You are on page 1of 30

1.

0 Pendahuluan

Kursus PPK 290/2 Internship 1 adalah bertujuan memberi pendedahan awal dan
pengalaman sebenar kepada pelajar tentang pengendalian program pendidikan khas
integrasi di sekolah. Pelajar kursus ini sebagai guru pembantu hanya dikehendaki
membuat pemerhatian dan membantu guru serta melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang
dijalankan di sekolah supaya mereka mendapat pengalaman yang sesuai. Pada akhir
internship, pelajar akan mempunyai pemahaman yang jelas tentang peranan guru
pendidikan khas di sekolah.

Semasa menjalani latihan ini, pelajar tidak akan melakukan tugas-tugas sebenar
guru pendidikan khas. Mereka hanya dikehendaki melibatkan diri dalam empat tugas iaitu
membuat pemerhatian terhadap tugas-tugas guru pendidikan khas, pengurusan murid-
murid keperluan khas, serta pemerhatian terhadap aktiviti pengajaran dalam kelas
pendidikan khas. Selain itu, tugas guru pembantu juga meliputi membantu guru
pendidikan khas mengurus murid-murid pendidikan khas, mengendali aktivitipengajaran
dalam kelas pendidikan khas, mengkaji keperluan murid dan menulis laporan RPI serta
menulis jurnal harian dan menyediakan laporan reflektif.








2.0 Penghargaan

Syukur Alhamdulillah, saya berjaya melalui internship atau praktikal selama sebulan
di SMK Rosli Dhoby, Sibu, Sarawak. Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga
SMK Rosli Dhoby, terutamanya kepada Tuan Pengetua, Penolong Kanan Pendidikan
Khas dan guru-guru pendidikan khas kerana memberi peluang dan kebenaran kepada
saya untuk menjalani internship selama sebulan di sekolah ini.

Terima kasih juga saya ucapkan kepada guru-guru yang sudi membimbing dan
membantu saya selama saya berada di sekolah ini. Saya juga berterima kasih kepada
pensyarah-pensyarah saya yang telah banyak membantu. Hasil daripada pembelajaran
yang saya ikuti di Universiti Sains Malaysia, telah saya aplikasikan sepanjang saya berada
di sekolah ini.

Selain itu, saya juga amat berterima kasih kepada pelajar-pelajar pendidikan khas
SMK Rosli Dhoby, Sibu, Sarawak kerana telah banyak membantu saya sepanjang saya
menjadi guru pembantu di sekolah ini. Kerjasama yang mereka berikan amat bermakna
buat saya. Setelah sebulan berada di sekolah ini, banyak pengalaman dan ilmu yang saya
perolehi. Saya juga dapat menambah pengetahuan mengenai bahasa-bahasa isyarat
yang mereka gunakan di sekolah dan dalam perbualan harian. Akhir kata, sekali lagi saya
ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang membantu saya termasuklah
keluarga saya dan seluruh warga SMK Rosli Dhoby, Sibu, Sarawak.






3.0 Objektif Internship

Objektif utama Internship 1 adalah untuk memberi pendedahan awal dan
pengalaman sebenar (field experience) kepada pelajar. Pelajar akan ditempatkan dalam
program-program pendidikan khas yang sesuai dengan bidang tumpuan selama sebulan
(4 minggu). Semasa menjalankan internship, pelajar dikehendaki membuat pemerhatian,
membantu dan melibatkan diri dalam program-program yang dijalankan supaya mereka
akan mendapat pengalaman yang sesuai. Pelajar diberi peluang untuk mengkaji ciri-ciri
diagnostik ketidakupayaan murid, dan cara mengurus dan mengajar murid-murid tersebut.
Pelajar akan bertugas sebagai guru pembantu (teaching assistant) kepada guru-guru
pendidikan khas dalam program-program tersebut. Pada akhir internship, pelajar akan
mempunyai kefahaman mengenai peranan guru pendidikan khas dalam program integrasi
inklusif atau badan bukan kerajaan.













