You are on page 1of 27

1.

PENGENALAN
Masalah disiplin di kalangan murid merupakan isu yang hangat diperkatakan oleh

pelbagai pihak dan didapati semakin meruncing. Disiplin adalah satu eleman yang penting di
dalam menentukan kejayaan sesuatu sistem (Sofian, Habibah, Noreen, Rahil, Samsilah,
Maria & Maimunah, 2005). Beberapa kes pergaduhan telah banyak dilaporkan. Zaleha (n.d)
merekodkan empat orang pelajar perempuan terlibat kes buli digantung serta merta.
Perkara yang sama juga dilaporkan di Alor Setar (2011), dimana lima pelajar ditahan kerana
memukul seorang rakan hingga mengakibatkan kecederaan. Ini jelas membuktikan
persekitaran bilik darjah di Malaysia juga tidak lari dari masalah pergaduhan pelajar.
Pengurusan bilik darjah menurut Noraini & Shuki (2009), melibatkan kemahiran guru
untuk mewujudkan persekitaran pembelajaran yang positif, hubungan yang baik di dalam
kelas, pemupukan motivasi diri dan pengurusan disiplin yang baik. Menurut Kamaruddin
(2010), persekitaran pembelajaran yang menyeronokkan dapat menarik perhatian murid di
dalam kelas. Merujuk pada Teori Bimbingan dan Kaunseling Pemusatan Perorangan oleh
Carl Rogers, manusia mempunyai keupayaan diri untuk mengembang dengan positif jika
didedahkan dengan situasi yang positif dan memberansangkan serta mendapat keperluan
asas mereka (Myint, Luordusamy, Quek & Angela, 2005). Ini bertujuan mengembangkan
tahap kendiri murid dengan cara memenuhi empat keperluan psikologi mereka iaitu
keperluan kasih sayang, mempunyai kuasa dan kawalan, kebebasan dan keperluan
keseronokan (Haliza & Samuel, 2009). Penulisan ini akan memberi tumpuan kepada Teori
Pemusatan Perorangan Humanistik yang digunakan semasa menjalankan sesi bimbingan
dan kaunseling bersama seorang klien. Perbincangan yang lebih mendalam dan kritikal
dimantapkan dengan melihat kemahiran-kemahiran yang digunakan semasa melaksanakan
sesi kaunseling ini.

1/27

2.0

SESI KAUNSELING BERSAMA KLIEN


Sebelum saya menceritakan dengan lebih lanjut sesi kaunseling saya bersama klien

saya, saya ingin memberikan sedikit info berkaitan latar belakang klien yang telah ditemui.
Klien saya merupakan seorang murid lelaki berumur 12 tahun, yang bersekolah di SK
Taman Desa, Bandar Country Homes. Klien ini dari kelas 6 Uranus, iaitu kelas ketujuh
daripada lapan buah kelas pada setiap peringkat darjah. Saya mengesan masalah disiplin
klien ini daripada hari pertama saya memasuki kelas ini lagi. Sepanjang empat minggu
berada di sekolah berkenaan, pelbagai maklumat dan informasi yang saya perolehi daripada
warga sekolah berkenaan klien tersebut.
Klien ini mempunyai latar belakang keluarga yang berpendidikan dan hidup dalam
keadaan ekonomi keluarga yang sederhana. Ini dikategorikan berdasarkan paras garis
keminkinan di Malaysia dan berdasarkan pendapatan bulanan keluarganya. Ini merujuk
kepada Unit Perancang Ekonomi yang dipetik dari Kementerian Pembangunan Wanita,
Keluarga dan Masyarakat (2014), Paras Garis Kemiskinan Tahun 2012 selaras dengan
Rancangan Ekonomi Kesepuluh (RMK-10), Paras Garis Kemiskinan (PGK) makanan yang
telah ditetapkan untuk isi rumah miskin tegar berdasarkan kepada kiraan di atas adalah
RM520 seisi rumah.
Berdasarkan rekod disiplinnya yang kurang baik, saya telah memilih klien ini sebagai
responden saya. Saya telah menjalankan satu sesi kaunseling individu bersamanya. Seperti
yang dinyatakan oleh Cottle & Downie (1970, seperti yang dinyatakan oleh Syarif, Roslee &
Hamdan, 2006) ianya bagi membantu klien mamahami diri sendiri, menerima masalah yang
dihadapi, sehingga dia membuat pertimbangan dan mengambil keputusan bagi mengatasi
masalah hidupnya.
Berikut ialah sesi dialog yang telah dijalankan bersama klien tersebut. Kaunselor
merujuk kepada saya sebagai guru pembimbing manakala klien merujuk kepada murid
tersebut.

2/27

Sesi 1
Hari

: Jumaat

Tarikh : 07 Februari 2014


Tempoh masa : 30 minit

Kaunselor

Assalammualaikum, Adi. Adi sudah makan?

Klien

Dah cikgu.

Kaunselor

Sekarang mata pelajaran apa? Ada cikgu di dalam kelas?

Klien

Sekarang masa Pendidikan Seni, saya dah minta izin cikgu Sarah
untuk keluar kelas. Kenapa cikgu panggil saya?

Kaunselor

Baiklah Adi, duduk elok-elok, jangan takut, cikgu panggil Adi ini bukan
untuk marah Adi atau nak hantar Adi ke bilik disiplin. Cikgu nak jumpa
Adi kerana cikgu nak berkenalan dengan Adi. Boleh cikgu berkenalan
dengan Adi?

Klien

Boleh. Kenapa cikgu nak berkenalan dengan saya?

Kaunselor

Cikgu lihat Adi ini murid yang baik, jadi cikgu nak kenal dengan Adi.
Boleh cikgu tahu Adi ada berapa orang bilangan adik beradik?

Klien

Lima orang cikgu. Saya anak nombor dua.

Kaunselor

Jika Adi anak ke dua, adik beradik Adi yang sulung lelaki atau
perempuan?

Klien

Saya ada abang lelaki dan tiga orang adik perempuan.

Kaunselor

Oh (Mengangguk). Berapa umur abang dan adik perempuan Adi?

Klien

Abang saya berumur lima belas tahun, tingkatan tiga. Adik saya
nombor tiga darjah empat, yang lagi dua orang saya tak tahu, mereka
masih kecil.

Kaunselor

Adik perempuan Adi sekolah dimana?

Klien

Sekolah di sini la, dia duduk kelas 4 Zuhrah.

