You are on page 1of 14

Bab 1 Lapisan

OSI
Sistem Rangkaian

Sebuah system rangkaian komputer melibatkan dua buah komputer yang dihubungkan dengan
media menggunakan talian terus atau talian telefon. Manakala system rangkaian yang rumit atau
kompleks bergantung kepada imaginasi masing-masing.

Secara khususnya, rangkaian komputer bermaksud semua nod seperti pelayan (server), stesen
kerja (workstation), pencetak (printer) dan sebagainya dihubungkan diantara satu sama lain
dengan tujuan untuk berkongsi maklumat dan bahan. Dengan kata lain, maklumat yang ada pada
pengguna A dapat disebarkan kepada penguna lain dan begitu juga sebaliknya.

Istilah seperti OSI, Ethernet, LAN, WAN, Internet, Intranet, Extranet dan sebagainya banyak
didapati menerusi akhbar dan Internet. Namun masih ramai yang gagal memahami maksud
sebenar istilah tersebut.

Cara berhubung diantara satu nod dengan nod lain, perlu ada perantaraan seperti kabel, hub,
perisian dan sebagainya. Memandangkan terlalu banyak kabel, hub dan perisian yang dikeluarkan
oleh syarikat pengeluar dengan pelbagai ciri tersendiri, kemungkinan besar ada yang tidak serasi
dengan produk keluaran yang lain.

Di awal tahun 70an, sistem rangkaian berasaskan sistem komputer IBM dan DECnet tidak dapat
berhubung antara satu sama lain disebabkan tiada kesepakatan dalam cara sistem rangkaian
berkerja. Sekiranya pejabat kita menggunakan sistem rangkaian IBM, maka peralatan komputer
perlu menggunakan produk IBM dan begitu jugalah sebaliknya.

Dalam sistem rangkaian, satu standard komunikasi berjaya dibentuk. Model ini dipanggil OPEN
SYSTEM INTERCONNECTION (OSI), yang dirangka oleh International Standard Organization
pada tahun 1974 (setengah pendapat mengatakan tahun 1978). Diluluskan pada tahun 1983 untuk
diguna pakai oleh semua pengeluar.

Dengan model OSI itu, setiap pengeluar dikehendaki mengikut standard terbabit untuk
memudahkan peralatan yang dicipta berkomunikasi dengan peralatan yang dikeluarkan oleh
pengeluar lain. Di dalam Model OSI, terdapat tujuh lapisan (seven layer). Setiap lapisan tidak
menghiraukan lapisan yang lain. Tetapi setiap lapisan mempunyai hubung kait yang kuat dan
setiap lapisan itu dipanggil lapisan protokol.

Model OSI (Open Systems Interconnection – saling sambungan sistem terbuka)

Model OSI adalah satu panduan dan bukannya satu perisian atau perkakasan. Ia digunakan sebagai
satu rujukan untuk dipatuhi oleh semua pengeluar perisian dan perkakasan supaya produk mereka
boleh disambungkan kepada sistem rangkaian tanpa sebarang masalah. OSI boleh diibaratkan
sebagai satu polisi keamanan dunia yang perlu diikuti oleh semua negara supaya dunia ini aman.

Walaupun realitinya keamanan sejagat sukar diperolehi. Begitu juga dengan model OSI ini,
terdapat juga ketidak serasian berlaku di dalam pengeluaran produk yang berlainan. Maka apabila
kita membeli sesuatu produk pastikan kita mengetahui setakat mana peralatan itu mengikut
standard dan keperbezaan antara peralatan yang hendak disambungkan kepadanya. Selalunya
produk seperti Cisco mempunyai protokolnya tersendiri yang hanya ada pada peralatan mereka.

1
Bab 1 Lapisan
OSI
Pengetahuan mengenai OSI perlu diketahui oleh sesiapa juga yang ingin mendalami sistem
rangkaian. Ini kerana setiap lapisan mempunyai fungsi tertentu yang akan membabitkan operasi
sistem rangkaian.

Kenapa pula? Sebab tujuan dibentuk Model OSI adalah untuk kesepakatan di dalam
berkomunikasi melalui sistem rangkaian. Bayangkan kalau Ah Chong bercakap menggunakan
bahasa mandarin kepada Mutusamy, tentu sekali Mutusamy tidak faham sepatah apa yang
dikatakan oleh Ah Chong. Oleh itu Ah Chong dan Mutusamy perlu menggunakan Bahasa
Malaysia (sekarang dikenali dengan Bahasa Melayu) didalam percakapan mereka.