4.0 Refleksi Internship
4.1 Refleksi Hari Pertama (9 Julai 2012 / Isnin)

Hari pertama berada di Sekolah Menengah Kebangsaan Rosli Dhoby, hari pertama
sebagai guru pembantu. Sekolah yang merupakan tempat saya praktikal ini mempunyai
Program Integrasi Pendidikan Khas Bermasalah Pendengaran. Program ini diwujudkan
sejak tahun 2002. Sewaktu itu, program ini masih berada di skala yang kecil. Mereka
menggunakan sebuah kelas sahaja. Guru-guru pula menggunakan sedikit ruang di dalam
kelas tersebut sebagai tempat rehat guru. Pada permulaan program ini dahulu, hanya
terdapat sedikit sahaja pelajar pendidikan khas. Namun sehingga tahun 2012, mereka
berkembang daripada 1 kelas kepada 5 kelas. Dahulunya hanya untuk pelajar Tingkatan 1
sehingga 3 sahaja, namun kini sudah mempunyai kelas tingkatan 4 dan 5. Hal ini
menunjukkan program ini sudah banyak membangun setelah 11 tahun diwujudkan. Jika
dahulu, guru hanya menumpang ruang di dalam kelas pelajar, namun kini mereka sudah
mempunyai bilik rehat guru yang tersendiri. Selain itu, mereka juga mempunyai 2 orang
pembantu pendidikan khas. Mereka adalah Kak Lily dan Kak Siti Hawa. Tugas mereka
adalah untuk membantu guru-guru dan para pelajar di sini. Mereka membantu guru
daripada segi menyediakan salinan lampiran mengajar, serta membuat tugas-tugas lain.
Bagi pelajar pula, mereka membantu pelajar untuk memesan makanan di kantin dan
sekiranya terdapat aktiviti luar bilik darjah, mereka membantu untuk memasak makanan
untuk para pelajar.
Bagi hari pertama, tidak banyak perkara yang dilakukan. Saya tiba di sekolah pada
pukul 6.20 pagi, kerana sudah menjadi kebiasaan semasa bersekolah di sini dahulu.
Waktu persekolahan bermula pada pukul 6.50 pagi. Pada kebiasaannya, pelajar-pelajar
akan berhimpun di tapak perhimpunan untuk upacara menaikkan bendera. Namun, pada
hari ini, cuaca tidak mengizinkan, hujan yang turun menyebabkan pelajar-pelajar hanya
menunggu di dalam kelas dan bersedia untuk memulakan proses pengajaran dan
pembelajaran.
Para pelajar sudah dilatih untuk berdikari dalam menjaga kebersihan kelas masing-
masing. Sebelum masuk ke kelas, sudah menjadi rutin harian, mereka akan mengambil
kunci kelas masing-masing untuk membuka bilik darjah. Kelas pendidikan khas di sini
adalah sebanyak 5 buah, iaitu daripada Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5. Setiap wakil
daripada kelas masing-masing akan mengambil kunci kelas yang terletak di bilik guru.
Selepas kelas dibuka, murid-murid akan membuat pembersihan di kelas masing-masing.
Guru kelas setiap tingkatan sudah menyediakan jadual bertugas untuk memudahkan
pelajar mengetahui tugas masing-masing.
Tidak banyak pemerhatian dilakukan pada hari ini. Saya melakukan pemerhatian di
seluruh kelas pendidikan khas daripada Tingkatan 1 sehingga Tingkatan 5. Para pelajar
kelihatan ramah apabila saya memasuki kelas mereka, walaupun mereka berasa hairan
dengan kehadiran saya. Pada hari pertama, interaksi antara saya dan pelajar-pelajar di
sini tidak begitu berkembang. Mereka masih kekok untuk menegur. Interaksi antara guru
pula baik, mungkin disebabkan saya sudah mengenali mereka semasa zaman
persekolahan dahulu.
Kelas pertama yang saya masuk adalah kelas Tingkatan 1. Dalam kelas ini, ada 4
orang pelajar. Namun seorang pelajar tidak hadir ke sekolah. Apabila saya masuk untuk
pemerhatian, pelajar-pelajar tersebut kelihatan rajin untuk membuat kerja. 3 orang pelajar
ini dikenali dengan nama Tan Wui Chen, Saadiah bt Yusuf dan Eileen Kung. Ketiga-tiga
mereka mengalami masalah pendengaran. Di dalam kelas ini, mereka menggunakan
papan putih untuk menggantikan papan hitam. Penggunaan papan putih ini, pada
pendapat saya amat sesuai untuk pelajar pendidikan khas. Tulisan yang ditulis di papan
putih kelihatan lebih jelas berbanding di papan hitam. Kebanyakan sekolah di Sarawak
masih lagi menggunakan papan hitam di dalam kelas. Jadi, menjadi satu kelainan di
dalam kelas-kelas pendidikan khas ini apabila mereka menggunakan papan putih. Di
dalam kelas ini juga terdapat rak penyimpanan buku pelajar, mesin jahit, rak simpanan
kasut, kipas dan peralatan sukan. Susun atur tempat duduk pelajar adalah berhadapan
dengan guru (Lihat Lampiran A).
Kelas kedua yang saya masuki adalah kelas Tingkatan 2. Kelas ini mempunyai 5
orang pelajar yang kesemuanya lelaki. Mereka adalah Alexander, Mohd Fikri, Micheal,
Ting dan Nicholas. Menurut guru yang mengajar, pelajar yang bernama Nicholas, baru
memasuki sekolah pada tahun 2011 iaitu semasa dia berada di Tingkatan 1. Pelajar
tersebut tidak pernah menerima sebarang pendidikan semenjak daripada kecil. Oleh itu,
apabila pelajar tersebut memasuki sekolah pada tahun 2011, pelajar tersebut tidak
mempunyai sebarang pengetahuan mengenai bahasa isyarat dan pelajaran yang diajar.
Hal ini merupakan satu cabaran bagi guru-guru untuk mengajar pelajar tersebut daripada
pengajaran yang paling asas. Pelajar-pelajar lain kesemuanya bekas murid daripada
sekolah rendah pendengaran. Di dalam kelas ini, terdapat papan putih, rak simpanan buku
pelajar, alat pemancar (LCD), televisyen dan kipas.
Kelas seterusnya adalah kelas tingkatan 3. Kelas ini terdapat hanya 2 orang pelajar
sahaja. Mereka adalah David dan Mohd Rizal. Di dalam kelas ini terdapat papan putih, rak
simpanan buku pelajar, rak simpanan kasut, televisyen, kipas dan tempat simpanan alat
pemancar. Pelajar yang bernama Rizal mempunyai sering sakit menyebabkan badannya
yang kurus semakin kurus. Jika diperhatikan, pelajar tersebut kelihatan mempunyai
penyakit lain yang menyebabkan badannya sangat kurus. Rizal tidak mempunyai masalah
pendengaran yang serius. Hal ini kerana dia mampu mendengar percakapan guru. Dia
akan menjawab semula dalam bahasa isyarat.
Dalam kelas Tingkatan 4 pula, terdapat 4 orang pelajar iaitu Albert, Afiq, Monica
dan Teng. Pelajar yang bernama Teng, merupakan pelajar perempuan yang berbangsa
Cina. Pelajar tersebut lewat memasuki kelas pendidikan khas. Hal tersebut kerana
menurut guru yang mengajar, pelajar tersebut lewat dikenalpasti sebagai mempunyai
masalah pendengaran. Menurut pemerhatian saya, pelajar tersebut kelihatan tidak dapat
menyesuaikan diri lagi berada dalam kelas pendidikan khas tersebut. Seperti yang kita
tahu, apabila seseorang tidak menggemari akan sesuatu, dia akan berperlakuan agresif
seperti suka marah dan sukar untuk mendengar arahan guru. Pelajar tersebut mempunyai
perlakuan tersebut yang menyebabkan guru-guru sukar untuk memberi arahan
kepadanya. Selain itu, walaupun pelajar tersebut tidak mempunyai masalah pendengaran
yang serius, guru-guru terpaksa bercakap dalam nada yang tinggi supaya dia mampu
mendengar. Pelajar tersebut juga mencuba untuk bercakap, namun butiran
percakapannya sukar untuk dikenalpasti. Hal ini menimbulkan kesukaran dalam proses
interaksi.
Kelas Tingkatan 5 pula terdapat 7 orang pelajar iaitu Nurhidayah, Nabil, Hadi, Alvin,
Hazemi, _____ dan ______. Dalam kelas ini terdapat kemudahan seperti papan putih, rak
simpanan buku, rak kasut, kipas dan OHP. Menurut guru yang mengajar, para pelajar di
dalam kelas ini mempunyai sikap dan pencapaian akademik yang baik. Apabila saya
masuk untuk memerhati, mereka rajin membuat kerja yang guru berikan. Terdapat guru
yang memberitahu bahawa ada pelajar di dalam kelas ini berpotensi untuk mendapat gred
A dalam mata pelajaran tertentu. Walaupun mereka sukar untuk faham akibat masalah
pendengaran yang dihadapi, namun mereka tidak berputus asa untuk fahami subjek yang
guru ajar. Pemerhatian kelima-lima kelas membolehkan saya tahu serba sedikit mengenai
pelajar dan tingkahlaku mereka di dalam kelas.
Waktu pengajaran dan pembelajaran tamat pada pukul 1 tengah hari. Saya
bernasib baik kerana berkesempatan terlibat dalam aktiviti mereka pada hari itu. Aktiviti itu
bermula pada pukul 2 petang. Aktiviti yang diadakan adalah aktiviti penanaman bunga di
kawasan yang berhadapan dengan kelas pendidikan khas. Melalui aktiviti tersebut, dapat
dilihat kerjasama antara pelajar sangat baik. Walaupun mereka berada dalam tingkatan
yang berlainan, mereka boleh berinteraksi sesama sendiri seperti rakan-rakan yang
normal. Malah mereka kelihatan lebih rapat antara satu sama lain. Hal ini mungkin
disebabkan oleh jumlah pelajar yang sedikit. Guru-guru memberi tunjuk ajar kepada
mereka cara-cara untuk penanaman pokok.
Pada permulaannya, mereka mencabut keseluruhan tanaman yang tumbuh di
kawasan yang hendak ditanam. Kemudian, beberapa orang pelajar ditugaskan untuk
mencangkul tanah bagi menggemburkan tanah-tanah yang ada. Apabila melihatkan
mereka melakukan tugasan yang diberi, tergambar bahawa pelajar-pelajar tersebut amat
tekun melakukan kerja yang melibatkan kemahiran. Berbeza suasananya apabila
dibandingkan antara mereka berada di dalam kelas dan di luar kelas. Aktviti yang
melibatkan kemahiran vokasional lebih menarik minat mereka. Walaupun sukar untuk
mendengar, mereka mampu melaksanakan tugasan penanaman pokok tersebut dengan
baik. Aktiviti luar tersebut digunakan oleh guru sebagai latihan amali untuk mata pelajaran
Kemahiran Hidup. Aktiviti tersebut dilakukan untuk menguji kefahaman pelajar serta
peneguhan untuk mata pelajaran yang guru ajar.
Guru-guru juga turut serta dalam proses penanaman pokok-pokok tersebut.
Pelajar-pelajar tersebut diajar untuk menggemburkan tanah, menanam pokok di dalam
pasu dan di dalam tanah serta menggunting ranting-ranting yang ada di pokok.
Kesimpulannya, perjalanan internship hari pertama berlalu dengan baik.



