Jamaah menurut bahasa boleh diertikan : "Sekelompok besar manusia
atau sejumlah besar manusia yang mempunyai tujuan (matlamat) yang sama". . Menurut istilah syara pula jamaah ialah : "Kumpulan orang-orang Islam yang menyepakati (memilih atau melantik) seorang Amir". Terdapat beberapa ayat dan hadith-hadith sahih yang boleh dijadikan hujah untuk menguatkan pengertian dan maksud jamaah menurut definisi di atas. Jamaah wajib diwujudkan oleh setiap orang yang beriman. Atau dengan istilah lain, setiap mukmin wajib berjamaah. Terdapat banyak hujah-hujah dari syara yang mewajibkan setiap orang yang beriman supaya berjamaah dan diharamkan dari berpecah-belah. Antara hujah- hujah tersebut ialah firman Allah s.w.t: "Hai orang-orang yang beriman! Taatilah Allah, taatilah Rasul dan Ulilamri (Amir) di antara kamu. Kemudian jika kamu berselisih pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (al- Quran) dan Rasul (al-Hadith) jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Akhir". AN-NISAA', 4:59. "Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai (berpecah-belah) dan berselisih setelah sampai keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat seksa yang berat". ALI IMRAN, 3:105. "Dan janganlah kamu menjadi orang-orang yang mempersekutukan (mensyirikkan) Allah, iaitu (dengan menjadikan diri kamu seperti golongan) orang-orang yang memecah-belah agama mereka, (iaitu dengan cara) mereka mengadakan (lagi) beberapa golongan. Tiap-tiap golongan merasa bangga dengan apa yang mereka punyai". AR-RUM, 30:31-32. Allah s.w.t dan RasulNya telah mewajibkan kepada semua umat Islam supaya mengwujudkan perpaduan dalam satu jamaah. Islam mengharamkan kekucar-kaciran serta perpecahan dalam semua aspek kerana ia akan melemahkan kekuatan jamaah. Jamaah Islam diumpamakan sebagai sebatang tubuh. Sebagaimana hadith Nabi s.a.w: "Diriwayatkan daripada Nu'man bin Basyir r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda : Perumpamaan orang-orang mukmin dalam hal berkasih sayang dan saling cinta-mencintai adalah seperti sebatang tubuh. Apabila salah satu anggotanya mengadu kesakitan, maka seluruh anggota tubuh yang lain turut merasa sakit" H/R Bukhari. Orang-orang yang keluar dari jamaah, berpecah-belah atau mengarah kepada perpecahan telah disamakan hukumnya ke atas mereka oleh syara dengan kedudukan orang-orang melakukan bid'ah atau kafir yang musyrik. Kewajiban bersatu dalam satu jamaah dan larangan dari bercerai-berai (berfirkah) dapat dibaca dan difahami dari nas-nas (hujah-hujah atau dalil-dalil) dari al-Quran dan al-Hadith. Sebagaimana firman Allah s.w.t: "Dan berpegang teguhlah kamu semua kepada tali Allah (bersatu), dan janganlah kamu berpecah-belah (bercerai-berai)". ALI IMRAN, 3:103. Kejayaan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w bermula dengan mewujudkan jamaah. Setelah terbina jamaah Nabi Muhammad s.a.w memberi peringatan kepada anggota jamaah supaya jangan berpecah belah. Perpecahan adalah kecelakaan di dunia dan di akhirat. Kerana mereka yang berpecah akan keneraka. Sebagaimana hadithnya: "Sesungguhnya penganut agama dua kitab (Yahudi dan Nasrani) terpecah menjadi 72 golongan. Dan sesungguhnya umat ini (umat Islam) akan berpecah kepada 73 golongan. Semua golongan tersebut ke neraka, kecuali satu, iaitu jamaah. Diriwayat yang lain disebut: Para sahabat