You are on page 1of 2

Nabi Muhammad dengan seorang buta.

Nabi Muhammad seorang insan yang amat penyayang dan pengasih terhadap orang lain. Akhlak mulia yang dimiliki oleh baginda amat indah. Baginda juga suka ambil berat dan membantu orang-orang yang lemah. Kerana itu, baginda amat disayangi oleh para sahabat dan pengikut baginda. Tetapi, ada juga dalam kalangan orang kafir yang tidak menyukai baginda. Salah seorang daripada mereka itu ialah seorang lelaki tua yang buta yang sering mencaci dan menghina Nabi Muhammad. Lelaki tua yang buta itu tinggal di hujung kota Makkah. Setiap hari, lelaki tua itu akan mencaci dan menghina Nabi Muhammad saw di hadapan orang ramai yang sering lalu- lalang dihadapannya. Tujuan lelaki tua itu adalah agar orang ramai tidak terpengaruh dengan seruan tauhid yang di bawa oleh Nabi Muhammad saw. Sekiranya kamu bertemu dengan Muhammad, jauhilah dia. Dia seorang penipu dan pandai menyihir orang dengan kata-katanya itu kata lelaki buta itu. Bagi mereka yang tidak mengenali keperibadiaan Nabi Muhammad, mereka akan percaya dengan hasutan lelaki tua itu. Nabi Muhammad mengetahui apa yang dilakukan oleh lelaki tua itu, baginda tidak pernah marah sebaliknya mendiamkan diri dan hanya tersenyum apabila mendengar segala tuduhan yang keluar dari mulut lelaki buta itu. Bahkan pada setiap hari, Nabi Muhammad jugalah merupakan satu-satunya insan yang mengambil berat tentang nasib lelaki buta itu.Pada setiap pagi, baginda akan menemui lelaki buta itu dengan membawa makanan untuk disuapkan ke dalam mulut lelaki buta itu. Setiap kali selepas kenyang, lelaki tua itu akan mencaci dan memaki Nabi Muhammad. Nabi Muhammad hanya akan mendiamkan diri tanpa menjawab segala cacian itu. Lelaki tua itu tidak mengenali Nabi Muhammad memandangkan dia buta. Setelah Nabi Muhammad meninggal dunia, sahabat karib baginda iaitu Saidina Abu Bakar As-Siddiq telah bertanya kepada anaknya yang merupakan isteri kepada Rasulullah saw. Wahai Aisyah, katakanlah kepadaku apakah lagi perbuatan yang sering dilakukan oleh suamimu yang masih lagi belum dilakukan olehku? Aisyah menjawab: Ada satu perbuatan yang seringkali dilakukan oleh Rasulullah yang masih lagi belum dilakukan oleh ayahanda Apakah perbuatan itu wahai Aisyah? soal Abu Bakar. Rasulullah sering member makan kepada seorang buta yang tinggal di hujung kota Makkah pada setiap pagi jawab Aisyah . Baiklah, ayahanda akan mengambil alih tugasan itu kata Abu Bakar kepada anaknya.

Keesokan paginya, Abu Bakar segera ke tempat tinggal lelaki buta itu untuk memberi makan. Setelah beberapa suap makanan itu disuapkan ke dalam mulut lelaki tua itu, lelaki tua itu tidak lagi mahu makan. Lalu berkata: Siapakah engkau ini? Engkau bukan lelaki biasa yang sering memberikan makanan kepadaku Abu Bakar terkejut lalu berkata: Wahai lelaki buta, bagaimanakah engkau begitu yakin mengatakan aku bukanlah orang yang sama dalam memberikan makanan kepadamu sedangkan engkau tidak dapat melihatku? Sudah beberapa hari orang yang biasa menyuapkan makanan kepadaku tidak datang ke sini dan ketika engkau menyuapkan aku dengan makanan tadi, aku dapati ia tidak selembut seperti yang biasa disuapkan kepadaku oleh orang itu. Kebiasaannya, makanan yang akan disuapkan kepadaku akan dihancurkan terlebih dahulu oleh lelaki itu supaya mudah bagiku untuk menelannya.. jelas lelaki buta itu. Air mata Abu Bakar menitis mendengar penjelasan itu. Hatinya menjadi rindu kepada Rasulullah saw yang sudah tiada lagi di sisinya. Adakah engkau mengetahui ke mana perginya lelaki itu dan siapakah lelaki itu? Tanya lelaki buta itu lagi. Dengan sebak, Abu Bakar berkata: Apa yang dikatakan engkau adalah benar. Aku bukanlah orang yang sama yang sering menyuapkan engkau. Orang yang engkau maksudkan itu adalah sahabat baikku, Rasulullah saw. Dia sudah tiada lagi di dunia ini kerana telah menemui Tuhannya beberapa hari yang lalu Mendengar jawapan itu membuatkan lelaki buta itu terkejut. Orang yang selama ini sering dicaci dan maki itulah rupa-rupanya insan penyayang yang sering menyuapkan makanan ke dalam mulutnya dengan penuh kasih sayang. Bahkan, insan itu jugalah yang sering mengambil berat akan kebajikannya. Lelaki buta itu berasa menyesal atas perbuatannya selama ini. Lalu meminta agar Abu Bakar membawanya menziarahi kubur Rasulullah. Lelaki buta itu akhirnya memilih untuk memeluk Islam. Pengajaran: Kita perlulah mencontohi sifat Rasulullah saw dengan mengambil berat nasib orang-orang yang lemah. Selain itu, apabila kita menerima layanan buruk dari orang lain, janganlah kita menyimpan dendam kepadanya.Sebaiknya hendaklah kita memaafkan mereka.

You might also like