You are on page 1of 3

Sunday, February 19, 2012

ISU GEJALA SAMSENG DI SEKOLAH SEMAKIN LELUASA


SEHINGGA MEMBIMBANGKAN BANYAK PIHAK. PADA PENDAPAT
ANDA, APAKAH PUNCA BERLAKUNYA GEJALA SAMSENG INI?
Sedasarwarsa ini, isu gejala samseng di sekolah sering meniti dari bibir ke bibir umat
manusia di segenap empat penjuru dunia. Berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia,
peratus gejala samseng meningkat secara drastik dari semasa ke semasa sekali gus
menyebabkan imej negara tercalar di persada dunia. Rekod polis telah menunjukkan
ramai dalam kalangan pelajar yang cerdik pandai telah menjadi bagai pelanduk di cerang
rimba akibat gejala buli yang semakin ganas. Dalam hal ini,apakah punca gejala samseng
yang menjadi duri dalam daging institusi pendidikan di negara ini?
Punca perdana yang mendorong aktiviti gejala samseng ini adalah ramai dalam kalangan
pelajar kurang mendapat kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa. Hal ini demikian
kerana dengan kurangnya kasih sayang daripada ibu bapa, seseorang itu akan menjadi
lebih liar dan sukar dikawal oleh penjaganya. Kebiasaannya, pelajar samseng akan
mempunyai sikap hedonisme dan bertindak mengikut nafsu. Lantaran itu, apabila nafsu
mereka tidak dipenuhi, mereka akan melepaskan geram tersebut kepada seseorang. Hal
ini jelas membuktikan bahawa mereka jarang menggunakan akal fikiran mereka yang
waras dalam membuat sesuatu keputusan dan pertimbangan, persis kata orang tua-tua,
akal itu menteri yang menasihati, hati itu ialah raja yang menentukan, nafsu ialah rasuah
yang akan menggulingkan menteri dan raja itu. Gejala samseng ini berlaku apabila
pelajar yang lemah dan muda daripada mereka menjadi sasaran utama bagi samseng yang
ingin memuaskan nafsunya. Sebagai contoh, pembuli tingkatan empat yang tidak dapat
merokok untuk seharian suntuk akan melepaskan perasaan yang terpendam terhadap
mangsa yang berada di tingkatan dua iaitu pelajar yang lebih muda daripadanya. Jika ibu
bapa memberi perhatian dan kasih sayang yang secukupnya terhadap anak mereka, maka
gejala buli ini akan berkurangan dan mungkin akan menemui titik noktahnya. Jelaslah
bahawa, isu gejala samseng di dada akhbar dapat dikurangkan apabila ibu bapa memberi
perhatian dan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak mereka.
Dalam pada itu, pelajar kurang mendapat didikan agama dan moral secukupnya
merupakan pencetus gejala samseng di sekolah. Dalam Al-Quran telah dijelaskan bahawa
Islam merupakan agama yang syumul justeru Islam menyeru umat mansia melakukan
kebaikan dan melarang umat manusia melakukan kejahatan. Bertitik tolak daripada
kenyataan tersebut, pelajar yang kurang didikan agama dan moral sudah pasti tidak tahu
membezakan antara buruk dan baik. Selain itu,mereka juga tidak mempunyai misi hidup
seperti kapal yang berlayar tanpa haluan. Sehubungan dengan itu, mereka sering
melakukan sesuatu perkara tanpa memikirkan impaknya pada kemudian hari. Tambahan
pula,umur mereka yang setahun jagung itu menyebabkan mereka tidak pernah terlintas
yang masa depan mereka semakin kabur apabila mereka menjadi seorang samseng.

