You are on page 1of 2

Sempena sambutan Hari Kebangsaan negara Malaysia tahun 2009, konsep 1 Malaysia telah diperkenalkan oleh Perdana Menteri

kita, Dato Seri Najib, yang memberi gambaran untuk menyatupadukan pelbagai bangsa di negara ini. Saranan beliau untuk hidup bersama-sama tanpa mengira warna kulit, bahasa, dan kepercayaan telah disahut oleh seluruh rakyat Malaysia dari Semenanjung Malaysia hinggalah ke negeri Sabah di bawah bayu. Terdapat banyak sebab konsep ini tidak patut diabaikan oleh anggota masyarakat dan wajar diamalkan sehinggalah ke zaman cucu-cicit dan zaman-zaman yang seterusnya.

Antaranya, konsep 1 Malaysia telah menyatupadukan anggota masyarakat Malaysia di bawah payung negara Malaysia. Meskipun masyarakat Malaysia yang berbilang kaum hidup bersama-sama, keunikan budaya, tradisi, dan adat setiap kaum terselah dan telah meningkatkan imej negara kita. Negara Malaysia sudah pun terkenal di persada dunia dan menjadi tarikan pelancong disebabkan oleh keupayaan rakyat Malaysia untuk mengekalkan budaya masing-masing. Misalnya, persembahan antarabangsa Citrawarna Malaysia yang berlangsung pada 21 Mei 2010 telah mengagumkan pelancong dari seluruh pelosok dunia.

Selain itu, konsep 1 Malaysia tidak patut dipinggirkan oleh masyarakat kerana melalui konsep ini, masyarakat Malaysia dapat hidup denagan harmonis. Perselisihan faham dan pertelingkahan antara kaum dapat dielakkan. Setiap warganegara Malaysia saling menghormati serta sentiasa bertolakansur dalam perlakuan mahupun perucapan. Rusuhan kaum dan perang saudara tidak berlaku di sini sebagaimana yang berlaku di negara-negara lain. Hasilnya, kestabilan politik negara kita terjamin dan menarik minat banyak pelabur asing.

Tambahan lagi, konsep 1 Malaysia tidak boleh diketepikan disebabkan konsep ini membolehkan rakyat Malaysia bekerjasama bagai aur dengan tebing untuk membangunkan negara kita. Tanpa mengira bangsa, masyarakat Malaysia bersatu-padu bagi meningkatkan taraf kehidupan semasa kita. Sebagai contoh, dalam amalan gotong-royong, setiap lapisan masyarakat akan berganding bahu untuk menjayakan kegiatan pembersihan. Muafakat membawa berkat, kesannya, negara Malaysia dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara asing.

Sehubungan dengan itu, negara Malaysia berjaya menjadi sebuah negara yang utuh melalui konsep 1 Malaysia. Konsep ini tidak boleh dipandang remeh disebabkan perpaduan merupakan kunci kepada kegemilangan sesebuah negara. Perpaduan umpama suatu benteng pertahanan yang kukuh dan mampu mempertahankan tanah air kita daripada ancaman musuh, bak kata perpatah, Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

Bagaimana pula dengan langkah-langkah yang wajar diambil ke arah merealisasikan konsep 1 Malaysia? Integrasi nasional hanya boleh tercapai apabila seluruh rakyat Malaysia dapat saling menerima dan menghormati. Aktiviti-aktiviti yang menuntut rakyat mencapai kata sepakat dalam sesuatu hal boleh menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan mereka. Misalnya, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah serta aktiviti gotong-royong

membersihkan kawasan perumahan memerlukan sokongan daripada semua pihak untuk memperoleh hasil yang dihasratkan. Bukan itu sahaja, konsep 1 Malaysia juga boleh diamalkan melalui penganjuran majlis rumah terbuka pada musim perayaan. Langkah mengadakan majlis rumah terbuka oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri wajar dicontohi oleh warganegara Malaysia terutamanya golongan berpendapatan tinggi. Dalam majlis yang diadakan ini, tetamu yang berasal daripada suku yang berbeza dapat berkenalan di samping mengeratkan hubungan silaturahim sesama mereka.

Akhir kata, konsep 1 Malaysia haruslah dititikberatkan serta dipraktikkan dalam kehidupan anggota masyarakat. Masyarakat yang berbilang bangsa, budaya dan agama perlu senantiasa bersatu-padu terutamanya dalam usaha merealisasikan Wawasan 2020. Dengan itu, dapatlah kita mencapai impian kita untuk menjadi sebuah negara berprestij yang cemerlang, gemilang, dan terbilang!

You might also like