You are on page 1of 3

Sebanyak 11,226 kes keracunan makanan berlaku di sekolah di seluruh negara dari Januari sehingga 15 September lalu berbanding

5,613 kes pada tempoh sama tahun lalu, peningkatan lebih 100 peratus. Sekolah di Selangor merupakan paling tinggi dilaporkan berlaku kes keracunan dan diikuti oleh Kedah, Perak dan Kelantan. Gejala kes keracunan makanan biasa berlaku di negara ini dan kes ini kerap berlaku di sekolah-sekolah, khususnya di sekolah-sekolah yang membekalkan susu kepada muridmurid yang kurang mampu di luar bandar. Walau bagaimanapun, kejadian keracunan makanan pada umumnya bukan sahaja melibatkan kanak-kanak sekolah, tetapi juga orang dewasa dan kejadian sedemikian selalunya terjadi bukan di sekolah tetapi di gerai atau kedai makan ataupun di rumah mangsa sendiri. Mereka yang menjadi mangsa kadang-kadang mengalami gejala yang begitu teruk sehingga sakit perut dan muntah, cirit-birit, dan terpaksa dirawat di hoapital. Punca kejadian ini mesti dikenal pasti kerana kesannya bukan sahaja membimbangkan tetapi juga memalukan dan membahayakan. Keracunan makanan boleh berlaku disebabkan kekotoran. Kekotoran yang dimaksudkan meliputi kekotoran keadaan sekitar, air yang digunakan untuk membasuh bahan makanan, peralatan memasak, tukang masak dan makanan itu sendiri. Kawasan persekitaran yang dipenuhi sampah sarap akan menjadi sarang pembiakan serangga yang boleh menyebabkan air dan makanan tercemar. Merekayang memasak makanan mestilah memastikan bahawa air yang digunakan untuk membasuh makanan ialah air yang bersih , dan air yang mengalir. Jika air disimpan atau ditakung dan digunakan berkali-kali mungkin menjadi tidak bersih dan menyebabkan kuman yang terdapat pada bahan makanan masih ada pada makanan tersebut. Sesetengah bahan makanan pula, seperti makanan laut memang perlu dibersihkan dan dimasak dengan sempurna. Risiko keracunan adalah tinggi jika kebersihan bahan makanan mentah tidak dijaga. Bahan makanan yang sedia tercemar juga boleh menjadi punca keracunan makanan. Bahan makanan boleh dicemari oleh bakteria disebabkan makanan itu telah busuk atau bahan makanan mentahnya telah terdedah dan diharung oleh serangga, seperti lalat. Makanan yang telah busuk dan berkulat mengandungi mikroorganisma yang boleh menyebabkan seseoran itu sakit perut atau muntah apabila memakannya. Makanan dalam kotak atau dalam tin yang sudah luput tempoh boleh gunanya juga boleh menyebabkan keracunan. Susu kotak, jem, kek, kuih, dan makanan berjadual yang lain jika telah melewati tempoh, lebih baik dibuang daripada dimakan kerana risiko keracunan adalah tinggi. Selain

itu, bahan makanan juga boleh tercemar jika pemprosesan, penyimpanan, dan pengendaliannya tidak sempurna. Seterusnya, keracunan makanan juga disebabkan oleh tambahan bahan kimia yang berlebihan dalam makanan. Penambahan asid benzoik yang banyak dalam makanan, seperti dalam mi kuning, dan laksa boleh menyebabkan sakit perut dan sakit kepala kepada mereka yang memakannya. Tanaman yang ditabur dengan baja daripada bahan kimia, dan racun makhluk perosak secara berlebihan juga boleh menyebabkan keracunan makanan. Hal ini demikian disebabkan bahan kimia tersebut masih ada pada bahan makanan mentah, dan jika bahan makanan mentah itu tidak dibersihkan dengan sempurna dan tidak dimasak dengan cara yang betul, bahan kimia tersebut masih kekal. Pengambilan makanan yang sedemikian, terutamanya jika berlebihan bukan sahaja menyebabkan keracunan, malah dalam jangka panjang boleh menyebabkan penyakit berbahaya. Satu lagi sebab keracunan ialah makanan itu sendiri memang mengandungi bahan beracun, sama ada yang amat berbahaya ataupun yang hanya boleh membawa alahan kepada sesetengah orang. Ikan buntal, misalnya, sememangnya mengandungi bahan beracun yang berbahaya yang boleh menyebabkan kematian. Ikan buntal boleh menjadi hidangan tetapi kita harus tahu cara membuang racunnya. Kadang-kadang, kupang, ketam, dan kerang yang telah diserang bakteria vibrio yang bertoksin dan berbahaya juga boleh mendatangkan bahaya keracunan yang teruk. Ubi kayu juga mempunyai kandungan sianida dan linamarin yang merupakan sejenis racun. Makanan yang sedemikian memerlukan kaedah pemprosesan tertentu sebelum dimasak untuk menghilangkan bahan racunnya, dan mesti dimasak dengan sempurna. Makanan dan minuman yang sedia dimasak dan dihidang juga sekiranya tidak diurus dengan betul boleh menyebabkan masalah tersebut. Sebagai contoh, makanan yang tidak ditutup dengan sepenuhnya boleh diharung lalat, lipas, semut, dan sebagainya yang boleh menjadikannya tercemar. Kadang-kadang di dalam lauk-pauk yang terdedah, terdapat telur lalat yang boleh menyebabkan mereka yang alahan diserang penyakit apabila memakannya. Terdapat juga kes-kes yang tidak disengajakan, misalnya serbuk atau bahan pencuci terjatuh ke dalam periuk makanan tanpa disedari. Semua ini boleh menimbulkan gejala keracunan yang boleh membahayakan mereka yang memakannya. Intihanya, kita perlu berjaga untuk mengelakkan gejala keracunan

makanan. Kita perlu menjaga kebersihan dan mengawasi bahan makanan daripada pencemaran dari awal, iaitu semasa membeli bahan makanan mentah lagi sehinggalah kepada kerja-kerja pemprosesan, memasak dan menghidangkannya supaya kesihatan kita dan orang lain yang memakannya tidak terganggu. Kepada pengusaha makanan dan pengusaha kantin, terutamanya kantin di sekolah, peranan menjaga kebersihan makanan amatlah penting untuk mengelakkan gejala keracunan makanan dalam kalangan murid sekolah. Yang paling utama dalam hal ini ialah kesedaran dan rasa tanggungjawab untuk mengelakkan gejala keracunan.

You might also like