3/27

Kaunselor

Baiklah. Adi selalu bawa duit belanja pergi sekolah berapa ringgit?

Klien

Selalunya ayah bagi RM10.

Kaunselor

RM10 sehari? Banyaknya Adi bawak duit belanja pergi sekolah. Adi
guna duit tu sampai habis ke?

Klien

Saya kongsi dengan adik saya cikgu. Adik saya akan rehat dahulu,
kemudian baki duit tersebut akan diberikan kepada saya. Kadangkadang habis, kadang-kadang tak juga.

Kaunselor

Ok baiklah cikgu faham. Boleh cikgu tahu, ayah Adi kerja apa? Ibu
bekerja atau tidak?

Klien

Ayah kerja sendiri, ibu kerja dekat Damansara.

Kaunselor

Baiklah, jadi setiap kali balik dari sekolah, siapa datang jemput Adi?

Klien

Saya balik jalan kaki je dengan adik saya. Rumah saya kat Apartmen
Raya.

Kaunselor

Apartment Raya tu jauh ke dekat? Berapa minit dari sekolah?

Klien

Tu dekat je, dah selalu jalan, 15 minit sampai la jalan kaki.

Kaunselor

Balik sekolah nanti, siapa ada di rumah?

Klien

Tiada siapa. Adik saya pergi sekolah agama. Abang saya keluar
biasanya. Kenapa cikgu?

Kaunselor

Kalau begitu, Adi makan tengahari dimana? Siapa masakkan?

Klien

Saya beli makanan kat kedai la cikgu. Duit ayah bagi belanja tu, saya
beli nasi kat kedai kat bawah rumah. Tapi kadang-kadang saya tak
makan pun.

Kaunselor

Kenapa tak makan?

Klien

Kalau saya malas nak beli, saya tak makan la.

Kaunselor

Adik-adik Adi yang lain siapa jaga? Rumah Adi ada bibik ke?

Klien

Tak la. Ibu hantar adik kat rumah jiran. Jiran tolong jagakan adik.

Kaunselor

Ayah Adi kerja sendiri, kerja apa? Adi tahu tak?


4/27

Klien

Ayah kerja jual kereta. Ayah ada kedai sendiri.

Kaunselor

Ibu Adi kerja apa?

Klien

Tak tahu, ibu kerja ofis.

Kaunselor

Selalunya ibu dan ayah balik rumah jam berapa?

Klien

Tak tentu. Kalau awal, awal la. Ayah balik petang. Ibu balik pukul
lapan malam selalunya.

Kaunselor

Setiap petang lepas sekolah Adi buat apa? Main bola dengan kawan?

Klien

Tak la. Saya selalu pergi memancing. Saya tak suka main bola.

Kaunselor

Adi memancing dengan siapa? Ayah dan ibu tahu tak?

Klien

Dengan kawan la. Ayah tahu saya suka memancing.

Kaunselor

Jauh ke dekat tempat memancing tu?

Klien

Kat belakang rumah je cikgu. Jalan nanti nampak la sungai.

Kaunselor

Adi, lepas ini kalau nak pergi memancing pastikan ibu dan ayah tahu.
Jika terjadi apa-apa senang keluarga nak cari. Dan pastikan jangan
pergi berseorangan. Bahaya tu, cikgu risau.

Klien

Tak apa la cikgu, saya dah biasa memancing kat situ.

Kaunselor

Adi tak pergi bersama abang ke memancing?

Klien

Tak la. Abang saya tak suka memancing. Dia selalu keluar je.

Kaunselor

Abang keluar pergi mana?

Klien

Tak tahu. Dia jalan jauh-jauh. Kadang-kadang pergi KL.

Kaunselor

Adi rapat tak dengan abang?

Klien

Biasa je.

Kaunselor`

Adi ada apa-apa nak kongsi dengan cikgu ke? Mungkin ada yang
cikgu boleh tolong.

Klien

Saya tak suka abang saya. Dia tu berlagak. Suka pakai barang
mahal-mahal.
5/27

Kaunselor

Mana abang Adi dapat duit beli barang mahal-mahal?

Klien

Dia minta dengan ibu dan ayah la. Dia selalu beli barang mahalmahal. Beli kasut Dr Martin, beli jam mahal, baju mahal.

Kaunselor

Adi tak suka abang sebab ayah dan ibu tak belikan Adi barang mahalmahal juga ke?

Klien

Tak la. Saya tak suka sangat. Saya minta dengan ibu jam je yang
paling mahal. Saya paling sayang jam ini. Abang saya selalu cakap
saya tiada gaya sebab tak beli baju macam dia. Saya tak suka.

Kaunselor

Tak apa Adi. Gaya Adi sekarang sesuai dengan umur Adi. Cikgu suka
gaya Adi sekarang, kemas dan bersih. Adi jangan ambil hati dengan
abang Adi ye.

Klien

Dia memang suka ejek saya. Saya rapat dengan adik saya je.

Kaunselor

Oh yeke (mengangguk). Adi rapat dengan adik yang mana?

Klien

Dengan semua adik saya. Saya paling suka adik nombor empat saya.
Dia comel.

Kaunselor

Oh yeke siapa nama adik Adi tu?

Klien

Batrisya. Saya selalu jaga dia. Kadang-kadang saya yang buatkan dia
susu kalau dia menangis.

Kaunselor

Bagusnya Adi. Cikgu bangga Adi ada rasa tanggungjawab dan


perasaan sayang. Begitu la Adi, dalam keluarga kita mesti tolong
menolong dan berkasih sayang. Baru seronok bersama.

Klien

Mestila sayang cikgu, dia kan adik saya.

Kaunselor

Adi, petang ini ada kelas tambahan ke?

Klien

Petang ini ada, mula pukul 2. Saya tak balik.

Kaunselor

Baiklah kalau macam tu, Adi masuk kelas dulu lah. Lagi 5 minit dah
habis waktu sekolah, jadi Adi boleh rehat dan makan sebelum kelas
tambahan bermula.

Klien

Cikgu, kenapa cikgu tanya saya semua tadi?

6/27

Kaunselor

Tak ada apa pun Adi, saja cikgu nak kenal dan tolong Adi. Selepas ini,
Adi jangan la segan-segan nak jumpa cikgu. Adi boleh datang ke
tempat cikgu dan kongsi masalah dengan cikgu.

Klien

Ok terima kasih cikgu.

