You are on page 1of 4

Konsep Tasawwur Islam Date: Saturday, August 06 @ 01:10:37 MYT Topic: Pendidik Setiap manusia mesti membuat sesuatu

perkara yang diredai oleh Allah SWT. Namun begitu, umat Islam disarankan agar jangan melupai dunia sepenuhnya kerana kelalaian kita pada kepentingan di dunia memberi kesan negatif kepada Islam sendiri. Konsep Tasawwur Islam Mardzelah Makhsin Perkataan tasawwur berasal daripada perkataan bahasa Arab yang bermula dengan kata dasar sawwara. Hasil daripada kata dasar ini menerbitkan perkataan tasawwur yang bererti: - Memberikan suatu tanggapan kepada rupa yang dapat dikhayalkan. Menjelaskan gambaran sebenar ke atas sesuatu. -Menghasilkan rupa dalam akal. Daripada definisi tersebut, tasawwur bermaksud memberikan gambaran sebenar ke atas apa yang disampaikan kepada akal fikiran dan seterusnya menjadi sebati dalam diri untuk difahami. Apabila perkataan tasawwur dipadukan dengan perkataan Islam, maka ia membentuk tasawwur Islam yang bererti gambaran bentuk Islam hakiki. Hal ini menunjukkan tasawwur Islam bertujuan menjelaskan prinsip-prinsip asas Islam secara keseluruhan dan seterusnya menggambarkan agama Islam sebagai agama yang bersifat fleksibel dan global. Tasawwur Islam dalam Konteks Syumul Tasawwur Syumul ialah suatu tasawwur yang menganggap manusia sebagai salah satu daripada makhluk-makhluk Allah yang amat lemah dan kehidupannya bergantung kepada rahmat Allah SWT. Justeru itu, keimanan manusia kepada Allah SWT perlu mengatasi segala kepercayaan pada perkara-perkara lain. Manusia juga perlu mengingati kepercayaan dan ketaatan kepada Allah SWT secara lengkap dan sempurna kerana Allah SWT sentiasa menilai segala perkataan, perbuatan dan tingkah laku manusia setiap masa. Ini bertepatan dengan perkataan syumul yang bermaksud sempurna, lengkap, menyeluruh dan ia selaras dengan matlamat Islam yang berorientasikan kepada dua bentuk penghayatan iaitu kehidupan di dunia dan kebahagiaan di akhirat. Ini diakui oleh al-Syahid Hassan al-Banna dalam bukunya Risalah Islam ada menyebutkan, Islam merupakan suatu perutusan yang mempunyai jangka masa yang panjang dan meliputi setiap zaman. Pengisian lebarnya merangkumi segala bangsa di seluruh pelosok dunia. Manakala tunjangannya meliputi semua urusan dunia dan akhirat. Islam adalah agama yang syumul. Ini sesuai dengan fitrah Islam yang menyediakan segala keperluan yang diperlukan oleh manusia. Daripada perkara-perkara yang sekecilnya sehinggalah kepada perkara-perkara yang besar, segalanya sudah diberikan panduan di dalam al-Quran dan al-Sunnah. Sebagai contoh, Islam sudah mengemukakan panduan berkenaan perkara-perkara kecil seperti adab-adab makan, minum, tidur, mandi dan meliputi hal-hal yang lebih global seperti sistem dalam ekonomi, politik, sosial dan pendidikan. Bukan itu sahaja, malah Islam sudah memberi panduan bagaimana memelihara jasad dan roh seseorang manusia dan kaitan di antara hubungan manusia dengan Allah SWT, hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan makhluk yang lain. Sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Qisas ayat 77 yang bermaksud, Dan berusahalah bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang Allah SWT sediakan untukmu di negeri akhirat (syurga) dan janganlah kamu melupakan habuanmu di dunia dan berbuat baiklah sebagaimana Allah SWT berbuat-baik kepadamu dan janganlah sekali-kali membuat kerosakan di bumi dengan melanggar perintah-Nya. Sesungguhnya Allah SWT tidak suka kepada orang-orang yang berbuat kerosakan. Ayat di atas dimulakan dengan menyatakan hal-hal akhirat terlebih dahulu,

