You are on page 1of 8

PEMBANGUNAN SINGAPURA 1990-2005: TEMPIASNYA KEPADA NEGARANEGARA SERANTAU SUHAIMI Abdan dan NORDIN Hussin Universiti Kebangsaan Malaysia

PENGENALAN Pembangunan1 Singapura bermula daripada perkembangan politik2 dan pembangunan sosioekonominya. Pembangunan negara kecil itu mula diprogramkan oleh pemerintah kolonial mengikut acuan British tetapi kurang berkesan. Kemajuan yang dicapai juga masih perlahan.3 Sejurus memegang kuasa pada bulan Jun 1959, pembangunan Singapura terus berjalan rancak dan meletakkan asas yang kukuh untuk Singapura dari segi politik, ekonomi dan sosial. Dalam masa yang sama, Lee menekankan soal keselamatan bagi kelangsungan Singapura. Kesemua aspek ini menjadi asas kemajuan ekonomi yang berterusan sebagai prasyarat meningkatkan pelaburan dan keselamatan nasional. Bagi mencapai hasrat ini, Singapura perlu mencipta kekuatan politik dan pertahanan, meningkatkan kekayaan, menjana kemajuan ekonomi dan pembangunan yang berterusan serta memperkasakan keselamatan untuk kesejahteraannya pada masa hadapan. Namun demikian, dasar pembangunan dan keselamatan yang diambil oleh Singapura telah memberi impak kepada negara-negara serantau.

Sejak akhir Perang Dunia I, pembangunan digunakan bagi menghuraikan tentang perubahan sosioekonomi dan politik oleh negara-negara Dunia Ketiga yang merupakan bekas tanah jajahan kuasa-kuasa Barat. Memetik kata Huntington (1987), beliau mendakwa, pembangunan diikuti lima matlamat, yakni pertumbuhan ekonomi, kesaksamaan sosial, demokrasi politik, keamanan dan kestabilan, dan autonomi negara. Namun begitu, sebagai sebahagian dari proses mencapai matlamat tersebut, seringkali terjadi konflik di antara satu sama lain. Konflik ini berlaku sama ada dalam kalangan anggota masyarakat mahupun konflik politik antara parti-parti politik untuk mencapai kata sepakat ke arah pembangunan. Ia juga boleh mengundang rasa tidak puas hati oleh segelintir masyarakat ataupun kritikan mahupun kecaman yang datangnya dari negara jiran ekoran daripada pembangunan yang dilaksanakan. Untuk pembacaan yang baik mengenai proses pembangunan sila lih. Yumei Zhang, Pacific Asia: the politics of development, Routledge, London, 2003. Singapore Ordinances, 1959a, Ordinances of 1959, No. 12 of 1959, Section 12(1), 75 Planning, Government Printer, Singapore. Menurut Ordinan Singapura 1959a, pembangunan membawa maksud binaan atau kegiatan ekonomi yang dijalankan di atas tanah atau berlaku perubahan material ke atas tanah atau bangunan. 2 Lucien W. Pye, The concept of political development, The Annals of the American Academy of Political and Social Science, vol. 358, March 1965, hal. 4-13. Perkembangan politik merupakan prasyarat untuk pembangunan ekonomi sesebuah negara yang memerlukan ciri kestabilan dan keupayaan mengawal. 3 Lih. Report of the Committee for Development Planning, Towards accelerated development: proposals for the Second United Nations Development Decade, New York, United Nations, 1970, hal. 1; Lih. juga Resolution 1161 (XXII) on Balanced and Integrated Economic Progress, General Assembly Resolutions concerning social development, Annex 1, New York, United Nations, 1965. Kemajuan ekonomi di kebanyakan negara sedang membangun belum berkembang. Antara alasannya adalah disebabkan oleh krisis politik, yang sepatutnya tumpuan haruslah diberikan kepada pembangunan sosio ekonomi.