Tujuan diadakan Model OSI adalah untuk kesepakatan di dalam berkomunikasi melalui sistem
rangkaian. Bayangkan kalau Ah Chong bercakap menggunakan bahasa Mandarin kepada
Mutusamy, tentu sekali Mutusamy tidak faham sepatah apa yang dikatakan oleh Ah Chong. Oleh
itu Ah Chong dan Mutusamy perlu menggunakan Bahasa Malaysia (sekarang dikenali dengan
Bahasa Melayu) di dalam percakapan mereka.

Antara kebaikannya ialah:

1. Memecahkan operasi sistem rangkaian yang kompleks supaya mudah diselenggara


2. Perubahan setiap lapisan tidak mengubah lapisan yang lain. Ini memudahkan pengeluar
menumpukan perhatian pada lapisan tertentu saja
3. Memudahkan pembangunan perkakasan “plug and play”

Rajah 1: Tujuh lapisan OSI

2
Bab 1 Lapisan
OSI

Rajah 2: Talian diantara Penghantar dan Penerima

Keterangan gambar rajah 2:

1. Penghantar adalah data yang hendak dihantar keluar melalui rangkaian

2. Sempadan subnet komunikasi adalah peralatan sistem rangkaian seperti pengulang


(repeater), hab (hub), suis (switch) atau penghala (router). Sekiranya peralatan itu adalah
pengulang atau hab maka ia hanya akan mencapai lapisan fizikal, sekiranya ia suis (switch)
maka data terbabit akan ke lapisan Sambung Data (Data Link Layer) dan Sekiranya
menggunakan penghala maka data akan pergi sehingga lapisan Rangkaian (Network Layer)

3. Penerima adalah komputer peribadi yang akan menerima data

Lapisan Penggunaan (Application)

Dari kamus terbitan Fajar Bakti, lapisan Penggunaan dinyatakan berfungsi untuk `memberi
sokongan langsung kepada proses penggunaan dan aturcara pengguna akhir dan pengurusan saling
hubungan aturcara-aturcara ini serta entiti komunikasi'.

Lapisan ini menyediakan antaramuka untuk pengguna. Perisian di sini merujuk perisian yang
digunakan untuk sistem rangkaian seperti pemindahan fail, e-mel, cetakan dan sebagainya. Perlu
diingat bahawa aplikasi di sini merujuk kepada aplikasi yang boleh digunakan di dalam sistem
rangkaian bukannya aplikasi yang hanya berfungsi secara sendiri (stand alone).

3
Bab 1 Lapisan
OSI

Rajah 3: Lapisan Penggunaan

Rujuk rajah 3, terdapat sambungan logik (logical connection) di antara aplikasi.

Contoh perisian yang digunakan di lapisan ini ialah:

1. Telnet (Terminal Emulation)

2. World Wide Web (WWW)

3. Get Laluan (Gateway) E-mail

4. Protokol Pemindahan Fail - File Transfer Protocol (FTP)

5. Saling Tukaran Data Elektronik - Electronic Data Interchange (EDI)

6. Internet Relay Chat (IRC)

7. Internet navigation utilities - Gopher, Yahoo, Excite, Alta Vista dan sebagainya

8. Perkhidmatan Fail Rangkaian - Network File System NFS (SUN)

9. Apple Share (Apple)

10. Net-x (Novell)

11. DOOM (iD Software) dan sebagainya.

Contoh protokol yang digunakan di lapisan ini.

1. DNS (Domain Name System)

2. TFTP (Trivial File Transfer Protocol)

3. BOOTP (Bootstrap Protocol)

4. SNMP (Simple Network Management Protocol)

4
Bab 1 Lapisan
OSI
5. RLOGIN (Remote Login)

6. SMTP (Simple Mail Transfer Protocol)

7. MIME (Multipurpose Internet Mail Extensions)

8. NFS (Network File System)

9. FINGER

Lapisan Persembahan (Presentation)

Kamus terbitan Fajar Bakti, lapisan Persembahan dinyatakan berfungsi untuk, "Memberikan satu
set perkhidmatan yang mungkin dipilih oleh lapisan penggunaan untuk membolehkannya
mentafsir makna data yang ditukarkan. Perkhidmatan itu termasuk pengurusan saling tukar
kemasukan, paparan dan kawalan data berstruktur. Perkhidmatan lapisan persembahan adalah
intisari cadangan tujuh lapisan, membolehkan terminal berbeza dan kelengkapan komputer untuk
saling berkomunikasi.”

Lapisan ini menukar data kepada format skrin anda untuk membolehkan anda berhubung dengan
mana-mana pengguna. Dengan kata lain lapisan ini akan menukar Rangkaian Rujuk piawai
(Standard Network References) kepada standard mesin.

