You are on page 1of 6

BAHAN KERTAS 2 : RINGKASAN DAN PEMAHAMAN PANDUAN MERINGKASKAN PETIKAN Petikan menyentuh pelbagai isu semasa.

. Anggaran jumlah perkataan dalam petikan ialah 240 perkataan. Petikan mengandungi 5 hingga 10 isi penting. Isi penting tidak terkumpul dalam satu perenggan sahaja. Jumlah perkataan dalam ringkasan tidak melebihi 80 patah perkataan. Baca dan fahamkan petikan yang diberi sekurang-kurangnya 2 kali. Bacaan kali pertama untuk mendapat gambaran keseluruhan petikan. (masa dicadangkan 2 minit) Bacaan kali kedua adalah untuk pemahaman isikandungan petikan berdasarkan kehendak soalan. (masa dicadangkan 5 minit) MENGENAL PASTI TUGASAN Arahan soalan yang diberi mengandungi penyataan tugasan yang dibincangkan dalam petikan. Oleh sebab itu, pelajar perlu membaca arahan soalan terlebih dahulu untuk mengenal pasti tugasan sebelum membaca keseluruhan petikan. Penyataan tugasan sangat penting bagi membantu calon mengesan isi-isi penting dalam petikan. Isi-isi yang dikenal pasti mesti menepati kehendak tugasan. KAEDAH MENGESAN TUGASAN. i. Baca dan fahami arahan soalan dengan teliti dan beri perhatian kepada perkataan berhuruf tebal. ii. Perkataan berhuruf tebal merupakan arahan atau kehendak soalan. iii. Kenal pasti dan fahami kata kunci yang terdapat dalam arahan soalan. iv. Anda boleh menggantikan kata kunci tersebut dengan perkataan yang sama maksud dengannya. Contoh soalan dan arahan : Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor yang menyebabkan dadah menjadi musuh utama manusia. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. i. Tugasan yang terdapat dalam arahan soalan ialah: - faktor- faktor yang menyebabkan dadah menjadi musuh utama manusia. ii. Kata kunci arahan untuk isi penting ialah: - faktor-faktor yang menyebabkan dadah menjadi musuh utama manusia iii. Gantikan perkataan faktor-faktor dengan perkataan lain yang sama maksud dengannya, iaitu: - punca-punca / sebab-sebab . iv. Kemudian, tulis permulaan ringkasan: Faktor-faktor yang menyebabkan dadah menjadi musuh utama manusia ialah... Catatan : - Perkataan berikut sering kali digunakan sebagai kata kunci arahan dalam soalan ringkasan dan boleh diganti dengan perkataan yang sama maksud . Contohnya : Punca / faktor / sebab Kesan / akibat / implikasi faedah / kepentingan / manfaat / kebaikan/ keburukan / kekangan / halangan Langkah / cara/ kaedah/ usaha/ strategi

Latihan 1 Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang kepentingan membaca kepada masyarakat Malaysia. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Lengkapkan ayat permulaan ringkasan: ..ialah Latihan 2: Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang sebab-sebab berlakunya pencemaran udara di negara kita. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Lengkapkan ayat permulaan ringkasan: ...ialah TEKNIK MENGESAN ISI PENTING Isi penting dapat dikesan berdasarkan arahan soalan ( Tugasan dan kata kunci ). Garis dan nomborkan setiap isi tersurat yang diperoleh. Setiap petikan biasanya mengandungi lebih daripada 5 isi tersurat. Abaikan setiap contoh, peribahasa dan huraian. Berikan perhatian kepada isi penting sahaja. a. Mengesan isi penting berdasarkan arahan dalam soalan. Contoh 1: Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faktor-faktor berlakunya kemalangan jalan raya. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Tugasan : Faktor-faktor berlakunya kemalangan jalan raya. Kata Kunci : Faktor-faktor ( Punca-punca / Sebab-sebab ) Pastikan isi penting yang dicari mesti berfokus kepada tugasan dan kata kunci soalan. Jalan raya merupakan alat perhubungan yang sangat penting. Oleh itu, kerajaan sentiasa mengambil inisiatif untuk memperbanyak kemudahan jalan raya dan lebuh raya. Jalan-jalan yang sempit diperlebar untuk kemudahan rakyat negara ini. Namun demikian, yang kita musykil ialah semakin sempurna jalan raya, semakin meningkat pula kadar kemalangan jalan raya. Hal ini menyebabkan kita tertanya-tanya akan punca berlakunya perkara tersebut. Satu daripada punca yang sudah dikenal pasti ialah sikap cuai sesetengah pengguna jalan raya. Antaranya, mencelah kenderaan di hadapan mereka dengan laju, memandu kenderaan melampaui had laju yang ditetapkan, memandu ketika mabuk dan sebagainya. Selain itu, jalan raya juga dijadikan oleh pemandu sebagai medan perlumbaan. Akibat daripada tindakan yang tidak bertanggungjawab ini, menyebabkan berlakunya kemalangan dan banyak orang yang menjadi korban di jalan raya. Keadaan jalan raya yang kurang elok mungkin menyebabkan kemalangan jalan raya berlaku. Sebagai contoh, jalan raya yang berlubang-lubang atau struktur batuannya yang tidak seimbang boleh menyebabkan berlakunya kemalangan. Jalan raya yang kurang elok berbahaya kepada pengguna, khususnya penunggang motorsikal. Begitu juga halnya jika jalan tersebut tidak mempunyai kemudahan lampu jalan. Situasi ini menyebabkan kurangnya pencahayaan pada waktu malam dan mengundang bahaya kepada pengguna yang menggunakan jalan raya tersebut. Dalam hal ini, setiap pengguna mestilah berhati-hati ketika memandu pada waktu malam.