PERMASALAHAN KAJIAN: Persoalan Tentang Keselamatan Singapura Terdapat empat elemen utama yang menghambat keselamatan Singapura dan pelaburan Barat. Pertama, sebilangan besar penduduk Singapura terdiri dari golongan pendatang yang berbeza latar belakang agama, kepercayaan, budaya dan adat resam penduduk Melayu di rantau ini. Cabaran dan keadaan yang tidak menentu, mendorong pemerintah memperingat dan memperkatakan tentang jati diri rakyatnya bagi menghadapi setiap ancaman. Kedua, keluasan Singapura hanya 640 km persegi tetapi mempunyai penduduk yang padat sekitar 3 juta orang pada tahun 1960. Menjelang tahun 2005, saiz Singapura bertambah kepada 682.7 km persegi semakin Singapura pesat membangun. Pembesaran wilayah sudah pasti apabila penduduknya meningkat ke angka 4 juta orang4 dengan kepadatan 6,000 orang bagi satu km persegi. Ketiga, Singapura memiliki sumber bahan mentah yang terhad5 bagi menyokong pembangungan ekonomi negaranya. Singapura perlu bergantung kepada negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia yang menjadi sumber hinterlandnya. Dalam hal ini, Singapura perlu memanfaatkan sepenuhnya bakat dan intelek penduduknya. Singapura berusaha melahirkan kumpulan modal insan berkualiti melalui latihan teknikal dan pendidikan mengikut sistem meritokrasi. Keempat, Singapura dikelilingi negara jiran yang besar seperti Indonesia dan Malaysia yang berupaya bersaing dari segi ekonomi dan pertahanan. Dengan pengunduran Tentera British mulai bulan Julai 1967, Singapura beralih pula kepada A.S untuk memastikan kestabilan dan keamanan rantau ini bagi lonjakan ekonominya. Berdasarkan hambatan ini, Singapura menekankan kepada kestabilan politik, kemajuan sosio-ekonomi, kesepaduan sosial, pendidikan dan kemahiran teknikal sejak tahun 1970-an. Dasar dan Pendekatan Singapura Ke Arah Kemajuan Untuk membawa pembangunan ekonomi sesebuah negara, lazimnya pemerintah akan cuba merangka dasar dan pendekatan yang sistematik, konsisten dan efisyen. Peralihan tersebut memerlukan penggabungan ekonomi secara global bagi meningkatkan perdagangan antarabangsa, aliran modal, telekomunikasi, gelombang baru teknologi, anjakan pengeluaran dan tambahan nilai yang tinggi. Justeru, pemerintah melihat kemajuan Singapura dalam skop yang lebih luas. Ia bukan sahaja melihat kedudukan Singapura yang strategik dalam kepompong domestik semata-mata yang dilingkungi lautan yang terbentang luas di sebelah timur (Laut China Selatan) dan di sebelah barat (Lautan Hindi). Kedua-dua lautan ini amat penting dari segi kedudukannya yang strategik dalam dunia perniagaan, komunikasi dan keselamatan yang menghubungkannya antara Timur-Barat. Oleh itu, penguasaan teknologi dan telekomunikasi amat penting kepada Singapura selain memperkukuhkan kekuatan angkatan tenteranya serta jatidiri sebagai rakyat Singapura. Dengan kekayaan yang dimilikinya, Singapura berupaya memiliki teknologi dan alat telekomunikasi syarikat asing untuk tujuan ekonomi dan pertahanan serta mengilhamkan Singapura sebagai sebuah bandaraya global. Menerusi pemikiran ini, pemerintah cuba memanfaatkan lokasi strategik Singapura serentak peranannya sebagai bandaraya pelabuhan pelbagai fungsi. Untuk merealisasikan hasrat ini, Singapura perlu membangunkan ekonomi lebih hebat dari era kolonial British sepertimana British pernah bercita-cita mengenainya tetapi tidak berusaha melakukan perubahan drastik atas alasan kewangan. Maka, satu pendekatan yang boleh merancakkan pertumbuhan ekonominya ialah melalui syarikat gergasi antarabangsa (MNC)
4 5

Bilangan penduduk Singapura pada Julai 2004 ialah 4,353,893 (est.). Dipetik dlm. Stephen Libiszewski, What is an environmental conflict? Environment and Conflict Project, Centre for Security Studies and Conflict Research, Swiss, Federal Institute of Technology Swiss Peace Foundation, Bern/Zurich, Occasional Paper, No. 1, July 1992, hlm. 1-16. Terdapat 4 jenis sumber dikatakan terhad; 1) sumber asli tidak mencukupi; 2), pergantungan kepada sumber asli negara lain; 3), ketidakseimbangan kuasa dalam masyarakat; dan 4), penurunan kualiti alam sekitar.