Rajah 4: Lapisan Persembahan

Dilapisan ini juga berlaku satu kefahaman (establishes understanding) dapat dicapai dalam usaha
bagaimana setiap mesin perlu dipersembahkan (dibentangkan) atau cara penerimaan data diantara
dua mesin.

Lapisan ini juga terlibat di dalam proses enkripsi (encyption), dekripsi - penyahsulitan
(decryption), Pemampatan (compression), Penyahmampatan (decompression) dan operasi
multimedia seperti:

5
Bab 1 Lapisan
OSI
1. PICT – gambar untuk sistem Macintosh

2. TIFF – Tagged Image File Format, gambar yang mempunyai resolution yang tinggi. Sering
digunakan untuk cetakan majalah dan surat khabar

3. JPEG – Joint Photographic Expert Group, sesuai digunakan untuk dipaparkan Internet

4. MIDI – Musical Instrument Digital Interface, merupakan muzik digital

5. MPEG – Moving Picture Expert Group, sesuai untuk VCD wayang

6. QUICK TIME – untuk audio dan video diasas oleh Macintosh

Contoh protokol yang digunakan di lapisan ini.

1. HTTP (Hypertext Transfer Protocol)

2. Telnet (Terminal Emulation)

3. AppleTalk Filing Protocol (AFP)

Lapisan Sidang (Session)

Dari kamus terbitan Fajar Bakti, lapisan sidang dinyatakan berfungsi untuk memberikan
perkhidmatan `pengikatan' dua entiti
perkhidmatan persembahan bersama secara logik dan mengawal dialog antara mereka dalam aspek
penyelarasan mesej.

Fungsi utamanya ialah untuk membolehkan dua stesen berhubung dan memberitahu jika ada
kerosakkan pada hubungan mereka, ia akan memutuskan talian hubungan jika diarah. Lapisan ini
juga mengawal struktur komunikasi dengan perisian serta log masuk (login) dan kata laluan
(password).

6
Bab 1 Lapisan
OSI

Rajah 5: Lapisan Sidang

Di lapisan ini, data diasingkan bagi setiap aplikasi yang berlainan dan mod simpleks (Mode
simplex), separa dupleks (half-duplex) atau dupleks penuh (full-duplex) akan ditentukan.

Mod simpleks berfungsi satu arah sahaja seperti siaran radio, tiada tindak balas daripada penerima.

Mod separa dupleks berfungsi seperti telegraf atau walkie-talkie, iaitu hanya sebelah pihak boleh
menggunakan talian pada satu masa. Dalam kad antaramuka rangkaian (NIC), terdapat mod 10Mb
separa dupleks dan 100Mb separa dupleks.

Manakala mod dupleks penuh berfungsi seperti kita menggunakan telefon, iaitu dua pihak boleh
menggunakan talian serentak. Pada kad NIC terdapat mod 10Mb dupleks penuh dan 100Mb
dupleks penuh. Oleh itu sistem rangkaian mod dupleks penuh adalah pilihan terbaik.

Contoh protokol dan antaramuka yang digunakan di lapisan ini.

1. Protokol Kawalan Penghantaran – TCP (Transmission Control Protocol)

2. Named Pipes - digunakan dalam Unix sebagai satu fail untuk penghantaran data menerusi
proses yang tidak berkaitan (unrelated processes). Iaitu satu (atau banyak) proses ditulis
dalam fail itu dan pada waktu yang sama ada proses lain membaca fail terbabit. Ia juga
dikenali sebagai FIFO (First in, First out) - masuk dahulu keluar keluar dahulu

3. NetBIOS - aplikasi program antaramuka (applications programming interface) manakala


NetBEUI (NetBIOS Extended user Interface) merupakan protokol pengangkutan (transport
protocol)

4. Protokol Apple - ASP, ADSP, ZIP, PAP yang dibangunkan oleh Macintosh

5. Perkhidmatan Fail Rangkaian (NFS - Network File System) - dibangunkan oleh Sun
Microsystems untuk membolehkan fail diambil dari sistem rangkaian

6. Bahasa Pertanyaan Piawai (SQL - Structured Query Language) - dibangunkan oleh IBM
untuk carian maklumat dalam sistem tempatan atau luaran

7
Bab 1 Lapisan
OSI

7. Panggilan Tatacara Jauh (RPC - Remote Procedure Call) - digunakan pada PC pengguna
dan dioperasikan menerusi pelayan. Mesti terdapat di dalam platform Windows NT dan
2000

8. X Windows - Unix/Linux GUI

Lapisan Pengangkutan (Transport)

KAMUS terbitan Fajar Bakti mentakrifkan Lapisan Pengangkutan mempunyai fungsi untuk
`Memberikan perkhidmatan komunikasi tersedia yang optimum (dibekalkan oleh pelaksanaan
lapisan bawah) dengan memberikan pemindahan yang mudah bagi data antara entiti lapisan
sidang.'