Sesi yang pertama ini saya lebih memfokuskan kepada perkenalan bersama klien
bagi membina hubungan bersamanya. Saya hanya menyentuh sedikit sahaja masalah
peribadi klien dan tidak memfokuskan masalah besar klien. Ini bertujuan mengelakkan klien
berasa terancam atau tidak selesa semasa sesi tersebut. Oleh yang demikian saya
mengambil keputusan untuk berkenalan dengan klien sebelum membantu beliau
menguruskan masalah disiplinnya.

7/27

Sesi 2
Hari

: Rabu

Tarikh : 12 Februari 2014


Tempoh masa : 40 minit

Klien

Assalammualaikum, cikgu. Kenapa cikgu nak jumpa saya?

Kaunselor

Waalaikumsalam Adi. Silakan duduk. Adi dah makan?

Klien

Dah cikgu.

Kaunselor

Adi pergi memancing ke petang semalam? (Tersenyum)

Klien

Saya pergi memancing petang semalam cikgu. Dengan Hasif.

Kaunselor

Banyak ke Adi dapat ikan?

Klien

Tak banyak pun cikgu. Sikit je. Lima ekor sahaja. Saya bawak balik
rumah, ibu saya masak.

Kaunselor

Oh seronoknya. Tentu ibu Adi suka. Semalam cikgu nampak Adi kena
berdiri diluar kelas, boleh cikgu tahu kenapa Adi kena berdiri di luar
kelas?

Klien

Saya kena denda dengan cikgu Ananthy.

Kaunselor

Kenapa cikgu Ananthy denda awak?

Klien

Saya tak siapkan kerja matematik.

Kaunselor

Mengapa Adi tak siapkan kerja matematik tu, Adi tak ingat ke cikgu
Ananthy bagi kerja rumah?

Klien

Saya tak reti la cikgu nak buat. Matematik susah.

Kaunselor

Baiklah Adi, boleh kongsi dengan cikgu, kenapa ramai guru-guru


mengadu Adi selalu tak siapkan kerja sekolah, bising dalam kelas,
usik kawan dalam kelas? Betul ke aduan ini semua?

Klien

Saya memang jahat cikgu. Dulu masa saya darjah tiga, darjah empat
saya selalu bergaduh. Semua cikgu tahu.

8/27

Kaunselor

Cikgu percaya mesti ada sebab ada berselisih pendapat dengan


kawan-kawan dan akhirnya menjadi pergaduhan. Boleh cikgu tahu
kenapa Adi bergaduh?

Klien

Saya pun tak tahu kenapa, saya tak boleh orang usik saya. Saya
lawan la balik.

Kaunselor

Adi sepatutnya tak boleh bertindak macam tu, kena cakap elok-elok.
Bergaduh kan tak selesaikan apa-apa masalah.

Klien

Lepas dari tu, semua cikgu anggap saya jahat. Sebab tu saya selalu
bergaduh. Semua orang ingat saya jahat.

Kaunselor

Cikgu tak anggap Adi macam tu pun. Jadi mana ada cikgu yang
anggap Adi jahat. Adi tak jahat, Adi cuma perlukan bimbingan sahaja.
(Senyum)

Klien

Iye la cikgu. Macam dalam kelas Sains, cikgu selalu asingkan meja
saya dari kawan-kawan lain. Saya kena duduk sorang-sorang kat
belakang sekali. Lepas tu tak bagi saya kertas. Bila saya pergi kat
meja kawan lain nak kongsi, cikgu cakap tak payah kongsi dengan
saya, biarkan je dia. Dia tak bagi saya belajar sekali.

Kaunselor

Oh kalau begitu cikgu nampak Adi memang semangat nak belajar.


Tetapi kenapa pula cikgu asingkan Adi? Adi nak mengambil UPSR
tahun ini, Adi tak boleh main-main dah dalam kelas.

Klien

Saya suka sains je cikgu. Matematik memang saya lemah, saya tak
boleh buat langsung, saya tak faham nak kira-kira ini. BM boleh la
sikit-sikit. BI pun boleh la. Tapi cikgu suka asingkan saya, bila saya
duduk sorang-sorang saya buat jela hal saya. Bila saya tanya kenapa
saya tak dapat kertas tu, cikgu cakap saya melawan.

Kaunselor

Ok baiklah Adi, cikgu nampak Adi memang nak belajar. Cikgu suka
semangat Adi yang tak mudah mengalah tu. Adi kena kuat semangat.
Mesti ada sebab kenapa cikgu Adi buat macam tu. Boleh Adi berjanji
dengan cikgu sesuatu?

Klien

Janji apa cikgu?

9/27

Kaunselor

Selepas ini, Adi jangan melawan apa pun yang cikgu cakap. Tak kisah
siapa pun cikgu tersebut. Kalau cikgu marah pun Adi diam je, jangan
melawan. Allah sentiasa bagi kelebihan pada hamba-Nya yang
bersabar. Jadi Adi sebagai murid, Adi kena belajar dan jangan
melawan. Biarpun bukan salah Adi. InsyaAllah nanti cikgu-cikgu akan
sayang Adi.

Klien

Boleh ke macam tu cikgu?

Kaunselor

Mesti la boleh Adi. (Tersenyum). Cikgu percaya Adi boleh. Adi pun
mesti percaya Adi boleh. Adi kena buktikan pada semua orang Adi ini
anak yang baik. Ok cuba Adi tengok kata-kata hikmat ni.

Klien

When someone tells you, you cant, turn around and say, Watch
Me!

Kaunselor

Adi tahu apa maksud kata hikmah tu?

Klien

Tak boleh berputus asa ke cikgu?

Kaunselor

Lebih kurang macam tu. Tapi sebenarnya ia lebih kepada motivasi diri
untuk menggerakkan diri dan membuktikan pada semua orang
bahawa kita boleh berjaya. Ramai orang yang tak nampak kehebatan
diri kita, kebolehan diri kita, mungkin disebabkan ia masih
bersembunyi

dalam

diri

kita.

Inilah

masanya

kita

keluarkan

kehebatankita dan buktikannya. Adi tahu tak cikgu suka kata-kata


hikmah ni. Setiap kali cikgu rasa tak kuat dan hampir putus asa, cikgu
akan imbas kembali impian cikgu dan fikir cara untuk mencapainya.
Jadi cikgu yakin Adi pun pasti boleh.
Klien

Saya ada impian sebenarnya cikgu, saya selalu dimarahi oleh ayah
saya kerana kedegilan saya. Saya tak tahu kenapa saya degil sangat.
Semua orang cakap saya nakal, saya tahu. Saya teringin untuk
buktikan pada keluarga saya, saya anak yang berguna.