3
yang menawarkan Pelaburan Langsung Asing (FDI) sebagai model baru pelaburan seperti industri pembuatan, perkhidmatan dan pelancongan dan melebarkan sayapnya di luar negara. Melalui kaedah ini, Singapura cuba meningkatkan kekayaan bagi menarik MNC melabur modal dalam sektor industri melalui pengenalan teknologi baru, penjenamaaan, pengurusan dan sebagainya. Mengikut model baru ini, syarikat perlu mewujudkan koordinasi dalam organisasi input seperti pengetahuan, kemahiran dan kerja berpasukan dan menguasai ekonomi berlandaskan pengetahuan untuk mengeksploitasi potensi dalam proses teknologi. Oleh itu, pemerintah cuba memastikan tenaga kerja yang mampu saing. Ia juga bimbang dengan nasib masa hadapannya jika sistem ekonomi antarabangsa tergugat. Beberapa perkembangan dunia dan persekitaran yang tidak menentu di rantau ini dibimbangi akan menjejaskan ekonomi Singapura. Berlandaskan kepada senario tersebut, pemerintah mengharapkan pertumbuhan ekonomi Singapura bergerak pantas supaya tidak dipintas dalam persaingan serantau mahupun antarabangsa. Singapura cuba memperluaskan aktiviti perdagangan dan pengantarabangsaan modal di luar rantau Asia Tenggara melalui syarikat gergasi milik Singapura serta penglibatan syarikat milik pemerintah (GLC) seperti Temasek Holdings di luar negara. Melalui aktiviti perdagangan dan pengantarabangsaan modal, kekayaan dapat dicipta untuk pelbagai tujuan sama ada kemampuan menguasai sumber mahupun keupayaan memiliki aset yang penting. seperti pembelian satelit Optus dari Australia. Latar Belakang Masyarakat Singapura semasa British 1819-1959 Sejak pembukaan Singapura tahun 1819, ia mula berkembang sebagai sebuah pelabuhan entreport di rantau dunia Melayu. British meningkatkan keupayaan dan fungsi pelabuhan Singapura sebagai pusat perdagangan entreport di rantau6 ini kerana kepentingan Singapura kepada British di sebelah Timur. Antara usaha awal yang dilakukan British sejurus menduduki Singapura ialah memperkukuhkan pertahanan, melaksanakan pelan penstrukturan bandar Singapura, perundangan dan penambakan tanah. Sebagai langkah pertama, Raffles telah mengisytiharkan Singapura sebagai pelabuhan dan pusat perdagangan bebas 7 bagi menarik kehadiran pedagang ke pulau tersebut. Jaminan keselamatan serta kemudahan yang ditawarkan oleh British telah menarik minat orang Cina dari Negeri-Negeri Selat (NNS) serta puluhan ribu buruh Cina dari Selatan China. British juga berusaha memperkukuhkan kawalannya ke atas Selat Melaka dan Selat Singapura dengan meningkatkan keupayaan militer serta kemajuan Singapura. Setelah menduduki Singapura hampir 140 tahun. British percaya dapat mengekalkan kedudukan mereka di Singapura untuk kekal di Asia Tenggara. Justeru, sejak awal pendudukan British di Singapura, mereka memberi perhatian utama kepada soal keselamatan serta kestabilan Singapura di rantau ini demi menjamin kelangsungan kuasa. Matlamat British juga mahu melihat Singapura mempunyai identiti tersendiri agar orang Cina memberikan kesetiaan kepada negara yang baru itu. British ingin membina Singapura sebagai sebuah bandaraya yang menarik mengatasi Negara China supaya kaum Cina tidak lagi berpaling kesetiaan mereka ke negara asal. Namun, terdapat beberapa kekangan untuk merealisasikan hal ini seperti kebimbangan British mengenai corak masyarakat pelbagai kaum di Singapura kerana sebahagian besar masyarakatnya berasal dari golongan pendatang. Menyedari hakikat ini, pemerintah mewujudkan sistem pendidikan nasional dan idea kepelbagaian budaya untuk menyatukan masyarakat berbilang kaum di Singapura sebagai langkah terbaik ke arah matlamat tersebut.8 Sebagai tunggak kekuatan tersebut, Lee menekankan pembangunan ekonomi berlandaskan budaya kerja baru seperti kawalan, keberkesanan, keuntungan dan
6 7