Murid juga boleh mengesan isi-isi penting dengan cara mengenal pasti perkataan atau frasa-frasa tertentu dalam petikan. Kata kunci / arahan DAN Contoh perkataan / frasa 1. Langkah / Cara / Usaha - Langkah utama... - Satu daripada usaha... - Perlu... , seharusnya... - Mesti ... - Hendaklah - Bolehlah - Selain itu, ... - Malah, - Di samping itu, - Pihak 3. Punca / Sebab / Faktor - Disebabkan oleh... - Berpunca daripada... - Hal ini demikian kerana... - Faktor lain... - Selain itu, ... - Malah, - Di samping itu, - Oleh itu, Contoh 2 Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang faedah-faedah internet kepada pelajar. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Sejak belakangan ini, penggunaan internet dalam kalangan remaja semakin meningkat. Hal ini secara langsung menandakan kemajuan bidang teknologi maklumat. Kecanggihan teknologi internet menjadikannya satu keperluan kepada banyak pihak terutamanya golongan remaja dan pelajar. Internet boleh membantu para pelajar membuat rujukan dengan cara yang mudah dan cepat. Pelbagai laman sesawang yang menyediakan maklumat berharga kepada pelajar. Dengan menggunakan internet juga secara tidak langsung dapat meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris. Hal ini demikian kerana sebahagian besar daripada laman sesawang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa teras. Menerusi kaedah yang sama, pelajar juga dapat mengetahui pelbagai isu semasa tidak kira dalam negara mahupun luar negara. Selain sumber berita daripada akhbar mahupun berita televisyen, pelajar juga boleh mendapatkan berita tentang peperangan, bencana alam, kes juvana dan sebagainya dari seluruh negara dengan hanya menaipkan satu kata kunci mudah di komputer yang bersambung dengan talian internet. Selain itu, penggunaan e-mel juga memberikan kelebihan kepada pelajar. Menerusi keistimewaan yang ada, pelajar dapat bertukar-tukar pendapat dan menambah kenalan dari luar negara. Kaedah berkomunikasi secara e-mel ini sememangnya amat berkesan dalam menyampaikan maklumat. Cara ini sekali gus membolehkan pelajar mengenali budaya masing-masing tanpa perlu berbelanja lebih. Walau bagaimanapun, ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan menggalakkan anak-anak mempelajari cara menggunakan internet dengan betul, serta menyediakan pekakasan komputer yang terkini agar dapat membantu pelajar menggunakan kemudahan internet. Selain memupuk masyarakat celik teknologi maklumat, keyakinan diri untuk maju dengan arus teknologi moden ini dapat diperhebat demi kebaikan bangsa dan negara. ( Dipetik dan diubahsuaikan daripada 'Faedah Internet Kepada Pelajar e- siswa, April 2009). 2. Kesan-kesan - mempengaruhi - mengganggu - meninggalkan kesan - menyebabkan - mengakibatkan... - Selain itu, ... - Malah, - Di samping itu, - Oleh itu,

4. Kepentingan / Kebaikan / Faedah / Kelebihan - Mampu... - Dapat... - Berupaya... - Boleh... - Hal ini demikian akan memudahkan.. - Selain itu, ... - Malah, ... - Di samping itu, ...

