You are on page 1of 3

PANDANGAN AL-GHAZALI TERHADAP FALSAFAH

Pada kurun kelima hijrah, berlaku pertentangan aliran dalam proses mencari kebenaran. Pada ketika itulah, muncul al-Ghazali (450-505h) mewarnai persaingan tersebut lantas membuat penghakiman dengan metodologi tersendiri terhadap pemikiran dan aliran-aliran yang ada.

Pada zaman al-Ghazali, terdapat empat aliran yang berusaha mencari kebenaran, iaitu : i) Ahli Kalam, iaitu golongan yang berusaha menjaga aqidah daripada kekeliruan ahli bidah. ii) Mazhab Talim, iaitu golongan batiniyyah yang percaya kebenaran diperolehi daripada imam mereka yang maksum. iii) Ahli Falsafah, iaitu mereka yang banyak menggunakan logik dan akal bagi membuat pembuktian. iv) Ahli Sufi, iaitu mereka yang mengaku rapat dengan Allah sebagai ahli musyahadah.

Daripada penelitian al-Ghazali, beliau mendapati hanya golongan terakhir sahaja yang benar-benar layak untuk mencari kebenaran. Puak ahli Kalam memang benar, tetapi belum memuaskan hati beliau kerana sering menggunakan hujah yang berbelit-belit dan salah. Mazhab Talim ataupun fahaman Batiniyyah pula dianggap beliau sebagai sesat dan perlu dijauhi.

Sementara aliran falsafah pula ada yang betul dan ada yang dikritik oleh al-Ghazali kerana melampau hingga lebih mengutamakan akal bagi mencari kebenaran, terutama dalam masalah ketuhanan (metafizik). Sebelum menolak falsafah, beliau bersungguh-sungguh mempelajari ilmu itu dengan menelaah kitab-kitab ahli falsafah, walau pun tanpa guru. Setelah dihalusi, difahami dan diteliti pemikiran falsafah, beliau mendapati falsafah mempunyai kepalsuan, kekaburan, kesamaran dan khayalan.

Dalam buku al-Munqidh Min ad-Dhalal, Imam al-Ghazali telah membahagi ahli falsafah kepada tiga golongan;

1. Pertama: Ad-Dahriyyun (Materialist), iaitu golongan silam yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan Pencipta. Mereka berpendapat alam ini wujud dengan sendiri tanpa ada penciptanya. 2. Kedua : At-Tabieyyun (Naturalist), iaitu golongan yang menumpukan kajian kepada alam dan tabie. Mereka mengakui kewujudan Tuhan Pencipta, tetapi mengingkari adanya Hari Akhirat, syurga, neraka dan kiraan amal. 3. Ketiga : Al-Ilahiyyun (Theist), iaitu golongan terkemudian daripada kalangan ahli falsafah seperti Socrates (469-399 S.M), Plato (427-347 S.M) dan Aristotles (385-322 S.M).

Al-Ghazali menyatakan golongan pertama (Materialist) dan kedua (Naturalist) adalah sesat kerana masing-masing mengingkari kewujudan Tuhan Pencipta dan kebangkitan semula manusia. Beliau juga menolak golongan ketiga, walau pun mereka juga bertentangan dengan fahaman Materialist dan Naturalist. Tidak ketinggalan, al-Ghazali telah menyesatkan pengikut-pengikut mereka daripada ahli falsafah Islam seperti Ibn Sina (370-428 H) dan alFarabi (873-950 H).

Menurut Mahmud Qasim ketika berucap sempena Perayaan Memperingati al-Ghazali di Damsyik pada tahun 1961, perkara yang tidak disenangi oleh al-Ghazali berhubung dengan ahli-ahli falsafah Islam seperti al-Farabi dan Ibn Sina ialah sikap mereka yang bertaklid kepada golongan terdahulu dalam persoalan-persoalan agama berdasarkan apa yang didapati tentang kebenaran ilmu pengetahuan mereka dalam matematik, kejuruteraan, astronomi dan ilmu-ilmu yang tidak disentuh oleh agama. Al-Ghazali seterusnya menyerang ahli-ahli falsafah, terutama Ibn Sina dan al-Farabi dalam kitabnya Maqasid al-Falasifah, dan turut diperkukuhkan serangannya kepada kebatilan falsafah dalam bukunya Tahafut alFalasifah. (Awang, 1998) Menurut al-Ghazali, ahli falsafah banyak melakukan kesalahan dalam

bidang Ilahiyyat (Metafizik), iaitu ilmu yang membicarakan hal-hal ketuhanan. Terdapat dua puluh persoalan dalam hal ini yang dianggap bidah oleh al-Ghazali dan tiga daripadanya menjadi dihukumkan sesat dan menyalahi pandangan Islam, iaitu:

1. Pengingkaran kebangkitan semula jasad manusia. 2. Pembatasan ilmu Allah hanya kepada perkara-perkara kulliyyat (umum) sahaja da tidak tahu secara terperinci. 3. Pandangan bahawa alam ini qadim.

Hasil daripada kritikan al-Ghazali, beliau telah berjaya menjatuhkan nilai ilmiah falsafah dari takhta keagungan yang selama ini dipandang mulia oleh masyarakat. Beliau juga berjaya mendedahkan secara terperinci segala kelemahan dan tembelang ilmu falsafah, terutama menerusi karyanya,Tahafut al-Falasifah. Falsafah Islam yang ketika itu dipopulari oleh Ibnu Sina dan al-Farabi dan disanjung oleh masyarakat menjadi hina dan dijauhi oleh umat Islam.

Walau pun begitu, falsafah kembali bermaya selepas munculnya Ibn Rusd bersama bukunya Tahafut at-Tahafutuntuk mempertahankan ilmu falsafah dan menjawab balik kritikan al-Ghazali. Dalam hal ini, ada sarjana barat yang menulis, ...al-Ghazali telah menikam ilmu falsafah di sebelah timur dengan tikaman maut, hampir begitulah juga keadaannya di barat, tetapi Ibn Rusd telah mempertahankannya. Falsafah terus hidup untuk tempoh seratus tahun lagi.

You might also like