You are on page 1of 30

BAB II

KAJIAN LITERATUR

2.1

Pengenalan

Banjir merupakan salah satu bencana alam yang sering berlaku dikebanyakan tempat di dunia. Di Malaysia kawasan yang dilanda banjir adalah di kawasan tanah rendah terutamanya di Pantai Timur Semenanjung yang sering berlaku pada musim tengkujuh di antara bulan November hingga awal bulan Mac. Kejadian banjir kilat biasanya melanda kawasan bandar-bandar utama negara yang mengalami pembangunan pesat dan aktiviti guna tanah yang banyak. Ianya memberi memberi kesan yang amat ketara kerana kurangnya kawasan tadahan yang mempunyai permukaan telap air dimana pertambahan luas kawasan berturap, bersimen dan kurangnya tumbuhan penutup bumi. Banjir kilat berlaku tidak kira masanya disebabkan oleh berbagai faktor terutamanya aktiviti yang berkaitan dengan pembangunan negara kerana air larian dikawasan tersebut tidak dapat disalirkan dengan cepat dalam tempoh tertentu. Banjir jenis ini biasanya berlaku dalam masa yang singkat. Ia merupakan kejadian yang begitu mendapat perhatian umum kerana ianya berlaku dengan cepat dan mengakibatkan kerosakan harta benda dan habitat

7 semulajadi, menjejaskan aktiviti manusia sekaligus menyebabkan kerugian kepada ekonomi negara dan juga mengakibatkan kehilangan nyawa. 2.2 Hubungan Kajian Banjir dan Kepentingan

2.2.1

Takrifan Banjir

Banjir boleh ditakrifkan dari segi bahasa sebagai limpahan air dari tebingtebing sistem saliran yang boleh mendatangkan kerugian kepada manusia dari segi harta mahu pun nyawa. Ianya disebabkan keupayaan sistem perparitan dan pembentung yang sedia ada tidak dapat menampung jumlah isipadu air yang berlebihan. Kejadian ini biasanya berlaku ketika hujan lebat yang mengambil masa yang panjang untuk berhenti. Ianya telah disokong oleh seorang individu iaitu Ven Te Chow yang menakrifkan banjir sebagai; A flood is relatively high flow which overtaxes he natural channel provided for the runoff

2.2.2

Jenis-Jenis Banjir

Banjir di Malaysia boleh dibahagikan kepada 3 jenis berikut yang mana ianya dikelaskan mengikut tempoh dan keamatan hujan yang turun serta kerosakan yang diakibatkan oleh banjir tersebut:(i) Banjir Kilat (ii) Banjir Kawasan

8 (iii) Banjir Empangan

2.2.2.1 Banjir Kilat

Hujan yang turun dengan jumlah keamatan yang besar disesebuah kawasan terutamanya dikawasan bandar akan menyebabkan banjir kilat berlaku kerana air larian tidak mampu disalirkan oleh system saliran kekawasan tadahan yang lebih besar. Ianya berlaku dalam masa yang singkat dan mengakibatkan kerosakan yang teruk. Antara punca-punca berlakunya banjir kilat ialah: Muatan pembentung dan parit yang tidak cukup besar dari segi saiz untuk menampung air larian Pengaliran yang tidak sempurna disebabkan oleh saliran yang tersumbat oleh sampah sarap atau halangan Hakisan dan tanah tebing parit runtuh menyebabkan parit menjadi tohor Kebanyakan kawasan lapang yang telap air telah digantikan dengan pembinaan aspalt dan konkrit

2.2.2.2 Banjir Kawasan

Banjir kawasan yang berlaku sebenarnya lebih serius berbanding banjir kilat kerana ia meliputi satu kawasan yang besar dan ianya mengambil masa yang panjang untuk surut. Punca utamanya adalah disebabkan oleh sistem saliran yang lemah dan

9 tidak dapat menampung lebihan air hujan dan penyusupan air larian semasa hujan turun secara berterusan.

2.2.2.3 Banjir Empangan

Banjir empangan jarang sekali berlaku di negara kita kerana kesemua empangan yang telah direkabentuk mengambil kira faktor air lebihan. Kegagalan dan kesilapan manusia dalam merekabentuk empangan merupakan punca kepada kejadian banjir empangan. Sekiranya kejadian ini berlaku, ianya boleh menyebabkan kadar kematian yang tinggi dan kemusnahan harta benda yang tidak ternilai.