Kaunselor

Peperiksaan UPSR dah makin hampir, Adi pasti boleh buktikan pada
ibu dan ayah.

Klien

Cikgu, cikgu boleh ajar saya matematik?

Kaunselor

Kelas tambahan matematik Adi datang tak? Siapa ajar?

10/27

Klien

Cikgu Ananthy ajar. Saya datang tapi saya tak boleh nak faham.
Matematik terlalu sukar bagi saya.

Kaunselor

Baiklah Adi, Adi betul-betul mahu belajar matematik?

Klien

Betul cikgu. Saya nak belajar matematik. Saya nak buktikan pada
keluarga. Saya sebenarnya mampu lakukan.

Kaunselor

Adi, InsyaAllah awak boleh. Cikgu akan bantu awak. Awak perlu yakin
dengan diri sendiri. Dan Adi perlu tahu, tiada siapa yang akan
tentukan kejayaan hari esok kita, jika bukan diri kita sendiri.

Klien

Cikgu, terima kasih. Tak pernah ada orang yang mahu memahami
saya. Saya berasa lebih yakin sekarang.

Kaunselor

Adi, cikgu percaya Adi murid yang baik, anak yang baik. Sebab tu
cikgu tak mahu Adi sia-siakan masa depan Adi.

Klien

Cikgu selepas ini, saya berazam untuk berubah. Saya tak mahu
susahkan ibu bapa saya lagi, susahkan guru-guru lagi.

Kaunselor

Adi, jika Adi perlukan pertolongan cikgu, Adi boleh datang kepada
cikgu bila-bila masa sahaja. Kerusi cikgu ni sentiasa menunggu
kedatangan anak-anak murid yang ingin berkongsi masalah mereka.
Cikgu pasti cikgu akan berbangga dengan Adi. (Senyum)

Klien

Terima kasih cikgu. Saya nak minta izin masuk ke kelas boleh cikgu?

Kaunselor

Boleh Adi, silakan.

Pada sesi kedua ini, saya dan klien sudah boleh berbual panjang dan klien kelihatan
sangat selesa bersama kaunselor. Oleh itu murid boleh berkongsi masalahnya bersama
kaunselor dan memudahkan kaunselor untuk membantu klien.

11/27

3.0

KEBERKESANAN PENGAPLIKASIAN TEORI & KEMAHIRAN KAUNSELING

3.1)

Pengaplikasian Teori Pemusatan Perorangan - Humanistik


Sepanjang menjalankan sesi kaunseling ini, pelbagai maklumat dapat saya

kumpulkan berkenaan klien tersebut. Antara masalah-masalah ketara yang dihadapi klien
ialah sering bergaduh di sekolah dan tidak berminat untuk mengikuti sesi pembelajaran
didalam kelas. Maklumat ini diperolehi dari guru-guru sekolah ini dan dari guru disiplin SK
Taman Desa, En. Mohd Yusuf. Saya difahamkan, Adi merupakan seorang murid yang agak
nakal dan sering bergaduh. Di dalam kelas juga, murid ini sering menimbulkan masalah
disiplin seperti bergaduh, dan tidak menghormati kawan-kawan sekelas. Ada juga beberapa
orang guru yang menyatakan, murid ini tidak berminat mengikuti pembelajaran di dalam
kelas dan sering mengganggu rakan yang lain. Oleh yang demikian, saya mengambil
langkah untuk menyelami masalah yang dihadapi oleh murid tersebut dengan menjalankan
beberapa sesi kaunseling bersamanya. Saya juga telah menggunakan pendekatan yang
telah diperkenalkan oleh Carl Rogers melalui teorinya, Teori Pemusatan Perorangan
(Humanistik).
Teori Pemusatan Perorangan menurut Suradi (1997), manusia dianggap mempunyai
sifat-sifat positif dan mempunyai keinginan untuk berfungsi penuh, iaitu untuk hidup
dengan seberapa berkesan yang boleh. Ini disokong oleh Khoo (2014), yang menyatakan
manusia mempunyai desakan semulajadi untuk memajukan diri dan sentiasa bergerak
kearah kesejahteraan diri. Oleh yang demikian, teori ini menekankan seseorang yang
dibenarkan untuk berkembang dengan bebas akan berkembang dengan sempurna dan
akan menjadi individu yang positif dan berjaya. Jika diberikan atau disediakan dengan
persekitaran yang menggalakkan, manusia akan berkembang dengan yakin ke arah nirwana
diri menjadi apa sahaja yang dia mahu (Sipora dan Ruhaya, 2008).
Sikap kaunselor amat penting semasa menjalankan sesi kaunseling. Menurut Suradi
(1997), kaunselor harus menyedari beliau dipandu oleh hipotesis bahawa individu
mempunyai cukup keupayaan untuk menghadapi dengan membina semua aspek
kehidupannya yang terpendam dan dia boleh di bawa keluar ke alam kesedaran. Oleh itu
kaunselor perlu membantu klien mambuat keputusannya sendiri dengan membantunya
melihat masalah tersebut dengan sudut yang lebih baik. Malah menurut Rogers (n.d, dalam
Khoo, 2014) manusia sepatutnya diberikan hak untuk mempunyai pendapat dan pemikiran
dan juga mengawal destinasi hidup, bebas mengejar minat sendiri asalkan tidak
mengganggu hal orang lain. Ini berkait rapat dengan objektif kaunseling itu sendiri untuk
12/27

membebaskan individu daripada kebimbingan dan keraguan yang menghalang individu


daripada memperkembangkan potensinya. Justeru, kaunseling yang berasaskan teori
Pemusatan Perorangan mampu membimbing klien mencari sumber kekuatan diri yang
maksimum sama ada secara dalaman dan luaran (Satir, 1991; seperti yang dinyatakan
dalam Khoo, 2014).
Disiplin Adi semasa di dalam kelas merupakan salah satu masalah yang dihadapi
oleh guru-guru. Disebabkan guru-guru kerap mengadu Adi tidak berminat semasa sesi
pembelajaran, Adi kerap mengusik kawannya dan menimbulkan masalah di dalam kelas.
Namun setelah menjalankan sesi kaunseling, saya mendapati Adi menjadi begitu
disebabkan guru-guru tidak memberikan perhatian terhadapnya. Malah persepsi warga
sekolah terhadapnya juga telah menghukum dirinya sendirinya dan di asingkan dari
rakannya. Rekod dialog dari sesi kaunseling tersebut menunjukkan Adi mempunyai
keinginan untuk mengikuti pembelajaran, namun layanan yang diterima dari guru-guru
menyebabkannya menjadi bosan dan terasing.
Klien

Iye la cikgu. Macam dalam kelas Sains, cikgu selalu asingkan


meja saya dari kawan-kawan lain. Saya kena duduk sorangsorang kat belakang sekali. Lepas tu tak bagi saya kertas. Bila
saya pergi kat meja kawan lain nak kongsi, cikgu cakap tak payah
kongsi dengan saya, biarkan je dia. Dia tak bagi saya belajar
sekali.

