You are on page 1of 2

Rumusan Belajar merupakan proses penambahan ilmu pengetahuan, di mana ilmu pengetahuan tersebut diterima oleh memori otak

melalui media yang dapat menyampaikan informasi tersebut. Proses pemindahan pengetahuan adalah melibatkan seseorang yang mempunyai pengetahuan iaitu pengajar kepada orang yang belum mengetahui iaitu pelajar melalui proses belajar mengajar yang disebut sebagai pengajaran. Walau bagaimanapun, pembelajaran yang tidak efektif menyebabkan tujuan pembelajaran tidak tercapai dengan optimum. Hal ini adalah disebabkan oleh pelbagai faktor. Namun, terdapat banyak kaedah atau cara yang boleh digunakan untuk menjadikan pembelajaran berlangsung dengan lebih efektif. Salah satu daripadanya ialah melalui penggunaan media pendidikan. Menurut Zakiah Daradjat 1984, media pendidikan dan alat pendidikan adalah sesuatu yang sama iaitu merupakan perantara atau pengantar pesanan daripada pengirim kepada penerima pesanan. Asosiasi Pendidikan Nasional (Nation Education Association/NEA) pula menyatakan media ialah bentuk-bentuk komunikasi sama ada secara tercetak mahupun audi visual serta alat-alat yang berkaitan dengannya. Media hendaklah dapat dimanipulasi, dapat dilihat, didengar dan dibaca. Secara ringkasnya, media pendidikan merupakan bentuk-bentuk komunikasi yang terdiri daripada bahan cetakan dan bahan elektronik yang dapat berfungsi sebagai alat pengajaran dan pembelajaran. Media pendidikan dapat dibahagikan kepada empat jenis iaitu suara, visual, gerak, dan suara dan visual. Jenis media pendidikan suara terdiri daripada kaset, cd, radio dan telefon. Manakala, visual pula dapat dipecahkan kepada tiga jenis iaitu gambar, garis, dan simbol. Jenis media pendidikan gerak pula terdiri daripada benda-benda yang dapat bergerak dan digerakkan iaitu suara dan visual dapat digambarkan sebagai media yang dapat dilihat dan dapat didengar. Para ahli telah mengklasifikasikan media pendidikan kepada dua bahagian iaitu alat pendidikan yang bersifat benda dan alat pendidikan yang bukan benda. Alat pendidikan yang bersifat benda terdiri daripada bahan-bahan cetakan atau bacaan, alat-alat audio visual, sumbersumber masyarakat seperti peninggalan sejarah dan kumpulan benda-benda seperti dedaunan, benih, batu dan sebagainya. Manakala, alat pendidikan yang bukan benda terdiri daripada keteladanan, perintah atau larangan, ganjaran dan hukuman. Dalam pembelajaran, media pendidikan amat diperlukan dan mempengaruhi

pencapaian pendidikan yang diinginkan. Antara kegunaan media atau alat pendidikan ini ialah dapat menyelesaikan masalah had ruang, waktu dan keupayaan pancaindera. Contohnya,

objek yang terlalu besar seperti binatang, bangunan dan sebagainya atau objek yang terlalu kecil seperti mikroorganisma yang menyukarkan pengajar semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlaku boleh digantikan dengan gambar atau filem. Selain itu, gerak yang terlalu lambat atau terlalu cepat dapat dibantu dengan timelapse atau high-speed photography. Kejadian atau peristiwa yang terjadi pada masa lalu seperti sejarah masa lampau juga boleh ditunjukkan dengan menggunakan video, filem bingkai, atau foto. Manakala, objek yang terlalu kompleks dapat ditunjukkan dengan model, diagram atau melalui program komputer animasi. Di samping itu, konsep yang terlalu luas seperti gempa bumi, gunung berapi, iklim, planet dan lainlain dapat divisualisasikan dalam bentuk filem, gambar dan sebagainya. Seterusnya, kegunaan media pendidikan juga ialah dapat mengatasi sikap pasif muridmurid. Contohnya, kegunaan video dan gambar yang menarik dan canggih mampu menambahkan motivasi kepada murid-murid untuk terus belajar terutamanya kepada muridmurid yang pasif sewaktu proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Di samping itu, interaksi secara langsung dapat diwujudkan antara satu sama lain sama ada murid dengan guru mahupun murid dengan murid. Murid-murid juga dapat melatih dirinya untuk berdikari bersesuaian dengan minat dan kemampuannya. Tambahan pula, penggunaan media pendidikan juga penting dalam memberikan kurikulum dan bahan pengajaran yang sama untuk semua murid tidak mengira latar belakang dan pengalaman. Melalui penggunaan media pendidikan ini, secara tidak langsung murid-murid dapat menambah pengalaman mereka. Di samping itu, ia juga dapat menimbulkan persepsi yang sama antara satu sama lain dan tidak akan wujud jurang ketidakseimbangan di dalam bilik darjah. Murid-murid juga dapat rangsangan pembelajaran yang sama tanpa berasa rendah diri dan ketinggalan. Secara rasionalnya, melalui penggunaan media pendidikan, murid-murid memperoleh kefahaman yang baik dan objektif pembelajaran akan tercapai dengan efektif dan efisen. Media pendidikan juga dapat dijadikan sebagai strategi pembelajaran yang efektif untuk mencapai tujuan belajar dalam proses pengajaran dan pembelajaran.

You might also like