2.2.3

Kajian Hidrologi

Hidrologi merupakan kajian mengenai pergerakan air di atas dan pada permukaan bumi. Ianya berkaitan dengan berbagai bentuk lembapan yang terjadi, perubahan bentuk antara keadaan cecair, pepejal dan gas dalam atmosfera serta dalam lapisan-lapisan permukaan bumi. Manakala, kitaran hidrologi pula didefinisikan sebagai proses yang bermula dari sinaran matahari yang mengakibatkan proses penyejatan air laut yang kemudiannya dibentuk menjadi awan dan dibawa oleh angin ke daratan seterusnya turun sebagai hujan ke bumi sebagai air larian permukaan. Air yang terkumpul di dalam sungai akan mengalir semula ke laut. Proses ini berlaku berterusan secara semulajadi. Tidak semua hujan yang turun ke bumi menjadi air larian permukaan tetapi sebaliknya berlaku beberapa kehilangan yang dipengaruhi oleh sifat-sifat tanah seperti: Strata geologi

10

Faktor guna tanah Jenis tanah

Berpunca daripada masalah ini, kehilangan yang mungkin akan terjadi adalah: Penyusupan (Infiltration)

Air atau hujan masuk ke dalam tanah terus ke paras air bumi. Pemintasan

Air atau hujan tidak terus ke tanah kerana terhalang oleh bangunan dan tumbuhan. Penyejatan Air bertukar sifat menjadi wap akibat daripada sinaran matahari. Perpeluhan (transpiration) Air atau hujan yang turun digunakan oleh tumbuh-tumbuhan untuk tujuan fotosintesis. Air larian permukaan adalah lebih tinggi dikawasan yang mempunyai kadar kebolehtelapan yang rendah seperti dikawasan bandar-bandar. Air larian yang tinggi ini sekiranya tidak dikawal akan mengakibatkan banjir. Oleh yang demikian sistem saliran yang sempurna serta berkemampuan menampung kadaralir yang tinggi perlu diadakan bagi menangani masalah banjir.

2.2.4

Perbandaran

11 Pembangunan yang pesat yang berlaku dikawasan-kawasan yang sedang membangun terutamanya kawasan bandar telah mengakibatkan perubahan kepada bentuk muka bumi dan fungsi sebenar agen alam sekitar. Air merupakan keperluan utama kepada manusia mahupun alam persekitaran bagi meneruskan kehidupan harian. Masalah-masalah yang melibatkan air sebagai sumber asas dan agen alam sekitar yang sangat diperlukan adalah berada dalam keadaan kritikal di kawasan perbandaran. Ini kerana ianya melibatkan penyelenggaraan dari aspek kualiti dan kuantiti air yang dibekalkan untuk kegunaan harian, rekreasi dan kebajikan asas serta kesan yang timbul seperti banjir, sistem perparitan, hakisan dan pemendapan.

2.2.5 Hidrologi Perbandaran

Hidrologi perbandaran adalah berasal daripada pengecilan skop kajian yang terdapat dalam bidang hidrologi. Ianya diberikan penumpuan kerana mempunyai hubungan yang kompleks dengan aktiviti manusia di dalam sesuatu penempatan utama dengan adanya sokongan agen alam sekitar iaitu air, udara dan tanah. Pertambahan penduduk disesuatu kawasan mampu mengubah bentuk kawasan alam semulajadi kepada pelbagai bentuk pembangunan sejajar dengan matlamat untuk memenuhi segala keperluan manusia. Perubahan yang berlaku akibat pembangunan sebenarnya hanya mengambil masa yang singkat berbanding dengan proses hidrologi itu sendiri yang mengambil masa yang panjang untuk berubah. Pembangunan yang pesat ini juga menyumbang kepada penambahan jumlah air sisa domestik yang dilepaskan serta turut menambahkan jumlah air larian permukaan.

12

RAJAH 2.1 Rajah Menunjukkan Kitaran Hidrologi Di Kawasan Semulajadi Petikan : Richard M. C Cuen ( Hydrology Analysis And Design )

13

RAJAH 2.2 Rajah Menunjukkan Kitaran Hidrologi Di Kawasan Perbandaran ( Dibangunkan ) Petikan : Richard M. C Cuen ( Hydrology Analysis And Design )

14

2.3

Punca Perbezaan Air Larian Permukaan

Perbezaan jumlah air larian permukaan dipengaruhi oleh pengaruh iklim dan pengaruh daripada ciri-ciri kawasan tadahan.

2.3.1

Pengaruh Iklim

Pengaruh iklim terhadap jumlah air larian dapat dikaitkan dengan beberapa perkara yang penting seperti keamatan hujan, kekerapan hujan, tempoh hujan turun, agihan hujan di kawasan tadahan, kelembapan tanah dan keadaan iklim lain yang mempengaruhi jumlah penyejatan dan transpirasi.

