You are on page 1of 1

Nama: _____________________________ Kelas: ___________ Tarikh: ______________ Jenis karangan: Keperihalan Contoh Karangan: Kemalangan Jalan Raya Pada

suatu petang, selepas sekolah bersurai, saya dan sahabat akrab, Asraf berjalan kaki pulang ke rumah untuk mengulang kaji pelajaran. Tiba-tiba, kami terdengar bunyi hentaman yang kuat. Hati kami berdenyut deras. Apabila kami menoleh kepala ke arah bunyi itu, kami ternampak sebuah kereta berjenama Hyundai terlanggar sebuah motosikal. Saya dan Asraf tercegat dan terlopong di sana kerana ini merupakan julung kalinya kami melihat nahas jalan raya di depan mata kami. Walaupun kami cemas bagaikan cacing kepanasan, namun kami tetap bawa bertenang agar tidak hilang akal. Kami segera berlari ke tempat kejadian untuk menghulurkan bantuan. Alangkah terkejutnya apabila kami mendapati motosikal itu telah remuk-redam. Bahagian hadapan kereta Hyundai telah kemik. Serpihan kaca bertaburan di atas jalan. Penunggang motosikal itu pula tertiarap di tepi jalan. Kami mendampinginya untuk memberikan bantuan. Kami mendapati penunggang motosikal itu bermandi darah dan seluruh badannya calar-balar. Tangannya patah dan kakinya bengkak. Dia mengalami cedera parah dan berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan sambil mengerang kesakitan. Saya dan Asraf tidak mengalihkannya kerana tindakan ini akan memburukkan keadaannya lagi. Pada masa itu, pemandu kereta yang kelihatan pucat wajahnya juga turun dari keretanya. Wanita itu berjalan dengan terhincut-hincut kerana kakinya terseliuh. Tanpa melengahkan masa, saya meminjam telefon bimbit daripadanya untuk menghubungi pihak yang berkenaan. Asraf pula memapah wanita itu ke tepi jalan untuk berehat. Wanita itu gentar dan menggigil ketakutan sambil memberitahu kami bahawa penunggang motosikal itu melanggar lampu isyarat dan memecut dari arah yang bertentangan. Dia tidak sempat untuk memberhentikan keretanya lalu melanggar motosikal tersebut. Beberapa minit kemudian, ambulans dan kereta polis pun tiba di tempat kejadian. Dua orang mangsa yang tercedera itu dikejarkan ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. Anggota polis pula membuat siasatan di tempat kejadian. Saya dan Asraf juga diminta untuk memberikan keterangan kepada pihak polis. Polis itu memuji kami anak yang prihatin. Namun begitu, kami tidak angkat diri dan hidung tinggi kerana kami tahu bahawa menolong setiap insan yang berada dalam kesusahan merupakan tanggungjawab setiap orang. Saya tidak dapat melupakan peristiwa ini selagi hayat dikandung badan. Malang tidak berbau. Justeru, setiap pengguna jalan raya mestilah berhemah ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kecelakaan sedemikian daripada berlaku.

You might also like