You are on page 1of 14

ADAT ISTIADAT KEBRUNEIAN SELARAS DENGAN ZAMAN

PENDAHULUAN Keunggulan sesuatu bangsa adalah dilihat melalui kesempurnaan akhlak dan peribadi individu yang menjadi ahli mesyarakatnya. Bangsa yang dimaksudkan berhasil membangun negara kerana wujudnya keamanan dan ketenteraman membolehkan setiap tenaga dan sumber yang ada difokus sepenuhnya kearah usaha melaksanakan rancangan kemajuan. Bagaimanakah wujudnya suasana yang dimaksudkan? Tidak lain adalah kerana ketaatan setiap individu mengamalkan budaya dan adat luhur yang dimiliki oleh bangsa berkenaan. Hal inilah juga yang berlaku di Negara ini. Ketaatan mesyarakat bangsa Melayu Brunei di dalam menghormati dan mengekalkan identiti adat telah menjadikan Negara ini maju kehadapan sekalipun digugat oleh berbagai cabaran di dalam arus kemajuan.

PENGERTIAN ADAT ISTIADAT Adat adalah amalan yang bermula daripada kelakuan biasa yang dirasakan sesuai, mudah dan menyenangkan lalu menjadi perbuatan yang digemari. Kegemaran tersebut dilakukan berulangulang dan akhirnya diterima sebagai amalan yang menjadi indentiti sesuatu golongan, kumpulan, puak dan bangsa. Sebagai identiti maka akhirnya dijadikan pula adat oleh puak dan bangsa berkenaan. Manusia suka kepada keindahan dan keunikan. Kesukaan kepada kedua-dua hal tersebut selanjutnya mendorong mereka terus mengindahkan adat yang mereka miliki dan seterusnya berusaha menjadikannya ternampak lebih unik. Ini termasuklah untuk

melangkapinya dengan material budaya yang dipilih khas yang kemudian disebut sebagai AlatAlat Perhiasan. Keindahan peralatan ditambah dengan susunan acara menjadikan adat itu nampak halus, indah serta kemas sehingga disebut majlis dan istiadat. Jadi Adat Istiadat bererti

Perlaksanaan sesuatu keraian yang indah, elok lengkap dan sempurna, menjadi kemegahan dan senang mata memandang.

ADAT ISTIADAT KEBRUNEIAN Di Negara ini, sungguhpun terdapat banyak adat yang diamalkan oleh puak rakyat jati Negara ini seperti Melayu Brunei, Melayu Kedayan, Melayu Belait, Melayu Tutong, Melayu Bisaya, Melayu Murut dan Melayu Dusun, namun adat istiadat yang unggul dan dominan adalah Adat Istiadat Melayu Brunei. Adat Istiadat ini adalah teras kepada adat istiadat puak-puak yang ada di Negara ini. Tatacara perlaksanaan Adat Istiadat Melayu Brunei inilah yang dipanggil sebagai Adat Istiadat Kebruneian. Di dalam Adat Istiadat Kebruneian ini terdapat Adat Istiadat Diraja yang perlaksanaannya lebih halus, lengkap, rapi dan sempurna. Jadi Adat Istiadat Kebruneian itu adalah adat yang dipakai oleh pihak diraja dan puak Melayu Brunei semasa menjalankan majlis-majlis kesyukuran seperti perkahwinan, pindah rumah, balik haji, berkhatan, mandi berlawat, doa selamat dan sebagainya atau semasa menghadapi kedukaan. Corak dan bentuk adat istiadat yang dijalankan oleh pihak Diraja dan puak Melayu Brunei adalah sama kerana Kerabat Diraja itu adalah sebahagian daripada puak Melayu Brunei. Bagaimanapun di dalam melaksanakan adat istiadat tersebut, pihak Diraja lebih mengutamanan keaslian dan kesempurnaan daripada orang Kebanyakan Melayu Brunei. Adat istiadat yang dijalankan oleh Sultan dan Putera-Puteri baginda seperti Istiadat-istiadat Perkahwinan, Berkhatan dan sebagainya pada kelazimannya akan dimulai dengan Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga dan akan diakhiri dengan Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga. Waktu diantara Gendang Jaga-Jaga itu dibuka sehingga Gendang Jaga-Jaga ditutup adalah dikenali sebagai Musim Beristiadat. Selain daripada itu, di dalam Adat Istiadat Kebruneian terdapat pula adat yang khusus dan hanya dimiliki dan dijalankan oleh raja yang memerinah Negara ini. Adat Istiadat tersebut adalah seperti Adat Istiadat Berpuspa, Adat Istiadat Pemasyhuran, Adat Istiadat Bergelar dan Adat Istiadat Kemangkatan.
2