2.3.2

Pengaruh Oleh Ciri-Ciri Tadahan

Beberapa faktor perubahan jumlah air larian permukaan yang disebabkan oleh ciri-ciri kawasan tadahan ialah:-

2.3.2.1 Faktor Guna Tanah

Perubahan penggunaan daripada kawasan alam semulajadi kepada kawasan pembangunan terutamanya di kawasan bandar bagi tujuan pembangunan perumahan

15 dan industri telah menyebabkan peningkatan kapasiti dan kadar alir air larian. Ini kerana tanah-tanah yang dahulunya telap air seperti kawasan padang dan lapang telah digantikan kepada bahan tak telap air seperti asphalt, konkrit dan sebagainya. Oleh itu faktor sebegini haruslah diberi perhatian untuk merekabentuk sesuatu sistem saliran yang sistematik dan efisien. Kesan-kesan daripada aspek penggunaan tanah adalah seperti berikut:i. ii. iii. iv. Perubahan pada sifat aliran puncak Perubahan pada kualiti air. Perubahan pada sifat-sifat hidrologi air. Perubahan pada kapasiti air larian yang terhasil.

2.3.2.2 Jenis Tanah

Nilai penyusupan bagi sesuatu jenis tanah yang dipengaruhi oleh saiz tanah, bentuk tanah dan susunan partikel tanah ( Lihat Jadual 2.1). Bahan pelekat yang boleh mengembang dan mengecut yang terdapat dalam partikel tanah juga mempengaruhi kadar penyusupan kerana mempunyai kandungan lembapan yang berbeza. Jadual 2.1: Nilai Kebolehtelapan Untuk Berbagai-bagai Jenis Tanah JENIS TANAH Kerikil Pasir Kelodak Tanah NILAI KEBOLEHTELAPAN 10 - 103 10-2 - 10 10-5 - 10-2 < 10-5 SIFAT ALIRAN Baik Baik Lemah Tidak Boleh Telap

16 Petikan : Struktur Mekanik Tanah 2.3.2.3 Keluasan Kawasan Tadahan

Keluasan sesuatu kawasan tadahan adalah penting dalam menentukan jumlah air larian permukaan yang mengalir di sesuatu kawasan. Kawasan tadahan yang luas biasanya mempunyai air larian yang banyak berbanding dengan kawasan tadahan yang kecil.

2.3.2.4 Kedudukan Dari Paras Laut

Faktor kedudukan dari aras laut adalah dikaitkan dengan suhu dan hujan di sesuatu kawasan tadahan. Nilai suhu untuk ketinggian yang berbeza adalah tidak sama dan ini akan mempengaruhi jumlah kehilangan air seperti kehilangan akibat penyejatan dan transpirasi yang secara langsung memberi kesan ke atas jumlah air larian.

2.3.2.5 Jenis Tumbuh-tumbuhan

Jenis tumbuh-tumbuhan adalah berkaitan dengan jumlah pemintasan yang berlaku ke atas air hujan.

17 2.3.2.6 Faktor Geologi

Faktor geologi kawasan adalah seperti bentuk muka bumi dan keadaan persekitarannya.

2.3.2.7 Kecerunan Kawasan Tadahan

Faktor kecerunan kawasan tadahan adalah berkait rapat dengan kadar penyusupan, air larian, kelembapan tanah dan agihan air bawah tanah yang menyumbang kepada aliran sungai. Ia merupakan faktor utama yang mengawal masa aliran di atas tanah dan masa penumpuan bagi hujan yang menyebabkan berlaku perubahan kepada jumlah air larian permukaan sesuatu kawasan yang bercerun berbanding dengan kawasan landai.

2.4

Kesan Pembangunan Ke Atas Hidrologi Perbandaran

Pembangunan pesat terutamanya di kawasan bandar menyumbang kepada kesan sampingan ke atas kitaran hidrologi. Pemaju hanya memberikan tumpuan dalam mengaut keuntungan dan berkemungkinan besar tidak pernah terpikir langsung mengenai kesan ke atas kitaran hidrologi. Kesan-kesan ke atas hidrologi perbandaran adalah seperti berikut:-

18 2.4.1 Pengubahsuaian Kepada Keseimbangan Air

Keseimbangan air di kawasan tadahan berubah akibat pembangunan. Ini berlaku kerana perubahan ciri kawasan semulajadi yang diubah kepada kawasan pembangunan. Kawasan semulajadi yang terdiri daripada tumbuh-tumbuhan, bukitbukau dan sungai telah berubah menjadi kawasan perbandaran yang terdiri daripada jalanraya dan bangunan.