bertanya: Siapa golongan tersebut wahai Rasulullah? Baginda bersabda: (Jamaah) yang mengikuti jalanku dan jalan para sahabatku". H/R Turmizi Nabi juga telah menunjukkan kepada kita ciri-ciri mubtadi' (pembuat bid'ah) yang akan ke neraka dan juga sifat-sifat atau perangai ahli neraka. Antara ciri-ciri, sifat, tanda-tanda atau kriteria tersebut dapat dikenali apabila terdapat pada diri seseorang sifat atau sikap yang hanya mementingkan diri sendiri, tidak mahu berjamaah, suka kepada perpecahan, mudah mengambil sesuatu tindakan yang boleh membawa perpecahan kepada jamaah Islamiah dan tidak memperdulikan tentang jamaah. Keterangan dan penjelasan ini dapat difahami melalui hadith di atas dan hadith-hadith sebagaimana di bawah ini: "Bangsa Yahudi berpecah menjadi tujuh puluh satu golongan, yang satu ke syurga, sedangkan yang tujuh puluh ke neraka. Bangsa Nasrani terpecah menjadi tujuh puluh dua golongan, tujuh puluh satu ke neraka dan satu ke syurga. Demi Allah, yang jiwa Muhammad berada di tanganNya, sesungguhnya umatku akan berpecah menjadi tujuh puluh tiga golongan, satu golongan masuk syurga dan yang tujuh puluh dua ke neraka. Para sahabat bertanya, siapakah mereka itu wahai Rasulullah? Beliau menjawab : Al-jamaah". H/R Ibn Majah. Menurut al-Bani hadith di atas hasan. "Dan umatku akan berpecah (bercerai-berai) menjadi tujuh puluh tiga aliran, semuanya akan ke neraka, kecuali satu. Para sahabat bertanya : Siapakah golongan itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab : Mereka ialah orang yang seperti aku dan para sahabatku". H/R Turmizi. Ibn Taimiyah menjelaskan hadith ini adalah sahih. Hujah-hujah dan pembuktian bahawa orang-orang yang berpecah (keluar) dari jamaah atau berfirkah (bercerai-berai) adalah pelaku bid'ah yang akan dihumbankan ke neraka memang tidak dapat dinafikan. Kerana hujah dan dalil-dalil yang menjelaskan tentang kesahihannya perkara atau isu seperti itu terlalu banyak. Antaranya ialah hadith-hadith di atas dan seterusnya hadith-hadith di bawah ini: "Sesiapa yang tidak menyukai sesuatu dari pemimpinnya, hendaklah ia bersabar. Maka sesungguhnya sesiapa yang keluar dari ketaatan pemimpin (jamaah) walaupun sejengkal, maka jika ia mati, matinya di dalam jahiliah". H/R al-Bukhari. Mati jahiliah adalah mati di dalam kekafiran, kesyirikan atau kesesatan. Tempatnya di akhirat kelak jika tidak bertaubat semasa di dunia ialah di neraka, kekal di dalamnya untuk selama-lamanya. Sebenarnya Allah telah menyeru agar kita mati dalam keadaan Islam yang beriman, bukan mati di dalam keadaan kekafiran jahiliah yang sesat, walau apapun punca dan bentu kekafiran tersebut kerana semua perbuatan seperti itu akan merugikan. Sebagaimana firmanNya: "Hai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar takwa, dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan dalam keadaan Islam". ALI IMRAN, 3:105 Hujah-hujah yang seterusnya tentang wajibnya orang-orang beriman supaya tidak meninggalkan jamaah, serta larangan (pengharaman) dari berpecah belah kerana perpecahan akan membawa akibat matinya seseorang itu di dalam keadaan kafir atau jahiliah sehingga menyebabkannya kekal di neraka. Maka hujah-hujah tersebut ialah sebagaimana firman Allah di bawah ini: "Sesiapa yang melihat sesuatu yang tidak menyenangkan pada diri amirnya, maka hendaklah ia bersabar. Kerana sesiapa