Kaunselor

Oh kalau begitu cikgu nampak Adi memang semangat nak


belajar. Tetapi kenapa pula cikgu asingkan Adi? Adi nak
mengambil UPSR tahun ini, Adi tak boleh main-main dah dalam
kelas.

Klien

Saya suka sains je cikgu. Matematik memang saya lemah, saya


tak boleh buat langsung, saya tak faham nak kira-kira ini. BM
boleh la sikit-sikit. BI pun boleh la. Tapi cikgu suka asingkan saya,
bila saya duduk sorang-sorang saya buat jela hal saya. Bila saya
tanya kenapa saya tak dapat kertas tu, cikgu cakap saya
melawan.

13/27

3.2)

Kemahiran Kaunseling yang Digunakan


Dalam kemahiran kaunseling pemusatan perorangan, yang paling ditekankan ialah

perhubungan antara kaunselor dengan klien sepanjanjg proses kaunseling tersebut.


Seseorang kaunselor juga harus mengikuti garis panduan semasa berada dalam
perhubungan kaunseling. Menurut Haris (2004), dalam proses membina hubungan
teraputik, kaunselor perlulah menjadi pemudahcara kepada permasalahan yang dihadapi
klien dan berusaha mewujudkan suasana yang dapat menimbulkan perasaan bebas pada
klien untuk meneroka dirinya dan masalahnya.
Terdapat tujuh jenis kemahiran kaunseling yang digunakan dalam Teori Pemusatan
Perorangan ini, namun tidak kesemua kemahiran tersebut saya aplikasikan. Antaranya ialah,
soalan terbuka dan tertutup, dorongan minima, parafrasa, rumusan, refleksi perasaan,
konfrontasi dan memfokus. Hanya beberapa kemahiran sahaja yang telah saya aplikasikan
dan melihat keberkesanannya terhadap klien tersebut.
Kemahiran pertama yang saya aplikasikan ialah dengan mengemukakan soalan
terbuka dan tertutup kepada klien saya bagi mendalami permasalahannya. Soalan terbuka
memberi kebebasan kepada klien untuk merespon kepada soalan yang diajukan (Khoo,
2014). Semasa bersama klien, saya mengemukan soalan terbuka bagi mengetahui dengan
lebih banyak perasaan dan masalah tersembunyi mereka. Dibawah ini menunjukkan satu
potongan dialog yang menunjukkan penggunaan kemahiran penyoalan soalan terbuka:

Kaunselor

Baiklah Adi, boleh kongsi dengan cikgu, kenapa ramai guru-guru


mengadu Adi selalu tak siapkan kerja sekolah, bising dalam
kelas, usik kawan dalam kelas? Betul ke aduan ini semua?

Klien

Saya memang jahat cikgu. Dulu masa saya darjah tiga, darjah
empat saya selalu bergaduh. Semua cikgu tahu.

Namun soalan tertutup menurut Sapora & Ruhayu (2008), ianya mengehadkan
respon klien terhadap soalan yang bakal diujarkan guru. Dalam erti kata lain, soalan tertutup
hanya menjerumus kepada soalan yang ditanya sahaja tanpa perkembangan terhadap
soalan lain.

14/27

Pengaplikasian kemahiran teknik-teknik kemahiran dengan dorongan yang minima


yang diterima oleh guru amat sedikit. Dorongan minima merupakan respon yang mengikuti
dan memahami perkara yag di sampaikan oleh klien (Sapora & Ruhaya, 2008). Kemahiran
ini turut memberi galakan kepada klien agar meluahkan lagi masalah dengan lebih
mendalam lagi. Contohnya, dorongan minima ini seperti anggukan kepala, perkataan ya,
teruskan, Saya paham.
Semasa bersama sesi kaunseling bersama Adi, kaunselor amat peka terhadap
perubahan murid-murid. Setelah menganalisi dan memahami Adi, guru memilih untuk
mengetengahkan beberapa situasi kaunseling yang menunjukkan penerapan kemahiran
sesi di sekolah.

Klien

Dia memang suka ejek saya. Saya rapat dengan adik saya je.

Kaunselor

Oh yeke (mengangguk). Adi rapat dengan adik yang mana?

Klien

Saya kongsi dengan adik saya cikgu. Adik saya akan rehat
dahulu, kemudian baki duit tersebut akan diberikan kepada saya.
Kadang-kadang habis, kadang-kadang tak juga.

Kaunselor

Ok baiklah cikgu faham. Boleh cikgu tahu, ayah Adi kerja apa? Ibu
bekerja atau tidak?

Selain daripada teknik dan kemahiran di atas, saya juga menggunakan kemahiran
prafrasa. Prafrasa bermaksud, pengulangan sesuatu perkara yang telah dikemukakan oleh
klien secara ringkas dan tepat (Khoo, 2014).Pengulangan ini bertujuan agar menyemak
kefahaman kaunselor yang sepenuhnya mengenai masalah yang disampaikan.
Klien

Saya suka sains je cikgu. Matematik memang saya lemah, saya


tak boleh buat langsung, saya tak faham nak kira-kira ini. BM
boleh la sikit-sikit. BI pun boleh la. Tapi cikgu suka asingkan saya,
bila saya duduk sorang-sorang saya buat jela hal saya. Bila saya
tanya kenapa saya tak dapat kertas tu, cikgu cakap saya
melawan.

Kaunselor

Ok baiklah Adi, cikgu nampak Adi memang nak belajar. Cikgu


suka semangat Adi yang tak mudah mengalah tu. Adi kena kuat
semangat. Mesti ada sebab kenapa cikgu Adi buat macam tu.
Boleh Adi berjanji dengan cikgu sesuatu?