2.4.2

Tindakbalas Ke Atas Legeh

Keseimbangan air yang telah berubah di sesuatu kawasan tadahan akan menyebabkan berlakunya kesan-kesan lain. Kadar penyusupan akan berkurang kerana lapisan tidak telap air akan bertambah dimana permukaan semulajadi berubah dengan pembinaan yang menggunakan bahan seperti konkrit dan berbitumen. Kesan ke atas legeh dipercepatkan untuk sesuatu kejadian hujan dimana masa untuk mencapai kadaralir puncak adalah lebih cepat di kawasan perbandaran berbanding dengan kawasan tadahan semulajadi. Keadaan ini akan menyebabkan jumlah air larian bertambah dengan cepat dan menyebabkan banjir kilat mudah berlaku. Kesan kepada kualiti air sungai di kawasan perbandaran adalah begitu ketara kerana dengan bertambahnya kawasan pembangunan. Jumlah pembuangan sisa domestik akan bertambah dan akan mengakibatkan pencemaran sungai.

19 2.5 Sistem Saluran

Kecekapan sesuatu sistem saluran sebenarnya diukur dari segi kemampuannya menampung kadaralir. Tujuan utama sesuatu sistem saluran ini adalah untuk mengalirkan air larian daripada kawasan tadahan yang rendah seperti kawasan jalanraya, bangunan, kawasan berturap dan lain-lain lagi. Rekabentuk sistem sistem yang cekap dan efisien akan dapat memberi kebaikan dalam mengatasi masalah lebihan air yang berlaku terutamanya pada musim hujan.

2.5.1. Saluran Semulajadi

Sistem ini merupakan sistem saluran tradisional yang tidak direka oleh manusia dan ia terbentuk dengan sendirinya disebabkan hakisan semasa pengaliran air dari kawasan tinggi ke kawasan yang lebih rendah. Contohnya seperti sungai, anak sungai, mata air dan sebarang saluran di bumi yang terjadi secara semulajadi. Sifat hidrauliknya adalah tidak tetap dimana sentiasa berubah mengikut tempat dan masa. Saluran semulajadi juga sebenarnya termasuk dalam kategori saluran tak prismatik.

2.5.2

Saluran Buatan

Sistem ini merupakan saluran yang dibina dan direkabentuk oleh manusia. Ianya bertujuan sebagai pengairan untuk sesuatu kawasan untuk kegunaan kawasan pertanian,saluran banjir, tali air, parit dan pembentung. Ianya juga berfungsi sebagai satu sistem pengawalan banjir iaitu dengan mengambil kira kapasiti air larian yang perlu ditampung apabila berlakunya banjir kilat. Sifat hidrauliknya adalah tetap

20 mengikut masa dan tempat. Ianya boleh dikawal untuk sebarang keadaan mengikut keperluan. Contohnya seperti saluran prismatik, flum, pelongsor, penurun dan pembentung.

2.5.2.1 Prismatik

Saluran prismatik mempunyai bentuk keratan rentas dan kecerunan dasar yang tetap. Mana-mana saluran yang tidak mempunyai kedua-dua kriteria ini dinamakan tak prismatik.

2.5.2.2 Flum

Flum adalah saluran terbuka yang dibina di atas permukaan tanah untuk membawa air melalui lekukan.

2.5.2.3 Pembentung

Pembentung mempunyai bentuk yang tertutup tetapi air mengalir dengan permukaan bebas seperti di bawah jalanraya. Bentuk pembentung biasanya berbentuk bulat ataupun segiempat. 2.5.2.4 Pelongsor dan Struktur Penurun

21

Pelongsor adalah saluran terbuka yang mempunyai cerun curam. Struktur penurun pula adalah lebih pendek daripada pelongsor juga mempunyai cerun curam.

2.5.2.5 Terusan

Terusan ialah saluran terbuka yang panjang dan berkecerunan landai. Terusan dibina daripada tanah biasa atau dilapisi dengan simen, konkrit, kayu atau lapisan buatan yang lain.