kemudian menjelaskan berkenaan kehidupan di dunia. Ini menunjukkan keutamaan kepentingan akhirat didahulukan dan ia diikuti dengan kepentingan di dunia. Dengan kata lain, setiap manusia mesti membuat sesuatu perkara yang diredai oleh Allah SWT. Namun begitu, umat Islam disarankan agar jangan melupai dunia sepenuhnya kerana kelalaian kita pada kepentingan di dunia memberi kesan negatif kepada Islam sendiri. Sebagai contoh, umat Islam disuruh menjalankan kegiatan ekonomi kerana ia memberi input yang besar kepada Islam. Kemunduran umat Islam dalam arena ekonomi menyebabkan umat Islam mudah dijajah dan ditindas oleh manusia yang sememangnya benci pada Islam. Kekuatan umat Islam sebenarnya bergantung pada akidah yang utuh, aktiviti kehidupan yang berteraskan syariah dan penghayatan yang mendalam ke atas Islam dapat menjamin kebahagiaan dan kecemerlangan kepada umat Islam. Konsep Rabbani dan Nubuwah Konsep Rabbani Para ulama bahasa dan tafsir menjelaskan definisi perkataan Rabbani seperti berikut: 1. Menurut tokoh-tokoh bahasa seperti al-Azhariy, perkataan al-Rabbani bermakna al-Alim. Hasil daripada kata jamaknya al-rabbaniyyun menghasilkan makna ulama. Tambahan pula, tokoh ulama bahasa yang terkenal iaitu Sibawaih menjelaskan tambahan huruf alif dan nun pada perkataan al-Rabbani bertujuan menunjukkan ia bermakna ilmu pengetahuan berkenaan Rab, bukan kepada yang lain. Ini bermakna Rabbani ialah suatu ilmu berkaitan ketuhanan kepada Allah. Alasan ini diperteguhkan dengan kenyataan Ibn Manzur yang menyatakan Rabbani ialah orang yang berilmu berkenaan Rab. Secara kesimpulannya, Ibn al-Athir berpendapat perkataan al-Rabbani dinisbahkan kepada al-Rab dengan tambahan alif dan nun bagi almubalaghah yang menunjukkan bersangatan. Dengan kata lain, al-Rabbani merupakan orang yang alim berkaitan agamanya. 2. Definisi yang dikemukakan oleh tokoh-tokoh bahasa di atas mempunyai kaitan yang amat rapat dengan definisi yang dinyatakan oleh para ulama tafsir. Sebagai contoh Muhammad Jawwad Mughniyyah dalam tafsiran ayat dalam Surah Ali Imran ayat 79 yang menjelaskan perkataan Rabbaniyyin dalam ayat tersebut bererti mereka yang berilmu dan beramal dengan perintah Allah SWT. Manakala Ibn Kathir pula menyebutkan al-Rabbaniyyun sebagai mereka yang berilmu, ahli ibadat, para hukama, ulama dan fukaha. Oleh yang demikian, dapatlah disimpulkan definisi rabbaniyyin adalah orang-orang yang memiliki pengetahuan sebenar berkaitan kitab Allah dan bersaksi kepada-Nya dengan sebenar-benar penyaksian. Maksudnya memelihara hukum-hakam yang ada dalam al-Quran sebagaimana firman Allah dalam surah al-Maidah ayat 44. Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT menggariskan tiga golongan yang dianggap tunduk dan patuh kepada-Nya, iaitu para nabi, rabbaniyyun dan ahbar iaitu ulama atau pendeta. Kaedah Memantapkan Konsep Rabbani Islam adalah agama yang sentiasa berusaha ke arah memantapkan didikan rabbani kepada seluruh umat manusia dengan uslub atau kaedah yang tersendiri. Uslub atau kaedah-kaedah yang menjadi garis panduan ini berupaya mempertingkatkan mutu pengislahan jiwa seseorang ke arah keyakinan kepada Allah SWT. Berikut adalah kaedah-kaedah yang digariskan dalam Islam bagi membentuk didikan rabbani dalam jiwa manusia: Menerusi Ibadat Seseorang Muslim dapat memantapkan rohaninya dengan konsep rabbani apabila dia melakukan ibadat kepada Allah SWT. Dalam Islam, ibadat terbahagi kepada ibadat fardu dan ibadat sunat. Contoh ibadat fardu adalah solat, puasa, zakat dan menunaikan haji. Manakala ibadat sunat dikategorikan seperti menunaikan solat sunat seperti solat hajat, berzikir, bermunajat dan bersedekah. Menerusi Adab Adab adalah salah satu kaedah yang dapat menguatkan lagi sifat rabbani dalam jiwa manusia. Menerusi adab, Islam menganjurkan adab-adab mahmudah dalam setiap tingkah laku manusia sama ada adab ketika makan, minum, berpakaian, akhlak, perkahwinan, kejiranan dan sebagainya. Menerusi Pembentukan dan Pendidikan Seterusnya kaedah yang paling memainkan

peranan penting dalam pembentukan sifat rabbani dalam jiwa manusia adalah menerusi pendidikan atau tarbiah Islamiah. Pendekatan pendidikan yang ditekankan dalam hal ini adalah pendidikan secara jasmani dan rohani harus sama seiring agar matlamat yang dicapai adalah seimbang iaitu kecemerlangan di dunia dan di akhirat. Malahan Islam amat menitikberatkan pendidikan yang perlu bermula daripada peringkat asas lagi sejak pertemuan kali pertama bagi suami dan isteri. Selanjutnya proses pendidikan diteruskan lagi semasa dalam kandungan dan sehinggalah dilahirkan. Bukan setakat itu saja, proses pendidikan secara formal terus diperkenalkan apabila seseorang bayi dilahirkan. Lantaran itu, Islam menganjurkan beberapa perkara sunat yang harus dilaksanakan seperti membaca azan ataupun iqamat kepada bayi itu. Ini adalah proses pembelajaran formal yang pertama apabila bayi mula diajar mendengar kalimah Allah SWT kepadanya. Akhirnya, proses pembelajaran yang berterusan ini dapat membentuk jiwa yang rabbani dalam mengenali dan mentaati Allah SWT. Menerusi Sebaran Am dan Kebudayaan Tidak dapat dinafikan peranan media massa dan kebudayaan pada zaman moden ini sangat berpengaruh ke atas pembinaan sifat rabbani dalam diri seseorang Muslim. Namun begitu, tidak dapat dinafikan maklumat yang dipaparkan dalam media dan undur-unsur kebudayaan yang wujud dalam masyarakat di Malaysia mengandungi nilai-nilai positif dan negatif. Oleh yang demikian, setiap individu harus peka dalam menentukan mesej yang disampaikan agar dapat memberi input yang positif. Sebagai contoh, rancangan-rancangan yang disiarkan dalam televisyen ada yang berbentuk berita, kuliah, diskusi, dokumentasi dan sebagainya. Pada masa yang sama, wujud juga hiburan-hiburan seperti muzik, filem dan drama yang memerlukan analisis diri bagi memastikan diri kita tidak mudah terdorong kepada kemungkaran. Begitu juga dengan kebudayaan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada budaya yang bervariasi seperti budaya Melayu, Cina, India dan lain-lain. Setiap budaya mempamerkan nilai-nilai budaya yang murni dan harus dihayati kerana konsep budaya tersebut mempunyai matlamat yang sama dalam pembentukan nilai rabbani dalam kehidupan manusia. Konsep Nubuwah Sepanjang sejarah manusia, sesuatu keadilan yang ingin dicapai memerlukan bimbingan dan petunjuk yang bersifat adil secara mutlak. Dalam Islam, sifat adil yang sedemikian