You are on page 1of 1

Tanah liat merupakan bahan asas dalam pembuatan seramik sejak zaman pra sejarah lagi.

Bahan ini dihasilkan secara semulajadi hasil kegiatan alam seperti debuan daripada batuan dipindahkan jauh melalui angin atau juga melalui hasil pergerakan ais. Terdapat beberapa jenis tanah liat yang digunakan untuk penghasilan produk berdasarkan kualiti tertentu. Pengkarya atau pereka seramik perlu memahami kualiti sifat plastik tanah liat sebelum menghasilkan produk. Pengetahuan tentang tanah yang bersifat plastik, poros dan suhu pembakaran amat penting dalam memastikan kejayaan menghasilkan produk seramik. Terdapat tiga jenis tanah liat yang utama iaitu jenis earthenware, stoneware dan porselin. Tanah ini dikenalpasti berdasarkan kekuatan dan kebolehan jasad ketika pembakaran. Sejarah membuktikan bahawa tanah jenis earthenware digunakan secara meluas sebagai produk berfungsi sejak zaman pra sejarah lagi. Tanah ini mempunyai kandungan kepelbagaian komposisi yang hanya sesuai untuk pembakaran pada suhu yang rendah. Ia tidak mampu bertahan pada suhu melebihi 1150 darjah selsuis kerana mempunyai bahan flux yang mampu memberikan kecacatan pada jasad jika melebihi suhu tersebut ketika proses vitrifakasi (perubahan menjadi kaca). Tanah jenis stoneware mempunyai berlainan sifat daripada tanah earthenware. Tanah stoneware ini dihasilkan melalui perkembangan teknologi tanur masa dahulu iaitu berupaya melakukan proses pembakaran pada suhu yang tinggi. Tanah ini mempunyai sifat fizikal yang kuat serta bebas calar jika dibakar pada suhu melebihi 1200 darjah selsius. Komposisi tanah ini mempunyai campuran bahan tanah liat, mineral dan grog iaitu daya poros serapan air pada jasad amat rendah berbanding tanah jenis earthenware. Walaupun sifat tanah stoneware dan earthenware ini berbeza tetapi kedua-dua tanah ini dihasilkan oleh alam semulajadi.

Rujukan: 1) Glen C Nelson, Ceramic, A Potter's Handbook 2nd Edition (New York: Holt, Rine Hart and Winston, 1966) 2) Frank and Janet Hamer, The Potter's Dictionary of Materials and Techniques (London: A & C Black, 1997) 3) Steve Mattison, The Complete Potter (london: Apple Press, 2003) 4) Anne Lightwood, Working With Paperclay and Other Additives (Marlborough: The Crowood Press Ltd, 2000) 5) Hugo and Marjorie Munsterberg, World Ceramic, From Prehistoric to Modern Times (Canada: Penguin Books Ltd, 1998) 6) Emmanuel Cooper, A History of World Pottery (Pennsylvania: Chilton Trade Book, 1988) 7)Tableking.com.au, "It is Fine China or Porcelain," http://support.tableking.com.au/article.aspx?cid=6213&aid=11888

You might also like