2.5.3

Ciri-Ciri Sistem Saluran Yang Efisien

Sistem saluran yang efisien sebenarnya perlu mengambilkira faktor-faktor seperti penggunaan tanah, keamatan dan tempoh lebat hujan, keadaan topografi, pertumbuhan penduduk di sesuatu kawasan, keluasan kawasan tadahan dan jenis tanah. Antara ciri-ciri saluran yang efisien seperti:i. Sistem perparitan haruslah dibina di sepanjang jalanraya dan kawasan penempatan. ii. Sistem saluran mestilah berkeupayaan mengalirkan air dengan pantas dan berterusan tanpa berlaku limpahan keluar. iii. Sistem saluran mestilah mempunyai kecerunan yang sesuai dimana ianya tidaklah terlalu curam dan tidak terlalu rendah. Faktor ini penting bagi

22 mengelakkan halaju air yang tinggi akan menyebabkan hakisan dan halaju yang sangat perlahan akan berlaku mendakan pada saluran. iv. Sistem saluran boleh mengalirkan air dengan muatan ke tempat lebih rendah dan selamat.

2.6

Kesan-Kesan Banjir Kilat di Kawasan Perbandaran

Banjir kilat yang berlaku terutamanya di kawasan bandar sememangnya merupakan isu yang hangat terutamanya apabila tibanya musim hujan. Hujan yang berterusan mampu membawa kepada pelbagai kesan terutamanya kepada manusia, infrastruktur dan lain-lain lagi. Ini sekaligus akan mengganggu kehidupan normal manusia dalam menjalankan pelbagai aktiviti harian dan kerugian yang ditanggung oleh pelbagai pihak. Antara kesan-kesan yang timbul akibat banjir ialah: Kerosakan harta benda seperti peralatan elektrik dan perabot. Kerosakan pada jalanraya berlaku kerana peningkatan kelembapan tanah dan jalan yang berturap mudah pecah serta berlubang. Kehilangan nyawa berlaku kerana mangsa tidak sempat hendak menyelamatkan diri disebabkan ianya berlaku dengan cepat. Kesesakan lalulintas berlaku kerana peningkatan paras air di atas jalanraya dan menyebabkan banyak jalan terpaksa ditutup. Ini lebih ketara sekiranya berlakunya banjir di jalan-jalan utama. Kenderaan terpaksa bergerak perlahan ekoran daripada kejadian tersebut. Pencemaran adalah perkara yang sememangnya akan berlaku kerana banjir akan membawa bersama sampah-sarap dan bahan-bahan kotoran

23 lain. Apabila banjir telah surut, sampah-sarap tersebut dapat diperhatikan berselerakan di merata tempat dan bau busuk juga akan timbul.

2.7

Punca-Punca Banjir di Kawasan Perbandaran

Berbagai-bagai punca telah dikenalpasti menyumbang kepada punca banjir. Antaranya seperti:-

2.7.1

Saiz Saluran Tidak Mencukupi

Saiz parit yang kecil dikebanyakan kawasan dalam bandar menyebabkan banjir kilat berlaku. Ianya merupakan parit-parit lama yang dibina berdasarkan pembangunan pada masa tersebut dan akibat daripada pembangunan yang pesat, kini parit-parit berkenaan tidak lagi mampu menampung kapasiti air larian yang besar. Masalah yang dapat diperhatikan seperti pembentung yang terdapat di bawah jalan besar skudai tidak lagi berkemampuan menampung kadaralir dari kawasan hulu.

2.7.2

Sekatan Pengaliran

Sikap penduduk yang suka membuang sampah ke dalam sungai atau parit akan menyekat pengaliran air. Selain daripada itu kelodak yang terkumpul akibat kerja-kerja pembangunan yang tidak dikawal dan hakisan yang tebing akan menyebabkan parit menjadi tohor dan mengurangkan kapasiti pengaliran air.

24

2.7.3

Sekatan Oleh Saluran Kemudahan Awam

Pembinaan saluran kemudahan yang telah ditanam merintangi muka keratan parit akan menyekat dan memerangkap sampah-sarap dan menghalang aliran air. Ini dapat diperhatikan bahawa paip PUB yang terdapat di atas parit akan menghalang pengaliran air.

2.7.4

Penyelenggaraan Yang Kurang Terancang

Sistem saluran terutamanya di kawasan bandar perlu mempunyai jadual penyelenggaraan yang lebih kerap bagi menjamin kapasiti pengaliran air ke tahap yang maksimum.

2.8

Kaedah Penganggaran Air Larian

Sesuatu kejadian banjir berlaku apabila air larian permukaan yang berlebihan di kawasan tadahan atau pada tebing sungai. Penganggaran air larian adalah penting untuk meramal kemungkinan kejadian banjir itu berlaku. Kaedah-kaedah menganggar air larian bagi suatu kawasan tadahan atau sungai boleh dibahagikan kepada dua kategori iaitu model simulasi hidrologi berkomputer atau pun kaedah konvensional.

