You are on page 1of 4

FAKTOR MELAYU MASIH MUNDUR

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL


(WARTAWAN UTUSAN)

TIADA apa yang menghairankan daripada hasil kajian Jabatan Perangkaan


Malaysia yang mendedahkan bahawa sebanyak 301,000 isi rumah orang Melayu
memperoleh pendapatan di bawah RM1,000 sebulan.

Pendedahan berdasarkan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah (HIS) itu hanyalah


penegasan berulang bahawa orang Melayu yang merupakan kaum majoriti di
negara ini sememangnya jauh ketinggalan daripada sudut ekonomi dengan
kaum minoriti lain.

Hakikatnya orang Melayu terutamanya mereka yang tinggal di kawasan luar


bandar serta segelintir mereka yang menetap di bandar besar, masih ramai
tergolong dalam kumpulan di bawah paras kemiskinan.

Malah, bukanlah sesuatu yang janggal juga jika dikatakan terdapat orang Melayu
yang tidak mempunyai pendapatan tetap, serta hidup ibarat kais pagi makan
pagi, kais petang makan petang.

Dengan pendapatan yang tidak seberapa, kemampuan untuk menyediakan


sebuah kehidupan yang berkualiti kepada seluruh isi keluarga juga pastinya
sangat terhad. Dalam serba kekurangan, ia memberikan lebih cabaran
terutamanya bagi keluarga besar, lebih-lebih lagi yang tinggal di bandar serta
kawasan-kawasan pinggiran bandar.

Daripada soal makanan, tempat tinggal, pakaian, kesihatan, pendidikan dan


pelbagai keperluan asas lain, semuanya terpaksa ditempuh seadanya.

Paling menyedihkan apabila masa depan pendidikan anak-anak juga terpaksa


diperjudikan, sementelah ketika ini terdapat pula syarat untuk ibu bapa
mencarum bagi pendidikan anak-anak mereka sebelum boleh diberikan pinjaman
pendidikan pada masa depan.

Dalam keadaan sudah terbeban untuk meneruskan kehidupan seharian,


bagaimana pula untuk ibu bapa ini mencarum bagi masa depan pendidikan anak
mereka? Tanpa pendidikan sempurna, maka jalur kemiskinan itu akan beterusan
dan diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya.

Di sebalik kenaikan harga barang dan perkhidmatan seperti yang berlaku ketika
ini, keadaan sosioekonomi yang lemah tidak boleh mengelak daripada dikaitkan
dengan pelbagai isu sosial di kalangan orang Melayu.

Amalan rasuah, merempit di kalangan anak muda, bekerja di lorong-lorong gelap


dan pusat hiburan misalnya, adalah senario kehidupan yang boleh dikaitkan
dengan desakan kehidupan yang dihimpit oleh kemiskinan.

Tanpa pembangunan ekonomi yang mampan, kelibat orang Melayu di sebalik


rencam masalah sosial itu tidak mungkin dapat dihapuskan. Hakikat ini juga
meletakkan agenda pembangunan ekonomi Melayu di tempat paling teratas di
kalangan pemimpin-pemimpin Melayu.
Kita pastinya berterima kasih daripada apa yang telah diberikan oleh Dasar
Ekonomi Baru (DEB) dalam kedudukan ekonomi orang Melayu ketika ini. Namun
sesuatu yang pasti, masih terlalu banyak yang perlu digerakkan dan
diperluaskan oleh dasar seperti ini dalam memastikan kuasa ekonomi orang
Melayu berada pada kedudukan yang sama pentingnya dengan kuasa politik
yang kita miliki ketika ini.

Ironinya, perbincangan mengenai kemelut orang Melayu bukanlah perkara baru,


sebaliknya kekayaan kaum bumiputera dengan kaum-kaum lain ini sudah dibuat
perbandingan sejak lama dahulu.

Penting

Antara hakikat yang perlu diakui meskipun agak pahit untuk ditelan ialah orang
Melayu tidak berada dalam kelas ekonomi yang penting menyebabkan agak
sukar untuk mereka menentukan perjalanan ekonomi yang lebih besar.

Mengambil contoh dalam piramid jawatan di sesebuah syarikat misalnya,


meskipun kuota 30 peratus yang diperuntukkan kepada bumiputera dipenuhi,
namun kedudukan orang Melayu itu perlu diteliti.

Hakikatnya, dalam senarai jawatan pengurusan tertinggi sesebuah syarikat


korporat, kehadiran orang Melayu sangat kecil. Sebaliknya, orang Melayu lebih
banyak berada pada kedudukan jawatan yang lebih rendah. Keadaan ini mungkin
disebabkan oleh modal insan orang Melayu sendiri yang tidak cukup kuat untuk
bersaing dengan kaum lain.

Tambahan pula untuk melangkah jauh dalam sektor korporat, orang Melayu perlu
menepati kriteria yang sangat tinggi, termasuk latar belakang pendidikan yang
cemerlang serta menguasai bahasa Inggeris.