MENULIS RINGKASAN LENGKAP Pilih sekurang-kurangnya lima isi penting yang telah dikenal pasti dan diyakini betul serta menepati kehendak tugasan dan kata kunci arahan soalan. Murid digalakkan menulis enam hingga tujuh isi. Hal ini demikian kerana, jika terdapat isi yang salah atau kurang lengkap, murid mungkin masih dapat memperoleh 10 markah isi. Murid tidak perlu menulis pendahuluan dan penutup dalam penulisan ringkasan. Mulakan ringkasan dengan menulis tugasan yang telah dikenal pasti dalam arahan soalan. Selepas menulis tugasan, calon hendaklah menulis isi-isi penting yang telah dikenal pasti dalam satu perenggan sahaja. Penggunaan penanda wacara sangat digalakkan semasa menulis ringkasan. Penanda wacana ditulis untuk mewujudkan kesinambungan antara isi yang ditulis. Pastikan calon menggunakan penanda wacana yang selari de ngan topik atau isi-isi penting yang ditulis. Sebelum menulis ringkasan, murid bolehlah membuat sedikit perubahan terhadap ayat isi daripada petikan supaya ayat tersebut menjadi ayat kita sendiri. Antara cara yang boleh dilakukan oleh calon ialah: Menggantikan perkataan tertentu dengan perkataan yang sama maksud. Memendekkan frasa yang panjang. o Contoh petikan asal: Internet boleh membantu para pelajar membuat rujukan dengan cara yang mudah dan cepat. o Contoh ayat sendiri: Internet membolehkan pelajar membuat rujukan dengan cara yang mudah dan cepat. Contoh menulis rangka ringkasan: Jadual di bawah hanya sebagai panduan kepada calon untuk menulis ringkasan yang lengkap. Calon hanya perlu memasukkan perkara-perkara penting yang dikehendaki semasa menulis ringkasan. Ayat tugasan : _________________________________________________________________________________ ialah___________Isi 1 __________________________ Selain itu,_______Isi 2 __________________________ Seterusnya,______Isi 3 __________________________ Tambahan lagi,_____Isi 4 ________________________ , malahan__________Isi 5 ________________________ Selanjutnya,________Isi 6 _______________________.

Contoh menulis ringkasan lengkap: Baca petikan di bawah dengan teliti. Berdasarkan petikan tersebut, tulis sebuah ringkasan tentang langkah-langkah untuk mengatasi masalah banjir. Panjang ringkasan hendaklah tidak melebihi 80 patah perkataan. Anda digalakkan menggunakan ayat sendiri tanpa mengubah maksud asal petikan. Kajian menunjukkan bahawa hutan tropika mampu membantu mengurangkan kemusnahan yang besar akibat banjir. Namun, menurut laporan beberapa pertubuhan bukan kerajaan, dalam tempoh dua tahun ini pembalakan haram secara besar-besaran menyebabkan sungai menjadi cetek dan berlumpur, seterusnya mengakibatkan banjir dan kehilangan nyawa. Kini, tibalah masanya pihak kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada kegiatan pembalakan haram. Pembangunan yang tidak lestari turut mengundang banjir kilat . Oleh itu, setiap pemaju perumahan seharusnya membuat penilaian kesan alam sekitar sebelum sesuatu projek perumahan dibangunkan. Tragedi Highland Tower yang berlaku menunjukkan bahawa kemampuan penguatkuasaan masih boleh dipersoalkan. Dalam