15/27

Selain itu, saya turut menggunakan kemahiran refleksi perasaan. Refleksi perasaan
ini bermaksud kaunselor cuba meyakinkan klien bahawa beliau memahami perasaannya
dan mendalami bersama masalahnya (Syarif, Roslee & Hamdan, 2006). Hal ini turut
dinyatakan oleh Khoo (2014), refleksi perasaan merupakan salah satu cara kaunselor untuk
meyakinkan klien yang menunjukkan kaunselor memahami apa yang dirasainya. Apabila
klien menyedari kaunselor memahami apa yang dilaluinya, klien akan menceritakan dengan
lebih mendalam perasaan terpendam mereka (Khoo, 2014). Refleksi perasaan ini menurut
Shoba (2007), membayangkan semula perasaan klien dan meletakkan diri dalam situasi
yang dibayangkan supaya dapat mendalami perasaan yang dihadapi oleh klien tersebut.
Kaunselor akan menyebut semula apa yang sudah diperkatakan atau disebut oleh klien
dalam satu rangkaian kat ayang pendek dan padat. Kaunselor sebagai agen pembayang
yang mencerminkan perasaan atau keseluruhan isi yang diberitahu oleh klien. Contohnya
seperti berikut:
Klien

Betul cikgu. Saya nak belajar matematik. Saya nak buktikan pada
keluarga. Saya sebenarnya mampu lakukan.

Kaunselor

Adi, InsyaAllah awak boleh. Cikgu akan bantu awak. Awak perlu
yakin dengan diri sendiri. Dan Adi perlu tahu, tiada siapa yang
akan tentukan kejayaan hari esok kita, jika bukan diri kita sendiri.

Klien

Cikgu, terima kasih. Tak pernah ada orang yang mahu memahami
saya. Saya berasa lebih yakin sekarang.

Kaunselor

Adi, cikgu percaya Adi murid yang baik, anak yang baik. Sebab tu
cikgu tak mahu Adi sia-siakan masa depan Adi.

16/27

Akhir sekali kemahiran kaunseling yang saya gunakan ialah kemahiran memfokus
iaitu dengan memberikan sepenuh tumpuan terhadap perkara yang disampaikan oleh klien.
Dengan memberikan tumpuan penuh, kaunselor dapat mengelakkan kekeliruan maklumat
dan dapat memahami permasalahan klien dengan tepat (Shoba, 2007). Saya cuba
mengaplikasikan kemahiran ini dengan memfokuskan persoalan dan tumpuan saya semasa
klien meluahkan perasaannya seperti dialog berikut:
Kaunselor

Adi tak suka abang sebab ayah dan ibu tak belikan Adi barang
mahal-mahal juga ke?

Klien

Tak la. Saya tak suka sangat. Saya minta dengan ibu jam je yang
paling mahal. Saya paling sayang jam ini. Abang saya selalu
cakap saya tiada gaya sebab tak beli baju macam dia. Saya tak
suka.

Kaunselor

Tak apa Adi. Gaya Adi sekarang sesuai dengan umur Adi. Cikgu
suka gaya Adi sekarang, kemas dan bersih. Adi jangan ambil hati
dengan abang Adi ye.

17/27

3.3)

Intervensi Kaunseling Kanak-Kanak


Selepas selesai sesi bimbingan dan kaunseling, saya telah menjalankan sedikit

terapminda untuk klien dengan mengaplikasikan kaedah terapi seni. Melalui terapi ini, klien
diminta melukis atau menggambarkan sesuatu perasaan yang gembira melalui lukisan
dengan pensil warna.
Menurut Perpustakaan Kementerian Pendidikan Malaysia (2003), terapi telah
didefinisikan dengan rawatan pemulihan ke atas pesakit yang pernah menghidapi sebarang
penyakit atau mengalami sesuatu kecederaan bertujuan mengembalikan kefungsian badan
secara normal. Namun dari sudut pendidikan pula, terapi ialah kaedah yang membantu
seseorang anak murid untuk bergerak balas terhadap sesuatu aktiviti atau kemahiran
(Academia, 2014).
Intervensi yang berasaskan pendekatan kaunseling merupakan tindakan yang
dilakaukan oleh kaunselor dalam membina program bimbingan dan kaunseling yang lebih
komprehensif (Rozman, 2008). Bentuk intervensi kaunseling yang dijalankan juga perlulah
bersesuaian dengan jenis permasalahan yang dihadapi oleh klien dalam meningkatkan
keberkesanan program kaunseling yang dijalankan.
Menurut Academia (2014), terapi seni bermaksud bantuan rawatan tanpa ubatan dan
pembedahan dalam menyelesaikan permasalahan berkaitan cabang ilmu Pendidikan Seni
Visual. Terapi batiniah ini merawat mental melalui kaedah kognitif, psikomotor dan afektif.
Seni visual pula sebagai instrumen yang membantu pelajar mengatasi kekeliruan dan
kekalutan emosi dan tekanan bertindan bukan sahaja dalam menghadapi proses pengajran
dan pembeljaran tetapi juga kehidupan seharian (Rozman, 2008). Menurut Eve C. Jorboe
(2002; dalam Rozman, 2008), terapi seni adalah penggunaan teraputik dalam menghasilkan
seni untuk mempromosi rawatan dan perkembangan dalam satu perhubungan profesional.
Jorboe (2002, dalam Rozman, 2008) turut menegaskan bahawa pengasasan terapi seni
dalam sistem persekolahan kini adalah satu keperluan bagi memenuhi permintaan pelajar
yang mahukan bantuan klinikal. Di barat, terapi seni telah mempunyai permintaan yang
tinggi termasuk di hospital, psikiataris, hospital perubatan dan pemulihan serta sekolah
awam dan persendirian (Judith A. Rubin, 1998; dalam Rozman, 2008).
Terapi bukan sahaja berguna untuk mendapatkan maklumat tetapi juga memainkan
peranan penting dalam memproses maklumat tersebut. Conothnya semasa pelajar berkarya
ia akan mempamerkan dirinya sendiri. Pengalaman yang dihasilkan di atas kertas dpat
membantu guru diagnosis murid tersebut. Kesannya, melalui terapi seni murid boleh

18/27

berhubung dengan benda-benda di sekelilingnya. Lukisannya juga membayangkan


perasaan dan fikirannya sendiri.
Lowenford merupakan salah seorang pakar terapi seni yang paling terkenal. Beliau
percaya bahawa setiap kanak-kanak dilahirkan kreatif. Beliau turut menjelaskan bahawa
kreativiti seseorang murid itu boleh diukur melalui empat komponen utama iaitu kelancaran
(secara spontan serta pantas), fleksibel (mampu menyesuaikan diri dengan pelbagai
keadaan dan situasi), keaslian (mencari idea baru dan asli), kepekaan (penggunaan deria
pancaindera seperti melihat, merasa, mendengar, menghidu, dan sentuhan digunakan
secara sepenuhnya sebagai proses pengamatan dan merekod) (Bandi, n.d).

