You are on page 1of 9

http://ww1.utusan.com.

my/utusan/Rencana/20130907/re_01/Gelombangtransformasi-pendidkan
ARKIB : 07/09/2013

Gelombang transformasi pendidikan

Muhyiddin Yassin ketika berucap merasmikan pelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 di
Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.

11 September 2012, iaitu hampir setahun yang lalu dan di dewan ini
juga, kita telah sama-sama menyaksikan Pelancaran Laporan Awal
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang
disempurnakan oleh Perdana Menteri Malaysia. Setahun adalah satu
jangkamasa yang agak lama. Jika kita bertanam padi tentu sudah
kita nikmati hasilnya, jika dahulu anak-anak pandai bertatih, kini
sudah boleh melangkah gagah.
Begitu juga halnya dalam kita merangka satu pelan pembangunan
pendidikan yang komprehensif, kementerian tidak bertindak
tergesa-gesa malah kita mengambil pendekatan terbuka
mendengar pelbagai pandangan daripada segenap lapisan
masyarakat. Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah
mendengar suara rakyat, baik di bandar, mahu pun di desa, hatta
hingga nun jauh ke kawasan pedalaman, pandangan tulus daripada
pelbagai persatuan, agensi kerajaan, pertubuhan kerajaan dan
bukan kerajaan, serta pakar-pakar pendidikan dalam dan luar
negara. Tidak lengkap dengan itu, PPPM ini kita bentangkan dalam

Mesyuarat Khas Jemaah Menteri. Saya juga ingin mengambil


kesempatan mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri
serta ahli Jemaah Menteri yang memberi sokongan yang cukup padu
kepada pembangunan pelan ini. Pelan ini juga telah saya sembah
maklum kepada Majlis Raja-Raja.
Dalam tempoh setahun setelah pelancaran laporan awal, KPM telah
mengambil pertimbangan sewajarnya bagi setiap maklum balas
yang diterima. Kami dengar, kami angkat suara hati rakyat dalam
bentuk dokumen rasmi. Akhirnya pada hari ini, dengan segala data
dan maklumat yang kami cerna sejak 2011 lahirlah PPPM 20132025. Pelan ini menjadi suatu dokumen rasmi yang amat signifikan
untuk pembangunan negara kerana ia merupakan suatu rangka
pelan pendidikan yang terhasil dengan begitu teliti, tuntas,
menyeluruh dan mencakupi semua lapisan masyarakat.
Maka hari ini, KPM dengan rasa rendah hati "memulangkan" Pelan
Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 kepada rakyat
dengan pelbagai rangka tindakan yang telah digalurkan
sebagaimana yang diingini oleh rakyat untuk kepentingan rakyat
seluruhnya. Pelan ini dilancarkan dengan harapan yang begitu tinggi
daripada pihak kerajaan agar pendidikan menjadi tunjang kepada
transformasi negara yang sedang diusahakan. Penghasilan pelan ini
memulakan lembaran transformasi pendidikan tetapi juga menerajui
transformasi perkhidmatan awam. Maka, tidak sempurna jika saya
tidak mengungkapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak
yang terlibat dalam penghasilan pelan pendidikan ini.
Kelainan dalam penghasilan PPPM
Bagi mencapai cita-cita besar untuk maju dalam pendidikan, KPM
telah mencipta kelainan dan melangkaui semua kemungkinan
dalam penghasilan PPPM. Suka saya nyatakan di sini, suatu kelainan
dalam menyediakan PPPM 2013-2025 ini adalah dari segi
penggunaan data dan dapatan kajian yang dilaksanakan oleh
Kementerian, universiti tempatan, UNESCO dan juga Bank Negara.
Kementerian telah menganalisis semula laporan awal sebelum ini
seperti Laporan Penyata Razak, Laporan Kabinet, Pelan Pembanguan
Pendidikan 2000-2012 dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan
(PIPP) untuk menilai pencapaian negara dalam pendidikan.
Kita tidak nafikan dalam usaha mengangkat kecemerlangan sistem
pendidikan negara sejak merdeka, telah banyak perkara yang telah
dicapai. Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar
enrolmen pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus;
peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16

peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada


Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan
luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100
peratus sudah pun tercapai.
Kejayaan ini memperlihatkan bahawa wujud amalan-amalan baik
yang pernah dilaksanakan oleh Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat
Pendidikan Daerah dan sekolah yang membawa kepada
keberhasilan dan peningkatan prestasi dalam sistem pendidikan
kita. Contoh amalan baik ini juga adalah antara elemen yang
diambil dalam merangka strategi pelaksanaan inisiatif-inisiatif PPPM.
Sebagai tambahan, kementerian juga meneliti amalan terbaik
daripada negara-negara yang mempunyai sistem pendidikan
bertaraf dunia seperti Korea Selatan, Singapura dan Finland.
Dari sinilah kita memulakan perancangan untuk mengorak langkah
bagi kembara yang panjang sehingga 2025. Ini bermakna, setiap
perancangan pendidikan yang terkandung dalam PPPM ini, tidak
dibuat secara sewenang-wenangnya malah berdasarkan kepada
fakta dan data selain daripada menerima secara positif pendapat
yang disuarakan oleh masyarakat keseluruhannya.
Tumpuan kepada keberhasilan murid
PPPM 2013-2025 memberi tumpuan kepada keberhasilan murid.
Pelan ini direncanakan sebegitu komprehensif yang melibatkan
semua laluan pendidikan merangkumi pendidikan teknik dan
vokasional, pendidikan inklusif, pendidikan agama, pendidikan seni
dan sukan di sekolah-sekolah kerajaan. Ia juga merangkumi semua
peringkat persekolahan; daripada peringkat prasekolah hingga
kepada peringkat lepasan menengah.
Kita telah berjaya meningkatkan sebagai contoh kadar enrolmen
pelajar sekolah rendah dan menengah hampir 97 peratus;
peruntukan pendidikan yang signifikan dan mapan hampir 16
peratus daripada belanjawan negara diperuntukkan kepada
Kementerian Pendidikan, merapatkan jurang pencapaian bandar dan
luar bandar dan kadar literasi yang semakin baik, hampir 100
peratus sudah pun tercapai.
Saya mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi Dialog Nasional
Pendidikan Negara, Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin yang
mengambil inisiatif turun ke seluruh negara dan berjumpa dengan
sejumlah 17,000 rakyat yang mengemukakan pandangan yang
pelbagai dan hasil itulah yang kita cerna dan masukkan dalam pelan
ini.

Dalam usaha kita untuk mencapai cita-cita yang tinggi bagi tempoh
13 tahun lagi, PPPM 2013-2025 telah memberi tumpuan utama
kepada pembelajaran dan keberhasilan murid. Sebagai contoh,
Kementerian telah memperkukuhkan dasar bahasa dengan memberi
tumpuan kepada dua bahasa utama iaitu Bahasa Malaysia dan
Bahasa Inggeris. Malahan dalam siri dialog yang kita adakan di
seluruh negara sebahagian besar mengutarakan kepentingan
tentang bahasa Inggeris diperkukuhkan dan ini kita ambil kira dalam
pelan ini. Kita juga, memantapkan kemahiran berfikir aras tinggi
(KBAT), ini penting untuk menentukan anak-anak kita bukan sahaja
belajar dalam menghafal tapi faham dan tahu apa yang mereka
belajar dan menggunakan akal fikiran pada tahap tinggi. Selain itu,
kita memantapkan elemen etika dan kerohanian kerana elemen
pembelajaran kita tidak hanya mahu menekankan aspek
pembelajaran semata-mata, tetapi pembentukan sahsiah,
menjadikan insan kamil dan roh pendidikan itu mesti disemai,
ditanam dan diperkukuh dalam jiwa setiap anak-anak Malaysia
dalam sistem persekolahan kita.
Dasar bahasa
Untuk memberikan pendidikan yang berkualiti kepada semua murid
tanpa mengira peringkat dan jenis sekolah, saya berani mengatakan
semua aspek untuk meningkatkan kualiti pendidikan telah dikaji
dengan teliti dan dibincangkan secara mendalam. Dasar pendidikan
sedia ada yang berasaskan kepada Akta Pendidikan masih
dipertahankan dalam pelan ini.
Kementerian tidak berhasrat meminggirkan mana-mana aliran
persekolahan yang wujud di negara ini, malah akan memastikan
setiap murid di Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan
mendapat akses, ekuiti dan kualiti pendidikan. Kewujudan Sekolah
Jenis Kebangsaan juga dijamin oleh Akta Pendidikan 1996 (Seksyen
28) dan ingin saya nyatakan di sini bahawa kedudukan bahasabahasa ibunda sebagai bahasa pengantar di sekolah-sekolah ini
tidak pernah dinafikan sama sekali.
Kementerian juga akan terus memartabatkan Bahasa Malaysia demi
menjunjung semangat perpaduan dan jati diri kebangsaan yang
kukuh dalam kalangan masyarakat. Pada masa sama untuk
melahirkan generasi global, mata pelajaran Bahasa Inggeris turut
diberikan perhatian utama dan seperti yang telah diumumkan awal
tahun ini akan dijadikan mata pelajaran SPM wajib lulus menjelang
tahun 2016. Dalam memastikan pelaksanaan hasrat ini,
Kementerian sedang dalam usaha menambah masa ataupun