hal ini, pihak yang berwajib seharusnya melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan amanah agar tragedi banjir yang disebabkan aktiviti manusia tidak berulang lagi. Kini, di bandar dan di kawasan-kawasan perumahan hampir tiada tanah untuk air meresap kerana kesemua kawasan telah disimen. Satu undang-undang seharusnya digubal bagi memastikan ada kawasan untuk membolehkan air meresap dengan cepat. Jika langkah ini tidak diambil boleh menyebabkan berlakunya banjir jika hujan berterusan. Cadangan untuk mewajibkan pemaju perumahan membuat kolam bagi menampung air seharusnya dilaksanakan segera. Kawasan takungan air ini boleh dijadikan tempat menyimpan air pada waktu kemarau di samping menampung air sewaktu hujan. Sistem perparitan juga perlulah dinaik taraf supaya air dapat mengalir dengan lancar. Berbagai-bagai kaedah harus dicari untuk mengatasi masalah tersebut termasuk meningkatkan keupayaan manusia untuk menanganinya. Selain itu, pihak media seharusnya membuat liputan tentang sungai bagi memastikan sungai-sungai di negara kita mampu mengalirkan airnya dengan baik. Kempen-kempen cintai sungai kita perlu diteruskan dan diperhebat. Jika langkah-langkah drastik tidak diambil dengan segera pastinya masalah ini akan menjadi rumit pada masa hadapan, seterusnya akan memberi kesan negatif kepada manusia. ( Dipetik dan diubahsuaikan daripada 'Fenomena Banjir Mega Dewan siswa, Februari 2007) Contoh jawapan berpandu: LANGKAH 1: MENGENAL PASTI TUGASAN DAN KATA KUNCI. TUGASAN: Langkah-langkah untuk mengatasi masalah banjir KATA KUNCI : Langkah-langkah / Usaha-usaha / Cara-cara ) LANGKAH 2 : MENGESAN ISI PENTING Isi Frasa Penting Pernyataan isi 1 Pihak Kerajaan... pihak kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat kepada kegiatan pembalakan haram. 2 Oleh itu... Oleh itu, setiap pemaju perumahan seharusnya membuat penilaian kesan alam sekitar sebelum sesuatu projek perumahan dibangunkan. 3 Dalam hal ini... Dalam hal ini, pihak yang berwajib seharusnya melaksanakan tugas penguatkuasaan dengan amanah agar tragedi banjir yang disebabkan aktiviti manusia tidak berlaku. 4 ... seharusnya... Satu undang-undang seharusnya digubal bagi memastikan ada kawasan untuk membolehkan air meresap dengan cepat. 5 ...mewajibkan... Cadangan untuk mewajibkan pemaju perumahan membuat kolam bagi menampung air seharusnya dilaksanakan segera.

6 ...perlulah... Sistem peparitan juga perlulah dinaik taraf supaya air dapat mengalir dengan lancar. 7 Pihak media... Pihak media seharusnya membuat liputan tentang sungai bagi memastikan sungai-sungai di negara kita mampu mengalirkan airnya dengan baik. 8 ...perlu... Kempen-kempen cintai sungai kita perlu diteruskan dan diperhebat. * Nota: Murid disarankan agar memilih enam hingga tujuh isi yang diyakini betul untuk ditulis dalam ringkasan. LANGKAH 3 : PENULISAN RINGKASAN LENGKAP. Ayat tugasan : Langkah-langkah untuk mengatasi masalah banjir ialah (isi 1) pihak kerajaan seharusnya mengenakan hukuman yang lebih berat kepada kegiatan pembalakan haram. Selain itu, (isi 2) setiap pemaju perumahan perlulah menjalankan penilaian kesan alam sekitar sebelum sesuatu projek perumahan dibangunkan Seterusnya, (isi 3) pihak berwajib hendaklah menjalankan tugas penguatkuasaan dengan amanah. Tambahan lagi, (isi 4) Satu undang-undang seharusnya digubal untuk memastikan terdapat kawasan yang boleh meresap air dengan cepat Malahan,(isi 5) Cadangan mewajibkan pemaju perumahan membina kolam bagi menampung air seharusnya dilaksanakan. Selanjutnya,(isi 6) Kempen-kempen cintai sungai perlu kita diterus dan diperhebat. Contoh Jawapan Lengkap: Langkah-langkah untuk mengatasi masalah banjir ialah pihak kerajaan seharusnya mengenakan hukuman yang lebih berat kepada kegiatan pembalakan haram. Selain itu, setiap pemaju perumahan perlulah menjalankan penilaian kesan alam sekitar sebelum sesuatu projek perumahan dibangunkan. Seterusnya, pihak berwajib hendaklah menjalankan tugas penguatkuasaan dengan amanah. Tambahan lagi, satu undang-undang seharusnya digubal untuk memastikan terdapat kawasan yang boleh meresap air dengan cepat. Malahan, cadangan mewajibkan pemaju perumahan membina kolam bagi menampung air seharusnya dilaksanakan. Selanjutnya, kempen-kempen cintai sungai perlu kita teruskan dan diperhebat. ( 80 patah perkataan )

You might also like