4.2 Hari kedua (10 Julai 2012 / Selasa )
Awal pagi sebelum bermulanya waktu persekolahan, seperti biasa pelajar-
pelajar melakukan tugasan pembersihan seperti menyapu lantai, mengemop,
membersihkan papan putih dan mengelap tingkap. Selain itu, ada juga pelajar disuruh
untuk menyiram pokok bunga yang ditanam semalam. Waktu pertama sehingga keempat
dihabiskan dengan aktiviti wajib seluruh sekolah di Malaysia iaitu 1 Murid 1 Sukan. Aktiviti
ini serentak dijalankan di sekolah-sekolah seluruh Malaysia pada hari Selasa. Para pelajar
dan guru-guru pendidikan khas tidak melepaskan peluang untuk turut serta dalam aktiviti
ini. Pelajar-pelajar sungguh bersemangat ketika menyertai aktiviti ini. Mereka berjaya
mengikut rentak senamrobik yang dibuat oleh jurulatih. Hal tersebut merupakan sesuatu
yang membanggakan kerana walaupun mempunyai kekurangan, mereka masih mampu
untuk menyertai aktiviti sebegitu.
Waktu selepas rehat dihabiskan dengan membuat pemerhatian di kelas Tingkatan
1. Hari sebelumnya, seorang pelajar tidak menghadirkan diri ke sekolah. Pada hari ini,
pelajar tersebut yang bernama Hafiz hadir ke sekolah. Menurut guru yang mengajar serta
melalui pemerhatian saya, pelajar tersebut tidak sesuai dimasukkan ke kelas bermasalah
pendengaran. Hal ini kerana, pelajar ini boleh mendengar dengan baik. Pelajar ini seolah-
olah mempunyai masalah pembelajaran iaitu autisme. Simptom-simptomnya dapat dilihat
dengan jelas. Pelajar ini tidak mempunyai kontak mata dengan orang lain, dia mampu
mendengar tetapi berpura-pura tidak mendengar arahan guru. Hafiz dilihat gemar
membentuk bahasa isyarat dengan sendirian tanpa maksud. Contohnya dia sering
membentuk isyarat abjad-abjad namun tidak memberi apa-apa maksud. Apabila kita
melihat padanya, dia akan berusaha untuk memalingkan muka serta badannya supaya
kita tidak dapat melihatnya.
Pelajar-pelajar dalam kelas tingkatan 1 mengalami masalah dalam penulisan
bahasa, tidak kiralah bahasa Malaysia atau bahasa Inggeris. Seperti yang diketahui,
pelajar bermasalah pendengaran sememangnya mempunyai masalah yang besar dalam
pembentukan bahasa. Penggunaan bahasa mereka kerap salah dan banyak mengalami
kesalahan tatabahasa. Seperti contoh, pelajar-pelajar lain kecuali Hafiz mempunyai
masalah dalam bahasa. Walaupun mereka hanya menyalin, namun apa yang disalin
mengalami kesalahan terutamanya kesalahan ejaan. Selain itu, mereka juga mengalami
masalah dalam menggunakan imbuhan. Manakala, Hafiz pula mempunyai masalah yang
lain. Dia tidak mampu untuk menyelesaikan apa-apa tugas yang guru berikan. Hafiz juga
memerlukan arahan satu persatu daripada guru supaya apa yang disampaikan dapat
dilaksanakan. Hafiz hanya boleh menyalin daripada buku atau papan putih, namun tidak
memahami apa yang disalin dan tidak mempunyai sebarang input daripada apa yang
dipelajari. Sekiranya ujian topikal diberikan kepada Hafiz, dia tidak mampu untuk
membuatnya dengan baik. Sebarang tulisan yang ditulis oleh Hafiz menjadi suatu
perkataan yang tidak mempunyai sebarang makna kerana perkataan yang ditulis adalah
hasil campuran huruf yang berlainan. Hal ini menunjukkan bahawa Hafiz sememangnya
mengalami masalah dalam bahasa.
Bagi guru Bahasa Malaysia yang mengajar mereka pula mengatakan bahawa guru-
guru tidak boleh memberikan perhatian yang lebih kepada Hafiz. Hal ini kerana tahap
pencapaian Hafiz sangat rendah berbanding dengan rakan-rakannya yang lain. Sekiranya
guru-guru terlalu tertumpu pada Hafiz, rakan-rakan yang lain akan mengalami masalah
dalam menguasai pelajaran. Namun, para guru telah mengambil inisiatif untuk
memberikan masa tambahan untuk mengajar Hafiz. Pemerhatian yang teliti perlu
dilakukan kepada Hafiz kerana apabila guru memberikan perhatian kepada rakan lain, dia
akan membuat kerja yang lain. Oleh itu, apabila rakan-rakan membuat latihan, Hafiz akan
diajar untuk menguasai sesuatu pelajaran misalnya kemahiran menulis. Hafiz akan
disuruh untuk menyalin nota yang guru sediakan. Hal ini telah menunjukkan Hafiz
memerlukan teknik pengajaran yang tepat untuk membantunya dalam akademik. Hafiz
dapat menyalin tugasan dengan cepat, namun tulisannya tidak kemas dan bersambung-
sambung. Guru perlu memberi panduan kepadanya untuk menyalin supaya Hafiz dapat
menyalin dengan baik. Hal ini menyumbang kepada satu masalah apabila kerajaan
memperkenalkan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, yang memerlukan para pelajar lulus
tahap-tahap ujian yang tertentu. Skala yang diukur adalah menggunakan Band 1 sehingga
Band 6. Para pelajar perlu lulus tahap-tahap tersebut, sekiranya gagal, mereka perlu
mengulangi semula tahap yang gagal. Bagi Hafiz, dia sukar untuk lulus Band 1 kerana
masalah yang dihadapinya. Guru-guru sedaya upaya untuk membantunya walaupun untuk
mencapai tahap Band 1.
Pelajar-pelajar ini boleh memahami pelajaran yang tidak memerlukan mereka untuk
memahami sesuatu yang abstrak. Misalnya mata pelajaran Matematik. Mereka boleh
melakukan Matematik lebih baik daripada mata pelajaran yang memerlukan kemahiran
bahasa. Namun untuk membuat latihan Matematik, mereka memerlukan bantuan
kalkulator untuk mengira nombor yang ada. Para pelajar ini juga tidak boleh diberikan
kerja rumah yang terlalu banyak. Jika diberi terlalu banyak tugasan, peratus untuk tidak
menyiapkan kerja rumah adalah tinggi. Oleh itu, guru-guru akan memberikan tugasan
yang sedikit untuk mereka siapkan di rumah.
Selain itu, apabila memasuki kelas Tingkatan 1 ini, saya berpeluang untuk
memerhati bagaimana kaedah yang guru gunakan untuk mengajar pelajar bermasalah
pendengaran. Guru-guru akan menulis nota di papan putih, manakala murid akan
menyalinnya ke dalam buku. Kemudian, guru akan menyuruh mereka membaca kembali
nota tersebut dengan menggunakan bahasa isyarat. Guru mengatakan bahawa bacaan
tersebut bertujuan untuk melatih para pelajar untuk menguasai bahasa isyarat mereka.
Ada antara pelajar yang masih mengeja perkataan-perkataan yang mempunyai bahasa
isyarat tersendiri. Jadi, guru-guru akan menggalakkan mereka membaca buku bahasa
isyarat untuk meneguhkan penguasaan bahasa isyarat mereka. Pelajar yang bernama
Eileen menunjukkan penguasaan bahasa isyarat yang agak baik. Dia melakukan bahasa
isyaratnya dengan sangat jelas. Walaupun mengalami kesalahan, cara dia membaca
dengan menggunakan bahasa isyarat tersebut sangat baik. Guru akan menegur
kesilapannya dan dia akan berusaha untuk mengingati bahasa isyarat yang dibetulkan.
Dua lagi rakan yang lain, mempunyai kemahiran berbahasa isyarat yang sederhana. Hal
ini menunjukkan kepada saya bahawa pelajar-pelajar juga perlu menguasai bahasa
isyarat dengan baik supaya mereka mampu berkomunikasi dengan guru, rakan lain atau
masyarakat luar.
Pemerhatian di kelas Tingkatan 1 memberi gambaran kepada saya bahawa untuk
mengajar pelajar pendidikan khas bermasalah pendengaran, guru perlu banyak tahu
bahasa isyarat supaya dapat menerangkan pelajaran yang diajar kepada pelajar. Hal ini
sangat penting apabila mengajar pelajar yang baru menginjak ke sekolah menengah.
Suasana pembelajaran di sekolah menengah amat berbeza dengan sekolah rendah.
Mereka perlu lebih berdikari untuk menimba ilmu berbanding di sekolah rendah, ramai
guru yang membantu sepanjang masa.
Saya turut mengambil kesempatan mempelajari bahasa isyarat yang mudah-mudah
sepanjang guru mengajar pelajar tingkatan 1 tersebut. Selain daripada guru, saya juga
mempelajari serba sedikit bahasa isyarat daripada pelajar-pelajar dalam kelas tersebut.
Walaupun baru dua hari berada di sekolah ini, saya dapat lihat banyak situasi pengajaran
dan pembelajaran yang berlaku dalam program tersebut.
4.3 Hari ketiga (11 Julai 2012 / Rabu )
Hari ketiga diteruskan dengan pemerhatian di kelas Tingkatan 2. Dalam kelas ini
terdapat 5 orang pelajar, kesemuanya lelaki. Menurut guru-guru, pelajar di dalam kelas ini
hampir kesemuanya lemah dalam pembelajaran. 4 orang antara mereka mempunyai
masalah pendengaran yang teruk kerana tidak mampu mendengar walaupun mempunyai
alat bantu pendengaran. Manakala seorang lagi yang bernama Fikri mampu mendengar
jika guru bercakap dengan kuat, walaupun tiada alat bantu pendengaran. Fikri juga
mampu bercakap, namun dengan suara yang perlahan. Melalui pemerhatian saya, Fikri
kurang sesuai ditempatkan dikelas pendidikan khas bermasalah pendengaran. Hal ini
kerana, dia mampu mendengar dan bercakap dengan baik sekiranya dilatih. Di dalam
kelas ini, dia terpengaruh oleh rakan-rakan yang mengalami masalah pendengaran, dia
sentiasa berbahasa isyarat untuk berkomunikasi walaupun dengan guru. Fikri boleh dilatih
untuk bercakap supaya dia boleh membantu dirinya sendiri untuk berhubung dengan
masyarakat.
Pengajaran dan pembelajaran dalam kelas tingkatan 2 berlangsung dengan baik.
Guru-guru yang mengajar perlu mengajar dengan teliti untuk memahamkan pelajar-
pelajar. Para pelajar tersebut amat lemah dalam bahasa. Apabila saya ikuti kelas bahasa
Malaysia, pelajar-pelajar diminta untuk menjawab soalan latihan. Guru meminta pelajar
untuk membaca secara individu. Fikri boleh membaca dengan baik soalan yang diberi.
Rakan-rakan yang lain pula, ada di antara mereka yang masih perlu mengeja perkataan-
perkataan yang dibaca. Manakala, ada pelajar yang bernama Nicholas pula, menghadapi
masalah untuk membaca. Dia baru masuk ke sekolah pada tahun 2011, dan tidak pernah
memasuki mana-mana sekolah rendah sebelumnya. Guru yang mengajar pula perlu
membantunya mengeja satu persatu perkataan yang dibaca. Sehingga pada satu tahap,
Nicholas sudah lupa abjad-abjad dalam bahasa isyarat. Hal ini menimbulkan kesukaran
kepada dia dan guru yang mengajar. Inisiatif yang guru tersebut ambil adalah mencetak
gambar abjad dalam bahasa isyarat yang besar untuk bacaannya. Guru tersebut
memintanya menghafal semula abjad-abjad tersebut. Hal tersebut menunjukkan bahawa
para pelajar berpendidikan khas perlu menjalani pendidikan seawal yang mungkin.
Mereka perlu mendapatkan kemahiran yang asas ketika masih kecil bagi membolehkan
mereka mudah untuk faham pembelajaran pada tahap-tahap seterusnya. Pendidikan asas
bukan sahaja perlu kepada pelajar khas bermasalah pendengaran sahaja, malah semua
pelajar yang mengalami ketidakupayaan termasuklah bermasalah penglihatan dan
masalah pembelajaran.
Pelajar-pelajar dalam kelas ini perlu melalui pengajaran yang sama seperti pelajar
dalam tingkatan 1. Mereka masih tidak memahami kebanyakan pelajaran yang guru ajar.
Guru perlu memberi tunjuk ajar satu persatu untuk memastikan mereka faham apa yang
diajar. Selain itu, mereka kurang minat akan bidang akademik. Jika dilihat, mereka lebih
gemar akan sesuatu yang melibatkan kemahiran. Ada diantara mereka yang sangat minat
dalam bermain bola sepak, minat untuk membaiki sesuatu dan banyak lagi. Apabila
mereka mengikuti aliran perdana, mereka kurang didedahkan dengan aktiviti yang
melibatkan kemahiran. Pelajar seperti ini boleh diajar dan dilatih untuk kemahiran
vokasional supaya mereka mudah untuk memasuki bidang kerjaya kelak.
Waktu pembelajaran selepas rehat diteruskan dengan menemani pelajar-pelajar
tingkatan 5 ke dewan sekolah. Terdapat aktiviti ceramah kerjaya yang diadakan untuk
semua pelajar-pelajar tingkatan 5 di SMK Rosli Dhoby. Mereka juga turut serta dalam
aktiviti tersebut. Ceramah tersebut adalah mengenai bagaimana pelajar-pelajar dapat
menempatkan diri dalam alam pekerjaan serta cara-cara untuk mendapatkan pekerjaan.
Untuk aktiviti seperti ini, para pelajar memerlukan penterjemah untuk menterjemahkan apa
yang disampaikan oleh penceramah. Pelajar-pelajar ini saling membantu satu sama lain.
Contohnya, apabila rakan mereka tidak memahami apa yang disampaikan, rakan yang
lain akan berusaha untuk menerangkan kembali kepada rakan mereka. Wujudnya
komunikasi yang baik antara mereka membolehkan mereka mendapat ilmu yang
disampaikan oleh orang luar dengan baik. Adakalanya mereka tidak memerlukan
penterjemah kerana terdapat pelajar tingkatan 5 yang boleh mendengar dan membantu
membuat penerangan kepada rakan-rakan.