'contact hours' di dalam kelas agar pendedahan/immersion muridmurid yang lebih dalam Bahasa Inggeris dapat dilaksanakan.
Saya sedang meneliti kerana kita mempunyai sejumlah sekolah satu
sesi dan masih ada 1,600 sekolah dua sesi yang akan dijadikan
sekolah satu sesi, maka tempoh waktu persekolahan dilanjutkan
umpamanya menambah waktu persekolah sejam atau dua jam dan
itu boleh kita gunakan untuk menambah contact hours untuk
bahasa Melayu, bahasa Inggeris atau bahasa lain di seluruh sekolah.
Bagi memperkukuh kedua-dua bahasa ini, PPPM menggariskan
beberapa inisiatif. Antaranya ialah menambah baik Kurikulum
Bahasa Malaysia di Sekolah Jenis Kebangsaan. Bagi murid yang
lemah, kelas pemulihan akan diadakan di luar waktu persekolahan
dan ini tidak akan menjejaskan waktu pengajaran dan pembelajaran
mata pelajaran lain.
Dalam usaha meningkatkan penguasaan murid dalam bahasa
Inggeris pula, guru-guru Bahasa Inggeris telah diuji kemahiran
mereka melalui Cambridge Placement Test (CPT). Ekoran itu, kohort
pertama seramai 5,000 orang telah mengikut latihan lanjutan oleh
British Council, manakala seramai 9,000 guru Bahasa Inggeris akan
mengikuti latihan pada Oktober nanti.
Suka saya nyatakan di sini, walaupun Bahasa Malaysia dan Bahasa
Inggeris menjadi agenda utama kementerian, murid juga digalakkan
untuk menguasai bahasa tambahan. Kementerian tidak menghalang
pengajaran pembelajaran bahasa ibunda malah membuka ruang
dan peluang kepada murid untuk mendapatkan pendidikan bahasa
tambahan seperti bahasa Arab dan Kadazan Dusun.
Selain berusaha untuk meningkatkan penguasaan dwibahasa,
kemahiran berfikir aras tinggi, atau Higher Order Thinking Skills,
juga menjadi fokus dalam usaha Kementerian untuk melonjakkan
sistem pendidikan negara dalam kelompok negara-negara yang
mempunyai sistem pendidikan terbaik di dunia. Oleh itu, dalam
pelan ini, dasar 60:40 yang mula diperkenalkan pada 1967 akan
diperkukuhkan dengan meningkatkan kesedaran tentang Pendidikan
Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Kurikulum
bersepadu berasaskan standard antarabangsa akan dihasilkan dan
penambahbaikan kerangka pentaksiran dengan memasukkan
elemen kemahiran berfikir akan dilakukan.
Pendidikan Islam