Adat Istiadat Berpuspa adalah dikhususkan kepada pengganti raja yang telah ditabalkan. Adat Istiadat ini diadakan sekurang-kurangnya enam (6) bulan setelah Istiadat Pertabalan. Ianya juga dikenali sebagai Istiadat Memahkotakan kerana kemuncak bagi Istiadat Berpuspa adalah istiadat Memakaikan Mahkota dan menyusupkan Keris Si Naga. Sempurnanya istiadat tersebut baharulah sultan yang dipuspakan dipanggil Sultan dan Yang Di-Pertuan. Adat Istiadat Pemasyhuran adalah khusus kepada Putera Sultan yang ditimang-timang untuk menjadi pengganti sultan. Kemuncak istiadat adalah pemasyhuran putera sultan yang dimaksudkan menjadi Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota. Menurut bahasa, Muda Mahkota itu adalah bermaksud orang yang bakal diMakkotakan. Adat Istiadat Bergelar adalah tatacara menggelar orang-orang yang telah dititahkan atau diperkenankan oleh sultan untuk menjadi pembesar Diraja. Gelaran bagi pembesar diraja itu terbahagi kepada empat (4) iaitu Wazir, Cheteria, Pehin-Pehin Manteri Berchiri dan ManteriManteri Bertauliah. Gelaran Wazir dan Cheteria adalah dikhususkan untuk Putera Sultan dan Keturunan Raja, manakala Manteri Berchiri dan Manteri Bertauliah adalah dikhususkan kepada Awang-Awang dan Orang Kebanyakan.

CIRI-CIRI ADAT ISTIADAT KEBRUNEIAN Ciri-ciri pembeza yang melainkan Adat Istiadat Kebruneian dari adat bangsa-bangsa lain di dunia ini dan sekaligus menjadi identitinya adalah seperti berikut:-

1. Asli Turun Temurun Maksudnya apa jua yang berhubungkait dengan Adat Istiadat Keberuneian adalah menurut sepertimana yang pernah ditampilkan dan dilakukan oleh nenek moyang Puak Melayu Brunei. Hal ini termasuklah tatacara perlaksanaanya seperti pelaku-pelakunya (orang yang berperanan), penyusunan acara (yang dahulu dikehadapankan dan yang
3

kemudian dikebelakangkan) serta pakaian atau perkakas (material budaya) yang digunakan.

2. Bersendikan Syara Sentiasa disesuaikan dengan hukum-hukum yang telah ditetapkan oleh ajaran Islam. Adat Istiadat Keberunaian sentiasa diteliti dan diperhatikan dari masa ke masa bagi mempastikan tidak ada perkara yang bertentangan dengan hukum syara. Mana-mana perkara yang didapati menyalahi ajaran ugama akan segara diketapikan. Maknanya adat itu bersedia mengalah kepada hukum syara. Sebagai misalnya, sebelumnya semasa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan duduk bersemayam di atas patarana di Lapau atau di atas Singgahsana di Istana sepasang Kucing Emas1 akan diletakkan di kiri kanan berdekatan kaki Kebawah Duli Yang Maha Mulia. Akan tetapi setelah diketahui ianya bertentangan dengan hukum syara maka Kuching Emas itu tidak lagi diletakkan di Patarana dan di Singgahsana.

Demikian juga dikalangan mesyarakat umum (orang ramai). Pada dahulunya iaitu sebelum tahun tujuh puluhan (70an), mesyarakat yang tinggal di Kampong Ayer sering melakukan amalan Membayar Niat2 sebagai menyatakan rasa syukur apabila salah seorang ahli keluarga mereka sembuh dari sakit. Setelah perkara itu diketahui bertentangan dengan ajaran Islam mesyarakat kampong ayer telah dengan sukarela meninggalkannya.

