You are on page 1of 12

1

PENGGUNAAN KOMUNIKASI AUGMENTATIF DAN ALTERNATIF DALAM PERSEKITARAN MURID BERMASALAH PEMBELAJARAN TANPA KOMUNIKASI NOOR AINI AHMAD Jabatan Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Pendidikan Khas Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia Universiti Pendidikan Sultan Idris noor.aini@fppm.upsi.edu.my 05 4505094 ABSTRAK Komunikasi augmentatif dan alternatif biasa digunakan untuk membantu murid-murid bermasalah pembelajaran berinteraksi dengan persekitaran masing-masing. Kertas penyelidikan ini bertujuan untuk mengenal pasti bahan pengajaran yang boleh dibangunkan bagi pengajaran kemahiran bahasa mengikut tahap kefungsian murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi. Satu kajian kualitatif dijalankan secara pemerhatian di dalam sebuah bilik darjah yang menempatkan sekumpulan murid bermasalah pembelajaran teruk selama enam bulan untuk melihat proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran bahasa. Data juga dikumpul menggunakan temu bual dan penganalisisan bukti dokumen. Kertas penyelidikan ini berfokus kepada pembinaan inventori perkataan berfungsi dalam persekitaran kantin sekolah. Dapatan kajian menunjukkan murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi diajar menggunakan bahasa isyarat dan kad gambar. Dapatan kajian juga menunjukkan guru-guru Pendidikan Khas yang mengajar dalam Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran kurang terdedah dengan sistem komunikasi augmentatif dan alternatif. Pengkaji mencadangkan penggunaan inventori perkataan berfungsi mengikut persekitaran, kurikulum personal dan bahan bantu mengajar berteknologi rendah seperti kad gambar apabila guru mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi. Cadangan ini diharap dapat membantu murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi membeli makanan dengan bantuan minima daripada guru dan rakan-rakan. PENGENALAN Peristiwa yang signifikan kepada murid-murid bermasalah pembelajaran teruk termasuk interaksi dengan orang dalam persekitaran mereka tentu sekali sukar untuk diperkatakan memandangkan kemahiran prapertuturan kurang dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walaubagaimanapun ini tidak bermakna kehadiran mereka sebagai murid-murid golongan minoriti dalam sistem persekolahan dipandang sepi. Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya 2007 (Malaysia 2007), suatu akta untuk mengadakan peruntukan bagi pendaftaran, perlindungan, rehabilitasi, pembangunan dan kesejahteraan orang kurang upaya, penubuhan Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya, dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Tafsiran Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya 2007 ada menyebut bahawa bahasa termasuk bahasa pertuturan dan isyarat, Bahasa Isyarat Malaysia dan bentuk bahasa bukan pertuturan lain. Komunikasi diertikan sebagai bahasa, paparan teks, Braille, bahasa sentuh, cetak besar, isyarat, multimedia boleh akses dan juga cara serta format komunikasi secara bertulis, audio, bahasa