Kementerian juga beriltizam untuk melahirkan murid yang memiliki


sahsiah terpuji serta mempunyai identiti nasional. Dengan itu
kurikulum bagi mata pelajaran Pendidikan Agama Islam dan
Pendidikan Moral akan dimantapkan. Kurikulum Kebangsaan di
sekolah agama akan ditingkatkan dengan pengukuhan kurikulum
Dini dan Tahfiz agar murid dapat dilengkapi dengan ilmu
pengetahuan dan kemahiran untuk berjaya dalam pasaran kerja
berasaskan nilai dan tasawur Islam yang kukuh. Soal ini sebenarnya
banyak juga dibangkitkan oleh ibu bapa Islam yang mahu
pendidikan Islam diperkukuh dan diperluas agar menjadi asas kukuh
dalam sahsiah dan peribadi moral dan akhlak anak-anak kita.
Sistem pendidikan juga akan menyediakan laluan pendidikan yang
bersesuai dengan dengan bakat, minat dan gaya pendidikan di
samping akan disepadukan dengan keperluan pasaran buruh yang
terarah kepada kerjaya pilihan mereka. Maka, kementerian turut
mengambil kira pendidikan teknik dan vokasional, seni, dan sukan
Malahan saya telah melancarkan tahun lalu Program Transformasi
Vokasional yang mana kita tahu dalam sistem di negara kita setakat
ini, tumpuannya tidak begitu besar terhadap vokasional iaitu kurang
10 peratus. Sasaran kita meningkatkan sehingga 20 peratus.
Di negara maju sudah sampai 60 hingga 70 peratus daripada
keseluruhan pelajar dalam sistem persekolahan yang mengambil
bidang vokasional dan teknikal. Bermakna, Malaysia masih jauh.
Apabila kita melancarkan dasar ini dan menyediakan tempat
sebanyak 10,000, tahun ini sahaja terdapat 126,000 ibu bapa yang
mendaftar anak-anak mereka untuk mengambil aliran vokasional.
Alhamdulillah, sudah meningkat dengan begitu mendadak sekali.
Sementara itu, kita juga tidak lupakan pendidikan khas yang lebih
inklusif. Dalam blue print awal kita, mungkin kita tidak nyatakan
dengan jelas tentang soal pendidikan khas. Jadi mereka yang terdiri
daripada kepimpinan persatuan yang mewakili orang istimewa
bertanya kenapa tidak ada makmal khas untuk mereka. Jadi, segala
cadangan mereka kita masukkan sebagai inti pati penting dalam
pelan pendidikan ini khusus untuk anak-anak kita yang kelainan dan
keistimewaan ini.
Mengupaya pemimpin sekolah dan guru
Pembelajaran murid tidak akan berlaku jika tidak diiringi dengan
perancangan rapi di peringkat pelaksana. Guru adalah tunggak
utama dalam meningkatkan prestasi murid di sekolah. Menyedari
perkara ini, PPPM telah memperkukuhkan Pejabat Pendidikan
Daerah dengan menempatkan pembimbing pakar untuk guru dan

pemimpin sekolah dengan program yang dikenali sebagai SISC+


dan SIPartner+. Mereka bukan sahaja dapat membimbing dari segi
pengajaran dan pembelajaran tetapi juga dalam aspek penilaian
seperti Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS). Harapan saya melalui
bimbingan ini, guru-guru dan semua pengetua/guru besar dapat
melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
Kementerian terus berusaha untuk memartabatkan profesionan
keguruan dengan inisiatif meningkatkan syarat kemasukan guru
iaitu 30 peratus daripada graduan terbaik memasuki profesion
perguruan. Mereka ini digalakkan menjadi guru kerana kita mahu
guru bukan sahaja dalam kalangan terdidik tetapi terpelajar, banyak
ilmu dan ada kecemerlangan dalam pembelajaran mereka.
Selain itu laluan kerjaya guru, cadangan untuk mengurangkan
beban tugas guru, dan pelaksanaan program profesionalisme
berterusan turut dilaksanakan. Bagi pengetua/guru besar, kriteria
perlantikan iaitu yang tidak berdasarkan kepada jangka masa
perkhidmatan akan dilaksanakan.
Tidak semestinya yang lebih senior menjadi pengetua atau
memegang jawatan yang lebih penting. Berdasarkan merit dan
keupayaan mereka, ini yang kita akan ambil kira dalam kenaikan
pangkat mereka. Dalam masa lima tahun akan datang, 4,000
pengetua/guru besar akan menamatkan perkhidmatan dan ini
membuka peluang kepada calon-calon pengetua/guru besar yang
berkelayakan dan berprestasi tinggi mengisi kekosongan. Sudah ada
peraturan ketika ini sesiapa yang ingin jadi pengetua dan guru
besar mesti melalui satu proses dan latihan khusus dan jika mereka
lulus baru kita meletakkan sebagai pengetua atau guru besar di
sekolah berkenaan.
Kelainan dalam Pelaksanaan PPPM
Semua aspek perancangan digalurkan didalam pelan ini. Apa yang
harus kita tumpukan sekarang ini adalah dari segi pelaksanaan.
Saya akui PPPM yang dicadangkan ini luas dan kompleks. Bagi
memastikan kejayaan pelan ini, strategi pelaksanaan secara
berhemah mengikut fasa atau disebut sebagai gelombang, dirangka
dengan memberi tumpuan kepada sokongan terhadap guru dalam
gelombang pertama, sebelum memacu peningkatan sistem dalam
gelombang kedua dan beranjak ke arah kecemerlangan pendidikan
dalam gelombang ketiga. Penyusunan sebegini adalah penting
kerana bagi memastikan pelan ini berjaya keutamaan perlu
diberikan terhadap inisiatif yang penting khususnya yang membawa
keberhasilan murid.