Kucing Emas adalah hadiah berbentuk kucing diperbuat daripada emas daripada Maharaja China kepada sultan Brunei dalam kurun ke 15 Masehi. Hadiah itu kemudian dijadikan salah satu Alat Kebesaran Diraja sebagai lambangan perhubungan Negara ini dengan Negara China yang terkenal sebagai sebuah Negara yang besar dan maju pada ketika itu. 2 Kerja membayar niat lazimnya dilakukan menjelang waktu maghrib dengan menyediakan sekeping papan atau inchi tebal, 2 atau 3 kaki panjang dan 6 inchi lebar. Dian yang bilangannya mengikut angka ganjil seperti 13, 15 atau 17 di letakkan dan dinyalakan di keliling papan terebut. Di tengah-tengah diletakkan wang shilling sebanyak $2 hingga $3 dengan dikelilingi benang putih agar wang itu tidak jatuh. Papan tersebut dihanyutkan sejurus sebelum masuk waktu maghrib.

Dalam menjalankan majlis, masanya sering disandarkan kepada waktu-waktu sembahyang, misalnya selepas waktu zohor, selepas waktu Asar, selepas waktu maghrib dan selepas waktu isya. Untuk mendirikan tiang rumah baru yang hendak dibangunkan pada kebiasaanya dijalankan selepas waktu subuh. Pemilihan waktu-waktu tersebut adalah bagi mengelak pertembungan dengan waktu-waktu sembahyang. Selain daripada itu apa jua majlis yang dijalankan akan mengandungi bacaan doa selamat bagi memohon keberkatan, memohon hajat dan memohon kesempurnaan majlis.

3. Menurut Kemampuan Setiap majlis di dalam adat istiadat kebruneian adalah diserikan dengan kehadiran sanak saudara dan sahabat handai untuk sama-sama meraikanya. Demikian juga bagi majlis perkahwinan yang dimulai dengan berurung-urung, yang diikuti dengan menghantar tanda, menghantar mas kahwin, akad nikah, berbedak, berinai dan seterusnya naik kahwin (bersanding). Kelamaan berurung-urung adalah tertakluk kepada kemampuan kerana sudah menjadi adat Melayu Brunei setiap orang yang hadir akan dijamu seadanya oleh tuan rumah. Begitu juga majlis menghantar tanda yang pada adatnya dijalankan secara berasingan dengan majlis menghantar mas kahwin. Bagi yang kurang mampu kedua-dua majlis itu sering disatukan (dijalankan secara serentak) dengan tujuan untuk menjimatkan perbelanjaan.

Bagi majlis-majlis yang dijalankan oleh keluarga diraja, waktu berurung-urung itu dikenali sebagai musim berjaga-jaga (bermula dari istiadat membuka gendang jaga-jaga hinggalah kepada istiadat membaca doa selamat dan menutup gendang jaga-jaga). Kalau dulu musim beristiadat itu diadakan selama empat puluh (40) hari dan empat puluh (40) malam, tetapi sekarang hanya selama dua minggu. Ini sesuai dengan masa sekarang dimana orang-orang yang dijemput selaku tetamu diraja adalah semakin bertambah bilangannya. Selain itu kebanyakan daripada mereka juga menduduki

jawatan-jawatan penting di dalam kerajaan, yang memerlukan penelitian di luar waktu berkerja.