mudah, jurubaca serta kaedah augmentatif dan alternatif, termasuk maklumat boleh akses dan teknologi maklumat. Tafsiran habilitasi merujuk kepada proses yang bertujuan untuk membolehkan orang yang dilahirkan dengan ketidakupayaan mencapai serta mengekalkan sepenuhnya keupayaan fizikal, mental, sosial dan vokasional serta penglibatan dan penyertaan penuh mereka dalam semua aspek kehidupan. Rehabilitasi pula merujuk kepada proses yang bertujuan untuk membolehkan orang kurang upaya mencapai dan mengekalkan sepenuhnya keupayaan fizikal, mental, sosial dan vokasional serta penglibatan dan penyertaan penuh mereka dalam semua aspek kehidupan. Subseksyen 33 (1) dalam Bab Dua dalam akta yang sama berkaitan habilitasi dan rehabilitasi menyebut bahawa Majlis Kebangsaan bagi Orang Kurang Upaya, penyedia perkhidmatan jagaan kesihatan swasta dan pertubuhan bukan kerajaan hendaklah mengambil langkah yang berkesan dan sesuai untuk membolehkan orang kurang upaya mencapai dan mengekalkan keupayaan berdikari yang maksimum dan penyertaan sepenuhnya dalam semua aspek kehidupan. Bagi maksud subseksyen 33 (1) Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya 2007, semua pihak bertanggungjawab hendaklah menganjurkan, mengukuh, memperluaskan perkhidmatan serta program habilitasi dan rehabilitasi yang komprehensif seperti dalam bidang pendidikan, pekerjaan, penilaian pelbagai bidang mengenai keperluan dan kekuatan individu. Rentetan daripada peluang pendidikan yang dibuka luas kepada murid-murid bermasalah pembelajaran teruk, kemahiran prapertuturan wajar diangkat sebagai salah satu daripada kemahiran bahasa bagi memastikan murid-murid bermasalah pembelajaran teruk mendapat manfaat daripada sistem pendidikan yang diikuti. Kajian Nyland (2009) berkaitan pengalaman berbahasa bagi kanak-kanak prapertuturan di Australia mendapati bahawa persekitaran memainkan peranan penting dalam komunikasi. Anderson (2006) menjalankan kajian yang bertujuan untuk melihat interaksi komunikasi antara guru dan kanak-kanak di peringkat awal perkembangan bahasa. Anderson menyatakan pada peringkat ini, kaedah tambahan untuk mengukur perkembangan bahasa kanak-kanak ialah menerusi strategi pengajaran yang menyokong komunikasi. Anderson juga mencadangkan supaya guru mengembangkan fungsi komunikasi yang biasa mereka gunakan. Semakin banyak kajian dijalankan berkaitan pengalaman hidup individu kurang upaya dan keluarga mereka (Mirfin-Veitch et al. 2003 dan Todd et al. 2004). Grove (2007) mendapati bahawa individu bermasalah teruk dan pelbagai menunjukkan kegembiraan mereka menerusi vokalisasi tingkah laku tanpa pertuturan. Kemahuan dan keperluan individu bermasalah teruk dan pelbagai hanya boleh dicapai menerusi interpretasi, sokongan dan bimbingan. Seung-Hyun Son et al. (2006) menjalankan kajian perbandingan bagi melihat sejauh mana persamaan dan keutamaan dua sistem dalam komunikasi augmentatif dan alternatif, iaitu pertukaran gambar dan alat komunikasi bersuara. Tiga orang kanak-kanak prasekolah yang menunjukkan ciri autisma dan tidak pernah diajar secara komunikasi augmentatif dan alternatif dipilih sebagai peserta kajian. Kajian dijalankan di dapur rumah peserta kajian di mana dua jenis makanan snek kegemaran mereka dikenalpasti dalam prosedur penilaian. Peserta kajian menjalani tiga fasa, iaitu fasa asas, intervensi dan akhir. Dapatan kajian menunjukkan dua orang peserta kajian lebih konsisten menggunakan sistem pertukaran gambar manakala seorang peserta kajian memberi

keutamaan menggunakan sistem komunikasi bersuara. Ini menunjukkan kedua-dua sistem perlu diberi pertimbangan apabila menggunakan komunikasi augmentatif dan alternatif.