25

2.8.1

Model Simulasi Hidrologi Berkomputer

2.8.1.1 SWMM

Storm Water Management Model (SWMM) mula diterbitkan oleh Metcalf & Eddy untuk Environmental Protection Agency (EPA) pada tahun 1969-1971. Model ini merupakan perisian kejuruteraan profesional untuk mensimulasikan sistem hidrologi di kawasan bandar (Philip B.Bedient, 1993). Model ini telah mengalami beberapa perubahan untuk meningkatkan keberkesanannya dalam pengurusan air ribut pada kawasan bandar. Model ini dapat menentukan kuantiti dan kualiti air larian, kemudahan-kemudahan rawatan dan kos untuk merekabentuk sistem saliran hujan ribut.

2.8.1.2 MIKE 11 NAM

MIKE 11 NAM merupakan perisian kejeuruteraan hidrologi untuk mensimulasikan aliran sungai, kuantiti dan kualiti air serta pergerakan enapan di sungai, tasik, terusan, empangan dan struktur hidraulik yang lain. Simulasi yang dihasilkan adalah penting dalam meramal berlakunya banjir. MIKE 11 NAM merupakan model curahan air larian permukaan. Proses simulasi dengan menggunakan model ini merupakan satu pilihan yang sesuai kerana keputusannya lebih tepat dan cepat. Dengan itu, jurutera hidrologi dapat memudahkan kerja mereka dengan meramal segala kejadian yang berkemungkinan akan berlaku dan membuat perancangan dengan lebih teratur. Namun begitu, teknik mensimulasikan

26 kadar alir sungai merupakan teknik yang agak baru di Malaysia. (Chung Ling,Lee, 1998)

2.8.1.3 RORB

Run Off Routing (RORB) merupakan model hidrologi yang diterbitkan oleh Universiti Monash, Australia untuk meramal banjir akibat air larian di kawasan bandar atau luar bandar. Model ini mensimulasikan satu rangkaian model penyimpanan yang serupa dengan bentuk rangkaian aliran yang sebenar di kawasan tadahan. Model ini juga dapat merekabentuk alur limpah dengan mengira hidrograf aliran masuk rekabentuk dan menentukan dimensi-dimensi yang dikehendaki. Ia juga dapat menggambarkan rangkaian sungai, aliran masuk dan keluar dari sistem saluran. Namun begitu, model ini hanya tertumpu kepada kejadian pendek di mana kesan-kesan akibat proses penyejatpeluhan, pengagihan semula air bawah tanah dan kelembapan tanah tidak dipertimbangkan. Ia juga menganggap arah aliran adalah sentiasa sama dan ia tidak dapat menukarkan arah aliran untuk suatu kejadian hujan dan kesan air balikan juga diabaikan.

2.8.1.4 ILLUDAS

27 Illinos Urban Drainage Area Simulator (ILLUDAS) adalah berdasarkan timearea method dan persamaan Horton untuk menganggar kadar penyusupan dan jumlah air larian di kawasan telap. Ia boleh juga menghasilkan hidrograf rekabentuk air hujan yang lengkap dengan membuat anggaran isipadu dan kadaralir puncak. Model ini dapat mengira saiz saluran bulat yang diperlukan untuk menampung kapasiti air larian yang melalui saluran tersebut. Model ini banyak digunakan di Amerika. (Wayne, C.H.,1993)

2.8.1.5 RSWM

Regional Stormwater Model (RWSM) ialah perisian komputer yang mengkaji penyaluran air larian di kawasan bandar, luar bandar, sebahagian bandar dan sebahagian luar bandar. Ia digunakan untuk menganggar banjir, merekabentuk kawalan banjir serta mengkaji kesan pembandaran terhadap ciri-ciri banjir dalam kawasan tadahan. Ia diterbitkan pada tahun 1974 dan digunakan secara meluas di Australia, Indonesia dan Malaysia.

2.8.2 Kaedah Konvensional

28 2.8.2.1 Kaedah Rasional (Rational Method)

Kaedah Rasional adalah salah satu kaedah yang mudah dan biasa digunakan dalam hidrologi perbandaran. Ia boleh menganggar kadar alir puncak di kawasan tadahan yang mempunyai keluasan kurang dari 2.5 km2 dan digunakan dalam merekabentuk sistem perparitan dan pembentung. Formula yang biasa digunakan ialah:-

QP=kcCiA Di mana, QP Kc C i A = = = = =

(persamaan 1)

kadar alir puncak (m3/s) faktor penukaran unit luas pekali air larian keamatan hujan purata keluasan kawasan tadahan

Dalam kaedah rasional, keamatan hujan merupakan faktor utama dalam meramal banjir di sesuatu kawasan. Ia bergantung kepada masa perjalanan hujan dari titik paling jauh ke stesen penolokan yang dikenali sebagai masa tumpuan, te. Namun begitu, ia hanya sesuai untuk membuat anggaran banjir di kawasan tadahan yang seluas 0.3-100 km2 dan untuk kawasan yang berkecerunan yang dibenarkan antara 0.10.8%. Penganggaran ini dibuat secara statistik antara sebaran frekuensi bagi hujan rekabentuk dan banjir rekabentuk.