4. Mengikut Peredaran Zaman Dengan Mengekalkan Keasliannya Adat Istiadat Kebruneian adalah adat yang tidak beku atau statik akan tetapi bersedia untuk disesuaikan dengan peredaran zaman tetapi ketulinan dan keasliannya tetap terjaga. Sebagai misal adalah Usungan yang digunakan sebagai kenaikan Sultan semasa Istiadat Berpuspa. Dahulunya Usungan tersebut adalah diusung (diangkat di atas bahu) oleh Empat Puluh (40) orang pengusung dari Istana menuju ke Lapau dan selesai Istiadat Berpuspa diarak semula menuju Istana. Cara itu wajar kerana pada masa dahulu jarak diantara Lapau dan Istana adalah tidak berjauhan. Contohnya semasa Perpuspaan AlMarhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Saadul Khairi Waddien ibni Al-Marhum Sultan Muhamad Jamalul Alam (ayahnda Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah), istana yang menjadi persemayaman baginda pada ketika itu adalah Istana Darussalam yang terletak di Kampong sumbiling, manakala Lapau adalah terletak di kawasan bangunan Pusat Sejarah pada masa ini. Pada zaman Perpuspaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Muizzaddin Waddaulah jarak diantara Lapau yang terletak di Jalan Sultan pada ketika ini dan Istana Darul Hana, tempat persemayaman sultan pada ketika itu adalah berjauhan dan adalah sangat membebankan jika Usungan tersebut diangkat di atas bahu. Jadi bagi membolehkan Usungan terus digunakan sebagai mengekalkan keaslian Istiadat Berpuspa, Usungan yang masih dalam bentuknya yang asli dan dikendalikan oleh empat puluh (40) orang pengusung telah diubahsuai dengan dipasangkan empat biji roda (dua dihadapan dan dua dibelakang) dan ditarik oleh 40 orang yang dahulunya bertuagas selaku pengusung.

Dalam Istiadat Perkahwinan orang-orang Melayu Brunei, bagi melaksanakan majlis Istiadat Persandingan, tataruk bagi menempatkan para jemputan dibena dengan beramu kayu melalui bantuan sanak saudara. Pada masa ini adannya rancangan kemajuan Negara yang melibatakan penempatan semula penduduk di Negara ini telah menjadikan kebanyakan ahli keluarga tinggal berjauhan. Hal ini menjadikan amalam bergotong royong seumpama itu sukar dilakukan. Bagaimanapun keaslian semangat orang Melayu Brunei dalam memikirkan tempat bagi menempatkan jemputan dan tempat berkumpul para sanak saudara beberapa hari sebelum majlis persandingan tetap berlaku dengan menampah beberapa kem pasang siap di kawasan rumah mereka.

Demikian juga dengan penyediaan jemuan, sungguhpun kebanyakannya telah ditempah melalui syarikat-syarikat penyedia permakanan, namun tatacara pengaturan makanan dan amalan menikmati jemuan secara serentak bersama-sama semua jemputan yang hadir tetap menjadi adat orang-orang Melayu Brunei.

Adanya perkembangan fashion pakaian oleh pereka-pereka fashion tidaklah diketapikan oleh masyarakat. Mesyarakat juga mengikuti perkembangan fashion-fashion pada hari ini dengan tidak mengubah pendirian mereka terhadap nilai-nilai Kebruneian. Mereka tetap mengikuti peredaran zaman tetapi dalam masa yang sama masih tetap mengekalkan keaslian Melayu Brunei. Dalam majlis perkahwinan misalnya, mempalai tetap menjadikan pakaian tenunan Brunei sebagai pakaian mereka. Bagi menyesuaikan majlis pula, para jemputan dari kalangan lelaki memakai pakaian cara Melayu manakala orang-orang perempuan memakai baju kurung.

5. Tidak Menghalang Kemajuan Adat Istiadat tidak menghalang kemajuan malah amat membantu Negara mengacapi kemajuan dengan membantuk mesyarakat yang bersopan santun, bedisiplin dan sentiasa hormat (mematuhi pemimpin dan peraturan). Pada kenyataannya kebanyakan
7

Negara di dunia yang mempertahankan adat mereka berjaya menampakkan kemajuan. Misalnya Negara Jepun yang amat ketara berpegang teguh kepada adat yang diamalkan sejak dulu berjaya menempakkan kejayaan mereka dalam bidang sains malah telah menimbulkan kecemburuan Negara-negara yang lebih besar dari mereka. Tidak terkecuali Negara Brunei Darussalam ini, sebagai Negara yang kekal berpegang kepada adat dan budaya yang telah diwarisi turun temurun, berjaya berkembang maju baik dari segi fizikal mahupun spiritual. Negara ini adalah antara Negara yang kehadapan di dalam bidang pendidikan.