4.4 Hari keempat (12 Julai 2012 / Khamis )
Hari keempat praktikal digunakan untuk memerhati di kelas Tingkatan 3. Kelas ini
mempunyai 2 orang pelajar sahaja, iaitu David dan Rizal. Kedua-dua mereka mempunyai
masalah pendengaran, Rizal mempunyai masalah pendengaran yang sederhana. Oleh itu,
dia mampu mendengar apa yang guru sampaikan. Dalam proses pengajaran dan
pembelajaran yang berlaku, kedua-dua menunjukkan perlakuan yang baik dalam
akademik. Walaupun tidak mencapai keputusan yang cemerlang, namun bagi pelajar yang
bermasalah pendengaran, mereka boleh mengikuti pembelajaran yang dijalankan.
Rizal mempunyai tubuh badan yang sangat kurus. Guru-guru mengatakan bahawa
dia sering sakit sehingga menyebabkan badannya menjadi begitu. Rizal boleh mendengar
sekiranya guru bercakap dalam nada yang tinggi. Walaupun mengalami masalah, Rizal
seorang pelajar yang cepat memahami apa yang guru sampaikan. Apabila guru
menerangkan sesuatu, dia boleh meniru kembali perbuatan guru untuk menunjukkan dia
faham apa yang disampaikan. Selain itu, Rizal juga mahir dalam menggunakan bahasa
isyarat. Saya juga cuba untuk mengajar Rizal mata pelajaran Agama Islam. Apabila saya
menyuruhnya membaca nota, dia boleh membaca dengan menggunakan bahasa isyarat
dengan baik. Kemudian, guru yang mengajar bertanyakan mengenai topik yang dipelajari,
dia memahami dan boleh menjawab soalan yang guru tanya.
Seorang lagi pelajar iaitu David mempunyai masalah pendengaran yang agak teruk
Walaupun mempunyai alat bantu pendengaran, dia sukar untuk mendengar bunyi.
Menurut gurunya, David seorang pelajar yang lemah dalam menerima pelajaran. Dia
sukar untuk faham apa yang guru ajar. Namun, kesukaran yang dialaminya tidak menjadi
masalah buat guru-guru kerana David seorang pelajar yang sangat rajin. Dia boleh
memahami sesuatu walaupun mengambil masa yang agak lama. David juga memerlukan
panduan untuk melakukan latihan dalam setiap subjek yang dilakukan. Walaupun David
lemah dalam akademik, namun David rajin dalam melakukan kerja-kerja harian. Pada
awal pagi tadi, David mengadu akan rakannya Rizal bahawa dia tidak melakukan kerja-
kerja pembersihan. Hanya David seorang sahaja yang mengemas kelas mereka. Rizal
kelihatan tidak mengambil kisah akan apa yang David katakan. Apabila dilihat, Rizal
sememangnya tidak peduli akan apa yang orang katakan. Selepas 4 hari pemerhatian,
Rizal seakan-akan hidup dalam dunianya sendiri. Namun dia tidak mengalami masalah
autisme, mungkin disebabkan oleh kesakitan yang dialaminya menyebabkan Rizal tidak
berdaya untuk melakukan kerja-kerja harian.
Semasa pengajaran mata pelajaran Pendidikan Agama Islam, Rizal bersama guru
yang mengajar belajar mengenai tajuk kematian. Apabila ditanya mengenai kematian,
Rizal mampu memahami sedikit mengenai maksud kematian. Dia sempat mengatakan
kepada gurunya bahawa dia belum akan mati keesokkan harinya. Manakala David pula
sudah menghabiskan silibus untuk mata pelajaran Pendidikan Moral, jadi guru yang
mengajar memberi bimbingan kepadanya untuk memahami subjek lain.
Apabila ketiadaan guru dalam kelas, David dan Rizal membuat kerja masing-
masing. Saya lihat mereka berdua jarang berkomunikasi sesama sendiri melainkan ada
perkara yang perlu dibualkan. Selepas beberapa hari pemerhatian saya kepada kelas-
kelas pendidikan khas ini, dapat dilihat bahawa Rizal kurang bergaul dengan rakan-rakan
yang lain. Amat berbeza daripada David, dia boleh bersosial dengan rakan-rakan daripada
kelas-kelas lain dengan sangat baik. Pada pandangan pertama, David dilihat sebagai
seorang yang suka menyendiri, namun bila menemui rakan-rakan, dia mempunyai banyak
cerita yang menarik dikongsikan kepada rakan-rakannya. Mungkin disebabkan oleh hanya
dia dan Rizal sahaja di dalam kelas tersebut, dia kurang untuk berinteraksi sesama
mereka di dalam kelas.
Selain itu, guru yang mengajar mengatakan bahawa Rizal sering tertinggal buku di
rumah. Setiap kali pembelajaran dilakukan, Rizal akan memberi alasan tertinggal di rumah
ataupun hilang. Pada hari ini, ibu Rizal datang ke sekolah untuk berjumpa dengan guru.
Dia mengatakan bahawa Rizal ada mencari-cari buku di rumah, tetapi tidak tahu jumpa
atau tidak. Dia juga mengatakan Rizal sering sakit yang menyebabkan dia tidak mampu
untuk ke sekolah. Selain itu, ibu Rizal juga memberikan wang kepada guru untuk
kegunaan Rizal di sekolah. Wang itu selalunya digunakan untuk membeli peralatan
sekolah Rizal yang tiada serta untuk pembelian makanan semasa Rizal berada di sekolah.