Memandangkan murid-murid bermasalah pembelajaran teruk menghadapi pelbagai ketidakupayaan yang menghalang mereka daripada menyertai interaksi bersemuka secara spontan, maka pemilihan perkataan yang paling kerap digunakan atau berfungsi dalam persekitaran masing-masing perlu diberi perhatian. Anderson (2006) telah menjalankan satu kajian berkaitan strategi berkomunikasi yang digunakan bagi mengajar kemahiran prapertuturan kepada murid-murid bermasalah pembelajaran. Seramai lapan orang guru dan 12 orang murid yang berumur antara lima tahun hingga enam belas tahun mengambil bahagian dalam kajian ini. Guru-guru yang mengambil bahagian mempunyai pengalaman mengajar antara satu tahun hingga 18 tahun. Dapatan kajian menunjukkan guru selalu mengawal perbualan, menggalakkan pengajaran, menarik minat murid untuk belajar, memberi perhatian, mengulang perkataan dan memudahkan komunikasi. Beck (2002) pula mendapati murid-murid yang mempunyai masalah pertuturan kurang berpeluang untuk mengambil bahagian dalam aktiviti literasi dan berinteraksi. Beck menyatakan komunikasi augmentatif dan alternatif memberi peluang kepada murid-murid mengambil bahagian dalam aktiviti berkumpulan bagi membaiki kemahiran bahasa dan mengembangkan kemahiran komunikasi secara berfungsi. Oleh yang demikian, satu usaha dan kajian empirikal dilihat perlu dijalankan dengan kadar segera supaya guru-guru Pendidikan Khas boleh membantu murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Sebagai golongan murid minoriti dalam sistem pelajaran di Malaysia, murid-murid bermasalah pembelajaran tanpa komunikasi wajar mendapat kesamarataan hak dalam pendidikan. TUJUAN Kajian ini bertujuan untuk mengenal pasti bahan pengajaran yang boleh dibangunkan bagi pengajaran kemahiran bahasa mengikut tahap kefungsian murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi. Secara khusus persoalan kajian adalah: 1. Bagaimanakah peserta kajian melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran komunikasi bagi murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi? Sejauhmanakah murid-murid bermasalah pembelajaran tanpa komunikasi memerlukan perkataan berfungsi dalam kehidupan seharian? KAEDAH KAJIAN Kajian ini dijalankan secara naratif inkuiri di mana triangulasi kajian dijalankan secara pemerhatian di dalam sebuah bilik darjah yang menempatkan sekumpulan murid bermasalah pembelajaran teruk di sebuah sekolah menengah bantuan penuh kerajaan yang mempunyai program integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran. Seorang guru Pendidikan Khas dan tiga orang murid bermasalah pembelajaran teruk diperhati selama enam bulan untuk melihat

2.

proses pengajaran dan pembelajaran kemahiran komunikasi. Data juga dikumpul menggunakan temu bual dan penganalisisan bukti dokumen. Selain itu, pengkaji juga telah menjalankan bengkel yang dihadiri oleh 30 orang guru Pendidikan Khas yang mengajar dalam Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran bagi tujuan menyenaraikan perkataan berfungsi yang paling diperlukan oleh murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi. Dapatan kajian dilaporkan secara naratif. NARATIF Walaupun mengajar murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi, PKAzlina tidak mengabaikan aktiviti berkomunikasi. PKAzlina, guru baru dalam Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran di Sekolah A. Beliau baru sahaja menamatkan pengajian di sebuah universiti tempatan dalam bidang Pendidikan Khas dengan pengkhususan masalah pendengaran. PKAzlina diperhati menjalankan aktiviti mengikut tahap kebolehan murid-muridnya. Sungguhpun tidak mensasarkan sebarang objektif pengajaran yang tinggi, PKAzlina diperhati menggalakkan Norman dan Hussien, dua orang murid bermasalah pembelajaran tanpa komunikasi untuk berinteraksi. Beliau kerap kali diperhatikan berbual dan bercerita dengan mereka seperti yang dijelaskan dalam maklum balas berikut, Ajar mereka interaksi sosial seperti berbual, bermain dan aktiviti yang melibatkan murid mendengar dan memberi respon. Kod: 2PK/MBPT/PKBP/kkom/PKAzlina/s4.2/p70 Dapatan kajian ini menunjukkan PKAzlina mengajar kemahiran mendengar, bertutur dan berkomunikasi secara selari dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Setiap satu kemahiran saling berkait dan sukar untuk dipisahkan. Berdasarkan triangulasi pemerhatian, temu bual dan penganalisisan bukti dokumen, pengkaji mendapati tujuh kemahiran bahasa digariskan dalam komponen Bahasa Melayu, iaitu (1) kemahiran mendengar, (2) kemahiran bertutur, (3) kemahiran prabacaan, (4) kemahiran membaca, (5) kemahiran pratulisan, (6) kemahiran menulis dan (7) kemahiran komunikasi. Komponen Bahasa Melayu dalam Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran diajar bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu menyediakan murid bermasalah pembelajaran untuk menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi bersesuaian dengan tahap kefungsian mereka ke arah kecekapan berbahasa (Kementerian Pendidikan Malaysia 2004). Oleh yang demikian, diperhatikan telah menjadi hasrat kerajaan untuk memastikan setiap kanak-kanak dalam golongan minoriti juga mendapat penyamarataan hak dalam pendidikan selaras dengan Malaysia (2007). Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran juga bermatlamat menyediakan ilmu pengetahuan serta kemahiran melalui proses pengajaran dan pembelajaran yang fleksibel untuk memenuhi keperluan individu dengan pelbagai tahap keupayaan ke arah kehidupan bermakna (Kementerian Pendidikan Malaysia 2004). Malah Model Konseptual Kurikulum Pendidikan Khas Bermasalah Pembelajaran yang berlandaskan tiga prinsip utama, iaitu (1)