Penubuhan PADU
Untuk mengupayakan pelaksanaan Pelan ini juga, kementerian telah
mewujudkan entiti khas yang dinamakan PADU iaitu Unit
Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan untuk memantau dan
memastikan kejayaan inisiatif. PADU ditubuhkan dengan dianggotai
oleh pegawai-pegawai yang berbakat dari dalam dan luar
Kementerian kerana pelaksanaan pelan ini menuntut kesungguhan
yang kental dan kemahiran pengurusan yang cekap lagi berwibawa.
Jelasnya, penubuhan entiti khas ini tidak pernah dilakukan oleh
Kementerian Pendidikan dalam melaksanakan mana-mana
perancangan sebelum ini. Malah melalui PADU yang akan
mengaplikasikan prinsip-prinsip pengurusan bersifat korporat,
kementerian berhasrat untuk menyediakan laporan tahunan dan
status pencapaian inisiatif sebagai maklumat kepada semua pihak.
Penglibatan pihak berkepentingan
Suatu lagi keunikan dalam pelaksanaan pelan ini ialah dengan
pelibatan pihak berkepentingan. Kementerian tidak mahu Pelan ini
menjadi satu dasar yang hanya difahami dan berlegar sekitar warga
Kementerian sahaja.
Memandangkan pelan ini terhasil daripada aspirasi rakyat, maka
kementerian berhasrat untuk merakyatkan pelaksanaannya.
Inisiatif-inisiatif yang direncanakan dalam 11 anjakan yang telah
diuar-uarkan, perlu melibatkan komitmen keseluruhan rakyat kerana
daripada rakyatlah tercetusnya ilham untuk merangka inistiatif
tersebut.
Di samping itu kita turut menekankan betapa pentingnya jaringan
yang utuh antara PIBG, ibu bapa dan sekolah. Kita juga memberikan
perhatian tentang sumbangan swasta dalam kita mahu
meningkatkan PPPM ini.
Teach for Malaysia dan Sekolah Amanah dengan melibatkan pihak
swasta. Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Amir
dan Khazanah Malaysia. Secara kebetulan saya baru mengadakan
lawatan ke sebuah Sekolah Amanah di Gelang Patah semalam dan
menunjukkan hasil yang luar biasa.
Dengan pendekatan baharu yang digunakan sekolah ini saya
melihat lonjakan yang berganda. Kalaulah kita ada peruntukan
sebanyak itu, dibantu dan diberikan kepada kementerian, alangkah
moleknya, semua sekolah kita laksanakan dalam bentuk sama,
lonjakan berganda akan kita lihat dalam tempoh yang amat singkat.

Pelancaran ini memberi seribu makna kepada kita dalam


meningkatkan kualiti pendidikan. Sempena majlis pelancaran ini
kementerian menyediakan dokumen lengkap setebal 300 muka
surat dan ringkasan eksekutif dalam bahasa Malaysia dan Inggeris
selain brosur dalam empat bahasa. Mana yang rajin bacalah
dokumen setebal 300 muka surat itu supaya tahu apa yang mahu
kita laksanakan. Mana yang kurang rajin, mungkin baca brosur atau
yang malas langsung kita akan sediakan video.
Pendekknya tidak ada sebab rakyat Malaysia tidak tahu mengenai
pelan ini. Tidak ada sebab semua pihak tidak boleh terlibat sama
mendokong dan menyokong pelan ini. Kalau ada suara-suara yang
sumbang itu mungkinkerana bahasanya sumbing, sebab itu mereka
tidak faham apa tujuan kita.
Sebab itu saya sebut, walaupun ada halilintar, ribut dan taufan, kita
akan terus melaksanakan pelan ini, insya-Allah. Kita mengharapkan
dengan sokongan semua pihak, maka akan tercerna satu sistem
yang lebih baik dan berkualiti.
Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bekerja
bertungkus-lumus selama lebih dua tahun untuk menyediakan satu
dokumen yang menjadi sejarah pada hari ini.

Artikel Penuh: http://ww1.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130907/re_01/Gelombangtransformasi-pendidkan#ixzz4FUQlJ0zb


Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like