Tamsilnya, seorang pelajar yang bergelar samseng di sekolah mungkin tidak dapat
melanjutkan pelajaran mereka ke menara gading sebaliknya menghabiskan hidup dengan
aktiviti yang tidak berfaedah. Seandainya pelajar mendapat didikan ilmu agama dan
moral yang mustaid, sudah pasti gejala samseng dapat dikekang dengan mudah.
Tegasnya, pelajar yang kurang didikan agama dan moral mudah terdorong menjadi
seorang samseng yang seterusnya menjadi barah kepada masyarakat.
Selain itu, pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor gejala samseng
leluasa dalam kalangan pelajar di sekolah. Hal ini terjadi demikian kerana rakan sebaya
akan mempengaruhi pertumbuhan sosial seseorang pelajar. Secara psikologi, gerak gerik
dan perlakuan pelajar yang negatif lebih kuat pengaruhnya ke atas pelajar yang berkawan
dan rapat dengannya. Pelajar yang menyimpang tingkah lakunya akan mencuba untuk
mempengaruhi kawan-kawannya yang untuk menyertai tindakannya yang negatif itu. Di
sebuah sekolah, pelajar bebas bergaul antara satu sama lain tanpa memikirkan
bangsa,latar belakang dan kaum yang berbeza-beza yang dihimpunkan di dalam satu
institusi pendidikan yang sama. Oleh itu, pelajar yang menjadi samseng itu dianggap
sebagai nila setitik yang merosakkan susu sebelanga. Sebagai contoh, pelajar yang
menjadi samseng akan menyebabkan prestasi sekolah itu menurun dan pada masa yang
sama menjejaskan nama baik sekolah itu kesuluruhannya. Sekiranya pelajar menjauhi
gejala samseng ,prestasi sesebuah sekolah akan terpelihara. Sudah terang lagi bersuluh,
gejala samseng di sekolah dapat diatasi jika seseorang pelajar itu memilih rakan sebaya
yang cenderung ke arah kelakuan positif .
Di samping itu,media massa merupakan penyumbang utama kepada gejala samseng
dalam kalangan belia di bangku sekolah.Program-program televisyen khasnya, lebih
mementingkan hiburan daripada menyebarkan maklumat yang bermanfaat. Tayangantayangan filem Barat dan Hindustan contohnya, telah menolak unsur-unsur ketimuran
yang sebati dalam jiwa remaja terutama pelajar sekolah. Adegan-adegan lucah telah
menjadi halwa mata yang menjadi keutamaan bagi mereka. Jadi, apabila filem tersebut
dipertontonkan, sudah tentu golongan remaja amnya, akan meniru gaya dan aksi artis
pujaan mereka. Natijahnya wujudlah budaya punk, bertindik di telinga kiri bagi lelaki,
seks bebas, dan lebih dahsyat lagi gejala samseng yang semakin leluasa. Secara tidak
langsung, aktiviti ini mencetus kemelut jati diri bagi remaja yang sedang mencari identiti
diri seterusnya terlibat dalam gejala hedonisme ini.Seandainya, media massa menapis
kandungan filem tersebut,kemungkinan peratus pelajar yang terjerumus dalam gejala
samseng dapat dikurangkan.Pendek kata, media massa juga merupakan faktor utama
gejala samseng semakin leluasa di sekolah.
Jika ditinjau dari aspek pendidikan pula, terdapat banyak ruang kosong yang harus
dipenuhi bagi mengatasi gejala samseng di sekolah. Hal ini dikatakan demikian kerana
sistem pendidikan di Malaysia lebih banyak menekankan kecemerlangan akademik
berbanding sahsiah.Pelajar sering di ajar cara untuk menjawab soalan bagi menghadapi
peperiksaan berbanding cara untuk menjadi insan yang bersahsiah demi menjalani
kehidupan yang sebenar. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Kementerian Pendidikan
Malaysia sering menguji pelajar dari aspek pendidikan seperti Ujian Penilaian Sekolah
Rendah(UPSR),Penilaian Menengah Rendah(PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia(SPM)

berbanding sahsiah yang hanya diajar melalui subjek Sivik dan


Kewarganegaraan.Berdasarkan sejarah,tamadun yang berjaya ialah masyarakat yang
mempunyai adab dan sahsiah yang tinggi .Jika kerajaan memberikan penekanan sedikit
terhadap pendidikan sahsiah pelajar, maka sudah pasti gejala samseng di sekolah akan
berkurangan.Sesungguhnya, kerajaan harus menggubal satu sistem pendidikan negara
yang lebih mementingkan sahsiah bagi mengatasi gejala samseng di sekolah.
Tuntasnya, isu gejala samseng di sekolah tidak seharusnya dibiarkan terus merebak.
Semua pihak seharusnya bersinergi mengatasi gejala samseng ini yang sudah pastinya
banyak memberi onar kepada banyak pihak. Ibu bapa memainkan peranan peri vital
kerana mereka merupakan ihsan yang paling rapat dengan para remaja. Aforisme pemuda
harapan bangsa, pemudi tiang negara menunjukkan betapa pentingnya remaja kepada
negara. Oleh sebab itu, generasi sekarang yang sudah tersasar dari landasan yang benar
perlu ditarik balik untuk kembali ke pangkal jalan agar negara kita mampu melahirkan
generasi minda kelas pertama yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik
malahan juga cemerlang dalam bidang akademik.

You might also like