pendidikan menyeluruh dan bersepadu, (2) pembelajaran yang menggembirakan dan bermakna serta (3) pendidikan sepanjang hayat perlu dijadikan pegangan apabila menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran bagi murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi. Tiga prinsip berkenaan dilaksanakan pula melalui satu proses yang melibatkan tiga aspek, iaitu (1) bidang pembelajaran, (2) pendekatan pengajaran dan pembelajaran serta (3) penilaian yang berteraskan kepada keperluan individu. Berdasarkan bukti dokumen, pengkaji mendapati PKAzlina telah menggunakan Manual Pengurusan bagi Kanak-kanak Bermasalah Komunikasi yang diperolehi daripada pihak pentadbiran hospital sebagai alternatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Penganalisisan terhadap manual ini menunjukkan bahawa kemahiran prapertuturan, kemahiran mendengar, kemahiran memberi perhatian, kemahiran sosial (kebolehan hubungan mata, ambil giliran, peniruan, bermain dan berinteraksi), kognitif dan bahasa ekspresif diberi tumpuan. Selain itu, terdapat juga panduan untuk mengajar stimulasi prapertuturan yang meliputi beberapa aspek, seperti bermula dengan mengajar kemahiran prapertuturan, bermain dengan mereka, bercakap apabila bermain, kanak-kanak perlu belajar bahawa sebarang tindakan dan perkataan mempunyai tujuan tertentu, kanak-kanak perlu melihat dan mendengar, konsisten, perancangan masa dan bersabar. Dalam program stimulasi komunikasi, terdapat beberapa panduan mengajar kemahiran bahasa reseptif seperti selalu berbual dengan kanak-kanak, menggunakan bahasa yang mudah difahami, bercakap dengan nada biasa tetapi perlahan, menggunakan gestur bila perlu, mengelakkan gangguan, memberi galakan, memberi pujian serta memberi cukup masa kepada kanak-kanak untuk bertindak balas. Apabila mengajar kemahiran bahasa ekspresif, pengajar perlu membangkitkan situasi supaya kanak-kanak boleh berkomunikasi, menggalakkan kanakkanak bercakap secara spontan, menggalakkan penggunaan isyarat dan gestur, memilih perkataan yang mudah dan biasa digunakan di rumah. Berdasarkan pemerhatian dan sesi perbengkelan, satu senarai perkataan berfungsi telah berjaya dibangunkan supaya murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi dapat berinteraksi dengan lebih mudah dan tepat walaupun mereka tidak menggunakan komunikasi lisan. Perkara ini disokong dengan transkripsi temu bual berikut: Dalam Kumpulan Amal Lapan, murid-murid lebih perlu kemahiran berkomunikasi kerana mereka sukar untuk itu. Saya lebihkan aktiviti kemahiran mendengar dan bertutur. Kod: 2PK/MBPT/PKBP/kkom/PKAzlina/s9.4/p250 Bagi kanak-kanak yang mengalami masalah pertuturan yang teruk atau lambat bertutur, stimulasi bahasa boleh ditambah dengan sistem komunikasi bukan pertuturan atau dikenali juga sebagai komunikasi augmentatif dan alternatif. Terdapat tiga kategori dalam komunikasi bukan pertuturan, iaitu sistem isyarat tangan, sistem simbol dan sistem gambar. Sistem isyarat tangan antara lain merangkumi Bahasa Melayu Kod Tangan, Program Perbendaharaan kata Makaton dan cued speech.