2.8.2.2 Kaedah Hidrograf

29 Unit hidrograf boleh ditakrifkan sebagai hidrograf bagi air larian permukaan hasil daripada suatu kejadian hujan yang mempunyai keamatan seragam dan tempoh tertentu. (H.M. Raghunath, 1985). Hidrograf boleh dibahagikan kepada dua bahagian penting iaitu air larian dan aliran dasar. Air larian merupakan bahagian air sungai yang disebabkan oleh air hujan manakala bahagian aliran dasar pula disebabkan oleh air bumi (C.O. Winsler, 1995). Kaedah unit hidrograf yang diterbitkan untuk hidrograf banjir biasanya digunakan unutk kawasan yang mempunyai cacatan rekod banjir yang sederhana. Kaedah unit hidrograf mengambil kira semua faktor logik yang mempengaruhi hidrograf banjir akibat hujan lebihan. Namun begitu dalam penerbitan unit hidrograf dari hujan lebihan mempunyai tempoh panjang adalah satu proses yang amat sukar dan memakan masa. Kaedah ini tidak dapat menganggar banjir dengan tepat di kawasan bandar dan kawasan tadahan yang mempunyai empangan besar.

2.8.2.3 Rumus Empirik

Rumus Empirik digunakan dalam pengiraan kadaralir banjir sekiranya data hidrologi yang diperolehi tidak mencukupi. Dalam penggunaan rumus ini, keadaan fizikal kawasan tadahan adalah faktor yang paling mempengaruhi kadaralir banjir. Rumus kadaralir banjir alah seperti berikut:-

Q= CAn Di mana, Q C = =

(persamaan 2)

kadaralir banjir (m3/s) angkali bergantung kepada cuaca dan kawasan tadahan

30 A n = = luas kawasan tadahan (km2) indeks (0.5-1.25)

2.9

Kaedah Amalan Sebenar Pengukuran Kadaralir

Nilai kuantiti dan kualiti sesuatu sungai adalah dipengaruhi oleh keadaan cuaca serta penggunaan tanah kawasan berkenaan. Dalam kerja perancangan, kawalan banjir adalah penting untuk mengetahui akan sifat-sifat sesuatu sungai yang dimaksudkan dari segi kualiti dan kuantiti aliran. Penilaian kuantiti aliran sungai di tapak adalah penting bagi memperolehi data-data yang sebenar. Secara umumnya, pencerapan rekod aliran sungai yang sistematik dari semasa ke semasa adalah seperti berikut:(i) (ii) (iii) (iv) (v) Memilih tapak stesen tolok. Pengukuran aras air berterusan setiap jam/ harian. Pengukuran kadaralir dari semasa ke semasa. Mendapatkan hubungan antara aras air dengan kadaralir. Mengubah data aras air kepada kadaralir dengan lengkungan kekadaran. (vi) Mengeluarkan data yang diperlukan untuk kegunaan yang sesuai.

31

2.9.1

Kaedah Pengukuran di Tapak

Penentuan langsung kadar alir sungai biasanya dilakukan dengan pengukuran kedalaman dan taburan halaju pada keratan yang sesuai. Kaedah yang digunakan bergantung kepada faktor-faktor seperti:(i) (ii) (iii) (iv) (v) Bentuk muka bumi. Keberkesanan kaedah dan alat yang digunakan. Ketepatan kaedah yang digunakan. Kederasan arus sungai. Saiz dan kedalaman sungai.

Amnya, kaedah yang biasa digunakan di tapak adalah:(a) Kaedah Pengukuran dari Jambatan (bridge Gauging) Untuk sungai yang tidak mempunyai arus yang deras dan lumpur, keratan rentas yang seragam serta bebas dari tumbuhan pertanian (vegetation growth). (b) Kaedah Pengukuran Sounding / Wading rodes Untuk sungai yang cetek yang mana kedalamannya kurang daripada 4 meter dan halajunya kurang daripada 0.5 m/s. (c) Kaedah Pengukuran Rintangan Kabel dengan Pemberat di Hujung Untuk sungai yang dalam dengan arus deras dan saiz pemberatnya bergantung kepada anggaran halaju maksimum sungai. (d) Kaedah Pengukuran Menggunakan Bot

32 Cara ini sesuai digunakan untuk sungai yang mempunyai lebar yang luas dan dalam. (e) Kaedah Pengukuran Mengharung (Wadding Gauging) Cara ini sesuai untuk kawasan sungai yang cetek, tiada arus yang deras dan tidak merbahaya.