yang meninggalkan jamaah walaupun hanya sejengkal sahaja, lantas dia mati, maka matinya itu dalam keadaan jahiliah". (H/R al-Bukhari.) Syara tetap menghukum sebagai kafir dan mati jahiliah kepada sesiapa yang mati dalam keadaan matinya ia telah keluar dari jamaah (tidak berjamaah). Sama ada keluar seorang diri, keluar kerana menubuhkan jamaah yang baru, keluar kemudian menghasut orang yang berjamaah supaya meninggalkan jamaah, atau keluar untuk mengkucar-kacirkan jamaah yang telah sedia ada demi kepentingan sesuatu atau kepentingan dirinya. Sesiapa yang bertindak atau melakukan perbuatan sebagaimana yang dinyatakan ini, maka syara telah mengarahkan supaya diambil tindakan hukum bunuh terhadap mereka yang melakukan jenayah yang terkutuk tersebut, kerana ia dengan jelas telah kufur (kafir) dan menentang jamaah Islamiah. Sebagaimana keterangan dari hadith di bawah ini: "Tidak dihalalkan darah (membunuh) seorang muslim yang bsrsyahadah bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan bahawasanya aku Rasulullah, kecuali dengan salah satu dari tiga perkara. Iaitu : Nyawa (bunuh) dibalas dengan nyawa (bunuh), orang tua yang berzina dan orang yang meninggalkan agamanya iaitu dengan (cara) meninggalkan jamaah".( H/R al-Bukhari.) "Maka barangsiapa yang kamu lihat meninggalkan jamaah atau bermaksud memecah-belahkan urusan (kesatuan) jamaah, atau bermaksud memecah- belahkan urusan (kesatuan) umat Muhammad, siapapun orangnya, hendaklah kamu membunuhnya. Sesungguhnya tangan Allah bersama jamaah". (H/R Muslim). "Dari Huzaifah bin al-Yaman beliau berkata : Orang-orang bertanya kepada Rasul s.a.w tentang kebaikan, dan aku pula menanyakan tentang keburukan, kerana aku khuatir menemui keburukan itu. Aku bertanya : Apakah yang engkau perintahkan kepadaku jika aku menemui keadaan itu? Beliau bersabda : Hendaklah kamu iltizam (istiqamah/komited) dengan Jamaah Muslimin dan pemimpin mereka".( H/R al-Bukhari). "Dari Anas berkata : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : Hendaklah kamu dengar dan taatkan (Amir) sekalipun kamu diperintah (dipimpin) oleh seorang hamba Habasyi yang rambutnya seperti anggur kering".( H/R al-Bukhari dan Muslim). "Barangsiapa mentaatiku, maka ia telah mentaati Allah. Dan barangsiapa bermaksiat kepadaku, maka ia telah bermaksiat kepada Allah. Barangsiapa mentaati Amirku (pemimpin jamaah) maka ia telah mentaatiku. Dan barangsiapa membangkang kepada Amirku, maka ia telah membangkang kepadaku". (H/R al-Bukhari, Muslim, Ibn Majah, Nasaii dan Ahmad). "Dari Ali beliau berkata : (Bersabda Rasulullah) Putuskanlah (hukum) sebagaimana kamu pernah putuskan, sesungguhnya aku benci perselisihan, (bentuklah) sehingga ada jamaah bagi manusia atau aku meninggal sebagaimana meninggalnya para sahabatku (yang berjamaah)". (H/R al Bukhari dan Muslim). "Dari Ummu Salamah berkata : Rasululah s.a.w bersabda : Kamu akan diperintahkan oleh para pemimpin yang kamu kenal (tidak baik) dan kamu mengingkarinya. Mereka bertanya? : Apakah kami memerangi mereka? Rasulullah menjawab : Jangan (kamu bunuh) selama mereka mendirikan sembahyang".