You are on page 1of 3

Berhemat asas pembangunan lestari

Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang

Di sebalik keluh-resah pengguna tentang penstrukturan semula harga bahan api, sebenarnya ada hikmah tersembunyi. Realitinya, semakin tinggi harga bahan api maka semakin tinggi pula keinginan kita mengurangkan tahap penggunaannya. Pengurangan ini bukan sahaja melibatkan minyak bahkan barangan, sumber dan perkhidmatan lain. Pengurangan tahap pengunaan bahan api dan sumber lain boleh dilakukan menerusi tiga kaedah iaitu mengelakkan pembaziran, meningkatkan kecekapan dan menukar teknologi atau sistem sedia ada supaya kadar penggunaan bahanapi lebih menjimatkan. Ketiga-tiga kaedah tersebut merupakan asas tindakan dalam konteks pembangunan lestari. Dalam sektor industri misalnya, konsep pembangunan lestari tidak terbatas kepada pengawalan bahan sisa dalam bentuk pepejal, cecair atau gas sahaja untuk mematuhi pelbagai peraturan dalam Akta Kualiti Alam Sekililing 1974. Pembangunan industri lestari juga perlu mengelakkan pembaziran sumber terutamanya bahan api, sumber asli dan air. Pada tahun 2003, saya mengetuai kumpulan penyelidik UTM menjalankan kajian penggunaan konsep industri lestari dalam industri kecil dan sederhana dengan kerjasama pelbagai agensi awam dan swasta, khususnya Jabatan Alam Sekitar Selain memastikan tidak berlaku pencemaran, konsep industri lestari juga menganjurkan penjimatan sumber seperti air dan tenaga. Biarpun konsep tersebut begitu menyeluruh dan ideal, namun tidak banyak pihak bersedia menerima pakai dengan alasan harga air dan bahan api murah. Jika pelaburan dibuat untuk meningkatkan kecekapan penggunaan air dan bahan api, pulangan kewangan tidak menarik. Hal sama berlaku dalam konteks promosi kitar semula air di pelbagai sektor. Banyak pihak tidak memberi komitmen dengan alasan sama, iaitu harga air murah dan lebih menjimatkan jika tidak melabur dalam teknologi kitar semula air! Dengan peningkatan mendadak harga bahan api maka kecenderungan menggunakan konsep industri lestari semakin meningkat. Sejak pengumuman penstrukturan semula harga bahan api Rabu lalu, saya dihubungi pelbagai pihak setiap hari untuk meminta khidmat nasihat tentang kaedah penjimatan tenaga dan sumber air di sektor industri. Pada pengamatan saya, banyak amalan rutin dalam organisasi dan industri membazirkan sumber secara tidak disedari, khususnya tenaga elektrik. Contohnya, semua lampu dipasang di pejabat pada waktu siang disebabkan langsir gelap, pendingin hawa dipasang pada suhu minimum walaupun hari

hujan dan pengering diguna tanpa mengambilkira cuaca panas boleh dimanfaatkan. Selain mengelak pembaziran, kita juga boleh mengurangkan penggunaan bahan api atau tenaga dengan meningkatkan kecekapan dari segi tempuh, kadar dan cara penggunaan. Kita juga boleh menggunakan teknologi baru yang lebih jimat tenaga. Banyak kereta model baru sudah ada di pasaran menggunakan pelbagai teknologi mesra alam seperti enjin hibrid dan bahan api hidrogen. Perkembangan ini meningkatkan kesedaran untuk mengguna tenaga alternatif. Dengan paras harga minyak mentah di pasaran dunia melebihi 130 dollar AS ketika ini, dan dijangka akan terus meningkat, maka banyak pihak cuba mencari jalan untuk mengurangkan pergantungan kepada minyak sebagai sumber tenaga dalam sektor pengangkutan, bekalan elektrik dan industri. Inisiatif tenaga alternatif selain minyak telah bermula lebih 50 tahun lalu menerusi penggunaan tenaga nuklear dan penjanaan kuasa elektrik hidro. Penggunaan biojisim masih digunakan dengan meluas di kalangan negara membangun tetapi tenaga berasaskan angin, suria dan hidrogen masih terhad. Laporan Program Pembangunan Bangsa-bangsa Bersatu (UNDP) pada April 2006 menyebut kira-kira 2.4 billion penduduk dunia masih lagi menggunakan bahan api biojisim secara tradisional untuk memasak dan sejumlah 1.6 billion masih tidak mendapat bekalan elektrik di rumah. Pada tahun 2000, Agensi Tenaga Antarabangsa melaporkan bahawa 56% penduduk China, 74% Indonesia, 58% India dan 89% gurun Sahara di Afrika, dan secara purata 52% di negara membangun masih menggunakan tenaga biojisim secara tradisional untuk memasak dan pemanasan. Penggunaan tenaga secara tradisional menerusi pembakaran terbuka ini mendatangkan banyak kesan sampingan yang negatif, terutamanya dari segi kesihatan dan alam sekitar. Trend penggunaan tenaga secara global ketika ini memang membimbangkan. Ini kerana lebih 50% bekalan tenaga dihasilkan daripada sumber berasaskan petroleum yang dijangka habis dalam tempuh tidak sampai 50 tahun lagi. Dari perspektif alam sekitar, penggunaan tenaga sinonim dengan pencemaran alam sekitar. Itu rasional agensi alam sekitar dan tenaga diletakkan di bawah satu bumbung di Denmark dan Sweden. Dalam konteks penggunaan bahanapi berasaskan petroleum misalnya, pencemaran alam sekitar berlaku sekurangkurangnya pada dua peringkat, iaitu penghasilan bahan api di pelantar dan loji pengeluaran, kemudian ketika dibakar dalam enjin kenderaan atau janakuasa elektrik. Di sini terhasil gas rumah kaca (GHG) yang menyerap dan memerangkap sinaran gelombang panjang sehingga meningkatkan suhu bumi. Sehubungan itu, inisiatif ke arah penggunaan sumber tenaga alternatif khususnya berasaskan solar, sisa organik dan hidrogen perlu dipergiatkan.

Penggunaan biofuel nampaknya tidak banyak membantu kerana kesan negatifnya kepada penghasilan makanan. Selain itu, inisiatif juga perlu ditumpukan untuk meningkatkan kesedaran awam mengelakkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan menggunakan tenaga. Pihak pengguna perlu disedarkan supaya mendapat khidmat pakar mengaudit barangan elektrik di rumah dan tempat kerja dan mendapat nasihat kaedah menjimatkan kos tenaga. Sebagai contoh, mengganti lampu biasa dengan model lampu jimat tenaga bukan sahaja boleh mengurangkan bil elektrik bahkan mengurangkan penghasilan GHG. Kajian di Amerika Syarikat mendapati jika model lampu jimat tenaga digunakan di semua rumah, kesannya sama dengan mengurangkan 7.5 juta kenderaan di jalan raya! Pada hemat saya, penstrukturan semula harga bahan api minggu lalu perlu dilihat secara positif ke arah meningkatkan kecekapan dan kelestarian cara hidup dan sistem kerja. Ini merupakan kesempatan terbaik untuk kita melakukan ajakan paradigma dari segi pengurusan alam sekitar secara lebih lebih menyeluruh dan proaktif.

Prof. Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang ialah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) dan profesor kejuruteraan alam sekitar di Universiti Teknologi Malaysia

You might also like