You are on page 1of 3

CARA-CARA MENANGANI KENAIKAN HARGA

BARANG
Setelah menghela nafas kemerdekaan selama 55 tahun, ibu pertiwi kita yang telah bebas daripada
cengkaman penjajah begitu pesat membangun bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Sehubungan
dengan hal itu, peribahasa ada menyebut bahawa, ada bukit, ada paya, namun kita tidak boleh mendabik
dada kerana di sebalik kemajuan yang sedang dikecapi, negara kita masih lagi terkongkong dalam
gelombang inflasi yang semakin rumit. Walaupun isu ini hangat diperkatakan dan sering meniti di bibir
masyarakat, tetapi pernahkah terlintas dalam benak fikiran kita, apakah yang dimaksudkan dengan inflasi?
Mengikut penjelasan yang terdapat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, inflasi didefinisikan sebagai
keadaan kenaikan harga barangan yang disebabkan oleh bertambahnya kuasa membeli. Oleh itu, masalah
ini tidak boleh dipandang remeh dan formula penyelesaian harus diimplimentasikan untuk merungkai
masalah ini bak kata peribahasa, tak ada gunung yang tak dapat didaki, tak ada lurah yang tak dapat
dituruni.
Setiap penyakit ada penawarnya yang mustajab, setiap masalah ada jalan penyelesaian yang berkesan, oleh
itu, pihak kerajaan sewajarnya mengambil inisiatif dengan menganjurkan kempen berhemat secara
istiqamah dan konsisten ke seluruh pelosok negara dan bukannya sekadar melepaskan batuk di tangga.
Memetik kata-kata azimat Lootze, kehidupan membazir dan tamak haloba mendorong manusia ke
arah kebinasaan. Lantaran itu, kempen tersebut haruslah menekankan kepentingan amalan berjimat
cermat supaya nilai murni ini dapat dijadikan amalan dalam kehidupan masyarakat Malaysia. Tindakan
yang lebih afdal, masyarakat sewajarnya diseru supaya berbelanja mengikut kemampuan sendiri ibarat
mengukur baju di badan sendiri dan usahlah bersikap membesarkan kerak nasi. Cara berbelanja dengan
mengikut hawa nafsu akan membawa padah yang buruk kerana peribahasa Melayu ada
menyatakan, ikut nafsu lesu, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Tambahan pula, pihak kerajaan juga
harus mengadakan pertandingan yang dapat menarik penyertaaan khalayak seperti sayembara puisi,
menulis esei, persembahan artis dan sebagainya dalam usaha menyebarluaskan kempen tersebut. Jelaslah
bahawa penganjuran kempen berhemat secara berterusan dan holistik merupakan perisai yang ampuh
untuk merungkai masalah kenaikan harga barangan.
Jika satu pintu tertutup, pintu lain akan terbuka untuk menyelesaikan sebarang kesulitan yang berlaku di
negara kita termasuk isu kenaikan harga barang. Namun begitu. kita tetap melihat dan kemudiannya
menyesal kerana pintu penyelesaian itu tertutup terlalu lama sehingga kita tidak dapat melihat pintu lain
yang telah terbuka. Begitulah gambaran implikasi daripada kata-kata mutiara Alexander Graham Bell,
seorang ahli sains dan matematik Barat yang menunjukkan bahawa setiap masalah pasti ada cara yang
berkesan untuk mengatasinya. Sebagai kesinambungan idea, tindakan agensi bukan kerajaan atau NGO
melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan
langkah konkrit yang patut dilaksanakan sepanjang masa. Organisasi atau agensi yang menyokong peranan
kerajaan ini seperti Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia atau FOMCA dan Persatuan Pengguna Pulau
Pinang atau CAP, telah mendukung obligasi untuk melindungi hak para pengguna. Pihak-pihak ini
berperanan untuk menerima sebarang aduan dan menyiasat segala permasalahan yang dihadapi
termasuklah masalah kenaikan harga barangan keperluan, penjualan barangan yang telah luput tarikh, caj

