You are on page 1of 3

KOMPONEN II (Latar Belakang Masyarakat)

Orang Cina tinggal di Bandar dan pelabuhan. Orang India tinggal di estet Orang Melayu tinggal dikampung dan pinggir pantai. Pernyataan di atas merupakan dasar Pecah dan Perintah penjajahan British di Tanah Melayu. Dasar ini bertujuan untuk mengekalkan kuasa mereka. Bincangkan kesan-kesan dasar ini terhadap perpaduan kaun di Malaysia.

Dasar pecah dan perintah (divide and rule) yang diperkenalkan oleh British ini telah memberikan impak yang besar dalam perpaduan negara. Jarak sosial serta segregasi antara kumpulan-kumpulan etnik seolah-olah sengaja diwujudkan dan dikekalkan oleh British demi kepentingan dan keselamatan sendiri. Tujuan utama British ialah untuk mengeksploitasi kekayaan semulajadi Tanah Melayu, sementara perpaduan negara tidak pernah dititikberatkan. Bagi mencapai tujuan ini, Kerajaan British telah dengan sengaja menetapkan status dan peranan yang berlainan bagi kaum-kaum Melayu, Cina dan India, di mana orang-orang Cina ditempatkan di bandar dan pelabuhan, orang India ditempatkan di estet-estet manakala orang Melayu pula kekal tinggal di kampung dan pinggir sungai. Akibat daripada dasar yang diamalkan oleh British ini, ianya telah meninggalkan kesan yang mendalam kepada masalah perpaduan negara. Masalah yang paling ketara ialah interaksi di kalangan masyarakat adalah terhad. Ini kerana tiada percampuran yang nyata di antara golongan-golongan etnik tersebut. Interaksi antara kaum hanya terhad kepada pergaulan di pejabat dan juga di pasar-pasar semasa urusan jual-beli diadakan. Ini kerana mereka hanya berkesempatan

bertemu dan beramah mesra ketika terjadinya perjumpaan di tempat-tempat tersebut. Kesan ini wujud akibat daripada pengasingan tempatan yang begitu ketara. Perpaduan negara juga terjejas akibat daripada penggunaan bahasa pertuturan yang berlainan. Ini kerana ketiga-tiga kaum ini menggunakan bahasa ibunda masing-masing untuk berinteraksi di antara satu sama lain. Tambahan pula mereka jarang-jarang didedahkan dengan persekitaran masyarakat lain dan sekaligus mereka hanya pandai bertutur dalam bahasa ibunda masing-masing. Kaum Melayu kekal bertutur dalam bahasa Melayu, Kaum India pula selesa bertutur dalam bahasa Tamil manakala Kaum Cina bertutur dalam pelbagai loghat seperti Hokien, Hakka, Kantonis dan Hailam. Penguasaan bahasa mereka hanya terhad kepada bahasa ibunda mereka masing-masing dan menyukarkan proses interaksi antara kaum yang berlainan. Dasar ini juga telah mewujudkan perbezaan agama dan kebudayaan yang ketara di antara kaum-kaum tersebut. Setiap kumpulan etnik mempunyai agama dan kebudayaan yang berlainan. Orang Melayu menganut agama Islam,majoriti orang India pula menganut agama Hindu manakala kebanyakan orang Cina menganut agama yang merupakan campuran ajaran Buddha, Lao-Tze dan Confucius. Orang Melayu mengamalkan sistem hidup yang berteraskan kebudayaan tradisi mereka manakala orang Cina dan India menganut nilai-nilai kebudayaan yang dibawa bersama dari negera asal mereka. Setiap kumpulan etnik ini juga adalah jahil mengenai kebudayaan dan adat resam kumpulankumpulan etnik yang lain. Keadaan ini wujud kerana mereka tinggal berasingan dan tidak pernah bercampur gaul dengan kumpulan etnik yang lain. Perpaduan negara juga terjejas akibat daripada wujudnya jurang ekonomi yang besar di antara kaum- kaum tersebut. Kebanyakan orang Melayu yang tinggal di kampung dan pinggir pantai merupakan petani, penoreh getah dan juga nelayan. Kebanyakan orang Cina yang tinggal di Bandar dan pelabuhan ini terlibat dalam

sektor perniagaan dan perlombongan manakala orang India yang tinggal di estet bekerja sebagai buruh. Akibat daripada kegiatan ekonomi yang berlainan ini, wujudnya jurang pendapatan yang tidak seimbang di antara kaum, dengan majoriti golongan miskin terdiri daripada kaum Melayu. Ini telah menimbulkan persaingan ekonomi dan ketidakpuasan di kalangan kumpulan etnik tertentu yang boleh mengancam perpaduan negara. Dasar ini juga menyebabkan wujudnya sistem pendidikan yang berteraskan kumpulan etnik masing-masing. Murid-murid tidak berpeluang bercampur gaul dengan murid-murid kaum lain memandangkan ibu bapa lebih cenderung menghantar anak-anak mereka ke sekolah rendah yang menggunakan bahasa ibunda masing-maisng. Kurikulum yang digunakan di sekolah-sekolah ini juga adalah berlainan. Sekolah-sekolah ini menggunakan bahasa tersendiri sebagai bahasa pengantar dan keadaan ini telah menjejaskan persefahaman dan perhubungan yang erat antara kaum. Tambahan pula buku-buku teks yang digunakan di sekolah Cina dan India dibawa khas dari China dan India. Ini telah menghasilkan pandangan dunia yang berlainan serta memperkukuhkan lagi keperibadian etnik di kalangan pelajar Cina dan India. Dasar pecah dan perintah yang diamalkan oleh British ini telah meninggalkan kesan yang mendalam dalam masalah perpaduan negara. Namun begitu kerajaan telah mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk mengatasi masalah ini dari terus berlanjutan dan menjadi serius dengan mewujudkan pelbagai dasar kerajaaan.

You might also like