CO 273/156, Report of Committee on Colonial Military Contribution, 11 Ogos 1888, hlm. 797. C.H. Wake, Raffles and the Rajahs: the founding of Singapore in Malaya and British colonial history, JMBRAS, Jil. 49, Bil. 1, 1975, hlm. 52. 8 Sikko Vischer, Business, ethnicity and state: the representational relationship of the Singapore Chinese Chamber of Commerce and the state, 1945-1997, Academisch Proefschrift, de Vrije Universiteit Amsterdam, 4 Oktober 2002, hlm. 27, 29.

4
akauntabiliti. Ini termasuk meningkatkan kawalan melalui penguatkuasaan peraturan dan undang-undang. Kemajuan dan Pembangunan Singapura 1990-2005 Sebagai negara kecil, Singapura berusaha mengekalkan kedaulatannya agar ia tidak disisihkan hanya kerana disebabkan saiz serta peranannya yang kecil di arena antarabangsa. Oleh itu, pemimpin Singapura berharap dengan kemajuan yang berterusan, Singapura tidak mudah diperkotak-katikkan oleh kuasa besar atau kuasa sederhana. Setelah berkuasa pada tahun 1959, PAP telah mewarisi pelbagai masalah dan kepincangan politik, ekonomi dan sosial yang melambatkan pembangunan Singapura. Untuk memahami dilema ini, kita harus memahami peranan ekonomi Singapura di peringkat serantau dan antarabangsa sejak era kolonial hingga pasca kolonial. Lee memberi penekanan kepada pendidikan sebagai wadah meningkatkan taraf hidup, prestij dan status supaya melahirkan sumber insan berguna dan dapat mewujudkan organisasi dan kepimpinan yang bijak sebagai ciri asas kepada kelangsungan dan kemajuan Singapura. Untuk memastikan pertumbuhan ekonomi yang berterusan, Singapura harus menggunakan kekuatan dan kebijaksanaan sumber modal insan yang dimilikinya. Justeru, ia mesti dimulakan dengan kebijaksanaan akal dan tingkahlaku melalui pendidikan dan perubahan institusi. Tanpa ciri-ciri tersebut, sukar untuk memahami perkembangan ekonomi dunia. Ia memerlukan perancangan untuk melahirkan rakyat yang bijak menentukan masa hadapan negara. Dari sudut sekuriti ekonomi, demi keseimbangan politik serantau dan kestabilan nadi ekonominya, negara itu perlu berhubung rapat dengan dunia luar. Atas faktor ini, Singapura mempersoalkan bagaimana ia mampu meneruskan kelangsungannya tanpa bergantung sepenuhnya kepada Malaysia atau Indonesia yang berfungsi sebagai kawasan hinterlandnya yang membekalkan sumber bahan mentah bagi keperluan industri Singapura, sepertimana dasar eksport semula ke negara jiran sewaktu era British dengan mengeksploitasi sumber bahan mentah dari Tanah Melayu. Bagi menyusun semula ekonominya, Singapura melancarkan Pelan Pembangunan Ekonomi 1961-65 yang cuba mengorak langkah ke arah negara industri. Namun, Singapura terpaksa akur kepada perubahan teknologi, keupayaan sumber, struktur sosial serta keupayaan berdaya-saing dalam dunia kompetitif. Sejarah menunjukkan perubahan teknologi adalah penting dalam arena ketenteraan, politik dan ekonomi. Ia bertindak sebagai alat kuasa dan pendekatan merangka dasar. Bagi mengatasi kekurangan tersebut, pemerintah perlu beralih kepada industri berintensifkan modal dengan meningkatkan penggunaan teknologi supaya mampu menerokai revolusi industri kedua di Singapura menjelang tahun 1990. TUJUAN KAJIAN Berdasarkan kepada perbincangan di atas, penulis ingin mengajak pembaca merenung dan memikirkan pentingnya pembangunan dan kemajuan kepada sesebuah negara terutama bagi sebuah negara yang baru merdeka yang berhadapan dengan pelbagai masalah politik, ekonomi dan sosial. Melalui penulisan ini, penyelidikan ke atas proses pembangunan dan kemajuan sesebuah negara seperti Singapura perlu dilihat secara menyeluruh terutamanya hambatan yang dihadapi oleh negara itu selepas berlaku peralihan kuasa daripada pentadbiran kolonial kepada pemerintahan tempatan. Menyedari hakikat ini, pemerintah tempatan melihat program pembangunan dan kemajuan yang berterusan mampu mengekalkan kelangsungannya melalui pelbagai dasar dan pendekatan yang efisyen. Tulisan ini dapat menilai bagaimana Singapura bertindak dalam menghadapi segala cabaran dan rintangan di sekelilingnya di rantau dunia Melayu. Justeru, pemimpin Singapura mengambil iktibar daripada kejatuhan sesebuah empayar adalah disebabkan kealpaan kepada kekuatan politik, ekonomi dan kesepaduan sosial. Oleh itu, pemerintah Singapura telah melihat idea pembangunan merupakan jalan keluar kepada segala permasalahan Singapura.