perkhidmatan yang melampau dan sebagainya. Seterusnya FOMCA dan CAP haruslah mengambil
tindakan yang sewajarnya untuk memastikan hak golongan pengguna akan terpelihara dan tidak mudah
dieksploitasi oleh peniaga-peniaga yang licik dan tidak bertanggungjawab. Organisasi-organisasi ini
haruslah menjalinkan hubungan ukhuwah ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai dan kita juga
berpegang pada falsafah Confusius, apakah gunanya sekiranya kita tidur sebantal tetapi mimpi kita
lain-lain, lebih baik kita tidur bantal yang berlainan, tetapi mimpi kita tetap sama. Deduksinya,
melindungi hak-hak pengguna daripada kenaikan harga barangan tanpa kawalan di pasaran merupakan
tindakan efektif oleh agensi bukan kerajaan atau NGO.
Tokoh psikologi Barat pernah mengungkapkan bahawa tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan,
sebaliknya hidup tanpa dibebani masalah adalah kosong. Kata-kata ini memang ada kebenarannya dan
semua rakyat di negara ini perlu berpijak di bumi nyata kerana setiap kemelut yang kita hadapi mesti ada
uslub dan minhaj yang komprehensif. Bertitik tolak daripada manifestasi ini, pihak berkuasa seharusnya
sentiasa membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menaikkan
harga barangan sesuka hati tanpa memperoleh kelulusan daripada pihak berwajib. Pegawai kerajaan
berkaitan juga haruslah memainkan peranan yang penting untuk mengadakan pemeriksaan secara mengejut
ke premis-premis perniagaan dari semasa ke semasa untuk memastikan para peniaga mematuhi peraturan
yang telah ditetapkan dan tidak bersikap seperti lintah darat. Sementelahan itu, pihak kerajaan juga
haruslah melunaskan tanggungjawab yang terletak di atas pundak mereka untuk menggubal,
mengkodifikasikan seterusnya menguatkuasakan undang-undang secara serius dan telus supaya dapat
memberi peringatan kepada golongan peniaga. Mana-mana peniaga yang cuba menaikkan harga barangan
atau memasang lukah di pergentingan hendaklah didakwa di mahkamah agar kesalahan sebegini tidak
berulang ibarat pisang berbuah dua kali. Oleh itu, usaha pihak berkuasa yang sentiasa membuat
pemantauan dan mengambil tindakan tegas terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab dapat
mengekang masalah kenaikan harga barangan di pasaran.
Lampu Aladdin tidak akan bersinar sendiri, tetapi Aladdin akan menggosoknya terlebih dahulu,
persis ungkapan kata Alex Osborn telah membuktikan bahawa kejayaan semanis madu tidak akan terjana
tanpa curahan usaha yang bersungguh-sungguh kerana peribahasa Melayu ada menyebut, kalau tak
dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya. Hakikatnya, media massa juga menggalas kewajipan untuk
menyebarluaskan informasi berkaitan ilmu kepenggunaan merupakan prakarsa bagi menangkis masalah
kenaikan harga barang. Sebagaimana yang kita sedia maklum bahawa ilmu kepenggunaan dalam kalangan
masyarakat Malaysia masih kurang meluas dan berada di takuk yang lama. Oleh itu, tidak hairanlah
sekiranya segelintir golongan peniaga yang mengutamakan keuntungan akan bersikap ibarat menangguk
di air keruh, menindas gologan pengguna yang tidak berdosa. Oleh hal yang sedemikian, media massa
haruslah menyumbang tenaga secara optimum dengan menerapkan pengetahuan berkaitan hak-hak
pengguna kepada seluruh strata masyarakat. Dengan komitmen pihak media massa, pengguna akan
mengetahui kaedah yang efisien untuk menuntut hak mereka daripada dimanipulasikan oleh para peniaga
yang durjana. Misalnya, apabila berlaku kenaikan harga barangan, pengguna akan dapat membuat aduan
kepada pihak berwajib dan agensi bukan kerajaan supaya hak-hak mereka dapat dipertahankan. Melalui
penyebaran maklumat oleh media cetak dan media elektronik, para pengguna termasuk suri rumah tangga
akan memperoleh ilmu kepenggunaan secara total dan bertindak berani kerana benar dalam
memperjuangkan hak mereka seterusnya mengatasi kemelut kenaikan harga barangan di negara ini.

Setelah meniti perbincangan secara panjang lebar, sudah terang lagi bersuluh, segenap lapisan
masyarakat mesti bersama-sama menggembleng tenaga untuk mengekang kenaikan harga barangan dari
peringkat akar umbinya. Sebagai manusia yang kamil dan soleh, kita tidak wajar menadah tangan ke
langit menunggu kejatuhan lampu ajaib Aladdin kerana peribahasa Melayu ada menyatakan, yang
bulat tak datang bergolek, yang pipih tak datang melayang. Oleh itu,semua anggota komuniti haruslah
mendukung semangat habis kapak berganti beliung untuk membendung masalah tersebut. Oleh itu,
Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh mantan Perdana Menteri kita yang keempat, Tun Mahathir bin
Mohamad bukan lagi menjadi angan-angan Mat Jenin.

You might also like