua; b) Berapa kah peratus pertumbuhan dalam ekonomi di dorong oleh kedua dua pakej rangsang ekonomi; c) Ada kah kerajaan sudi menubuhkan Jawatankuasa Pemilihan Parlimen (Parliamentary Select Committee) untuk menyemak pelaksanaan dan impak pakej perangsang ekonomi; d) Dalam konteks ini saya minta kerajaan menjelaskan perbelanjaan sebenar nya daripada pakej perangsang untuk sekolah sekolah Tamil dan Cina. Berapa sekolah menerima peruntukan dan status perbelanjaan wang ini.

You might also like