Gambar 1 : Objek yang penting seperti Ibu dilukis dengan lebih besar.
Sumber: Dokumentasi Peribadi
Ini merupakan hasil lukisan yang dihasilkan oleh klien semasa sesi terapi dijalankan.
Guru hanya meminta murid melukis apa sahaja bayangan yang di gambarkan di fikirannya.
Maka lukisan ini telah terhasil. Pada peringkat ini, kanak-kanak telah menyedari tentang
bentuk-bentuk sebenar seperti apa yang di perhatikan. Kanak-kanak boleh melukis ikan
dengan menspeasifikkan cirinya seperti bersisik. Lukisannya lebih natural dan mula
mamahami konsep ruang. Objek yang jauh bersaiz kecil berbanding objek yang lebih dekat.
19/27

Objek atau gambar yang dilukis berdasarkan kepada kesedaran tamak sahaja bukan
melalui pegamatan. Menggunakan warna bagi menggambarkan sesuatu objek seperti hijau
untuk pokok, biru untuk awan dan sebagainya. Kanak-kanak pada tahap ini memasukkan
lebih banyak objek dalam lukisan mereka. Garisan yang digunakan oleh Adi bagi
menghasilkan lukisannya ialah garisan halus dan juga garisan tebal. Garisan tebal yang
digunakan bertujuan untuk memberi fokus kepada objek yang dilukis di dalam garisan
tersebut. Penggunaan warna pula ialah warna-warna yang menunjukkan suasana ceria,
terdapat juga warna-warna panas seperti merah, jingga dan kuning digunakan serta warna
sejuk seperti warna biru. Warna yang digunakan juga merupakan warna yangharmoni. Adi
telah menggunakan pemandangan pantai kerana kampungnya berdekatan pantai lalu
melalui imaginasinya beliau melukis pemandangan sebuah keluarga yang sedang berkelah
di tepi pantai sambil memberi ikan-ikan makan.

20/27

4.0

PENUTUP
Jelaslah bahawa bimbingan dan kaunseling merupakan tugas penting yang

memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan komitmen yang optimum bagi


memperoleh kesan yang maksimum. Persediaan JERIS (Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek,
Sosial) guru yang lengkap akan membolehkan bimbingan dijalankan dengan cemerlang.
Pelbagai persediaan lain juga penting terutama membina dan menjaga hubungan baik
dengan pelajar, mempelajari kemahiran-kemahiran yang perlu dilaksanakan, menyedari
pelbagai teori dan pendekatan yang boleh digunakan serta yang paling penting ialah mampu
menjalankan tugas sebagai seorang guru pembimbing kepada seorang klien. Klien yang
menaruh

kepercayaan

kepada

seorang

kaunselor

atau

guru

pembimbing,

akan

menceritakan segala massalahnya. Hubungan teraputik yang terbina akan memudahkan


lagi proses mempelajari diri klien. Berdasarkan kes yang telah dikaji, saya berharap klien
yang dibimbing dapat memuhasabah diri dan melakukan satu keajaiban dalam hidupnya.
Kesimpulannya, walau apa sekalipun teori dan pendekatan yang guru gunakan untuk
mengawal membimbing muridnya, pertimbangan dan tolak ansur adalah sangat penting
bagi mewujudkan persekitaran yang menyenangkan dan murid dapat keluar dari
kepompong masalahnya.

21/27

5.0

SENARAI RUJUKAN

Academia (2014). Refleksi bab pembelajaran intervensi kaunseling. Diperoleh pada 18 Mac,
2014 dari http://www.academia.edu/4614025/REFLEKSI_BAB_PEMBELAJARAN#
Bandi Sobandi. (n.d). Mengenal priodisasi perkembangan seni rupa anak-anak. Diperoleh
pada
18
Mac,
2014
dari
http://file.upi.edu/Direktori/FPBS/JUR._PEND._SENI_RUPA/197206131999031BANDI_SOBANDI/MENGENAL_PERKEMBANGAN_SENI_RUPA_ANAKANAK_(Materi).pdf
Bernama (2011, Jan 11). Kes buli pelajar di Kedah, 5 pelajar ditahan. Malaysia Kini Online.
Diperoleh pada April 6, 2012 dari http://www.malaysiakini.com/news/153125
Haliza Hamzah dan Joy Nesamalar Samuel. (2009). Siri Pendidikan Guru Pengurusan Bilik
Darjah dan Tingkah Laku. Shah Alam, Selangor : Oxford Fajar Sdn Bhd.
Kamaruddin Hj. Husin (2010). Psikologi Pembelajaran. Kuala Lumpur: Utusan Publications &
Distributors Sdn Bhd.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (2014). Diperolehi pada 19
Mac 2014 dari http://www.kpwkm.gov.my/nkra/definisi
Khoo Bee Lee. (2014). Siri kaunseling bimbingan dan kaunseling kanak-kanak edisi kedua.
Puchong, Selangor : Penerbitan Multimedia Sdn Bhd.
K. Shoba A/P C. Karuppaya (2007). Faktor-faktor yang mempengaruhi kemerosotan disiplin
di kalangan pelajar sekolah menengah di Johor. Tesis Kedoktoran Pendidikan,
Universiti Teknologi Malaysia, Johor, Malaysia.
Mohamed Sharif b. Mustafa., Roslee b. Ahmad, dan Hamdan Abd. Kadir (2006). Teori dan
praktis kaunseling kelompok kontemporari. Johor Bharu: Cetak Ratu Sdn. Bhd.
Myint Swe Khine., A. Lourdusamy., Quek Choon Lang., and Angela F.L Wong (2005).
Classroom management faciliting teaching and learning. Singapore: Prentice Hall.
Noraini Idris dan Shuki Osman (2009). Pengajaran dan Pembelajaran, Teori dan Praktis.
Malaysia: Mc Graw Hill Education
Perpustakaan Kementerian Pendidikan Malaysia. (2003). Terapi. Diperoleh pada 18 Mac,
2014 dari http://librarykpm.moe.gov.my/
Prof. Madya Dr. Mohd Sofian Omar Fauzee, Prof. Dr Habibah Elias, Dr. Noreen Noordin,
Prof. Madya Dr. Rahil Mahyuddin, Dr. Samsilah Roslan, Maria Chong & Dr.
Maimunah Muda (2005). The behavior problems of at-risk school children: Jurnal
Penyelidikan Pendidikan, Vol.7 (Dis. 2005)
Rozman bin Shafie. (2008). Pemahaman guru seni sekolah rendah terhadap terapi seni
dalam proses pengajaran dan pembelajaran pendidikan seni visual. Tesis Ijazah
Sarjana Muda Pendidikan, Universiti Pendidikan Sultan Idris.
Sipora Sipon dan Ruhaya Hussin. (2008). Teori-teori kaunseling dan psikoterapi. Nilai,
Negeri Sembilan: Universiti Sains Islam Malaysia.
22/27