Lapisan ini berkhidmat sebagai penjamin intergriti rangkaian. Protokol di sini akan memastikan
segala maklumat atau paket sampai ke tempat tujuan dan memberitahu stesen penghantar supaya
menghantar paket lagi jika ada yang tidak sampai (pemulihan ralat - error recovery). Ia juga
bertanggungjawab memisahkan/mengumpul/mengawal (kawalan aliran – flow control) pesanan
yang panjang, data integriti dan pengalamatan (addressing).

Bila mengatakan mengenai lapisan ini, perkataan segmen (segment) dan litar maya (virtual circuit)
sering diperkatakan. Data dihantar pada lapisan ini dikenali dengan nama segmen.

Rajah 6: Lapisan Pengangkutan

Contoh protokol yang digunakan di lapisan ini.

1. Protokol Kawalan Penghantaran - TCP (Transmission Control Protocol)

2. User Datagram Protocol (UDP)

8
Bab 1 Lapisan
OSI
3. NetBEUI - (NetBIOS Extended user Interface) merupakan protokol pengangkutan
(transport protocol)

4. Sequenced Packet Exchange (SPX for Novell)

5. VINES Interprocess Communication Protocol (VIPC)

Kawalan Aliran (Flow Control)

Untuk memastikan integriti satu teknik yang dikenali Kawalan Aliran (Flow Control) digunakan
untuk memastikan penerima mempunyai kemampuan untuk menerimanya. Apabila penimbal
(buffer) penuh, penerima akan menghantar isyarat Berhenti (STOP), supaya penghantar
menghentikan penghantaran data dan menghantar isyarat Jalan (GO), apabila penerima sedia
menerima data seterusnya.

Komunikasi Berteraskan Sambungan (Connection-Oriented Communication)

Untuk memastikan jaminan penghantaran data, satu konsep yang


dikenali sebagai jabat tangan tiga hala atau COC digunakan.

Bayangkan anda mendail ke Internet. Sila rujuk Rajah 7.

1. Mula-mula anda mendail internet, modem akan berbunyi seperti mendail dan akan
kedengaran bunyi bising menandakan modem di Jaring/TM-Net menjawab. Ketika ini satu
proses segerak (synchronize) sedang dilakukan
2. Kemudian berlaku tawar menawar (negotiate) untuk menentukan kelajuan bersama

3. Penerima menghantar isyarat segerak (synchronized signal) kepada penghantar

4. Penghantar pula akan memberikan isyarat pengakuan (acknowledge) kepada penerima

5. Pesetujuan dicapai

6. Penghantaran data dilakukan dengan menghantar segmen ke penerima

9
Bab 1 Lapisan
OSI

Rajah 7: Komunikasi Berteraskan Sambungan

Penghantaran di atas adalah dalam keadaan terkawal, iaitu hanya dua PC di dalam sistem
rangkaian dengan ciri yang sama. Dalam keadaan sebenar komputer dapat menghantar data lebih
laju di luar kawalan sistem rangkaian, kerana sesebuah sistem rangkaian mesti melayan
penghantaran data dari komputer lain juga.

Malahan dengan sistem operasi (OS) yang menyokong berbilang tugas (multitasking), sebuah PC
boleh menghantar pelbagai data ke lokasi berlainan dan penerima juga mungkin menerima data
dari pelbagai pihak serentak. Ini menyebabkan penerima tidak menerima data dengan baik.

Ia boleh diibaratkan seperti memandu dari Tol Sungai Besi ke Tol Seremban. Jika hanya kita
seorang saja memandu, kita boleh memecut pada kelajuan maksimum (sediakan duit saman). Tapi
dalam keadaan sebenar, perjalanan akan tersekat disebabkan jumlah kenderaan yang banyak di
lebuh raya yang sama. Apabila sudah tersekat, bantuan penguasa jalan raya diperlukan untuk
mengawal keadaan.

Begitu juga keadaannya dengan sistem rangkaian. Di bawah dijelaskan bagaimana penghantaran
segmen serta penggunaan Aliran Kawalan. (Rujuk rajah 8)

1. Penghantaran segmen diterima dengan baik oleh penerima.

2. Penghantaran segmen diterima dengan baik oleh penerima.

3. Penghantaran segmen diterima dengan baik oleh penerima.

10
Bab 1 Lapisan
OSI
4. Tiba-tiba PC penerima tidak sempat memproses segmen terbabit. Oleh itu, penerima akan
menghantar isyarat berhenti (STOP) kepada penghantar supaya tidak menghantar segmen
baru.

