You are on page 1of 5

KHUTBAH JUMAAT 06 SYAABAN 1432H BERSAMAAN 08 JULAI 2011M

HARGAI KEAMANAN LESTARI PEMBANGUNAN


Oleh: Ustaz Najion Jamil

JEMAAH JUMAAT YANG SAYA MULIAKAN! Kesudahan yang baik adalah bagi orang yang bertakwa. Maka, sama-samalah kita memanfaatkan kesempatan hidup di dunia ini untuk melaksanakan segala titah perintah Allah SWT dan meninggalkan segala perkara yang ditegah-Nya. Mudah-mudahan berkat keikhlasan, kesungguhan dan istiqamah kita dalam mematuhi undang-undang serta peraturan hidup yang telah ditentukan itu berhasil menganjakkan kita ke darjat takwa yang sebenar-benarnya di sisi Allah SWT. JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH! Sewaktu membuka kota Makkah, Nabi Ibrahim a.s. ada memohon doa kepada Allah SWT agar tanah Mekah dikurniakan keamanan dan rezeki yang melimpah-ruah bagi membolehkan penduduknya hidup aman sejahtera. Kisah ini terakam pada firman Allah:-


Yang bermaksud: "Dan (ingatlah) ketika nabi Ibrahim berdoa dengan berkata: Wahai Tuhanku! jadikanlah (negeri Mekah) ini negeri yang aman sentosa, dan berikanlah rezeki dari berbagai-bagai jenis buah-buahan kepada penduduknya, iaitu orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat di kalangan mereka (S. Al-Baqarah : 126). Permohonan Nabi Ibrahim tersebut dimakbulkan oleh Allah SWT seperti mana yang terakam pada firman-Nya:-


Yang bermaksud: Dan tidakkah mereka melihat dan memerhatikan bahawa Kami telah menjadikan (Mekah, negeri mereka) tanah suci yang dihormati, lagi aman; sedang orang ramai yang tinggal (di daerah-daerah) di sekeliling mereka sentiasa dicolek (untuk ditawan atau dibunuh)? Oleh itu, patutkah mereka percaya kepada perkara yang salah, dan kufur ingkar akan nikmat-nikmat Allah? (S. AlAngkabut: 67). Dua petikan firman Allah SWT ini membuktikan betapa keamanan dan kemakmuran sangat penting dan perlu bagi kehidupan manusia. Dengan wujudnya nikmat yang amat berharga dan tidak boleh dijual beli itu, manusia dapat merencana dan melaksanakan pelbagai kegiatan demi mencapai kesejahteraan hidup duniawi dan ukhrawi. Inilah sebabnya, golongan tua ataupun muda, kaya ataupun miskin, berpangkat atau tidak, penduduk desa ataupun penduduk kota, semuanya mendambakan keadaan dan suasana yang aman makmur bagi kelangsungan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara dalam keadaan sejahtera. JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH! Aman bererti bebas daripada sebarang bentuk ancaman yang mengganggu-gugat keharmonian hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara. Ini bermakna, keamanan yang rakyat dan Negara kita kecapi hingga ke hari ini bukan sahaja perlu disyukuri dan dihargai, malah perlu dipelihara dan dipertahankan oleh setiap lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum, keturunan dan fahaman politik. Ia dikira sebagai satu kewajipan memandangkan keadaan yang aman membolehkan kita melakukan pelbagai urusan kehidupan tanpa merasa takut, bimbang, resah, sangsi dan sebagainya. Oleh hal yang demikian, melakukan sesuatu perkara atau kegiatan yang boleh memudaratkan keharmonian serta kerukunan hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara adalah sangat dilarang kerana ia boleh menjejaskan keamanan, keselamatan dan kestabilan negara. Antara tindakan atau perkara yang boleh menimbulkan kesan tidak baik kepada kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara termasuklah menyebarkan ajaran serta fahaman yang bercanggah dengan syariat Islam, tunjuk perasaan bersifat provokatif dan liar, menanam kebencian terhadap sesuatu agama atau kaum, menyebar fitnah dan lain-lain lagi. Mereka yang terbabit dengan tindakan-tindakan atau perkara 2