Komunikasi augmentatif merujuk kepada pelbagai pendekatan komunikasi yang boleh digunakan untuk membantu individu yang mempunyai limitasi dalam kebolehan berkomunikasi secara semulajadi (Franklin dan Beukelman 1991). Kajian Okolo et al. (1993) mendapati komunikasi augmentatif dan alternatif boleh didapati dalam pilihan berteknologi rendah, seperti buku bergambar sehingga kepada sistem berkomputer. Pengajaran berbantu komputer boleh meningkatkan kemahiran, pengetahuan dan pencapaian akademik murid. Menggabungjalin komunikasi pertuturan serta bukan pertuturan ke dalam sistem komunikasi augmentatif dan alternatif lebih berkesan jika dimulakan seawal usia kanak-kanak. Alat komunikasi augmentatif dan alternatif berteknologi rendah meliputi gambar, foto, garisan, gestur, bahasa isyarat, bahasa tulisan, Pictures Exchange Communication System dan alat bersuara mudah (Kaiser dan Grim 2006). Guru juga boleh menggunakan bahasa simbolik ketika mengajar bahasa, seperti membuat buku bergambar yang dapat membantu murid menjalani tugas seharian (Browder et al. 2006). Seperti diketahui umum, terdapat beberapa kategori bahan bantu mengajar yang boleh digunakan dalam pengajaran, seperti berteknologi tinggi dan bahan bercetak. Lynne Norazit dan Suad (2001) telah menjalankan satu kajian berkaitan kesesuaian bahan bacaan untuk kanak-kanak. Kajian ini dijalankan terhadap 100 orang kanak-kanak dalam tahun empat di tiga buah sekolah di Petaling Jaya dan Kuala Lumpur. Dapatan kajian menunjukkan ciri-ciri buku yang baik ialah buku yang mengandungi jalan cerita yang menggembirakan, mudah, penerangan yang menarik, menggunakan bahasa mudah dan berilustrasi. Sepanjang pemerhatian dijalankan, PKAzlina mengakui bahawa cabaran paling getir ialah mengajar Norman untuk berkomunikasi menggunakan bahasa isyarat. Ini kerana Norman tidak diajar bahasa isyarat ketika berada di sekolah rendah dan keadaan menjadi bertambah rumit apabila Norman menggunakan isyarat yang hanya dia seorang sahaja yang memahaminya. PKAzlina berkata, Saya harap Norman boleh belajar bahasa isyarat supaya dia boleh berkomunikasi dengan kami. Sambil saya ajar Norman, saya minta juga Hanim ikut serta supaya mereka boleh berinteraksi. Sukar sebenarnya. Kod: 2PK/MBPT/PKBP/kkom/PKAzlina/s5/p144 Kajian Ko, McConachie dan Jolleff (1998) mendapati bahawa kanak-kanak perlu mempelajari simbol untuk berkomunikasi di awal persekolahan. Dapatan kajian mereka juga mendapati bahawa kanak-kanak yang menggunakan sistem berteknologi tinggi dibiayai oleh kerajaan, ibu bapa atau badan kebajikan. Ko et al. juga mendapati bahawa carta simbol dan buku lebih murah dan lebih berkesan digunakan dengan mengambil kira simbol yang lebih berpotensi dalam kehidupan dan persekitaran digunakan. Ini menunjukkan guru-guru Pendidikan Khas perlu mengenal pasti perkataan-perkataan paling berfungsi bagi setiap murid bermasalah pembelajaran dan menggunakan kaedah komunikasi augmentatif dan alternatif dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pembacaan ini dapat dikaitkan dengan dapatan kajian yang menunjukkan terdapat keperluan untuk menggunakan gambar menggantikan isyarat tangan, PKAzlina berkata,