hanya dimiliki oleh Allah SWT. Bagi mendapatkan bimbingan dan petunjuk ke arah keadilan daripada-Nya, maka Allah SWT mengutus perutusan khas yang dikenali sebagai rasul. Para rasul yang dilantik merupakan manusia yang dianugerahkan dengan sifat kenabian atau nubuwah. Menurut al-Ghazali, sifat kenabian atau al-nubuwah adalah suatu darjat yang mengatasi akal kerana mereka yang menerima anugerah ini dapat melihat perkara-perkara yang tidak mampu dipersepsikan oleh akal. Selain itu, golongan para nabi dan rasul yang dipelihara dengan sifatsifat kenabian atau al-nubuwah juga memiliki sifat Siddiq atau membenarkan kebenaran, Amanah atau jujur, Tabligh atau menyebarkan kebenaran, Fatanah atau profesional dan Adalah atau keterampilan yang adil. Siddiq Islam meletakkan konsep Siddiq yang membawa maksud menyampaikan ilmu sebenar dengan realiti yang tepat, tanpa berlaku pemalsuan dan penyelewengan atas alasan apa sekalipun. Etika ini dianjurkan oleh Islam dalam melaksanakan misi pendidikan berpandukan pada hadis-hadis seperti yang diriwayatkan Ahmad dan At Tabrani, Empat keadaan sekiranya terdapat pada dirimu maka tidak akan terdapat (keadaan) yang membahayakanmu; iaitu menjaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan iffah dalam makan minum. Dalam satu sabda yang lain, Rasulullah SAW bersabda, Sampaikanlah (maklumat) yang benar walaupun ia pahit (jika difikirkan daripada aspek kepentingan diri sendiri). (Muttafaqun Alaihi) Amanah Dalam etika kerja Islam, apatah lagi dalam konteks pendidikan, amanah adalah sesuatu yang amat penting. Al-Quran menegaskan pentingnya sifat ini bagi dihayati dalam surah al-Qisas ayat 26, mafhumnya: Kerana sesungguhnya orang yang paling baik untuk kita

ambil bekerja (untuk kita) adalah orang yang kuat lagi boleh dipercayai. (amanah) Rasulullah SAW juga bersabda, Tidak beriman seseorang itu yang tidak amanah. Dalam hal ini, hadis yang kita perkatakan di atas dilihat sekali lagi sangat relevan dengan konsep etika ini melalui riwayat Ahmad dan At Tabrani: Empat keadaan sekiranya terdapat pada dirimu maka tidak akan terdapat (keadaan) yang membahayakanmu; iaitu menjaga amanah, bercakap benar, berakhlak baik dan iffah dalam makan minum. Tabligh Seseorang pendidik seharusnya meletakkan objektif mendidik dan menyampaikan maklumat kepada mereka yang berhak sebagai prinsip utama. Sebagai seorang pendidik juga sewajarnya mengambil suatu pandangan terbuka dan menyedari realiti mereka harus menyampaikan ilmu yang tepat kepada pelajar, bukannya menunggu kedatangan mereka. Konsep Tabligh di sini juga membawa maksud proses penyampaian ilmu hendaklah disampaikan menerusi cara yang jelas difahami, tanpa ada provokasi makna ataupun bombastik sehingga boleh mengelirukan pelajar yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat. Ini bertepatan dengan hadis yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW, Barang siapa yang menyampaikan kepada orang lain satu maklumat(ilmu) yang tidak difahami, maka ia telah berbuat kerosakan (fitnah) di kalangan mereka. Fatanah Dalam konteks hari ini, istilah yang paling tepat bagi menggambarkan sifat ini adalah ciri profesionalisme. Fatanah pada asalnya bermaksud bijaksana dalam membuat sesuatu keputusan, bererti melaksanakan aktiviti penyampaian ilmu secara profesional dan bijaksana.

You might also like