seumpamanya dianggap melakukan perbuatan khianat terhadap agama, bangsa dan Negara. Dan, mereka yang sanggup serta tergamak mengkhianati agama, bangsa dan negaranya sendiri adalah golongan pelampau dan musuh dalam selimut. Kita selaku umat yang cintakan keamanan dan menitikberatkan soal keharmonian hidup beragama, bermasyarakat dan bernegara hendaklah sentiasa berwaspada terhadap tindak-tanduk golongan berkenaan supaya tidak terpengaruh dan terperangkap dengan cakap serta ideology mereka yang mengelirukan. Langkah ini selaras dengan nasihat yang diberikan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: Hendaklah kamu menjauhkan diri daripada bersikap pelampau, maka sesungguhnya umat sebelum kamu dibinasakan kerana bersikap melampau dalam agama. (HR. Ahmad). JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH! Nikmat keamanan dan kemakmuran yang kita kecapi hari ini tidak boleh sama sekali dikorbankan dengan tindakan-tindakan yang boleh menimbulkan keresahan, kebimbangan dan ketakutan sama ada kepada rakyat Negara ini mahupun orang asing yang bekerja, melancong dan melabor di sini. Demikian juga perpaduan rakyat berbilang agama dan kaum di Negara ini yang telah terjalin kukuh sejak dulu tidak harus diletak pada ambang retak mencari belah. Sebaliknya, semua pihak hendaklah menanamkan sikap bertolak-ansur, hormat menghormati serta saling faham-memahami yang tinggi sesama warga. Perpaduan yang dibina dengan ikatan tali ukhwah dan sikap saling menerima dan hormat-mengormati ini mesti ada kesinambungan sepanjang masa. Firman Allah:-


Yang bermaksud: Kerana kebiasaan aman tenteram kaum Quraisy (penduduk Mekah), (iaitu) kebiasaan aman tenteram perjalanan mereka (menjalankan perniagaan) pada musim sejuk (ke negeri Yaman), dan pada musim panas (ke negeri Syam), Maka hendaklah mereka menyembah Tuhan yang mengusai rumah (Kaabah) ini, Tuhan yang memberi mereka penghidupan; menyelematkan mereka dari kelaparan, dan mengamankan mereka dari ketakutan. ) S. Al-Quraisy: 1-4). Ayat ini mengingatkan kita semua supaya tunduk taat dan memperhambakan diri kepada Allah SWT terutama dalam keadaan kita yang hidup aman dan tenteram. Hanya ketundukan kepada perintah Allah SWT sahajalah nikmat keamanan, ketenteraman dan kemakmuran akan berkekalan dan bertambah. JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH! Perpaduan kaum yang berterusan sehingga hari ini amat menjelaskan hubungan baik yang telah terbina antara pelbagai suku kaum di Sabah khasnya dan Malaysia amnya sejak sekian lama. Ia adalah hasil daripada wujudnya semangat saling menerima dan sikap hormat-menghormati yang diwarisi oleh setiap kaum dan suku keturunan di Negara ini. Dan factor perpaduan inilah juga yang menatijahkan keadaan 3

dan suasana yang aman hatta membolehkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri melaksanakan pelbagai program pembangunan pendidikan, ekonomi, sosial dan sebagainya bagi meningkatkan taraf hidup rakyat. Malah, negara kita maju dan berjaya kerana terima dan menghargai realiti kepelbagaian rakyatnya. Kepelbagaian sifat, potensi, kemahiran dan pengetahuan yang dimiliki masyarakat berbilang agama dan kaum membolehkan kita mencapai kemajuan dan kemakmuran dalam tempoh yang singkat sehingga menggamit ramai warga asing bekerja di sini. Jadi, apakah kita mahu pembangunan pendidikan, ekonomi, sosial dan lain-lain lagi terbantut gara-gara mengikut rentak golongan minoriti yang kurang berpuas hati ataupun merasa iri dengan perpaduan, keamanan dan kemajuan yang kita kecapi hari ini? Yang pasti, sebagai rakyat yang beragama, waras dan mempunyai wawasan untuk mencapai kemajuan dalam semua sektor menginginkan segala program pembangunan bersifat rohani, jasmani dan sebagainya sama ada yang sedang dijalankan mahupun yang bakal dilaksanakan berjalan terus tanpa sebarang gangguan. Dalam erti kata lain, setiap rakyat hendaklah terus menghargai keamanan dan bersatu padu bagi melestarikan pembangunan demi faedah rakyat dan negara. Projek-projek yang dilaksanakan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) dan pembangunan ekonomi koridor Selatan, Utara, Timur, Sabah dan Sarawak perlu berkesinambungan untuk menganjak negara ke status Negara maju dan berpendapatan tinggi. Kesemuanya ini insya Allah akan melonjakkan tahap ekonomi setempat, sekali gus mengurangkan kadar kemiskinan dan menangani masalah pengangguran dan penghijrahan modal insan ke luar negara. JEMAAH JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH! Amatlah tidak wajar untuk menyerahkan tanggungjawab menjaga keselamatan dan keamanan sepenuhnya kepada polis dan tentera. Ini kerana kita selaku rakyat juga punya tanggungjawab dan kewajipan dalam memelihara keamanan dan keselamatan dengan mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang mendatangkan mudarat kepada agama, bangsa dan negara. Lakukanlah sesuatu yang bermanfaat demi agama, bangsa dan Negara mudah-mudahan keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati akan berkekalan. Pendek kata, hargailah nikmat keamanan sebelum datang bencana kehancuran selaras firman Allah SWT:-


Yang bermaksud: ...Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan; dan perbaikilah (dengan sebaik-baiknya segal usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (S. Al-Baqarah: 195)

:Diterbit & diedarkan Oleh Bahagian Penyelidikan dan Informasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah

You might also like