You are on page 1of 1

Monday, August 30, 2010

Pentaksiran Dalam Pendidikan Khas


PENTAKSIRAN

Pentaksiran adalah merupakan satu pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemah maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Segala maklumat yang diperolehi oleh pentaksiran akan dirujuk untuk memperbaiki kelemahan murid dan meningkatkan pencapaiannya. Pentaksiran yang dilakukan mestilah mengikut peringkat kebolehan dan standard perkembangan murid tersebut.

Pentaksiran juga memerlukan pengumpulan bukti dan data pencapaian murid dalam satu tempoh masa untuk mentaksir pembelajaran dan pemahamannya. Bukti dan data ini direkodkan dalam pelbagai bentuk seperti jurnal, lembaran kerja, portfolio dan beberapa jenis ujian seperti ujian diagnostik. Tujuan dalam pentaksiran dalam Pendidikan Khas adalah untuk memberi maklumat dan gambaran mengenai tahap penguasaan murid dalam pelbagai kemahiran seperti membaca, menulis dan sebagainya. Selain itu juga, melalui pentaksiran , kita juga dapat mengesan dan mengenalpasti punca masalah yang dihadapi murid dan merangka intervensi, strategi pengajaran dan penempatan yang sesuai mengikut tahap kebolehannya.

Dalam pentaksiran proses yang terlibat terdiri daripada lima komponen utama iaitu pengumpulan, analisis, penilaian, penentuan dan cadangan. Bagi pengumpulan, proses yang terlibat ialah mengesan dan mengumpul maklumat dari pelbagai sumber latar belakang maklumat seperti rekod sekolah, sejarah perubatan dan sebagainya. Bagi proses analisis, tindakan yang perlu diambil ialah melibatkan pemprosesan dan kefahaman mengenai corak sejarah pendidikan, social , perkembangan , persekitaran , perubatan dan emosi murid. Bagi penilaian pula, penilaian meliputi aspek akademik, emosi, persepsi, bahasa, fisiologi, kognitif dan perkembangan perubatan untuk menentukan tahap kekuatan dan kelemahan. Bagi proses penentuan pula, tindakan yang perlu diambil ialah penentuan cirri-ciri ketidakbolehan murid dan pengetahuan tentang criteria bagi setiap kategori kanak-kanak pendidikan khas. Bagi cadangan pula, proses ini melibatkan penempatan pendidikan dan program yang perlu dijalankan oleh guru sekolah dan guru kepada ibu bapa.

Menurut Peirangelo & Giullian, G (2006) , tujuan pentaksiran adalah untuk pemeriksaan dan pengenalpastian. Selain itu, pentaksiran juga bertujuan untuk menentukan kelayakan dan melakukan diagnosis serta dalam perancangan pengajaran dan penilaian.

You might also like