Norman berbeza, dia tahu semua gambar yang saya tunjukkan dan dia boleh kumpulkan benda ikut warna. Dia perlukan isyarat yang betul untuk benda yang dia lihat menggantikan isyarat yang dia gunakan...sebab isyarat dia sukar nak difahami. Saya ajar juga ejaan jari dan dia boleh lakukan. Kod: 2PK/MBPT/PKBP/kkom/PKAzlina/s9.8/p258 Walau bagaimanapun menyediakan laluan kepada komunikasi augmentatif dan alternatif bagi tujuan pembangunan berkomunikasi untuk individu yang mengalami masalah pertuturan yang teruk tidak semudah yang disangka. Sekurang-kurangnya terdapat empat domain yang perlu diberi perhatian apabila melaksanakan komunikasi augmentatif dan alternatif, iaitu (1) kemahiran menggunakan bahasa asal dalam komuniti dengan kemahiran kod sistem komunikasi augmentatif dan alternatif, (2) kemahiran teknikal menggunakan sistem komunikasi augmentatif dan alternatif, (3) sosial dan (4) strategi (Light et al. 1999). Satu cara yang dapat membantu murid dalam membiasakan diri dengan sistem ini ialah menggunakannya secara kerap dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Semua warga sekolah perlu memahami sistem yang digunapakai supaya mereka dapat berinteraksi dengan murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi dengan lebih baik dan tanpa halangan. KESIMPULAN DAN CADANGAN Dapatan kajian ini menunjukkan bahawa memetakan aspek keaksesan, habilitasi dan rehabilitasi boleh dilaksanakan menerusi inventori perkataan berfungsi. Penyertaan penuh dan setara dalam pendidikan boleh dilakukan menerusi komunikasi augmentatif dan alternatif. Walaubagaimanapun, penyertaan penuh murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi dalam persekitaran mereka agak sukar untuk dilaksanakan kerana beberapa kekangan. Sebahagian kecil golongan murid minoriti ini berinteraksi menggunakan bahasa isyarat mereka sendiri (Noor Aini 2010) manakala yang lain tidak boleh bertutur dan tidak mampu berinteraksi dengan guru dan rakan-rakan. Perkara ini tentu sekali menyukarkan muridmurid dan membataskan pergaulan dengan orang di sekeliling mereka. Noor Aini mencadangkan Program Kemahiran Bahasa (Rajah 1) yang menitik beratkan dua elemen iaitu (1) pemilihan perkataan berfungsi dan (2) kurikulum personal apabila guru mengajar kemahiran bahasa kepada murid-murid bermasalah pembelajaran tanpa komunikasi. Guru boleh membantu murid belajar dengan lebih baik jika kurikulum personal dirancang menerusi unit mendiagnosis, membuat objektif khusus, memilih isi kandungan dan menyusun isi kandungan, memilih pengalaman sedia ada, menyusun pengalaman sedia ada, penilaian dan semakan (Taba 1962). Oleh yang demikian, guru perlu menulis Rancangan Pendidikan Individu dan menetapkan perkhidmatan pelajaran yang diperlukan bagi setiap murid bermasalah pembelajaran teruk sama ada mereka boleh berkomunikasi atau sebaliknya. Kurikulum personal melibatkan perancangan dan panduan pengajaran bagi membantu setiap murid ke arah kehidupan yang lebih bermakna. Murid-murid bermasalah pembelajaran teruk, sama ada yang boleh berkomunikasi atau tidak boleh berkomunikasi memerlukan kurikulum personal bagi membantu mereka mencapai keperluan dan kehidupan bermakna selaras dengan Model Konseptual Kurikulum Pendidikan

Khas Bermasalah Pembelajaran. Dalam konteks kajian ini, pembelajaran berpusatkan murid mengambil kira perkhidmatan pelajaran yang disediakan berdasarkan matlamat dan keperluan seorang individu. Kurikulum personal boleh dibina berdasarkan minat murid dan mengambil kira juga kehendak ibu bapa serta penjaga murid. Rancangan Pendidikan Individu dan kurikulum personal boleh membantu guru merancang pengajaran yang lebih berkualiti kepada murid-murid bermasalah pembelajaran teruk.

Perkataan berfungsi

Program Kemahiran Bahasa

Kurikulum personal/Rancangan Pendidikan Individu

Murid bermasalah pembelajaran sederhana

Murid bermasalah pembelajaran teruk

Membaca perkataan berfungsi Menulis perkataan berfungsi Program jangka pendek Kemahiran prapertuturan

Komunikasi augmentatif dan alternatif

Rajah 1

Program Kemahiran Bahasa

Noor Aini dan Nor Siti Rokiah (2010) mendapati guru-guru Pendidikan Khas telah berusaha untuk mengorganisasi keaksesan murid-murid bermasalah pembelajaran dalam pendidikan berlandaskan asas kesetaraan dengan orang upaya agar mereka tidak boleh dikecualikan daripada sistem pendidikan umum. Kajian ini mendapati murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi boleh mendapat manfaat daripada sistem pelajaran yang diikuti jika mereka dapat berinteraksi menggunakan inventori perkataan berfungsi mengikut persekitaran. Noor Aini dan Nor Siti Rokiah (2010) mendapati murid-murid bermasalah pembelajaran teruk dapat belajar kemahiran bahasa dengan lebih baik jika guru Pendidikan Khas menggunakan pendekatan pengajaran yang berkesan seperti nyanyian dan secara bermain. Kertas penyelidikan ini mencadangkan inventori perkataan berfungsi yang berpotensi untuk dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran sama ada menggunakan bahan berteknologi rendah atau tinggi. Inventori Cahaya, nama kepada inventori ini diharap dapat