4.5 Hari kelima (13 Julai 2012 / Jumaat )
Saya bertuah pada hari ini kerana terdapat wakil-wakil daripada Deaf Association
Kuching datang melawat ke sekolah SMK Rosli Dhoby, Sibu. Mereka juga mewakili Sibu
Deaf Club yang melakukan aktiviti-aktiviti untu pelajar-pelajar bermasalah pendengaran.
Tujuan mereka datang adalah untuk membuat hari motivasi bersama pelajar-pelajar
bermasalah pendengaran di sini. Program tersebut dinamakan Motivasi Ilmu untuk
Pelajar Khas. Ada antara wakil tersebut merupakan bekas pelajar di sekolah ini sewaktu
permulaan penubuhan kelas pendidikan khas di sekolah ini. Oleh itu, dia mengatakan
bahawa dia ingin menyumbangkan sesuatu untuk pelajar bermasalah pendengaran di sini.
Permulaan hari motivasi ini dimulakan dengan sesi perkenalan antara pelajar
bersama wakil daripada Persatuan Pekak tersebut. Masing-masing mempunyai cara
panggilan tersendiri, huruf yang melambangkan nama masing-masing. Saya lihat ia
merupakan sesuatu yang menarik kerana hanya melalui 1 atau 2 huruf sahaja, mereka
sudah mengetahui siapa orang yang dipanggil. Saya berpendapat bahawa pelajar-pelajar
kursus pendidikan khas Tahun 2 di USM juga patut mempunyai nama bahasa isyarat yang
tersendiri. Perkara tersebut akan menjadi satu keunikan bagi pelajar yang mengambil
jurusan tersebut.
Kemudian, aktiviti hari motivasi diteruskan dengan pembentangan slaid daripada
wakil-wakil yang ada. Saya kurang memahami perbualan mereka bersama pelajar yang
ada kerana mereka menggunakan bahasa isyarat yang sangat cepat dan ada antara
bahasa isyarat yang digunakan belum dipelajari. Namun, saya dapat lihat pelajar-pelajar
sangat gembira mengikuti aktiviti yang dijalankan. Hal tersebut mungkin disebabkan oleh
mereka kurang mengikuti aktiviti-aktiviti seperti yang dijalankan. Sewaktu pembentangan
slaid oleh wakil-wakil tersebut, mereka membentangkan dengan sangat baik. Hal ini
kerana apa yang dipaparkan di slaid kurang difahami oleh pelajar-pelajar disini, namun
mereka menerangkan dengan sangat baik. Mereka juga menyelitkan unsur cerita apabila
menerangkan sesuatu. Para pelajar tidak dapat memahami dengan baik sekiranya
terdapat peribahasa digunakan di dalam perbualan harian, tetapi wakil tersebut dapat
menerangkan dengan baik peribahasa yang digunakan serta menggunakan contoh-contoh
yang menarik untuk menerangkannya. Mereka juga membuat lakonan sebagai contoh di
hadapan para pelajar. Walaupun kurang faham apa yang disampaikan, namun, saya
dapat faham apa yang cuba disampaikan melalui lakonan yang mereka jalankan. Amat
menarik dan saya berpendapat bahawa cara mereka menyampaikan tersebut boleh
digunakan semasa proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini kerana
pelajar-pelajar dilihat lebih mudah memahami apa yang disampaikan sekiranya cara
penyampaian tersebut menarik minat mereka dan mempunyai contoh-contoh yang boleh
mengukuhkan pemahaman mereka.
Mereka juga memberi peluang kepada para pelajar yang faham untuk
menerangkan slaid tersebut kepada rakan-rakan yang lain. Walaupun pada mulanya ada
yang masih ragu-ragu dan malu untuk berada dihadapan, wakil-wakil tersebut membantu
pelajar untuk berasa yakin apabila berada dihadapan orang. Mereka tidak membiarkan
pelajar untuk membuat penerangan secara bersendirian malah mereka turut serta
membantu pelajar tersebut menerangkan kepada rakan mereka. Cara tersebut dapat
membina keyakinan diri pelajar disamping dapat memperkembang bakat yang ada kepada
orang lain.
Antara topik yang diperkatakan dalam hari motivasi tersebut termasuklah berkaitan
dengan impian para pelajar dan cara untuk memperoleh kejayaan. Mereka memerlukan
bantuan daripada segi psikologi untuk membolehkan mereka yakin dan boleh berinteraksi
dengan masyarakat. Cara penyampaian wakil-wakil tersebut sangat baik kerana mereka
dapat meningkatkan psikologi yang positif dalam diri pelajar. Mereka juga memaparkan
golongan yang bermasalah pendengaran yang berjaya dalam akademik dan memperoleh
sijil di peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda. Mereka mengatakan bahawa pelajar
khas juga boleh berjaya sekiranya mereka mahukannya serta belajar bersungguh-
sungguh. Contoh pelajar yang berjaya tersebut merupakan bekas pelajar di SMK Rosli
Dhoby juga. Hal tersebut dapat memberi inspirasi kepada para pelajar tersebut untuk
mengikuti jejak langkah senior-senior mereka.
Selepas tamat sesi pertama, kami rehat dan makan bersama-sama tenaga
pengajar yang ada. Ada pelajar yang makan bersama tenaga pengajar tersebut berbual
bersama mereka. Sambil makan, terdapat proses interaksi antara mereka. Hal ini
membolehkan mereka bertukar-tukar pendapat mengenai apa yang mereka tahu.
Selepas rehat, hari motivasi diteruskan dengan latihan dalam kumpulan. Para
pelajar dibahagikan kepada 3 kumpulan. Tenaga pengajar memilih pelajar untuk
dibahagikan kepada 3 kumpulan, mereka tidak membenarkan pelajar memilih kumpulan
mereka sendiri. Kemudian, mereka diberi kertas yang besar sebagai tempat untuk
menulis. Tugasan mereka adalah menulis apa yang baik dan apa yang tidak baik yang
dilakukan dalam kehidupan seharian. Masing-masing menyumbang idea dalam aktiviti
tersebut. Aktiviti tersebut dapat memupuk semangat kerjasama antara pelajar.
Tamatnya sesi perbincangan dalam kumpulan, para pelajar diminta menghantar
wakil untuk membentangkan hasil kerja kumpulan masing-masing di hadapan. Apabila
melihatkan hasil kerja mereka, nampak kesilapan yang jelas dalam bahasa. Tatabahasa
yang mereka gunakan tunggang-langgang. Pembalikan ayat turut berlaku. Hal ini
disebabkan mereka menulis mengikut apa yang mereka fahami dan cara penulisan
mereka sememangnya lemah dalam penggunaan bahasa yang betul. Sewaktu
pembentangan oleh tenaga pengajar tersebut juga menggunakan bahasa yang terbalik.
Mereka menyediakan bahan yang mudah untuk difahami oleh para pelajar. Golongan
bermasalah pendengaran sememangnya menggunakan singkatan dalam perbualan
harian. Saya juga berpeluang untuk mengikuti perbincangan dalam kumpulan. Saya hanya
bertanya menggunakan bahasa isyarat mudah sahaja, mereka sudah dapat memahami
maksud yang saya cuba sampaikan.
Pembentangan para pelajar diwakilkan oleh 3 orang daripada setiap kumpulan.
Melalui pembentangan ini, dapat dilihat para pelajar mencuba sedaya upaya untuk
menerangkan dalam bahasa isyarat di hadapan orang. Ada pelajar yang bernama Ling,
boleh menggunakan bahasa isyarat dengan sangat cepat berbeza apabila bersama rakan-
rakan dan guru. Mungkin disebabkan rakan-rakan atau guru sukar untuk memahami
sekiranya dia menggunakan bahasa isyarat dengan sangat cepat. Hari motivasi bersama
pelajar berkeperluan khas ini tamat pada pukul 11.30 pagi. Aktiviti tersebut ditamatkan
dengan sesi bergambar bersama tenaga pengajar, guru dan para pelajar. Sesungguhnya
aktiviti ini dapat meningkatkan keyakinan dalam diri pelajar serta dapat mengukuhkan
psikologi positif mereka. Aktiviti tersebut perlu dilakukan dengan lebih kerap supaya
pelajar tidak hanya belajar di dalam kelas sahaja, mereka juga boleh memperkembangkan
pembelajaran mereka di luar bilik darjah.