5
SKOP KAJIAN Penulis telah memulakan skop kajian bermula tahun 1990 dan berakhir pada tahun 2005. Justeru itu, latar belakang sejarah Singapura perlulah diketahui bagi melihat punca yang menyebabkan Singapura berhadapan dengan pelbagai permasalahan di peringkat awal pemerintahan di bawah parti PAP. Hambatan tersebut tidak terhenti setakat menyelesaikan permasalahan di peringkat awal tetapi keupayaan pemimpin Singapura melihat potensi Singapura yang lebih besar; yang tidak pun disedari atau diabaikan oleh pihak kolonial British semasa Singapura berstatus Crown Colony. Pemimpin Singapura cuba mengekalkan legasi Singapura yang dibina oleh British untuk disambung pula oleh generasi seterusnya bagi kelangsungan negara itu di rantau ini. ULASAN LITERATUR Tulisan mengenai Singapura telah banyak dilakukan oleh penulis sebelum ini tetapi kebanyakannya kajian bersifat kuantitatif sahaja. Hal ini diakui ramai sarjana di Singapura dan di luar Singapura. Bagi menjelaskan aspek pembangunan dan keselamatan Singapura, ramai sarjana memberi pelbagai analisis dan pandangan. Antara lain, Edgar H. Schein, Strategic Pragmatism, menjelaskan bahawa kejayaan yang dicapai Singapura terletak kepada strategi pembangunannya yang mampu saing dengan negara maju yang lain. Kejayaannya juga terletak kepada lokasinya yang strategik di rantau ini. Justeru, pemerintah Singapura telah menyedari tentang potensi yang ada pada negara kecil itu selain dari lokasinya negara itu juga memiliki asetnya yang penting seperti lapangan terbang dan pelabuhan serta telekomunikasi. Kelebihan ini telah menjadikan Singapura sebagai pusat serantau dan bandaraya global di Asia Tenggara. Schein cuba menjelaskan juga bagaimana dasar pembangunan yang dilaksanakan oleh agensi di bawah Economic Development Board (EDB) telah berjaya mencorakkan Singapura ke arah pembangunan dan kemajuan yang berterusan. 9 Tulisan Lily Zubaidah A. Rahim, The Singapore Dilemma: The Political and Educational Marginality of the Malay Community, menyentuh isu keciciran dan peminggiran orang Melayu di Singapura. Beliau menyalahkan pemerintah berhubung beberapa dasar pemerintah yang tidak banyak membantu orang Melayu sama ada dalam bidang politik, ekonomi mahupun pendidikan.10 Pemerintah mengesyorkan supaya setiap kaum mempertingkatkan taraf pendidikan masing-masing bagi melahirkan modal insan yang berkualiti yang boleh membantu pembangunan dan kemajuan Singapura. Dalam buku beliau, From Third World to First, The Singapore story: 1965-2000, citacita Lee Kuan Yew adalah untuk melihat Singapura membangun dari sebuah negara yang tidak mempunyai sumber alam semulajadi yang banyak beralih menjadi sebuah negara yang maju menjelang 1999.11 Lee menyatakan beliau menulis buku ini untuk tatapan generasi muda supaya mereka faham tentang kedudukan Singapura sebenarnya di rantau ini.12 Bagi Lee, penduduk perlu melalui peralihan pemikiran yang dapat merobah cara berfikir dan meningkatkan kualiti hidup serta mampu saing di peringkat global. Buku Carl A. Trocki bertajuk Singapore: wealth, power and the culture of control, menyingkap kunjungan pertama kalinya ke Singapura pada bulan Disember 1964. Beliau mendapati bandaraya Singapura tidak mempunyai satu hala tuju dan identiti yang jelas. Singapura memerlukan satu transformasi sebagai pusat perdagangan di rantau ini. Bagi terlaksana matlamat ini, Singapura juga perlu berinteraksi dengan persekitaran di sekeliling mereka dan tidak boleh menyisih diri dari dunia Melayu.13
9