memberi satu sinar baru kepada murid-murid bermasalah pembelajaran teruk yang selama ini diajar kemahiran pramembaca dan membaca ala pemulihan khas. Inventori Cahaya tidak memfokus kepada aktiviti mengeja, membaca suku kata atau mengenal huruf sebaliknya memberi tumpuan kepada gestur, simbol dan gambar yang menjadi fokus dalam komunikasi augmentatif dan alternatif. Menerusi komunikasi augmentatif dan alternatif, murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi diharap dapat menyertai secara penuh dan setara dalam pendidikan serta kehidupan seharian. Pengkaji juga mencadangkan aktiviti sosial yang dapat membantu murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi seperti memanggil nama kanak-kanak, bermain dengan mereka supaya mereka mampu memesan makanan, menggunakan tandas dengan betul dan menjalankan simulasi di bilik darjah. Bagi melaksanakan Program Kemahiran Bahasa, guru perlu diberi latihan dan panduan berkaitan prosedur penggunaan teknologi atau sekurang-kurangnya bahan berteknologi rendah dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam usaha supaya murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi mendapat peluang pendidikan yang samarata dan yang direka khusus untuk mencapai keperluan pembelajaran asas mereka, pengkaji telah menyenaraikan perkataan berfungsi untuk makanan yang biasa diminta oleh murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi di kantin sekolah. Pengkaji kemudiannya telah memasukkan perkataan berfungsi yang dicadangkan ke dalam Inventori Cahaya. Perkataan-perkataan ini dibina berdasarkan perkataan yang dicadangkan oleh 30 orang peserta kursus yang menghadiri kursus Latihan dalam Perkhidmatan di daerah Kelang. Inventori Cahaya Perkataan berfungsi Makanan A. 1. 2. 3. 4. 5. B. 1. 2. 3. 4. 5. 6. 7. 8. Makanan Barat sosej nugget donut burger kentang goreng Makanan Malaysia nasi lemak keropok lekor karipap mi sup mi goreng bihun goreng nasi goreng roti Persekitaran Kantin sekolah Objektif Murid dapat membeli makanan dengan tepat mengikut selera masing-masing dengan bantuan minima daripada guru dan rakan.

10

9. roti canai 10. laksa 11. nasi 12. ikan goreng 13. ayam goreng 14. sayur goreng

Berdasarkan Inventori Cahaya, pengkaji telah menyediakan bahan bantu mengajar berteknologi rendah menerusi penyediaan kad-kad gambar yang boleh membantu murid-murid bermasalah pembelajaran teruk tanpa komunikasi memesan makanan dengan lebih mudah di kantin sekolah mereka. Komunikasi augmentatif dan alternatif lazim digunakan di sekolah pendidikan khas swasta di Malaysia dan teramat biasa dilaksanakan untuk kanak-kanak berkeperluan khas di luar negara. Perbezaan Inventori Cahaya dengan sistem komunikasi augmentatif dan alternatif sedia ada ialah perkataan berfungsi yang disenaraikan lebih tepat dan dekat dengan budaya Malaysia. Hanya perkataan berfungsi yang paling kerap digunakan mengikut konteks persekitaran murid-murid bermasalah pembelajaran teruk dipilih. Sebagai cadangan kajian lanjutan, pengkaji mencadangkan kajian bagi memilih perkataan berfungsi dalam persekitaran lain yang kerap dikunjungi mereka seperti kedai, tandas, bilik tidur dan ruang tamu. Hasil kajian akan dimuatkan dalam laporan akhir geran penyelidikan yang ditaja oleh Pusat Pengurusan Penyelidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris yang dijangka siap pada akhir tahun 2010.