4.6 Hari keenam (16 Julai 2012 / Isnin )
Pemerhatian pada hari ini dilakukan kepada pelajar Tingkatan 4. Dalam kelas ini
terdiri daripada empat orang pelajar iaitu Albert (Ketua Kelas), Monica (Penolong), Afiq
dan Teng. Afiq dan Monica mempunyai masalah pendengaran yang teruk manakala Albert
dan Teng mengalami masalah pendengaran yang sederhana. Jadi, mereka berdua
mampu mendengar apa yang guru katakan dengan bantuan alat bantu pendengaran yang
ada. Albert bukan sahaja boleh mendengar malah juga boleh bercakap. Namun butiran
percakapannya tidak seperti pelajar normal. Hal tersebut merupakan satu kelebihan
baginya. Dia mampu bertutur bagi pihak rakan-rakannya sekiranya terdapat orang-orang
sekeliling yang tidak mampu memahami bahasa isyarat. Guru-guru juga sering meminta
Albert berjumpa dengan pihak pentadbiran sekiranya terdapat masalah yang melibatkan
pendidikan khas, kerana Albert boleh bercakap dan mewakili pelajar-pelajar pendidikan
khas.
Selain itu, Teng pula boleh mendengar. Dia juga boleh bercakap sedikit namun
butiran percakapan tidak jelas. Apabila saya mendengar dia bercakap, seolah-olah ada
sesuatu yang tersekat di pita suaranya. Teng hanya boleh bercakap bahasa Cina sahaja,
dia tidak mahir berbahasa Melayu ataupun bahasa Inggeris. Pada mulanya Teng bukan
seorang yang suka bersosial. Namun, pada hari pemerhatian saya, dia sedaya upaya
untuk berkongsi sesuatu kepada saya, tetapi dia bertutur dalam bahasa Cina yang
menyebabkan saya tidak faham apa yang cuba disampaikan. Dia hanya menunjuk-nunjuk
gambar, dan melalui gambar yang ditunjuk, saya boleh menangkap apa yang cuba
disampaikan walaupun maklumatnya sedikit. Teng kurang untuk bergaul dengan rakan-
rakan yang lain. Melalui perbualan saya bersama PPM pendidikan khas, Teng baru sahaja
dimasukkan ke program integrasi ini pada bulan Mei. Pengesanan terhadap
ketidakupayaannya dilakukan agak lewat. Hal tersebut menyebabkan Teng seolah-olah
memberontak apabila dilayan seperti pelajar pendidikan khas yang lain.
Dapat dilihat setiap kali semasa perhimpunan harian dijalankan, Teng tidak akan
menyanyikan lagu kebangsaan dan sekolah menggunakan bahasa isyarat. Dia hanya
menggerakkan mulutnya, walaupun melalui pemerhatian saya, apa yang dinyanyikannya
adalah salah. Dia tidak mahu mengikuti pergerakan guru yang berada dihadapan mereka.
Situasi di dalam kelas juga begitu, Teng hanya cuba untuk bercakap dengan
menggunakan bahasa Cina, namun tiada tanda dia akan menggunakan bahasa isyarat.
Bagi pelajar yang bernama Monica pula, dia tidak mampu untuk mendengar dan
bertutur. Apabila dia cuba berbual dengan saya, dia akan menggunakan bahasa isyarat
mudah dan kami menggunakan pen dan kertas sebagai medium pertuturan. Apabila
menulis, dia cuba menyampaikan sesuatu namun bahasa yang digunakan agak sukar
difahami. Dia gemar menggunakan ayat yang terbalik yang sangat mengelirukan
pembaca. Saya perlu memerhati dan membaca berulang kali untuk memahami apa yang
cuba disampaikan. Monica mempunyai pergerakan dan bertindak dengan sedikit perlahan.
Oleh itu, apabila saya cuba menyampaikan sesuatu, saya perlu memastikan dia benar-
benar faham sesuatu maklumat sebelum berpindah ke maklumat seterusnya. Tetapi,
Monica akan bertanya semula apabila dia tidak memahaminya.
Terdapat seorang lagi iaitu Afiq. Afiq mempunyai masalah pendengaran yang teruk
dan tidak boleh bertutur. Namun, apa yang menariknya, Afiq sangat gemar bersosial. Dia
akan senyum kepada sesiapa sahaja yang ditemuinya. Afiq juga gemar berkomunikasi
dengan orang lain. Dia akan menulis di atas kertas untuk berhubung dengan orang lain.
Namun Afiq tidak pandai berbahasa Melayu. Dia akan berkomunikasi dengan orang lain
dengan menggunakan bahasa Inggeris. Bahasa isyarat yang digunakan juga merupakan
bahasa Inggeris. Afiq bersifat sukakan perhatian daripada orang lain. Dia akan berasa
terpinggir sekiranya rakan-rakan yang lain tidak memberikan perhatian kepadanya. Dia
juga sering merasakan rakan-rakannya gemar meminggirkannya. Afiq tinggal di asrama
lelaki sekolah ini. Dahulunya, dia masih dihantar oleh ibunya untuk ke sekolah. Namun,
setelah beberapa tahun, ibunya menghantar dia ke asrama. Hal tersebut kerana dia terlalu
leka dengan kemudahan komputer di rumahnya. Apabila berada di rumah, dia tidak akan
menelaah buku-buku ataupun membuat kerja rumahnya. Dia menjadi leka apabila
terdapat perkara yang sememangnya menjadi minatnya. Hal tersebut menjadi kesukaran
kerana dia tidak dapat memahami apa sahaja yang dipelajari sekiranya tidak membuat
tugasan yang diberikan oleh guru. Setiap kali berjumpa dengan Afiq, dia pasti akan
mengatakan dia keseorangan. Kadang-kadang agak kelakar kerana dia yang memilih
untuk tidak mahu berkawan bersama rakan yang lain. Namun, dia sendiri yang mengadu
bahawa rakannya tidak mahu berkawan dengannya. Pemikirannya seolah-olah masih
sama seperti kanak-kanak. Mungkin disebabkan kerana dia merupakan anak manja dalam
keluarganya. Pemerhatian saya pada hari tersebut dapat melihat bahawa Afiq
sememangnya gemar berkenalan dengan orang yang baru dikenali. Dia akan bertanyakan
banyak soalan kepada saya sepanjang saya melakukan pemerhatian.
Proses pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan adalah bersamaan dengan
kelas-kelas yang lain. Guru-guru perlu menerangkan satu persatu apa yang dipelajari
supaya mereka faham apa yang disampaikan. Para pelajar juga akan mengulang apa
yang guru sampaikan. Walaupun mereka mengatakan mereka memahami apa yang
mereka pelajari, mereka akan membuat kesilapan di dalam latihan mereka. Mereka
memerlukan latihan yang mencukupi dan bimbingan daripada guru untuk membuat latihan
serta memahami apa yang dipelajari.
4.7 Hari ketujuh (17 Julai 2012 / Selasa )
Hari ini saya melakukan pemantauan terhadap kelas Tingkatan 5.
4.8 Hari kelapan (18 Julai 2012 / Rabu )

4.9 Hari kesembilan (19 Julai 2012 / Khamis)

4.10 Hari kesepuluh (20 Julai 2012 / Jumaat )

4.11 Hari kesebelas (23 Julai 2012 / Isnin )
Minggu pertama untuk bulan Ramadhan. Hari ini saya ditugaskan untuk
menggantikan guru yang sakit. Pada waktu pertama, saya masuk ke kelas tingkatan 3,
untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris. Hari ini sekali lagi Rizal tidak menghadirkan diri ke
sekolah. David pula belajar seorang di dalam kelas. Jadi, saya menyuruh David untuk
menyiapkan kertas soalan ramalan PMR Bahasa Inggeris. Selepas menyiapkan satu
bahagian, David menghantarnya kepada saya, untuk disemak. David boleh melakukan
soalan yang ada dengan baik. Dia boleh memahami soalan dengan baik. Selepas
menyemak bahagian yang disiapkan oleh David tadi, saya menyuruh dia menyiapkan satu
lagi bahagian dalam buku soalan tersebut. Kali ini, David menyiapkannya dengan banyak
kesilapan. Saya menyuruhnya membetulkan kembali kesilapan yang dilakukannya.
Kemudian, selepas membuat pembetulan, saya menyemak kembali tugasan yang
dilakukannya. Namun, David masih membuat kesilapan yang sama. Apabila diteliti, David
tidak memahami kebanyakan perkataan yang menyebabkan dia tidak dapat menjawab
dengan baik. Walaupun merujuk kepada kamus, dia masih memerlukan penerangan untuk
setiap perkataan yang sukar.
Kemudian, selepas kelas tersebut, saya masuk ke kelas Tingkatan 4 bagi
menggantikan guru yang mengajar mata pelajaran Sains. Saya membenarkan pelajar
membuat tugasan masing-masing yang belum siap. Setelah habis tugasan tersebut,
pelajar yang bernama Teng meminta bantuan rakannya untuk mengajarnya bahasa
isyarat. Dia menggunakan buku yang mempunyai bahasa isyarat yang disusuli dengan
perkataan bahasa Melayu, Inggeris dan Cina. Dia akan mengulang kembali apa yang
rakannya buat. Dengan cara itu, dia mampu menghafal bahasa-bahasa isyarat tersebut.
Walaupun tidak mahir berbahasa isyarat, dia boleh menggunakan bahasa isyarat yang
ringkas untuk berkomunikasi bersama rakannya. Monica turut membantu Afiq mengajar
Teng berbahasa isyarat. Terdapat kosa kata di dalam buku tidak menepati bahasa isyarat
yang digunakan dalam kehidupan seharian mereka, Afiq menyuruh Teng mengikut bahasa
isyaratnya kerana bahasa isyarat di dalam buku tersebut mengalami kesalahan. Saya juga
turut mengambil kesempatan untuk mempelajari bahasa isyarat daripada mereka. Hal
tersebut kerana, apabila kita mempelajari bahasa isyarat berpandukan buku sahaja, sukar
untuk mengingatnya. Tetapi, saya merasakan apabila saya mengikut bahasa isyarat yang
ditunjukkan oleh para pelajar, saya boleh mengingatnya dengan lebih mudah. Pada
pendapat saya, para pelajar pendidikan khas yang mengambil masalah pendengaran
perlu lebih didedahkan dengan pelajar bermasalah pendengaran kerana ianya dapat
membantu meningkatkan tahap kebolehan berbahasa isyarat.
4.12 Hari kedua belas (24 Julai 2012 / Selasa )