Edgar H. Schein, Strategic pragmatism: the culture of Singapores Economic Development Board, Toppan Company (S) Pte. Ltd., Singapore, 1996, hlm. vii-x. 10 Lily Zubaidah A. Rahim, The Singapore dilemma: the political and educational marginality of the Malay community, Oxford University Press, Oxford, (Third impression), 2001, hlm. vii-viii, 1-3. 11 World Bank, World Development Report 1997, Oxford University Press, New York, 1997. 12 Lee Kuan Yew, From Third World to First, hlm. 11. Lih. Foreword by Henry A. Kessinger, dlm. Ibid., hlm. 8. 13 Michael Leifer, Singapores foreign policy: coping with vulnerability, London, 2000, hlm. 72.

6
Tulisan Michael Leifer, Singapore Foreign Policy: Coping with Vulnerability, cuba menjelaskan bagaimana Singapura mengendalikan dasar luarnya selari dengan pembangunan ekonomi dan perancangan bandar sejurus berpisah dari Malaysia. Singapura mula memikirkan dasar luarnya yang lebih agresif dan tidak memandang ringan status kedaulatan negara itu. Singapura menjalinkan rangkaian hubungan dengan kuasa Barat dan terlibat dalam hubungan diplomatik dengan negara serantau termasuk negara-negara di Asia-Pasifik sebagai langkah cuba memperbanyakkan sekutu dan menyelamatkan kedaulatan negara. Singapura mewujudkan Pelan Pertahanan14 sejak tahun 1966 sebagai langkah mengelak perang. Ia berupaya menarik pelaburan luar terutama dari Barat serta mampu meningkatkan peranan sebagai hub pelaburan, kewangan dan perkhidmatan di rantau ini. Singapura mula berjinakjinak dengan China kerana kepentingan ekonomi dan pertalian budaya bagi jaminan pelaburan asing.15 Dalam aspek peningkatan pelaburan, Garry Rodan menjelaskan bahawa Singapura perlu melangkah lebih jauh untuk membawa masuk pelaburan asing melalui program perindustrian tahap kedua yang bermula pada tahun 1979. Langkah ini bertujuan untuk meningkatkan status Singapura sebagai sebuah hub teknologi berdaya maju di peringkat antarabangsa yang baru (NIDL).16 Tindakan Singapura mengekalkan belanjawan tahun 1997 membimbangkan negara jiran serta mengundang kritikan banyak pihak. Dalam hal ini, Lee menyatakan, Pertelingkahan pada hari ini adalah melalui kadar bunga, matawang dan keberkesanan pasaran [sebagai cara mencipta kekayaan dan pengaruh], dan bukan melalui kekuatan angkatan tentera, empayar atau ideologi. KEPENTINGAN KAJIAN Dari segi kesignifikan kajian, tulisan ini dapat mengenalpasti permasalahan Singapura yang sebenarnya. Meskipun, Singapura sebuah negara kecil, hambatan yang dihadapinya besar dan penuh cabaran. Hal ini dapat dilihat kepada banyak isu yang diketengahkan oleh penulis yang merangkumi isu politik, ekonomi dan sosial. Isu-isu ini adalah penting dikaji kerana kaitannya dengan negara jiran serta ia boleh mencorakkan hala tuju serta kelangsungannya di rantau ini bagi masa hadapan Singapura. PENUTUP Tulisan ini menjelaskan bagaimana Singapura mencorakkan hala tuju negaranya sejak tahun 1959 hingga tamat Perang Dingin pada tahun 1990. Sejak tahun 1990, banyak perubahan politik, sosio ekonomi dan budaya telah mencorakkan sedikit sebanyak momentum dan kesannya kepada negara-negara jiran, Malaysia dan Indonesia, khususnya dan negara-negara serantau, amnya.

