You are on page 1of 2

GURU SEBAGAI WADAH PENERAP NILAI KEUNIKAN PELBAGAI UPACARA KUMPULAN ETNIK DI MALAYSIA, DALAM PROSES MEWUJUDKAN BILIK

DARJAH MESRA BUDAYA

Kepelbagaian upacara kumpulan etnik di Malaysia dapat dilihat sejak dahulu lagi apabila tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu. Pertambahan etnik ini berpunca daripada penghijrahan etnik lain ke Tanah Melayu sama ada menerusi pihak penjajah yang mentadbir pada masa itu ataupun secara perdagangan. Walaupun terdapat pertambahan etnik di Tanah Melayu, etnik Melayu asli masih kekal sebagai etnik utama sehinggalah Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan ditukarkan nama menjadi negara Malaysia. Sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, terdapat banyak proses pembangunan yang telah dilaksanakan oleh pemimpin negara sama ada dari segi pembangunan ekonomi, pembangunan wilayah atau pembangunan pendidikan rakyat. Namun begitu, dalam keasyikan kita mengejar pembangunan negara yang dicintai ini, kita tidak sedar bahawa masih ada beberapa perkara yang masih kita amalkan dalam kehidupan seharian sejak dahulu sehinggalah sekarang. Malah, perkara atau kepercayaan yang diamalkan tersebut tidak berlaku sebarang perubahan sejak dahulu. Bagi etnik Melayu, kepercayaan terhadap animisme masih wujud dalam hati walaupun peratusannya adalah kecil. Kepercayaan ini bukan sahaja mempengaruhi corak pemikiran seseorang individu, malah kepercayaan ini berkemungkinan dapat membawa kemudaratan kepadanya. Berdasarkan pembacaan saya dalam buku berjudul Budaya dan Bahasa Melayu (Masalah dan Harapan), hasil penulisan Mohd Taib Osman pada tahun 2005; beliau menyatakan bahawa kepercayaan terhadap perkara tahyul atau animisme ini akan membawa kepada perubahan corak pemikiran yang pelbagai seperti pemikiran alam ghaib. Pemikiran alam ghaib ini muncul dalam suasana ketidaktentuan atau seseorang mencari arah tuju. Pemikiran ini merupakan kepercayaan seseorang terhadap kuasa-kuasa luar biasa atau makhluk yang melampaui kejadian manusia ciptaan Tuhan. Sebagai contoh, manusia cenderung

mempercayai keupayaan bomoh atau pawang bagi mempengaruhi kuasa luar biasa dalam proses memperbetulkan keadaan seperti mengubati penyakit dan menilik nasib. Hal ini sebenarnya banyak membawa kesan negatif terhadap seseorang terutamanya murid-murid yang belum dapat berfikir secara rasional dan matang. Berdasarkan animisme ini, guru boleh menterbalikkan kepercayaan murid terhadap bomoh yang mampu mengubati penyakit kepada kepercayaan murid terhadap Allah s.w.t. yang dapat memberikan apa sahaja perkara baik yang diminta. Tetapi, guru perlu pandai membuat perubahan kefahaman murid agar mereka tidak terus sesat dalam mencari erti sebenar kehidupan. Situasi ini dapat mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya sekali gus dapat menghasilkan murid yang percaya akan kekuasaan Allah s.w.t.. Di dalam buku yang sama, penulis ada menimbulkan isu berkaitan pemikiran alam ghaib atau di dalam buku skrap digital yang saya hasilkan iaitu hubungan dengan alam ghaib. Jika kita kupas semula isu berkaitan pemikiran alam ghaib ini, maka kita akan mendapati bahawa bentuk pemikiran ini sebenarnya mempunyai kaitan rapat dengan sistem keagamaan terutamanya agama Islam. Pemikiran ghaib ini berlaku terhadap kepercayaan yang kuat orang Islam bahawa Allah s.w.t. itu sebenarnya wujud dan segala yang belaku di dunia ini telah ditentukan oleh-Nya. Melalui cara ini, guru dapat memanfaatkan pemikiran ini dengan mempengaruhi murid-murid secara positif bagi menggalakkan mereka belajar dalam keadaan yang kondusif serta selamat. Sebagai contoh, apabila terdapat murid yang melakukan kesalahan di dalam kelas, guru perlu memaklumkan kepada murid tersebut bahawa segala perkara baik atau buruk yang dilakukannya telah dilihat oleh Allah s.w.t. dan diberikan ganjaran pahala atau dosa walaupun murid tersebut tidak nampak kewujudan Allah secara nyata. Hasilnya, murid tersebut akan berasa takut dengan kewujudan Allah s.w.t. seterusnya cuba memperbaiki sikap agar menjadi insan yang lebih baik kelak. Kesimpulannya, guru harus bijak mengadaptasikan pelbagai teknik dan kaedah dalam usaha mewujudkan bilik darjah yang mesra budaya. Teknik dan kaedah ini perlu disesuaikan dengan sempurna dengan kemampuan murid dan latar belakang murid dalam sesebuah kelas agar semua murid dapat menikmati keselesaan dan rasa tenteram yang sama rata.

You might also like