4.13 Hari ketiga belas (25 Julai 2012 / Rabu )
Hari ini perhimpunan wajib dibatalkan kerana hari hujan. Jadi, para pelajar diminta
untuk duduk di dalam kelas bagi membuat kerja masing-masing. Saya mengambil
kesempatan untuk berada dalam kelas Tingkatan 5. Seperti biasa mereka membuat
tugasan masing-masing seperti membuat kerja rumah, membaca buku dan sebagainya.
Kemudian, terdapat satu insiden di mana seorang pelajar yang bernama Alvin bermain
marker dan menconteng muka rakannya, Tang. Saya memerhati bagaimana mereka
menyelesaikan perkara tersebut. Pada mulanya Tang nampak marah kerana dia tahu
kesan dakwat tersebut sukar untuk hilang. Kemudian, dia ingin membalas kembali apa
yang dilakukan oleh Alvin kepadanya dengan menconteng muka Alvin. Namun, hasratnya
dihalang oleh Hazemi. Hazemi menyuruhnya membiarkan sahaja tindakan Alvin kerana
tiada gunanya membalas tindakan Alvin. Kemudian Tang bertanya kepada Hazemi, yang
dia ingin membalas namun dia ingin menconteng di tangan Alvin dan bukan di mukanya.
Hazemi mengatakan boleh. Kemudian, Tang pun memanggil Alvin lalu menconteng
tangannya. Alvin hanya membenarkan Tang menconteng tangannya. Selepas
mencontengnya, saya nampak Tang berpuas hati kerana sudah membalas tindakan Alvin.
Insiden tersebut agak kelakar kerana mereka masih berfikir seperti kanak-kanak yang
gemar membalas tindakan orang lain dengan melakukan perkara yang sama. Namun cara
mereka menyelesaikan masalah tersebut adalah bijak kerana mereka tidak mencetuskan
sebuah pergaduhan yang serius. Selepas insiden itu, mereka boleh meneruskan tugasan
masing-masing tanpa memikirkan apa yang telah terjadi.
Kemudian, saya mengikuti pengajaran dan pembelajaran bersama David yang
dilakukan di dalam bilik rehat guru. David belajar subjek Matematik. Menurut cerita
daripada guru Geografinya, dia baru sahaja mengajar David mengenai topik laut, sepuluh
minit kemudian, apabila ditanya soalan mengenai apa yang dipelajarinya, David tidak
dapat menjawab dengan baik. Ingatan David lemah menyebabkan dia tidak mampu untuk
mengingat perkara yang baru sahaja dipelajarinya. Apabila dia belajar subjek Matematik,
dia perlu membuat latihan yang banyak. Apabila membuat latihan Matematik, David
sentiasa membuat kesilapan dalam menyelesaikan soalan yang ada. Semasa guru
Matematik menyemak soalan, guru memberitahu David bahawa sekiranya dia tidak
memahami apa yang diajar, dia perlu bertanya semula kepada guru. David mengatakan
soalan yang cuba dijawabnya sangat susah sehingga menyebabkan dia muntah-muntah.
Guru pula mengatakan bahawa David tidak boleh terlalu tertekan ketika belajar. Hal ini
akan menyebabkan kesihatannya akan terganggu. Selepas beberapa latihan dibuat oleh
David, dia mampu membuat soalan yang lain dengan baik. Hari ini masuk hari ketiga
David belajar sendirian di dalam kelas kerana Rizal tidak hadir ke sekolah. Guru
menganggap mungkin David kesunyian apabila belajar bersendirian di dalam kelas tanpa
ada rakan.
Pada waktu yang ke-7, saya ditugaskan untuk menggantikan guru yang mengambil
ujian Cambridge di sekolah. Saya masuk ke kelas Tingkatan 2 bagi subjek Bahasa
Inggeris. Sudah menjadi kelaziman apabila masuk ke kelas Tingkatan 2 ini, para pelajar
sememangnya sukar untuk bergerak dengan cepat. Buku daripada waktu sebelumnya
masih berada di atas meja, dan ada yang masih menyalin nota di papan putih. Saya
menyuruh mereka menyimpan semua buku yang ada dan bersedia untuk mata pelajaran
seterusnya. Guru yang mengajar hanya menyuruh saya memberikan latihan menjawab
soalan sahaja kepada mereka. Saya menyuruh mereka membuat tugasan tersebut.
Setelah siap, saya menyemak dan menyuruh mereka membuat pembetulan soalan yang
salah sekali lagi. Kemudian barulah saya menyemak dengan menggunakan pen merah.
Markah yang mereka perolehi tidak lebih daripada 4 markah dan ada yang memperoleh 1
markah.
Selepas memberikan kembali tugasan tersebut, terdapat lebihan masa untuk waktu
tersebut. Saya mengambil peluang untuk berborak bersama mereka. Waktu seterusnya
adalah untuk subjek Kemahiran Hidup Bersepadu (KHB). Ada pelajar menyuruh saya
menggantikan guru tersebut kerana dia kurang gemar akan guru tersebut. Hal tersebut
menunjukkan mereka seperti pelajar normal, kerana pelajar normal juga sering mengadu
mengenai guru yang mereka kurang minat. Saya mendapat iktibar daripada peristiwa
tersebut bahawa untuk menjadi guru, kita tidak boleh terlalu bertegas dan garang dengan
pelajar. Impak daripada tersebut, pelajar tidak sukakan kita dan boleh menyebabkan
mereka tiada minat langsung terhadap mata pelajaran yang kita ajari.
Kemudian saya masuk ke kelas Tingkatan 3 bagi menggantikan guru yang sama.
Kali ini untuk mengajar mata pelajaran Sejarah pula. Seperti biasa saya akan masuk ke
kelas tersebut dan melihat kelibat David sahaja. Guru tersebut menugaskan saya untuk
memainkan perisian Sejarah kepada David. Jadi, saya dan David duduk di hadapan
komputer riba dan saya menyuruh David menyiapkan aktiviti yang ada dalam perisian
tersebut. David mengalami kesukaran untuk menyiapkan aktiviti tersebut. Dia terpaksa
mencuba berkali-kali untuk menyelesaikan satu aktiviti. Ada antara aktiviti tersebut, David
tidak mengingati kesalahan yang dilakukannya, malah melakukannya berulang kali.
Kemudian saya lihat, apabila dia ingin menjawab soalan, dia akan berfikir dan jika tidak
tahu jawapannya, dia akan menjawab sesuka hati. Sememangnya David memerlukan
latihan yang banyak supaya dia tidak teragak-agak untuk menjawab sesuatu.




4.14 Hari keempat belas (26 Julai 2012 / Khamis )
Hari ini dimulakan dengan perhimpunan harian sekolah. Hari ini pula saya
ditugaskan untuk menggantikan guru yang mengambil cuti rehat khas. Pagi-pagi saya
masuk ke kelas Tingkatan satu bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris. Saya sekali lagi
menyuruh para pelajar bermain permainan bina perkataan. Perisian ini sesuai untuk
membina pengetahuan para pelajar dalam membina perkataan-perkataan bahasa
Inggeris. Mereka kelihatan berminat apabila saya menyuruh mereka bermain permainan
tersebut. Hafiz pula kelihatan seronok, tidak seperti apabila guru menyuruhnya membaca
dan menulis. Mereka hanya boleh membina perkataan yang pendek-pendek. Hafiz ingin
bermain permainan tersebut juga namun dia tidak boleh mengeja. Saya membantu Hafiz
mengeja, dan apabila memenangi tahap tersebut, Hafiz sangat gembira. Ternyata, Hafiz
tertarik kepada pembelajaran berasaskan multimedia. Saadiah pula cuba membina
perkataan berdasarkan kamus. Secara keseluruhan mereka boleh mengeja perkataan
bahasa Inggeris yang mudah dengan baik.
Selang satu waktu, saya masuk ke kelas Tingkatan 5. Mereka kelihatan tekun
membuat tugasan subjek Matematik. Saya memberi masa kepada mereka untuk
menyiapkan tugasan mereka. Apabila mereka tidak tahu menjawabnya, mereka bertanya
kepada saya. Walaupun sudah lama meninggalkan subjek-subjek di Tingkatan 5, saya
masih boleh mengingat langkah-langkah untuk menyelesaikan soalan Matematik
Tingkatan 5. Saya bernasib baik kerana mampu untuk menjawab soalan yang ditanya.
Selepas rehat pula, saya memasuki kelas Tingkatan 1 sekali lagi untuk subjek
Sains sebanyak 2 masa. Kali ini, saya tidak memberikan sebarang permainan kepada
mereka. Saya memberikan tugasan dalam buku latihan Sains mereka. Saya menunjukkan
muka surat yang perlu dilakukan. Saya menyuruh mereka mencari jawapannya di dalam
buku teks. Walaupun mereka agak lambat dalam mencari jawapan bagi soalan yang
diberikan, mereka masih boleh menjawab dengan betul. Saya hanya memberikan tugasan
tersebut kepada Tan, Eileen dan Saadiah sahaja. Manakala untuk Hafiz pula, saya
menyuruh dia menyalin nota ke dalam buku notanya. Hafiz dapat menyiapkan nota
tersebut dengan kadar yang segera. Rakannya yang lain boleh menjawab soalan Sains
berdasarkan jawapan dalam buku teks.
Dua waktu yang terakhir, saya memasuki kelas Tingkatan 4 untuk subjek bahasa
Inggeris. Seperti biasa, saya hanya memberikan latihan di dalam buku latihan kepada
mereka. Para pelajar juga bergegas ingin menyiapkan tugasan Sejarah mereka. Jadi saya
hanya memberikan sedikit latihan kepada mereka. Selepas menyiapkan tugasan Bahasa
Inggeris mereka, mereka kembali menyambung tugasan Sejarah mereka yang perlu
dihantar sebelum tamatnya waktu persekolahan. Mereka kelihatan bersungguh
menyiapkan tugasan, mungkin kerana guru yang mengajar tegas terhadap mereka.
Mereka akhirnya dapat menyiapkan tugasan Sejarah mereka sebelum tamatnya masa
pembelajaran.
Semasa menyiapkan tugasan, pelajar yang bernama Afiq sempat berborak
bersama saya. Seperti kebiasaan dia akan berbahasa isyarat kepada saya. Jika saya
tidak memahaminya, dia akan mengeja perkataan-perkataan tersebut dengan bahasa
isyarat secara perlahan-lahan. Saya senang berkomunikasi bersama Afiq. Hal tersebut
kerana dia akan memastikan saya faham apa yang disampaikan dengan sebaiknya. Itulah
yang menyeronokkan apabila berkomunikasi bersama mereka, mereka akan memastikan
orang yang berinteraksi dengan mereka memahami bahasa yang mereka gunakan.