2.9.2

Pengukuran Cara Mengharung

Kaedah termudah untuk mengukur kadaralir pada keratan terpilih atau di stesen cerapan adalah dengan menggunakan Kaedah Mengharung. Formula yang digunakan di dalam praktis adalah:
n

Q = vi Ai
i =0

(persamaan 3)

Dimana, Ai vi n = = = luas keratan rentas bagi seksyen i halaju purata seksyen i nombor seksyen

Prosedur yang terlibat adalah membahagikan keratan rentas sungai kepada beberapa seksyen pugak tetapi tidak melebihi daripada 1/5 lebar keratan (BS 3680). Penentuan ukur dalam secxara pugak setiap seksyan adalah penting untuk menentukan sama ada sistem perparitan atau sungai tersebut berada pada bahagian berukuran dalam atau cetek. (i) Bahagian cetek (kurang daripada 1.5kaki)

33 Cerapan meter arus ditentukan pada kedalaman 0.6D (ii) Bahagian dalam (lebih daripada 1.5kaki) Cerapan meter arus pada kedalaman 0.2D dan 0.8D di bawah permukaan air dan purata kedalaman dicatatkan.

2.10

Kaedah Kaedah Pengawalan Banjir

Pelbagai kaedah telah dilakukan bagi menangani masalah banjir yang melanda terutamanya di kawasan bandar: Membina kolam takungan sementara yang bertujuan menyimpan kuantiti air larian yang berlebihan yang tidak dapat ditampung oleh sistem saluran semasa musim hujan. Air larian ini akan dilepaskan selepas kapasiti air larian di dalam sistem saluran kembali normal. Membina tambak atau benteng untuk menghalang air daripada melimpah keluar semasa kapasiti air larian berada pada puncaknya. Memperbaiki sistem perparitan yang sedia ada dengan membuat penyelenggaraan seperti membuang sampah sampah sarap yang terperangkap di dalam sistem perparitan bagi mengelakkan masalah tersumbat. Memesongkan air larian dengan menambahkan sistem perparitan yang lain kepada sistem perparitan yang sedia ada untuk mengalirkan air larian ke kawasan yang tidak mudah ditenggelami air. Pengambilan balik tanah perlu dijalankan untuk mendapatkan rizab parit bagi memperbaiki sistem saluran sedia ada.

34

2.11

Kriteria Pemilihan Kaedah Pengawalan Banjir

Banyak faktor perlu diambilkira dalam memilih kaedah yang sesuai dalam mengawal masalah banjir untuk sesuatu kawasan: Kaedah penyelesaian yang optimum yang ekonomik , mudah dibina dan diselenggara. Nilai astetik kepada kawasan persekitarannya. Kesan jangka panjang dan jangka pendek ke atas kawasan persekitarannya. Kesan kepada penduduk setempat.

2.12

Ringkasan

Kajian literatur ini bertujuan untuk mendapatkan persediaan awal mengenai kajian banjir sebelum kajian yang lebih terperinci dijalankan. Ia juga merangkumi pelbagai aspek yang menerangkan mengenai hubungan kajian banjir dan kepentingannya, kitaran hidrologi, faktor-faktor yang mempengaruhi banjir, puncapunca berlakunya banjir dan juga kaedah pengawalan banjir yang efisien. Seperti yang diketahui bahawa banjir adalah sinonim dengan faktor hujan. Tetapi di dalam kajian ini ia juga menerangkan tentang faktor lain yang juga penyumbang kepada masalah banjir.

35

Kesemua aspek ini diberikan tumpuan bagi mendapatkan kaedah penyelesaian yang lebih ekonomi dan berkesan bagi mengelakkan berlakunya banjir pada masa akan datang yang disebabkan oleh pembangunan kawasan. Seperti yang diketahui, di Malaysia terdapat banyak kawasan yang berisiko tinggi untuk dilanda banjir. Oleh itu, kajian ini adalah penting untuk memastikan masalah banjir tidak berulang dan mengelakkan perkara-perkara yang tidak diingini daripada berlaku.

You might also like