CABARAN Hari ini dengan terjadinya perkembangan pesat terutama dalam Teknologi Maklumat, tidak satupun Negara di dunia ini terlepas daripada hambatan berupa sosio dan ekonomi. Adanya kemajuan dalam pelbagai ciptaan bagi keperluan hidup telah menjadikan berlakunya perubahan gaya hidup. Hidup menjadi serba ada dan mewah sehingga melalaikan dan menjadikan banyak orang lupa diri. Nilai hormat dan hidup sopan telah beransur hilang. Dalam keluarga, anak-anak telah kurang menghormati orang tua. Demikian juga dalam kehidupan bermesyarakat, hormat kepada orang yang lebih tua, alim ulama, ketua dan penghulu dan sebagainya sudah tidak diambil perhatian. Dalam hidup bernegara, ramai orang tidak menghiraukan kepentingan bersama dimana berlakunya sikap pemugut (merosak kemudahan awam) dan mencabuli peraturan dan undang-undang negara seperti menyeludup dadah serta barang-barang tegahan dan sebagainya. Adanya segala bentuk kemewahan di depan mata menjadikan ramai orang beriya-iya untuk mendapatkan kemewahan tanpa memikirkan kemampuan dan keupayaan diri. Ini

menjadikan mereka sanggup berhutang dan akhirnya dibebani hutang. Akibatnya ada yang terdorong melakukan rasuah, penipuan dan perompakan. Masalah ekonomi ini juga ada membawa sebilangan orang sanggup mengadaikan maruah dan sebagainya. Semua itu adalah juga masalah yang menghambat mesyarakat yang beradat. Segalanya adalah akibat daripada
8

kesalahan dan kesilapan dalam memanfaatkan kemajuan yang ada. Kemajuan itu di dalamnya terdapat segala kemudahan yang diumpamakan seperti kemudahan jalan raya. Mereka yang tahu memanfaatkan jalan raya akan menjadikannya sebagai alat untuk menuju destinasi yang telah dirancang. Demikian juga bagi mereka yang tahu memanfaatkan kemudahan yang ada setentunya dapat menggunakannya sebagai alat untuk memenuhi cita-cita yang telah dirancang. Misalnya dalam penggunaan Informasi Komunikasi Teknologi, para pelajar yang berfikiran positif dan menjaga adat setentunya akan menggunakannya untuk keperluan pendididkan dan bukan sebagai alat untuk melalaikan atau menjadikan mereka terus leka dan meninggalkan tanggungjawab.

ADAT ISTIADAT MEMBENTUK SOSIAL YANG SEMPURNA Masalah sosial yang sering mengugat kestabilan semenangnya menjadi agenda penting di seluruh Negara di dunia ini. Puncanya adalah ketidak-kukuhan pegangan mesyarakat terhadap nilai-nilai ugama dan adat. Sedikit, sederahana atau parahnya keadaan sosial yang dialami adalah bergantung kepada ketaatan mesyarakatnya kepada ajaran agama dan nilai-nilai adat. Apa yang pasti tidak akan berlaku masalah ekonomi dan sosial yang besar kepada Negara yang kebanyakan rakyat dan penduduknya mematuhi ugama dan mencintai adat istiadat. Tidak dinafikan bahawa adat istiadat itu adalah benteng utama di dalam pembentukan sosial sesuatu mesyarakat. Hal ini adalah kerana perkara-perkara berikut:1. Adat Membentuk Peribadi Individu Orang yang beradat sentiasa mengawal dirinya daripada melakukan sesuatu yang dilihat bertentangan dengan kebiasaan yang diterima oleh mesyarakat. Sesorang yang beradat akan memberi salam sambil menunjukkan tingkahlaku hormat kepada orang yang lebih tua atau yang berkedudukan. Seseorang yang masih dalam jagaan orang tua, apabila hendak keluar rumah akan memohon izin kepada ibu bapa terlebih dahulu. Apabila di sekolah setentunya akan menghormati
9

guru

dan

ketua

darjah.

Apabila bekerja di pejabat akan mematuhi arahan ketua pejabat. Seseorang yang

beradat istiadat juga akan sentiasa memenuhi setiap undangan untuk menghadiri majlis yang diadakan oleh ahli masyarakat yang lain disamping mengenakan pakaian yang bersesuaian dengan jenis majlis yang dihadiri. Demikian juga dengan tabiaat berbelanja, orang yang beradat akan sentiasa mengukur kemampuan diri bagi mengelak diri dari terpaksa berhutang atau mengharapkan bantuan orang lain. Langkah itu adalah juga bagi menjaga nama diri dan keluarga.