4.15 Hari kelima belas (27 Julai 2012 / Jumaat )
Hari ini saya tidak melakukan sebarang pemerhatian terhadap mana-mana kelas.
Saya melakukan pencarian terhadap Sistem Pentaksiran Berasaskan Sekolah.
4.16 Hari keenam belas (30 Julai 2012 / Isnin )
Awal pagi dimulakan dengan perhimpunan harian. Kemudian, saya melakukan
pemerhatian terhadap pelajar Tingkatan 2. Minggu lepas, pelajar bernama Alexander telah
digantung sekolah kerana membotakkan kepalanya secara keseluruhan. Sememangnya
peraturan sekolah tidak membolehkan pelajar untuk membotakkan kepala. Mata pelajaran
pertama hari ini adalah Bahasa Malaysia. Guru mengajar mengenai penulisan ringkasan
karangan.
Selepas rehat pula, saya memasuki kelas Pendidikan Islam untuk kelas Tingkatan
1 dan Tingkatan 2. Mula-mula, guru mengajar dan menerangkan topik Hidayah Sumber
Kebahagiaan. Sesudah menerangkan topik tersebut kepada Fikrie, Fikrie disuruh menulis
nota dan membuat latihan ke dalam buku nota. Selepas itu, guru memfokuskan kepada
Hafiz dan Saadiah untuk Pendidikan Khas Tingkatan 1. Hafiz disuruh untuk menulis
namanya di dalam borang pentaksiran PBS. Guru menanyakan sama ada Hafiz boleh
menulis namanya sendiri atau tidak. Hal tersebut kerana apabila Hafiz menulis sendirian,
dia akan menulis perkataan yang pelik-pelik. Guru menyuruhnya cuba menulis namanya
sendiri di papan putih. Setelah menulis namanya, terdapat kesalahan ejaan yang
dilakukannya. Setelah itu, guru menyuruh Hafiz meniru ejaan namanya yang terdapat di
buku latihannnya.
Kemudian, guru menyuruh Saadiah menulis nota sambil menunggu Hafiz siap
menulis namanya di kertas pentaksiran tersebut. Selepas Hafiz siap menulis namanya di
kertas pentaksiran tersebut, Hafiz disuruh menulis nota. Kemudian guru menerangkan
topik hari itu. Sambil guru menerangkan, dia menggunakan bahasa isyarat supaya pelajar
memahaminya. Dia juga menyuruh pelajar mengikut bahasa isyaratnya supaya mereka
tidak duduk sahaja semasa proses pengajaran dan pembelajaran dilakukan. Semasa
membuat penerangan, Hafiz kelihatan tidak fokus terhadap pengajaran yang berlaku. Dia
mengatakan dia mengantuk. Guru yang mengajar mengatakan baru pertama kali dia
melihat Hafiz menguap di dalam kelas. Hal tersebut menunjukkan walaupun Hafiz tidak
dapat menangkap ilmu pengetahuan yang diajar di sekolah, namun, dia masih boleh
berusaha untuk menumpukan perhatiannya kepada pengajaran guru. Perkara yang
menarik perhatian saya adalah apabila guru menyuruh Hafiz mengeja ABC dengan
bahasa isyarat, Hafiz boleh mengeluarkan suara. Pertama kali saya mendengar suara
Hafiz semenjak saya memasuki kelas mereka. Rupa-rupanya Hafiz juga boleh bercakap,
mungkin dia tidak mahu mengeluarkan suaranya, menyebabkan dia hanya berkomunikasi
dengan saya menggunakan bahasa isyarat.
Selepas tamatnya waktu Pendidikan Islam, saya mengikuti kelas Geografi
Tingkatan 1. Seperti biasa guru akan menyuruh pelajar mereka menyiapkan latihan yang
ada dalam buku latihan. Mereka mencari jawapan dalam buku teks. Saya duduk di
sebelah Eileen. Apabila dia tidak tahu jawapannya, dia sempat bertanya kepada saya
bagaimana hendak menyelesaikan tugasan tersebut. Saya turut membantunya
menyiapkan tugasan tersebut. Hafiz pula diberi latihan yang berbeza kerana dia tidak
menyiapkan tugasan yang lepas. Guru menyuruh Hafiz menyiapkan latihan dengan
berpandukan nota di dalam buku. Namun, Hafiz hanya membulat jawapannya sehingga
habis. Hafiz tidak mampu untuk memahami bacaan dan apa yang dijawabnya adalah
berdasarkan apa yang dibulat pada jawapan sebelumnya. Hafiz sememangnya sukar
untuk melakukan tugasan yang berasaskan akademik.











4.17 Hari ketujuh belas (31 Julai 2012 / Selasa )
Hari ini diteruskan dengan membuat pemerhatian terhadap Tingkatan 2. Awal-awal
pagi saya sudah menyuruh Nicholas untuk mengulangkaji abjad dalam bahasa isyarat.
Apabila saya melihat kertas yang saya berikan kepadanya semalam, saya berasa gembira
kerana dia menampakkan dia mengulangkaji abjad tersebut di asrama. Dia sudah boleh
mengingati sedikit demi sedikit abjad-abjad tersebut. Bahasa isyarat yang dilakukannya
masih tidak tepat dan dia masih teragak-agak untuk menunjukkan bahasa isyarat tersebut.
Hari ini tidak banyak perkara yang berlaku. Para pelajar mengikuti pembelajaran
secara biasa. Pada masa pembelajaran Bahasa Inggeris, Patrick dimarahi oleh guru
kerana dia silap dalam menulis rumusan Bahasa Inggeris. Patrick menyalin soalan ke
dalam jawapannya sebagai rumusan. Guru memarahinya kerana sudah diajar beberapa
kali supaya tidak menyalin soalan ke dalam jawapan. Satu perkara yang saya lihat, para
pelajar cuba untuk menghabiskan waktu pembelajaran subjek tertentu dengan melambat-
lambat untuk menyiapkan tugasan mereka. Jika guru yang mengajar adalah guru
kegemaran mereka, mereka akan menyalin dan membuat tugasan dengan cepat.
Fenomena ini adalah sama seperti apa yang berlaku kepada pelajar normal.
Bagi masa kedua terakhir dan seterusnya, saya mengikuti pengajaran Pendidikan
Islam bagi kelas Tingkatan 1 dan 2. Seperti biasa pengajaran dilakukan berasingan untuk
subjek tingkatan 1 dan tingkatan 2. Hafiz sekali lagi disuruh untuk membaca ABC. Kali ini
dia disuruh untuk menulisnya di papan putih. Setelah selesai menulis, Hafiz tertinggal
beberapa huruf dalam abjad tersebut. Hafiz disuruh untuk mengulang membaca abjad-
abjad tersebut untuk mengenal di mana kesilapan Hafiz. Hafiz kemudiannya disuruh untuk
menulis namanya sendiri. Hafiz selalu tersilap menulis namanya, selalu tertinggal abjad
tertentu di dalam namanya. Selain itu, guru juga menyuruh Fikrie untuk menulis di papan
putih kerana Fikrie selalu tersilap dalam menyalin ayat daripada buku. Kemudian, Hafiz
juga disuruh untuk menulis perkataan-perkataan yang mudah seperti baca, meja dan
kipas. Namun, Hafiz tidak dapat mengejanya. Dia hanya menurut apa yang saya eja
menggunakan bahasa isyarat. Yang menyeronokkan, Hafiz mampu untuk menerangkan
satu perkataan kepada saya iaitu bola dan dia mampu untuk mengeja perkataan bola
dengan sendirinya. Buat pertama kali saya dapat lihat Hafiz mampu mengeja sesuatu
dengan sendirinya. Berbanding dengan perkataan-perkataan yang selalu diejanya yang
tidak mempunyai makna. Selepas itu, Hafiz juga diminta oleh guru untuk menyanyikan
sebuah lagu. Hafiz cuba menyanyi sambil tangannya dihayun-hayunkan. Guru yang
mengajar mengatakan bahawa Hafiz sememangnya berminat untuk melakukan perkara
berikut contohnya menyanyi, menari dan sebagainya.
Setelah tamat waktu sekolah, Hafiz dan Saadiah bertugas untuk menutup tingkap
dan memadam papan tulis. Hafiz sudah tahu tugasnya untuk membuang sampah. Guru
mengatakan dia lebih berminat untuk melakukan perkara yang melibatkan kemahiran.
4.18 Hari kelapan belas (1 Ogos 2012 / Rabu )
Awal pagi dimulakan dengan perhimpunan wajib sekolah. Agak lama kerana
terdapat upacara perlantikan pengawas. Kemudian, hari ini saya gunakan untuk membuat
pemerhatian di kelas Tingkatan 4. Proses pengajaran dan pembelajaran
4.19 Hari kesembilan belas (2 Ogos 2012 / Khamis )

4.4 Hari kedua puluh (3 Ogos 2012/ Jumaat )

5.0 Laporan Mengenai Pemerhatian Terhadap Guru



6.0 Kelemahan dan Cadangan Penambahbaikan
6.1 Masalah Kekurangan Tenaga Guru
6.2 Kelayakan sebenar Guru-guru
6.3 Kelemahan / Ketidakupayaan sebenar Pelajar
6.4 Bilik Rehat Guru
6.5 Pentaksiran Berasaskan Sekolah
7.0 Contoh Rancangan Pengajaran Individu
8.0 Refleksi Keseluruhan / Kesimpulan
9.0 Lampiran

You might also like