BIBLIOGRAFI
14

Tim Huxley, Defending the Lion City: the armed forces of Singapore, Allen and Unwin, Australia, 2000, hlm. 11-20, 70 15 Letter from Dato D.J. Puthucheary to En. Said Zahari, via fax 7325986 and post, 14.8.97, hlm. 3. 16 Garry Rodan, The political economy of Singapores industrilization: national state and international capital, Mac Millan Press, England, 1989, hlm. xiii-xvii.

CO 273/156. 1888. Report of Committee on Colonial Military Contribution. 11 Ogos. Huxley, Tim. 2000. Defending the Lion City: the armed forces of Singapore. Australia: Allen and Unwin. Lily Zubaidah A. Rahim. 2001. The Singapore dilemma: the political and educational marginality of the Malay community. Oxford: Oxford University Press. (Third impression). Lee Kuan Yew, From Third World to First: the Singapore story 1965-2000. Singapore: Times Edition. Leifer, Michael. 2000. Singapores foreign policy: coping with vulnerability. London. Letter from Dato D.J. Puthucheary to En. Said Zahari. Via Fax 7325986 and Post. 14.8.97.

Libiszewski, Stephen. 1992. What is an environmental conflict? Environment and Conflict Project. Centre for Security Studies and Conflict Research. Bern/Zurich: Swiss. Federal Institute of Technology Swiss Peace Foundation. Occasional Paper. No. 1. July. Pye, Lucien W. 1965 The concept of political development. The Annals of the American Academy of Political and Social Science. Vol. 358. March. Report of the Committee for Development Planning. 1970. Towards accelerated development: proposals for the Second United Nations Development Decade. New York: United Nations. Resolution 1161 (XXII) on Balanced and Integrated Economic Progress. 1965. General Assembly Resolutions concerning social development. Annex 1. New York: United Nations.
Rodan, Garry. 1989. The political economy of Singapores industrilization: national state and international capital. England: Mac Millan Press. Schein, Edgar H. 1996. Strategic pragmatism: the culture of Singapores Economic Development Board. Singapore: Toppan Company (S) Pte. Ltd.

Singapore Ordinances. 1959. Ordinances of 1959. No. 12 of 1959. Section 12(1). 75. 1959a. Planning. Singapore: Government Printer. Vischer, Sikko. 2002. Business, ethnicity and state: the representational relationship of the Singapore Chinese Chamber of Commerce and the state, 1945-1997. Academisch Proefschrift. Amsterdam: de Vrije Universiteit. 4 Oktober. Wake, C.H. 1975. Raffles and the Rajahs: the founding of Singapore in Malaya and British colonial history. JMBRAS. Jil. 49. Bil. 1.
World Bank. 1997. World Development Report. New York: Oxford University Press. Yumei Zhang, 2003. Pacific Asia: the politics of development. London: Routledge.

Dr. Suhaimi Abdan (suhabdan@yahoo.com) Prof. Dr. Nordin Hussin (nordin@pkrisc.cc.ukm.my)

You might also like