RUJUKAN Anderson, C. 2006. Early communication strategies: using video analysis to support teachers working with preverbal pupils. British Journal of Special Education 33 (3): 114-120. Beck, J. 2002. Emerging literacy through assistive technology. Teaching Exceptional Children 35(2): 44-48. Browder, D.M., Ahlgrim-Delzell, L., Courtade-Little, G. & Snell, M.E. 2006. Dlm Snell, M.E. dan Brown, F. (pnyt.). Instruction of students with severe disabilities. Ed. ke-6, hlm. 489525. Upper Saddle River, New Jersey: Pearson Merrill Prentice Hall. Franklin, K. & Beukelman, D.R. 1991. Augmentative communication: directions for future research. Dlm. Miller, J.F. (pnyt.) Research on child language disorders: a decade of progress, hlm. 321-337. Austin: Pro-Ed. Grove, N. 2007. Exploring the absence of high points in story remeniscence with carers of people with profound disabilities. Journal of Policy and Practice in Intellectual Disabilities, 4(4): 252-260.

11

Kaiser, A.P. & Grim, J.C. 2006. Dlm Snell, M.E. & Brown, F. (pnyt). Instruction of students with severe disabilities. Ed. ke-6, hlm. 447-488. Columbus, Ohio: Pearson Merrill Prentice Hall. Kementerian Pendidikan Malaysia. 2004. Sukatan pelajaran pendidikan khas bermasalah pembelajaran sekolah rendah dan menengah. Kuala Lumpur: t.pt. Ko, M.L.B., McConachie, H. & Jolleff, N. (1998). Outcome of recommendations for augmentative and alternative communication in children. Child: Care, Health and Development. Vol. 24(3): 195-205. Light, J.C., Binger, C., Agate, T.L. dan Ramsey, K.N. 1999. Teaching partners-focused questions ti individuals who use augmentative and alternative comunication to enhance their communicative competence. Journal of Speech. Language and Hearing Research. Vol. 42: 241-255. Lynne Norazit & Suad Awab. 2001. What do you mean by a good book: a study of appropriate reading materials for children in the Malaysian context. Jurnal Pembacaan (4): 26-39. Malaysia. 2007. Rang Undang-undang Orang Kurang Upaya 2007. Warta Kerajaan. D.R. 52/2007. Mirfin-Veitch, B., Bray, A., & Ross, N. 2003. It was the hardest and most painful decision of my life: seeking permanent out of home placement for sons and daughters with intellectual disabilities. Journal of Intellectual and Developmental Disabilities, 28: 99-111. Noor Aini Ahmad. 2010. Pengajaran kemahiran bahasa bagi murid-murid bermasalah pembelajaran. Tesis Dr. Falsafah, Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia. ______________ . 2010. Penggunaan Inventori Berbudayakan Malaysia sebagai Kesinambungan kepada Komunikasi Augmentatif dan Alternatif bagi Murid-murid Bermasalah Pembelajaran Teruk Tanpa Komunikasi. Kertas Utama Seminar Sehari Penyelidikan Fakulti Pendidikan dan Pembangunan Manusia. Universiti Pendidikan Sultan Idris. Noor Aini Ahmad dan Nor Siti Rokiah Abdul Razak. 2010. Teaching prereading skill to students with severe learning disabilities in the special education learning disabilities program. Dibentang dalam International Journal of Arts and Sciences Conference. University of Central Florida. Noor Aini Ahmad dan Nor Siti Rokiah Abdul Razak. 2010. Mengajar kemahiran membaca mudah jika guru tahu pendekatan mengajar yang sesuai. Dibentang dalam 15th International Conference on Education. Universiti Brunei Darussalam. Nyland, B. 2009. Language experiences of preverbal children in Australian childcare centres. European Early Childhood Education Research Journal 17 (1): 111-124.

12

Okolo, C.M. Bahr, C.M. & Reith, H.J. 1993. A retrospective view of computer based instruction. Journal of Special Education Technology 12(1): 1-27. Seung-Hyun Son, Sigafoos, J., OReilly, M. & Lancioni, G.L. 2006. Comparing two types of augmentative and alternative communication systems for children with autism. Pediatric Rehabilitation 9(4):389-395. Todd, S.J., Shearn, J. & Jones, S. (2004). Resilence and vulnerability: its the ability to keep the story going. Paper presented at the 12th World Congress of the IASSID, Montpelier, Perancis.

You might also like