(H/R Muslim). "Dari Mu'az bin Jabal dari Rasulullah s.a.w : Sesungguhnya syaitan adalah serigala bagi manusia, seperti serigala bagi kambing yang memakan kambing yang keluar dari kawannya dan menyendiri. Oleh kerana itu, jauhilah perpecahan, dan hendaklah kamu bersama jamaah dan orang umum". (Hadith sahih riwayat Ahmad). "Dari Abi Dzar berkata : Bersabda Nabi s.a.w : Dua orang lebih baik daripada satu orang, tiga orang lebih baik dari dua orang, empat orang lebih baik daripada tiga orang, maka hendaklah kamu berjamaah, kerana sesungguhnya Allah tidak menghimpunkan umatku kecuali di atas petunjuk". (H/R Ahmad dan Turmizi). "Dari Jabir bin Samurah berkata : Umar pernah berkhutbah di khalayak manusia..... Barangsiapa di antara kamu menginginkan kenikmatan syurga, maka hendaklah ia sentiasa iltizam (istiqamah) dengan jamaah. Bahawasanya syaitan berserta orang yang menyendiri, dan dengan dua orang lebih jauh". (Hadith marfu, riwayat Ahmad dan Ibn Majah). Di dalam hadith Bukhari, Nabi Muhammad s.a.w telah memberitahu akan tibanya suatu masa di mana jamaah Muslimin tidak lagi kedapatan di tengah-tengah kehidupan umat manusia. Seandainya ini berlaku kepada umat yang dimaksudkan, maka Nabi Muhammad s.a.w telah mengajar supaya orang yang beriman membuat pilihan yang betul, iaitu: "Maka apa yang baginda perintahkan kepadaku sekiranya menemui keadaan (zaman) tersebut? Baginda bersabda : Hendaklah kamu iltizam (istiqamah) bersama Jamaah Muslimin dan pemimpin mereka. Aku bertanya? Jika mereka tidak mempunyai jamaah dan pemimpin mereka? Baginda bersabda : Tinggalkanlah semua kelompok-kelompok perpecahan tersebut sekalipun kamu terpaksa menggigit akar pohon". (H/R al- Bukhar)i "Dan ikutilah golongan yang majoriti (berjamaah), kerana barangsiapa menyendiri ia akan menyendiri pula dalam neraka". (H/R al-Hakim). Allah mewajibkan agar kita menjadi umat yang satu (bersatu-padu dalam satu jamaah). Kerana dengan adanya jamaah yang satu, amir yang satu dan manhaj yang satu, maka dengan merealisasikan cara itu kita telah menepati seruan Allah yang mewajibkan kita bersatu. Dan itulah juga yang dinamakan oleh Allah s.w.t sebagai umat yang satu. Sebagaimana firmanNya: "Sesungguhnya inilah umatmu, umat yang satu dan Akulah Tuhanmu, maka hendaklah kamu sekalian hanya menyembah Aku". AL-AMBIA', 21:92. "Dan sesungguhnya inilah umatmu, umat yang satu, dan Akulah Tuhanmu, maka hendaklah kamu takut kepadaKu". AL-MUKMINUN, 23:52. Bukti yang menunjukkan bahawa seseorang itu telah bersatu atau berjamaah ialah apabila ia mempunyai perasaan kasih sayang antara sesama mukmin yang disimpulkan oleh Allah dengan istilah persaudaraan. Dan sentiasa mahu bersama serta bekerjasama dalam jamaah yang berlandaskan al-Quran dan sunah. Sebagaimana firman Allah "Sesungguhnya orang-orang mukmin adalah bersaudara, oleh kerana itu damaikanlah antara kedua saudaramu dan bertakwahlah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat". AL-HUJARAT, 49:10. "Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain". AT- TAUBAH, 9:71.
dan sabda Nabi s.a.w:
"Kamu lihat kaum Muslimin dalam berkasih-kasihan, saling mencintai dan saling menyayangi, adalah bagaikan satu jasad (tubuh), yang apabila ada salah satu yang sakit, maka seluruh jasad tidak dapat tidur dan merasa demam". (H/R al-Bukhari, Muslim dan Ahmad). "Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya : Nabi s.a.w telah bersabda: Tidak sempurna iman seseorang itu, sebelum dia mengasihi saudaranya atau baginda bersabda: Sebelum dia kasihkan jiran tetangganya, sebagaimana dia kasihkan dirinya sendiri (H/R Bukhari).