Barangkali disinilah kelemahan kebanyakan tenaga pekerja Melayu, yang


meskipun merupakan golongan terpelajar dan lepasan pengajian tinggi, namun
tidak mampu berbahasa Inggeris dengan baik sehingga menyempitkan peluang
pekerjaan dalam sektor berkenaan.

Kenyataan itu sebenarnya hanyalah sebahagian daripada dilema penguasaan


ekonomi orang Melayu, kerana hakikatnya, masih banyak isu yang
membelenggu keadaan itu. Antaranya peluang-peluang pekerjaan yang lebih
didominasi oleh pekerja asing di sebalik tingginya kadar pengangguran di
kalangan orang Melayu.

Begitu juga dengan sikap segelintir industri yang meletakkan kriteria tertentu
yang tidak memungkinkan orang Melayu untuk bekerja, selain diskriminasi gaji
yang menolak kepada keinginan orang Melayu untuk menceburinya.

Dalam membincangkan tentang agenda pembangunan ekonomi Melayu juga,


pelbagai saranan diajukan supaya kek ekonomi negara dapat terbahagi secara
sama rata dan tidak hanya dimonopoli oleh kaum tertentu semata-mata.

Antaranya ialah dengan menggalakkan orang Melayu menceburkan diri dalam


bidang perniagaan.
Tidak dinafikan, cabang perniagaan mampu menjana pendapatan yang lumayan.
Malah, ia juga digalakkan dalam Islam yang meletakkannya sebagai sembilan
daripada sepuluh pintu rezeki.

Bagaimanapun, dunia perniagaan bukanlah sektor yang boleh diceburi oleh


semua orang, sementelah senario ketika ini sangat jelas memperlihatkan
dominasi atau monopoli kumpulan tertentu sehingga sukar untuk orang Melayu
bersaing. Melainkan perniagaan makanan seperti membuka restoran, gerai-gerai
kecil atau warung, sukar untuk melihat kelibat orang Melayu sebagai tauke atau
bos dalam cabang perniagaan lain.

Sama ada pasar raya, kedai runcit, bengkel kereta, kedai elektrik, kedai perabot
dan sektor perniagaan berpotensi lainnya, semuanya dikuasai oleh kaum selain
Melayu.

Tanpa ada rangkaian dan jalinan perniagaan yang kukuh, orang Melayu yang
cuba merebut peluang perniagaan ini ibarat sengaja mencari musibah, dan tidak
mustahil akan gulung tikar dengan cepat.

Barangkali di sinilah pentingnya peranan pertubuhan dan badan ekonomi Melayu


dalam memastikan kelangsungan usahawan Melayu dalam cabang perniagaan.
Antara yang perlu diberi penekanan ialah mengenalpasti cabang ekonomi yang
mampu dikuasai oleh orang Melayu dan memperluaskannya supaya mampu
melahirkan lebih ramai usahawan berjaya.

Badan ekonomi Melayu juga perlu menjadi tunjang kekuatan kepada usahawan
Melayu sama ada dari segi modal, program menambah nilai keusahawan atau
sokongan logistik lainnya.

Namun, seperti yang dijelaskan oleh Dekan Fakulti Sains Gunaan, Universiti
Terbuka Malaysia (OUM), Dr. Mohamed Yusoff Ismail, harapan yang disandarkan
kepada pertubuhan atau badan ekonomi Melayu itu boleh menjadi sia-sia
sekiranya ia tidak dapat dipisahkan daripada pengaruh politik.

Campur tangan politik sehingga mewujudkan amalan korupsi katanya, hanya


akan memberikan kekayaan kepada kroni atau sekutu individu yang mempunyai
kepentingan politik tertentu, sekali gus menutup rezeki mereka yang sepatutnya
lebih layak.

''Amalan pemberian projek kepada kroni dan ketirisan dalam pembahagian


kekayaan ini membunuh ekonomi orang Melayu kerana ia hanya akan lebih
mengkayakan orang yang sudah sedia kaya, dan yang miskin pula akan kekal
miskin,'' katanya.

Kerajaan dalam memberi peluang kepada peningkatan ekonomi orang Melayu


turut tampil dengan pelbagai projek mega seperti pembanguan lima wilayah
ekonomi atau koridor yang meliputi hampir seluruh negeri.

Koridor itu ialah Iskandar Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),
Koridor Ekonomi Pantai Timur (ECER), Koridor Pembaharuan Tenaga Sarawak
(SCORE) dan Koridor Pembangunan Sabah (SDC), kesemua dengan nilai
pelaburan berjumlah hampir RM840 bilion.
Bagaimanapun, perlu dipastikan pembangunan koridor itu juga bebas daripada
ketirisan dan amalan ali baba supaya salah satu matlamatnya iaitu untuk
mengukuhkan kuasa ekonomi orang Melayu benar-benar tercapai.

Namun, kuasa itu hanya berada di kalangan pemimpin Melayu, dan sebagaimana
kejayaan dan kemajuan orang Melayu dalam lapangan lainnya terletak di tangan
mereka, begitulah juga dalam soal memperkasakan kekuatan ekonomi orang
Melayu.

Utusan Malaysia, 13 November 2008

You might also like