5. Apabila semua segmen sudah diproses, penerima akan menghantar isyarat memberitahu
penghantar untuk menghantar segmen semula.

6. Penghantaran segmen diterima dengan baik oleh penerima.

7. Penghantaran segmen diterima dengan baik oleh penerima.

8. Penghantaran segmen diterima dengan baik oleh penerima.

Rajah 8: Contoh Kawalan Aliran (Flow Control)

Peningkapan (Windowing)

SETIAP penghantaran data perlu mendapatkan pengakuan penerimaan (acknowledgement)


daripada pihak penerima. Data yang besar perlu dipecahkan kepada beberapa segmen dan ini
menyebabkan setiap segmen yang dihantar perlu mendapatkan pengesahan sebelum segmen yang
lain dapat dihantar.

Semakin besar data yang hendak dipindah, semakin banyak segmen yang ada dan banyak masa
terbuang bagi mendapatkan pengesahan untuk setiap segmen dihantar.

Sama seperti kita memberi arahan kepada orang bawahan.

"Tolong buat salinan surat ini."

"Ya, tuan."

11
Bab 1 Lapisan
OSI

"Lepas tu, cari fail gaji."

"Ya, tuan."

"Ambil RM2, tolong beli nasi lemak kat bawah."

"Ya, tuan."

"Lupa pulak, sudah bayar semua bil?"

"Belum, tuan."

Adalah lebih pratikal sekiranya kita memberi arahan mengikut segmen tertentu dan memberi ruang
kepada orang bawahan untuk menjawapnya.

"Tolong buat salinan surat ini, lepas tu, cari fail gaji dan ambil RM2 ni, tolong beli nasi lemak di
bawah."

"Ya, tuan."

"Lupa pulak, sudah bayar semua bil?"


“Belum, tuan."

Tetapi kita tidak boleh memberi semua arahan sekali gus. Khuatir orang bawahan tidak sempat
memproses arahan itu, lain pula jadinya nanti.

Kawalan Peningkapan (Windowing) diperlukan untuk menentukan berapa banyak segmen boleh
dihantar pada satu masa. Rajah 9 menunjukkan cara kerja mengunakan tetingkap (window) bersaiz
satu dan tiga.

12
Bab 1 Lapisan
OSI

Rajah 9: Tetingkap

Nota: Ack = Singkatan dari Acknowledgments (Pengakuan)

Pengesahan (Acknowledgments)

Setiap data yang dihantar perlu dipastikan tidak berulang atau hilang ketika penghantaran. Jadi
setiap data yang dihantar kena ada pengesahan dari pihak penerima dan ini memudahkan untuk
pengirim mengetahui, sama ada untuk meneruskan segmen yang seterusnya atau mengulangi
segmen yang tidak diterima oleh penerima. Teknik ini dikenali sebagai positive acknowledgement
with retransmission.

Gambar rajah 10 menunjukkan contoh penggunaan pengesahan dengan saiz tetingkap tiga.

1. Pengirim akan menghantar tiga segmen kepada penerima

2. Apabila penerima menerima ketiga-tiga segmen itu, ia akan mengeluarkan isyarat untuk
menerima segmen 4 pula dan seterusnya

3. Seterusnya pengirim akan menghantar segmen 4, 5 dan 6 tanpa mengetahui segmen 5 tidak
sampai kepada penerima. Ini kerana saiz tetingkap adalah 3. Dengan itu hanya selepas segmen
ketiga barulah pengirim berhenti menghantar segmen dan menunggu isyarat dari penerima

4. Bagi penerima, ia menunggu segmen 4, 5 dan 6. Tetapi hanya menerima segmen 4 dan 6.
Dengan ini penerima akan menghantar isyarat meminta segmen 5 dihantar semula

13
Bab 1 Lapisan
OSI

5. Apabila pengirim menerima isyarat itu, segmen 5 akan dihantar semula. Hanya satu segmen
dihantar bukan 3 segmen. Penghantaran segmen 5 kali ini untuk mencukupkan jumlah segmen
yang sepatutnya dihantar

6. Apabila penerima menerima segmen 5, penerima akan menyusun segmen itu mengikut
susunan yang sepatutnya dan kemudian menghantar isyarat untuk menerima segmen 7

Rajah 10: Pengakuan

14

You might also like