2. Berhati-hati Membuat Pilihan Mesyarakat yang beradat memiliki sikap berhati-hati dalam memilih pasangan hidup sama ada lelaki mahupun perempuan dan ini adalah hal yang sangat diambil berat oleh mesyarakat Melayu Brunei. Apa yang paling diutamakan adalah pegangan ugama dan budi perkerti. Kuat berugama dan memiliki budi perkerti setentunya akan mudah bekerja sama dalam membentuk sebuah keluarga yang beriman dan berbudaya. Hal ini juga akan menjanjikan keturunan yang sedemikian. Kebiasaan ini bukan hanya menjadi budaya di dalam memilih pasangan hidup tetapi juga ketika berhadapan dengan hal-hal yang baharu yang membawa perubahan dalam kehidupan. Misalnya orang-orang yang beradat tidak dilalaikan oleh kemewahan hidup yang membuka ruang untuk membuang-buang waktu dan berpoya-poya hingga lupa tanggungjawab kepada keluarga. Mereka adalah orang-orang yang bermotivasi dan pandai mengurus waktu bersama keluarga, beribadat, beriadah dan terus menambah ilmu pengetahuan.

Selain daripada itu orang-orang yang beradat tetap mencintai jati dirinya dengan mengamalkan cara hidup berlandaskan kemelayuan, keislaman dan menghormati orang tua dan orang-orang yang seharusnya dihormati. Sebaliknya sebilangan mereka yang tidak menghayati adat istiadat hidup mereka terumbang ambing seperti orang yang tidak beridentiti. Dalam masa yang sama mereka gagal menunjukkan identiti mereka sebenar.

10

3. Menjaga Hubungan Berkeluarga Dengan berpegang kepada adat, setiap individu mesyarakat Melayu Brunei sentiasa mengambil berat mengenai hubungan berkeluarga dan berdangan sanak. Hubungan Berkeluarga bermaksud hubungan antara anak dengan ibu bapa manakala hubungan bedangan sanak adalah hubungan dengan sanak saudara (hubungan keluarga pupu sekali, keluarga pupu dua kali dan keluarga pupu tiga kali). Hubungan bedangan sanak menjadi mesra dan bersafahaman dengan wujudnya sistem panggilan kekeluargaan yang telah teradat di dalam mesyarakat Melayu Brunei. Sistem panggilan kekeluargaan ternyata menjalinkan rasa kasih sayang dan hormat menghormati. Antara panggilan kekeluargaan tersebut adalah seperti Tua, Tengah atau Anggah, Uda, Amit, Bungsu dan sebagainya. Panggilan ini digunakan untuk menyapa ayah dan emak saudara. Sapaan tersebut bukan hanya mewujudkan kemesraan dan kasih sayang tetapi juga menjadi pengawal kepada setiap indvidu yang menggunakannya daripada melakukan pekaraperkara yang bertentangan dengan peraturan Negara.

Hal ini berlaku kerana pengguna kata-kata panggilan ini tidak merasakan dirinya berseorangan akan tetapi merasa dimiliki dan memiliki ramai ahli keluarga. Oleh yang demikian mereka merasa tidak tergemak untuk melakukan hal-hal yang bertentangan dengan hukum ugama dan melanggar kebiasaan. Jika melakukan kesalahan, mereka tahu ianya tidak hanya mencemarkan nama baik dirinya tetapi juga nama keluarga keseluruhannya. Pendeknya anak-anak yang dididik secara beradat akan sentiasa mengawal diri dan ahli keluarga.