Suradi Salim. (1997). Siri pengajian dan pendidikan utusan bimbingan dan kaunseling.
Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd.
Zaleha Sulaiman (n.d). Pengurusan pencapaian akademik pelajar sekolah menengah di luar
bandar: kes empat buah sekolah menengah di negeri Kedah Darul Aman. Tesis
siswazah Pendidikan, Universiti Utara Malaysia: Kedah.

23/27

6.0

LAMPIRAN

Gambar 2: Sesi bimbingan dan kaunseling pertama yang dijalankan.

Gambar 2: Sesi bimbingan dan kaunseling kali kedua yang dijalankan.

24/27

Gambar 3: Gambar sebelum sesi terapi seni dijalankan bersama klien.

Gambar 4: Hasil lukisan yang telah dihasilkan oleh klien.

25/27

7.0

REFLEKSI

Kerja kursus berasaskan ilmu bagi subjek Bimbingan dan Kaunseling KanakKanak pada semester ini mengkehendaki pelajar membuat penulisan kritis
berdasarkan teori pembelajaran yang dipelajari. Tidak dapat dinafikan, pada
mulanya, saya menghadapi kesukaran untuk memahami secara khusus kehendak
dalam penulisan ini. Malah saya juga akui saya sedikit tertekan untuk memahami
teori-teori apatah lagi mengolah idea kerana sibuk dengan urusan berpraktikum di
sekolah. Realiti disekolah sebagai seorang guru praktikum sebenarnya masih
dibebani dengan pelbagai kerja sehingga menjadi kelewatan untuk memulakan
penulisan kerja kursus ini. Namun, siapa sangka sebenarnya saya mampu
menyempurnakan penulisan ini dan saya juga berasa bertambah yakin terhadap
kefahaman saya walaupun saya terpaksa bercengkang mata tiap malam, mencari
bahan dari pelbagai sumber, tetapi saya cukup berpuas hati dengan hasil yang saya
perolehi. Hari ini saya akui kebenaran kata-kata En. Tahir Kamarulzaman, bekas
Ketua Jabatan HEP, seseorang yang sanggup berusaha dua kali ganda dari orang
lain, pasti akan menemui apa yang dikehendaki.
Saya akui bukan mudah untuk menjadi guru pembimibing dan kaunseling
apatah lagi apabila berhadapan dengan murid dari pelbagai bangsa dan budaya.
Selepas menjalani praktikum tiga fasa berpraktikum dan mengajar di kelas yang
mempunyai pelbagai murid bermasalah disiplin, saya dapat mempraktikkan usaha
yang harus dilakukan sebagai seorang guru pembimbing bagi mewujudkan
persekitaran yang positif dan membantu mengembangkan potensi individu. Seorang
murid dikelas saya yang bermasalah disiplin selalu menimbulkan masalah baik di
dalam kelas mahupun diluar kelas. Pelbagai aduan berkenaannya telah saya terima
malah apabila merujuk kepada guru disiplin dan guru kaunseling sekolah, mereka
juga mengesahkan perkara yang sama. Namun setelah mencuba mendekati murid
tersebut dan menjalankan beberapa sesi kaunseling bersamanya, barulah murid ini
menunjukkan minat dalam pengajaran dan pembeljaran dalam bilik darjah. Malah
beliau sudah mula menunjukkan perubahan positif dengan bergaul dengan membina
hubungan baik bersama beberapa rakan kelas. Jika saya tidak melakukan kerja
kursus ini, saya pasti ilmu saya tidak akan bertambah dan saya akan menjadi guru
yang biasa-biasa sahaja.
26/27

Malah saya akui, apabila murid mula merasakan satu unit ahli didalam kelas
tersebut ialah ahli kelaurganya, pelbagai aktiviti yang menyeronokkan dapat
dijalankan. Seperti cerita Ron Clark, cerita ini amat mengingatkan saya dalam situasi
persekitaran bilik darjahyang berbeza agama dan budaya, berlatarbelakang kanakkanak bermasalah disiplin, beliau satukan menjadi sebuah keluarga. Dan muridmurid itu sendiri merasakan nilai keluarga itu sesama mereka. Cerita tersebut juga
banyak memberikan saya refleksi kepada diri sendiri dalam menghadapi situasi bilik
darjah yang akan datang sebagai seorang guru.
Kefahaman saya juga tidak akan mantap sekiranya saya tidak di bantu oleh
rakan-rakan yang lainnya. Saya benar-benar terharu dan berterima kasih kepada
rakan-rakan yang sudi meluangkan masa untuk membantu saya. Saya sedar setelah
membuat perbincangan bersama, akhirnya saya mendapat idea untuk membuat
penulisan ini. Walaupun penat kerana perlu memperbetulkan penulisan ini beberapa
kali, dan draf saya berkali-kali perlu di perbaiki, tetapi saya tahu dan sedar semua ini
adalah untuk kebaikan saya.
Nilai-nilai murni seperti inilah perlu diterapkan dalam diri saya apabila menjadi
guru kelak. Kerana untuk mendidik manusia, saya perlu berkorban dan berusaha
gigih dan jangan pernah sama sekali berputus asa. Semoga dengan sempurnanya
tugasan ini, saya akan mengambil iktibar dan segala ilmu yang penting agar dapat
saya aplikasikan apabila saya sudah bergelar guru kelak.

27/27

You might also like