4. Menghormati Ibu Bapa dan Ahli Keluarga Tertua Sudah menjadi adat, setiap anak sentiasa menghormati orang tua mereka. Demikian juga setiap individu Melayu Brunei sentiasa menghormati mana-mana jua ahli keluarga atau dangan sanak yang lebih tua dari mereka. Hal ini berlangsung secara berterusan dari satu generasi ke satu generasi. Sebagai simbol kepada penghormatan tersebut ahli
11

keluarga yang tertua sering dijadikan sandaran, menjadi penasihat atau ketua (kepala) dalam sesuatu acara atau pekerjaan yang besar, umpamanya majlis perkahwinan. Layanan yang sama juga akan diberikan kepada mana-mana keluarga yang dihormati oleh ramai orang kerana dalam kontek bangsa Melayu Brunei istilahk yang tua itu adalah juga dinilai daripada penerimaan dan pengiktirafan mesyarakat kepada seseorang. Hal ini mungkin kerana sumbanganya, nasihatnya atau ilmu yang dimilikinya. Budaya hormat menghormati yang terasas di dalam kehidupan berkeluarga dan bedangan sanak ini adalah juga menjadi asas kepada hidup bermesyarakat dan seterusnya bernegara.

5. Menghormati Mesyarakat dan Negara Mereka yang sentiasa berpegang kepada adat sentiasa menghormati hak ahli mesyarakat yang lain dan seterusnya hak Negara (hak bersama). Dengan demikian tidak ada orang yang merasas disusahkan. Misalnya dalam adat berjiran, orang yang beradat tidak akan menyusahkan jiran mereka dengan tidak membuat kebisingan pada waktu menjelang tengah malam di mana semua orang perlu berehat. Demikian juga mereka tidak akan meyempitkan laluan yang menuju ke rumah jiran yang tinggal di belakang rumah mereka. Begitu juga orang yang beradat tidak akan mengambil apa juga barang yang bukan milik mereka. Dalam menghormati hak bersama, mereka yang memiliki adat tidak akan merosak apa jua kemudahan awam yang menjadi hak Negara (hak bersama). Ini bererti mereka juga telah menghormati undang-undang Negara kerana menjaga harta benda awam itu adalah juga sebahagian daripada undang-undang Negara yang perlu dipatuhi. Hal ini samalah juga dengan mematuhi peraturan lalu lintas seperti berhenti bila lampu merah menyala. Ini bererti menghormati hak pengguna jalan raya yang berada di lampu hijau untuk melintasi jalan. Hasilnya semua pihak dapat samasama menikmati keselesaan tanpa menghadapi kejadian yang tidak diingini.

12

6. Mewujudkan Perpaduan Apabila kehidupan berjalan di atas landasan saling hormat menghormati, besopan santun, mematuhi peraturan dan undang-undang Negara serta menjaga hubungan kekeluargaan dan sebagainya sudah tentu perpaduan di dalam berkeluarga, bermesyarakat serta bernegara akan terjalin. Semua orang akan memiliki agenda yang sama iatu untuk bersama-sama menikmati keamanan, kesejahteraan dan kemajuan. KESIMPULAN Adat Istiadat Kebruneian adalah adat induk kepada adat-adat yang diamalkan oleh puak-puak Melayu negera ini dan seterusnys menjadi identiti bagi mesyarakat bangsa Melayu Brunei. Diantara ciri-ciri Adat Istiadat Kebruneian itu adalah Asli Turun Temurun, Sesuai Dengan Kemajuan (Boleh Dimodenkan Dengan Mengekalkan Keasliannya), Bersendikan Syara, dan Menurut Kemampuan Dan Berekonomi. Dengan berpandu kepada adat, Kemajuan Teknologi Informasi dan Komunikasi dapat dimanfaatkan untuk meningkatkan kehidupan yang lebih sempurna. Berlangsungnya kehidupan yang saling hormat, bersopan santun, menjaga hubungan dan mematuhi undang-undang yang dipelopori oleh adat Istiadat, seluruh mesyarakat pastinya menikmati keamanan, ketentaraman dan kesejahteraan yang menjadi kunci utama kepada kemajuan dan pembangunan Negara. Hal ini menjelaskan bahawa adat istiadat khususnya Adat Istiadat Kebruneian itu adalah selaras dengan zaman yang sentiasa beredar.

Sekian.

KULUNISSA.PDHS/MARCH.12

13

TEKS INI DIJADIKAN BAHAN KULIAH YANG DISAMPAIKAN DI UNIVERSITI SULTAN SHARIF ALI (UNISSA) PADA HARI RABU 28 MARCH 2012, JAM 9.00 PAGI.

14

You might also like